Saturday, October 31, 2009

Cara ulama dahulu mengingati kematian.....

Para ulama terdahulu ada di kalangan mereka yang menggali kubur di dalam rumahnya sendiri. Antaranya Maimun bin Mahran seorang ahli ibadah yang terkenal zuhud lagi alim di zamannya. Setiap malam dia akan masuk ke kuburnya untuk membaca Al-Quran sambil menangis.

Letak kain kafan dalam rumah

Ada juga di kalangan ulama yang meletakkan kain kafan di rumahnya supaya sentiasa dilihat, dengan cara itu akan dapat mengingatkannya kepada kematian. Tidak kurang juga ada yang menulis tulisan-tulisan, “ingatlah kematian” dan di tampal atau digantung di dinding-dinding rumahnya.

Banyak baca Al-Quran

Antara cara mengingati kematian ialah dengan sentiasa membaca Kitab Allah (Al-Quran). Bacalah Al-Quran itu secara perlahan dan berusahalah untuk menghayati isi kandungannya. Disamping itu hendaklah kita berusaha menghafal seberapa banyak ayat-ayatnya, moga-moga ayat-ayat suci Al-Quran yang dihafal akan menjadi peneman kita di alam kubur.

Sabda Rasulullah saw,

اقرءوا القران فانه يأتى يوم القيامة شفيعا لأصحابه

Maksudnya : Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat untuk memberi syafaat kepada para pembacanya. (Muslim)

Bergaul dengan orang-orang solih.

Di antara cara mengingati kematian itu ialah bergaul dengan orang-orang solih. Ziarahilah mereka dan timbalah ilmu daripada mereka. Hadirlah majlis-majlis pengajian mereka, dengarlah nasihat-nasihat mereka, pohonlah doa-doa mereka serta kasihilah dan cintailah mereka kerana Allah SWT. Dengan bergaul dengan orang-orang solih, Insya Allah akan memberi ketenangan jiwa, mengingatkan hati kepada akhirat, melembutkan jiwa yang keras serta memalingkan hati daripada sifat tamak haloba dan mencintai dunia.

Sebaik-baik orang solih ialah mereka yang faham ilmu agama serta mendalami Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka mempunyai ilmu yang luas serta layak untuk digelar hamba Allah yang soleh. Sabda Rasulullah saw,

خيركم من تعلم القران وعلمه

Maksudnya : Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan kemudian mengajarkannya. (Al-Bukhari)

Ziarah perkuburan

Selain itu hendaklah sentiasa menziarahi tanah perkuburan. Semasa di sana, berilah salam kepada penghuni kubur dan doakanlah kebahagiaan mereka. Rasulullah saw adalah seorang yang sangat menyayangi orang yang telah meninggal dunia di kalangan kaum mukminin. Nabi saw bersabda,

ان الله ينور على أهل القبور قبورهم بصلاتى عليهم

Maksudnya : Sesungguhnya Allah akan menerangi ahli kubur di dalam kubur mereka berkat doaku untuk mereka. (Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, doa orang-orang mukmin yang masih hidup akan dapat menerangi kubur serta memberi rahmat ke atas orang berada di dalamnya. Bahkan Rasulullah saw sering keluar di waktu malam menuju ke tanah perkuburan Baqi’ di Madinah, baginda kemudiannya berdiri di hadapan perkuburan itu sambil menagis dan berdoa yang panjang untuk mereka. Sebab orang-orang berada di dalam perkuburan adalah mereka yang memerlukan doa, rahmat dan kasih sayang kerana mereka sudah tidak dapat lagi memenuhi keinginan untuk kembali ke dunia serta bertaubat kepada Allah SWT.

Ali bin Abi Talib r.a menceritakan : Pada satu hari kami keluar bersama Rasulullah saw mengiringi jenazah ke kuburnya. Baginda duduk di tepi kubur dan kami pun duduk di sekelilingnya. Lalu baginda menundukkan kepalanya sambil mengorek-ngorek tanah dengan sebilah lidi yang ada ditangannya. Kemudian baginda mengangkat kepalanya, sementara air mata membasahi janggutnya. Kemudian baginda bersabda,

أيها الناس والله لو تعلمون ما أعلم لضحكتم قليلا ولبكيتم كثيرا

Maksudnya : Wahai sekelian umat manusia ! Demi Allah, kalaulah kamu mengetahui apa yang aku ketahui sekarang ini, nescaya kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis. (Al-Bukhari Dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, sekiranya kita mengetahui apa yang diketahui oleh Rasulullah saw, pastilah kita akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Sebaliknya kita hari ini lebih banyak ketawa daripada menangis sehingga hati kita menjadi keras disebabkan perbuatan maksiat dan terlalu tunduk dengan kehendak hawa nafsu. Hati kita menjadi buta kerana inginkan kemegahan dunia. Hati kita menjadi kasar kerana menjauhi Allah SWT.

Apabila menziarahi kubur maka hendaklah merenung bagaimanakah mereka yang berada di alam perkuburan itu dijemput oleh pemutus segala kesedapan duniawi. Bagaimana mereka yang sihat dan gagah akhirnya tersungkur masuk ke lubang lahad yang sempit dan gelap gelita. Fikirkan bagaimana pula di ketika saat jenazah mereka hendak di keluarkan dari rumah, padahal sebelumnya mungkin mereka sedang berseronok dengan anak isteri, memakai pakaian baru dengan penuh riang dan gelak ketawa.

Kadang-kadang mereka mati bersama kereta mewah yang dinaiki, bahkan ada yang mati ketika dia sedang dikemuncak kerjaya sebagai penjawat awam yang berpangkat, sebagai ahli politik yang hebat, sebagai tokoh perniagaan yang ternama yang sentiasa dikelilingi oleh sahabat handai dan orang ramai. Malangnya, kematian telah menjemputnya membawa kekuburan.

Tatkala dia dibaringkan di liang lahad, bereti dia telah berpisah dengan kekasih, jiran sahabat handai dan saudara mara. Apabila tanah telah dikambus, dia tidak berkuasa untuk pulang ke rumah, tidak boleh lagi berehat sebagaimana orang-orang yang menghantarnya berehat di rumah dan tidak boleh lagi bergelak ketawa sebagaimana sahabat handainya boleh bergelak ketawa. Tatkala ituah dia mencari amal yang dilakukannya, sama ada baik mahu pun buruk.

Wallahualam

Petikan dari buku,
Sakaraul Maut Bersediakah Anda Menghadapinya ? Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni, penterjemah Norhasanuddin, terbitan AlHidayah Publishers Kuala Lumpur, 2006.

Friday, October 30, 2009

Apabila dosa dan pahala sama banyak...

Firman Allah SWT,
Dan diantara keduanya (penghuni Syurga dan Neraka) ada batas ; dan di atas (Al-A’raf) itu ada orang-orang yang mengenal masing-masing dari dua golongan itu dengan tanda-tanda mereka. Dan mereka menyeru penduduk syurga ; “ Salamun ‘alaikum ”, mereka belum lagi memasukinya, sedang mereka ingin segera (memasukinya)(Al-A'raf :46)

Syurga dan neraka dibatasi oleh tembok

Di dalam ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa neraka dan syurga itu telah dipisahkan oleh satu tembok yang tinggi bernama al-A’raf. Di atas tembok itu terdapat segolonganan manusia yang disebut sebagai Ashabul A’raf yang boleh menyaksikan penduduk syurga dan penduduk neraka. Kepada penduduk syurga mereka ucapkan keselamatan dan kesejahteraan. Golongan Ashabul A'raf sangat berharap untuk masuk segera ke syurga namun mereka tertahan.

Kenapa Ashabul A’raf tidak boleh ke Syurga..?

Pendapat yang masyhur mengata Ashabul A’raf tertahan untuk ke syurga kerana mereka ini ialah golongan yang sama berat timbangan amal baik dan amal jahatnya.

Haisamah bin Sulaiman meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir bin Abdillah, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ,

Di akhirat, Allah SWT akan menimbang segala amalan manusia, barangsiapa yang amal kebajikannya lebih berat dari kejahatan walaupun seberat telur kutu, mereka akan dimasukkannya ke dalam syurga. Ada pun orang yang amal kejahatannya lebih berat dari kebaikan walaupun seberat telur kutu, nescaya mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Tetapi sekiranya amal kebaikan dan amal keburukan mereka sama berat, maka mereka akan di hantar ke suatu tempat yang bernama Al- A’raf (tempat di antara syurga dan neraka) yakni mereka tidak masuk syurga dan juga tidak masuk neraka.

Ashabul A'raf merasa menyesal..., menyesal tak sudah !

Walaupun nasib mereka baik kerana tidak dihumban ke dalam neraka namun di akhirat, golongan Ashabul A’raaf ini sungguh menyesal..., menyesal kerana mereka tidak ‘all out’ mencari pahala di dunia sedangkan mereka hanya kekurangan pahala sebesar telur kutu untuk ke syurga.

Penyesalan yang mereka alami itu satu bentuk hukuman yang Allah SWT timpakan ke atas mereka.

Pendapat lain tentang Ashabul A’raf …

Ada juga tafsiran lain mengatakan Ashabul A’raf ialah orang-orang soleh di kalangan ulama dan syuhada yang mati meninggalkan hutang.

Ada juga pendapat yang mengatakan Ashabul A’raf ialah mereka yang keluar berjihad tanpa mendapat keizinan dan restu daripada kedua orang tuanya. Ini beradasrkan hadis apabila Rasulullah saw ditanya oleh para sahabat,

Ya Rasulullah, siapakah Ashabul A’raf ? Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya mereka adalah kaum yang keluar di jalan Allah tanpa izin dari orang tuanya, dan terbunuh di jalan Allah”

Pendapat lain mengatakan Ashabul A’raf ialah mereka yang melakukan dosa-dosa kecil semasa di dunia tetapi tidak dikaffarah dosanya oleh Allah Taala dengan bermacam-macam kesusahan di dunia. Oleh kerana dosa-dosa kecilnya tidak sempat dikaffarah dengan pelbagai kesusahan hidup di dunia, maka mereka terpaksa di tahan di Al-A’raf . Di Al-A’raf mereka akan merasa gelisah tentang kesudahan nasib mereka dan kegelisahan itulah sebagai ganti dari kesusahan yang tidak sempat dialaminya semasa di dunia dahulu.

Satu pendapat lagi seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Wahab dan Ibnu Abbas, bahawa Ashabul A’raf itu ialah mereka yang mati menanggung dosa besar tetapi jasanya kepada Islam juga besar. Justeru itu Allah SWT meletakkan mereka di Al-A’raf.

Ashabul A'raf gerun melihat neraka..

Firman Allah SWT,

Dan apabila pandangan mereka di alihkan ke arah penghuni neraka, mereka berkata ; “ Ya Tuhan kami, janganlah Engkau tempatkan kami bersama-sama orang-orang yang zalim itu” (Al-A'raf :47)

Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan ketika golongan Ashabul A’raf memandang ke arah neraka, maka kecutlah hati mereka lalu mereka berdoa kepada Allah SWT agar mereka dijauhkan daripada azab sebagaimana yang menimpa ahli neraka.

Ashabul A'raf mengejek ahli neraka...

Dalam ayat seterusnya,

Dan orang-orang yang di atas Al-A’raf memanggil beberapa orang (pemuka-pemuka orang kafir) yang mereka mengenalnya dengan tanda-tandanya dengan mengatakan ; “ Harta yang kamu kumpulkan dan apa yang selalu sombongkan itu, tidaklah memberi manfaat kepadamu” (Al-A'raf : 48)

Dari atas tembok pemisah antara syurga dan neraka itu, golongan Ashabul A’raf akan menyeru penghuni-penghuni neraka yang mereka kenal melalui tanda-tanda khas di muka mengikut jenis kejahatan dan kesombongan yang dilakukan semasa di dunia dahulu. Kata mereka dengan nada mengejek,

Mana perginya harta-harta yang kamu kumpulkan di dunia dahulu, kenapa mereka tidak mahu datang membantu kamu ?

Sebahagian ahli tafsir mengatakan kata-kata ini ditujukan kepada pemimpin-pemimpin Quraisy seperti Abu Jahal, al-Walid bin al-Mughirah, Umaiyah bin Khalaf dan lain-lainnya. Mereka begitu sombong dengan harta dan pangkat mereka sehingga mengejek orang-orang Islam yang lemah seperti Bilal, keluarga Yasir, Salman al-Farsi dan sebagainya.

Di neraka semua yang mereka bangga-banggakan dahulu sedikit pun tidak boleh melepas apatah lagi meringankan seksaan yang mereka tanggung.

Ashabul A'raf tidak henti-henti mengejek...

Firman Allah SWT seterusnya,

(Orang-orang di atas Al-‘Araf bertanya kepada penghuni neraka : “ Itukah orang-orang (yang kamu telah bersumpah bahawa mereka tidak akan mendapat rahmat Allah…. ? (Al-A'raf :49)“

Ashabul A’raf meneruskan ejekan kepada ahli neraka, " Betulkah mereka ini (sambil menunjuk ahli syurga) yang kamu bersumpah dahulu, dengan mengatakan bahawa mereka sama sekali tidak akan mendapat rahmat daripada Tuhan kerana mengikut ajaran yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw ? Pada hal mereka inilah sekarang yang mendapat rahmat dan sudah pun menjadi penghuni syurga sebaliknya kamu pula kekal selama-lamanya mendapat azab Allah di dalam neraka".

Ahli neraka marah lalu membalas ejekan....

Setelah selesai golongan ashabul A’raf mengejek-ngejek ahli neraka, maka menjawablah penghuni neraka : "Wahai orang yang berada di atas tembok, (tak usahlah mengejek-ngejek kami) penduduk syurga sudah pun masuk ke syurga, sedangkan kamu sendiri pun tertahan di tembok sana.., tidak boleh masuk ke syurga. Kami bersumpah pasti kamu tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT ".

Ashabul A'raf kecut hati...

Mendengar kata-kata ahli neraka, maka kecutlah hati golongan Ashabul A’raf kerana mereka hanya mampu mengejek sedangkan nasib mereka pun belum tentu lagi, entah ke neraka atau pun ke syurga.

Dalam keadaan takut dan bimbang akhirnya Malaikat berseru kepada mereka,

….(Kepada orang mukmin itu dikatakan) ; Masuklah ke dalam syurga tidak ada kekhuatiran terhadapmu dan tidak (pula) kamu bersedih hati. (Al-A'raf : 49).

Dengan kata-kata Malaikat ini, akhirnya hilanglah perasaan takut dan bimbang yang mereka alami apabila dengan resminya mereka di persilakan masuk ke dalam syurga Allah SWT.

Sebelum masuk ke syurga, Ashabul A'raf kena mandi dulu...

Daripada Waqi’ dari Abu Sufiyan dari Mujahid dari Ubaid dari Abdullah bin Harith menceritakan sebuah hadis yang mafhumnya : Sebelum masuk ke Syurga golongan Ashabul A’raf ini akan di bawa ke sebatang sungai yang bernama Nahrul Hayah (Sungai Hidup). Tebing sungai ini daripada jongkong emas yang bertatahkan permata Luk-Luk. Setelah selesai mandi mereka di tanya apakah hasrat mereka. Lalu mereka menyatakan keinginan dan hasrat masing-masing. Lalu mereka persilakan masuk ke Syurga. Pada diri mereka ada tanda-tanda yang menyebabkan mereka digelar sebagai “Ahli Syurga yang miskin”.


Wallahualam.

Tafsir Al-Azhar
Tafsir Ahmad Sonhadji
Azab dan Nikmat Akhirat – Tuan Guru Nik Aziz.

Thursday, October 29, 2009

Bolehkah bapa menyuruh anak lelakinya menceraikan isteri...?.

Bagi menjadikan rumahtangga lebih berkat, eloklah mana-mana lelaki yang ingin mengahwini mana-mana perempuan meminta pandangan serta mendapatkan restu daripada kedua-ibupanya.

Sekiranya seseorang ayah yang soleh yang tidak pernah menyuruh anaknya melakukan kezaliman, tiba-tiba memerintahkan anaknya supaya menceraikan isterinya atas alasan syarak, maka adalah lebih utama anak lelakinya itu menurut kehendak ayahnya.

Ambil pengajaran dari kisah Nabi Ibrahim a.s.....

Imam Bukhari mengeluarkan dari sahihnya mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s. Setelah ibu Nabi Ismail a.s meninggal dunia, lantas Ibrahim datang ke Mekah untuk bertemu dengan anaknya Ismail yang ketika itu telahpun berkahwin, Namun apabila Nabi Ibrahim sampai di rumah anaknya, baginda tidak dapat berjumpa dengan Ismail. Baginda bertanya kepada isteri Ismail di mana Ismail ? Isterinya menjawab, Ismail keluar mencari nafkah. Nabi Ibrahim bertanya lagi, bagaimana keadaan kamu apabila berkahwin dengan Ismail ? Isteri Nabi Ismail menjawab, kehidupan kami amat susah lalu menceritakan semua kesusahannya kepada Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim erkata, apabila suami engkau pulang, sampaikan salamku kepadanya dan katakana kepadanya, agar menukarkan pintu rumah ini.

Apabila Nabi Ismail pulang, dia merasakan sesuatu lalu bertanya isterinya, adakah ada seseorang yang datang kepadamu ? Isterinya menjawab, ya ada seorang tua yang begini dan begini bertanya tentang dirimu lantas aku memberitahu engkau keluar mencari nafkah. Dia juga bertanya tentang kehidupan kita maka aku memberitahunya bahawa kehidupan kita sangat susah. Nabi Ismail bertanya lagi, apakah dia ada memesan sesuatu kepadamu ? Isterinya menjawab ya, dia menyampaikan salam kepadamu dan menyuruh engkau menggantikan pintu rumah ini. Ismail berkata, itulah ayahku, dia telah memerintahkan aku untuk menceraikanmu, maka kembalilah engkau kepada keluarga engkau.

Kemudian Nabi Ismail bernikah dengan seorang perempuan lain. Setelah sekian waktu datanglah perintah Allah agar Nabi Ibrahim datang sekali lagi ke Mekah untuk menjenguk anak dan keturunaannya. Namun apabila Nabi Ibrahim sampai di rumah anaknya, baginda tidak dapat berjumpa dengan Ismail. Baginda bertanya kepada isteri Ismail di mana Ismail ? Isterinya menjawab, Ismail keluar mencari nafkah. Nabi Ibrahim bertanya lagi, bagaimana keadaan kamu apabila berkahwin dengan Ismail. Menantunya menjawab keadaan kami amat baik dan lapang sambil memuji Allah SWT. Ibrahim pun bertanya lagi, apakah menu makanan kamu ? Menantunya menjawab daging dan air. Ibrahim bertanya lagi, apa minuman kamu, jawab menantunya air. Nabi Ibrahim pun memanjatkan doa, Ya Allah, berkatilah mereka dengan daging dan air. Apabila suami pulang sampaikan salamku kepadanya dan suruhlah dia menguatkan gerbang pintu rumah ini.

Apabila Nabi Ismail pulang, dia merasakan sesuatu lalu bertanyakepada isterinya, adakah ada seseorang yang datang kepadamu ? Isterinya menjawab, ya aku didatangi seorang lelaki tua yang berkerampilan baik sambil sambil memuji-muji lelaki tersebut. Dia bertanya mengenai dirimu, aku katakana kepadanya yang engkau keluar mencari nafkah. Dia juga bertanya tentang kehidupan kita sekeluarga, lalu aku menjkawab Al-hamdulillah kita sekeluarga berada dalam keadaan baik. Nabi Ismail bertanya, apakah ada lelaki itu meninggalkan pesanan buatku ? Ya ada, dia menyuruh engkau menguatkan gerbang pintu rumah ini. Nabi Ismail berkata dia adalah ayahku dan engkaulah pintu gerbang yang dimaksudkan itu, Dia menyuruh aku mempertahankan engkau.


Dalam sepotong hadis, seorang lelaki telah menemui Abu Darda’ katanya,

Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri sedangkan ibuku menyuruh aku menceraikannya. Abu Darda berkata, Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda, Orang tua adalah pintu syurga yang paling tengah, terserahlah kepadamu adakah kamu akan mensia-siakan atau memelihara pintu itu.

Kalau ayah itu fasik… ?

Jika seseorang ayah itu fasik dan mahu anak lelakinya menceraikan isteri disebabkan menantunya taat terhadap ajaran agama, maka tidak wajib anak lelaki itu mentaati perintah bapanya. Dalam hal ini Allah SWT berfirman,

Maksudnya : … dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya Telah kami lalaikan dari mengingati kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas. (Surah Al-Kahfi : 28)

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah pernah ditanya perihal seorang lelaki yang beristeri dan mempunyai beberapa orang anak, sedangkan ibunya tidak menyukai menantunya dan meminta anak lelakinya menceraikan isteri tersebut, beliau menjawab, tidak boleh menceraikan semata-mata berdasarkan perintah ibunya tetapi ia wajib berbakti kepada ibunya sedangkan menceraikan isterinya bukan termasuk tindakan berbakti kepadanya.

Bagaimana pula sekiranya si Ibu menyuruh anak perempuan meminta cerai dari suaminya…

Jika seorang wanita yang hidup harmoni dengan suaminya, lalu diminta oleh ibunya agar menuntut cerai, atau menyuruh anak perempuannya agar meminta pemberian nafkah yang tidak mampu di beri oleh suaminya, adakah permintaan si ibu ini wajib ditaati ?

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah menjawab, apabila seorang wanita telah bernikah, ia tidak wajib mentaati ayah atau ibunya, bahkan ketaatan kepada suami adalah wajib berbanding ketaatan kepada ibubapanya, selagi mana suami tidak menyuruh malakukan kemungkaran. Firman Allah SWT,

Maksudnya : “..Maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh Karena Allah Telah memelihara (mereka)..”. (Surah An-Nisaa’ : 34)

Tetapi sekiranya suami itu seorang yang ahli maksiat, maka kewajipan wanita tersebut untuk mentaati perintah ibunya adalah lebih baik.

Wallahualam.

Tuesday, October 27, 2009

Apabila jenazah diusung ke kubur…

Imam Bukhari dan Muslim dalam sebuah hadis yang datangnya dari al-Barraa’ bin A’zib meriwayatkan bahawa Nabi saw semasa menghantar jenazah seorang Ansar ke tanah perkuburan Baqi’ baginda berdoa, أعوذب الله من عذاب القبر
Maksudnya : Aku mohon berlindung dengan Allah daripada azab kubur.

Bayangkan, kalaulah Rasulullah saw seorang kekasih Allah turut berdoa agar dilindungi dirinya dari azab kubur, maka siapalah kita sebagai umatnya yang serba kekurangan dan tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Jenazah menjerit....

Imam Bukhari meriwayatkan sepotong hadis,

إذا وضعة الجنازة واحتملها الجال على أعناقهم فإن كانت صالحة , قالت : قدمونى , وإن كانت غير صالحة قالت لأهلها : يا ويلها أين يذهبون بها ؟ يسمع صوتها كل شئ إلا الانسان , ولو سمع الانسان لصعق

Maksudnya : Apabila mayat telah diletakkan dalam keranda dan dipikul oleh kaum lelaki di atas bahu mereka, jika ia seorang yang soleh ia akan berkata bawalah aku (segera) dan jika ia bukan orang yang soleh ia berkata kepada ahli keluarganya : Wahai celakanya ! kemanakah kamu hendak membawaku ? Suaranya didengar oleh segala sesuatu melainkan manusia. Dan sekiranya di dengari oleh manusia nescaya akan pengsan.

Bertuahnya mereka yang mati dalam keimanan….

Sabda Nabi s.a.w. yang mafhumnya berbunyi : Apabila seorang hamba Allah dikebumikan dan semua rakan taulan meninggalkannya, dan si mati akan mendengar hentakan kasut mereka, datanglah dua malaikat kepadanya lalu disuruh duduk dan ditanya, “Apakah pendapat kamu tentang lelaki yang bernama Muhammad s.a.w. ini?” Orang mukmin itu menjawab, “Aku mengaku bahawa dia adalah hamba Allah lagi Rasul-Nya.” Kata malaikat, “Lihatlah tempatmu di dalam Syurga.”

Kasihan bagi si kafir, munafik ...

Manakala bagi si kafir dan munafik apabila ditanya, “Apakah pendapat kamu tentang lelaki yang bernama Muhammad s.a.w. ini?” Mayat akan menjawab, “Aku tidak tahu. Aku hanya menurut apa yang orang lain katakan kepadaku.” Berkata lagi malaikat, “Kamu tidak tahu dan kamu tidak mengikut petunjuknya (ajaran al-Quran).” Maka malaikat pun memukul mayat ini dengan pemukul besi sehingga mayat menjerit-jerit meraung kesakitan. Kesemua makhluk mendengar jeritannya itu melainkan jin dan manusia.

Rupa-rupanya ada juga mayat yang akan menyoal malaikat Munkar dan Nakir...

Umum mengetahui bahawa malaikat Munkar dan Nakir ditugaskan untuk menyoal orang yang mati di alam barzakh. Namun terbalik, rupa-upanya ada juga di kalangan ahli kubur, yang akan menyoal malaikat Munkar dan Nakir dengan katanya,

من وكلكما علي ومن أرسلكما علي ؟

Maksudnya : Siapakah yang mewakilkan engkau untuk menyoal aku ? Dan siapa pula yang mengutus engkau kemari kepadaku ?

Soalan mereka ini menyebabkan malaikat Munkar dan Nakir merasa hairan rupa-rupanya ada juga orang yang berani menyoal mereka berdua sedangkan mereka adalah makhluk Allah yang garang, memiliki rambut yang panjang, wajah yang menakutkan serta suara yang bagaikan halilintar.

Kedua-dua malaikat ini berkata sesama mereka, “Nampaknya segala kebengisan kita telah dicabar oleh manusia ini”.

Siapakah mayat yang berani menyoal Munkar dan Nakir ini ? Mereka itulah ulama akhirat yang ikhlas melakukan segala perintah Allah SWT, sanggup menyatakan kebenaran kepada Raja dan penguasa yang zalim. Mereka tidak takut diugut apatah lagi dipenjara lantaran keberanian mengeluarkan fatwa.

Di alam barzakh ulama-ulama ini akan dilayan dengan baik oleh malaikat serta segala amalan soleh yang dilakukan semasa di dunia dahulu, akan ditukar menjadi orang yang paling dikasihi semasa di dunia, mereka itulah yang akan menemaninya di alam barzakh sebelum dia di bangkitkan dipadang Mahsyar.

Bagaimana pula nasib ulama suk (jahat)….

Manakala bagi ulama Suk yang kerjanya mengampu pemerintah, mengiyakan kezaliman penguasa, tidak berani menyatakan kebenaran kerana bimbang kehilangan pangkat dan harta serta menyembunyikan ilmu pengetahuan maka mereka akan diseksa dengan azab yang dahsyat. Sabda Rasulullah saw,

Sabda Rasulullah saw,

من سئل عن علم علمه ثم كتمه ألجم يوم القيامة بلجام من نار

Maksudnya : Barangsiapa yang di tanya tentang sesuatu ilmu yang dia ketahui, lalu dia menyembunyikannya, nescaya mulutnya akan dikekang dengan tali kekang api neraka. (HR Abu Dawud dan Tirmizi).

Wallahualam.

Petikan dari buku,
Rintihan Penghuni Barzakh
Tuan Guru Nik Abd Aziz bin Nik Mat.

Monday, October 26, 2009

Bolehkah berdoa agar disegerakan kematian...?

Pada dasarnya, Rasulullah saw melarang seseorang muslim bercita-cita agar di segerakan kematian.Hal ini bersandarkan kepada beberapa hadis Rasulullah saw yang berbunyi,

لا يتمنين أحدكم الموت لضر نزل به فان كان محسنا فلعله يزداد احسانا
وان كان مسيئا فلعله أن يتوب

Maksudnya : Janganlah sekaali-kali seorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati disebabkan sesuatu musibah yang menimpa dirinya. Kerana jika dia adalah seorang yang baik, maka barangkali musibah yang menimpa dirinya akan menambah kebaikkannya, sedangkan jika dia seorang yang jahat, maka siapa tahu dia kan bertaubat. ( Sahih Bukhari dan Muslim)

Dalam sepotong hadis yang lain, baginda bersabda,

المسلم لا يزيد عمره الا خيرا

Maksudnya : Bertambahnya umur seseorang muslim tentunya akan menambah lagi kebaikkan untuk dirinya. ( Sahih Muslim)

Bagaimana pula dengan kes Saidina Omar ...?

Saidnia Omar bin Al-Khattab r.a ketika menunaikan ibadah Haji untuk kali yang terakhir, beliau mengangkat kedua-dua tangannya ketika melontar Jumrah berdoa,

اللهم انها ضاعت رعيتي ورق عظمي ودنا أجلي فاقبضني اليك غير مفرط ولا مفتون اللهم اني أسألك شهادة فى سبيلك وموتة في بلد رسولك

Maksudnya : Ya Allah ! rakyatku sudah mulai pupus, kekuatan tubuhku mula melemah dan ajalku sudah menghampiri kematian. Maka cabutlah nyawaku kepadaMu dengan cara yang tidak berlebihan dan tidak pula terkena fitnah. Ya Allah ! Aku memohon kepadamu agar aku mati syahid di jalanMu dan di negeri RasulMu.

Persoalan, bagaimanakah Saidina Umar bin Al-Khattab mencita-citakan kematian padahal Rasulullah saw sendiri melarang perbuatan tersebut ?

Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah menjelaskan bahawa Saidina Umar bin Al-khattab r.a sebenarnya tidaklah bercita-cita untuk dimatikan, tetapi apa yang diharapkan ialah agar dikurniakan mati syahid.

Bercita-cita untuk mati syahid adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam bahkan ia termasuk satu amalan yang sangat mulia. Sabda Rasulullah saw,

من سأل الله الشهادة بصدق بلغه الله منازل الشهداء وان مات على فراشه

Maksudnya: Barangsiapa yang memohon untuk mati syahid kepada Allah dengan sebenarnya, maka Allah akan menyampaikannya kepada darjat para syuhada’, sekali pun pada kenyataannya dia mati di atas katilnya. (Sahih Muslim)

Orang mukmin mati berpeluh di dahinya...

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Abu Daud, An-Nasaei dan At-Tirmidzi, Nabi saw bersabda,

المؤمن يموت بعرق الجبين

Maksudnya : Orang mukmin itu mati dengan berpeluh di dahinya.

Sebahagian ulama mentafsirkan hadis di atas : Maksudnya, jika seorang mukmin itu sedang dalam sakaratul maut, maka dia akan berpeluh di dahinya kerana siraman air yang dibawa oleh malaikat.

Ada juga yang berkata, maksudnya dia mati dalam keadaan bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal solih. Dengan demikian, peluh di dahinya itu adalah symbol dari kerja keras yang dilakunya dalam mengerjakan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT,

والذين جهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وان الله لمع المحسنين

Maksudnya : Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. (Al-‘Ankabut : 69)

Yang dimaksudkan dengan orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Allah SWT dalam ayat di atas ialah mereka yang melakukan amal ketaatan dengan ikhlas kerana Allah SWT, patuh kepada perintahNya, menjauhi laranganNya serta taat setia terhadap segala ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Wallahualam.

Petikan dari buku,
Sakaraul Maut Bersediakah Anda Menghadapinya ? Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni, penterjemah Norhasanuddin, terbitan AlHidayah Publishers Kuala Lumpur, 2006.

Thursday, October 22, 2009

Selamat berangkat jemaah haji Malaysia ....

"Ustaz, malam Jumaat ini Masjid Sikamat akan menganjurkan majlis meraikan bakal-bakal jemaah Haji. Ustaz di jemput hadir “, demikianlah panggilan yang saya terima dari Setiausaha Masjid pagi semalam.

Kenangan lalu menggamit rasa…

Bersiap dengan kain ihram di Kelana Jaya

Masa berlalu begitu pantas. Sedar atau pun tidak, musim Haji kembali lagi. Tahun lepas saya dan isteri telah berkesempatan menunaikan rukun Islam yang ke lima ini. Kami mula mendaftar untuk menunaikan fardhu Haji pada tahun 2005 di Pejabat Tabung Haji Ampangan Seremban. Kalau ikutkan giliran, kami hanya boleh menunaikan fardhu Haji pada tahun 2011.

Namun oleh kerana perasaan meronta-ronta untuk menunaikan fardhu Haji ditambah lagi dengan wang simpanan yang sudah pun mencukupi, maka seawal Januari 2008, saya telah menghantar surat rayuan ke Pejabat Tabung Haji Kuala Lumpur.

Alhamdulillah surat saya mendapat respon yang positif, apabila sekitar bulan April 2008, saya telah dihubungi oleh pejabat Tabung Haji Kuala Lumpur, memaklumkan yang kami telah terpilih sebagai bakal jemaah Haji ‘menunggu’ (standby), dengan kata lain sekiranya ada mana-mana bakal jemaah Haji ‘terpilih’ menolak diri di saat-saat akhir atau Malaysia berjaya memperolehi kuota tambahan dari kerajaan Arab Saudi, maka bakal jemaah Haji ‘menunggu’ akan di beri keutamaan untuk mengisi kekosongan itu.

Baru sahaja selesai mengerjakan tawaf sunat.

Berdoa kepada Allah…

Saya dan isteri tidak putus-putus berdoa agar hajat kami untuk menunaikan fardhu Haji pada tahun 2008 dimakbulkan oleh Allah SWT. Sementara itu saya dan isteri tidak lupa untuk menghadiri kursus Haji bersiri yang di adakan di Masjid Negeri setiap hari Ahad sehinggalah ke kemuncaknya iaitu Majlis penutup kursus Haji bersiri di Masjid Bandar Baru Senawang.

Dataran Kaabah sentiasa sesak dipenuhi manusia

Akhirnya doa dimakbulkan…

Pada pertengahan bulan Ramadahan 2008, ketika sedang mengajar di sekolah, tiba-tiba saya dihubungi oleh Tn. Haji Ishak bin Itam, Pegawai Tabung Haji daerah Seremban ,

“Ustaz, saya nak maklumkan yang nama Ustaz dan isteri telah pun terpilih tahun ini, so ustaz bolehlah buat kenduri besar ..." , katanya mengusik.

“Syukur “, jawab saya.

Saya terus menghantar ‘sms’ kepada isteri menyampaikan berita gembira ini. Respon isteri , “Alhamdulillah..syukur sangat-sangat”.

Jumpa boss...

Mr.Walter Jones, pengetua Kolej Tuanku Jaafar. Walaupun kafir, namun amat prihatin dengan hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Kalau dia bercakap susah nak faham. Maklumlah Mat Saleh ni berasal dari Ireland !

Waktu rehat, saya bergegas ke bilik pengetua (Lihat gambar)

“Mr. Jones, I want to inform you, that I will perform My Hajj this year”, demikianlah gaya bahasa Inggeris saya apabila bercakap dengan Mat-Mat Saleh di Kolej Tuanku Jaafar. Tak apalah asalkan dia faham sudah !

“Congratulation, when you will departe ? ” tanyanya.

“So far I don’t know yet, but I will inform you as soon as possible when I get the fix date”, jawab saya.

“Ok Hishamuddin, Best of Luck! I hope you will success in your spiritual jouney”, sambil menghulurkan tangannya bersalam dengan saya.

"Thanks, jawab saya ringkas.

Berdiri di depan khemah di Padang Arafah

Beli beg besar…

Balik dari sekolah, saya dan isteri kemudian ke bandar Seremban untuk mencari beg besar bagi memasukkan semua keperluan-keperluan yang mesti dibawa ketika berangkat nanti. Sungguh bersemangat !

Kami ronda dari satu kedai ke satu kedai, akhirnya dapatlah beli satu beg besar untuk isteri yang berharga lebih kurang RM 89.90. Manakala untuk saya, saya fikir tak perlulah membazirkan duit untuk membeli beg baru kerana mak saya menyuruh memakai begnya yang masih lagi elok ketika dia mengerjakan Haji 7 tahun yang lalu. (Mak saya menunaikan fardhu Haji kali ke 3 pada tahun 2001)

Tarikh berangkat

Tiga minggu selepas Hari Raya Aidil Fitri, saya mendapat surat dari Tabung Haji bahawa kami akan berangkat terus ke Mekah melalui KT 58 pada 20hb Nov 2008. Kami dikehendaki mendaftar di komplek Tabung Haji Kelana Jaya pada pukul 8.00 malam dan dijadual menaiki pesawat Saudi Airlines pada pukul 2.00 pagi.

Orang gaji lari….

Sepemergian kami ke Mekah nanti, atas permintaan mak saya, dia bercadang untuk tinggal di rumah kami bagi memantau orang gaji yang akan menjaga anak-anak. Demikianlah mak, dia memang rapat dengan semua cucunya.

Malangnya, kita hanya merancang tetapi Allah SWTlah yang menentukan, sebulan sebelum kami berangkat ke Mekah orang gaji kami yang berasal dari Lampong, Indonesia melarikan diri.

Saya dan isteri termenung…! Termenung memikirkan siapa pula yang mahu ambil alih memelihara anak-anak kami ? Saya tidak bercadang untuk menyerahkan kepada kakak-kakak saya kerana mereka juga mempunyai anak yang ramai serta komitmen dengan kerjaya masing-masing. Kalau boleh kami tidak mahu menyusah-nyusahkan sesiapa dalam hal ini.

Kakak Ipar menghantar sms…

Alhamdulillah, keluarga sebelah isteri seakan tahu kerisauan kami berdua.

“Engkau orang tak usah risau…, pergilah ke Mekah.., nanti Kak Im akan jaga budak-budak tu...”, sms yang diterima oleh isteri saya dari kakaknya yang sulong, Rahimah.

Syukur !, selesai satu masaalah.

Baru sahaja selesai melontar di Jamrah pada hari kedua

Kenduri ….

16 hb November 2008, 4 hari sebelum berangkat saya dan isteri sibuk melayan tetamu yang hadir ke majlis kenduri doa selamat di rumah kami. Hari itu ramai yang datang, semua adik beradik termasuk yang tinggal di Kuala Lumpur turut hadir menyerikan majlis kami. Melainkan abang saya yang bekerja di Qatar, beliau tidak dapat datang, cuma menghantar SMS mendoakan agar kenduri kami berjalan dengan lancar dan selamat.

Manakala jemaah Masjid dan Surau sekitar kawasan Sikamat yang mengenali saya turut berkunjung dan mengucapkan selamat berangkat kepada kami berdua. Turut hadir ialah ADUN Sikamat.

Hari yang dinantikan ….

20 hb November 2008, selepas Asar, Imam Surau Taman Jujur Sikamat Tn Haji Othman membacakan doa selamat diikuti dengan laungan azan oleh Tn Haji Md Ros.Selesai azan, kami mula melangkah meninggalkan rumah menuju ke kereta untuk ke Kelana Jaya. Ketika masuk ke kereta, saya sempat melihat anak sulong menangis teresak-esak memandang kami dari pintu rumah. Manakala anak yang bongsu berusia 1 tahun 6 bulan menjerit-jerit mahu dirinya turut di dukung dan di bawa masuk sama ke dalam kereta.

“Tak boleh sayangg…ayah dan ibu nak pergi Mekah", pujuk Kak Im pada anak bongsu. Aduh! sayunya hati saya ketika itu....

Tanpa disedari, air mata saya mula menitik membasahi pipi. Manakala isteri menangis teresak-esak.

"Selamat tinggal sayang.., doakan ayah dan ibu selamat pergi dan balik ", lambai kami kepada anak-anak.

Kereta Mercedes kepunyaan abang Ipar, kemudian meluncur laju menuju ke destinasi.

Akhirnya selamat berangkat …

Di Kelana Jaya setelah menerima serba sedikit taklimat ringkas dari pegawa-pegawai Tabung Haji kami bakal-bakal jemaah Haji KT 58 menaiki bas menuju ke KLIA dengan diiringi oleh polis pengiring.

“Wah! Macam VIP lah kita”, jeling saya pada isteri. Isteri hanya berdiam diri, tidak berkata apa-apa, mungkin masih mengingati anak-anak yang ditinggalkan di rumah.


Isteri...ketika dalam Masjidil Haram memakai penutup muka untuk mengelakkan jangkitan virus selsema dan juga batuk

Sampai di KLIA, saya difahamkan oleh pegawai Tabung Haji bahawa penerbangan kami ditunda pada pukul 4.30 pagi. Lama juga saya dan isteri berada di KLIA.

Pukul 4.30 pagi seperti yang diberitahu, kami pun menaiki pesawat menuju ke kota suci Mekah, kota yang pernah di diami oleh penghulu sekelian Nabi. Selamat tinggal Malaysia. Semoga Allah SWT menerima Haji kami sebagai Haji yang mabrur….

Sedikit nasihat kepada Bakal Jemaah Haji…

Kepada bakal jemaah Haji :

1.Jaga kesihatan baik-baik. Banyakkan minum air dan pakai penutup hidung bagi mengelakkan jangkitan batuk atau selsema.

2.Pastikan anda mendapat tidur yang cukup. Jangan ghairah untuk bangun awal ke Masjid 3 atau 4 jam sebelum masuk solat Subuh sehingga anda kelihatan lesu dan letih.

3.Jangan bertengkar dengan pekedai-pekedai di Mekah walaupun mereka berkasar dengan anda. Saya pernah di halau keluar dari kedai apabila membelek ‘lama’ kopiah-kopiah yang hendak dibeli. Walaupun itu adalah hak saya untuk memastikan barang-barang yang bakal dibeli adalah berkualiti, tetapi saya akur dan mengalah serta keluar dari kedai tersebut.

4.Jangan berebut-rebut menaiki lif khususnya di waktu kemuncak, selepas zuhor dan Isyak.

5.Jangan ambil hak orang lain tanpa izin seperti selipar, sabun basuh, ubat gigi dan sebagainya.

6.Jangan ganggu jemaah sebilik yang sedang tidur seperti membuka lampu pada awal pagi. Menutup pintu bilik dengan kuat dan sebagainya.

7.Jangan habiskan masa dengan berbual-bual kosong atau menonton TV yang disediakan di lobi-lobi hotel.

8.Jangan merokok,tak patut mulut yang mengucapkan “Labbaikallahummalabbaik” mulut yang sama menghisap benda yang haram.

Wallahulam.

p/s :- Selamat berangkat menunaikan fardhu Haji khusus kepada Abang Sidek dan isteri di Taman Perwira.Begitu juga kepada Tuan Haji Rizal bin Khalid bersama isteri dan ibu mertuanya. Moga-moga kalian semua memperolehi Haji yang mabrur. Insya Allah...

Wednesday, October 21, 2009

Jangan suka bersumpah…

Firman Allah SWT,
“Dan janganlah kamu jadikan (nama ) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu dari berbuat baik, dan bertqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa mengetahui “(al-Baqarah ayat 224)

Sebab turun ayat

Ayat ini turun kerana ada di kalangan para sahabat yang telah berselisih faham menyebabkan mereka bersumpah tidak mahu bertegur sapa dan tidak mahu berdamai.

Menurut riwayat daripada daripada Ibnu Hatim, ada seorang lelaki datang berjumpa Saidatina Aisyah r.anha. Kata lelaki ini Demi Allah, aku bernazar bahawa aku tidak akan bercakap-cakap dengan sifulan. Kalau aku bercakap juga dengan dia, maka sekelian hamba-hambaku akan di merdekakan, dan segala harta bendaku akan kujadikan belanja buat pakaian Kaabah.

Mendengar nazar yang ganjil ini, Saidatina Aisyah berkata : Janganlah kamu lanjutkan sumpah atau nazar yang demikian. Janganlah engkau jadikan sumpah demikian sehingga menyebabkan engkau merdekakan hamba-hambamu dan segala harta kamu dijadikan belanja untuk pakaian Kaabah. Sebab yang demikian telah dilarang oleh Allah SWT. Janganlah kamu jadikan Allah sebagai penghalang dari sumpah mu itu, oleh itu hendaklah kamu bayar kaffarah dari sumpahmu itu iaitu :

1. Memerdekakan seorang hamba
2. Memberi makan kepada 10 orang miskin
3. Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.

Namun ada riwayat yang mengatakan ayat ini turun kerana Saidina Abu Bakar telah bersumpah dengan nama Allah tidak mahu meneruskan bantuan kepada seorang miskin yang bernama Misthah bin Utsatsah. Ini kerana Misthah terlibat bersama Abdullah bin Ubai bin Salul menyebarkan fitnah kononnya isteri Rasulullah saw Saidatina Aisyah r.anh mempunyai hubungan sulit dengan Safwan bin Muattol. Apabila turun ayat Al-Quran yang membersihkan Aisyah dari tuduhan fitnah tersebut, Saidina Abu Bakar bersumpah tidak mahu meneruskan bantuan kepada Misthah.

Tiga sumpah yang dilarang oleh Rasulullah …

Sabda Rasulullah saw,

لا نذر ولا يمين فيما لا يملك ابن أدم ولا في معصية الله ولا في قطعة رحم

Maksudnya : Tidak ada Nazar dan tidak ada sumpah pada perkara yang tidak dapat dikuasai oleh anak Adam,dan tidak pula dalam hal yang maksiat kepada Allah SWTdan tidak pula dalam hal yang memutuskan silaturrahim. (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Berdasarkan hadis ini Nabi saw melarang bersumpah dalam 3 perkara :

1. Bersumpah dalam perkara yang tidak dapat dikuasai oleh anak Adam seperti ungkapan : “Wallahi, anak aku pasti akan berjaya dalam peperiksaan SPM pada hujung tahun ini”

2. Bersumpah dalam melakukan maksiat seperti katanya “Wallahi aku akan berjudi pada petang ini”..

3. Bersumpah untuk memutuskan silaturrahim seperti katanya “Wallahi aku tidak akan menegurnya kembali”.

Bersumpah kerana terpaksa…

Firman Allah SWT pada ayat selanjutnya,

“ Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah) tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang disengaja oleh hati kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (225)

Maksud ayat di atas ialah orang yang bersumpah menggunakan nama Allah secara tidak sengaja (tidak ada niat dalam hati) tidaklah dianggap berdosa. Melainkan sekiranya sumpahnya itu disertai dengan niat dalam hati maka orang yang sedemikian hendaklah bertaubat kerana Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Pengajaran yang boleh diambil….

Pengajaran daripada ayat 224-225, sumpah adalah sesuatu perkara yang sangat mahal dalam Islam. Justeru itu janganlah sekali-kali mempermain-mainkan sumpah atau bersumpah walaupun hanya dengan isu yang kecil dan remeh, menyebabkan orang akan memandang rendah terhadap sumpah seseorang.

Kata Imam as-Syafie rhm, “ Aku tidak pernah bersumpah baik pada yang benar atau pun pada yang dusta ”

Rujukan,

Tafsir Al-Munir
Tafsir Ahmad Sonhadji
Tafsir Al-Azhar.

Tuesday, October 20, 2009

Wahai suami.., ingatlah tanggungjwabmu…

Firman Allah SWT,

“ Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka pula tetap melakukan segala apa yang di perintahkan ” (Surah at-Tahrim ayat 6)

Melalui ayat ini Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya memelihara diri dan keluarga daripada api neraka iaitu dengan menyuruh mereka mentaati perintah Allah, bertaqwa kepada-Nya, melakukan kebaikan serta menjauhi segala kemungkaran. Yang dimaksudkan dengan ahli keluarga ialah isteri, anak-anak, khadam atau pembantu serta mereka yang berada di bawah jagaan.

Marilah kita bermuhasabah...

Kepada mereka yang bergelar suami marilah sama-sama kita menilai diri, sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab kita dengan sempurna terhadap isteri dan anak-anak kita ? Antara lain yang perlu kita lakukan ialah ,

a. Memberi pendidikan agama kepada ahli keluarga. Menurut Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, adalah wajib bagi seorang suami untuk memberi ilmu pengetahuan agama kepada isteri dan anak-anaknya. Jika suami tidak mampu mengajar, maka hendaklah si suami menggesa mereka supaya belajar dengan cara memanggil orang lain datang ke rumah atau menghantar mereka ke tempat khas seperti di surau, masjid dan sebagainya. Jika suami tidak melaksanakan tanggungjawab ini, maka suami dan seluruh isi keluarganya akan berdosa. Sabda Rasulullah saw, "Tidak ada seseorang yang berjumpa Allah swt dengan membawa dosa yang lebih besar melainkan seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya."

Sabda Nabi saw lagi,

"Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah mengkhianati Allah dan juga Rasul-Nya."

b. Hendaklah mengingatkan ahli keluarganya supaya selalu menunaikan solat serta mengingatkan mereka agar menunaikannya tepat pada waktunya. Firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 132,

“ Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan Bersabarlah kamu dalam mengerjakannya… ”

Kalau suami tak sembahyang……

Jika sibapa atau suami tidak mengerjakan solat fardhu, maka anak atau isteri wajib mengingatkan bapa atau suaminya dengan penuh hikmah. Jika sudah diingatkan tetapi bapa atau suami masih enggan, maka terlepaslah sudah tanggungjawab si anak atau isteri. Menurut syariat Islam, dibolehkan mana-mana isteri (jika mahu) menuntut fasakh sekiranya suami masih enggan mendirikan solat setelah dinasihatkan.

Menurut Ibnu Taimiyah, orang yang meninggalkan solat tidak harus kita memberi salam kepadanya atau menerima jemputannya. Begitu juga seorang bapa tidak harus mengahwinkan anak perempuannya dengan mana-mana lelaki yang meninggalkan solat, kerana pada hakikatnya dia bukanlah seorang Islam yang sebenar. Pengurus sesebuah organisasi pula tidak harus mengambil pekerja orang yang meninggalkan sembahyang kerana pada hakikatnya dia membantu orang itu dengan rezeki Allah untuk mengengkari-Nya.

c. Tidak boleh membiarkan ahli keluarganya melakukan kemungkaran dan melanggar perintah Allah SWT. Dan jangan sekali-kali menurut kehendak mereka jika kehendak itu berunsur maksiat atau di luar kemampuan.

Sebagai ketua keluarga hendaklah bersifat tegas terhadap isteri dan anak-anaknya apabila mereka melakukan kemungkaran. Mana-mana suami yang tidak ada perasaan marah dan sakit hati apabila melihat kemungkaran yang berada di bawah tanggungannya, dia dikira sebagai suami yang dayus dan berdosa besar.

Rasulullah saw memberi amaran kepada mana-mana suami atau bapa yang dayus. Sabda baginda saw, Tiga golongan yang Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )

d. Mengajar anak-anak dan isteri serta orang yang berada di bawah tanggungannya agar menyintai Nabi, kaum keluarganya dan dan membaca Al-Quran. Sabda Rasulullah saw,

أدبوا أولادكم على ثلاث خصال حب نبيكم وأله بيته وتلا وة القرأن

Maksudnya : “Ajarilah anak-anak kamu tentang 3 perkara iaitu menyintai Nabimu, menyintai kaum keluarga baginda dan membaca Al-Quran.

e. Mencari rezeki yang halal untuk menyara nafkah terhadap ahli keluarga, isteri dan anak-anak yang belum mampu untuk bekerja. Termasuk kepada anak-anak yang sudah baligh tetapi ada cacat yang menghalangnya daripada berusaha atau tidak sempurna akalnya. Firman Allah SWT,

Maksudnya : “.….dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf …”. (Al-Baqarah : 233)

Saturday, October 17, 2009

Kalau bekerja, bekerjalah dengan jujur.....

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak seberapa dan ramai penganggur di luar sana namun Al-hamdulillah kita masih mempunyai pekerjaan. Justeru, marilah kita bekerja dengan jujur dan amanah demi sesuap rezeki yang halal.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

“ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Dalam ayat ini Allah SWT melarang memakan harta orang lain dengan cara yang salah (batil). Termasuk memakan harta secara haram (batil) ialah seperti pekerja yang sengaja melewat-lewatkan kerjanya supaya dia boleh membuat kerja lebih masa (over time), atau membuat tuntutan yang tidak sepatutnya dari majikan, atau ponteng kerja dengan alas an sakit lalu ditunjukkan surat sakit (MC) yang dikeluarkan oleh doktor yang diupah, menggunakan peralatan pejabat seperti telifon, mesen photostate, kertas A 4 untuk kepentingan peribadi bukan urusan pekerjaaan, mengambil masa yang lama apabila keluar rehat/makan, maka semua perbuatan ini adalah korupsi dan haram.

Sabda Rasulullah saw,

Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya (Hadis riwayat Al-Tarmizi)

Peringatan kepada peniaga…

Kepada peniaga ingatlah, perniagaan yang haram bukan sahaja menjual arak, babi atau najis dadah, tetapi ia juga merangkumi barang-barang yang lain seperti menjual rokok (Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1996 mengeluarkan fatwa bahawa merokok hukumnya adalah haram!), menjual majalah-majalah atau CD lucah, menjual pakaian-pakaian seksi yang mendedahkan aurat, menjual cincin yang kononnya mempunyai azimat, menjual tiket loteri, menjual insuran yang berasaskan riba dan sebagainya maka semua ini adalah haram di sisi Islam.

Jangan menipu...

Kepada peniaga-peniaga yang mencari keuntungan dengan jalan menipu, maka ingatlah hadis Rasulullah saw,

من باع عيبا لم يبينه لم يزل فى مقت الله ولم تزل الملائكة تلعنه

Maksudnya : Barangsiapa menjual barang yang cacat, tanpa menjelaskan kecacatannya, nescaya dia berada dalam kemurkaan Allah dan para Malaikat akan sentiasa melaknatnya. (Riwayat Ibnu Majah)

Di akhirat orang yang menipu ini akan memikul harta yang diambilnya secara tipu. Dalilnya ialah firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran ayat 161,

Barangsiapa yang menipu (khianat) dalam urusan harta rampasan perang, maka pada hari Qiamat dia akan datang dengan membawa apa-apa yang ditipunya itu…

Walaupun ayat ini dituju kepada mereka yang mengambil harta rampasan perang secara tipu, namun ia juga termasuk kepada mereka yang menipu dalam apa sahaja urusan seperti tanah, rumah, kenderaan, emas, perak, wang ringgit dan sebagainya.

Sabda Rasulullah saw,

من ظلم قيد شبر من الأرض طوقه من سبع أرضين

Maksudnya : Barangsiapa mengambil tanah orang lain walaupun sejengkal secara zalim, maka kelak akan dikalungkan kepadanya pada hari kiamat tujuh lapis tanah. ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Persoalan bagaimana mereka akan pikul tanah atau harta-harta yang mereka ambil secara haram di akhirat kelak, hendaklah kita serahkan kepada Allah SWT kerana alam akhirat adalah alam lain yang diluar jangkauan pemikiran manusia. Dialah Allah yang akan menetapkan sesuatu di akhirat nanti.

Peringatan kepada hakim-hakim...

Ayat 188 surah al-Baqarah juga mengingatkan kepada hakim-hakim supaya tidak menerima rasuah ketika menegakkan keadilan kerana mana-mana hakim yang menerima suapan adalah kufur sebagaimana hadis Rasulullah saw,

“Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur.” ( Riwayat at-Tabrani)

Sekiranya seseorang itu memberi rasuah kepada hakim demi mendapat haknya supaya dia diberi penghakiman yang adil, maka pemberinya tidak berdosa kerana dia memberi dalam kedaan terpaksa, sebaliknya yang berdosa ialah hakim tersebut.

Jika seseorang memberi hadiah kepada Hakim yang mana amalan ini telah dilakukan sebelum Hakim itu dilantik ke jawatannya lagi dan amalan ini diteruskan setelah dia di lantik sebagai Hakim, tiada niat lain melainkan sebagai tanda persahabatan yang telah terjalin erat, maka hukmunya adalah harus.

Namun jika perbuatan itu boleh menimbulkan fitnah di antara kedua pihak maka hendaklah ditinggalkan. Sabda Rasulullah saw,

دع ما يريبك إلى ما لا يريبك

Maksudnya : Tinggalkanlah apa yang meragukan untuk menuju kepada sesuatu yang tidak meragukan. (Riwayat at-Tirmizi).

Kepada kakitangan kerajaan ingatlah...

Kepada pekerja-pekerja sektor kerajaan yang mendapat gaji bulanan tetap seperti pegawai kastam, pegawai tadbir, pegawai daerah, polis, JPN dan sebagainya ingatlah hadis Rasulullah saw yang berbunyi,

من شفع لأخيه شفا عة فأهدى له هدية فقبلها فقد أتى بابا عظيما
من أبواب الربا

Maksudnya : Barangsiapa yang memberi syafaat (pertolongan) saudaranya dengan sesuatu syafaat (pertolongan), dan saudaranya itu memberikan kepadanya ganjaran atau hadiah dan ia menerimanya, maka ia telah membuka satu pintu daripada pintu-pintu riba. ( Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Hadis ini memberi amaran kepada mana-mana pegawai yang berurusan dengan sesiapa sahaja serta dia di datangi oleh orang lain atau masyarakat untuk meminta pertolongan daripadanya sedangkan pertolongan tersebut merupakan tugas dan tanggungjawab yang sememangnya mesti ditunaikan namun pegawai ini menerima hadiah daripada orang yang berurusan dengannya walaupun sebagai tanda terima kasih maka perbuatan ini adalah haram, mempunyai unsur-unsur rasuah dan membuka satu pintu daripada pintu-pintu riba.

Dikaitkan dengan riba kerana hadis ini mahu menunjukkan bahawa dosa rasuah adalah setaraf dengan dosa riba yang dilaknat oleh Allah SWT sekaligus membawa kebinasaan kepada pelakunya. Sabda Nabi saw,

“Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:" Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”(Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah saw,

لعن رسول الله الراشى والمرتشى

Maksudnya : Rasulullah saw melaknat pemberi dan penerima rasuah. ( Riwayat Ahmad)

Kesimpulan

Bekerjalah dengan jujur dan amanah, bawalah pulang rezeki yang halal untuk disuapkan kepada isteri dan anak-anak di rumah. Ingat pesan Rasulullah saw bahawa hati itu ditempa dari makanan. Jika hati baik, maka akhlak dan perangai seseorang itu akan baik, demikianlah sebaliknya. Sabda Rasulullah saw,

ألا وإن فى الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله
وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهى القلب

Maksudnya : Perhatikan ! Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada seketul daging; apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekalian anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahualam.

Thursday, October 15, 2009

Di Padang Mahsyar, hutang 5 sen tak bayar ..… Allah ambil 700 solat fardhu !

Apabila manusia dibangkitkan dari kubur untuk menuju ke Padang Mahsyar, mereka bukan sahaja di bangkitkan dalam rupa bentuk dan tabiat yang asal, sebaliknya mereka akan di bangkitkan sama seperti keadaan mereka mati di dunia dahulu. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya,

"Dibangkitkan semula setiap hamba oleh Tuhannya dengan keadaan sebagaimana dia di matikan dahulu".

Peringatan kepada artis-artis penyanyi....

Menurut Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rhm di dalam kitabnya Kasyful Ulumil Akhirat menyatakan, di akhirat kelak ada segolongan manusia yang apabila dibangkitkan dari kuburnya akan tergantung di atas bahunya alat-alat muzik yang pelbagai rupa. Peralatan muzik yang terlonggok di atas bahu artis dan pemuzik ini sama ada besar atau kecil adalah satu beban yang sungguh menyeksakan.

Lalu artis atau pemuzik ini melontarkan kesemua peralatan muzik tersebut sambil berkata, “Pergi Jahannamlah kamu semua, sebab engkaulah aku lalai daripada mengingati Allah, sebab engkaulah masa hidupku di dunia dahulu tidak berguna dan tidak ingat akhirat .”

Setiap kali peralatan muzik itu dilontarkan, ia datang semula dan berpaut di atas bahu tuannyanya sambil berkata, “ Bukankah semasa di dunia dahulu aku adalah sahabatmu yang paling setia ? Akulah yang memasyhurkan engkau sehingga engkau menjadi artis terkenal sehingga engkau disanjung dan di puja oleh orang ramai ? ”

Orang berkenaan berusaha menafikan kata-kata peralatan muzik tersebut. Namun semua alat muzik itu bertegas menyatakan, “Tunggulah kita berada di hadapan Allah SWT nanti, biarlah Allah SWT menghakimi masaalah di antara kita berdua, kerana hanya Allahlah yang berhak menghukum dan Dialah Tuhan yang sebaik-baik Hakim”.

Berbagai keadaan ketika ke Padang Mahsyar...

Ketika menuju ke Padang Mahsyar ada yang berjalan terhuyung hayang dalam keadaan perut mereka buncit, besarnya seperti bukit manakala kakinya kecil. Ada yang berjalan dalam keadaan kemaluannya besar dan bernanah dan ada juga yang berjalan berjengkit-jengkit di atas hujung jari kaki. Malah ada juga di antara manusia yang akan tenggelam dengan peluh ketika di Padang Mahsyar. Hal ini diterangkan dalam hadis Rasulullah saw,

عن أبي عمر عن النبي (ص) : (يوم يقوم الناس لرب العلمين) قال : يقومون فى الرشح الى أنصاف أذانهم

Maksudnya : Daripada Abdullah bin Umar a-Khattab r.anhuma daripada Nabi saw ketika menafsirkan ayat (pada hari orang-orang yang di hadapan Tuhan sekelian alam). Sabda baginda : Orang-orang yang berdiri di hadapan Tuhan itu ada yang tenggelam dalam peluh sehingga ke (cuping) telinga mereka.

Manusia ditanya tentang 5 perkara...

Apabila manusia sudah berhimpun di hadapan Allah SWT, maka setiap orang akan ditanya tentang lima perkara sebagaimana yang diterangkan oleh sebuah hadis

عن ابن مسعود عن النبي (ص) : قال لا تزول قدما ابن أدم يوم القيامة من عند ربه حتى يسئل عن خمس : عن عمره فيما أفناه ؟ و عن ششبابه فيما أبلاه وعن ماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه ؟ وماذا عمل فيما علم ؟

Maksudnya : Daripada Ibnu Mas’ud daripada Nabi Saw bersabda : Tidak berganjak kaki anak Adam berdiri di hadapan Allah pada hari Qimat sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara iaitu umurnya bagaimana ia dihabiskan, waktu mudanya bagaimana digunakan, hartanya bagaimana diperolehi dan bagaimana pula harta itu dibelanjakan dan ilmunya apakah ia telah amalkan ?

Setiap sesuatu akan menjadi saksi...

Segala saksi-saksi akan di datangkan untuk membuktikan amalan yang merekalakukan semasa di dunia. Umpamanya jika seseorang itu semasa di dunia sentiasa melakukan solat Tahajjud pada waktu malam, maka kain yang dipakai ketika solat Tahajjud atau baju yang dipakainya atau sejadah yang digunakan akan datang menjadi saksinya semasa di akhirat.

Sebaliknya sekiranya dia adalah jenis manusia yang selalu tinggal solat Subuh, maka tilam, bantal dan juga kain selimut yang digunakan ketika tidur akan menjadi saksi di depan Allah SWT menyatakan bahawa orang berkenaan tidak menunaikan solat Subuh.

Manusia akan saling kenal mengenali...

Semasa di Padang Mahsyar manusia akan saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah SWT,

“Dan (Ingatlah) akan hari dimana Allah akan mengumpulkan mereka, (mereka merasa di hari itu) seakan-akan mereka tidak pernah berdiam (di dunia) melainkan hanya sesaat di siang hari, (di waktu itu) mereka saling berkenalan. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mereka dengan Allah dan mereka tidak mendapat petunjuk” . (Surah Yunus ayat 45)

Walaupun mereka kenal antara satu sama lain, suami kenal akan isterinya, isteri kenal akan suaminya, ayah kenal akan anaknya, anak kenal akan ayahnya dan mereka kenal sesiapa sahaja yang mengenali mereka di dunia ini, namun masing-masing semuanya tidak boleh membantu antara satu sama lain.

Dalam sepotong hadis daripada Abu Hurairah r.anhu, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda :

“ Seseorang yang mempunyai kerabat semasa di dunia, tetapi di akhirat apabila mereka bertemu kerabatnya mereka berkata : Sesungguhnya engkau bukan kaum kerabatku, jika engkau kaum kerabatku mengapa semasa aku melakukan maksiat di dunia dahlu engkau hanya berdiam diri, sikit pun engkau tidak mencegah akau darupada melakukan maksiat itu .”

Ada yang minta tolong dengan anak...

Sahabat Nabi saw Ikrimah r.anhu berkata : Semasa di akhirat seorang ayah akan memegang anaknya sambil berkata : Wahai anakku, bukankah aku adalah ayahmu semasa di dunia dahulu. Maka anak itu ya, engkaulah ayahku sambil memuji kebaikkan ayahnya semasa di dunia dahulu. Kata ayahnya, wahai anakku apalah kiranya sudi jika engkau berikan sedikit kebaikan mu walaupun sebesar zarah kepada ayah, moga-moga ayah selamat daripada azab Allah. Jawab anaknya : Wahai ayah, aku juga takut dengan azab Allah, aku bimbang jika aku beri kebaikanku sebesar zarah kepada mu aku pula akan kekurangan kebaikkan menyebabkan aku akan di humban kedalam api neraka. Cubalah ayah minta kepada ibu, manalah tahu kalau ibu boleh membantu mu.

Maka si ayah ini pergi mencari isterinya. Bila mereka berjumpa, maka berkatalah si suami : Wahai isteriku bukankah aku adalah suamimu semasa di dunia dahulu. Jawab isterinya, Ya wahai suamiku, aku mengenali engkau, engkaulah suamiku yang baik semasa di dunia dahulu; Kata suaminya : Justeru wahai isteriku apalah kiranya sudi jika engkau berikan kebaikkanmu walaupun sebesar zarah kepadaku, moga-moga dengan itu aku terlepas daripada azab Allah SWT. Jawab isterinya, wahai suamiku, aku juga takut dengan azab Allah, aku bimbang jika aku berikan kebaikanku walaupun sebesar zarah kepadamu, aku pula akan kekurangan kebaikkan menyebabkan aku di humban oleh Allah SWT kedalam neraka.

Padah orang yang berhutang ...

Malah anak yang berhutang dengan ibubapanya semasa di dunia, hutangnya akan dituntut oleh kedua ibubapanya semasa di akhirat kelak. Justeru seorang anak sama sekali tidak boleh mengengkari membayar hutang kepada kedua ibubapanya dengan alasan harta kepunyaan bapa adalah harta kepunyaan dirinya juga. Sebab dalam sepotong hadis ada menjelaskan hal ibubapa menuntut menuntut hutang daripada anaknya,

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.anhuma berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda ,

"Berlaku satu kes di Padang Mahsyar, seorang anak berhutang duit dengan bapanya, hutang itu tidak dijelaskan semasa di dunia. Ibubapanya telah menuntut keadilan di hari Mahsyar, lalu si anak merayu kepada kedua ibubapanya, Wahai ibubapaku, bukankah aku ini anakmu semasa di dunia dahulu ? Mengapakah kamu tunutut juga hutang itu kepadaku ketika ini ? Ibubapanya tidak mengendahkan rayuan anaknya, malah kalau ada hutang-hutang lain selain daripad itu akan dituntut juga pada hari tersebut ”

Moral daripada kisah ini, jika hutang kepada ibubapa juga wajib dibayar semasa di dunia apatah lagi hutang dengan manusia yang tidak ada hubungan darah. Imam Al-Qurtubi dalam kitabnya At-Tazkirah menyatakan : Sekiranya seseorang lelaki pada hari Qiamat membawa pahala amal ibadah sama seperti pahala amal ibadah 70 orang para Nabi, sekiranya dia ada hutang dengan manusia walau sekadar 5 sen, dia tetap tidak akan masuk syurga selagi hutangnya itu tidak dilangsaikan.

Di akhirat, manusia tidak boleh menebus hutangnya dengan wang ringgit kerana wang ringgit sudah tidak berguna lagi pada masa itu. Justeru manusia akan menebus hutangnya dengan memberi amalan pahalanya semasa di dunia kepada orang yang dia berhutang dahulu.

Menurut Imam Al-Qurtubi : 5 sen hutang yang tidak dibayar semasa di dunia bersamaan dengan 700 kali solat fardhu yang diterima oleh Allah SWT hendaklah diberikan kepada mereka yang menuntut hutang. Ketahuilah, 700 kali solat fardhu yang diterima oleh Allah SWT bersamaan solat yang dilakukan selama 140 hari.

Bayangkan kalau seseorang yang berhutang sebanyak seratus, dua ratus, seribu atau satu juta ringgit dalam keadaan sengaja tidak mahu membayarnya sehinggalah dia meninggal dunia, bagaimanalah nasib mereka di akhirat kelak ?

Itu hutang dalam bentuk wang ringgit, bagaimana pula hutang dalam bentuk dosa sesama manusia seperti mengumpat dan memfitnah ? Sudah cukupkah amalan-amalan soleh yang kita lakukan di dunia untuk membayar hutang-hutang ini di akhirat kelak ?

Jangan jadi orang yang muflis di akhirat yang mana semua amalan soleh yang kita lakukan di dunia habis diberi kepada orang yang kita berhutang dosa semasa di dunia dahulu seperti yang disebut oleh Rasulullah saw dalam hadisnya,

أتدرون من المفلس؟ قالوا : المفلس فينا من لا درهم له ولا متاع. فقال : ات المفلس من أمتى من يأتى يوم القيامة بصلاة وصيام و زكاة ويأتى وقد شتم هذا وقذف هذا وأكل مال هذا وسفك دم هذا وضرب هذا فيعطى هذا من حسناته وهذا من حسناته فان فنيت حسناته قبل ان يقضى ما عليه أخذ من خطايا هم فطرحت عليه ثم طرح فى النار

Maksudnya : Rasulullah saw bertanya para sahabat : Tahukah kamu siapakah orang yang muflis ? Sahabat menjawab : Orang yang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan juga tidak mempunyai harta. Lalu Nabi saw bersabda : Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi semasa di dunia dia pernah memaki sifulan, menumpahkan darah sifulan dan pernah memukul sifulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitulah seterusnya terhadap orang lain yang pernah dianiayainya sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebasan dosa penganiyaan belum lagi habis, maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniayaitu lalu dibebankan kepada orang tersebut, sehinggalah ia dicampak ke dalam api neraka.

Wallahualam.


Rujukan,
Persiapan Menghadapi Maut - Tuan Guru Nik Abd Aziz Nikmat
Sakratul Maut Bersediakah Anda Menghadapinya – Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni.

Saturday, October 10, 2009

Di takdirkan kita mati hari ini ...

Imam Bukhari meriwayatkan sepotong hadis, اذا وضعت الجنازة واحتملها الرجال على أعناقهم فان كانت صالحة , قالت : قدمونى , وان كانت غير صالحة قالت لأهلها : يا ويلها أين يذهبون بها ؟ يسمع صوتها كل شىء
الا الانسان , ولو سمع الانسان لصعق

Maksudnya : Apabila mayat telah diletakkan dalam keranda dan dipikul oleh kaum lelaki di atas bahu mereka, jika ia seorang yang soleh ia akan berkata bawalah aku (segera) dan jika ia bukan orang yang soleh ia berkata kepada ahli keluarganya : Wahai celakanya ! kemanakah kamu hendak membawaku ? Suaranya didengar oleh segala sesuatu melainkan manusia. Dan sekiranya di dengari oleh manusia nescaya akan pengsan.

Saudara dan saudariku sekalian..,

Bayangkan kalau kita mati hari ini atau malam ini, bagaimanakah nasib kita di alam barzakh ? Jawapannya hanya ada dua sama ada kita menerima azab atau menerima nikmat.

Justeru apakah ikhtiar kita untuk menyelamatkan diri dari azab kubur ? Berdasarkan beberapa hadis Rasulullah saw, Nabi memberi pertunjuk beberapa amalan yang boleh mengelakkan dari fitnah kubur.

Di antaranya ialah dengan membaca surah al-Mulk pada setiap malam sebelum tidur. Terdapat hadis sohih yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi , Ibnu Majah dan ramai lagi yang menjelaskan kelebihan membaca surah Al-Mulk. Hadisnya berbunyi,

أن سورة ثلاثين أية شفعت فى صاحبها حتى غفرله تبارك الذى بيده الملك وينجى من عذاب القبر

Maksudnya : Sesungguhnya terdapat surah yang mengandungi tiga puluh ayat yang memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diampunkan dosanya “ Maha Berkat Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) ”. Dan ia menyelamatkan dari azab kubur.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a, Nabi saw bersabda : Barangsiapa yang membaca Tabarakal Lazi biyadihi Mulku …. Pada tiap-tiap malam, nescaya Allah akan memeliharanya dengan berkah surah ini daripada azab kubur.

Selain surah Al-Mulk, mereka yang beramal dengan surah al-Ikhlas juga akan bebas daripada azab kubur. Sabda Rasulullah saw,

من قرأ قل هو الله أحد فى مرضه الذى يموت فيه لم يفتن في قبره وأمن من ضغطة القبر وحملته الملائكة بأكفها حتى يجيزه من الصراط الى الجنة

Maksudnya : Barangsiapa yang membaca Qulhuwallahua Ahad dalam masa sakitnya yang membawa kepada kematiannya, nescaya dia terlepas daripada fitnah kubur, aman dari himpitan kubur dan malaikat pula membawanya dengan tapak tangannya sehinggalah dia berjaya melintasi jambatan As-Sirath ke Syurga.

Kelebihan meninggal hari Jumaat atau malamnya

Mereka yang meninggal pada hari Jumaat atau malamnya juga terlepas daripada fitnah kubur. Sabda Nabi saw,

عن عبدالله بن عمرو قال, قال رسول الله (ص) ما من مسلم يموت يوم الجمعة
أو ليلة الجمعة الا وقاه الله فتنة القبر

Maksudnya : Daripada Abdullah bin ‘Amru katanya, telah bersabda Rasulullah saw : Tidaklah sesiapa di kalangan orang Islam yang mati pada hari Jumaat atau malamnya melainkan dipelihara oleh Allah daripada fitnah kubur.

Wallahualam.