Wednesday, June 24, 2009

Kedengkian Yahudi terhadap Islam

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 109 – 112


Firman Allah SWT,

Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad saw). Oleh itu maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu (109) . Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; .dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala sesuatu yang kamu kerjakan (110) Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata : Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad) : Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakana itu, jika betul kamu orang-orang yang benar (111). (Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala di sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran pada mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.(112)

Huraian ayat

Sebab turun ayat ini ialah pendita-pendita Yahudi telah berkata kepada dua orang sahabat Nabi saw yang bernama Hudzaifah al-Yamani dan ‘Ammar bin Yasir r.anhuma selepas berlakunya perperangan Uhud. Kata mereka,

“ Bukankah sudah jelas kepada kamu dalam peperangan tersebut yang membuktikan kamu bukan berada di pihak yang benar. Kalaulah kamu berada di pihak yang benar, sudah tentu Tuhan akan membantu kamu, sudah tentu kamu sekelian tidak menerima bencana ,sudah tentu kamu tidak kalah dalam peperangan. Maka kembalilah kamu sekelian kepada agama kami, itulah yang lebih sempurna peraturannya dari jalan yang kamu tempuh .”

Hal ini sama seperti yang berlaku di zaman morden apabila tentera Iraq (muslim) kalah dalam peperangan dengan Amerika (kristian). Sedangkan kalau kita lihat, kekalahan perang Uhud adalah kerana terdapat sebahagian tentera Islam mempunyai perasaan tamak terhadap harta rampasan perang sehingga tidak patuh dengan arahan Rasulullah saw. Manakala Iraq kalah kerana pemimpin mereka, Saddam Hussein merasa dirinya sudah hebat, perlu di puja oleh rakyat sehingga ke tahap mensyirikkan Allah SWT, apabila mendirikan banyak patung-patung di negerinya.

Kembali kepada ayat tadi, ahli-ahli kitab khususnya Yahudi begitu halus mahu merosakkan akidah orang Islam, mereka suka kalau orang Islam menjadi kafir. Lalu Allah SWT buka tembelang mereka,

..kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad saw).

Sebab mereka menghasut orang-orang Islam supaya meninggalkan ajaran Islam tidak lain dan tidak bukan kerana perasaan dengki yang tidak sudah-sudah dengan kerasulan Nabi Muhammad saw yang di utus dari kalangan bangsa Arab. Sifat dengki inilah yang mereka warisi sampai sekarang dengan cara memusuhi warga Arab muslim di Palestin.

Walaupun ayat ini ditujukan kepada orang-orang Yahudi, namun orang Islam perlu mengambil iktibar dari kejinya sifat dengki. Sabda Rasulullah saw,

إياكم والحسد فإن الحسد يأكل الحسنات كما ـاكل النار الحطب

Maksudnya : Janganlah kamu bersifat hasad, kerana sesungguhnya hasad itu memakan amal kebajikan sama seperti api memakan kayu.

Firman Allah SWT di penghujung ayat 109i,

Oleh itu maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu

Maksudnya, orang-orang Yahudi yang mengajak orang-orang Islam kepada kekufuran itu hendaklah dimaafkan sahaja kerana Allah SWT belum memerintahkan orang-orang Islam memerangi mereka. Dan biarkanlah mereka dengan kebodohan mereka, sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa untuk menghukum mereka.

Firman Allah SWT dalam ayat 110,

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat;

Setelah Allah SWT memerintahkan orang Islam supaya jangan peduli dengan hasutan Yahudi, maka datang pula perintah Allah SWT agar orang-orang Islam menunaikan solat dan mengeluarkan zakat. Inilah dua perkara yang perlu orang-orang Islam perkukuhkan untuk berdepan dengan segala bentuk ancaman apatah lagi untuk menangkis serangan ahli-ahli kitab yang berusaha memutar haluan hidup orang-orang Islam supaya menjadi kafir.

Hanya melalui solat yang sempurna sahaja seseorang itu dapat mencegah dirinya daripada melakukan perkara mungkar (yang kadang-kadang di dalangi oleh ahli kitab). Mengenai mereka yang solat tetapi solatnya tidak dapat mencegah dirinya daripada melakukan kemungkaran, maka ambillah iktibar daripada hadis Rasulullah saw ini,

"10 orang yang solatnya tidak diterima oleh Allah SWT ialah :. Pertama orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu, kedua orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat, ketiga orang lelaki yang minum arak tanpa bertaubat, keempat orang lelaki yang menjadi imam padahal makmum membencinya, kelima anak lelaki yang melarikan diri dari rumah tanpa izin kedua ibu bapanya, keenam orang perempuan yang suaminya marah lalu si isteri memberontak, ketujuh Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim serta menganiaya, kelapan orang perempuan yang tidak menutup aurat, kesembilan orang yang suka makan riba dan kesepuluh orang yang solat tetapi solatnya tidak dapat menahan dirinya daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar ”

Dengan perintah mengeluarkan zakat, secara tidak langsung menyuruh orang-orang Islam memajukan diri supaya tidak bergantung dengan orang lain apatah lagi dengan orang-orang kafir.

Sebab itu Rasulullah saw bersabda,

“Hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran”

Apa yang di sebut oleh Rasulullah saw itu sudah pun wujud hari ini apabila ada orang-orang Islam yang susah, hidup melarat terpaksa mendapatkan pertolongan daripada pihak gereja, untuk mengeluarkan diri mereka daripada kesusahan.

Kemudian Allah SWT berfirman lagi,

….dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala sesuatu yang kamu kerjakan.

Maksudnya, janganlah bimbang dengan amalan yang di lakukan di dunia ini, pasti tidak sia-sia di sisi Allah SWT, kerana Dia akan membalasnya di akhirat kelak. Oleh itu berusahalah, teruskanlah dengan amalan kebajikan itu, janganlah bosan melakukannya, kerana sesungguhnya Allah SWT sentiasa memerhatikan apa yang kita lakukan.

Firman Allah SWT dalam ayat 111,

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata : Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani.

Orang-orang Yahudi berkata, tidak seorang pun boleh memaski Syurga melainkan mereka yang beragama Yahudi, begitu juga dengan dakwaan orang-orang Nasrani tidak seorang pun boleh measuki Syurga melainkan mereka yang beragama Nasrani. Lalu Allah SWT jawab dihujung ayat,

Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad) : Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakana itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Dakwaan-dakwaan itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Kalau benar mereka boleh masuk Syurga, tunjukkan buktinya, mana-mana dia keterangan-keterangan Allah SWT yang menunjukkan mereka boleh masuk Syurga ?. Jika keterangan-keterangan Allah SWT yang terdapat dalam kitab Taurat dan Injil mereka ubah dan menafikan kerasulan Nabi Muhammad saw, janganlah harap untuk mereka masuk Syurga.

Firman Allah SWT dalam ayat 112,

(Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala di sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran pada mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

Allah SWT menyatakan bahawa syarat orang-orang yang mahu masuk ke syurga itu yang pertamanya ialah ‘Aslama Wajhahu Lillah’ ertinya menyerah diri kepada Allah SWT (Islam) dengan maksud tunduk dan patuh kepada syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad saw.

Yang kedua, setelah menyerah diri kepada Allah (Islam), maka hendaklah dibuktikan keislamannya itu dengan melakukan amal kebajikan, inilah yang di maksudkan dengan ‘wahuwa muhsin’. Dan apa jua kebajikan itu dikira ibadah dan diberi pahala oleh Allah SWT sekiranya seseorang itu memenuhi dua syarat iaitu yang pertama ikhlas kerana Allah SWT. Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis Qudsi yang mafhumnya berbunyi,

“ Akulah Allah (Tuhan) yang Maha Kaya, Aku tidak perlu kepada sekutu-sekutu. Siapa yang melakukan sesuatu amalan sambil menyengutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku tinggalkan ia dengan dengan sekutu-sekutunya”.

Yang kedua ialah mengikut pertunjuk yang di bawa oleh Rasulullah saw sebagaimana hadis,

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد
Maksudnya : Barangsiapa yang beramal tidak mengikut pertunjuk ami, maka amalannya di tolak.

Kesimpulannya, orang-orang kafir sama sekali tidak boleh memasuki Syurga Allah SWT walaupun mereka beramal soleh. Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 23,

Maksudnya : Dan kami periksa amal kebajikan mereka, kemudian Kami jadikannya bagaikan debu-debu yang berterbangan.

Kuliah Maghrib
21/6/2009
Surau Bandar Warisan Puteri.

Tuesday, June 23, 2009

Surah yg tidak dimulai dengan Bismillah

Tafsir Al-Quran
Surah At-Taubah Ayat 1 - 6

Pengenalan surah :

Para ulama telah membuat kajian mengapa surah Al-Taubah tidak dimulai dengan “Bismillahir Rahmanir Rahim”. Antara lain kerana di dalamnya ada menyebut mengenai perang, selain ada ayat-ayat yang menunjukkan kekuatan. Oleh itu ia dikira bercanggah dengan semangat “Basmalah”, kerana “Bismillahir Rahmanir Rahim” itu bererti “Dengan nama Allah Yang Amat Pemurah lagi Amat Mengasihani”. Sedangkan berperang itu tidak ada kasihan belas, tetapi saling berusaha dengan segala kekuatan dan strategi untuk menewaskan pihak yang lain.

Surah At-Taubah menyentuh secara langsung persoalan politik yang melibatkan umat Islam yang berada di bawah pimpinan Rasulullah saw dengan orang-orang kafir musyrikin Mekah. Surah ini menjadi dalil bahawa urusan politik adalah sebahagian daripada urusan agama yang kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Catatan sejarah menunjukkan semenjak Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, baginda hanya mengerjakan Umrah sekali iaitu Umrah Qadhak iaitu pada tahun ke tujuh Hijrah. Pada tahun ke lapan Hijrah, Rasulullah saw dan umat Islam telah berjaya membuka (menakluk) Mekah. Pada tahun ke sembilan hijrah umat Islam mengerjakan ibadah Haji yang dipimpin oleh Abu Bakar. Manakala Rasulullah saw pula memimpin umat Islam mengerjakan ibadah Haji pada tahun ke sepuluh hijrah yang dikenali sebagai Haji Wada’ (Haji perpisahan). 80 hari setelah selesai mengerjakan ibadah Haji Rasulullah saw pun wafat.

Ketika ibadah Haji pada tahun kesembilan hijrah yang dipimpin oleh Abu Bakar, Rasulullah saw mendapat tahu bahawa orang-orang musyrikin juga turut hendak mengerjakan ibadah Haji, tetapi mengikut cara tradisi jahiliah. Cara ibadah Haji yang mereka hendak lakukan sangat jelek dimana mereka melakukan tawaf disekeliling Kaabah dalam keadaan berbogel, dimana kaum lelaki melakukan tawaf di siang hari, manakala di sebelah malam pula ialah giliran kaum wanita.

Apabila wahyu (surah At-Taubah) ini turun, Rasulullah saw mengutuskan Saidina Ali kwj untuk menyampaikan pengistiharan Allah SWT ini. Saidina Ali yang mendapat amanah ini terus segera menuju ke Mekah menaiki unta Rasulullah saw yang bernama ‘Adhba’. Apabila sampai di Arafah, Saidina Abu Bakar ketika itu baru sahaja selesai menyampaikan khutbahnya.

Melihat kedatangan Saidina Ali kwj, lalu Abu Bakar pun bertanya kepada Ali : Wahai Ali adakah kamu datang ini hendak mengambil alih tugasku sebagai Amir Haji atau ada sesuatu pesanan atau perintah lain dari Rasulullah saw untuk disampaikan kepada jemaah haji ? Jawab Saidina Ali kwj : Wahai abu Bakar sesungguhnya kedatanganku ke sini adalah untuk membawa perintah daripada Nabi saw agar aku mengistiharkan wahyu Allah Taala mengenai Baraah. Maka Abu Bakar kemudian mempersilakan Saidina Ali untuk menyampaikan pengistiharan tersebut. Saidina Ali pun membacakan 40 ayat dari surah Baraah. Demikianlah ayat-ayatnya,

“(Inilah pengisytiharan) pemutusan hubungan daripada Allah dan RasulNya (yang dihadapkan) kepada orang-orang musyrikin yang kamu (kaum muslimin) telah mengadakan perjanjian (dengan mereka)”.(1)

Perisytiharan yang dimaksudkan di sini ialah pemutusan hubungan perjanjian antara Rasulullah saw dan kaum muslimin dengan kaum musyrikin.
.
“ Maka berjalanlah kamu (kaum musyrikin) di muka bumi selama empat bulan dan Ketahuilah bahwa Sesungguhnya kamu tidak akan dapat melemahkan Allah, dan Sesungguhnya Allah menghinakan orang-orang kafir”.(2)

Yakni kaum musyrikin diberi tempoh oleh Allah SWT selama empat bulan untuk mengosongkan tanah suci Mekah. Maksudnya selepas ini kaum musyrikin tidak boleh menjejakkan kaki apatah lagi mendiami kota Mekah. Ini disebabkan kota Mekah adalah kota suci bagi orang-orang Islam dan ibu pejabat pentadbiran umat Islam seluruh dunia. Justeru, tidak patut kota ini dihuni oleh mereka yang tidak setia dengan akidah Islam.

Dengan tempoh empat bulan (notis) yang diberikan, menunjukkan Islam merupakan agama yang bertoleransi dan menghormati hak-hak orang lain. Empat bulan adalah satu tempoh yang mencukupi untuk kaum musyrikin di Mekah menyelesaikan segala urusannya sebelum mereka meninggalkan kota tersebut.

“Dan (Inilah) suatu permakluman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar bahwa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, Maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, Maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih”.(3)

Ayat yang ketiga ini menjelaskan pengisytiharan Allah dan RasulNya, untuk berlepas diri daripada orang-orang musyrikin. Maksudnya Syurga itu tidak akan dapat dimasuki oleh orang-orang musyrikin. Selepas daripada tarikh pengistiharan ini, orang-orang musyrikin Mekah tidak boleh lagi menunaikan fardhu Haji di Mekah. Mereka juga tidak boleh sama sekali melakukan tawaf di keliling Baitullah dalam keadaan telanjang bulat.

Tetapi sekiranya mereka bertaubat (yakni memeluk Islam) dan meninggalkan ibadat jahiliah tersebut maka itu adalah lebih baik bagi mereka (maksudnya mereka tidak perlu pindah). Tetapi sekiranya mereka berpaling dan mahu menentang Islam, maka ketahuilah bahawasanya mereka tidak akan dapat melemahkan Allah malah sebaliknya pula mereka akan mendapat azab yang sangat pedih.

Dalam ayat di atas, Allah SWT menyebut mengenai Haji Akbar. Apakah yang dimaksudkan dengan Haji Akbar ? Ramai orang Islam di dunia ini menganggap bahawa Haji Akbar ialah apabila tarikh wukuf jatuh pada hari Jumaat.

Apakah Haji Akbar ?

Dr Wahbah al-Zuhaily menyebut, bahawa Haji Akbar ialah hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Manakala umrah pula disebut sebagai Haji al-Asghar. Berpegang kepada dalil yang diriwayatkan oleh Ibnu Aufaa bahawa Rasulullah saw bersabda,

يوم الأضحى هذا يوم الحج الأكبر

Maksudnya : Hari Raya Qurban adalah Haji Akbar.

Saidina Ali pernah bertanya Rasulullah saw, Apakah Haji Akbar itu ya Rasulullah ? Nabi saw menjawab,

فقال يوم النحر

Maksudnya : Ialah Hari Nahar (Qorban).

Terdapat hadis yang menunjukkan Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Bagaimanapun ada juga pendapat di kalangan ulama mengatakan Haji Akbar itu adalah adalah hari Wukuf di Arafah. Manakala Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a pula menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari wukuf di Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Pahala orang yang mengerjakan haji pada hari tersebut 70 kali ganda lebih besar daripada pahala Haji biasa. Pendapat ini juga disebut oleh Imam al-Ghazzali rhm. Bagaimanapun Imam al-Munawi menolak hadith itu dengan hujah "tiada asalnya". Wallahualam.

“ Kecuali orang-orang musyrikin yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun (dari isi perjanjian)mu dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu, Maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa”. (4)

Maksudnya kalau ada perjanjian lain yang waktunya masih lama, lebih dari jangka empat bulan maka janji itu boleh diteruskan sampai habis waktunya.

Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu maka Bunuhlah orang-orang musyrikin itu dimana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah ditempat pengintaian. jika mereka bertaubat dan mendirikan sholat dan menunaikan zakat, Maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (5)

Bulan-bulan haram menurut tradisi Arab sebelum kedatangan Islam ialah Zulka’dah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Tetapi yang dimaksudkan dengan bulan-bulan haram dalam ayat di atas ialah empat bulan yang diberi kepada kaum musyrikin iaitu mulai 10 Zulhijjah yakni ketika turunnya ayat ini sehinggalah 10 Rabiul Akhir. Setelah selesai tarikh tersebut, sekiranya mereka masih enggan keluar dari bumi Mekah dan sekiranya dalam tempoh itu mereka mengumpulkan kekuatan untuk memerangi Islam maka Allah SWT memerintahkan Rasulullah saw dan orang-orang Islam untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka iaitu memerangi mereka yakni membunuh mereka dimana mereka berada, melainkan sekiranya mereka bertaubat (memeluk Islam).


Wallahualam

Sunday, June 21, 2009

Nabi Adam a.s tidak berdosa

"Kalaulah tak kerana Nabi Adam makan buah khuldi, kita semua sudah tentu tinggal dalam syurga", kata-kata yang sering saya dengar sewaktu kecil. Benarkah Nabi Adam a.s diusir dari Syurga kerana makan buah khuldi ? Mari kita cari jawapannya dalam Al-Quran. Firman Allah SWT,

" Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya : Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu ? Tuhan berfirman : Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang kamu tidak ketahui ". (Al-Baqarah 030)

Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan Rasulullah saw, bahawa Dia hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Berdasarkan ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa sama ada Nabi Adam a.s makan atau tidak buah yang dilarang oleh Allah SWT, dia tetap akan diturunkan ke dunia. Ketika Allah SWT mengistiharkan kepada malaikat, bahawa Dia hendak menjadikan manusia sebagai khalifah iaitu orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengatur kehidupan di bumi berdasarkan wahyu dan syariat Allah SWT, maka malaikat bertanya : Adakah patut Tuhan akan menjadikan mereka (manusia) sebagai khalifah yang mana manusia itu sifatnya suka membuat bencana dan sering menumpahkan darah? Bukankah lebih elok kalau Tuhan lantik sahaja khalifah itu di kalangan malaikat yang merupakan makhluk yang sentiasa taat, patuh dan sentiasa bertasbih memuji Allah SWT ?

Allah SWT menjawab bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh malaikat tentang hikmah mengapa di pilih di kalangan manusia sebagai khalifah. Ada beberapa persoalan tentang ayat ini. Pertama bagaimana sifat dan tempat pertemuan antara Allah SWT dan para malaikat itu berlaku ?

Bagi ulama yang beraliran salaf, mereka menerima ayat ini dengan sepenuh keimanan tanpa banyak soal. Persoalan bagaimana sifat dan tempat pertemuan itu berlangsung tidak perlu dijawab kerana akal fikiran manusia tidak mampu menjawab persoalan yang berkaitan dengan perkara ghaib.

Bagi ulama yang beraliran khalaf, pertemuan di antara Allah SWT dan malaikat berlaku tidaklah sama seperti pertemuan antara makhluk dengan makhluk seperti hadap menghadap atau duduk depan berdepan kerana kalau demikianlah sifatnya sudah tentulah sama kedudukan malaikat dengan Allah SWT. Sedangkan Maha Suci Allah SWT daripada bersifat sama seperti makhluk. Tentang dimana tempat pertemuan itu berlaku, ulama khalaf menjelaskan ia tidak terjadi di suatu tempat, kerana kalau ia terjadi di sesuatu tempat, maka bertempatlah Allah SWT. Sedangkan Maha Suci Allah SWT bersifat bertempat sama seperti makhlukNya.

Persoalan berikutnya, bagaimana malaikat tahu bahawa khalifah di kalangan manusia itu sifatnya suka membuat bencana dan melakukan pembunuhan ? Jawapannya ialah di penghujung ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui tentang apa-apa yang tidak di ketahui oleh malaikat. Tegasnya malaikat hanya tahu sifat negatif manusia sedangkan sifat manusia yang positif tidak diketahui oleh malaikat.

Pengajaran daripada ayat ini, janganlah kita bersifat hebat dengan ilmu yang ada sedangkan ilmu yang diberi oleh Allah SWT itu hanya sedikit sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Israak ayat 85,

" ..dan kamu tidak diberikan ilmu npengetahuan melainkan sedikit sahaja "(Al-Israa 085)

Ada juga kisah dongeng yang tidak bersumberkan riwayat Islam yang sahih dan tafsiran daripada golongan Syiah Imamiah tentang bagaimana malaikat tahu bahawa makhluk manusia dari keturunan Adam itu melakukan kerosakan dan pembunuhan.

Menurut kisah dari Parsi lama, katanya sebelum Nabi Adam a.s dicipta, ada makhluk Allah yang mendiami bumi iaitu Hinn dan Binn (ada yang mengatakan Thimm dan Rimm). Setelah dua makhluk ini luput, maka datanglah pula makhluk yang bernama Jinn. Tetapi sifat makhluk Jinn ini suka melakukan bencana dan bunuh membunuh. Lalu Allah SWT hantar bala tenteraNya yang terdiri daripada malaikat dan diketuai oleh Iblis, maka makhluk Jinn ini diperangi sehingga saki baki mereka melarikan diri ke hutan belantara, pulau dan laut. Selepas itu barulah Allah SWT mencipta Nabi Adam bagi mengisi kekosongan bumi ketika itu.

Manakala bagi golongan Syiah Imamiah, di petik dari kitab mereka Jami’ul Akhbar, menyatakan sebelum Allah SWt mencipta moyang kita yang bernama Adam, sebelum itu sudah pun wujud 30 Adam dan keturunannya yang pernah dicipta oleh Allah SWT dan tinggal di atas muka bumi ini. Jarak antara Adam dengan Adam yang lain ialah 1000 tahun. Setelah Adam yang ke 30 dan keturunannya mendiami bumi selama 50 ribu tahun dan melakukan kerosakan dan pembunuhan, maka barulah Allah SWT gantikan Adam yang baru dan itulah Adam yang terakhir yang juga moyang kita sekarang.

Manakal Ibnu Buwaih dalam kitabnya Kitab at-Tauhid telah menukil hadis yang diriwayat daripada Imam Ja’afar as-Sadiq (Imam bagi orang-orang Syiah) katanya : “ Mungkin kamu sangka bahawa Allah SWT tidak menjadikan basyar (manusia) selain kamu. Bahkan, demi Allah ! Sesungguhnya Allah telah menjadikan 1000 Adam dan kamulah yang terakhir dari Adam-Adam itu .”

Kesemua kisah dan riwayat di atas di tolak oleh ASWJ atas dua alasan, Pertama kerana ia tidak bersumberkan riwayat Islam yang sohih. Kedua, dari segi logic akal kalaulah malaikat tahu bahawa keturunan Adam itu sering melakukan kerosakan dan pembunuhan berdasarkan pengalaman-pengalaman yang lalu, persoalannya mengapa malaikat tidak tahu sifat-sifat positif keturunan Adam juga berdasarkan pengalaman yang lalu.

"Dan Dia telah mengajar Nabi Adam akan segala nama benda benda dan kegunaannya , kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu Dia berfirman : Terangkanlah kepada Ku nama-nama benda ini, jika kamu golongan yang benar". (Al-Baqarah 031)

Setelah Allah SWT menjadikan Adam, lalu Allah SWT mengajar nabi Adam a.s segala nama benda dan fungsinya sehingga penuhlah di dada Adam itu ilmu pengetahuan. Kemudian Allah SWT mendatangkan benda-benda itu kepada malaikat dan bertanya malaikat nama-nama benda tersebut kalau benarlah mereka makhluk yang benar, layak menduduki jawatan khalifah di muka bumi. Jawab Malaikat,
Maha Suci Engkau ya Allah, Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami ; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah 032)

Kata malaikat, mereka tidak boleh menjawab nama-nama benda itu dan mereka tidak tahu penggunaannya melainkan sekiranya Allah SWT memberitahu mereka. Allah SWT berfirman pula kepada Adam,

" Wahai Adam ! Terangkanlah benda-benda ini semua kepada mereka.Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama-nama benda itu kepada mereka, Bukankah Aku telah katakan kepada kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan "(Al-Baqarah 033)

Demikianlah Allah SWT menempelak malaikat yang pada mulanya memandang rendah terhadap Adam dan keturunannya sebagai khalfah di muka bumi. Kemudian Allah SWT memerintahkan malaikat agar sujud kepada Nabi Adam a.s.

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat : “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam ”. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis ; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (Al-Baqarah 034)

Berdasarkan ayat ini Malaikat telah melaksanakan perintah tersebut dengan patuh melainkan Iblis yang sombong. Disebabkan kesombongannya itu maka jadilah ia dari golongan kafir.

Timbul 2 persoalan, pertama berdasarkan ayat ini, Allah SWT hanya memerintahkan malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam a.s, mengapa Iblis juga perlu sujud ? Adakah dia juga makhluk kategori malaikat ? Kedua, kalau dia bukan malaikat mengapa dia perlu sujud ?

Bagi menjawab persoalan adakah Iblis termasuk kategori malaikat, Al-Quran surah Al-Kahfi ayat 50 menjelaskan,

Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada malaikat : “Sujudlah kamu kepada Adam ”, lalu mereka sujud melainkan Iblis ; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya…

Berdasarkan ayat ini jelas bahawa Iblis bukanlah malaikat, sebaliknya berasal dari golongan Jin. Tetapi walaupun dia bukan malaikat dia wajib taat kepada perintah tersebut kerana dia makhluk yang tinggal bersama-sama dengan para malaikat. Sama seperti warga asing yang tinggal di Malaysia walaupun dia bukan warganegara Malaysia, tetapi dia hendaklah patuh kepada undang-undang Malaysia.

Dan Kami berfirman: "Wahai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu di syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah 035)

Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan bagaimana Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa diberikan kebebasan oleh Allah SWT untuk tinggal dalam syurga dan menikmati segala makanan yang terdapat dalamnya. Tetapi kebebasan yang diberikan oleh Allah SWT tidak mutlak, ada perkara lain yang mereka tidak boleh buat iaitu tidak boleh mendekati sebatang pokok dengan maksud tidak boleh memakan buah dari pokok tersebut.

Apakah nama pokok tersebut ? Al Quran dan Hadis tidak ada menerangkan nama pokok tersebut. Namun begitu ada pendapat mengatakan nama pokok tersebut ialah pokok khuldi. Ini berdasarkan surah Taha ayat 120,

"Setelah itu maka Syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata : Wahai Adam mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon (khuldi) yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan lenyap ?" (Ta-Ha 120)

Tetapi pendapat ini dipertikaikan kerana nama pokok khuldi itu adalah nama yang diberikan oleh Syaitan bukan nama yang diberikan oleh Allah SWT. Kesimpulannya, hanya Allah SWT sahajalah yang Maha Mengetahui apakah nama pokok tersebut.

Firman Allah SWT lagi,

"Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari Syurga itu dan menyebabkan mereka di keluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya ; dan Kami berfirman : Turunlah kamu ! Sebahagian dari kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain ;dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)" (Al-Baqarah 036)

Setelah itu datanglah Syaitan menghasut mereka sehingga mereka makan buah yang dilarang itu, lalu mereka tergelincir dari Syurga. Persoalan, bagaimana Nabi Adam boleh melakukan kesalahan sedangkan setiap Nabi itu maksum, terpelihara daripada melakukan dosa ?

Untuk menjawab persoalan ini umat Islam perlu merujuk surah Taha ayat 115.

" Dan demi sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa ; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. "

Daripada ayat ini jelas kepada kita bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Nabi Adam, bukanlah satu kesalahan yang disengajakan sehingga baginda dihukum berdosa. Sedangkan Allah SWT sama sekali tidak akan mengambil tindakan atau memberi balasan terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan tanpa sengaja. Firman Allah dalam surah Al-Ahzaab ayat 5,

"Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukanny, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Namun begitu, sebagai Nabi yang mempunyai adab dan akhlak yang tinggi, Nabi Adam tetap memohon keampunan kepada Tuhan walaupun kesalahan yang dilakukan itu bukanlah satu kesalahan yang disengajakan. Demikianlah contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Adam a.s kepada seluruh umat manusia.

Monday, June 15, 2009

Orang yang muflis

Tanggal Ahad 14 hb Jun 2009, saya telah di undang menyampaikan kuliah Subuh di Surau Jiboi, Ampangan. Setelah selesai mengimamkan solat Subuh bersama warga jemaah surau, saya terperanjat apabila bersalaman dengan Ust Hj Jaafar bin Mohammad, bekas guru saya ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban pada tahun 1987.

Rupa-rupanya Ust Hj Jaafar bin Mohammad sudah lama berpindah di Jiboi. Al-hamdulillah,bertambah imarahlah surau ini dengan kehadiran seorang Ustaz yang begitu hebat dalam ceramahnya, khusus dalam menyampaikan kuliah-kuliah dalam bentuk motivasi.

Dalam keadaan kaget (maklum sajalah apabila menyampaikan ceramah di hadapan Tok Guru) saya mulakan kuliah dengan memperkenalkan guru saya ini kepada sidang jemaah surau. Seterusnya saya membacakan hadis-hadis berikut sebagai santapan rohani untuk pagi itu.

أتدرون من المفلس؟ قالوا : المفلس فينا من لا درهم له ولا متاع. فقال : ان المفلس من أمتى من يأتى يوم القيامة بصلاة وصيام و زكاة ويأتى وقد شتم هذا وقذف هذا وأكل مال هذا وسفك دم هذا وضرب هذا فيعطى هذا من حسناته وهذا من حسناته فان فنيت حسناته قبل ان يقضى ما عليه أخذ من خطايا هم فطرحت عليه ثم طرح فى النار

Maksudnya : (Pada satu hari) Nabi saw bertanya kepada para sahabat : Tahukah kamu siapakah orang yang muflis ? Sahabat menjawab : Orang yang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan juga tidak mempunyai harta. Lalu Nabi saw bersabda : Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi semasa di dunia dia pernah memaki sifulan, menumpahkan darah sifulan dan pernah memukul sifulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitulah seterusnya terhadap orang lain yang pernah dianiayainya sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiyaan belum lagi habis, maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniayaitu lalu dibebankan kepada orang tersebut, sehinggalah ia dicampak ke dalam api neraka. (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini mengingatkan kita tentang hubungan kita dengan makhluk. Jika dosa yang kita lakukan kepada manusia semasa di dunia tidak diselesaikan di atas dunia, perkara ini akan dibawa di depan Allah SWT di Padang Mahsyar untuk di adili. Di akhirat, manusia tidak boleh menebus dosa yang dilakukan dengan wang ringgit kerana wang ringgit tidak berguna lagi pada masa itu. Apa yang menjadi modal untuk menebus sesuatu dosa dengan manusia ialah segala amal soleh yang dilakukan semasa di dunia.

Menurut Imam Al-Qurtubi rhm dalam kitabnya At-Tazkirah menyatakan : Sekiranya seseorang lelaki pada hari Qiamat membawa pahala amal ibadah sama seperti pahala amal ibadah 70 orang para Nabi, sekiranya dia ada hutang dengan manusia walau sekadar 5 sen, dia tetap tidak akan masuk syurga selagi hutangnya itu tidak dilangsaikan. Menurut Imam Al-Qurtubi lagi : 5 sen hutang yang tidak dibayar semasa di dunia bersamaan dengan 700 kali solat fardhu yang diterima oleh Allah SWT hendaklah diberikan kepada mereka yang menuntut hutang. Ketahuilah, 700 kali solat fardhu yang diterima oleh Allah SWT bersamaan solat yang dilakukan selama 140 hari.

Hadis kedua yang saya bacakan ialah,

قال رسول الله (ص) : إن الله يرضى لكم ثلاثا ويكره لكم ثلاثا فيرضى لكم أن تعبدوه ولا تشركوا به شيئا وأن تعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا ويكره لكم قيل وقال وكثرة السوأل وإضاعة المال

Maksudnya : Nabi saw bersabda : Sesungguhnya Allah SWT merestui kamu tentang 3 perkara, dan Allah membenci kamu juga tentang 3 perkara. Tiga perkara yang direstui oleh Allah SWT ialah : Sekiranya kamu beribadat kepada Allah, kamu beribadat kepadaNya semata-mata (bukan kerana yang lain) dan kamu sekali-kali tidak menyengutukan Allah SWT dengan sesuatu pun. Dan kamu berpegang teguh dengan tali Allah, dan kamu semua tidak berpecah belah. Allah SWT membenci kamu tiga perkara : Orang yang suka keji mengeji , orang yang suka banyak bertanya dan orang yang suka membazirkan harta. (HR Muslim)

Dalam hadis ini dapat kita fahami bahawa ada 3 perkara yang disukai Allah SWT :

1. Allah SWT suka kepada mana-mana hambaNya yang melakukan ibadah kepadaNya dengan ikhlas serta tidak mensyirikkanNya.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Qudsi yang mafhumnya berbunyi,

“ Akulah Allah (Tuhan) yang Maha Kaya, Aku tidak perlu kepada sekutu-sekutu. Siapa yang melakukan sesuatu amalan sambil menyengutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku tinggalkan ia dengan dengan sekutu-sekutunya”.

2. Allah SWT suka kepada mereka yang berpegang teguh dengan Agama Allah.

Jika melihat kisah Nabi-Nabi terdahulu, kita dapat melihat bagimana mereka berpegang teguh dengan Agama Allah SWT. Nabi Nuh a.s contohnya, ketika baginda dan pengikut-pengikutnya membina kapal di atas padang pasir yang kering kontang tidak berair, orang-orang kafir mempersoalkan, “why do you still do it…”, akhirnya golongan inilah yang selamat dunia dan akhirat.

Sebab itu janganlah merasa bosan melakukan kerja-kerja baik dalam hendak menegakkan agama Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan (kepada kamu) sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa-Nya yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya)". (As-Saff 010-011)

Saya katakan kepada jemaah surau, kita sekarang ini sebenarnya sedang “membina bahtera” di tengah-tengah masyarakat yang majoritinya tidak suka kepada ajaran agama. Surau dan masjid lengang daripada jemaah. Jangan kita merasa sedih hati apabila kita melihat kita seolah-olah terasing dalam sebuah masyarakat yang majoritinya tidak suka melakukan kebaikan. Ingatlah janji-janji Allah SWT, walau apa pun yang berlaku, kita tetap istiqamah menjadi Ansarullah pembantu Agama Allah

3. Allah SWT suka hamba-hambanya yang hidup bersatu padu, tidak berpecah belah

Kalau kita lihat ajaran Islam semuanya memupuk perpaduan. Kita di suruh solat berjemaah, tujuannya supaya kita bersatu. Kita di suruh bayar zakat supaya orang kaya dan miskin hidup tolong menolong. Ada hikmah Allah SWT cipta orang-orang miskin supaya orang kaya dapat sedikit mengumpulkan pahala apabila membantu mereka. Bagi orang miskin janganlah bersangka buruk dengan Allah SWT, kerana di akhirat orang yang paling cepat masuk ke syurga ialah orang miskin (dengan syarat jika beramal soleh). Kemudian di suruh untuk mengerjakan Haji, tidak lain Haji adalah symbol perpaduan umat Islam di seluruh dunia.

Dalam hadis ini juga Nabi saw menerangkan yang Allah SWT benci kepada tiga perkara.

1. Kata mengata / caci mencaci

Menurut Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, punca kata-mengata dan caci mencaci tidak lain kerana perasaan marah yang meluap-luap kepada seseorang. Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda,

“Apabila seseorang kamu sedang marah maka hendaklah kamu diam” (HR Ahmad)

Sabda Rasulullah saw lagi,

Apabila ada orang yang mencaci kamu tentang apa yang dia ketahui tentang diri kamu, maka janganlah kamu membalas caciannya dengan mencaci apa yang kamu tahu tentang dirinya kerana pahalanya untuk kamu dan kecelakaan untuk dia. (HR Ad-Dailami)

2. Banyak soal

Allah SWT membenci orang yang banyak bertanya yang menyebabkan sesuatu perkara itu menjadi sukar atau pertanyaan yang tidak berpijak di bumi nyata atau pertanyaan yang bertujuan hendak merendah-rendahkan orang lain atau pertanyaan untuk menguji ilmu seseorang atau pertanyaan sesuatu perkara yang sudah di ketahui jawapannya, atau pertanyaan untuk mengintip hal rang alain dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw,

دعوني ما تركتكم إنما أهلك من كان قبلكم كثرة سؤالهم واختلافهم على أنبيائهم

Maksudnya : Tinggalkanlah (elakkan dari bertanyakan kepadaku) sesuatu yang telah aku tinggalkan (terangkan) kepada kamu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu disebabkan mereka banyak bertanya dan melakukan penyelewengan terhadap ajaran nabi-nabi mereka.

Walaubagaimanapun larangan ini bukanlah merangkumi semua bentuk pertanyaan. Ada pertanyaan yang perlu di tanya. Sebagai contoh, pertanyaan daripada seseorang yang jahil tentang hukum agama seperti meminta penjelasan berkaitan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah, pertanyaan kerana ingin mengetahui sesuatu ilmu dari murid yang kurang faham daripada gurunya, pertanyaan orang yang sedang bermusafir mengenai arah jalan, pertanyaan pihak berkuasa dalam penyiasatan kes jenayah dan sebagainya.

Firman Allah SWT,
Maksudnya : Maka itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui . (An-Nahl 043)

3. Membazir harta

Harta adalah nikmat dan anugerah Allah SWT. Membelanjakan harta dengan tidak kena pada tempatnya adalah salah dan satu perbuatan yang dikeji oleh syarak. Sabda Rasulullah saw,

Siapa yang berjimat cermat, tentu Allah SWT memberikan kekayaan kepadanya. Dan sesiapa yang boros, Allah SWT akan menjadikannya miskin, Dan siapa yang merendah diri, tentu Allah akan mengangkat darjatnay dan sesiapa yang bongkak atau sombong nescaya Allah SWT akan memusuhinya.

Biar pun Islam suruh kita berjimat cermat, tetapi tidaklah sampai ke peringkat bakhil untuk membelanjakan harta. Jadi, langkah terbaik ialah bersederhana.

Demikianlah serba sedikit point-point penting yang saya sampaikan kepada jemaah surau Jiboi. Moga-moga Allah SWT memberi ganjaran pahala di atas segala usaha kecil ini. Insya Allah.

Friday, June 12, 2009

Kisah lembu betina


"Tiit...tiit", handphone saya berbunyi mengikut rentak irama sebuah nasyid nyayian kumpulan In-Team (Saya tidak ingat akan judulnya). "Ini Ustaz Hishamuddin ke ?", tanya si pemanggil. "Ya", jawab saya sambil cuba mencari lot parking untuk bersarapan pagi di pekan Mantin.

Memang kebiasaannya sebelum ke tempat kerja, saya akan singgah di Pekan Mantin untuk bersarapan pagi dengan segelas teh tarik dan tiga biji kuih. "Saya Haji Miftar dari Desa Beringin", si pemanggil memperkenalkan dirinya, kemudian terus bertanya, "Ustaz free tak malam ni...?".

Sambil menarik hand break setelah mendapat lot parking yang sesuai saya terus menjawab ringkas, "Insya Allah free".

"Alhamdulillah, kalau macam tu saya ingin menjemput Ustaz untuk menyampaikan kuliah di Surau saya di Taman Desa Beringin, harap-harap Ustaz tidak keberatan", pelawa Haji Miftar dengan nada gembira.

"Insya Allah", jawab saya memberi persetujuan. Dalam hati saya, inilah pertama kali saya di undang menyampaikan kuliah pada hari Khamis malam Jumaat. Sedangkan pada kebiasaannya jemaah surau atau masjid di tempat saya akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil pada malam tersebut. Langkah Surau Taman Beringin mengadakan majlis ilmu pada hari Khamis malam Jumaat adalah satu pembaharuan !.

Balik dari sekolah sekitar jam 2.30 petang, saya mula berfikir apakah tajuk yang hendak di sampaikan kepada sidang jemaah malam ini. Saya membelek nota-nota lama yang pernah saya kuliahkan di merata-rata surau dan masjid sebelum ini, lalu saya tertarik dengan satu tajuk "Kisah Lembu Betina" berdasarkan surah al-Baaqarah ayat 67-71.

Tafsir Al-Quran
Al-Baqarah 67-71

Firman Allah SWT

"Dan ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya, Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina . Mereka berkata : Adakah engkau hendak mempersenda-sendakan kami ? Nabi Musa menjawab : Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (melakukan sesuatu yang tidak patut.(67)

Menurut Ibnu Sirin yang meriwayatkan daripada Ubaidah katanya : Di zaman Bani Israil dahulu ada seorang lelaki tua yang mandul, sedangkan dia mempunyai harta yang banyak. Satu-satunya yang menjadi pewaris hartanya ialah anak saudaranya. Oleh kerana anak saudaranya itu mempunyai perasaan tamak dan mahukan harta itu dengan segera, lalu di bunuh bapa saudaranya itu dan mayatnya di letakkan di hadapan pintu rumah seorang lelaki.

Apabila menjelang pagi, anak saudara ini (berlakon) bersungguh-sungguh meratapi kematian bapa saudaranya dan bersungguh-sungguh menuduh lelaki itulah yang terlibat membunuh bapa saudara yang dikasihinya. Maka hampir-hampir berlaku pergaduhan dan pembunuhan disebabkan tuduh menuduh. Lalu salah seorang di kalangan Bani Israil itu mencadangkan kes ini di bawa ke hadapan Nabi Musa a.s. Maka Nabi Musa a.s pun berdoa kepada Allah SWT. Hasilnya Allah SWT memerintahkan mereka supaya menyembelih seekor lembu betina.

Perintah ini menyebabkan mereka merasa terhina seolah-oleh Nabi Musa a.s mahu mengejek-ngejek mereka yang sebelum ini pernah menyembah patung lembu. Malah ada di kalangan mereka mengatakan idea itu bodoh dan tidak masuk akal, kerana yang mereka hendak selesaikan sekarang ialah masalah pembunuhan. Apa kaitan sembelih lembu dengan kes pembunuhan ? Bodohkah kamu wahai Musa ? Jawab Nabi Musa a.s,


"Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (melakukan sesuatu yang tidak patut."

Nabi Musa a.s menegaskan, dia bukanlah orang yang bodoh tetapi dia hanya menjalankan perintah Allah. Apabila Allah SWT memerintahkan untuk sembelih seekor lembu betina, sembelih sahajalah. Adapun rahsia di sebalik itu sembelihan itu hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Oleh kerana perasaan ego dan tidak puas hati dengan jawapan Nabi Musa a.s mereka bertanya lagi mengenai sifat lembu itu berapa umurnya, apa warnanya dan adakah lembu itu sudah berpengalaman melakukan kerja-kerja membajak ? Pertanyaan mereka yang bukan-bukan ini dirakam dalam ayat-ayat yang seterusnya.

Mereka berkata pula : "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu ? Nabi Musa menjawab : Bahawasanya (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; Maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya"(68) Mereka berkata : Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan kepada kami apakah warnanya ? Nabi Musa menjawab : Sesungguhnya Allah SWT memberitahu lembu itu ialah lembu betina bewarna kuning (bersangatan kuningnya) – menggirangkan hati orang yang melihatnya (69)Mereka berkata : Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami supaya diterangkan kepada kami lembu apakah itu ? Kerana kami ragu-ragu tentang lembu itu dan insya Allah tentu kami dapat pertunjuk (untuk mencarinya) (70)Nabi Musa berkata : Sesungguhnya Allah memberitahu bahawa lembu itu ialah lembu yang tidak pernah digunakan bekerja seperti membajak bumi dan tidak pernah digunakan mengangkut air untuk menyiram tanaman, sihat, tiada berbelang sedikit pun. Mereka berkata : Sekarang barulah jelas engkau terangkan kepada kami dengan sebenarnya. Maka mereka menyembelih lembu tersebut dan hampir sahaja mereka tidak mampu melaksanakannya. (71)

Kesimpulannya berdasarkan ayat 68 hingga 71 Allah SWT menyatakan bahawa lembu betina itu umurnya tidak tua dan tidak muda (sedang-sedang) dan warnanya mestilah warna kuning yang menarik perhatian orang yang melihatnya. Selain itu lembu itu juga mestilah lembu yang tidak pernah digunakan untuk membajak dan tidak pernah pula digunakan untuk mengangkat air. Lembu itu hendaklah lembu yang sihat tiada kecacatan tidak berbelang pada badannya. Mendengar sahaja ciri-ciri lembu itu, hampir sahaja mereka gagal mencarinya.

Sedangkan kalau mereka akur sahaja dengan perintah Allah SWT pada ayat 67 tadi maka mudah bagi mereka mencari lembu tersebut. Tetapi oleh kerana perasaan ego dan ingin merendah-rendahkan Nabi Musa, akhirnya soalan-soalan yang mereka tujukan kepada Nabi Musa itu memerangkap diri mereka sendiri.

Setelah berusah payah mencari lembu yang dimaksudkan, akhirnya mereka berjaya memperolehinya daripada seorang lelaki. Menurut satu riwayat, di zaman Bani Israil dahulu ada seorang lelaki tua yang solih, mempunyai seorang anak yang masih kecil dan seekor lembu betina yang dipelihara dalam sebuah hutan. Sebelum meninggal dunia lelaki tua ini telah berwasiat kepada isterinya supaya anak lembu itu nanti hendaklah di berikan kepada anak lelakinya itu setelah dewasa kelak.

Setelah anak lelaki ini dewasa, maka ibunya telah menyampaikan wasiat arwah ayahnya. Wahai anakku, sewaktu ayahmu masih hidup dia ada membela seekor lembu di dalam sebuah hutan. Ayahmu telah berwasiat kepadaku agar lembu itu diberikan kepadamu setelah engkau dewasa. Sekiranya engkau mahukan lembu itu, pergilah engkau di hutan tersebut serulah nama Allah yakni tuhan kepada Nabi Ibrahim, Tuhan kepada Nabi Ishak dan juga Tuhan kepada Nabi Yaakob. Insya Allah lembu itu pasti akan datang kepadamu.

Menuruti perintah ibunya, anak muda ini pergilah ke hutan dan dia pun menyeru nama Allah Tuhan Nabi Ibrahim, Tuhan Nabi Ishak dan juga Tuhan Nabi Yaakob sebagaimana yang diajar oleh ibunya. Setelah itu datanglah lembu tersebut kepadanya lalu di bawanya pulang dan ditunjukkan kepada ibunya.

Kata ibunya, "Wahai anakku, sekarang engkau juallah lembu ini dengan harga tiga dinar (mengikut harga pasaran pada waktu itu). Tetapi ingat, sekiranya ada pembeli yang hendak membeli lembu ini dengan harga selain daripada harga tersebut, janganlah engkau menjualkannya melainkan hendaklah engkau berunding dengan aku terlebih dahulu ".

Semasa di pasar, ada seorang lelaki yang tertarik dan ingin membeli lembu tersebut dengan harga yang lebih tinggi iaitu sebanyak enam dinar. Anak muda ini menolak pelawaan tersebut kerana sudah berjanji dengan ibunya, bahawa dia tidak akan menjual dengan harga selain daripada tiga dinar melainkan setelah berunding dengan ibunya terlebih dahulu.

Setelah bertemu ibunya, ibunya bersetuju agar menjual lembu itu dengan harga enam dinar. Sekali lagi ibunya berpesan jika ada harga lain selain daripada enam dinar, janganlah engkau menjualkannya melainkan hendaklah engkau berunding dengan aku terlebih dahulu. Kembalilah pemuda ini ke pasar dan bertemu semula lelaki yang sama dan bersetuju untuk menjual dengan harga enam dinar.

Namun lelaki ini membuat tawaran yang lebih tinggi pula iaitu bersetuju untuk membeli lembu tersebut dengan harga sebanyak 12 dinar, dengan syarat pemuda itu jangan berunding dengan ibunya. Permintaan lelaki ini tidak dipersetujui oleh pemuda ini. Lalu dia pulang semula ke rumah memohon persetujuan daripada ibunya. Kata ibunya, Wahai anakku, tahukah kamu siapakah lelaki yang datang hendak membeli tersebut ? Itulah dia malaikat, jika kamu kembali ke pasar nanti sampaikanlah salam ibu kepadanya, dan tanyalah lelaki itu sama ada lembu ini boleh dijual atau tidak.

Setelah pergi ke pasar buat kali ketiga dan menemui lelaki tersebut, lelaki itu berpesan kepada pemuda, Wahai pemuda, sesungguhnya di kalangan Bani Israil telah berlaku satu pembunuhan dan untuk mengetahui siapakah yang membunuhnya, maka jawapannya akan bergantung kepada lembu ini. Maka janganlah engkau jual lembu ini kecuali dengan harga emas sepenuh kulitnya. Satu hari nanti pasti Nabi Musa datang menemuimu dan membeli lembu ini. .

Maka benarlah kata lelaki tersebut, tidak lama kemudian datanglah Nabi Musa membeli lembu itu mengikut harga yang ditawarkan. Setelah itu Nabi Musa a.s menyembelih lembu tersebut dan ekornya disebat kepada jasad simati. Dengan izin Allah SWT, bangkitlah mayat tersebut seraya berkata : Sesungguhnya yang membunuh aku ialah anak saudaraku sendiri. Dia membunuh aku kerana hendak mendapatkan harta aku dengan segera. Setelah menerangkan siapa pembunuhnya maka mayat itu pun dimatikan semula oleh Allah SWT. Kaum Bani Israil kemudiannya menangkap anak saudara lelaki itu lalu dihukum qisas iaitu bunuh.

Ada beberapa pengajaran daripada ayat-ayat di atas. Pertama, ada perintah Allah SWT dalam Al-Quran kita dapat memahami rahsia dan tujuannya seperti perintah zakat yang bertujuan membantu orang-orang fakir miskin, perintah puasa untuk melatih diri kita supaya bersifat sabar dan sebagainya. Tetapi kadang-kadang ada perintah Allah SWT yang kita tidak tahu apa rahsianya seperti mengapa Allah SWT mengharamkan makan daging babi ? Mengapa setiap solat mesti baca surah al-Fatihah ? Mengapa puasa itu di wajibkan di bulan Ramadhan ? Mengapa anggota badan yang terkena najis anjing hendaklah di basuh sebanyak tujuh kali, dan satu kali mesti di basuh dengan air lumpur ? Maka perintah-perintah seperti ini tidak perlu kita persoalkan kerana rahsianya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Justeru, sebagai hamba Allah, wajib kita patuh secara total (Ta’abbudi).

Pengajaran kedua daripada ayat ini ialah Allah SWT membenci orang yang banyak bertanya yang menyebabkan sesuatu perkara itu menjadi sukar atau pertanyaan yang tidak berpijak di bumi nyata atau pertanyaan yang bertujuan hendak merendah-rendahkan orang lain atau pertanyaan untuk menguji ilmu seseorang atau pertanyaan sesuatu perkara yang sudah di ketahui jawapannya, atau pertanyaan untuk mengintip hal rang alain dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw,

دعوني ما تركتكم إنما أهلك من كان قبلكم كثرة سؤالهم واختلافهم على أنبيائهم

Maksudnya : Tinggalkanlah (elakkan dari bertanyakan kepadaku) sesuatu yang telah aku tinggalkan (terangkan) kepada kamu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu disebabkan mereka banyak bertanya dan melakukan penyelewengan terhadap ajaran nabi-nabi mereka.

Walaubagaimanapun larangan ini bukanlah merangkumi semua bentuk pertanyaan. Ada pertanyaan yang perlu di tanya. Sebagai contoh, pertanyaan daripada seseorang yang jahil tentang hukum agama seperti meminta penjelasan berkaitan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah, pertanyaan kerana ingin mengetahui sesuatu ilmu dari murid yang kurang faham daripada gurunya, pertanyaan orang yang sedang bermusafir mengenai arah jalan, pertanyaan pihak berkuasa dalam penyiasatan kes jenayah dan sebagainya.

Firman Allah SWT,

"Maka itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui" (An-Nahl 043)

Pengajaran ketiga ialah kisah seorang yang tamak akan harta sehingga sanggup buat apa sahaja walaupun dengan cara membunuh, kemudian berlakon menjadi orang baik. Watak ini akan sentiasa berada di sekeliling kita. Yang membezakan ialah pelakon-pelakonnya.

Satu lagi pengajaran ialah kisah anak yang jujur, lurus dan taat terhadap ibunya. Watak ini juga akan sentiasa wujud di hadapan kita di sepanjang zaman. Hasilnya, di dunia lagi orang yang baik seperti ini akan dilimpahkan rezki yang luas oleh Allah SWT . Rasulullah saw, “Berbaktilah kamu kepada kedua ibu bapamu, nescaya anak-anak kamu pula akan berbakti kepada kamu”.

Wallahualam.

p/s :- Nota ini telah saya kuliahkan di Surau Taman Beringin pada hari Khamis malam Jumaat 11/6/2009. Terima kasih kepada pihak Surau yang telah menghidangkan saya kuih ketayap dan karipap pada malam tersebut.

Thursday, June 11, 2009

Asslamualaikum...pembuka bicara

Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar anak murid di sekolah akhirnya saya berjaya memiliki blog sendiri. Insya Allah blog ini akan saya gunakan untuk berkongsi idea dengan pembaca budiman di samping menyebarkan dakwah melalui tulisan. Saya juga mengharapkan komen dan cadangan yang bernas daripada anda semua.

Saudara saudari budiman,

Malam tadi saya menyampaikan kuliah Maghrib di Majid Jame' Ampangan, Seremban. Memang setiap hari Rabu minggu kedua dan keempat adalah giliran saya menyampaikan kuliah di Masjid ini. Kehadiran jemaah pada malam tadi sekitar 40 hingga ke 50 orang. Boleh di katakan orang yang sama mengikuti kuliah saya sebelum ini. Seperti biasa sebelum kuliah, saya akan mengedarkan nota kuliah kepada sidang jemaah.

Cuma malam tadi, saya memberi sedikit teguran kepada segelintir jemaah yang tidak menghargai nota yang di edarkan kepada mereka. Ada nota yang saya edarkan, mereka tinggalkan di tingkap masjid. Alangkah tidak beradabnya jemaah tersebut ! Saya mengingatkan mereka, sekiranya mereka yang datang sekali sekala ke kuliah saya, tidak usahlah mengambil nota yang diberi. Dalam keadaan jumlah cetakkan yang terhad eloklah nota itu di utamakan kepada mereka yang sentiasa follow kuliah saya di Masjid ini.

Tajuk kuliah pada malam tadi bersekitar kepada tafsir Surah Al-Baqarah ayat 102. Saya mengupas tajuk ini berdasarkan kepada pembacaan saya daripada kitab Tafsir Al-Azhar (Tulisan HAMKA) di adun bersama kitab Tafsir Ibnu Kathir dan juga Ahmad Sonhadji. Memang 3 atau 4 hari sebelum kuliah saya akan membaca kitab-kitab tafsir ini, lalu saya turunkan point-point penting untuk saya kongsi bersama jemaaah melalui nota kuliah yang mudah di fahami.

Surah Al-Baqarah ayat 102 berkisar tentang tuduhan orang-orang Yahudi ke atas Nabi Sulaiman a.s. Mereka mengatakan Nabi Sulaiman telah kafir. Lalu Allah SWT menafikan tuduhan tersebut, yang sebenarnya merekalah yang kafir kerana mengikut ajaran Syaitan yang berupa ilmu sihir.

Saya memperdalami huraian kuliah dengan mengingatkan jemaah tentang bahaya ilmu sihir. Jangan sekali-kali terlibat dengan ilmu ini apatah lagi berdamping dengan orang yang memiliki ilmu ini. Tegas saya, ilmu sihir ialah ilmu yang diperolehi daripada Syaitan. Justeru siapa yang mendampingi ilmu ini, sekaligus mereka berdamping dengan syaitan.

Saya juga menghuraikan maksud Harut dan Marut dalam surah tersebut. Pelbagai tafsiran para ulama siapakah Harut dan Marut. Ada yang tidak terkecuali mentafsirkan Harut dan Marut melalui versi Israeiliyat. Saya bersetuju dengan tafsiran HAMKA yang mentafsirkan kalimah MA pada ayat Wa Ma Un Zila 'Alal Malakain kepada pengertian 'Tidak'. Justeru tafsirannya ialah "...Tidak di turunkan kepada dua Malaikat (Harut dan Marut) di negeri Babil (Babilon) ...". Dengan kata lain Allah SWT tidak menurunkan ilmu sihir kepada malaikatNya yang bernama Harut dan Marut.

Di akhir kuliah saya menceritakan pengalaman saya bertemu dengan Dr. Isa Selamat (penulis buku-buku Agama)semasa di Mina ketika menuaikan fardhu Haji beberapa bulan yang lepas. Beliau berkongsi pengalaman dengan saya betapa peritnya kesakitan yang dialami akibat terkena sihir. Namun satu perkara yang misteri (belum terjawab) apabila beliau menceritakan kepada saya bagaimana satu suara ghaib yang sentiasa membisikkan kata-kata semangat dan bimbingan rohani kepadanya sehingga beliau berjaya melepaskan diri dari kuasa sihir tersebut. Beliau mengajukan solan kepada saya " Suara siapakah itu Ustaz.... ?". Saya menggeleng kepala tidak boleh menjawabnya.

Sebelum saya menoktahkan kuliah, saya mengingatkan jemaah agar perlu mengamalkan ayat-ayat suci seperti Surah Al-Falaaq dan surah An-Naas sebelum tidur. Jadikan amalan tersebut sebagai rutin, Insya Allah, kita akan dilindungi Allah SWT daripada bahaya sihir.

Wassalam.