Monday, September 28, 2009

Jangan tersalah memilih pemimpin ......

Mayat Firaun laknatullah, pemimpin yang zalim, akhirnya mati lemas, mulutnya disumbat lumpur kerana keceluparannya menentang Allah dan menolak ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. Jadikan iktibar di atas kematiannya.

Firman Allah SWT, “Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah) mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai". (Al-A’raaf : 179)

Diterangkan dalam kitab Tanbihul Ghafilin, dalam neraka, Iblis akan diberi peluang untuk berucap kepada semua penghuni neraka. Pakaiannya daripada api, mahkotanya daripada api serta dia diikat dengan tali daripada api.

Iblis berlepas diri…

Iblis pun berucap, “Wahai para penghuni neraka, wahai orang-orang kafir, wahai orang-orang munafik dan fasik, sesungguhnya Allah telah menunaikan janjinya kepada kamu hari ini. Justeru itu janganlah kamu semua menyalahkan aku, tetapi hendaklah kamu salahkan diri kamu sendiri. Kenapa semasa di dunia dahulu kamu tidak mahu menyembah Allah ? Kenapa kamu degil tidak mahu mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya ? Bukankah Allah itu Tuhan kamu ? Bukankah Dia adalah Tuhan yang Maha Pencipta segala sesuatu ?

Wahai penghuni neraka, hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua daripada seksaan Allah. Hari ini aku berlepas diri dari kamu semua. Hari ini aku tidak mahu bertanggungjawab tentang apa-apa yang pernah aku katakan kepada kamu sebelum ini.” Mendengar sahaja kata-kata Iblis itu maka semua penghuni neraka melaknat serta memakinya. Malaikat Zabaniyah kemudiannya memukul iblis dengan tombak daripada api neraka dan tersungkurlah iblis itu dari atas mimbarnya sehingga dia terhumban ke dalam kawah neraka yang paling bawah, selama-lamanyalah dia di sana.

Kata malaikat Zabaniyah kepada semua penghuni neraka, “Hari ini tidak ada kematian untuk kamu semua dan tidak ada pula kesenangan, semua kamu akan berada di sini selama-lamanya”.

Padah menjadi penyokong pemimpin yang zalim...

Dalam Al-Quran Allah SWT berfirman dalam surah Hud ayat 113.

“ Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan”.

Berdasarkan dalil di atas, siapa yang terus menyokong golongan atau pemimpin yang zalim serta mempermainkan ayat-ayat Allah maka sesungguhnya dia adalah sama-sama menanggung dosa dengan pemimpin tersebut walaupun hanya sekadar ahli biasa parti sahaja.

Ambil iktibar kisah Firaun dan penyokong-penyokongnya….

Firman Allah SWT dalam surah Al-Qasas ayat 4,

“ Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan. ”

Golongan yang zalim akan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mengekalkan kuasa politiknya. Begitulah yang terjadi pada Firaun, sanggup membunuh anak-anak lelaki di zamannya kerana bimbang kuasa politiknya tergugat.

Pemerintah yang zalim seperti Firaun ini akan ada sepanjang zaman. Apabila mereka berkuasa, mereka akan gunakan kekuasaannya untuk membolot harta rakyat demi kepentingan peribadi mereka. Untuk itu mereka akan gunakan pelbagai tektik dan cara untuk mengekalkan kuasa pemerintahan. Mereka bimbang sekiranya mereka tumbang, maka segala penyelewengan mereka akan terbongkar.

Dalam Al-Quran Allah SWT menyebut perihal Firaun dan kuncu-kuncunya dihumban ke dalam api neraka,

“Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang dan pada hari terjadinya kiamat. (Dikatakan kepada malaikat): "Masukkanlah Fir'aun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras". (Surah Al-Ghafir ayat 46)

Firaun adalah lambang kepada golongan yang berkuasa yang zalim. Firaun melakukan kezaliman ini tidak bersendirian, mereka mempunyai cabinet terdiri dari Menteri dan juga para penasihat yang terdiri daripada ahli nujum yang sentiasa memberi idea. Raja yang zalim itu akan sentiasa wujud sepanjang zaman. Bukan sekadar Presiden, Perdana Menteri yang zalim sahaja yang akan dihumban oleh Allah Taalah dalam neraka, tetapi menteri kabinet, timbalan menteri dan pegawai-pegawai serta rakyat yang menyokong mereka turut dihumban ke dalam api neraka.

Dalam neraka, pemimpin yang zalim dan penyokongnya saling berbantah

Setelah mereka dicampak ke dalam neraka jahannam, mereka menyalahkan orang lain. Terutama kepada orang yang telah diberikan ketaatan, yakni kepada pemimpin-pemimpin yang menyesatkan mereka dari jalan Allah. Mereka berbantah-bantah di dalam api neraka, sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran,

“ Dan (ingatlah), ketika mereka berbantah-bantah dalam neraka, Maka orang-orang yang lemah Berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri: "Sesungguhnya kami adalah pengikut-pengikutmu, Maka dapatkah kamu menghindarkan dari kami sebahagian azab api neraka?" (Surah Al-Ghafir ayat 47)

Tidak ada apa-apa yang boleh dibuat oleh golongan mustakbirin (pemimpin-pemimpin yang zalim) yang telah menyesatkan mereka kerana mereka juga sama-sama diseksa dalam api neraka. Jawab golongan mustakbirin ini,

“ Orang-orang yang menyombongkan diri menjawab: "Sesungguhnya kita semua sama-sama dalam neraka Karena Sesungguhnya Allah Telah menetapkan Keputusan antara hamba-hamba-(Nya)". (Surah Al-Ghafir ayat 48)

Menyesal tak sudah…

Demikianlah balasan bagi mereka yang menjadi pengikut setia para pemimpin yang zalim, akhirnya mereka turut dihumban ke dalam api neraka bersama-sama dengan pemimpin mereka. Penghuni neraka sangat kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin mereka, barulah mereka sedar bahawa mereka tersalah memilih pemimpin semasa di dunia dahulu sehingga mereka mendapat azab Allah yang sangat tidak terperi.

Minta tolong dengan malaikat...

Oleh kerana tidak tahan dengan seksaan Allah SWT, lalu mereka memohon kepada malaikat Malik yang menjaga pintu neraka,

“ Dan orang-orang yang berada dalam neraka berkata kepada penjaga-penjaga neraka Jahannam: "Mohonkanlah kepada Tuhanmu supaya dia meringankan azab dari kami barang sehari". (Surah Al-Ghafir ayat 49)

Mereka merayu supaya Malaikat penjaga pintu neraka memohon kepada Allah agar mereka diringankan azab walaupun sehari. Setelah menunggu 4o tahun maka Malaikat penjaga neraka pun menjawab,

“ Penjaga Jahannam berkata: "Dan apakah belum datang kepada kamu rasul-rasulmu dengan membawa keterangan-keterangan?" mereka menjawab: "Benar, sudah datang". penjaga-penjaga Jahannam berkata: "Berdoalah kamu" dan doa orang-orang kafir itu hanyalah sia-sia belaka”. (Surah Al-Ghafir ayat 50)

Jawapan malaikat itu sebenarnya tempelak kepada golongan kuffar itu, jika di dunia dahulu mereka merasa angkuh dan sombong untuk menerima Islam yang dibawa oleh para Rasul, jika demikian kata malaikat berdoalah kamu, sedangkan doa mereka adalah sia-sia belaka.

Mereka pun berdoa kepada Tuhan. Wahai Tuhan apalah kiranya Engkau keluarkan kami daripada tempat seksaan ini. JIka Engkau keluarkan kami, dan kami masih melakukan kezaliman, maka Engkau seksalah kami. Doa mereka tidak dijawab oleh Tuhan selama umur dunia ini dua kali. Kemudian Allah SWT menjawab, Hinalah kamu semua di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata lagi selepas ini.

Wallahualam

Saturday, September 26, 2009

Jenayah Murtad

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Apalagi manusia tak sedar diri yang menggelarkan dirinya sebagai Rasul Melayu. Menurut Islam orang yang seperti Abdul Kahar Ahmad, 59 ini sudah murtad dan wajib dilaksanakan hukuman pancung ke atas dirinya sekira tidak bertaubat kepada Allah SWT.

Pengertian Riddah

Riddah ialah berpaling atau keluar daripada agama Islam sama ada untuk menganut agama lain atau tidak. Orang yang keluar daripada agama Islam disebut sebagai murtad. Ia adalah satu jinayah yang berat sebagaimana firman Allah SWT,

ومن يرتدد منكم عن دينه فيمت وهو كافر فأولئك حبطت أعملهم فى الدنيا والأخرة وأولئك أصحب النار هم فيها خلدون(217)

Maksudnya : Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran , maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. ( Al-Baqarah : 217)

Rukun bagi kesalahan ini ada dua iaitu pertama keluar daripada Islam dan yang kedua niat sengaja melakukannya.

Rukun Pertama : Keluar Daripada Islam

Maksud keluar daripada Islam ialah tidak mempercayai lagi kebenaran Islaam. Seseorang itu boleh menjadi murtad dengan sebab melakukan salah satu daripada tiga cara iaitu sama ada dengan perbuatan, percakapan atau iktiqad (kepercayaan dalam hati)

a. Melalui perbuatan

Seseorang itu dianggap terkeluar daripada Islam apabila ia melakukan perkara-perkara yang diharamkan Islam disamping mengharuskannya sama ada melakukan perkara itu dengan sengaa atau niat menghina Islam atau kerana keras kepala atau sombong atau takbur seperti sujud menyembah berhala, patung, matahari , bulan dan bintang. Atau melakukan perkara-perkara yang menghina Al-Quran atau hadis sama ada dengan cara mengoyak, memijak dan membuangnya di dalam longkang. Begitu juga dengan perbuatan seperti memakai lambang mana-mana agama seperti salib atau menyertai upacara ibadah kepercayaan orang-orang kafir dan sebagainya.

b. Melalui percakapan

Seseorang itu dianggap keluar daripada Islam apabila mengeluarkaan kata-kata yang menunjukkan tanda kekufuran seperti mengengkari dan mencela Allah SWT, sifat-sifatNya atau nama-namaNya, bersumpah selain daripada namaNya, menghina Nabi dan Rasul sama ada sifat-sifat nya mahupun ajarannya, mengaku dirinya menjadi Nabi dan Rasul, mengengkari kewujudan malaikat-malaikat, mengeluarkan kata-kata yang menghina Islam, menolak segala hukum-hukum yang terkandung di dalam Al-Quran, mengatakan tidak adanya azab kubur, menafikan kewujudan neraka, syurga, kewajipan menutup aurat, menyanyi lagu-lagu yang bertentangan dengan kalimah tauhid dan sebagainya. Termasuk juga murtad apabila mengatakan syariat Islam diturunkan bukan untuk mengatur hubungan di antara individu dengan masyarakat dan Negara, atau mengatakan hukum-hukum Islam tidak wajib dilaksanakan pada masa sekarang kerana tidak sesuai atau mengatakan sesetengah hukum Islam itu ketinggalan zaman.

c. Melalui iktiqad

Seseorang itu dianggap murtad apabila berkeyakinan dalam hati bahawa alam ini terjadi dengan sendiri, atau menolak dalam hati kebenaran Al-Quran sebagai kitab suci, beriktiqad bahawa Nabi Muhammad saw itu manusia biasa, bukan bertaraf Nabi, atau beriktiqad bahawa Ghulam Ahmad Qadiani sebagai Nabi atau Rasul, atau mempercayai di dalam hati bahawa undang-undang ciptaan manusia itu lebih baik daripada undang-undang Allah SWT. Begitu juga murtad sekiranya beriktiqad bahawa tidak salah minum arak, tidak salah meninggalkan solat, tidak salah berzina, tidak salah berjudi sedangkan dia sudah mengetahui bahawa semua perbuatan itu adalah haram di sisi Allah SWT.

Namun, seseorang yang murtad melalui iktiqad seperti di atas, tidak boleh dikenakan hukuman bunuh selagi mana ia tidak menzahirkan kemurtadannya melalui perbuatan atau percakapan. Oleh itu dia masih dianggap muslim mengikut hukuman di dunia tetapi di akhirat maka terserahlah kepada Allah SWT untuk menentukan kedudukannya.

Rukun Kedua : Niat Sengaja Melakukan


Untuk membuktikan seseorang itu melakukan kesalahan murtad , mestilah dia mempunyai niat sengaja melakukannya atau mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kepada kekufuran sedangkan dia menyedari bahawa perbuatan itu boleh merosakkan akidah. Oleh itu baraangsiap yang melakukan sesuatu perbuatan atau percakapan yang membawa kepada kekufuran sedangkan dia tidak tahu maaknanya, maka dia tidak boleh dihukum sebagai murtad. Inilah pendapat Imam Syafie.

Manakala Imam Abu Hanifah, Imam Malik, dan Imam Ahmad menganggap seseorang itu sudah murtad memadai dengan hanya melakukan perbuatan atau percakapan yang membawa kepada kekufuran , walaupun dia tidak berniat untuk menjadi kafir, asalkan perbuatan atau percakapan itu membawa maksud untuk menghina, merendah-rendah atau mengejek Islam dan sebagainya.

Hukuman Ke Atas Pesalah Murtad

Menurut jumhur ulama bahawa orang yang melakukan kesalahan murtad hukumannya adalah bunuh samada dia seorang lelaki atau perempuan, tua atau pun muda. Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa hukuman bunuh itu hanya boleh dikenakan kepada pesalah-pesalah lelaki sahaja. Manakala bagi pesalah perempuan, dia tidak boleh di hukum bunuh bahkan hendaklah dipaksa kembali kepada Islam dengan dikurung dan dilepaskan tiap-tiap hari untuk ditaubatkan dan dijelaskan Islam kepadanya sehingga dia bertaubat dan kembali semula menjadi Islam atau mati.

Pendapat ini berdasarkan hujah bahawa Nabi Muhammad saw melarang tindakan membunuh perempuan-perempuan kafir dalam peperangan. Jadi kalau perempuan kaafir asli pun tidak boleh dibunuh apatah lagi kalau membunuh perempuan kafir yang asalnya beragama Islam.

Manakala jumhur ulama mendasarkan pendapat mereka kepada hadis Nabi saw yang berbunyi,

من بدل دينه فاقتلوه

Maksudnya : Barangsiapa yang menukar agamanya maka bunuhlah dia.

Hadis di atas sama sekali tidak membezakan sama ada orang yang murtad itu lelaki atau perempuan, tua atau pun muda, jika sabit kesalahan maka mereka hendaklah di hukum bunuh.

Ulama berselisih pendapat tentang kanak-kanak yang murtad sebelum baligh. Menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad, hukuman bunuh ke atasnya hendaklah dijalankan setelah umurnya baligh sekiranya dia tidak bertaubat. Imam Syafie pula berpendapat kanak-kanak yang murtad sebelum baligh dia tidak dikenakan apa-apa hukuman.

Siapakah yang perlu didahulukan antara membunuh orang yang murtad dengan memerangi orang-orang kafir harbi ? Berdasarkan pandangan para sahabat yang diketuai oleh Saidina Abu Bakar, membunuh orang yang muratd hendaklah diutamakan terlebih dahulu daripada berperang memerangi orang-orang kafir. Buktinya tindakan Saidina Abu Bakar mendahulukan kumpulan murtad yang tidak mahu membayar zakat walaupun sebelum Rasulullah saw wafat, baginda telah menyiapkan pasukan tentera yang dipimpin oleh Usamah untuk memerangi kafir harbi.

Pesalah Murtad Di Minta Bertaubat

Menurut jumhur ulama yakni Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, orang yang murtad itu tidak boleh terus dihukum bunuh melainkan hendaklah disuruh bertaubat terlebih dahulu. Ini bertujuan untuk mengetahui sebab-sebab yang menjadikannya murtad. Sekiranya kemurtadannya itu disebabkan oleh kekeliruan atau salah faham dirinya terhadap Islam, maka hendaklah dia diberi penjelasan dan kesedaran yang secukupnya sehingga dia benar-benar berpuas hati dan kembali semula kepada Islam.

Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat, menyuruh pesalah murtad itu bertaubat sebelum di bunuh hanyalah sunat sahaja dan bukannya wajib. Oleh itu tidak berdosa sekiranya membunuh pesalah murtad tanpa di suruh bertaubat. Di samping itu ada juga pendapat lain seperti ‘Ato bin Rabih dan Imam Hasan Al-Basri yang mengatakan sekiranya seseorang itu lahir muslim, kemudian murtad maka hendaklah dia terus dibunuh tanpa perlu disuruh bertaubat tetapi sekiranya seseorang itu lahir kafir, selepas itu masuk Islam kemudian menjadi kafir semula maka dia hendaklah di suruh bertaubat terlebih dahulu sebelum di hukum bunuh.

Mengenai tempoh masa yang diberikan agar orang yang murtad itu bertaubat dan kembali kepada Islam menurut mazhab Maliki ialah tiga hari tiga malam bermula daripada masa dia di sabitkan melakukan kesalahan itu. Manakala menurut Imam Abu Hanifah, tempoh masa yang diberikan ialah terpulang kepada budi bicara pihak pemerintah. Jika ada harapan bahawa pesalah itu akan bertaubat atau dia meminta agar hukuman yang dikenakan kepadanya ditangguhkan maka pemerintah boleh menangguhkan selama 3 hari. Tetapi sekiranya tidak ada harapan untuknya bertaubat atau tidak mahu meminta agar ditangguhkan hukuman, maka bolehlah dilaksanakan hukuman bunuh pada masa itu juga.

Kedudukan Mayat

Apabila orang yang murtad itu telah dibunuh, maka adalah haram bagi umat Islam menguruskan mayatnya samada dimandikan, disolatkan atau dikuburkan di kawasan perkuburan orang-orang Islam. Firman Allah SWT,

ولا تصل على أحد منهم مات أبدا ولا تقم على قبره انهم كفروا
با لله ورسوله وماتوا وهم فسقون (84)

Maksudnya : Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka dan janganlah kamu berdiri di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan RasulNya dan mereka mati dalam keadaan fasik. (At-Taubah : 84)

Kedudukan Harta

Menurut Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, apabila seseorang yang murtad itu sudah mati dihukum bunuh, maka segala harta bendanya menjadi hak milik orang rama (harta fai’) dan tidak boleh dipusakai sama ada waris-warisnya yang Islam atau yang bukan Islam. Sabda Nabi saw,

لا يرث الكافر المسلم ولا المسلم الكافر

Maksudnya : Orang kafir tidak memberikan warisan kepada orang Islam demikian juga orang Islam tidak memberikan warisan kepada orang kafir. ( Mutaafqqun ‘alaih)

Tetapi Imam Abu Hanifah pula berpendapat , harta yang diperolehinya semasa dia Islam boleh dipusakai oleh warisnya yang beragama Islam. Manakala harta yang diperolehinya semasa dia murtad akan menjadi harta rampasan yang menjadi milik orang ramai.

Kedudukan Perkahwinan

Apabila seorang suami itu murtad, maka wajiblah dipisahkan dengan isterinya mengan talak bain. Jika dia bertaubat dan hendak balik semula kepada isterinya maka hendaklah dia dinikahkan semula ndengan akad dan mahar yang baru.

Jika orang yang murtad itu mahu berkahwin dengan pasangannya dari penganut agama yang baru dianutinya maka perkahwinannya itu tidak boleh dijalankan kerana sebanarnya orang yang murtad telah diwajibkan hukuman mati dan dia tidak boleh dianggap sebagai kafir zimmi yang boleh diberi perlindungan. Bukan sahaja dia tidak boleh berkahwin, bahkan hak sebagai wali untuk mengahwinkan orang yang di bawah kuasanya pula gugur disebabkan kemurtadannya itu. Wallahualam.


Rujukan,
Jinayah Dalam Islam – Dr. Mahfodz Mohammad – Terbitan Nurin Enterprise.
http://www.ladang.net.my/

Wednesday, September 23, 2009

Hukum mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ orang bukan Islam

“Abah, boleh ke orang Islam mengucapkan selamat Hari Deepavali kepada orang Hindu? ”, tanya anak sulong saya ketika kereta saya melalui pekan Ijok dalam perjalanan ke kg mertua di Sekinchan tahun lepas.
Ijok adalah kawasan DUN yang dimenangi oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Ya, banyak poster-poster dan sepanduk yang memaparkan wajah Tan Sri Khalid Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada penganut agama Hindu di situ. "Mungkin nak pancing undi", kata hati kecil saya.

Umum mengetahui, bukan sahaja Tan Sri Khalid Ibrahim, malah ramai lagi orang-orang politik yang beragama Islam sama ada dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional yang berlumba-lumba mengucapkan Selamat Hari Deepavali, Krismas atau Tahun Baru Cina yang disiarkan dalam media kerajaan atau pun pembangkang.

Kembali kepada persoalan anak sulong saya, bolehkan orang Islam mengucapkan Selamat Hari Raya orang bukan Islam ? Setelah meneliti tulisan Prof. Dr Abdul Hayei bin Abdul Sukor pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, saya menemui jawapannya.

Menurut beliau, mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam sempena hari-hari perayaan mereka seperti hari Krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Thaipusam termasuklah antara masaalah furu’ (cabang) yang diperselisihkan oleh para ulama zaman sekarang. Ada di kalangan ulama yang mengharamkannya dan ada juga ulama yang mengharuskannya.

Pendapat yang mengharamkan

Antara ulama yang mengharamkannya ialah Sheikh Muhammad Saleh al-Munajjid, salah seorang ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi. Beliau berpendapat perbuatan mengucapkan selamat pada hari-hari kebesaran orang bukan Islam adalah bertentangan dengan asas-asas akidah Islam. Beliau berhujah, hari perayaan agama kaum lain pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis sahih Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia termasuk dalam golongan mereka ” (Sahih riwayat Abu Daud).

Selain itu, dalam satu kaedah, di mana para ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu redha kepada kekufuran adalah kufur. Justeru mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam termasuk rela terhadap kekufuran mereka. Keadaannya sama seperti kita merelai dosa-dosa besar seperti zina, minum arak dan sebagainya.

Pendapat yang mengharuskan

Manakala seorang ulama terkenal Islam merangkap Mufti kerajaan Qatar , Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi berpendapat hukum mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam seperti Hari Krismas adalah harus, jika mereka memulakan ucapan selamat Hari Raya kepada kita.

Al-Qardhawi berpendapat, Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Mumthanah ayat 8,

"Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampong halaman kamu ; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil".

Pendapat beliau ini disokong oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah, dengan fatwa yang dikeluarkan seperti berikut,

Sesungguhnya mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam pada hari perayaan mereka merupakan lebih daripada kewajipan jika mereka mengucapkan selamat pada hari perayaan Islam. Hujahnya ialah kerana kita diperintahkan membalas perlakuan baik dengan perlakuan yang serupa dan membalas ucapan selamat dengan ucapan yang sama baiknya. Allah SWT berfirman,

Apabila kamu dihormati dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah menghitungkan segala sesuatu. (Surah An-Nisaa’ : 86)

Oleh yang demikian, tidak ada suatu pun yang menghalang orang Islam daripada mengucapkan ‘selamat’ kepada orang bukan Islam baik secara lisan mahupun tulisan seperti menghantar kad dengan syarat kad yang dihantar tidak mempunyai lambang atau kata-kata agama yang bertentangan dengan prinsip akidah Islam.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Prof. Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor memilih jalan yang lebih sederhana dalam isu ini. Katanya, adalah jelas haram bagi umat Islam menyertai Hari raya kaum bukan Islam seperti memasang lampu warna-warni di sekeliling rumah, menghias rumah dengan pokok krismas, menyertai perarakan Thaipusam dan lain-lain kerana amalan ini ada hubung kait dengan akidah. Begitu juga adalah haram bagi umat Islam jika mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam pada hari-hari kebesaran agama mereka jika ianya bermaksud untuk sama-sama berhari raya dengan mereka, merelai kekufuran mereka dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama (mereka).

Tetapi jika maksud ucapan ‘selamat’ pada hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih hanya ikut bercuti pada hari itu, membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, maka saya kira pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekaligus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka. Sama seperti sekiranya mereka menghulurkan makanan yang halal kepada kita dan kita terimanya dengan baik hati, serta mengucapkan terima kasih dengan makanan atau hadiah yang diberi, saya kira ia tidak ada kena mengena dengan akidah, bahkan kita harus menerimanya selagi mana ia adalah halal dan suci.

Demikian juga jika pada hari-hari kebesaran itu merupakan hari kelepasan am, semua pejabat dan kakitangan kerajaan diberi cuti, termasuk kakitangan yang beragama Islam. Saya tidak fikir jika kita bersuka ria kerana bercuti pada hari itu, maka kita boleh dianggap turut membesarkan syiar agama dan budaya kaum bukan Islam.

Wallahualam.

Wednesday, September 16, 2009

Di saat menjelangnya Syawal....

Muslimin dan muslimat sekalian,

Insya Allah, sama ada hari Ahad atau hari Isnin ini kita akan menyambut Hari Raya Eidul Fitri.

Bila menyambut Eidul Fitri, antara cabaran terbesar yang akan kita hadapi ialah program-program televisyen yang sentiasa berlumba-lumba untuk menyiarkan rancangan yang bercorak hiburan dan melalaikan. Bermula pada malam raya, sehinggalah berhari-hari telivisyen akan menyiarkan program hiburan kepada umat Islam, seolah-olah Hari Raya adalah hari untuk kita berpesta, berhibur dan menyanyi sakan.

Amaran kepada pasangan kekasih

Bagi pasangan kekasih, dengan lesen kebenaran daripada ibu bapa, mungkin ada di kalangan mereka yang akan menghabiskan 1 Syawal dengan menonton filem-filem di panggung wayang. Atau mungkin mereka diberi kebebasan oleh ibubapa yang kononnya sporting untuk berdua-duaan pergi beraya di rumah rakan dan taulan.

Jelas, ini adalah satu kesilapan besar ibu bapa pada hari ini. Sedangkan dalam Islam, selagi mana anak-anak perempuan tidak mempunyai apa-apa ikatan perkahwinan dengan mana-mana lelaki, adalah haram untuk membenarkan mereka keluar berdua-duaan.

Perbuatan ini mencemarkan kemuliaan Hari Raya. Sabda Rasulullah saw,

من عصى الله فى العيد فكأنما عصى الله فى الميعاد

Maksudnya : Barangsiapa yang melakukan maksiat di hari raya, maka samalah kedudukan mereka dengan orang yang mungkir janji.

Berdasarkan hadis di atas mungkir janji adalah sifat-sifat orang munafik. Justeru orang yang melakukan maksiat di Aidil Fitri kedudukan mereka samalah seperti orang munafik yang mana neraka mereka adalah yang paling bawah !

Tutuplah aurat

Muslimin dan muslimat sekalian,

Pada Hari Raya kita disunatkan memakai pakaian yang elok. Pakaian yang elok tidak semestinya berpakaian baru. Pastikan pakaian yang dipakai oleh isteri dan anak-anak kita menepati kehendak syariat serta menutup aurat. Adalah dayus mana-mana suami atau bapa yang membiarkan anak-anak atau isteri mereka keluar berhari raya dengan memakai pakaian yang menjolok mata seperti memakai kain yang terbelah, baju yang jarang, sendat atau sebagainya.

Ziarah menziarah

Hidupkanlah suasana Hari Raya nanti dengan amalan ziarah menziarahi sesama Islam, bermula dengan menziarahi ibu bapa serta orang-orang yang lebih tua di kalangan keluarga, diikuti dengan kaum kerabat, sanak saudara, jiran-jiran serta sahabat handai. Amalan ziarah adalah amalan mulia yang akan membawa keberkatan dalam hidup serta memanjangkan umur sebagaimana sabda Nabi saw,

“Barangsiapa yang mahu rezekinya bertambah, usianya dipanjangkan maka hendaklah dia menghubungi rahimnya .”

Bagi mereka yang sudah kematian ayah dan ibu, ziarahilah kaum kerabat mereka, baik di sebelah arwah ayah mahupun di sebelah arwah ibu, dan juga ziarahilah sahabat handai mereka kerana Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang sahabat, bagaimanakah mahu membuat kebaikan kepada ibubapa yang telah meninggal dunia ya Rasulullah ? Jawab baginda, Hendaklah kamu memperbanyakkan doa dan istighfar untuk mereka, tunaikan wasiat mereka, hubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang tidak sampai hubungan kamu dengan mereka melainkan dengan perantaraan ibubapa kamu dan muliakanlah sahabat handai mereka yang masih hidup.

Berhati-hatilah di jalan raya

Dalam kita ziarah menziarahi, berhati-hatilah ketika membawa kenderaan. Janganlah tergesa-gesa mahu segera sampai, kerana sifat tergesa-gesa itu adalah daripada syaitan. Ingatlah Allah ketika memandu, ingatlah isteri dan anak-anak, ingatlah orang yang tersayang di kalangan ibu bapa dan saudara mara, sesungguhnya nyawa kita amat berharga di sisi orang yang tersayang. Ketahuilah kematian di jalanraya merupakan kematian yang cukup tertinggi di Negara kita.

Layanlah tetamu

Di Hari Raya, muliakanlah semua tetamu yang datang kerumah kita sama ada tua atau pun muda, sama ada kanak-kanak mahu pun remaja kerana Rasulullah saw bersabda,

ان الضيف اذا دخل بيت المؤمن دخل معه ألف بركة وألف رحمة

Maksudnya : Sesungguhnya tetamu itu apabila ia masuk ke dalam rumah seseorang mukmin, maka dia akan masuk membawa seribu berkat dan seribu rahmat.

Layanilah mereka dengan baik, janganlah kita membeza-bezakan antara tetamu miskin dan tetamu kaya, kerana kita semuanya adalah sama di sisi Allah SWT, cuma yang membezakan antara kita ialah taqwa kepadaNya. Firman Allah SWT,

ان أكرمكم عند الله اتقاكم

Maksudnya : Sesungguhnya yang mulia di sisi Allah di kalangan kamu ialah mereka yang bertaqwa.

Rumah terbuka

Islam tidak menghalang kita mengadakan rumah terbuka kerana ia adalah satu amalan yang mulia dan juga termasuk sebagai amalan bersedekah yang boleh merapatkan hubungan sesama Islam. Tetapi dalam mengadakan rumah terbuka, janganlah kita berlumba-lumba sesama sendiri, untuk menunjukkan rumah terbuka siapakah yang paling hebat, rumah terbuka siapakah yang paling banyak hidangan juadahnya sehingga kita berbelanja besar dan membazir. Ingatlah orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.

Jagalah pemakanan

Di dalam kita menjamu selera, janganlah kita makan berlebih-lebihan, sebaliknya hendaklah kita bersederhana. Ingatlah, badan yang sihat amat penting bagi kita untuk beribadat dan untuk kita bekerja mencari rezeki. Kawallah pemakanan kita, kekanglah nafsu kerana penyakit diabetes, darah tinggi, lemah jantung, obesity dan lain-lainnya adalah berpunca kerana terlebih makan.

Saling bermaaf-maafan

Pada Hari Raya kita digalakkan saling maaf-bermaafan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lidah mana yang tidak pernah tergigit begitu juga manusia mana yang tidak pernah melakukan dosa sesama manusia. Yang berlalu, biarlah ia berlalu. Janganlah disimpan di dalam hati. Buanglah yang keruh ambillah yang jernih. Oleh itu hulurkanlah salam perdamaian, oleh itu hulurkanlah salam kemaafan, hulurkanlah salam persaudaraan kerana sesungguhnya umat Islam adalah bersaudara sebagaimana firman Allah SWT,

انما المؤمنون اخوة فأصلحو بين أخويكم

Maksudnya : Orang-orang yang beriman adalah bersaudara, maka damaikanlah kedua-dua mereka, takutlah kamu kepada Allah moga-moga kamu akan beroleh rahmat.

Janganlah kita berpaling dan bermasam muka, janganlah kita keraskan hati tidak mahu bertegur sapa kerana Rasulullah saw pernah bersabda yang mafhumnya berbunyi, Tidak halal umat Islam tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari.

Dekatkan diri dengan Allah

Ingatlah wahai muslimin dan muslimat sekelian, apabila kita menyambut Hari Raya menunjukkan umur kita semakin bertambah. Justeru, semakin bertambah usia kita sepatutnya semakin bertambah erat hubungan kita dengan Allah SWT bukannya semakin jauh pula kita dengan-Nya.

Anggaplah Hari Raya Eidul Fitri pada tahun ini merupakan yang terakhir bagi kita semua, kerana kita tidak tahu bilakah kita akan pulang ke pangkuan Allah SWT.

Lihatlah di sekeliling kita. Berapa ramai di kalangan sahabat-sahabat, jiran-jiran, mahu pun sanak saudara yang turut bersama-sama merayakan Eidul Fitri pada tahun lepas, tetapi pada tahun ini mereka tidak lagi bersama dengan kita, mereka sudah menyahut panggilan Ilahi. Mungkin hari yang berikutnya adalah giliran kita, justeru bersiap sedialah dengan amalan soleh sebagai bekalan menuju ke negeri yang abadi.

Akhir kata saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA YANG MENGENALI ...

Tuesday, September 15, 2009

Di saat berakhirnya Ramadhan..

Muslimin dan muslimat sekalian,
Sedar tidak sedar, bulan Ramadhan hampir melabuhkan tirai. Umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Eidul Fitri pada hari Ahad 20hb Sept 2009.

Adalah lumrah bagi para sahabat Rasulullah saw akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang gembira dan melepaskan bulan ini dengan hati yang sedih, penuh rasa bersalah serta bimbang jika tidak sempat menemui bulan Ramadhan pada tahun yang berikutnya.

Mereka juga khuatir jika segala ibadah yang mereka lakukan di bulan Ramadhan ini masih gagal menebus dosa-dosa mereka yang lalu, dengan kata lain gagal mendapat keampunan daripada Allah SWT. Dalam hal ini Rasulullah saw,

ويل لمن أدرك رمضان فلم يغفر له

Maksudnya : Neraka Waillah, bagi mereka yang berkesempatan di bulan Ramadhan sedangkan dia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Manakala bagi orang mukmin yang hatinya berpenyakit, mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang kecewa kerana terpaksa meninggalkan nikmat makan dan minum serta syahwat. Pendekata puasa bagi mereka tidak mempunyai apa-apa erti bahkan dianggap sebagai satu bulan penyeksaan, sebab itu mereka tidak sabar-sabar menanti kedatangan Syawal, apabila Syawal menjelma mereka akan gembira dan seronok, kerana segala bentuk penyeksaan yang mereka lalui selama sebulan telah pun berakhir.

Golongan yang berpuasa kerana terpaksa inilah yang disebut oleh Rasulullah saw,

كم من صائم ليس له من صيامه الا الجوع والعطس

Maksudnya : Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa daripada ibadah puasanya melainkan hanyalah lapar dan dahaga.

Masih ada yang tidak berpuasa

Di samping itu, kita juga turut merasa sedih, apabila ada segelintir umat Islam hari ini yang masih mengabaikan kewajipan berpuasa, malah tanpa segan silu makan di hadapan orang ramai. Paling mengaibkan ada kedai-kedai makanan Islam yang turut sama bersubahat menjual makanan kepada orang-orang Islam yang tidak berpuasa. Kepada peniaga-peniaga makanan ini sayugia diingatkan, sesungguhnya bersubahat dalam perkara yang haram maka hukumnya adalah haram, segala keuntungan yang diperolehi daripadanya adalah haram, dan darah daging yang tumbuh daripada titik peluh yang haram akan dibakar api neraka selama-lamanya diakhirat nanti. Bertaubatlah sebelum terlambat.

Dan kepada mereka yang meninggalkan ibadah puasa tanpa sebarang keuzuran pula , Rasulullah saw memberi ancaman keras sebagaimana sabda baginda yang mafhumnya,

“Barangsiapa yang berbuka puasa satu hari di bulan Ramadhan tanpa sebarang rukhsah (kelonggaran ) dan tanpa uzur, maka dia tidak akan mampu mengqadakkan puasa yang ditinggalakan sehari itu sekali pun dia berpuasa seumur hidup ”. (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi)

Tidak ada Hari Raya bagi mereka yang tidak berpuasa

Sebenarnya tidak ada perayaan kepada orang yang tidak berpuasa. Kerana ibadah puasa adalah ibadah yang diperintahkan menerusi Al-Quran. Al-Quran adalah kitab suci, yang diturunkan pada bulan Ramadhan sedangkan orang-orang yang tidak berpuasa, hatinya adalah kotor dan bernajis, mana mungkin ajaran Al-Quran yang suci boleh melekat di dalam hatinya. Justeru, orang yang tidak patuh kepada perintah Al-Quran mereka sebenarnya tidak layak berhari Raya pada 1 Syawal.

Selamat beribadah di hari-hari terakhir Ramadhan ...!

Sunday, September 13, 2009

Bersediakah anda menghadapi saat kematian ?

Firman Allah SWT,

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, Maka Sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu jua, Kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, lalu akan di beritakan kepadamu apa yang Telah kamu kerjakan". (Surah Al-Jumuah : 8)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa manusia sehebat manapun dirinya, mereka tetap akan menghadapi saat kematian. Justeru itulah Nabi saw menyuruh umatnya agar sentiasa mengingati kematian berdasarkan hadis baginda saw,

أكثروا من ذكر الموت , فإنه يمحص الذنوب ويزهد فى الدنيا

Maksudnya : Perbanyakkanlah kamu mengingati kematian kerana yang demikian itu akan mengurankan seseorang itu melakukan dosa dan menjadikannya zuhud dalam urusan dunia.

أكيس الناس أكثرهم ذكرا للموت, وأشدهم إستعدادا له , أولئك هم الأكياس , ذهبوا بشرف الدنيا وكرامة الأخرة

Maksudnya : Sepintar-pintar manusia ialah orang yang mengingati mati dan sentiasa bersedia menghadapina. Mereka itulah orang yang bijaksana, mereka pergi dengan membawa penghormatan dunia dan kemuliaan akhirat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Nabi saw bersabda :

“Bahawasanya malaikat maut memerhati wajah manusia di atas muka bumi ini sebanyak 70kali sehari. Ketika malaikat Izrail datang merenung wajah seseorang, di dapati orang itu sedang gelak ketawa , maka berkatalah malaikat Izrail dengan hairan : Alangkah peliknya aku melihat orang ini, dalam keadaan aku diutus untuk mencabut nyawanya dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa .”

Sakaratul maut

Sebelum tiba saat kematian, manusia akan menempuhi saat sakaratul maut iaitu detik apabila rohnya hampir dicabut. Menghadapi kematian (sakaratul maut) adalah satu detik paling dahsyat, sehinggakan para sahabat akan jatuh jatuh pengsan dan sentiasa menangis jika mengenangkannya.

Malah Rasulullah saw juga tidak terkecuali mengalami saat sakaratul maut sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam at-Tirmizi daripada Aisyah r.anha katanya :

رأيت رسول الله (ص) وهو بالموت وعنده قدح فيه ماء وهو يدخل يده فى القدح ثم يمسح وجهه بالماء ثم يقول : اللهم أعنى على غمرات الموت أو سكرات الموت

Maksudnya : Aku melihat Rasulullah saw ketika sakaratul maut , di sisi baginda ada sebuah bekas yang berisi air, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam bekas itu dan menyapu wajahnya sambil berdoa, Ya Allah, tolonglah aku dari kepedihan sakaratul maut ini.

Dalam satu riwayat, pada satu hari Nabi saw menziarahi seorang lelaki daripada kaum Ansar yang sedang sakaratul maut, lalu baginda melihat malaikat maut dan besabda kepadanya : Wahai malikul maut, berlemah lembutlah dengan sahabatku ini kerana sesungguhnya dia seorang yang beriman. Malaikat maut menjawab, Ya Rasulullah !, tenanganlah dirimu dan yakinlah bahawasanya aku sentiasa berlemah lembut ketika mencabut nyawa orang yang beriman.

Daripada Anas bin Malik menceritakan bahawasanya Nabi saw bersabda, Sesungguhnya malaikat akan turun dan mengawal orang yang menghadapi sakaratul maut supaya tidak menggelepar dan lari kerana terlalu takut dan sakit.

Nabi Idris a.s, satu ketika telah meminta malaikat maut agar mencabut nyawanya dan kemudian menghidupkannya kembali agar dia dapat mengetahui bagaimanakah yang dikatakan mati itu. Setelah Nabi Idris a.s wafat dan dihidupkan semula, lalu bertanyalah malaikat maut, “Wahai saudaraku Idris, bagaimanakah rasanya mati itu ?”. Jawab Nabi Idris a.s, Sesungguhnya mati itu kalau hendak diibaratkan seperti kulit yang disiat hidup-hidup, maka aku rasa sakitnya mati itu 1000 kali lebih dahsyat daripada itu.”

Kata malaikat maut, “Wahai saudaraku Idris, ketika aku mencabut nyawa engkau, aku sangat berhati-hati sekali yang belum pernah aku lakukan terhadap seseorang pun sebelum ini ”

Dalam sepotong hadis daripada Jabir r.anhu berkata, Nabi saw bersabda : Ceritakanlah kamu kisah-kisah Bani Israil, tidak berdosa bagimu, sesungguhnya pada mereka itu ada kisah-kisah ganjil.

Kemudian Nabi saw menceritakan satu kisah yang terjadi di zaman Bani Israil. Ada satu rombongan manusia yang melalui kawasan perkuburan, lalu mereka berkata sesama mereka. Marilah kita sembahyang di sini kemudian kita berdoa kepada Tuhan supaya Tuhan mengeluarkan salah seorang daripada mayat yang berada dalam kawasan perkuburan ini untuk menceritakan kepada kita bagaimanakah yang dikatakan mati itu.

Lalu mereka itu sembahyang dan berdoa kepada Tuhan. Kata Rasulullah saw, lalu Allah SWT memakbulkan doa mereka. Keluarlah satu mayat yang menonjolkan kepalanya daripada lubang kubur itu dan bertanya : Wahai kaumku Bani Israil, apakah maksudmu sehingga Allah SWT memerintahkan aku untuk bangkit dari kubur bagi menjawab persoalanmu. Jawab rombongan Bani Israil ini, ceritakan kepada kami bagaimanakah yang dikatakan mati itu ?

Jawab mayat, Demi Allah aku telah mati sejak sembilan puluh tahun yang lalu. Namun kesakitan ketika rohku dicabut masih lagi terasa sehingga sekarang. Sedangkan di dahi mayat ini kata Rasulullah terdapat tanda bekas sujud.

Bagi mereka yang kafir, engkar kepada perintah Allah SWT, kematian mereka sungguh dahsyat seperti yang disebut dalam Al-Quran surah al-Anfaal ayat 50,

Kalaulah sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang kafir sambil muka dan belakang mereka serta berkata. “Rasakanlah olehmu akan siksa yang sangat pedih (nescaya kamu akan merasa ngeri melihatnya) (Al-Anfal 050)

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT,

Dan sungguh ngeri sekiranya engkau melihat orang-orang yang zalim ketika sakaratul maut, sedang para malaikat menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan suara yang menengking dan mengejek) “ Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri) ; pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina kamun disebabkan apa yang telah kamu katakana terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula menolak dengan sombong takbur akan akan ayat-ayat keteranganNya (Al-An'am 093)

Mereka ini merayu kepada Allah SWT dan merayu kepada malaikat maut agar ditangguhkan saat kematian mereka walaupun sejenak moga-moga mereka dapat menebus kesalahan mereka dengan melakukan amal kebaikan. Hal ini disebut dalam Al-Quran surah Munafiqun ayat 10-11.

Lalu mereka berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku walaupun sejenak ? maka, dengan waktu yang singkat itu membolehkan Aku bersedekah dan Aku termasuk orang-orang yang saleh?". Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang, apabila telah datang waktu kematiannya (menjemput) dan Allah Maha mengenal apa yang kamu kerjakan. (Surah Munafiqun ayat 10-11)

Wallahualam.

Nota :

Kuliah Subuh yang disampaikan di surau Bandar Warisan Puteri Sikamat pada Ahad, 13/9/2009

Tuesday, September 8, 2009

Aduh..pedihnya neraka Allah..

Firman Allah SWT,

“Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah) mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. mereka Itulah orang-orang yang lalai”. (Al-A’raaf : 179)

Diterangkan dalam kitab Tanbihul Ghafilin, dalam neraka, Iblis akan diberi peluang untuk berucap kepada semua penghuni neraka. Pakaiannya daripada api, mahkotanya daripada api serta dia diikat dengan tali daripada api.

Iblis pun berucap, “Wahai para penghuni neraka, wahai orang-orang kafir, wahai orang-orang munafik dan fasik, sesungguhnya Allah telah menunaikan janjinya kepada kamu hari ini. Justeru itu janganlah kamu semua menyalahkan aku, tetapi hendaklah kamu salahkan diri kamu sendiri. Kenapa semasa di dunia dahulu kamu tidak mahu menyembah Allah ? Kenapa kamu degil tidak mahu mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya ? Bukankah Allah itu Tuhan kamu ? Bukankah Dia adalah Tuhan yang Maha Pencipta segala sesuatu ?

Wahai penghuni neraka, hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua daripada seksaan Allah. Hari ini aku berlepas diri dari kamu semua. Hari ini aku tidak mahu bertanggungjawab tentang apa-apa yang pernah aku katakan kepada kamu sebelum ini.” Mendengar sahaja kata-kata Iblis itu maka semua penghuni neraka melaknat serta memakinya. Malaikat Zabaniyah kemudiannya memukul iblis dengan tombak daripada api neraka dan tersungkurlah iblis itu dari atas mimbarnya sehingga dia terhumban ke dalam kawah neraka yang paling bawah, selama-lamanyalah dia di sana.

Kata malaikat Zabaniyah kepada semua penghuni neraka, “Hari ini tidak ada kematian untuk kamu semua dan tidak ada pula kesenangan, semua kamu akan berada di sini selama-lamanya”.

Muslimin muslimat sekelian,

Banyak hadis Nabi saw yang menceritakan mengenai azab api neraka,

ان الصخرة العظيمة لتلقى من شفير جهنم فتهوى فيها
سبعين عاما وما تقضى الى قرارها

Maksudnya : Sesungguhnya jika sebuah batu besar dicampakkan dari pinggir neraka jahannam maka apabila ia jatuh ke bawah selama 70 tahun belum sampai lagi ke dasarnya.

Kata Nabi saw lagi,

الصعود جبل من نار يتصعد فيه الكافر سبعين خريفا ويهوى به كذالك

Maksudnya : Dalam neraka itu ada sebuah gunung yang sangat tinggi. Namanya So’ud.Diperintahkan orang-orang kafir mendakinya selama tujuh puluh tahun dan jatuh dari atas puncaknya selama tujuh puluh tahun juga.

Seringan-ringan seksaan api neraka ialah seksaan yang dikenakan kepada Abu Talib, bapa saudara Nabi saw. Sabda Nabi saw,

ان أهون أهل النار عذابا يوم القيامة رجل فى أخمص قدميه
جمرتان يغلى منهما دماغه

Maksudnya : Seringan-ringan-ringan seksaan ahli neraka itu ialah Abu Talib. Dia akan berdiri di atas dua bara api sehingga otaknya menggelegak disebabkan panasnya bara itu.

Sabda Nabi saw mengenai saiz badan ahli neraka,

ان غلظ جلد الكافر اثنان وأربعون ذراعا وان ضرسه مثل أحد وان مجلسه من جهنم كما بين مكة والمدينة

Maksudnya : Tebalnya kulit orang-orang kafir di dalam neraka itu ialah empat puluh hasta. Gigi gerahamnya sebesar bukit Uhud dan tempat duduknya sebesar antara Mekah dan Madinah.

Nabi saw juga menyebut mengenai saiz ular-ular dan kala jengking yang terdapat dalam neraka. Sabda baginda saw, “ Sesungguhnya di dalam neraka itu ada ular-ular sebesar leher unta. Jika ia mematuk makan terasa pedih dan bisanya selama empat puluh tahun. Dalam neraka itu juga ada kala jengking sebesar keldai. Jika ia menggigit maka akan terasa pedihnya selama empat puluh tahun.

Hodohnya wajah ahli neraka juga disebut dalamsepotong hadis,

وهم فيها كالحون . قال : تشويه النار فتتقلص شفته العليا حتى تبلغ وسط رأسه وتسترخى شفته السفلى حتى تضرب سرته

Maksudnya : Ahli neraka itu hodoh wajahnya. Muka-muka mereka bengkak dan melendut, bibirnya yang atas tersenseng sampai pertengan dada bibirnya yang bawah tersenseng sehingga sampai menyentuhi pusatnya.

Kata seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abdullah bin Amru Al-As, dia mendengar Nabi saw bersabda, “ Kalaulah seorang lelaki dari ahli neraka itu di humban ke dunia nescaya akan mati penduduk dunia ini disebabkan peri hodohnya wajah mereka serta bau mereka yang busuk. Apabila Abdullah bin Amru mendengar kata-kata Nabi saw yang demikan, lalu dia menangis dengan tangisan yang bersangatan.

Sebab itulah Nabi saw bersabda,

والله لو تعلمون ما أعلم لضحكم قليلا ولبكيتم كثيرا

Maksudnya : Kalaulah kamu tahu sebagaimana yang aku tahu, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa.

Kata Saidina Umar al-Khattab,

أكثروا ذكر النار فان حرها شديد وان قعرها بعيد وان مقامعها حديد

Maksudnya : Hendaklah kamu semua memperbanyakkan mengingati neraka Jahannam supaya kamu rajin beramal ibadat. Sesungguhnya neraka jahannam itu sangatlah panasnya dan dasar kawahnya sangat dalam dan cemeti-cemeti pemukulnya adalah daripada besi .

Wallahulam.

Friday, September 4, 2009

Bersabarlah abang Azmi...

Jumaat lepas, semasa balik ke kampong isteri di Sekinchan Selangor untuk berbuka puasa dengan keluarga mertua, saya menghantar sms kepada abang Azmi Husin ‘orang kuat’ Masjid Jame’ Ampangan Seremban.

Saya bertanyakan beliau tentang senarai baru AJK Masjid Ampangan dan adakah beliau masih kekal dengan jawatannya sebagai Setiausaha Masjid.

Abang Azmi membalas sms saya, “ Nama saya sudah terkeluar ustaz…”.

Nada smsnya melambangkan kesedihan beliau, juga kesedihan bagi saya. Saya percaya majoriti jemaah Masjid Jame’ Ampangan juga kecewa di atas penggugurannya. Tapi apa nak kata, keputusan telah pun dibuat oleh YAB Menteri Besar setelah menerima nasihat daripada pemuka-pemuka UMNO yang jarang wajahnya kelihatan di Masjid.

Saya berdoa kepada Allah agar abang Azmi tabah menerima penyingkiran ini. Harap-harap dia akan terus komited sebagai ahli jemaah 5 waktu di Masjid Jame’ Ampangan walaupun tidak lagi memegang apa-apa jawatan.

Saya mula mengenali abang Azmi semenjak saya diberi peluang menyampaikan kuliah Maghrib di masjid ini 6 tahun yang lalu.

Sebagai Setiausaha Masjid, Abang Azmi seorang yang komited dengan tugasnya. Aktiviti-aktiviti Masjid Jame’ Ampangan begitu meriah di bawah kelolaannya. Disokong pula oleh Nazir Masjid Tuan Haji Abu Ubaidah bin Dato’ Haji Redza yang suka membantu apa sahaja aktiviti yang memberi manfaat kepada orang ramai. Manakala Imam Masjid Tuan Haji Norazman juga seorang yang kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan aktiviti Masjid. Bagi saya gandingan tiga orang ini cukup mantap dalam memperkasakan Masjid Jame' Ampangan.

Dua atau tiga tahun lepas pernah sebuah kumpulan nasyid dengan segala peralatan muziknya dibenarkan masuk ke dalam masjid untuk membuat persembahan semasa majlis sambutan Hari Raya. Demikianlah satu pembaharuan yang dibuat oleh AJK-AJK Masjid Jame’ Ampangan. Tahniah !

Itu tidak termasuk penceramah-penceramah yang hebat dan tersohor dari serata negeri dijemput menyampaikan ceramah di Masjid ini. Memang Masjid Jame’ Ampangan cukup meriah dengan akltiviti-aktiviti kegamaannya.

Satu perkara yang saya suka dengan Abang Azmi, setiap hari di mana giliran saya menyampaikan kuliah, dia akan menghantar sms mengingatkan saya “ Ustaz, malam ni ada kuliah ”.

Kalau boleh dia mahu semua kuliah di Masjid Jame' Ampangan berjalan lancar. Kalau ada Ustaz-Ustaz yang tidak dapat hadir, dia akan berusaha mencari pengganti.

Semasa kuliah , abang Azmi akan duduk di tepi saya sebelah kanan bersama dengan Tuan Haji Aripin Kg Jiboi. Manakala Cikgu Ishak dari Taman Perwira pula akan duduk di sebelah kiri saya. Inilah 3 jemaah tetap saya, yang setia mengumpulkan nota-nota saya semenjak 5 atau 6 tahun yang lalu.

Pernah abang Azmi bawa satu fail besar dan tunjukkan kepada saya semua nota dan artikel-artikel kuliah saya. Wah !, failnya tersusun rapi, siap tercatat tarikh bila saya menyampaikan kuliahnya sekali.

Abang Azmi seorang yang berterus terang. Satu ketika dia menegur saya kerana menyentuh isu Tawasul dan Nabi Khidir dalam kuliah saya. Pengamal-pengamal Tarikat Al-Ahmadiyah marah kepada saya dengan isu itu. Saya terima tegurannya dengan terbuka.

Sabtu lepas, semasa mengerjakan solat Terawih di Masjid Jame’ Ampangan. Saya tercari-cari abang Azmi. Mana abang Azmi ? Malangnya dia tidak kelihatan. Adakah abang Azmi sudah merajuk… ?

Tiba-tiba saya terserempak dengan Tuan Haji Aripin Kg Jiboi. Dia mempelawa saya menjadi Imam Terawih, namun saya menolak. Dari cerita Tuan Haji Aripin bukan nama abang Azmi sahaja di gugurkan, malah Timbalan Nazir Tuan Haji Hashim bin Jasa pun turut terpelanting. Aduh ! dahsyatnya kerja ‘puak-puak’ ni.

Malam itu saya pulang dari Masjid Jame' Ampangan tanpa sempat berjuma dengan abang Azmi.

Kepada Abang Azmi,

Kalau abang baca blog saya, bersabarlah….. mungkin apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Insya Allah seperti kata Lobai Kampong dalam blognya, kita bukan sahaja mahu mentadbir masjid, tetapi lebih daripada itu kita juga mahu mentadbir seluruh Negeri Sembilan ini. Insya Allah. Takbir !

Kepada mereka yang berpengaruh menyingkirkan AJK-AJK Masjid yang tidak sehaluan pemikiran politik, tiada ucapan tahniah daripada saya. Ingat ! tuan-tuan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT sekiranya Masjid Jame’ Ampangan muram selepas ini.

Wassalam.