Monday, August 31, 2009

Rahmat iman kepada manusia

KEHADIRAN Nabi Muhammad saw selain membawa khabar gembira dan menakutkan kepada umat manusia, baginda juga diutus untuk membawa rahmat kepada sekelian alam. Hal ini terkandung dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Tidak Aku utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat kepada sekelian alam.” – (Surah al-Anbia: ayat 107).

Antara rahmat terbesar yang dibawa baginda kepada umatnya ialah rahmat iman. Lebih 1,400 tahun lalu, rahmat ini berjaya mengeluarkan masyarakat Arab Jahiliah daripada gelombang kehidupan yang penuh kesesatan kepada jalan hidup disinari kebenaran, keadilan dan keharmonian. Rahmat ini juga mengikat tali persaudaraan kabilah Arab yang sebelumnya adalah bangsa yang sering bersengketa kemudian apabila dipancarkan cahaya iman ke dalam dada mereka, akhirnya mereka menjadi bangsa bermaruah, mempunyai jati diri, bersatu dan berpadu.

Gambaran ini dijelaskan dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekelian dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dulu telah berada di tepi jurang api neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahnya”. – (Surah Ali Imran, ayat 103).

Ketika baginda saw berhijrah ke Madinah, institusi utama yang baginda bina ialah masjid. Tujuan utama ialah untuk mendidik, mentarbiah dan mengisi dada sahabat agar mereka memiliki iman yang mantap serta kamil (sempurna). Misi Rasulullah saw ini berjaya dengan cemerlang apabila generasi sahabat tanpa banyak soal dan bicara sanggup mengangkat senjata mempertaruhkan nyawa dalam peperangan Badar. Sedangkan, ada antara mereka baru saja memeluk Islam.

Iman ertinya aman dan tenteram, manakala dari sudut ilmu tauhid diistilahkan sebagai berikrar dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan membuktikannya dengan amalan segala ajaran Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Ringkasnya, iman mengandungi tiga unsur utama iaitu ucapan lisan, keyakinan hati serta pelaksanaan amalan dengan anggota badan.

Ketiga-tiga unsur ini perlu digerakkan serentak, seiring dan bersepadu. Justeru, tidak boleh jika salah satu daripadanya dipinggirkan atau ketinggalan. Untuk mudah difahami, seseorang itu tidak dikatakan sempurna imannya jika lidahnya saja menyebut: “Tiada Tuhan melainkan Allah”, tetapi hatinya seolah-olah tidak terasa kewujudan dan kebesaran Allah sebagai Tuhan yang Maha Pencipta. Segala amal ibadah atau apa saja kebaikan yang dilakukan bukan kerana Allah tetapi bertujuan untuk mendapat penghormatan makhluk atau mungkin juga kerana terpaksa semata-mata. Golongan ini bukan saja amalannya tidak bernilai di sisi Allah, malah bakal mendapat kecelakaan daripada-Nya seperti firman Allah bermaksud: “Maka kecelakaan besar bagi orang yang mengerjakan solat (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga) bagi orang yang berkeadaan riak (dalam ibadat dan bawaannya)”. – (Surah Al-Maun: ayat 4-6).

Begitu juga tidak sempurna iman seseorang itu apabila amalan kehidupannya jauh menyimpang daripada panduan dan peraturan Allah swt. Malah, lebih buruk lagi, jika seseorang itu mengaku beriman, tetapi seolah-olah tidak takut kepada balasan dosa dan azab neraka, apabila melakukan maksiat dan kemungkaran secara terus-menerus tanpa henti, sekali gus melampaui batas sempadan (hudud) yang ditetapkan Allah. Golongan ini dianggap paling hina di sisinya. Firman Allah bermaksud: “Kemudian, Kami kembalikannya kepada serendah-rendah peringkat orang yang rendah. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.” – (Surah At-Tin: ayat 5-6).

Tidak boleh dinafikan, betapa rahmatnya iman itu kerana ia adalah pencetus utama atau pendorong seseorang untuk melakukan kebaikan. Bagi mereka yang mendapat hilawatul iman (kemanisan iman), rahmat kebaikan itu bukan saja dinikmati dirinya tetapi turut dirasai masyarakat dan negara. Sebagai contoh, iman mendorong seseorang Muslim mengerjakan ibadat solat, sedangkan ibadat solat jika ditunaikan secara sempurna, mampu mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran. Tidak melakukan kemungkaran itu bukan saja baik kepada individu itu tetapi juga kepada masyarakat dan negara. Dalam keluarga, apabila bapa memelihara amanah solat dengan baik, secara tidak langsung akan melahirkan sifat amanah pada dirinya untuk memelihara keluarga.

Apabila keluarga dapat dipelihara dengan baik, Insya-Allah akan lahir masyarakat sejahtera yang dapat menyumbang kepada keharmonian negara. Negara yang baik, aman dan sentosa akan mencapai maksud “baldatun toiyibah warabbun ghafur (negara yang baik serta mendapat keampunan Tuhan). Contoh lain, iman mendorong seseorang itu mengeluarkan zakat. Ibadah zakat bukan saja membawa keberkatan serta menyuburkan rezeki kepada orang yang mengeluarkannya, malah lebih daripada itu ia memupuk perasaan mahabbah (kasih sayang) antara golongan berada dengan golongan tidak berada. Zakat melahirkan individu yang ada semangat rajin berusaha, berani berdaya saing, inovatif dan produktif.

Ibadat puasa, ia bukan saja memberi ‘pulangan lumayan’ dari sudut penyihatan badan dan fizikal, tetapi turut menyemai sikap sabar dalam diri seseorang. Sikap sabar dan toleransi, jika diamalkan dalam hidup bermasyarakat akan melahirkan kerukunan dan keharmonian dalam sesebuah negara.

Begitu juga dengan amalan haji. Amalan ini lambang perpaduan umat sejagat yang didorong oleh perasaan iman dan takwa kepada Allah swt. lbadat haji jika dilaksanakan secara betul dan sempurna mampu melahirkan perasaan insaf bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah, tiada yang membezakan mereka, melainkan ketakwaan kepadanya. Semua ibadat, tidak kira sama ada kecil atau besar, apabila iman mendorong atau mencetus seseorang untuk melakukannya, nescaya ia akan memberi input yang baik (kesan positif) kepada semua pihak.

Turun naiknya darjat keimanan seseorang itu bergantung kepada orang yang memilikinya. Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Berpagi-pagi seorang Mukmin, petang dia kafir, petang Mukmin, malamnya kafir, malam Mukmin siang atau subuh kafir “. Berikutan rahmat iman itu sungguh bernilai dan berharga, ia perlu dipelihara dan diperkasakan. lbarat bateri apabila lemah, ia tidak mampu menyumbangkan alat yang digunakan. Iman juga perlu ‘dicas’ atau diperbaharui dari semasa ke semasa sebagaimana Rasulullah saw sering mengajak sahabat memperbaharui iman dengan sabdanya bermaksud: ‘Marilah kita duduk sebentar untuk memperbaharui iman kita. Bertanya sahabat: Bagaimana cara hendak memperbaharui iman kita? Jawab Rasulullah, dengan mengucap kalimah Lailahaillallah.’

Selain mengucap kalimah Lailahaillallah, iman juga boleh dipelihara dan dipertingkatkan dengan cara memperbanyakkan amalan sunat secara mulazamah (berterusan) dan mujahadah (bersungguh-sungguh). Amalan seperti membaca al- Quran, berzikir, bertasbih, bangun mengerjakan solat sunat pada waktu malam, bertafakur, memerhati dan meneliti kebesaran Allah, berpuasa sunat, menghampirkan diri dengan ulama, di samping tidak sekali-kali meminggirkan amalan wajib yang diperintahkan, Insya Allah boleh membantu ke arah itu. Jika rahmat iman ini berjaya dipelihara dan disuburkan, ia bukan saja mampu membentuk keunggulan peribadi seseorang insan, malah segala masalah sosial atau apa saja yang membelenggu masyarakat, negara dan dunia pada hari ini dapat dirungkaikan. Jika ini berlaku, nescaya sejarah kegemilangan Islam akan pasti berulang.

Disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 hb Julai 2001

Sunday, August 30, 2009

Kisah seorang pakcik..

Semasa saya di Mina ketika menunaikan fardhu Haji pada bulan Disember tahun 2008 yang lalu, saya berkenalan dengan seorang pakcik dalam lingkungan usia 70 an. Beliau berasal dari Melaka. Pemergiannya ke Mekah menunaikan fardhu Haji bersama isteri tercinta adalah atas biayai salah seorang daripada anaknya yang berjaya dalam perniagaan.

“Pakcik tak sangka boleh menunaikan fardhu Haji tahun ini kerana pakcik orang susah”, katanya memulakan cerita.

“Masa muda-muda dulu pakcik bekerja sebagai kelindan lori. Dengan gaji yang tidak seberapa itu pakcik membesarkan anak-anak yang jumlahnya seramai sembilan orang. Pakcik masih ingat, sekiranya tidak cukup dengan wang yang ada, isteri pakcik akan cuba meminjam dari adik beradik atau jiran-jiran yang terdekat. Sampaikan ada yang menyindir isteri pakcik, kalau engkau tahu laki kau gaji kecik, yang engkau beranak ramai-ramai siapa suruh? Demikianlah penghinaan yang pakcik terima dari saudara mara dan jiran terdekat. Sampai ada yang memboikot, tidak mahu menjemput pakcik sekeluarga datang ke kenduri kendara kerana bimbang pakcik sekeluarga akan menghabiskan lauk pauk mereka”, tambahnya lagi sambil menitiskan air mata.

Saya tekun mendengar kisah pakcik ini. Mungkin kisah ini boleh saya jadikan iktibar kepada diri dan sampaikan pula kepada orang lain apabila balik ke Malaysia nanti supaya sama-sama mendapat manfaat daripadanya. Setelah mengesat air matanya, pakcik ini menyambung ceritanya lagi,

“ Bila anak-anak pakcik sudah dewasa dan bekerja, pakcik tidak pernah mendesak mereka untuk menghulurkan wang kepada pakcik. Sungguh pun begitu, setiap bulan mereka tidak pernah melupakan pakcik. Alhamdulillah, dalam keadaan gaji mereka yang tidak seberapa, maklumlah ada yang bekerja sebagai kerani, cikgu sekolah, posmen dan askar tetapi di hujung bulan mereka akan memasukkan dalam akaun pakcik RM 50.00, ada yang beri RM 100.00 dan ada yang beri RM 150.00 ikut kemampuan masing-masing. Manakala anak-anak perempuan, pakcik faham mereka tidak bekerja, mereka sendiri pun berada di bawah tanggungan suami masing-masing. Dengan kiriman duit daripada anak-anak yang tidak seberapa ini, mana mungkin pakcik boleh mengumpul wang untuk menunaikan fardhu haji apatah lagi melalui pakej swasta seperti ini ”, ceritanya sambil menahan sebak di dada.

“Jadi…, macamana pakcik boleh pergi Haji ?”, tanya saya pelik.

“Semuanya bermula dengan anak pakcik yang nombor empat. Dia bersara dari askar dan mendapat duit gratuiti sebanyak puluhan ribu. Kemudian dia balik ke kampung dan berterus terang dengan pakcik , yang dia tidak boleh beri wang itu kepada pakcik kerana katanya mahu jadikan wang itu sebagai modal untuk berniaga. Jadi dia memohon supaya pakcik dan makcik doakan kejayaannya dalam perniagaan ”, cerita pakcik ini.

“Alhamdulillah tidak sampai dua tahun dia berniaga, dengan berkat doa pakcik suami isteri dan berkat kesungguhannya dalam perniagaan, anak pakcik ini mendapat keuntungan besar dalam perniagaannya. Bila dia untung dan kaya raya, dia balik ke kampung dan jemput pakcik dan makcik untuk tinggal di rumahnya di Kuala Lumpur. Alasannya, rumah di kampung akan di robohkan dan diganti dengan rumah baru”, ceritanya.

“Semasa di Kuala Lumpur anak pakcik memberitahu yang dia akan usahakan pakcik dan makcik ke Mekah pada tahun itu juga. Memang pakcik tengok dia seorang yang kuat berusaha, entah berapa kali dia pergi pejabat Tabung Haji di Kuala Lumpur, buat rayuan demi rayuan bagi memastikan pakcik dan makcik dapat menunaikan fardhu Haji. Sementara itu dia juga tidak lupa untuk menghantar pakcik menjalani kursus Haji setiap minggu di masjid yang berdekatan. Alhamdulillah, dipendekkan cerita nama pakcik dan makcik akhirnya tersenarai sebagai jemaah terpilih. Pakcik bersyukur banyak-banyak kepada Allah SWT, tak sangka, tak sangka…”, pakcik ini mula menitiskan airmatanya buat kali kedua.

Setelah mengesat air matanya, pakcik ini menyambung kisahnya,

“Setelah lapan bulan tinggal di rumahnya, rumah pakcik di kampung pun siap. Bila balik sahaja ke kampung, alangkah terperanjatnya pakcik, kerana rumah pakcik yang buruk sudah diganti dengan banglow mewah yang cukup besar…, siap dengan pondok pengawal di depan pintu pagar. Pakcik betul-betul tidak sangka, tidak sangka, pakcik macam bermimpi ”, berulang-ulang kalimah tidak sangka dilafazkannya kepada saya.

“Apabila kami mengadakan kenduri doa selamat sempena masuk rumah baru dan juga bersempena dengan pemergian pakcik dan makcik untuk menunaikan fardhu Haji, semua adik beradik, saudara mara dan jiran-jiran yang pernah menghina kesusahan pakcik suatu ketika dahulu datang menziarahi kami. Ada yang meminta maaf dengan pakcik dan ada juga yang memohon kerja dengan pakcik, sebagai tukang kebun atau pengawal keselamatan jadilah !”, katanya tersenyum.

“Tapi pakcik tidak pernah balas dendam dengan mereka, yang sudah tu sudahlah, apa-apa kesalahan yang mereka lakukan ke atas pakcik sekeluarga sudah lama pakcik maafkan”, ujarnya lagi.

“Beberapa hari sebelum ke Mekah, anak pakcik yang kaya ini beritahu pakcik dan makcik agar jangan risau tentang duit perbelanjaan semasa di Mekah nanti kerana dia sudah masukkan duit sebanyak RM 4000.00 setiap orang dalam akaun Tabung Haji. Menitik air mata pakcik, sudahlah dapat pergi Haji dengan percuma, kemudian dapat pula RM 4000.00 seorang. Alangkah bersyukurnya pakcik ”, katanya sambil menitiskan ar mata kali ketiga.

Saya pun turut terharu mendengar kisah pakcik ini. Alangkah bertuahnya pakcik ini kerana memiliki seorang anak yang baik hati. Moga-moga Allah SWT membalas jasa anak ini dan melipat gandakan rezekinya doa saya.

“Kemudian, semasa menghantar pakcik ke Kelana Jaya baru-baru ini, dia hulurkan lagi kepada pakcik dan makcik setiap orang satu sampul surat berisi 2000 rial. Dia betul-betul mahu pakcik dan makcik gembira semasa menunaikan fardhu Haji” katanya lagi, menitiskan air matanya kali keempat.

“Mengenai bilik hotel di Mekah dan di Madinah, pakcik dan makcik tidak tahu macam manalah bilik hotel kami.Semuanya diuruskan oleh anak pakcik. Pakcik tak mahu bertanya, kerana bagi pakcik dah dapat peluang untuk pergi haji pun dah bersyukur. Semasa tiba di Mekah, ketika ketua rombongan sibuk mengagih-agihkan kunci bilik, pakcik hairan kenapa nama pakcik dan makcik tidak disebut-sebut. Lalu pakcik bertanya kepada ketua rombongan tentang bilik pakcik. Kata ketua rombongan, bilik pakcik dan makcik agak istimewa kerana anak pakcik telah menempah untuk pakcik dan makcik satu bilik dua orang. Insya Allah setelah selesai menguruskan jemaah haji yang bilik berlapan, bilik berenam dan bilik berempat nanti dia akan bawa pakcik dan makcik ke bilik yang mewah itu. Sekali lagi pakcik terkedu, tidak tahu nak kata apa, alangkah baiknya hati anak pakcik ini sehingga sanggup membayar sejumlah wang yang besar bagi memastikan mak dan ayahnya selesa menunaikan fardhu Haji”, mengakhirkan ceritanya.

Suara azan berkemundang menandakan waktu zuhur. Saya dan pakcik ini bangkit dan masuk ke dalam saf.

Pengajaran

Tuan-puan kaum muslimin dan muslimat sekelian, ambillah iktibar daripada kisah ini. Jika kita mahu anak-anak kita berbuat baik kepada kita sewaktu tua nanti, maka buatlah baik kepada kedua ibu bapa kita sekarang. Ingat, walaupun kita hebat beribadah kepada Allah SWT, namun ibadah itu tidak akan ke mana sekiranya kita derhaka dengan ibu bapa.

Di bulan Ramadhan ini, muhasabahlah diri. Ada kita bertanya khabar ibu bapa kita di kampung ? Ada kita ambil tahu apa yang dimakannya ketika berbuka ? Sihatkah mereka ? Macam amana dengan sahur mereka ? Atau kita langsung tidak ambil peduli tentang mereka ? Kalau mereka sudah meninggal dunia, berapa banyak ayat-ayat suci Al-Quran dan tahlil yang kita sedekahkan kepada mereka ?

Ingat kalau di bulan Ramadhan yang mulia ini kita tidak boleh mengingati mereka, janganlah harap di bulan-bulan lain kita boleh mengingati mereka.

Sabda Rasulullah saw,

جاء رجل من قضاعة إالى النبي (ص) فقال : يا رسول الله أرأيت أنى إن شهدت لا اله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وصمت رمضان وقمت لياليه وأديت الزكاة فممن أنا ؟ فقال النبي (ص) له , من مات على هذا كان مع النبين والصديقين والشهداء يوم القيامة هكذا ونصب أصبعه ما لم يعق والديه
Maksudnya : Telah datang seorang lelaki dari Qudho'ah berjumpa Nabi saw lalu bertanya, Apa pandangan engkau jika aku naik saksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya engkau pesuruh Allah dan aku solat lima waktu sehari semalam dan aku berpuasa di bulan Ramadhan dan aku bangun pada waktu malam dan aku mengeluarkan zakat maka bagaimanakah kedudukan aku ? Maka Nabi saw menjawab, barangsiap mati dalam melakukan perkara demikian maka sesungguhnya dia akan bersama para Nabi dan para Siddiqin dan para syuhadak di hari Qiamat nanti seperti ini (Nabi menunjukkan dua jarinya) selagi mana dia tidak derhaka kepada kedua ibubapanya.

Sabdanya lagi,

كل الذنوب يغفر الله منها ما شاء إلا عقوق الوالدين فإنه يعجل لصاحبه
العقوبة فى الحياة قبل الممات

Maksudnya : Segala dosa diampuni Allah daripadanya mana yang Dia kehendaki kecuali dosa derhaka kepada ibu bapa. Sesungguhnya dosa derhaka terhadap ibubapa memncepatkan balasan azab ketika hidup dan sebelum mati.

Sabda Rasulullah saw seterusnya,

ما من عبد أتاه الله تعالى مالا ثم لم يؤد حق والديه إلا أحبط الله عز وجل عمله وأذاقه العذاب الأليم
Maksudnya : Tidaklah seorang haamba yang dikurniakan rezeki oleh Allah kemudian dia tidak memuliakan kedua orang tuanya, kecuali Allah SWT menghapuskan amal kebajikannya dan menyeksanya dengan seksaan yang pedih.

Wallahualam.

Thursday, August 27, 2009

Jenayah Arak


Van JAIP yang membawa Kartika ke Penjara Wanita Kajang berpatah balik selepas bergerak 200 meter, kerana menerima arahan penangguhan hukuman sebat daripada pihak atasan. Alasan ‘menghormati bulan Ramadhan’ diberikan kepada keluarga Kartika, telah menyebab’kan satu keluarga Kartika agak berang kerana mereka telah bersedia dari segi mental & fizikal untuk menerima hukuman 6 kali sebatan rotan. Kartika merupakan wanita pertama yang disebat akibat kesalahan meminum arak.

Pendahuluan

Biarpun Islam lahir di tengah-tengah bangsa Arab jahiliah yang kuat menagih arak sejak zaman berzaman, tetapi Islam tidak pernah berkompromi dengan minuman tersebut malah tetap melarang umatnya daripada meminum arak melalui larangan yang berperingkat-peringkat.

Ayat pertama yang turun mengenai arak ialah surah An-Nahl ayat 67,

ومن ثمرت النخيل والأعنب تتخذون منه سكرا ورزقا حسنا
ان فى ذلك لأيت لقوم يعقلون (67)

Maksudnya : Dan dari buah-buahan kurma dan anggur dapat kamu mengambil daripadanya minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu suatu tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Ayat di atas turun di Mekah, mengajak manusia berfikir tentang kebesaran Allah SWT yang telah mencipta pelabagai rezki untuk manusia daripada sumber buah-buahan iaitu kurma dan anggur.

Apabila Islam telah mempunyai Negara di Madinah, usaha kearah pengharaman arak diteruskan lagi dengan menerangkan bahawa kesan buruk minum arak itu adalah lebih besar daripada manfaatnya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 219, .

يسألونك عن الخمر والميسرقل فيهما اثم كبير ومنافع للناس
واثمهما أكبر من نفعهما

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah : Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya. ( Al-Baqarah : 219)

Dengan turunnya ayat di atas, sebahagian besar para sahabat sudah mula terhidu tentang pengharaman arak walaupun larangan ini tidak disebut secara jelas. Di kalangan mereka sudah mula meninggalkan perbuatan tersebut menyebabkan jumlah peminum arak di kalangan umat Islam sudah berkurangan.

Kemudian telah berlaku satu peristiwa di mana seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abd Rahman bin ‘Auf telah menganjurkan satu majlis jamuan yang terdapat hidangan arak. Kata Saidina Ali kwj, tidak lama selepas kami mabuk maka azan pun berkemundang. Lalu mereka semua menolak aku menjadi imam sembahyang Tiba-tiba dalam sembahyang aku telah terbaca,

" قل يا أيها الكفرون أعبد ما تعبدون"

Dengan adanya peristiwa ini, maka Allah SWT turunkan ayat 43 surah An-Nisa’,

يا أيها الذين امنوا لا تقربوا الصلاة وأنتم سكارى حتى تعلموا ما تقولون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakana (An-Nisa’ : 43)

Setelah turunnya ayat di atas, maka mereka tidak lagi meminumnya pada waktu-waktu hendak sembahyang. Tetapi mereka meminumnya selepas solat Isyak, bila mabuk mereka akan kembali siuman menjelang waktu Subuh. Atau mereka minum selepas Subuh, bila mabuk mereka akan kembali siuman menjelang masuknya waktu Zuhur. Secara tidak langsung, ayat ini melatih orang-orang Islam agar berdisplin dalam mengambil minuman yang memabukkan tadi. Secara tidak langsung ia telah mengurangkan tempoh minuman mereka.

Suasana begini berpanjangan sehinggalah berlaku satu peristiwa dimana seorang sahabat dari kalangan Ansar, disebabkan mabuk telah memukul sahabat yang bernama Sa’ad bin Abi Waqas. Lalu Sa’ad mengadu perkara ini kepada Rasulullah saw untuk mendapatkan kepastian tentang hukum sebenar minum arak. Maka turunlah ayat yang sekaligus Allah mengharamkan arak secara mutlak iaitu,

يا أيها الذين امنوا انما الخمر والميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون (90)

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) keji (kotor)dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berolah kejayaan. (Al-Maidah : 90)

Kalau diperhatikan ayat di atas Allah SWT menggabungkan perbuatan minum arak, berjudi, memuja berhala dan tenung nasib sebagai satu kategori yang sama. Dengan sebab itulah dalam sebuah hadis , Nabi saw bersabda ,

“ Penagih arak sekiranya dia mati nescaya dia akan bertemu dengan Allah seumpama penyembah berhala ” ( Riwayat Ahmad)

Maksudnya orang yang minum arak termasuk dalam kategori orang yang tidak beriman kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah saw,

اذا زنى العبد أوشرب الخمر نزع الله عنه الايمان كما يخلع الانسان القميص من رأسه

Maksudnya : Apabila seseorang melakukan zina atau minum arak, maka Allah mencabut imannya, ibarat orang yang membuka baju melalui kepalanya. (Riwayat Hakim)

Kemudian Allah SWT mengkhabarkan perbuatan tersebut sebagai keji (kotor) . Lafaz keji ini tidak digunakan oleh Al-Quran melainkan terhadap arak, berhala dan daging babi. Ini menunjukkan satu larangan yang sangat tegas daripada Allah SWT.

Siti Aisyah r.a berkata : Rasulullah saw bersabda,

“ Orang yang minum arak, maka janganlah kamu kahwini mereka, kalau dia sakit janganlah kamu jengoknya dan apabila mereka mati janganlah kamu solatkan jenazahnya. Demi Allah, yang telah mengutus saya sebagai Nabi dengan membawa agama yang Haq, tidak akan mahu meminum arak kecuali orang yang terkutuk, baik diterangkan di dalam kitab Taurat, Injil Zabur dan kitab Furqan. Dan siapa yang memberi makan kepada mereka walau sesuap, maka Allah Taala akan membelitkan ular serta kalajengking pada badannya, barangsiapa yang membantu keperluannya, maka bererti dia membantu menghancurkan Islam, barangsiapa yang meminjamkan wang kepadanya, berertia dia membantu membunuh seorang mukmin, dan barangsiapa menggaulinya maka akan di hela oleh Allah dalam keadaan buta serta tak ada yang memimpinnya ” . (Al-Hadith)

Abu Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Asma’ binti Yazid r.a berkata : Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda, “ Siapa yang minum arak sehingga masuk dalam perutnya maka tidak akan di terima sembahyangnya satu minggu (tujuh hari) dan sekirannya dia minum sehingga mabuk maka tidak diterima sembahyangnya empat puluh hari, dan sekiranya dia mati tanpa bertaubat maka matinya adalah mati kafir, dan jika dia bertaubat maka Allah terima taubatnya, dan sekiranya dia mengulanginya lagi (setelah bertaubat) maka layaklah bagi Allah untuk memberinya minum dari Thinatil Khabaal ( darah yang bercampu nanah ahlli neraka) ”

Allah SWT melaknat peminum arak dan mereka yang terlibat dengannya. Sabda Rasulullah saw,

لعن الله الخمر وشاربها وساقيها وبائعها ومبتاعها وعاصرها
ومعتصرها وحاملها والمحمولة اليه

Maksudnya : Allah telah melaknat minuman arak, peminumnya, penuangnya penjualnya, pembelinya, pemerahnya (sama ada untuk dirinya atau untuk orang lain), orang yang meminta ia diperah (sama ada untuk dirinya atau untuk orang lain), pembawanya dan orang yang meminta ia di bawa kepadanya. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Rasulullah saw juga bersabda,

من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فلا يجلس على مائدة يشرب عليها الخمر

Maksudnya : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk di suatu majlis yang di dalamnya di minum minuman khamr. ( Riwayat At-Tabrani)

Diriwayatkan daripada Abi Umamah, Nabi saw bersabda,

ثلاثة لا يدخلون الجنة مدمن خمر وقاطع الرحم ومصدق السحرة
ومن مات مدمن الخمر سقاه الله تعالى من نهر الغوطة وهو نهر يجرى
من فروج الزانيات يؤذى أهل النار من نتن ريحه

Maksudnya : Tiga golongan yang tidak masuk syurga, iaitu peminum arak, orang yang memutuskan silaturrahim (kekeluargaan) dan orang yang mempercayai tukang tenung. Barangsiapa yang meninggal dunia, kekal sebagai peminum arak, maka dia akan diberi minum oleh Allah Ta’ala dari sungai Gautha’, iaitu sungai yang mengalir dari kemaluan perempuan-perempuan pelacur. Sungai itu menambah sakitnya para penghuni neraka disebabkan baunya yang busuk . ( Riwayat Ahmad dan Ibnu Adi’in)

Said meriwayatkan daripada Qatadah berkata : Rasulullah saw bersabda, 189

أربعة لا يجدون ريح الجنة وان ريحها ليوجد من مسيرة خمسمائة عام :
البخيل والمنان ومدمن الخمر والعاق لوالديه

Maksudnya : Empat jenis manusia yang tidadak akan mencium bau syurga, pada hal bau syurga itu terbau dari jarak perjalanan lima ratus tahun. Pertama orang yang bakhil, kedua orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya, ketiga orang yang minum arak dan keempat orang yang derhaka kepada kedua ibubapanya.

Telah berkata Abdullah bin Masud r.a, “ Sesungguhnya orang yang minum arak di waktu pagi, bereti dia telah mensyirikkan Allah SWT sehingga ke petang hari, dan barang siapa yang meminum arak di waktu petang maka bererti dia telah mensyirikkan Allah SWT sehingga ke pagi. Katanya lagi, Jka seorang peminum arak mati, maka engkau kuburkanlah mayatnya dan tahanlah aku, kemudian engkau galilah kuburnya. Jika kamu tidak mendapati mayatnya berpaling dari kiblat maka engkau bunuhlah aku.

Erti arak / Al-Khamr

Menurut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad yang dimaksudkan dengan minum arak ialah meminum cecair yang memabukkan sama ia dinamakan khamr atau tidak, sama ada ia berasal daripada perahan anggur ataupun lainnya seperti tamar, anggur kering, gandum, barli, dan padi sama ada ia memabukkan dengan kadarnya yang sedikit atau dengan kadarnya yang banyak.

Apa hukum mengambil arak sebagai ubat

Mengambil arak sebagai ubat hendaklah dijauhi, kerana Allah SWT tidak menjadikan ubat pada bahan-bahan yang dihramkan kita mengambilnya. Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang lelaki yang mengambil arak untuk dibuat ubat. Baginda menjawab, “ Arak bukan ubat, tetapi racun. Setiap penyakit carilah ubatnya, tetapi jangan cari bahan yang diharamkan .”

Jika seseorang itu minum arak untuk jadikan ubat, menurut pendapat yang terkuat di dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali ialah dia wajib dikenakan hukuman had. Iaitu disebat sebanyak 40 kali sebatan (Mazhab Syafie) dan . Tetapi sekiranya dia menggunakannnya sebagai bahan gosokan di atas kulitnya sahaja dia tidak dikenakan hukuman had. Cuma Imam Abu Hanifah sahaja berpendapat adalah harus seseorang itu minum arak untuk tujuan berubat.

Tetapi sekiranya seseorang itu dalam keadaan darurat, setelah mendapat pengesahan dan nasihat daripada doktor pakar muslim yang kuat pegangan agamanya supaya mengambil arak sebagai ubat bagi menyelamatkan nyawanya, setelah puas hati tiada lagi ubat lain yang mampu merawat penyakitnya, maka dalam keadaan itu hukumnya adalah harus dia mengambil arak untuk mengubat penyakitnya. Firman Allah SWT,

“ Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, Maka Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha penyayang". ( Al-An’aam ayat 145)

Pelaksanaan Sebat

Dari segi pelaksanaannya, cara hukuman sebat ke atas pesalah minum arak tidak ada bezanya dengan cara hukuman sebat ke atas pesalah zina. Cuma para ulama berbeza pendapat, sekiranya seseorang itu disabitkan melakukan kesalahan zina dan dalam masa yang sama juga disabitkan dengan kesalahan minum arak, yang mana satukah hukuman hendak dijalankan terlebih dahulu ? Menurut Imam Abu Hanifah hukuman had zina hendaklah dijalankan terlebih dahulu manakala hukuman had bagi kesalahan minum arak hendaklah ditangguhkan. Alasannya hukuman zina ditentukan di dalam Al-Quran, sebaliknya hukuman arak tidak ditentukan oleh Al-Quran.

Tetapi Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendapat hukuman yang ringan yakni had minum arak hendaklah dijalankan terlebih dahulu kemudian baru diikuti dengan hukuman yang berat iaitu had zina. Manakala Imam Malik pula berpendapat terpulanglah kepada pihak pemerintah untuk memulakan yang mana satu yang dikehendakinya.

Para ulama telah bersetuju bahawa perlaksanaan hukuman tidak harus dilakukan ketika pesalah di dalam keadaan mabuk. Oleh itu Kadi atau timbalannya hendaklah menunggu sehingga dia kembali siuman kerana tujuan hukuman adalah untuk memberikannya pendidikan dan pengajaran sedangkan orang yang mabuk tidak merasai apa-apa yang berlaku ke atas dirinya.

Wallahu’alam

Wednesday, August 26, 2009

Kisah Muhallim bin Jassamah

Firman Allah SWT,

"Wahai orang-orang yang beriman ! Apabila kamu berangkat berperang di jalan Allah, maka hendaklah kamu selidiki dengan sejelas-jelasnya. Dan janganlah kamu berkata kepada orang yang memberi salam kepada kamu, “Engkau bukan orang yang beriman”. Kerana kamu mencari mata benda dunia belaka. Padahal di sisi Allah ada harta rampasan yang banyak. Demikianlah keadaan kamu dahulu. Maka Allah melimpahkan kurniaanNya kepada kamu. Maka selidikilah dengan sejelas-jelasnya. Kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan"(An-Nisaa 094)

Sebab Nuzul Ayat

Ayat ini diturunkan bersempena seorang sahabat Nabi saw yang bernama Muhallim bin Jassamah, yang telah membunuh seorang lelaki yang bernama Amir bin Adhbaa’ dari suku Asyja’ei.

Fakta kes

Pada tahun ke lapan hijrah, Nabi saw telah membentuk satu unit tentera kecil yang terdiri daripada 3 orang sahabat iaitu Abdullah bin Abi Hadrah al-Aslmi(ketua), Abu Qatadah al-Ansari dan Muhallim bin Jassamah. Ketiga-tiga sahabat Nabi saw ini telah di arah untuk pergi ke satu kampung yang bernama Ghabah, kerana Nabi saw mendapat tahu di Ghabah suku-suku Jusyam yang memusuhi Rasulullah saw sedang berkumpul dan bergabung dengan orang-orang Ghabah untuk menyerang kota Madinah.

Nabi saw memberi arahan kepada tiga orang sahabat ini, supaya menangkap dan membunuh ketua kabilah Jusyam yang bernama Rifaah bin Qais dan mayatnya hendaklah di bawa ke Madinah dan ditunjukkan kepda baginda. Hikmah mengapa Nabi saw menyuruh Rifaah bin Qais ini dibunuh ialah kerana apabila kepala ular sudah putus daripada badannya maka ekor ular dan badannya akan turut mati.

Dengan pertolongan Allah SWT, pada satu malam di desa Ghabah kepala Rifaah bin Qais berjaya dipancung oleh Abdullah bin Abi Hadrah al-Aslami, dan kepala itu dimasukkan ke dalam guni untuk ditunjukkan kepada Nabi saw di Madinah.

Dalam perjalanan ke Madinah, ketika sampai di satu tempat yang bernama Batnu Idham tiba-tiba tiga orang sahabat Nabi saw ini telah terserempak dengan seorang lelaki yang bernama Amir bin Adhba sedang menunggang unta yang penuh dengan muatan harta.

Amir bin Adhba bila melihat sahabat-sahabat Nabi saw, dia terus member salam. Salamnya dijawab oleh Abdullah bin Abi Hadrah al-Aslami dan Abu Qutaidah melainkan Muhallim bin Jassamah. Muhallim bertindak membunuh Amir bin Adhba dan kemudian merampas hartanya.

Peristiwa ini tidak sempat dihalang oleh Abdullah bin Abi Hadrah dan Abu Qutaidah kerana ia terlalu pantas berlaku. Abdullah bin Abi Hadrah al-Aslami bertanya Muhallim akan tindakannya membunuh Amir bin Adhba yang memberi salam, sekaligus membuktikan keislamannya. Kata Muhalllim, lelaki ini seorang kafir, sengaja hendak melindungi kekaafirannya dengan cara memberi salam. Abdullah bin Abi Hadrah al-Aslami tidak berkata apa, hanya diam dan meneruskan perjalanan ke Madinah.

Sampai di Madinah setelah kepala Rifaah bin Qais ditunjukkan kepada Nabi saw, Abdullah menceritakan kepada Rasulullah akan hal Muhallim bin Jassamah yang membunuh seorang lelaki yang memberi salam kepadanya. Nabi saw juga diam tidak member apa-apa jawapan. (Maksudnya Nabi serahkan jawapannya kepada Allah SWT)

Tidak lama selepas itu turunlah ayat surah An-Nisak ayat 94 yang mencerca perbuatan Muhallim bin Jassamah.

"Wahai orang-orang yang beriman ! Apabila kamu berangkat berperang di jalan Allah, maka hendaklah kamu selidiki dengan sejelas-jelasnya. Dan janganlah kamu berkata kepada orang yang memberi salam kepada kamu, “Engkau bukan orang yang beriman.....”

Bila turun ayat ini, maka Nabi saw bacakan di depan para sahabat termasuklah Muhallim bin Abi Jassamah. Apabila mendengar ayat ini ditujukan khusus kepadanya, maka menangislah Muhallim bin Jassamah di atas kesalahan besar yang dilakukannya.

Lalu dia meminta Nabi saw supaya mendoakan keampunan kepadanya. Ketika itu Nabi saw sedang marah, lalu baginda mengangkat tangannya berdoa ke langit, “Ya Allah janganlah Engkau ampunkan dosa Muhallim bin Jassamah ” Nabi ulang doa ini sebanyak tiga kali.

Muhallim bin Jassamah meninggal dunia

Beberapa hari selepas turunnya ayat di atas, Muhallim bin Jassamah meninggal dunia. Di riwayatkan setelah mayat, Muhallim bin Jasamah dikebumikan, bumi memuntahkan semula mayatnya. Oleh kerana bumi tidak boleh menerima mayatnya, maka para sahabat mengangkat mayatnya dan meletakkan di atas puncak gunung lalu di tindih dengan batu besar. Demikianlah kesudahan nasib Muhallim bin Jassamah. Walaupun banyak melakukan jasa, tetapi jasanya itu tidak boleh memadam kesalahan besar yang dilakukan iaitu membunuh jiwa yang tidak berdosa.

Para sahabat meminta penejelasan

Para sahabat bertanya Rasulullah Abu Lahab dan Abu Jahal mati dalam keadaan kafir tetapi mayat mereka di terima bumi tetapi mengapa mayat Muhallim bin Jassamah tidak diterima bumi sedangkan dia Islam. Nabi saw menjelaskan apa yang berlaku ke atas Muhallim bin Jassamah ialah untuk memberi peringatan kepada orang-orang Islam bahawa dosa membunuh saudara seagama adalah satu kesalahan yang cukup besar, justeru jangan sekali-kali cuba mengulangi perbuatan yang sama.

Pengajaran daripada kisah ini

Jika membunuh saudara seagama adalah berdosa besar, bagaimana pula membantu orang kafir untuk membunuh saudara seagama di Palestin. Seperti menghisap rokok, bukankah sebatang rokok yang dihisap sama seperti menghulurkan sebutir peluru kepada tentera Israil untuk menembak orang-orang Islam di Palestin ?

Wallahualam.

Saturday, August 15, 2009

Sebuah kisah teladan


Ada riwayat menyebut, bahawa di zaman Nabi Isa a.s semasa hayatnya pernah berjalan di sisi sebuah kubur. Nabi Isa a.s pun menghentakkan kakinya di tepi kubur seraya menyeru ahli kubur itu agar bangkit. Dengan izin Allah Taala apabila penghuni kubur itu mendengar seruan Nabi Isa a..s maka bangunlah dia dari kuburnya.

Maka berlakulah soal jawab antara penghuni kubur dengan Nabi Isa a.s. Tanya penghuni kubur, “Wahai Ruhullah, apakah tujuan engkau memanggil aku ? Tahukah engkau ketika engkau memanggil namaku, aku sedang disoal siasat oleh malaikat sejak tujuh puluh tahun dahulu. Tiba-tiba engkau memanggil namaku, meyebabkan malaikat (yang menyoal siasat aku) memerintahkan supaya aku menyahut seruanmu wahai Nabi Allah ”.

Berkata Nabi Isa a.s kepada penghuni kubur itu, “Ya fulan, aku tahu engkau banyak dosa, tetapi aku tidak tahu apakah kesalahan yang engkau lakukan menyebabkan engkau menanggung dosa sebanyak itu ? ”. Maka menjawablah penghuni kubur itu,

“Wahai Nabi Allah, aku tidak mempunyai pekerjaan selain daripada mengambil upah memikul kayu api untuk dijual, aku makan dari hasil upah itu selebihnya aku sewdekahkan kepada orang lain ”. Mendengar jawapan ahlu kubur itu, maka timbullah perasaan hairan di hati Nabi Isa a.s. Bertanya Nabi Isa a.s,

“ Wahai penghuni kubur, aku merasa hairan, bukankah bekerja mengambil upah memikul kayu api itu adalah pekerjaan yang halal, kamu bukan sahaja memakan rezeki yang halal malah turut memberi sedekah pula dengan rezeki yang halal, tetapi bagaimanakah kamu boleh di soal siasat sehingga tujuh puluh tahun ? ”

Berkata ahli kubur itu kepada Nabi Isa a.s, “ Wahai Rasulullah, sesungguhnya Tuhan amat murka kepadaku, pada satu hari semasa aku mengambil upah memikul kayu api, aku telah mengambil secebis dari kayu itu untuk mencungkil gigiku. Perbuatan itu menyebabkan aku dimurkai Tuhan kerana aku telah mengambil harta orang tanpa izinnya. Itulah yang menyebabkan Tuhan sangat murka di atas perbuatanku yang tidak amanah itu .”

Pengajaran daripada kisah ini ialah supaya kita berhati-hati dalam usaha mencari rezeki yang halal. Orang mukmin perlu ingat bahawa daging yang tumbuh dari rezeki yang haram, neraka adalah lebih layak baginya”.

Susah macam manapun seseorang itu untuk mencari nafkah, jangan sampai tergamak memperolehinya dengan cara yang haram. Malah kesusahan mencari rezeki yang halal itu merupakan kafarah daripada Allah SWt untuk menghapuskan dosa seseorang mukmin. Daripada Abi Salmah bin Abi Hurairah r.a berkata , bahawa Rasulullah saw bersabda,

“ Diantara begitu banyak dosa, ada sejenis dosa yang tidak dapat dikaffarah dengan solat, puasa, haji dan umrah. Seorang sahabat bertanya Rasulullah, apakah amalan yang dapat mengkifarahkannya ya Rasulullah ? Nabi bersabda : Dosa itu dapat dihapus oleh kesusahan dalam mencari nafkah hidup ”.

Seseorang yang pernah mengambil harta orang lain dengan jalan mencuri, dan barang itu telah pun musnah, hukumnya wajiblah dia menilai berapakah harga barang itu mengikut nilai semasa, kemudian pulangkan harganya kepada tuan punya barang, jika mereka masih hidup dan boleh dikesani, tetapi jika mereka sudah tiada atau tidak dapat dikesani lagi, maka serahkan sahaja kepada baitulmal atau badan-badan kebajikan awam untuk dibelanjakan pada urusan awam.

Wallahualam.

Wednesday, August 12, 2009

3 macam zalim


Dari seorang sahabat yang bernama Jabir r.anhu, telah bersabda Rasulullah saw,

اتقوا الظلم فان الظلم ظلمات يوم القيامة واتقوا الشح فان الشح أهلك من كان قبلكم حملهم على أن سفكوا دماءهم واستحلوا محارمهم

Maksudnya : Takutlah kamu sekelian daripada perbuatan zalim, kerana sesungguhnya perbuatan zalim itu merupakan kegelapan di hari Qiamat, dan takutlah kamu sekelian daripada sifat kikir, kerana sesungguhnya sifat kikir itu telah merosakkan orang-orang yang sebelummu. Sifat kikir telah menyebabkan mereka menumpahkan apa-apa yang diharamkan kepada mereka.

Kata sebilangan ulama, zalim itu ada tiga macam :

1.Zalim yang diampuni oleh Allah SWT apabila Dia kehendaki seperti meninggalkan solat, tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak mahu menunaikan Haji ( padahal dia mampu untuk menunaikannya) serta melanggar apa-apa yang diharamkan.

2.Zalim yang tidak diampuni oleh Allah SWT iaitu seperti syirik. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa : 48),

Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya, Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sesungguhnya ia Telah melakukan dosa yang besar.

3.Zalim yang Allah akan memutuskan hukumannya di akhirat kelak iaitu kezaliman yang dilakukan sesama makhluk. Misalnya, Ghibah, dusta, adu domba, pembunuhan tanpa hak, memukul, mengumpat dan lain-lain yang sejenis dengannya.

Daripada Abu Hurairah r.aanhu, bahawa Nabi saw bersabda :

من كانت عنده مظلمة لأخيه من عرض او من شئ أخر فليستحله اليوم قبل أن لا يكون دينار ولا درهم ان كان له عمل صالح أخذ منه بقدر المظلمة وان لم يكن له حسنات أخذ من سيئات صاحبع وحملت عليه

Maksudnya : Barangsiapa yang ada padanya hak milik saudaranya dalam bentuk kehormatan atau hak milik lainnya, hendaklah dia minta dihalalkan sekarang, sebelum tiba waktu yang tidak lagi dinar dan dirham (Hari Qiamat), apabila dia mempunyai amal kebajikan, maka akan di ambil amal kebajikannya sebanyak hak milik itu, dan apabila dia tidak mempunyai amal kebajikan, maka dia terpaksa menerima keburukkan saudara (yang diambil haknya)untuk dibebankan kepadanya)

Beradasarkan hadis ini ulama menyatakan, Tidak ada satu dosa yang lebih besar daripada melakukan kezaliman. Kerana sesunguhnya dosa-dosa itu apabila terjadi antara kamu dengan Allah Taala, sesungguhnya Allah Taala adalah Tuhan Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang, Akan tetapi dosa-dosa yang terjadi di antara kamu sesama manusia, maka tidak ada usaha lain melainkan hendaklah kamu meminta kerelaannya.

Dari Maimun bin Mahran : Sesungguhnya seseorang yang menganiayai orang lain, maka apabila dia berkeinginan meminta kerelaannya, akan tetapi sudah tertinggal saatnya mungkin kerana orang yang dizalimi sudah meninggal dunia) maka hendaklah dia membaca Istighfar untuknya tiap-tiap selesai solat, maka moga-moga dia akan terlepas dari dosa kezaliman yang dilakukannya.

Monday, August 10, 2009

Balasan menyembunyikan kebenaran


Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 159


Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan pertunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci, mereka itu di laknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekelian makhluk (159).

Huraian ayat

Walaupun ayat ini ditujukan kepada orang-orang Yahudi yang menyembunyikan fakta tentang kerasulan Nabi Muhammad saw yang terdapat dalam kitab mereka, namun ayat ini hendaklah difahami secara umum kerana ia juga meliputi kepada semua pengkhianat dan penyembunyi kebenaran yang ada pada seluruh tempat dan seluruh zaman sehingga hari Qiamat.

Dengan kata lain, ayat ini juga memberi amaran kepada mana-mana ulama Islam yang mempunyai ilmu pengetahuan, apabila di tanya oleh orang ramai sesuatu hukum agama, tetapi dia mendiamkan diri yakni menyembunyikan ilmunya kerana merasa takut akan kehilangan pangkat atau harta dan sebagainya.

Sabda Rasulullah saw,

من سئل عن علم علمه ثم كتمه ألجم يوم القيامة بلجام من نار

Maksudnya : Barangsiapa yang di tanya tentang sesuatu ilmu yang dia ketahui, lalu dia menyembunyikannya, nescaya mulutnya akan dikekang dengan tali kekang api neraka. (HR Abu Dawud dan Tirmizi).

Sebagai contoh hukum Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Berapa ramai ulama-ulama yang berjawatan tinggi, bergaji besar malah ada di kalangan mereka yang berjawatan setaraf Exco tetapi bila isu ini di ajukan kepada mereka, mereka hanya berdiam diri.

Sedangkan sahih, Akta Keselamatan Dalam Negeri ini adalah haram kerana perbuatan menangkap serta menghumban seseorang dalam ISA setahun, dua tahun malah ada yang melangkaui sampai tujuh atau lapan tahun tanpa dibicarakan di Mahkamah adalah satu kezaliman yang sangat besar.

Kepada mereka yang menyokong undang-undang zalim ini ingatlah Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 113,

Maksudnya : Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka.

Apakah kerana mahu menjaga keamanan Negara, maka ISA ini diperlukan ? Sedangkan dalam Islam “Matlamat tidak menghalalkan Cara”. Sama seperti seseorang yang mahukan duit, tetapi caranya dia merompak dalam bank. Cara seperti ini tidak diiktiraf dalam Islam.

Prinsip Islam dalam menegakkan keadilan, seseorang itu tidak boleh dihukum melainkan setelah dibicarakan. Sebagai contoh kes Hatib bin Abi Baltaah, bekas tentera Badar yang cuba membocorkan rahsia tentera Islam dengan menghantar sepucuk surat kepada Abu Sufian meberitahu tentang perancangan tentera Islam untuk menawan Mekah. Sungguh pun kesalahan Hatib ini sangat besar kerana ia boleh menyebabkan strategi Rasulullah gagal tetapi Rasulullah saw tidak terus menghukum Hatib, malah baginda tetap menjalankan perbicaraan ke atas Hatib.

Balasan ke atas orang yang menyembunyikan fakta kebenaran, mereka dilaknat oleh Allah SWT serta dilaknat oleh sekelian makhluknya di langit dan di bumi. Contoh lain, mana-mana ibu bapa yang tahu tentang dosa orang yang meninggalkan solat, tahu tentang dosa membuka aurat, tiba-tiba bila terkena kepada anak menantu sendiri yang tidak menunaikan solat atau tidak menutup aurat, sedangkan ibu bapa tadi hanya berdiam diri sahaja, maka ibu bapa itu di laknat oleh Allah SWT dan juga turut di laknat oleh makhluk-makhluk Allah yang lain.

Kemudian Allah SWT berfirman,

Maksudnya : Kecuali orang-orang yang bertaubat dan membuat pembetulan dan menerangkan kebenaran maka terhadap mereka itu Aku menerima taubatnya dan Akulah yang Maha Menerima Taubat, lagi Maha Mengasihani. (160)

Di sini Allah SWT menjelaskan kepada mereka-mereka yang menyembunyikan kebenaran, bahawa Dia (Tuhan) sudi memberi pengampunan kepada mereka sekiranya mereka melakukan tiga perkara iaitu :-

1. Bertaubat yakni mengaku kesalahan yang dilakukan, insaf dan berazam tidak mahu mengulanginya lagi.

2. Membuat pembetulan, maksudnya kalau selama ini mereka bersikap menyembunyikan kebenaran, maka ubahlah pendirian menjadi manusia yang sentiasa menyatakan kebenaran.

3. Menerangkan kebenaran, maksudnya ialah menjelaskan kepada umum hakikat sebenar pada perkara yang disembunyikan dahulu.

Wallahualam.

Friday, August 7, 2009

Sabar menghadapi musibah

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 155 -157


Firman Allah SWT,

Maksudnya : Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (155)

Huraian ayat

Dalam ayat ini Allah SWT menegaskan bahawa orang-orang yang beriman itu pasti akan dikenakan ujian ke atas mereka yang berupa ketakutan terhadap musuh dalam peperangan, mereka akan diuji dengan kelaparan atau kemiskinan yang di sebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu, akan diuji dengan kekurangan harta akibat hilang atau pun musnah, akan diuji dengan kehilangan jiwa orang-orang yang disayangi dan akan diuji dengan kekurangan hasil tanaman seperti buah-buahan disebabkan kemarau yang berpanjangan atau banjir besar yang memusnahkan.

Dengan ujian-ujian yang seperti ini, Allah SWT mahu melihat siapa di kalangan hamba-hambaNya yang memiliki kesabaran. Ciri-ciri orang yang sabar dijelaskan pada ayat yang berikutnya,

Maksudnya : (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun".(156)

Huraian ayat

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan mengucapkan Istirja’ iaitu "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun".

Inilah yang membezakan orang-orang yang beriman dengan orang-orang yang tidak beriman. Orang-orang yang tidak beriman apabila menerima musibah, mereka akan cepat berputus asa sehingga ada di kalangan mereka yang membunuh diri. Nabi saw mencela orang yang mati membunuh diri sebagaimana hadis,

من تردى من جبل فقتل نفسه فهو فى نار جهنم يتردى فيها خالدا مخلدا أبدا , ومن قتل نفسه بحديدة فحديدته فى يده يتوجأبها فى نار جهنم خالدا مخلدا فيها أبدا

Maksudnya : Barangsiapa yang terjun dari gunung lalu mati, maka dia akan dihumban dalam neraka Jahannam dan akan tinggal di sana kekal abadi selama-lamanya. Dan barangsiapa yang membunuh diri dengan besi, maka besi di tangannya itu nanti akan ditusukkan dalam badannya sendiri di neraka Jahannam dan kekal dia di dalamnya selama-lamanya. (HR Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasae’i)

Kalimah Istirja’ ialah kalimah yang Allah SWT berikan khusus kepada Nabi Muhammad saw . Dalilnya kalaulah lafaz Istirjaa’ itu ada pada mana-mana Nabi sebelum Rasulullah saw, tentulah Nabi Yaakob akan mengucapkan kalimah ini apabila mendengar berita tentang kehilangan anaknya. Sebaliknya apa yang diucapkan oleh Nabi Yaakob ialah,

Maksudnya : Sambil berkata : Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf. (Yusuf ayat 84)

Mengucapkan kalimah Istirja’ bukan sahaja apabila menerima musibah yang besar, malah juga apabila menerima musibah yang kecil. Seorang sahabat Nabi saw, Ikrimah bin Abi Jahal meriwayatkan : Pada satu malam aku pergi ke rumah Rasulullah saw, tiba-tiba lampu pelita rumah Nabi terpadam, lalu Nabi saw mengucapkan Istirja’, "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Aku bertanya Rasulullah saw, ya Rasulullah adakah itu juga di anggap musibah ? Jawab Nabi saw, Ya ! Setiap perkara yang menyakiti seseorang mukmin adalah musibah.

Nabi saw bersabda,

ما مصيب المسلم من وصب ولا نصب ولا سقم ولا حزن
حتي الهم يهمه إلا كفر به من سيئاته

Maksudnya : Tidak ada seorang muslim pun yang mengalami penderitaan, kepenatan, kesakitan, kesulitan, kesedihan dan kebimbangan yang merunsingkannya melainkan dihapuskan sebahagian daripada kejahatannya. (HR Muslim)

Dalam sepotong hadis yang lain Nabi saw menyebut tentang orang yang kematian anak,

مان قدم ثلالثة لم يبلغوا الحلم كانوا له حصنا حصينا من النار قال أبو ذر قدمت اثنين . قال : واثنين , فقال أبى بن كعب سيد القراء : قدمت واحدا . قال : ووا حدا ولكن
إنما ذاك عند الصدمت الأولى

Maksudnya : Barangsiapa yang redha di atas kematian 3 orang anaknya, adalah baginya satu benteng yang kukuh daripada api neraka. Maka bertanya Abu Zar, ya Rasulullah aku telah redha di atas kematian dua orang anakku. Jawab Nabi saw, ya, walaupun dua orang. Maka bertanya pula seorang sahabat yang bernama Ubai bin Ka’ab Saiyidul Qurra’, ya Rasulullah aku telah redha di atas kematian seorang anakku. Jawab Rasulullah saw, ya walaupun seorang tetapi dengan syarat ganjaran itu akan diperolehi oleh mereka yang sabar pada mula-mula kena musibah. (HR Tirmidzi)

Firman Allah SWT lagi,

Maksudnya : Mereka Itulah yang mendapat keberkatan yang Sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka Itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.(157)

Huraian ayat

Dalam ayat ini Allah SWT berjanji, bagi mereka yang sabar apabila ditimpa musibah serta mengucapkan Istirja’, sesungguhnya Allah SWT akan mengurniakan kepada mereka solawat (keberkatan) serta rahmat ( kebaikan) dan pertunjuk (bimbingan) dalam kehidupan.

Ada satu kisah yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah. ( Tafsir Ibnu Kathir ms 276)

Kata Ummu Salamah, pada satu hari suamiku Abu Salamah balik dari majlis Rasulullah saw katanya kepadaku, “ Wahai Ummu Salamah, (tadi) aku mendengar Rasulullah saw bersabda yang menggembirakan hatiku, sabda Rasulullah : Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah melainkan ia berdoa,

إِنَّالِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ اَللَّهُمَّ آجِرْنِي فِى مَصِيْبَتِى وَأَخْلِفْ لِيْ خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya : “Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah, dan sesungguhnya hanya kepada Allah kita semua akan di kembali: Ya Allah, berilah aku ganjaran pahala pada musibah yang menimpaku ini dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripada yang telah hilang ini ”.[HR Imam Muslim]

Kata Ummu Salamah, semasa suamiku Abu Salamah meninggal dunia, aku pun mengamalkan doa ini. Ya Allah, berilah aku ganjaran pahala pada musibah yang menimpaku ini dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripada suamiku Abu Salamah ”

Aku pun tertanya-tanya pada diriku, siapakah yang lelaki yang lebih baik daripada suamiku yang bernama Abu Salamah ? Tidak lama selepas itu, edahku selesai. Tiba-tiba datanglah Nabi saw meminangku. Aku pun berkata kepada Rasulullah, Ya Rasulullah mustahil aku tidak berkeinginan kepadamu. Tapi sebelum itu aku hendak beritahu engkau ya Rasulullah, aku seorang perempuan yang sangat kuat cemburu, maka aku khuatir (dengan sebab cemburu itu menyebabkan hati engkau susah) dan aku disiksa oleh Allah SWT di akhirat kelak. Yang keduanya ya Rasulullah, aku sudah tua dan yang ketiga aku mempunyai beberapa orang anak.

Nabi saw pun menjawab, Wahai Ummu Salamah, ada pun mengenai sifat cemburu engkau itu, nescaya Allah SWT akan menghapuskannya dalam dirimu. Ada pun mengenai umurmu yang sudah tua, aku pun sudah tua. Adapun mengenai anak-anakmu itu, mereka akan menjadi anak-anakku.

Kata Ummu Salamah, kalau begitulah apa yang Rasulullah saw katakan, aku serahkan diriku pada mu ya Rasulullah. Dengan itu terjadilah perkahwinan antara Rasulullah saw dengan Ummu Salamah. Kata Ummu Salamah r.anha lagi, Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikan seseorang yang lebih baik daripada Abu Salamah untukku.

Demikianlan antara kelebihan mereka yang mengucapkan kalimah Istirja'.

Wallahualam.

Wednesday, August 5, 2009

Perang Hunain

Tafsir Al-Quran
Surah at-Taubah 25-26

Firman Allah SWT,

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai" (25)

Huraian ayat

Ayat ini berkaitan tentang perang Hunain yang berlaku 15 hari selepas penaklukan Mekah pada tahun 8 hijrah. Berita tentang kejayaan tentera muslimin menakluki kota Mekah telah bergema ke seluruh semenanjung tanah arab. Ketika Nabi saw sedang sibuk menyusun program-program politik dan Islam bersama para sahabat di kota suci ini, tiba-tiba kedengaran oleh Nabi saw bahawa beberapa suku Arab musyrikin yang mendiami kota Taif yang jaraknya 90 km dari kota Mekah dan kawasan-kawasan sekitarnya sedang membuat persiapan untuk menghalang kemaraan tentera Islam yang sedang berada di Mekah itu. Sedangkan pada hakikatnya tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah saw tidak pernah ada rancangan untuk melanggar Taif.

Itu hanyalah bayangan pemimpin Taif sahaja kerana mereka menyangkakan Rasulullah saw pasti akan membalas dendam terhadap dosa yang pernah mereka lakukan ke atas Rasulullah saw sepuluh tahun yang lalu. Mereka bimbang selepas Mekah, giliran pemimpin-pemimpin Taif pula di tawan sekaligus menerima hukuman daripada Rasulullah saw.

Bagi mengelakkan apa yang berlaku ke atas Mekah berulang ke atas Taif, maka pemimpin Taif iaitu Malik in Auf telah mengumpulkan suku-suku Arab yang mendiami Taif yang terdiri daripada Bani Thaqif, Bani Jusyam, Bani Riab dan Bani Hilal seterusnya membentuk satu pasukan tentera yang kuat 30 000 orang. Pasukan tentera ini diberi nama Hawazin di pimpin sendiri Malik bin Auf.

Sebelum berangkat menuju ke Mekah, Malik bin Auf telah menghantar pasukan perisik seramai tiga orang untuk mengetahui kekuatan tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah sqaw. 3 orang perisik ini kemudian pulang memberitahu Malik bahawa tentera Islam amat kuat, cukup bersedia dengan segala kelengkapan tentera. Mereka menasihatkan Malik agar membatalkan hasratnya untuk menyerang tentera Islam di Mekah. Tetapi Malik bin Auf tetap dengan pendiriannya untuk berperang dan sanggup menanggung risiko daripada peperangan tersebut. 3 orang pengintip ini kemudiannya dipenjarakan oleh Malik kerana bimbang mereka akan mempengaruhi tentera Hawazim supaya jangan pergi berperang.

Maka bergeraklah tentera Hawazin ke Mekah untuk bertempur dengan tentera muslimin. Sampai di lembah Hunain, (kira-kira 19 km sebelum sampai ke Mekah) Malik bin Auf mula mengatur staregi ketenteraan. Dia mengarahkan tentera kuffar supaya bersembunyi di atas bukit dan celah-celah batu.

Nabi saw juga tidak ketinggalan untuk menghatar perisiknya ke Taif iaitu Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy. Rasulullah saw meminta supaya Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy tinggal di tengah-tengah kaum musyrikin Taif untuk mengumpul maklumat tentang kekuatan tentera Hawazin. Setelah pulang ke Mekah Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy melaporkan kepada Rasulullah saw bahawa tentera Hawazin mempunyai kekuatan antara 20 hingga 30 ribu orang. Pasukan kuffar ini turut membawa bersama seluruh harta benda kepunyaan mereka yang dianggarkan 25000 ekor unta, 40000 ekor kambing dan 4 000 uqiyah emas. Selain itu mereka juga membawa anak dan isteri bagi menaikkan semangat untuk berperang.

Rasulullah s.a.w kemudiannya bersama 10 ribu tentera muslimin dari Madinah dan 2000tentera muslimin dari Mekah yang dipimpin oleh Abu Sufian bin Harb telah menuju ke Taif. Dalam peperangan ini, Nabi saw menunggang baghal, tidak kuda. Tujuannya untuk mengelakkan salah tanggapan orang ramai terhadap diri baginda, mengatakan baginda menaiki kuda untuk merasa megah setelah berjaya menakluk Mekah.

Oleh kerana jumlah tentera Islam ketika itu ramai , ada sebahagian daripada mereka merasa sombong den bongkak sehingga mengeluarkan kata-kata berikut :

“Kita pasti kita tidak akan kalah dalam pepeangan ini. Pihak musuh pasti tidak akan dapat menewaskan kita kerana jumlah kita yang seramai ini .”

Sampai di lembah Hunain Nabi saw mengarahkan tentera Islam supaya berehat sebelum menyambung perjalanan ke Taif. Keesokan harinya ketika mereka bangun dan selesai menunaikan solat Subuh tiba-tiba pasukan depan yang dipimpin oleh Khalid bin Walid telah diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang.

Hasil serangan mengejut ini menyebabkan ramai tentera Islam yang gugur syahid terutama mereka yang baru memeluk Islam. Ini merupakan peringatan Allah SWT ke atas mereka yang ada perasaan angkuh dan sombong di samping berniat pergi berperang semata-mata inginkan harta rampasan perang. Serangan awal dari pihak kuffar benar-benar mengkucar-kacirkan tentera Islam dan ada di kalangan mereka yang telah lari dari medan pertempuran meninggalkan sebahagian tentera yang masih setia dengan Rasulullah saw.

Menurut riwayat Imam An-Nawawi rhm daripada 12 ribu tentera Islam, yang tinggal hanya 12 orang sahaja yang masih setia bersama-sama dengan Rasulullah saw. Antara mereka ialah Abu Bakar a.s, Omar bin al-Khattab, Ali bin Abi Talib Usamah bin Zaid, Muaatib bin Abu Lahab dan Aiman bin Ummu Aiman.

Rasulullah saw tidak menunjukkan sifat gelabah apabila melihat tentera Islam yang lari meninggalkan baginda, malah Rasulullah saw dengan tenang menghadapi situasi yang runcing ini. Inilah yang dimaksudkan dalam ayat seterusnya,

"Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir "(26).

Rasulullah s.a.w kemudian berteriak memanggil tentera Islam agar kembali berperang : “ Wahai hamba-hamba Allah! Aku merupakan seorang Nabi yang tidak berdusta!. Aku anak Ibnu Muttalib”. Namun suara Nabi saw tidak didengari tentera Islam yang kalut ketika itu. Lantas Nabi saw meminta bapa saudaranya Ibnu Abbas supaya berteriak memanggil tentera Islam.

Ibnu Abbas dengan suaranya yang lantang berteriak :”Wahai orang-orang memiliki surah al-Baqarah, wahai orang-orang yang turut berbaiah pada hari Hudaibiah, kembalilah ke medan pertempuran. Jeritan Ibnu Abbas yang nyaring akhirnya di dengari oleh tentera Islam sambil bersemangat mereka menyahut, Labbaika ya Rasulullah!, Labbaika ya Rasulullah ! Labbaika ya Rasulullah !

Mengapa orang Islam bersemangat apabila mendengar nama surah Al-Baqarah ?

Kerana dalam surah ini ada menyatakan,

“ Berapa banyak yang pernah terjadi, golongan yang sedikit Berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah ; dan Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar ”(249)

Siapakah yang dimaksudkan dengan orang yang berbaiah pada hari Hudaibiyah ?

Iaitu mereka yang bersumpah setia dengan Rasulullah dalam perjanjian Ridwan. Firman Allah SWT,

"Bahwasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barangsiapa yang melanggar janjinya niscaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar". (Al-Fath : 10)

Firman Allah SWT lagi dalam surah yang sama,

"Sesungguhnya Allah telah meredhai terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berbai'ah kepada engkau di bawah sepohon pokok". (Al-Fath : 18)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

“ Tidak akan masuk neraka bagi mereka yang pernah menyertai Peperangan Badar dan Hudaibiyyah! ”

Abu Hurairah R.A. menyatakan bahawa Baginda Rasulullah S.A.W. pernah bersabda;

“ Sesungguhnya Allah melihat orang yang menyertai Perang Badar, lalu Dia berfirman; “ Lakukanlah apa sahaja yang kamu kehendaki kerana Aku akan mengampunkan dosa kamu!”

Serangan balas tentera muslimin

Setelah semua tentera Islam kembali ke posisi masing-masing, maka Rasulullah saw melancarkan serangan balas. Rasulullah saw sendiri telah menukar kenderaannya daripada baghal kepada kuda. Baginda mahu musuh tahu pemimpin tentera Islam masih hidup dan masih gagah, yang tadinya menunggang baghal sekarang sudah naik kuda pula.
Pada pusingan kedua inilah tentera Islam berjaya membunuh ramai tentera musuh sehingga ada di kalangan wanita dan kanak-kanak yang datang bersama tentera musuh turut terkorban ketika tentera Islam mahu mengejar tentera musuh yang sedang berundur. Melihat perkara ini lalu Rasulullah s.a.w meminta agar Khalid bin Walid supaya tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan mereka yang lemah. Akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan yang gemilang bukannya kerana jumlah tentera yang ramai tetapi kerana keyakinan dan juga keihklasan kepada Allah sehingga Allah mendatangkan pertolongan dan kemenangan.

Nabi saw membahagikan harta rampasa perang Hunain

Bila Rasulullah saw dan tentera Islam balik dari perang Hunain, semasa di Ja’ranah Nabi saw mula membahagi-bahagikan harta rampasan perang. Dalam Al-Quran, Allah SWT menetapkan 1 / 5 (20%) daripada harta rampasan perang hendaklah di peruntukkan kepada Rasulullah saw. Surah al-Anfal ayat 41.

"Dan ketahuilah daripada jumlah keseluruhan harta rampasan perang itu yang telah kamu perolehi (dalam peperangan), satu perlima daripadanya adalah untuk Allah, RasulNya dan keluarga terdekat, anak-anak yatim mereka yang memerlukan (orang-orang miskin) dan orang-orang dalam perjalanan)".

Setiap tentera berjalan kaki Nabi saw beri setiap orang 4 ekor unta dan 40 ekor kambing. Manakala setiap tentera berkuda Nabi saw beri 12 ekor unta dan 120 ekor kambing.

Nabi saw juga tidak lupa untuk beri harta rampasan perang kepada pembesar-pembesar Mekah yang ikut Nabi saw pergi berperang. Nabi menggunakan 20 peratus daripada harta rampasa yang diperuntukkan kepada baginda untuk tujuan itu. Termasuk di kalangan mereka yang masih kafir antaranyaa Safwan bin Umayyah ketua bagi kabilah Fazarah yang mendapat sekumpulan kambing sepenuh sebuah lembah. Ini menyebabkan Safwan bin Umayyah memeluk Islam diikuti oleh pengikut-pengikutnya. Apabila dia menganut Islam, harta yang dia dapat diinfakkan semula kepada perjuangan Islam.

Selain Safwan, Ada pembesar-pembesar Quraisy yang baru memeluk Islam sewaktu pembukaan kota Mekah antaranya Abu Sufian bin Harb mendapat 100 ekor unta. Kemudian Abu Sufian meminta kepada Rasulullah saw untuk mendapatkan bahagian anaknya Muawiyah bin Abu Sufian. Nabi saw memberi 10 ekor unta kepada Muawiyah bin Abu Sufian. Abu Sufian datang lagi berjumpa Rasulullah saw meminta bahagian untuk anaknya yang bernama Yazid bin Abu Sufian. Nabi saw beri lagi 100 ekor unta kepada Yazid. Selain Abu Sufian dan anak-anaknya Nabi saw juga memberi 100 ekor unta kepada Suhail bin Amru, dan Al-Harith bin Hisham yang mana kesemuanya adalah pembesar-pembesar Mekah.

Ada ketua-ketua kaum di Mekah yang Nabi saw bagi 50 ekor unta antaranya Adi bin Qais dan Umair bin Wahab. Dan ada pula ketua kaum yang Nabi saw beri 10 ekor unta sahaja iaitu Abbas bin Mirdas iaitu ketua bagi kaum bagi Bani Sulaim. Abbas bin Mirdas mengadu kepada Rasulullah saw, tidak puas hati dengan peruntukkan unta yang diperolehinya lalu Nabi saw beri lagi kepada Abbas 90 ekor unta menjadikan jumlah yang Abbas dapat 100 ekor unta.

Orang Ansar tidak mendapat bahagian.

Dalam pembahagian harta rampsan perang ini, Nabi saw tidak memberi sedikit pun kepada orang-orang Ansar menyebabkan di kalangan mereka berkata,

Bila berlaku peperangan, kitalah yang dipanggil untuk membantu. Tetapi bila sudah selesai peperangan, kita disisihkan. Sedangkan pedang kitalah yang banyak berlumuran dengan darah !

Nabi saw berdialog dengan orang-orang Ansar


“Wahai orang-orang Ansar, apakah ada dalam hati-hati kamu perasaan cintakan harta benda dunia ? Tahukah kamu harta yang aku agih-agihkan kepada kepada ketua-ketua kaum di Mekah supaya mereka jinak untuk menganut Islam? Apakah kamu masih belum puas dengan Islam yang aku beri kepada kamu? Tidak kah kamu tahu wahai orang-orang Ansar, Sesungguhnya aku mengasihi orang-orang Ansar lebih daripada aku mengasihi orang-orang yang aku berikan harta rampasan perang. orang-orang yang aku berikan harta rampasan perang itu mereka pulang membawa harta berupa kambing dan unta-unta sedangkan kamu wahai orang Ansar, pulang membawa aku Muhammad Rasulullah ? Demi Allah !, sekiranya manusia mengikut satu jalan di suatu lembah, dan orang Ansar pula mengikut jalan yang yang lain di satu lembah atau di tepi gunung, nescaya aku akan mengikut jalan atau gunung yang dilalui oleh orang-orang Ansar”.

Kemudian Nabi saw berdoa,

“Ya Allah ampunkanlah orang-orang Ansar, anak-anak orang Ansar dan anak-anak dari anak-anak orang Ansar ”

Wallahualam.

Saturday, August 1, 2009

Luangkan masa untuk bersedekah

Dari Anas r.anhu bahawasanya Nabi saw bersabda,

لما خلق الله تعالى الأرض وتحركت خلق الجبال فوضعها عليها فاستقرت : فتعجب الملا ئكة وقالوا : يا رب هل من خلقك شئ أشد من الجبال ؟ قال نعم الحديد. فقالوا : يا رب هل من خلقك شئ أشد من الحديد ؟ قال نعم النار. فقالوا يا رب هل من خلقك شئ أشد من النار ؟ قال نعم الماء ؟ فقالوا يا رب هل من خلقك شئ أشد من الماء ؟ قال نعم الريح. فقالوا يا رب هل من خلقك شئ أشد من الريح ؟؟ قال نعم ابن أدم يتصدق صدقة بيمينه يخفيها عن شماله فهو أشد منه

Maksudnya : Ketika Allah SWT menciptakan bumi dan bumi selalu bergerak, maka Allah menciptakan gunung-gunung dan memasakkannya di atas bumi sehingga terhentilah gunung-gunung itu dari bergerak. Maka kagumlah para malaikat seraya berkata, Wahai Tuhan, apakah ada makhluk Engkau yang lebih hebat daripada gunung ganang itu ? Allah menjawab, ada iaitu besi. Para malaikat bertanya lagi, apakah ada makhluk Engkau yang lebih hebat daripada besi ? Allah menjawab, ada iaitu api. Para malaikat bertanya lagi, apakah ada makhluk Engkau yang lebih hebat daripada api ? Allah menjawab, ada iaitu air. Para malaikat bertanya lagi, apakah ada makhluk Engkau yang lebih hebat daripada air ? Allah menjawab, ada iaitu angin. Para malaikat bertanya lagi, apakah ada makhluk Engkau yang lebih hebat daripada angin ? Allah menjawab: Ada iaitu keturunan anak Adam, yang memberikan sesuatu derma dengan tangan kanannya dan merahsiakan dermanya itu dari tangan kirinya, maka dia lebih hebat daripada angin.

Daripada Siti Aisyah r.anha menceritakan,

Ada seorang wanita yang datang kepada Rasulullah saw, sedangkan tangan kanannya dalam keadaan lumpuh. Wanita itu berkata, Wahai Nabiullah sudilah kiranya tuan hamba memohonkan kepada Allah agar meyembuhkan tanganku yang lumpuh ini. Maka Nabi saw bertanya, Apakah yang menyebabkan tangan kananmu lumpuh ? Wanita itu menceritakan, Pada suatu malam aku bermimpi, seolah-olah neraka Jahim telah menyala-menyala dan syurga telah tersedia terbuka. Aku melihat ibuku dalam neraka Jahannam sedang ditangannya terdapat sepotong lemak dan ditangannya yang sebelah lagi memegang kain lap. Dengan lemak dan kain lap itulah ibunya menahan kepanasan api neraka.

Pada saat itu aku bertanya kepadanya : Mengapa ibu dalam keadaan begini, sedangkan dahulu semasa di dunia ibu adalah orang yang taat kepada Allah dan ayahpun sudah meredahai ibu ? Jawab ibuku, Wahai anakku, aku di dunia dahulu seorang yang kikir. Aku bertanya lagi kepada ibu, Apakah ertinya lemak dan kain lap pada tangan ibu itu ? Ibu menjawab, akuseumur hidup tidak pernah bersedekah melainkan Inilah dua barang yang pernah aku sedekahkan. Aku pun bertanya lagi, Wahai ibu, dimana ayah ? Ibu menjawab, Ayahmu dalah seorang yang dermawan, maka dia tinggal bersama-sama orang yang dermawan. Maka akupun datang ke syurga dan ternyatalah ayah sedang berdiri di telaga Kautsar sedang memberi minum kepada orang ramai. Aku berkata kepada ayah, Wahai ayah, sesunguhnya ibu dan juga isteri ayah taat kepada Tuhannya, sedangkan ayah telah pun reda ke atasnya, tahukah ayah yang ibu sekarang sedang berada dalam neraka Jahnnam hangus dibakar , Oleh itu berilah ibu minum dari air telaga itu.

Kata ayahku, Wahai anakku, Sesungguhnya Allah Taala telah mengharamkan orang-orang yang kedekut dan orang-orang yang berdosa dari mendekati telaga ini. Maka dengan tanpa izin ayahku, aku mengambil air dari telaga itu segelas lalu aku memberi kepada ibuku yang kehausan dalam neraka. Tiba-tiba ada suara yang berkata: Mudah-mudahan Allah melumpuhkan tanganmu kerana engkau telah memberi minum air telaga Nabi saw kepada orang yang derhaka lagi kikir. Maka saya pun terbangun dari tidur, dan ternyata tanganku lumpuh seperti ini. Seterusnya Aisyah berkata: Setelah Nabi saw mendengar cerita dari perempuan tersebut, maka Nabi saw meletakkan tongkatnyapada tangan wanita itu seraya berdoa : Wahai Tuhanku, melalui kebenaran mimpi yang diceritakan oleh perempuan ini, maka sembuhkanlah tangannya. Maka tangannya menjadi sembuh kembali seperti sediakala.

Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan daripada At-Tabrani, Nabi saw bersabda,

تجاوزوا عن ذنب السخى فان الله أخذ بيده اذا عثر السخي قريب من الله قريب من الناس قريب من الجنة ولجاهل سخى أحب الى الله من عالم بخيل

Maksudnya : Maafkanlah kesalahan orang yang pemurah kerana seseungguhnya Allah memimpin tangannya jika ia terjatuh. Seseorang yang pemurah itu hampir dengan Allah, hampir dengan manusia, dan hampir dengan syurga. Seseorang yang jahil tetapi dermawan yakni pemurah lebih disukai Allah daripada orang yang alim tetapi kedekut.

Sabda Nabi saw lagi,

من نفس عن مؤمن كربة من كرب الدنيا نفس الله كرببة من كرب يوم القيامة

Maksudnya : Barangsiapa yang melapangkan kesusahan atau kesempitan seseorang mukmin di dunia ini maka Allah akan melapangkan baginya kesusahan-kesusahan di hari Qiamat, dan barangsiapa yang memudahkan kesukaran seseorang, nescaya Allah akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat.

Para ulama tasawwuf menghuraikan adab-adab bersedekah iaitu :

1.Hendaklah kamu merahsiakan sedekah itu sebagaimana firman Allah SWT, 89

وان تخفوها وتوءتوها الفقراء فهو خير لكم

Maksudnya : Apabila kamu sekelian merahsiakan dan kamu berikan kepada fakir miskin
itu lebih baik bagi kamu sekelian…

Justeru terdapat di kalangan para salaf yang bersedekah kepada orang yang buta, dan ada pula yang bersedekah dngan cara meletakkan di atas jalan-jalan yang sering di lalui oleh fakir miskin.

2.Hendaklah kamu menghindari diri dari mengungkit-ungkit pemberianmu sehingga
menyakitkan hai orang yang menerima sedekahmu. Firman Allah SWT,

يا أيها الذين أمنوا لا تبطلوا صدقاتكم بالمن ولأذى
كالذى ينفق ماله رئاء الناس

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu sekelian membatalkan
sedekah kamu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti hati, seperti orang yang
membelanjakan hartanya agar dilihat orang.

3.Hendaklah kamu mendermakan sesuatu yang paling baik daripada hartamu. Firman Allah SWT,

لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون

Maksudnya : Kamu tidak akan memperolehi kebaikan sehingga kamu memberikan apa-
apa yang terbaik daripadamu.

4.Hendaklah engkau memelihara pemberianmu itu dari pada rezki yang haram. Kata Sufyan At-Thauri, Barangsiapa yang berderma dari sesuatu yang haram sama seperti dia
membasuh pakaiannya menggunakan air kencing. Justeru dosa seseorang tidak akan dapat
disucikan melainkan dengan sesuatru yang halal.

5.Hendaklah engkau memelihara pemberianmu melainkan kepada orang-orang yang baik-baik. Justeru itu adalah afdhal mendermakan sesuatu kepada seseorang yang alim, yang muttaqin yang menggunakan derma itu untuk taat dan beribadah kepada Allah SWT.

Wallahualam.