Friday, November 27, 2009

Pesanan Nabi Ismail a.s kepada ayahnya...













Nabi Ismail berpesan sebelum ayahandanya menyempurnakan perintah Tuhan ...,

1. Wahai ayah ! sebelum ayah menyembelihku, hendaklah ayah mengikat tanganku supaya aku tidak bergerak-gerak yang mungkin menyusahkan ayah.

2. Wahai ayah ! hendaklah wajahku di hadapkan ke tanah supaya ayah tidak melihatku sehingga menimbulkan perasaan belas kasihan ayah kepadaku.

3. Wahai ayah ! hendaklah ayah melipatkan kain ketika menyembelih, supaya tidak tercemar pakaian ayah dengan darahku sehingga mengurangi pahalaku dan menyusahkan hati ibu.

4. Wahai ayah ! Hendaklah ayah menajamkan pisau agar mudah leherku dihiris dan aku pula tidak terlalu sakit.

5. Wahai ayah ! Hendaklah ayah membawa bajuku kepada ibu sebagai tanda kenangan daripadaku dan sampaikanlah salamku kepada ibu dan katakanlah kepadanya : Bersabarlah wahai ibu, bersabarlah dengan perintah Allah ini. Dan janganlah ayah memberitahu ibu bagaimana ayah menyembelihku dan mengikat tanganku.

6. Wahai ayah ! Janganlah ayah membenarkan anak-anak masuk ke rumah ibu supaya ibu tidak terlalu sedih mengenangkanku. Dan jika ayah melihat kanak-kanak sepertiku janganlah ayah pandang kerana bimbang ayah akan berdukacita.

Kebesaran Allah ....

Apabila Nabi Ibrahim sudah mula menghiris pisau sembelihan ke leher anaknya Ismail, dengan izin Allah pisau itu membalik sehingga tidak boleh memotong leher Nabi Ismail a.s. Kata Nabi Ismail, Wahai ayah ! kekuatan mu menjadi lemah kerana masih ada perasaan cinta kepadaku sebeb itu ayah tidak boleh menyembelihku!

Maka Nabi Ibrahim a.s memukul pisau semebelihan itu pada batu dan batu itu pecah menjadi dua. Kata Nabi Ibrahim a.s, Wahai pisau engkau mampu membelah batu tetapi mengapa engkau tidak mampu memotong leher anakku ?

Berkatalah pisau itu dengan izin Allah, Wahai Ibrahim ! engkau mengatakan potonglah sedangkan Tuhan sekalian alam berfirman kepadaku , "Jangan potong " maka bagaimana aaku boleh mentaati engkau sedangkan aku wajib patuh kepada perintah Tuhanku.

Di saat itulah Allah SWT berfirman :

"Serta Kami menyerunya : "Wahai Ibrahim, Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Ibrahim. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman". (Surah As-Saaffaaat : 104-111)

Apabila membawa wahyu ini Jibril berseru mengagungkan Allah, "Allahu Akbar" lantas dijawab oleh Nabi Ibrahim "La ila ha Il Lallah". Nabi Ismail yang mendengar turut menyahut " Allahu Akbar Walillahilhamd".

Inilah kalimah yang kita ucapkan ketika menyambut Eidul Fitri dan Eidul Adha.

Wallahualam.

Thursday, November 26, 2009

Wukuf dan Selamat Hari Raya Korban....

Kenangan semasa Wukuf di padang Arafah pada musim Haji 2008

Antara rukun Haji yang wajib dilakukan oleh mereka yang menunaikan fardhu Haji ialah Wukuf di padang Arafah. Wukuf di Padang Arafah bermaksud berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dari masa gelincir matahari hari kesembilan Zulhijjah sehingga terbit fajar hari yang kesepuluh Zulhijjah. Seelok-eloknya berada di sana sebahagian hari kesembilan dan sebahagian malam kesepuluh Zulhijjah.

Antara hikmah wukuf di Padang Arafah menunjukkan kepada masyarakat dunia betapa eratnya perpaduan umat Islam tidak kira raja, tidak kira rakyat jelata sama ada yang miskin atau pun yang kaya semuanya sama sahaja taraf dan kedudukan, dimana mereka semuanya berpakaian seragam bersama-sama mengabdikan diri kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Agung.

Wuquf di padang Arafah juga memberi kesedaran tentang perhimpunan manusia di padang Mahsyar di hari kiamat. Dipadang Mahsyar itulah seseorang manusia akan dipertanggungjawabkan segala amal perbuatannya semasa hidup di dunia dahulu. Perbuatan yang baik dan ikhlas akan dibalas dengan yang baik, manakala perbuatan yang buruk akan dibalas dengan yang buruk.

Tujuan merayakan Eidul Adha….

Pada hari Jumaat 27 hb November 2009, kita akan bersama-sama menyambut Hari Raya Korban. Kita menyambut hari raya korban kerana mengingati pengorbanan bapa kita Nabi Ibrahim a.s. Alangkah besarnya ujian yang Allah SWT berikan kepada baginda. Apabila baginda dikurniakan anak yang bernama Ismail, yang mana itulah satu-satunya anak hasil daripada perkahwinannya dengan Siti Hajar, tiba-tiba datang perintah Allah SWT agar membawa isteri dan anaknya yang masih bayi ke satu kawasan padang pasir yang tandus, tandus daripada penghidupan manusia dan tandus daripada sebarang tumbuh-tumbuhan, untuk ditinggalkan mereka berdua di sana. Tempat itu dikenali sebagai Bakkah, atau nama sekarangnya ialah Mekah. Allah SWT berfirman,

ان أول بيت وضع للناس للذي ببكة مباركا وهدى للعلمين (97)

Maksudnya : Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Bakkah, yang berkat dan dijadikan pertunjuk hidayah bagi umat manusia. (Surah Ali Imran : 96)

Nabi Ibrahim merasa sayu…

Sewaktu Nabi Ibrahim a.s meninggalkan anak dan isterinya, baginda menangis sambil berpesan kepada Siti Hajar, “Wahai isteriku, semua yang ku lakukan ini hanyalah kerana menurut perintah Allah, dan perintahNya sama sekali tidak boleh dilawan, bersabarlah dan bersandarlah pada rahmat Allah, dan yakinlah Allah SWT sama sekali tidak akan menganiayai kamu ”

Kemudian Nabi Ibrahim a.s berdoa kepada Allah SWT,

ربنا انى أسكنت من ذريتى بواد غير ذى زرع عندك بيتك المحرم ربنا ليقيموا الصلوة فاجعل أفئدة من الناس تهوى اليهم وارزقهم من الثمرات لعلهم يشكرون (37)

Maksudnya : Wahai Tuhan kami sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak mempunyai tanam-tanaman, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan Kami ! supaya mereka mendirikan solat. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka (supaya datang beremai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur ” ( Suah Ibrahim : 37)

Kembali semula ke Mekah…

Sejarah mencatatkan, setelah sekian lama Nabi Ibrahim a.s meninggalkan isteri dan anaknya di Mekah, datanglah perintah Allah agar baginda kembali semula ke sana untuk menjenguk mereka berdua. Bapa mana yang tidak rindu pada anak, suami mana yang tidak kasih pada isteri, justeru perintah ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh Nabi Ibrahim a.s. Sekembalinya Nabi Ibrahim ke Mekah, alangkah terkejutnya baginda apabila melihat tempat yang ditinggalkannya dahulu sudah bertukar menjadi kawasan kediaman manusia, subur dan makmur. Manakala isteri dan anaknya mendapat penghormatan daripada penduduk Mekah sebagai penguasa telaga zam-zam. Mereka juga memiliki ternakan yang terdiri daripada berpuluh ekor kambing yang dibiak dan diperah susunya.

Menerima ujian besar ...

Belum habis rindu yang terpendam dicurahkan pada isteri dan anaknya, tiba-tiba datang pula ujian seterusnya iaitu Allah SWT memerintahkan baginda untuk menyembelih anaknya Ismail a.s. Hal ini kisahkan dalam Al-Quran,

Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata : Wahai anak kesayanganku ! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu ; maka fikirkanlah apa pendapatmu ?” Anaknya menjawab : “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu ; Insya Allah, ayah akan mendapati diriku dari orang-orang yang sabar ” (Surah As-Saaffat: 100)

Pengajaran dari kisah ini…

Kesimpulan daripada kisah ini ialah ibadah Qurban mengajar kita supaya menjadikan pengorbanan sesuatu yang utama kepada penyaksian akidah untuk kebahagiaan dan keselamatan hidup, sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Orang-orang yang berjaya dan maju dalam hidup dengan menjunjung nilai-nilai Allah ialah mereka yang berkorban ; berkorban masa, berkorban wang, berkorban jiwa, berkorban kepentingan diri, berkorban tenaga, berkorban fikiran, berkorban perasaan dan berbagai pengorbanan yang lain.

Mereka inilah orang-orang yang benar berjihad ; berjihad bagi mencapai sesuatu yang maju, yang baik dan diredahi Allah SWT.

Tuesday, November 24, 2009

Catatan ringkas menjelang Eidul Adha

Bermula pada 10 hingga 13 Zulhijjah (selama empat hari) umat Islam di seluruh dunia akan melakukan ibadah korban. Insya Allah, di Masjid dan surau-surau di sekitar Sikamat Seremban akan turut melaksanakan ibadah Qurban pada hari-hari tersebut.

Kepada yang bawa anak-anak...

Kepada mereka yang membawa anak-anak, tidak salah kita mendedahkan kepada mereka aktiviti korban ini sebagai satu pendidikan awal kepada mereka, malah inilah yang sangat dianjurkan oleh Islam. Moga-moga apabila dewasa nanti merekalah yang akan mewarisi melaksanakan kerja-kerja yang mulia ini. Tetapi hendaklah kehadiran mereka sentiasa diawasi, janganlah dibiarkan mereka terlalu dekat dengan binatang yang hendak disembelih serta membuat bising sehingga menganggu tumpuan penyembelih melaksanakan tugasnya.

Dimana saya pada hari itu ?

Pada hari Jumaat 27 hb November ini saya akan menyampaikan khutbah Hari Raya Eidul Adha di surau Taman Kolej Height Sikamat, kemudian akan bergegas pula ke Surau Al-Hidayah Taman Warisan Puteri untuk bersama-sama membantu kerja-kerja perlaksanaan ibadah korban di surau ini. Selepas solat Jumaat saya akan ke surau Kolej Height semula untuk memenuhi jemputan mereka menikmati juadah daging korban.

Pada hari Sabtu...

Pada tahun ini saya menyertai ibadah korban di surau Al-Amin Sikamat sebanyak satu bahagian. Saya mendaftar untuk melakukan ibadah korban di surau ini pada awal bulan Januari sebelum berpindah ke Vila Suria, Warisan Puteri. Jumlah kos melaksanakan ibadah korban di sini agak tinggi iaitu sebanyak RM 400 satu bahagian jika dibandingkan dengan mana-mana surau dan masjid yang berdekatan.

Justeru pada hari Sabtu ini, seawal 8 pagi sebelum berangkat ke tempat kerja, saya akan ke surau ini untuk menyembelih dua ekor lembu (tak pasti mungkin ada penambahan di saat-saat akhir) kemudian di susuli pula menyampaikan kuliah Zuhor di sebelah tengaharinya apabila pulang dari kerja.

Di Taman Perwira... ?

Boleh dikatakan separuh daripada usia saya dibesarkan di Taman Perwira bermula semenjak tahun 1990 lagi. Rumah emak saya betul-betul berdepan dengan rumah pasangan suami isteri Tn Haji Zambrose dan Pn Hajah Siti Arpah. Di Taman Perwira saya juga mempunyai 3 orang kakak yang turut membuat rumah di sini.

Seperti yang diberitahu oleh emak saya, tahun ini di Taman Perwira bakal mengorbankan lapan ekor lembu. Tahniah saya ucapkan kepada penduduk-penduduk Taman Perwira, walaupun anda tidak mempunyai Surau namun berkat muafakat sesama penduduk, sudah empat tahun berturut-turut anda berjaya melaksanakan ibadah korban di taman perumahan ini.

Insya Allah, jika berkelapangan saya akan cuba menghadirkan diri untuk membantu apa-apa yang patut.

Sedikit nasihat kepada penyembelih, pelapah dan penyiang...

Satu perkara yang perlu diingat, semasa kita menyembelih, melapah dan menyiang daging korban, hendaklah kita melakukannya dengan ikhlas. Janganlah kita melakukan kerja-kerja tersebut kerana mengharapkan sesuatu ganjaran atau upah seperti mahukan kulit binatang itu, dagingnya, kepala, perut, ekor dan sebagainya kerana perbuatan ini dilarang oleh Rasulullah saw sebagaimana yang diberitahu oleh Saidina Ali kwj,

أمرنى رسول الله (ص) أن أقوم على بدنه , وأن أ تصدق بلحومها وجلودها وجلالها , وأن لا أعطى الجارز منها شيئا. وقال : نحن نعطيه من عندنا

Maksudnya : Rasulullah saw telah menyuruhku untuk menguruskan haiwan korbannya agar aku mensedekahkan daging, kulit dan isi perutnya. Aku dilarang memberi apa jua kepada penyembelihnya dari daging korban itu. Kata Saidina Ali lagi, Kami hanya memberinya daripada daging yang ada pada simpanan kami”. (Hadis Mutafaqqun ‘alaih)

Jalan penyelesaian

Untuk itu marilah sama-sama kita berniat di dalam hati sama ada kita dapat dagingnya ataupun tidak, kita tetap akan sama-sama melakukan kerja-kerja menyembelih,melapah dan menyiang daging-daging korban ini ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Wallahualam.

Monday, November 23, 2009

Hukum mematikan pesakit

Bolehkah seseorang doktor mematikan pesakit dengan memberhentikan alat bantuan pernafasan ?

Jawapan : Mengikut syarak, seseorang dikira mati apabila nyata padanya salah satu daripada dua tanda berikut :

1.Apabila jantungnya tidak lagi berdegup dan pernafasannya terhenti dan doktor memutuskan bahawa dia tidak dapat dipulihkan lagi.

2.Apabila segala saraf otaknya tidak lagi berfungsi serta para doktor memutuskan bahawa fungsinya tidak dapat dikembalikan lagi dan otaknya sudah mula berubah (menjadi busuk kerana sudah mati)

Pada ketika ini harus memberhentikan alat bantuan pernafasan daripada pesakit kerana tidak ada gunanya dibiarkan. Lebih-lebih lagi alat bantuan pernafasan itu tadi hanya membolehkan pesakit hidup secara zahir sahaja dengan mengepam oksigen dan menyebabkan perjalanan darah berterusan, sedangkan pada hakikatnya dia sudah mati kerana sudah kehilangan akal, deria rasa dan perasaan yang berpunca daripada hilangnya fungsi tak.

Bahkan saya katakana wajib mengangkat alat bantuan pernafasan ini kerana membiarkannya berterusan adalah bertentangan dengan syarak dalam beberapa perkara, antaranya :

- Melambatkan penyelenggaraan orang mati dan mengkebunikannya tanpa ada apa-apa keperluan serta melambatkan pembahagian pusaka dan pengiraan ewddah isterinya dan hukum hakam lain yang bersangkutan dengan kematian.

- Berterusan pesakit itu dalam keadaan demikian memerlukan perbelanjaan jagaan yang tinggi.Sedangkan Islam melarang umatnya membuang harta dan membelanjakannya kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

- Mendatangkan mudarat kepada orang lain kerana menghalangnya daripada menggunakan alat tersebut akaibat dia menggunakannya dengan tidak sebenar.

- Menimbulkan kerisauan dan kebimbangan ke atas kaum keluarga dan saudara maranya selagi mana pesakit itu berada dalam keadaan demikian yang kemungkinan akan berlarutan selama-lama berpuluh-puluh tahun lamanya

Rujukan,
Prof. Dr Yusuf Al-Qardhawi – Fatwa Masa Kini Jilid 8

Saturday, November 21, 2009

Announcement...

My dear brothers/sisters in Islam, May God bless all of us..,

Please be informed that I will be on air in Radio Negeri FM (frequency 92.6) starting from today, 21st November till 21st December 2009.

You can hear my short sermon at 6.30 a.m or 4.30 p.m. Hope you enjoy it !

Thanks.

Kisah seekor semut….

Saya masih teringat ketika menjalani minggu orientasi pelajar-pelajar baru di UKM pada tahun 1992. Antara program yang diaturkan oleh pihak Universiti ialah syarahan perdana oleh Ybhg Tan Sri Sanusi Junid (ketika itu Menteri Pertanian Malaysia) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.

Sebagai pelajar baru, saya benar-benar teruja mendengar syarahan Tan Sri Sanusi Junid yang cukup berapi-api yang durasinya hampir 3 jam. Bayangkan, sehingga AJK Minggu Suaikenal terpaksa menuangkan air minuman untuknya sebanyak 5 kali sepanjang beliau berucap.

Hati saya berkata, wah macam ni rupanya Tan Sri Sanusi Junid… petah berhujah, fasih berpidato dan bijak memukau pendengar. Patutlah boleh menang ketika merebut jawatan Naib Presiden UMNO satu ketika dahulu (Semasa pemilihan UMNO yang seterusnya beliau gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden setelah tumpas di tangan team Wawasan yang di ketuai oleh Dato’ Sri Anwar Ibrahim) .

Antara intipati syarahannya ialah mengajak Mahasiswa supaya menggunakan kelebihan yang ada untuk mencari rezeki kurniaan Allah SWT. Jangan terlampau berharap dengan kerajaan, dengan kata lain jangan terlalu berangan-angan untuk bekerja makan gaji dengan kerajaan. Beliau mengambil kisah seekor semut…

Di zaman Nabi Sulaiman a.s, ketika baginda berjalan-jalan meninjau keadaan rakyatnya, tiba-tiba baginda terserempak dengan seekor semut. Lalu berlakulah dialog antara kedua makhluk Allah SWT ini.

“Wahai semut, apa yang engkau sedang cari ?”, tanya Nabi Sulaiman.

“Aku sedang mencari makanan”, jawab semut.

“Berapa banyak makanan yang engkau makan untuk selama sebulan ? “, soal Nabi Sulaiman a.s.

“Untuk sebulan rasa-rasanya aku makan sebanyak sebiji gandum”, jawab semut.

“Hanya sebiji gandum?, Wah kalau begitu aku boleh menyediakan engkau sebiji gandum setiap bulan. Tak perlulah engkau bersusah payah mencari makanan lagi. Tahukah engkau bahawa aku adalah Raja di negeri ini, kunci perbendaharaan ada di tanganku”, kata Nabi Sulaiman a.s.

Nabi Sulaiman a.s kemudian mengarahkan pegawainya untuk meletakkan semut tadi di dalam sebuah mangkuk yang telah disediakan sebiji gandum lalu mangkuk itu ditutup.

Apabila sudah sampai tempoh sebulan, Nabi Sulaiman a.s membuka semula mangkuk itu. Alangkah terperanjatnya Nabi Sulaiman a.s kerana semut hanya memakan setengah biji gandum sahaja. Maka murkalah Nabi Sulaiman a.s dengan katanya,

“Wahai semut, engkau telah menipu aku. Bulan lepas engkau kata jumlah makanan yang engkau makan untuk tempoh sebulan ialah sebanyak sebiji gandum. Tapi hari ini setelah sebulan, aku lihat jumlah makanan yang engkau makan hanyalah setengah biji gandum. Berani engkau berbohong kepada aku wahai semut?”, soal Nabi Sulaiman a.s.

“Aku tidak bohong, aku tidak bohong”, kata semut bila melihat wajah Nabi Sulaiman a.s yang sudah murka.

“Benar, setiap bulan jumlah makanan yang aku makan ialah sebanyak sebiji gandum, kerana Allah SWT tidak pernah lupa kepada aku. Tetapi bila engkau mengambil alih kerja Tuhan menyediakan makanan untuk aku, aku kurangkan jumlah makanan yang aku makan sebanyak setengah biji gandum kerana engkau manusia yang ada sifat pelupa. Bagaimana kalau engkau lupa membuka mangkuk ini setelah berlalu masa sebulan, tentu aku mati kebuluran. Sebab itulah aku tinggalkan sedikit makanan untuk aku bertahan selama setengah bulan lagi sekiranya engkau terlupa membuka penutup ini”, kata semut lagi.

Moral dari kisah ini

Sesungguhnya rezeki adalah kurniaan Allah SWT bukannya kurniaan makhluk yang bergelar manusia. Jika manusia tidak percaya bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah, maka mereka itu lebih hina daripada seekor binatang yang bernama semut.

Saya ceritakan kisah in kepada anak…

Satu hari saya menceritakan kisah ini kepada anak gadis saya yang berusia 11 tahun. Respon dari anak saya,

“ Ala ayah.., ceritalah kisah yang lain pulak, cerita ni akak dah dengar masa akak pra-sekolah lagi, dah berkali-kali akak dengar”.

Saya terperanjat.

“Ya ka ?, Macam mana ayah boleh ketinggalan zaman ?. Ayah tahu cerita ini ketika ayah berusia 20 tahun semasa di universiti sedangkan anak ayah dah tahu kisah ini sejak awal di pra sekolah lagi ?”, kata saya hairan.

Memang benarlah, zaman kanak-kanak sekarang sudah terlalu ‘advance’ berbanding dengan zaman saya dahulu.

Wallahualam.

Friday, November 20, 2009

Rindunya suasana Mekah ....


Dataran Kaabah di hari-hari kemuncak bulan Zulhijjah. Masing-masing bersesak-sesak untuk melaksanakan Tawaf Ifadhah dan Tawaf Wada'

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 27, “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

Dalam ayat ini, Allah SWT menyeru manusia supaya mengerjakan haji dan panggilan tersebut dijawab oleh umat Islam yang datang dengan ucapan talbiah :

"لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لاَشَرَيْكَ لَكَ."

Maksudnya : “Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintah-Mu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagi-Mu kami sahut seruan-Mu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagimu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagi-Mu.”

Menunaikan Haji sangat berbeza dengan menunaikan ibadat-ibadat lain dalam hidup kita , umpamanya sembahyang lima waktu boleh dilakukan dalam rumah sendiri, di bilik berkipas atau berhawa dingin, begitu juga ibadah puasa, kita melaksanakannya dengan keadaan boleh berbaring-baring atau tidur di bilik yang selesa dan tidak perlu keluar dari rumah.

Namun Ibadah Haji, kita mesti keluar dari rumah, keluar dari kesenangan yang diterima selama ini,. Kita terpaksa berkongsi khemah di Arafah dan Mina, berkongsi tandas dengan ribuan jemaah lain, berpakaian putih di atas padang pasir sambil lidah berzikir dan membisikkan sesuatu kepada Allah bagi memohon keampunan dan keredhaan sebelum kembali kepada-Nya.

Kesimpulannya oleh kerana Ibadat haji merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah sudah tentu ia mempunyai kelebihan dan ganjaran yang besar di si Tuhan Yang Maha Esa.

Wallahulam.

Wednesday, November 18, 2009

Soal jawab ibadah Qurban

Soal jawab ini berlaku antara seorang Ustaz dengan pakcik yang berasal dari daerah Rembau, Negeri Sembilan.

Pakcik nak tau... apo hukum eh buek Qurban ?

Jawapan : Hukum nya ialah Sunat Mua’kaddah (sunat yang sangat dituntut). Dengan kata lain ialah Makruh bagi orang yang berkemampuan tetapi tidak melakukannya. Manakala menurut Imam Abu Hanifah, berkorban itu adalah wajib bagi orang-orang kaya, berdasarkan hadis Rasulullah saw yang bermaksud, “ Sesiapa yang ada kemudahan (harta) dan tidak melakukan korban, maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami”.

Hukum melakukan ibadah Qurban menjadi wajib sekiranya seseorang itu bernazar. Sebagai contoh katanya : “Jika anak aku berjaya memasuki Universiti, maka aku akan melakukan Qurban.

Buleh ko kalau kito buek qurban untuk orang yang dah meninggar ?

Jawapan : Tidak sah dibuat korban untuk orang yang sudah mati melainkan kalau ia berwasiat.

Kalau kito buek qorban untuk orang lain tanpo pengotahuan eh... buleh tak agak eh ?

Jawapan : Tidak sah dibuat korban untuk orang yang hidup melainkan setelah mendapat keizinannya.Walaubagaimanapun wali, (bapa dan datuk sahaja) boleh melakukan ibadah korban daripada hartanya untuk orang yang berada di bawah tanggungannya seperti anak, cucu atau isterinya.

Sibuk-sibuk pasal Qurban ni... apo kolobihan eh ? Cubo cito sikit ?

Jawapan : Banyak, antaranya ialah sebagai sebagai penebus dosa berdasarkan sabda Rasulullah saw kepada anakandanya Fatimah,

يا فاطمة قومى الى أضحيتك فاشهديها , فان لك بأول قطرة تقطر
من دمها أن يغفرلك ما سلف من ذنوبك

Maksudnya : Wahai Fatimah pergilah ke tempat korbanmu dan saksikanlah ia sesungguhnya dengan titisan darah yang pertama itu akan diampunkan dosa-dosamu yang telah lalu. (Hadis riwayat al-Bazzaar dan Ibnu Hibban)

Menambah amal kebajikan sebagaimana sabda Rasulullah saw,

الأضحية لصاحبها بكل شعرة حسنة

Maksudnya : Orang yang berkorban itu akan dikurniakan bagi setiap helai bulu binatang korbannya dengan satu kebajikan. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Den ado dongar sapo yang buek Qurban tak boleh potong kuku .. botor ko ?

Bukan tak boleh…, cuma makruh sahaja. Apabila masuk 10 Zulhijjah, bagi orang yang hendak membuat korban untuk dirinya ditegah supaya tidak memotong sesuatu daripada anggota badannya yang zahir seperti rambut, kuku atau lain-lain sehinggalah dia selesai menjalankan upacara korban itu. Sabda Rasulullah saw,

اذا دخل العشر وعنده أضحية يريد أن يضحى فلا يأخذن شعرا ولا يقلمن ظفرا

Maksudnya : Apabila telah masuk 10 Zulhijjah dan seseorang itu mempunyai binatang korban yang hendak dikorbankan, maka janganlah dia memotong rambut dan kuku. (Hadis riwayat Muslim)

Namun jika sesiapa yang memotong rambut dan kuku sebelum ibadah korbannya selesai, tidaklah sampai ia dikenakan fidyah, Cuma ia perlu memohon keampunan daripada Allah SWT sahaja.

Ni ha pasal binatang yang nak dibuek korban tu.., ado ciri-ciri eh tak ?

Jawapan : Binatang yang boleh dibuat korban itu mestilah binatang al-An’aam, seperti unta (umur 5 tahun), lembu, kerbau, kambing (dua tahun), kibasy dan biri-biri (satu tahun lebih). Walaubagaimanapun Ibnu Abbas r.a berpendapat bahawa sah korban dengan menyembelih ayam atau itik. Pendapat ini turut disokong oleh Sheikh Maidani dan gurunya Sheikh Bajuri. Namun yang lebih menepati sunnah ialah unta, lembu, kerbau kibasy dan kambing.

Seekor unta, lembu atau kerbau boleh dikongsi oleh tujuh orang walaupun tidak semuanya berniat untuk melakukan korban, misalnya ada diantaranya berniat untuk akikah dan yang lain mungkin kerana mahukan dagingnya sahaja.

Macam mano pulak warno eh ?

Jawapan : Paling afdhal memilih binatang yang bewarna putih, kemudian yang bewarna kuning, kemudian yang bewarna kelabu (putih tetapi tidak bersih putihnya), kemudian yang bewarna merah, kemudian yang sebahagian badannya bewarna putih dan sebahagiannya bewarna hitam dan kemudian bewarna hitam kesemuanya. (mengikut turutan)

Kalau binatang tu ekor eh torputuih , buleh ko ?

Jawapan : Disyaratkan binatang itu tidak cacat yang boleh mengurangkan sesuatu yang akan dimakan, umpamanya kudung telinga walaupun sedikit, putus ekornya, gila, yang tidak ada selera untuk makan menyebabkan badannya menjadi kurus, yang berkudis sekalipun sedikit kerana dagingnya telah rosak, yang baru beranak, yang sangat kurus, yang buta sama ada sebelah mata atau kedua-duanya sekali, yang tempang dan yang bunting. Sabda Rasulullah saw,

عن البراء بن عازب قال رسول الله (ص) أربع لا تحور فى الأضاحى
العوراء البين عورها والمريضة البين مرضها والعرجاء البين
عرجها والعجفاء التى لا تنقى

Maksudnya : Dari Bara’ bin ‘Aazib, Rasulullah saw bersabda : Empat jenis binatang yang tidak boleh dibuat korban iaitu yang rosak matanya, sakit, tempang dan kurus kering. (Hadis riwayat Ahmad)

Manakala binatang yang cacat tetapi tidak mengurangkan dagingnya seperti tidak bertanduk kerana patah atau tercabut dan sebagainya, yang ekornya tidak berbulu, yang tidak bergigi, yang terbelah telinganya atau telinganya berlubang maka sah di buat korban.

Satu lagi nak tanyo, boleh ko orang yang bernazar makan daging Qurban ?

Jawapan : Haram bagi sesiapa yang bernazar dan juga orang yang berada di bawah tanggungannya memakan daging korban nazarnya. Sebaliknya daging korban itu hendaklah disedekahkan keseluruhannya termasuklah bulu, tulang belulangnya dan tanduknya.

Macammano agak eh nak bahagi-bahagikan daging Qurban ? Torangkan sikit ?

Jawapan : Bagi korban sunat, adalah sunat dan afdhal bagi orang yang melakukan korban itu mengambil sedikit sahaja daripada daging korbannya untuk kegunaan diri dan keluarga sempena mengambil berkat dan yang lebih afdhal ialah mengambil hati atau limpanya. Selebihnya hendaklah disedekahkan kesemuanya kerana dengan cara itu lebih mendekatkan diri kepada sifat taqwa, menjauhkan diri dari sifat tamak serta mengelakkan sifat mementingkan diri sendiri.

Harus juga bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada orang kaya (jiran-jiran) dan satu pertiga lagi untuk dimakan.

Boleh ko juar daging Qurban ? Bukan apo.. kut borlobih.

Jawapan : Adalah harus bagi orang miskin yang menerima daging korban untuk menjualnya kepada orang lain, tetapi adalah haram bagi orang kaya melakukan yang sedemikian. Haram orang yang melakukan korban menjual daging, limpa, bulu, kuku, kulit dan susu yang diperah selepas proses penyembelihan tanpa mengira sama ada korban itu wajib atau sunat.

Buleh ko tukang sombolih / polapah timo upah dalam bontuk daging ?

Jawapan : Tidak harus memberikan kulit atau sesuatu dari binatang sembelihan korban kepada penyembelih / pelapah sebagai niat upah penyembelihan yang dilakukannya. Tetapi adalah harus memberinya kepada mereka sekiranya mereka memang berhak menerimanya kerana termasuk dalam golongan fakir dan miskin malah itulah yang lebih aula. Dalam sepotong hadis, sebagaimana yang diberitakan daripada Saidina Ali,

أمرنى رسول الله (ص) أن أقوم على بدنه : وأن أتصدق بلحومها وجلودها وجلالها , وأن لا أعطى الجارز منها شيئا. وقال : نحن نعطيها من عندها

Maksudnya : Rasulullah saw telah menyuruhku untuk menguruskan haiwan korbannya, agar aku mensedkahkan daging, kulit dan isi perutnya. Aku dilarang memberi apa pun juga kepada penyembelihnya dari daging korban tersebut. Kata Saidina Ali lagi : Kami memberinya dari daging yang ada pada kami ”. (Muttafaq ‘alaihi)

Last sekali den nak tanyo.. buleh tak bagi daging Qurban kek orang kapir ? Bukan apo jiran pakcik orang kapir ...

Jawapan : Adalah haram hukumnya memberi atau menghadiahkan daging korban (mentah atau setelah dimasak ) kepada orang kafir sekali pun dia kaum kerabat, sama ada ia korban wajib atau sunat walau pun sedikit, kerana korban adalah perkara yang berhubung dengan ibadat.


Rujukan,

1. Panduan Ibadah, Haji Mohamed bin Jusoh Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Kuala Lumpur
2. Ibadah Korban, Hukum dan Cara Pengendaliannya, Pejabat Mufti Brunei, Al-Hidayah Publishers Kuala Lumpur
3. Fatwa Masa Kini jilid 3 & 4, Dr Yusuf Al-Qardawi, Pustaka Salam Sdn Bhd Kuala Lumpur.
4. Himpunan Isu-Isu Feqah Terpilih, Ust Basri Ibrahim, Darul Nukman Kuala Lumpur

Tuesday, November 17, 2009

Solat Jumaat sekiranya Hari Raya jatuh hari Jumaat

Soalan:
Saya pernah terbaca bahawa sekiranya Hari Raya (Aidilfitri atau Aidiladha) jatuh pada hari Jumaat maka jika kita telah mengerjakan solat raya maka tidak lagi wajib kita mengerjakan solat Jumaat. Memadai dengan bersolat Zuhur. Adakah ini benar?

Jawapan:
Benar pendapat saudara di atas. Bagi orang yang telah mengerjakan solat sunat Hari Raya di pagi Jumaat, tidak wajib baginya untuk mengerjakan solat Jumaat, hanya wajib mengerjakan solat Zuhur. Tetapi sekiranya seseorang itu tidak mengerjakan solat sunat Hari Raya, maka wajib ke atasnya solat Jumaat.

Sumber :

http://www.zaharuddin.net/content/view/884/72/
http://www.bharian.com.my/klikkhas/salamaidilfitri/Artikel/SoalJawab/20090819152413/Article/indexhtml

Monday, November 16, 2009

Ibadah Haji

Haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad saw dengan membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim a.s . Fardhu Haji diwajibkan kepada umat Islam pada tahun ke 5 atau ke 6 Hijrah. Tetapi mula dilaksanakan ibadah ini pada tahun kesembilan Hijrah dan pada tahun itulah Rasulullah saw mengarahkan Saidina Abu Bakar as Siddiq mengetuai satu rombongan umat Islam supaya mengerjakan Haji. Allah s.w.t. telah mensyariatkan ibadah haji kepada umat Islam pada tahun ke-9 hijrah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 196,

Maksudnya : Dan sempurnakanlah ibadah Haji dan Umrah kerana Allah

Tunaikanlah Haji di usia muda…

Menunaikan fardu haji memerlukan keadaan fizikal seseorang yang sihat dan cergas kerana ibadah haji banyak melibatkan pergerakan fizikal. Melakukan Tawaf dalam keadan berhimpit-himpit, bersaei antara safa dan Marwah, berjalan sejauh dua kilometer untuk melontar di Jamrah dan sebagainya.

Justeru, alangkah baiknya jika fardu haji ini dapat di tunaikan ketika usia masih muda kerana apabila seseorang itu meningkat usia, kesihatannya juga turut berubah, dia sudah mula dihinggapi pelbagai penyakit dan permasalahan lain.

Oleh itu, apabila seseorang itu berkemampuan untuk menunaikan fardu Haji di usia muda, maka janganlah ditangguh. Jangan ditunggu sehingga usia tua kerana maut tidak memilih usia. Jangan pula ada yang tidak mahu menunaikan Haji dengan alasan “belum sampai seru” sedangkan seruan Allah dan sudah lama termaktub di dalam al-Quran. Alangkah rugi dan sedihnya mereka yang meninggal dunia dalam keadaan kaya-raya, mewah dan berupaya menunaikan haji tetapi tidak sempat menunaikan fardu haji tanpa sebarang uzur syarie.

Ingatlah hadis Rasulullah saw,

من ملك زادا وراحلة تبلغه إلى بيت الله ولم يحج فلا عليه أن يموت إنشاء يهوديا وإن شء نصرانيا

Maksudnya : Barangsiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh membawanya ke Baitullahil Haram, tetapi tidak menunaikan fardhu Haji maka tiada halangan baginya jika dikehendaki matinya sebagai yahudi dan Nasrani. (Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad)

Kepada mereka yang sudah terpilih ….

Bukan mudah untuk menunaikan fardhu Haji. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun mengumpul wang untuk ke sana dan ada yang menunggu giliran yang begitu lama sebelum terpilih untuk menunaikan fardhu Haji. Justeru, bagi anda yang berjaya dipilih sebagai tetamu Allah ke kota suci Mekah, ambillah peluang melakukan amal ibadat sebanyak yang mungkin kerana kita tidak tahu sama kita boleh kembali semula ke tanah suci di masa akan datang.

Janganlah membuang masa di kedai-kedai atau merayau-rayau yang tidak membawa apa-apa faedah keuntungan. Sebaliknya hiasi masa di kota suci Mekah dengan melakukan pelbagai ibadah seperti wirid, membaca Al-Quran, solat sunat dan berdoa. Berdoalah …banyak tempat-tempat yang amat mustajab untuk berdoa seperti di belakang Makam Ibrahim, dalam Hijr Ismail, di Multazam dan sebagainya.

Banyakkan bersabar…

Selain itu jemaah Haji perlu banyak bersabar dan bertenang dalam menghadapi pelbagai cabaran yang di alami sepanjang berada di kota suci.

Perasaan marah terhadap kesusahan yang di tempuhi semasa di kota suci boleh diertikan sebagai tidak berpuashati dengan qada dan qadar Allah SWT. Ia juga merupakan satu tindakan yang hanya akan mendedahkan rahsia diri sendiri sebagai seorang yang banyak dosa sehingga ditimpa kesengsaraan di Tanah Suci.

Jemaah Haji juga dinasihatkan supaya memelihara lidah, menjaga pandangan mata, menjaga kelakuan dan tingkah laku serta menjauhi perkara yang salah dan khurafat semasa di kota suci. Moga-moga dengan cara ini jemaah Haji bakal memperolehi Haji Mabrur sebagaimana yang disebutkan oleh Hadis Nabi saw

حجة مبرورة خير من الدنيا وما فيها وحجة مبرورة ليس لها جزاء إلا الجنة

Maksudnya : Haji yang penuh dengan kebajikan (Haji Mabrur) adalah lebih baik daripada dunia dn apa yang ada di dalamnya. Haji Mabrur tidak ada baginya balsan selain daripada Syurga.

Wukuf …amalan kemucak Haji.


Antara rukun Haji yang wajib dilakukan oleh mereka yang menunaikan fardhu Haji ialah Wukuf di padang Arafah. Wukuf di Padang Arafah bermaksud berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dari masa gelincir matahari hari kesembilan Zulhijjah sehingga terbit fajar hari yang kesepuluh Zulhijjah. Seelok-eloknya berada di sana sebahagian hari kesembilan dan sebahagian malam kesepuluh Zulhijjah.

Antara hikmah wukuf di Padang Arafah menunjukkan kepada masyarakat dunia betapa eratnya perpaduan umat Islam tidak kira raja, tidak kira rakyat jelata sama ada yang miskin atau pun yang kaya semuanya sama sahaja taraf dan kedudukan, dimana mereka semuanya berpakaian seragam bersama-sama mengabdikan diri kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Agung.

Wuquf di padang Arafah juga memberi kesedaran tentang perhimpunan manusia di padang Mahsyar di hari kiamat. Dipadang Mahsyar itulah seseorang manusia akan dipertanggungjawabkan segala amal perbuatannya semasa hidup di dunia dahulu. Perbuatan yang baik dan ikhlas akan dibalas dengan yang baik, manakala perbuatan yang buruk akan dibalas dengan yang buruk.

Wallahualam.

Sunday, November 15, 2009

Hukum berkahwin dengan ahli kitab

Saya sering ditanya oleh anak-anak murid tingkatan enam ketika mengajar subjek Perbandingan Agama,

“ Ustaz bolehkah kita berkahwin dengan orang Kristian atau Yahudi zaman sekarang ? ”

Demikianlah jawapan saya :

Hukum berkahwin dengan mana-mana perempuan ahli kitab sama ada dari kalangan Yahudi mahupun Nasrani, di sana terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama :

Pendapat pertama mengatakan hukum lelaki Islam berkahwin dengan mana-mana perempuan ahli kitab zaman sekarang adalah haram kerana kepercayaan mereka yang sudah berubah. Di dalam “Sahih Bukhari” terdapat satu riwayat daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawasanya dia pernah ditanya tentang perkahwinan antara lelaki muslim dan wanita nasrani atau yahudi, Abdullah bin Umar menjawab:

“Allah mengharamkan wanita musyrik dikahwini oleh lelaki muslim, Aku tidak tahu syirik manakah yang lebih besar daripada seorang isteri yang mengatakan bahawa Tuhannya ialah Isa, padahal beliau itu adalah salah seorang dari hamba Allah s.w.t. Jika ia tidak mengatakan hal itu, ia tetap dipandang sebagai wanita ahlul kitab, walaupun ia meyakini kesucian Isa al Masih atau meyakini kesucian bondanya Maryam atau meyakini kesucian roh kudus dalam bentuk yang berlainan dari kepercayaan orang muslim; selama ia tidak menyekutukan Allah”.

Pendapat kedua mengatakan hukumnya adalah halal, namun adalah elok dielakkan. Inilah pendapat Saidina Umar bin al-Khattab r.a yg menegah lelaki Islam bernikah dgn perempuan ahli kitab dizaman pemerintahannya.

Pendapat ketiga (jumhur ulama dan pandangan Prof Dr Yusuf al-Qardhawi) mengatakan adalah halal lelaki Islam berkahwin dengan mana-mana perempuan yang suci dari ahli kitab meskipun kepercayaan tauhid mereka sudah pun berubah. Ini kerana kesesatan ahli kitab bukan sahaja di zaman sekarang, malah di zaman Nabi saw lagi mereka sudah pun sesat.

Buktinya dalam surah an-Nisak ayat 171 Allah SWT berfirman,

Ertinya : " Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agamamu, dan janganlah mengatakan tetang Allah kecuali yang benar, Sesungguhnya Al-Masih Isa anak Maryam itu adalah Rasulullah, dan ia di letakkan kepada Maryam dan ruhnya datang dari Allah, maka berimanlah dengan Allah dan rasul-rasulNya, jangalah kamu mengatakan "tiga", tamatkanlah dakwaan itu lebih baik bagimu, sesungguhnya Allah itu Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak...."( An-Nisa : 171)

Selain itu Nabi saw juga pernah bermubahalah (laknat melaknat atas nama Tuhan) dengan orang-orang Kristian Najran. Kisahnya bermula apabila wakil orang-orang kristian dari Najran datang ke Madinah untuk berdebat dengan Nabi saw mengenai ketuhanan Nabi Isa a.s. Disebabkan kedegilan orang-orang Kristian untuk menerima hujah Nabi saw maka turunlah wahyu Allah SWT surah Ali Imran ayat 61,

Maksudnya : “Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpa ke atas orang yang berdusta.” (Ali Imran: 61)

Ayat ini dengan tegas menyuruh Nabi saw mencabar orang-orang Kristian untuk bermubahalah. Di saat-saat akhir ketika Nabi saw sudah bersedia dengan membawa Fatimah, Hasan dan Husin malangnya cabaran ini ditolak oleh orang-orang Krsitian.

Demikianlah juga orang-orang Yahudi di zaman Rasulullah saw turut kafir kepada Allah dan juga Rasul. Mereka pernah merancang untuk membunuh Rasulullah saw melalui pelbagai cara termasuk sihir namun gagal.

Dalam keadaan mereka kafir menentang Allah dan juga Rasul, namun turun ayat Al-Quran yang menghalalkan umat Islam memakan daging sembelihan mereka. Dalilnya ialah firman Allah SWT,

Maksudnya : "Makanan-makanan ahli kitab adalah halal buat kamu begitu juga makananmu halal buat mereka. Perempuan-perempuan mu'minah yang baik (halal bagimu ) begitu juga perempuan-perempuan yang baik-baik dari orang-orang yang pernah diberi kitab sebelum kamu.." (al-Maidah: 5)

Berdasarkan ayat di atas, jika makanan ahli kitab boleh dimakan maka hukum yang sama juga adalah harus menikahi mana-mana perempuan mereka.

Pendapat keempat dan pendapat yang terkuat dalam Syafi’iyah iaitu halal lelaki Islam berkahwin dengan perempuan ahli kitab yang asli dari golongan yahudi dan nasara di sekitar tanah arab.

Walalhualam.

Saturday, November 14, 2009

Sebuah cerpen...Rokok oh rokok

“Aku marah betul dengan Yahudi, bangsa yang terlaknat !”, bentak Kasim sambil tangannya mengeluarkan sebatang rokok jenama Winston.
Matanya kemudian menoleh ke arah Mat yang sedang asyik menatap akhbar Utusan Malaysia. Gambar kanak-kanak Palestin mati dibunuh tentera Israel terpampang di muka surat depan.

“Mat, engkau ada mancis api ?, pinjam sekejap”.

“Apalah kau ni Kasim, dah tau hisap rokok bawalah mancis api sendiri”, sindir Mat.

Mat yang sedang asyik membaca berita keganasan Yahudi Israil di Palestin kemudiannya menyalakan mancis api lalu di suakan dihujung mulut Kasim. Berkepul-kepul asap rokok yang keluar dari mulut Kasim di hembuskan ke udara.

“ Engkau tau Mat, aku pantang betul tengok saudara segama kita di Palestin di zalimi oleh Yahudi laknat ni. Kalau boleh hari ini jugak aku nak ke Palestin bantu orang Islam di sana”, tegas Kasim sambil menyedut rokoknya dalam-dalam.

“Tak payahlah susah-susah nak tolong orang Islam di Palestin tu, sebaliknya tolong diri awak tu sendiri”, sampuk Haji Husin Imam kampong tersebut.

“Maksud Haji ?”, soal Kasim tertanya-tanya.

“Maksud aku, tolong diri awak tu lepaskan dari ketagihan merokok. Bukankah sebatang rokok yang engkau hisap itu di ibarat seperti sebutir peluru yang dihadiahkan kepada orang Yahudi untuk membunuh saudara seagama kita di Palestin ”, Haji Husin mula bersyarah.

“Saya tak paham”, berkerut dahi Kasim mendengar syarahan Pak Imam.

“Engkau tahu tak Kasim, banyak rokok-rokok yang ada di pasaran ini berjenama Amerika. Dunhill produk Amerika, Malboro produk Amerika, Peter Stuyvesant produk Amerika, Perrillys produk Amerika dan termasuklah Winston rokok yang engkau hisap itu pun produk Amerika. Apabila kita membeli rokok-rokok ini, secara tidak langsung kita memperkuatkan ekonomi Amerika. Apabila Amerika kuat, maka Israil pun kuat ”, jelas Haji Husin lagi.

“Kalau macam tu adakah Pak Imam suruh saya tukar jenama rokok, er...maksudnya saya kena hisap rokok Udang Garam , jenama Indonesia ? ”, tanya Kasim.

“Bukan begitu maksud aku, jalan terbaik ialah engkau berhenti sahaja menghisap rokok, lagipun bukankah Majlis Fatwa Kebangsaan dah kata merokok itu haram ”, nasihat Haji Husin. Beliau seterusnya menghuraikan lagi khutbahnya,

“Engkau tau Kasim, pemerintah kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 m) sangat kuat memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam Negara”.

“Kenapa pula merokok haram Pak Imam ?”, tanya Kasim.

“Sebab rokok mengandungi 4000 bahan kimia beracun yang boleh mendatangkan mudarat kepada penghisapnya. Sedangkan Islam melarang umatnya mengambil sesuatu yang keji yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan”. Pak Imam kemudian membaca beberapa firman Allah SWT yang dihafalnya,

“Dan dia (Rasul) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan segala yang buruk (khabaith).. ””(Al-A’raf : 57)

“ Jangan kamu membunuh dirimu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih kepadamu”. (An-Nissa’ : 29)


Bagaikan seorang pensyarah di universiti, Haji Husin membentangkan lagi faktanya,

“Lagi satu Kasim, kajian juga menyebut, wanita yang tidak merokok apabila ia berkahwin dengan lelaki yang merokok risiko untuk terdedah kepada serangan jantung adalah tiga kali ganda daripada mereka yang berkahwin dengan lelaki yang tidak merokok. Manakala keupayaan membaca pada seorang kanak-kanak yang berusia tujuh tahun yang ibubapanya merokok mundur enam bulan jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang ibubapanya tidak merokok”, demikianlah hebatnya hujah Haji Husin. Walaupun hanya sekadar Imam kampung tetapi kemampuannya membentangkan hujah berdasarkan fakta menyebabkan beliau seorang yang di hormati oleh masyarakat kampong di situ.

“Terima kasih Pak Imam, insya Allah saya akan berusaha sedaya upaya untuk berhenti menghisap rokok ”, janji Kasim di depan Pak Imam.

Friday, November 13, 2009

Hukum Ilak

Firman Allah SWT,
"Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".(Al-Baqarah : 226)

Ilak adat jahiliyah

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan hukum Ilak, iaitu bersumpah tidak akan menyetubuhi isteri. Sebab turun ayat ini ialah kerana pada zaman jahiliah, jika seseorang suami yang meminta sesuatu daripada isterinya sedangkan si isteri enggan menunaikannya, maka si suami akan mengancam isterinya dengan kata-kata sumpah tidak mahu menyetubuhinya selama 4 bulan, atau 5 bulan atau 1 tahun, 2 tahun atau pada satu tarikh yang tidak ditetapkan. Maka jadilah si isteri itu teraniaya seperti gantung tidak bertali.

Penyelesaian Islam

Dengan kedatangan Islam, syarak memberi tempoh 4 bulan kepada mana-mana suami yang bersumpah tidak mahu mendatangi isterinya. Sekiranya dalam tempoh 4 bulan ini, si suami kembali kepada isterinya dengan menyetubuhinya maka wajiblah si suami membayar kifarah sumpah. Selain itu suami hendaklah bertaubat kepada Allah SWT di atas kesalahan menyakiti isterinya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Firman Allah SWT,

"Jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" (Al-Baqarah : 227)

Jika sudah berlalu 4 bulan...

Setelah selesai tempoh 4 bulan yang di beri, sedang si suami masih tidak mahu menyetubuhi isterinya, itu adalah petanda bahawa si suami berniat di hati untuk menceraikan isterinya dan Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui isi hati isi hati suami tersebut.

Menurut hukum fekah maka jatuhlah talak 1. Ada pendapat lain mengatakan pihak isteri perlu merujuk kepada Hakim terlebih dahulu dan setelah cukup bukti oleh Hakim memang telah habis 4 bulan tempoh yang diberi sedang si suami masih tidak mahu menyetubuhi isterinya, maka Hakim akan mengesahkan penceraian tersebut. Ada juga pendapat mengatakan jatuh talak dengan rasmi sekiranya ia dinyatakan sendiri oleh Hakim.

Walalhualam.

Tafsir Al-Munir
Tafsir Al-Azhar

Wednesday, November 11, 2009

Kisah al-Kifli...

Dalam sepotong hadis,
عن ابن عمر قال : سمعت النبى صلى الله عليه وسلم يحدث حديثا لو لم أسمعه الا مرة أو مرتين , حتى عد سبع مرات ولكنى سمعته أكثر من ذلك, سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : كان الكفل من بنى اسرائيل لا يتورع من ذنب عمله , فأتته امرأة فأعطاها ستين دينارا على أن يطأها , فلما قعد منها مقعد الرجل من امرأته أرعدت وبكت , فقال : ما يبكيك ؟ أأكرهتك ؟ قالت . لا, ولكنه عمل ما عملته قط , وما حملنى عليه الا الحاجة , فقال : أنت تفعلين هذا وما فعلته , اذهبى فهى لك , وقال لا, والله لا أعصى الله بعدها أبدا , فمات من ليلته , فأصبح مكتوبا على بابه : ان الله قد غفر للكفل .

Maksudnya : Daripada Ibnu Umar r.a katanya, aku mendengar Nabi saw menceritakan satu kisah, tiadalah aku dengar kisah itu sekali atau dua kali atau tujuh kali bahkan aku mendengarnya lebih banyak daripada jumlah itu. Aku mendengar Nabi saw bersabda, ada seorang lelaki daripada Bani Israil sangat kuat melakukan kerja-kerja maksiat. Pada satu hari dia didatangi seorang perempuan yang meminta sedekah daripadanya, lalu diberi oleh Al Kifli enam puluh dinar dengan syarat perempuan itu hendaklah berzina dengannya. Maka tatkala mereka hendak berzina tiba-tiba wanita itu menggigil dan menangis. Lalu Al-Kifli bertanya perempuan itu, mengapa menangis ? adakah kerana aku paksa kamu melakukannya ? Jawab perempuan itu, tidak. Tetapi perbuatan ini tidak pernah sekali-kali aku lakukan, dan apa yang aku lakukan ini hanyalah kerana hajat. Maka kata Al-Kifli, engkau (takut) lakukan ini dan aku tidak (takut) lakukannya. Pergilah engkau daripadaku dan ambillah wang itu. Maka kata Al-Kifli, Tidak, Demi Allah Aku tidak akan melakukan maksiat selepas ini selama-lamanya. Maka Al-Kifli meninggal dunia pada malam itu. Sabda Nabi saw, Berpagi-pagi Al-Kifli dalam keadaan namanya sudah tertulis dipintu syurga, sesungguhnya Allah SWT telah mengampunkan dosa-dosa Al-Kifli. (Riwayat At-Tirmizi)

Iktibar

1. Nabi saw mengulang-ngulang kisah al-Kifli ini kepada para sahabat sehingga lebih daripada tujuh kali kerana hendak menunjukkan kisah ini amat penting untuk dijadikan iktibar.

2. Al-Kiflu seorang yang jahat, kaki maksiat dan hidup bergelumang dengan dosa. Pada satu hari ada seorang perempuan yang baik mahu meminjam wang daripadanya. Namun Al-Kifli meletakkan syarat, perempuan itu hendaklah berzina dengannya terlebih dahulu.

3. Apabila tiba masa hendak berzina, Al-Kifli merasa hairan sebab perempuan itu menggigil ketakutan. Kata perempuan itu, inilah kali pertama dia hendak melakukan dosa.

4. Timbullah keinsafan di hati Al-Kifli, kalaulah perempuan yang baik itu baru sekali hendak melakukan maksiat tetapi sudah menggigil takutkan Allah, bagaimana pula dirinya yang sentiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat.

5. Lalu Al-Kifli melepaskan perempuan itu, kemudian dia bersumpah bermula pada malam itu dia bertaubat dan tidak mahu melakukan dosa lagi. Malam yang sama Al-Kifli meninggal dunia. Nabi saw mnejelaskan bahawa Al-Kifli meninggal dunia dalam keadaan namanya sudah tercatat di pintu Syurga.

6. Pengajarannya..., kita sebanrnya tidak tahu bagaimana nasib kesudahan kita. Ada orang pada zahir nampak banyak melakukan dosa tetapi kesudahannya dia mati dalam keadaan bertaubat seperti Al-Kifli. Sebaliknya ada orang pada zahirnya banyak melakukan amal kebaikan tetapi kesudahannya dia mati "Suk ul Khotimah". Na'uzubillah.

7. Oleh itu hendakah kita berdoa kepada Allah SWT, sekiranya kita sudah berada di landasan yang betul, taat melakukan suruhan Allah SWT, maka sampai ke akhir hayat kita tetap istiqamah berada di landasan yang betul dan taat kepada perintah Allah SWT. Moga-moga mati kita dalam "Husnul Khotimah". Amin

Wallahualam.

Tuesday, November 10, 2009

Isteri ibarat ladang.....

Satu tajuk yang malu diperkata, namun banyak di tanya. Firman Allah SWT,

"Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai ladang bagi kamu, oleh itu datangilah ladangmu secara mana yang kamu sukai, dan sediakanlah (amal-amal) yang baik untuk diri kamu; dan bertqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman "(223)

Sebab turun ayat

Dalam ayat ini Allah SWT telah memisalkan isteri sebagai ladang untuk bercucuk tanam. Manakala suami pula diibarat seperti peladang yang akan menyemai benih di atas ladang, sedangkan anak pula diibarat seperti pokok yang tumbuh dari benih yang ditanam tersebut. Maka tanamilah ladang tersebut secara mana yang kamu sukai.

Dalam satu riwayat menyatakan sebab turun ayat ini kerana orang-orang Yahudi beranggapan bahawa apabila seseorang suami mencampuri isterinya dari arah belakang, maka anak yang bakal dilahirkan akan bermata juling. Maka turunlah ayat ini membantah tanggapan tersebut.

Ada juga pendapat mengatakan sebab turun ayat ini kerana sudah menjadi tradisi orang-orang Mekah menggauli isterinya dengan pelbagai cara. Apabila mereka berhijrah ke Madinah, di kalangan Muhajirin ada yang berkahwin dengan wanita Ansar. Maka mereka melakukan ke atas isteri mereka sebagaimana yang mereka lakukan semasa di Mekah. Wanita-wanita Ansar tidak boleh menerima dengan cara ini, maka dengan sebab itu turunlah ayat ini yang membenarkan suami mendatangi isterinya sama ada dari arah belakang, depan atau sebagainya selagi tidak melalui dubur atau isteri dalam keadaan haidh.

Sabda Rasulullah saw,

“Barangsiapa yang mendatangi isteri ketika haidh atau pada duburnya juga mereka yang berjumpa bomoh serta membenarkan apa yang diperkatakannya, sesungguhnya mereka telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad ”

Hukum melihat aurat suami dan sebaliknya

Terdapat salah faham di kalangan masyarakat Islam sama ada agama membenarkan atau tidak seorang suami atau isteri memandang aurat (kemaluan) pasangan masing-masing khususnya ketika melakukan perstubuhan.

Berdasarkan nas Al-Quran surah An-Nur ayat 31 dan surah Al-Mukminun ayat 5 dan 6 serta beberapa hadis Rasulullah saw, maka adalah harus suami isteri melihat aurat pasangan masing-masing. Saidatina Aisyah r.anha menceritakan,

كنت أغتسل أنا والنبى (ص) من اناء واحد من جنابة

Maksudnya : Aku pernah mandi (janabah) bersama Rasulullah saw dalam satu bekas air mandi. ( (HR Bukhari)

Daripada Muawiyah bin Haidah r.a, dia menceritakan Rasulullah saw bersabda,

احفظ عورتك الا من زوجتك أو ما ملكت يمينك

Maksudnya : Peliharalah aurat tubuh badanmu kecuali kepada isterimu atau hamba sahaya yang kamu miliki. (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)

Inilah dalil kuat yang dipegang oleh Al-Imam Ibnu Hazmin dengan katanya, “Dan adalah halal bagi seorang suami melihat kemaluan isterinya dan hamba sahaya yang halal baginya untuk disetubuhi, begitulah sebalik bagi keduanya, sedikitpun tiada hukum makruh pada perbuatan ini.”

Satu lagi dalil yang menjadi pegangan Ibnu Hazmin ialah hadis Sahih Bukhari daripada Ibnu Abbas daripada Maimunah Ummul Mukminin katanya,

سترت النبى (ص) وهو يغتسل من الجنابة فغسل يديه ثم صب بيمينه
على شماله فغسل فرجه وما أصابه

Maksudnya : “ Aku menutup (menjadi tabir) Nabi saw ketika baginda mandi junub, dia membasuh kedua tangannya, kemudian menuang air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya, lalu membasuh kemaluannya dan apa yang terkena olehnya….”

Imam Abu Hanifah ketika ditanya mengenai lelaki yang menyentuh kemaluan isterinya dan isterinya menyentuh kemaluan suaminya untuk menaikkan nafsu isteri, adakah perbuatan ini di larang ?. Beliau menjawab, tidak bahkan aku mengharapkan ganjarannya di lebihkan. Kemungkinan beliau merujuk kepada hadis sahih yang berbunyi,

وفى بضع أحد كم صدقةٌ : يا رسول الله أيأتى أحدنا شهوته ويكون له فِيها أجرٌ ؟ قال نعم أليس إِذا وضغها فى حرام كان عليه وزرٌ فكذلك إذا وضعها فِى حلال كان له أجرٌ أتحتسبون الشر ولا تحتسبون الخير

Maksudnya : Dan pada kemaluan (persetubuhan) salah seorang daripada kamu itu adalah sedekah. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang itu mendapat ganjaran dengan melepaskan syahwatnya ? Sabdanya Ya. Bukankah apabila dia menyalurkannya melalui saluran yang haram maka dia mendapat dosa ? Begitulah juga apabila dia menyalurkannya melalui saluran yang halal, maka dia mendapat pahala. Apakah kamu hanya memperkirakan yang haram dan tidak memperkirakan yang halal ? (HR Muslim)

Wallahualam.

Rujukan

Tafsir Ahmad Sonhadji
Tafsir Al-Azhar
Tafsir Al-Munir
Fatwa Masa Kini - Prof Dr. Yusuf al-Qardhawi.

Monday, November 9, 2009

Islam dan hubungan dengan non-Muslim

Rentetan dari hal orang bukan Islam dilarang masuk ke masjid, di sini saya ingin berkongsi maklumat tambahan mengenai beberapa hukum dan fatwa mengenai hubungan antara orang Islam dengan bukan Muslim.

Bolehkah menderma organ atau darah kepada orang bukan Islam ?

Prof Yusuf Al-Qardhawi ulama besar Islam menjelaskan : Hukum menderma organ atau darah kepada orang bukan Islam sama seperti hukum bersedekah kepada orang bukan Islam, maknanya harus.

Akan tetapi haram mendermakan organ kepada orang bukan Islam yang berjuang menentang orang Islam atau kepada mereka yang menyerang Islam. Berdasarkan hal yang sama, organ tidak boleh didermakan kepada orang yang murtad sebab dia sudah menjadi pengkhianat Islam yang sepatutnya dibunuh bukan dibiarkan hidup.

Jika ada seorang Islam dan seorang bukan Islam memerlukan darah atau organ, maka hendaklah diutamakan kepada orang Islam terlebih dahulu sesuai dengan firman Allah SWT,

Dan orang Islam yang beriman, lelaki dan perempuan, setengah-setengahnya menjadi penolong kepada yang setengah-setengah yang lain. (Surah at-Taubah : 71)

Hendaklah orang Islam yang warak diberi keutamaan daripada orang Islam yang suka melakukan dosa. Dan jika orang yang memerlukan darah atau organ itu keluarga atau jiran tetangga maka mereka juga hendaklah diutamakan terlebih dahulu sebagaimana firman Allah SWT,

Dalam pada itu orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengah-setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang lain menurut Kitab Allah … (Surah Al-Anfal : 75)

Dr. Muhammad Muzammil Siddiqi, ketika menjelaskan persoalan yang sama mengenai hukum menderma darah kepada bukan Islam, beliau berkata : Pemindahan darah kerana tujuan perubatan diizinkan oleh Islam. Darah boleh diambil daripada orang bukan Islam dan orang Islam boleh pula memberikan darah kepada orang bukan Islam. Perkara-perkara ini ada kaitannya dengan nyawa manusia.

Menurut fikiran yang waras, nyatalah bahawa Islam mengajar kita memberi makanan kepada yang lapar, menjaga orang yang sakit dan menyelamatkan nyawa orang. Dalam hal ini tidak menjadi persoalan sama ada nyawa itu nyawa orang Islam atau nyawa orang bukan Islam. Wallahualam

Bolehkah memberi daging aqiqah diberi kepada orang bukan Islam ?

Ust Haji Zaharuddin bin Abd Rahman B.A (Hons) Usuluddin UM, M.A (Hons) Fiqh & Usul Fiqh, Yarmouk Jordan, Ketua Jabatan Syariah, Qatar Islamic Bank Berhad ketika menjawab persoalan bolehkah memberi daging akikah kepada bukan Islam, beliau menjawab :

Saya dapati tiada dalil khusus mahupun pendapat dari ulama terulung dalam mazhab tertentu yang meletakkan syarat bahawa si penerima adalah orang Islam sahaja. Bagaimanapun menurut fatwa Sheikh Ahmad al-Fatthani, daging aqiqah haram diberi kepada orang bukan Islam kerana korban dan aqiqah merupakan amal ibadah kepada Allah. Ia bertujuan untuk bertaqarrub kepada Allah.

Bagaimanapun jika disebut bahawa hujjah utama oleh ulama terulung di atas adalah “ia adalah hal taqarrub”, maka akan ada pula yang berhujjah balas dengan mengatakan bahawa hal taqarrub itu adalah terhenti di ketika niatnya dan sembelihan dibuat, ada pun hal ehwal mengedarkannya tidak lagi syarat kepada ibadah aqiqah yang bersifat taqarrub itu.

Seperti solat, ia adalah satu bentuk taqarrub yang khas kepada Allah SWT, bagi bagi memenuhisifat taqarrubnya itu, maka telah digariskan dengan jelas rukun dan syaratnya bagi memenuhi objektif yang disasarkan, sebagai contoh : solat ditempat yang suci adalah syarat sah untuk bertaqarrub kepada Allah melalui solat, tapi sama ada sejadah itu dibeli dari kedai orang bukan Islam atau tidak, ia tidak memberi kesan kepada sahnya ibadat solat dan tidak pula diharamkan oleh para ulama. Ia Cuma kurang digalakkan sahaja di ketika wujudnya penjual Muslim di sekitarnya yang mampu menawarkan kualiti dan harga yang kompetitif.

Sebagaimana yang perlu diketahui bahawa kaedah Islam dalam hal ehwal yang berkaitan dengan urusan jual beli dan adat kemasyarakatan , selain dari dalil yang sohih, hukumnya juga ditentukan oleh maqasid syariah dan hikmahnya. Asal hukum bagi hal ehwal muamalat dan adat adalah merujuk kepada hikmah dan tujuan.

Oleh itu mengedarkan daging atau masakan aqiqah kepada orang bukan Islam adalah termasuk dalam hal ehwal urusan muamalat yang tertakluk kepada objektif tindakan itu. Jika ia dapat merapatkan hubungan kejiranan, maka sudah tentu ia digalakkan dan langsung tidak diharamkan oleh Islam.

Malah, bukanlah menjadi syarat sah aqiqah dalam semua mazhab agar mesti dipastikan diberi kepada Muslim sahaja. Jika ianya benar-benar haram, sudah akan disebut dengan jelas beserta dalil dalam semua perbincangan dalam bab aqiqah. Bagaimanapun ia tiada disebut dalam kitab utama ulama ulung silam dan ia juga tiada dalam kajian komrehensif modern seperti dalam kitab “Al-Mufassal fi Ahkam al-Aqiqah” oleh Sheikh Prof Dr Husam ‘Afanah.

Cuma sudah tentu yang lebih baik adalah penerima dari kalangan orang Islam kerana diharapkan adalah si penerima memahami lalu mendoakan kanak-kanak tadi apabila menerima hidangan hasil aqiqah itu. Falsafah aqiqah ialah sebagai tanda kesyukuran bagi anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT. Oleh itu ia lebih baik dikongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga menjadi satu peringatan kepada yang lain untuk beraqiqah juga untuk anak mereka (sekiranya belum).

Bolehkah orang bukan Islam membantu / menghadiri pengkebumian orang Islam dan sebaliknya ?

Bagi menjawab persoalan ini, Dr Muzammil Siddiqi seorang ulama besar Islam yang juga bekas Presiden Persatuan Islam Amerika Utara (ISNA) menyatakan : Apabila seseorang Islam meninggal dunia, dia hendaklah dikebumikan menurut cara Islam seperti memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengkebumikannnya sesuai dengan peraturan Islam. Semua ini merupakan ibadat yang mana hanya orang Islam sahaja yang boleh melakukannya.

Akan tetapi tiada larangan jika keluarga bukan Islam dan sahabat-sahabatnya mahu menghadiri upacara pengkebumian orang Islam asal sahaja yang menguruskan pengkebumian itu orang Islam. Juga tidak ada larangan bagi orang bukan Islam untuk memandu kereta jenazah ke masjid untuk disembahyangkan atau ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Menurut Islam, tidak ada larangan bagi pengarah pengkebumian bukan Islam mengawasi pengkebumian orang Islam atau pun pekerja bukan Islam mengorek liang kubur atau pun menimbusnya selepas itu kerana hal ini adalah satu perkara biasa yang di lakukan di Amerika dan sepatutnya diterima oleh umat Islam tanpa ragu-ragu.

Orang Islam boleh menghadiri pengkebumian keluarga bukan Islam atau sahabatnya tetapi jangan sekali-kali melibatkan diri dalam upacara sembahyang mereka. Kerana tidak ada cara Ibadah orang bukan Islam yang diterima oleh Islam. Dan janganlah orang Islam meletakkan bunga pada kuburan sesiapa pun sama ada orang Islam mahu pun bukan Islam, kerana perbuatan ini bukan sesuatu yang dianjurkan oleh Islam.

Berkaitan dengan orang Islam terlibat sama membantu serta mengendalikan pengkebumian orang bukan Islam, saya tidak dapat mengatakan perbuatan ini haram tetapi menurut pendapat saya lebih baiklah orang Islam mengelakkan perkerjaan tersebut. Bagi saya pekerjaan sedemikan sesungguhnya adalah makruh walaupun tidak sampai kepada haram.

Bolehkah menerima derma orang bukan Islam untuk membina masjid ?

Menurut Allahyarham Prof Dr Ahmad Asy-Syirbasi, Profesor Akidah dan Falsafah Universiti Al-Azhar, apabila sebahagian orang bukan Islam membina masjid untuk kegunaan orang-orang Islam atau menghulurkan bantuan kewangan untuk mengimarahkan masjid-masjid, orang Islam boleh menerima masjid ini atau bantuan yang diberikan itu dengan syarat ia tidak menimbulkan sebarang kemudharatan pada agama mahu pun siyasah.

Lujnah fatwa Al-Azhar menjelaskan, dalam mazhab Hanbali, Asy-Syafie dan juga Hanafi, tidak menjadi kesalahan menunaikan solat Jumaat dan solat-solat yang lain di dalam masjid yang di bina oleh orang-orang Kristian.

Bolehkah orang Islam menghadiri upacara perkahwinan di Gereja ?


Sheikh Ibrahim Salih Al-Husaini, Mufti Nigeria ketika menjawab persoalan ini mengeluarkan dalil firman Allah SWT, maksudnya : “ Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampong halaman kamu ; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil .” ( Al-Mumtahanah : 8)

Ayat ini dan banyak lagi ayat-ayat lain di dalam Al-Quran meletakkan asas-asas utama dalam hubungan dengan orang bukan Islam. Toleransi dan rasa hormat merupakan prinsip asas dalam hubungan orang Islam dengan ahli kitab (yahudi dan Nasrani).

Ahli Kitab diizinkan menghadiri majlis perkahwinan orang Islam yang diadakan di Masjid sekiranya ada perkaitan darah antara mereka dengan pengantin lelaki atau pengantin perempuan Islam, misalnya pihak pengantin mempunyai bapa atau keluarga yang bukan Islam. (Adab dan peraturan dimasjid perla dijaga). Pada zaman Rasulullah saw dulu, orang Kristian Najran datang kepada Nabi sebagai utusan dan Rasulullah saw menerima dan mengizinkan mereka untuk tinggal di masjid untuk seketika waktu.

Orang Islam juga dibolehkan menghadiri upacara perkahwinan keluarga bukan Islamnya, yang diadakan di gereja asal sahaja penyertaannya itu tidak melibatkan perbuatan yang haram. Tegasnya, orang Islam tidak boleh turut serta membaca Mazmur yang dibaca oleh paderi kerana perbuatan itu bertentangan dengan akidah Islam.

Patut ditegaskan lagi, bahawa perempuan Islam hendaklah mematuhi tatacara berpakaian yang ditetapkan oleh syarak yakni dia hendaklah menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Dan selanjutnya orang Islam jangan sekali-kali memakan dan meminum apa-apa yang haram dan hendaklah mengelakkan percampuran bebas yang membahayakan komitmen terhadap agamanya. Wallahualam.

Bolehkah menyambut Krismas dengan ibu yang beragama Kristian ?

Sheikh Ahmad Kutty, Pensyarah Kanan dan Sarjana di Institut Islam Toronto Kanada berkata, Islam selama-lamanya mengajar kita agar berbuat baik dengan ibu bapa, saudara mara dan sahabat handai dengan layanan yang sopan dan lemah lembut. Firman Allah SWT,

… dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal solih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan. (Surah Luqman : 15)

Bergaul baik dengan ibu bapa antaranya ialah menerima undangan mereka untuk makan bersama asalkan makanan itu halal, yang tidak termasuk daging babi, arak atau makanan yang sudah disajikan kepada berhala. Kita diizinkan untuk hadir dalam perayaan mereka dengan syarat kita tidak ikut serta dalam upacara tertentu yang berkaitan dengan agama mereka. Perlu diingat umat Islam tidak memuja Nabi Isa a.s malah termasuk tidak memuja Nabi Muhammad saw sebagai Tuhan. Kita beriman bahawa mereka adalah Rasul yang mengajar ajaran yang sama iaitu jangan menyembah tuhan selain Allah SWT.

Gunalah peluang ini untuk berbaik-baik dengan mereka serta membicarakan topic yang berkaitan dengan Nabi Isa a.s menurut perspektif Islam bila mereka senang dan lapang.

Bolehkah mengucapkan takziah kepada orang bukan Islam ?

Fatwa daripada Sheikh Muhammad al-Mukhtar Al-Shanqiti, Pengarah Pusat Islam South Plains, Lubbock Texas ketika menjawab persoalan ini,

Dalam Islam mengucapkan takziah kepada orang bukan Islam tidaklah haram. Perbuatan ini merupakan satu amalan yang baik bagi orang Islam, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang berada dalam kesedihan begitu juga menenangkan hati mereka apabila ditimpa kemalangan.

Prof Yusuf Al-Qardhawi berpendapat menziarahi pesakit tidak kira bangsa, warna kulit, agama dan negaranya adalah amalan kemanusiaan yang dianggap amal ibadah yang diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Namun, perlu diingat apabila Islam mengharuskan kita mengucapkan takziah kepada orang bukan Islam, tidaklah bermakna kita perlu melupakan saudara-saudara kita yang seagama dan seakidah dengan kita. Janganlah kita terlalu mengambil berat terhadap orang bukan Islam sehinggakan saudara seagama sendiri, kita tidak pedulikan. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, : Orang mukmin kepada saudara mukminnya seumpama sebuah bangunan dengan batanya saling ikat mengikat. Wallahualam.

Rujukan,

-Fatwa menempuh kehidupan moden, Daud Ibrahim, kata Pengantar oleh Sheikh al-Muqari Hj Othman Hamzah Imam
Besar Masjid Sultan Salahuddin Shah, Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Cetakan Gading Kreatif , 2006

- www.e-ulama.org/Artikel/Default.asp?mode=0&1D=160

- Himpunan Isu-Isu Feqah Terpilih, Ust Basri Ibrahim, Darul Nukman, Kuala Lumpur 1998

* Ust Zaharuddin bin Abd Rahman, ruangan soal jawab agama, Majalah i bil. 52 kel. Feb 2007

Wednesday, November 4, 2009

Lagi kisah Ashabul A'raf....

Kisah dua sahabat
Kaab bin Ahbar meriwayatkan, di akhirat nanti ada dua sahabat karib yang saling berbuat baik antara satu sama lain semasa di dunia. Ketika di akhirat salah seorang daripadanya kekurangan satu pahala , lalu dia diheret oleh malaikat Zabaniah menuju ke neraka. Manakala yang satu lagi mempunyai kelebihan satu pahala yang menyebabkan dia akan masuk ke syurga.

Maka sahabat yang hendak masuk ke syurga ini merasa sedih apabila melihat kawan baiknya hendak dihumban ke neraka. Lalu diberi satu pahala kepunyaannya kepada kawan yang hendak ke neraka ini tadi. Dia redha, biarlah dia tidak ke syura asalkan dia dapat menolong sahabat baiknya dari seksaan neraka. Maka jadilah mereka berdua sebagai golongan Ashabul A’raf (tidak kesyurga mahu pun neraka).

Disebabkan kebaikan sahabat ini tadi, maka kedua-duanya Allah SWT persila ke syurga.

Pengajaran daripada kisah ini, buatlah baik dengan semua orang nescaya akan ada orang yang kita buat baik semasa di dunia dahulu yang akan bantu kita di akhirat kelak.

Kisah seorang yang pemurah

Imam al-Ghazali rhm dalam kitabnya Kasyful Ulumil Akhirah, di akhirat kelak ada seorang lelaki, setelah ditimbang amal kebajikan dan kejahatan, kedua-duanya sama banyak. Lalu Allah SWT berfirman kepada lelaki ini, carilah orang yang boleh menderma satu pahalanya kepada kamu yang membolehkan kamu masuk ke syurga.

Lalu lelaki ini pun berjalan di celah-celah khalayak ramai mencari siapa yang boleh membantunya. Malangnya setiap orang yang ditemuinya enggan memberikan pahala kepadanya walaupun di kalangan mereka ada yang mempunyai pahala bertimbun-timbun. Masing-masing cukup takut, kalau mereka memberi satu pahala kepada lelaki ini menyebabkan mereka pula kekurangan satu pahala atau mereka menjadi muflis disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan kepada manusia semasa di dunia dahulu.

Ketika Ashabul A’raaf ini putus harapan, tiba-tiba muncul seorang yang mempunyai sedikit pahala,sedangkan dosanya bertimbun-timbun. Dia berfikir, alang-alang dia masuk ke neraka, eloklah pahala yang satu itu di berikan diberikan kepada lelaki yang kekurangan satu pahala ini.

Setelah ditimbang semula amalannya, maka beratlah amal kebajikan lelaki tadi melebihi amal kejahatannya. Sebelum masuk ke syurga, Allah SWT berfirman kepadanya, carilah lelaki yang pemurah yang telah mendermakan pahalanya kepada kamu tadi. Lelaki ini kemudia mencari, setelah berjumpa lalu Allah SWT berfirman kepada lelaki yang bermurah hati itu,

“Engkau memang seorang yang pemurah kerana sudi memberikan pahala kebajikan mu kepada lelaki ini. Tetapi Aku adalah Tuhan Yang Maha Pemurah, justeru, Aku perintahkan kepada kamu supaya pimpin lelaki yang menerima pemberian pahala dari mu untuk sama-sama memasuki syurga aku ”.

Cerita-cerita seperti ini adalah khusus terhadap orang-orang tertentu di kalangan hamba-hambaNya yang terpilih di akhirat atas sebab-sebab tertentu. Jika Allah SWT mahu mengampunkan dosa hamba-hamabNya di saat hampir dicampakkan ke neraka, kesemuanya adalah hak Allah SWT kerana Dia adalah Tuhan yang bersifat “Ghafurur Rahim”, tiada sesiapa pun yang boleh mencampuri urusanNya.

Wallahualam.

Petikan dari buku,
Azab dan Nikmat Akhirat – Tuan Guru Nik Aziz.