Sunday, January 31, 2010

Isu Black dan Mas Idayu….


Saya sebenarnya tidak berminat mengikuti perkembangan artis di Malaysia. Cuma saya tergerak menulis isu ini apabila terbaca di dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini, ruangan Pancaindera muka surat 8. Isu ini amat penting untuk saya ulas kerana ia bukan sahaja berkait rapat dengan isu moral, malah isu akidah.

Fakta kes

Pada 10 hb Januari 2010 Black maju setapak lagi dalam dunia seninya apabila diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu 2009 (AJL24). Menyambut kemenangannya, beliau tanpa rasa malu telah mencium Mas Idayu yang pernah menjadi mentornya seperti yang dilaporkan dalam akhbar.

Jelas tindakan beliau ini telah menimbulkan persepsi kurang menyenangkan dari penonton. Lalu wartawan hiburan telah mengajukan soalan ini kepada beliau dan sebagai mempertahankan tindakannya Black menjawab bahawa,

“Bukan cium pipi.., tapi laga pipi sahaja…, lagi pun Black dah anggap Mas Idayu macam ibu”.

Jawapan ini menggambarkan beliau seorang yang jahil dalam agama. Sepatutnya Black mesti sedar bahawa lelaki dan perempuan yang bukan mahram dilarang bersentuh-sentuhan. Banyak hadis Nabi saw yang menjelaskan hal ini antaranya sabda baginda,

إياك والخلوة بالنساء. والذى نفسى بيده ما خلا رجل بإمرأة إلا دخل الشيطان بينهما ولأن يزحم رجل خنزير متلتطخ بطين أو حمأة خير له من أن يزحم منكبه
منكب إمرأة لا تحل له

Maksudnya : Berhati-hatilah jangan sampai kalian berkhalwat dengan wanita, demi diriku yang berada di tanganNya, tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan masuk syaitan diantara keduanya. Sesungguhnya adalah lebih baik seorang lelaki untuk bergesel dengan seekor babi yang berlumuran tanah atau lumpur daripada ia menggeselkan bahunya dengan seorang wanita yang tidak halal bagi dirinya.

Baiklah, jika Black jahil kerana tidak tahu bahawa itu merupakan satu kesalahan maka jalan sewajarnya Black perlu bertaubat dan mengaku kesalahan diri sendiri. Jangan sekali-kali ego dengan cara mencari dalil untuk mengharuskan kesalahan dosa yang dilakukan. Dalam Islam barangsiapa yang menghalalkan sesuatu yang haram atau mengharamkan sesuatu yang sudah dihalalkan oleh Allah SWT ia boleh membawa kepada kerosakkan akidah.

Kepada Black, rujuklah kisah Iblis dan Nabi Adam a.s sebagai iktibar. Mari kita lihat apa beza kesalahan Nabi Adam dan Iblis serta hukuman ke atas mereka.

Kesalahan Nabi Adam a.s

Kalau kita lihat fakta kes, Nabi Adam a.s melakukan kesalahan memakan buah yang dilarang oleh Allah SWT. Dia insaf dan mengaku kesalahan yang dilakukannya lalu memohon ampun kepada Allah SWT. Balasannya Allah SWT mengampunkan kesalahannya.

Iblis ?

Iblis juga melakukan kesalahan kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam a.s . Bezanya dia tidak mahu mengaku kesalahan yang dilakukan, ego masih menganggap dia tidak salah, akhirnya mendapat kemurkaan Allah, disingkirkan dari syurga seterusnya disytihar sebagai kafir.

Justeru saya ingin menasihatkan Black dan Mas Idayu supaya bertaubat dan mengaku kesalahannya. Jangan jadi seperti Iblis yang akhirnya bukan sahaja dicampak dari Syurga malah diisytihar sebagai kafir oleh Allah SWT. Moga-moga Allah SWT mengampuni dosa anda berdua. Amin ...!

Wallahulam.

Saturday, January 30, 2010

Tulisan lebih tajam dari mata pedang....


Masih ingat dengan pameran hantu yang diadakan di Muzium Negeri Sembilan suatu ketika dahulu ? Pameran ini bermula pada 10 hb Mac dan sepatutnya berakhir pada 31 Mei 2007. Namun pameran ini akhirnya berjaya di‘bungkus’kan sebelum sampai ke tarikh penamatnya.

Sebab ?

Pada 12hb Mac 2007 , saya menghantar surat ke ruangan forum pembaca akhbar Utusan Malaysia membantah pameran yang tidak berfaedah ini. Tak sangka pula,tulisan saya meletup, menggegarkan Negara dan diulas oleh Dr Asri (Mufti Perlis ketika itu), Rais Yatim (Menteri yang jaga Muzium)dan Mohamad Hassan(MB)sehingga dibawa ke mesyuarat kabinet, kemudian dibincangkan dalam majlis fatwa sehinggalah kepada pengharamannya.

Berikut adalah tulisan saya :

Apa Faedah Pameran Hantu, Jin?

BENARKAH makhluk halus, hantu dan jin boleh ditangkap serta dipamerkan kepada orang ramai?. Saya teruja dengan soalan ini apabila Lembaga Muzium Negeri Sembilan menganjurkan Pameran Alam Misteri: Jin Dan Hantu yang sedang diadakan di Seremban sekarang.

Bagi mencari jawapan, saya merujuk tulisan Profesor Datuk Dr. Haron Din, tokoh terkenal dalam ilmu perubatan Islam dalam laman web www.darussyifa.org.Berikut adalah hasil maklumat yang saya peroleh:

Makhluk halus seperti jin, ifrit, syaitan, iblis, toyol (menurut istilah orang Melayu) dan sebagainya dibuat daripada api (bukan fizikal).Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok. Sebagai contoh, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak.

Malah, batu batan yang sebesar piramid juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-ray.

Kalau cahaya api boleh melepasi tembok pejal seperti yang disebut di atas tadi, maka amat mustahil mana-mana hantu dan jin yang dicipta daripada api boleh ditangkap dan dimasukkan dalam alat yang dibuat daripada kaca untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Makhluk halus ini sebenarnya boleh keluar dan boleh masuk daripada kaca bila-bila masa. Justeru dakwaan pihak tertentu yang mengatakan hantu yang dipamerkan adalah hantu yang dalam bentuk asli adalah tidak berasas sama sekali, malah bertentangan dengan syarak.

Kalau disingkap melalui sejarah, memang benar Rasulullah s.a.w pernah menangkap jin ifrit yang mengganggu baginda ketika solat, tetapi Rasulullah s.a.w tidak pernah mempamerkannya kepada khalayak ramai.

Amalan menangkap dan mempamerkan makhluk halus ini juga tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan tabien.Islam, mengakui kewujudan makhluk halus kerana ia sabit keterangannya di dalam al-Quran dan hadis. Islam mengajar kita agar menjauhi makhluk-makhluk halus ini dengan membaca surah-surah tertentu seperti Ayatul Kursi dan sebagainya.

Sebaliknya, Islam tidak pernah menyuruh umatnya untuk menghampiri makhluk ini serta ambil tahu bagaimana keadaan rupa dan paras wajahnya, sebab ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada kehidupan manusia.

Malah, ia akan menyebabkan manusia merasa takut, seram sehingga mahu ke bilik air pun perlu berteman. Pelajar-pelajar yang mahu mengulangkaji pelajaran pada larut malam pun akan membatalkan hasratnya.

Justeru, saya mengharapkan agar kerajaan Negeri Sembilan menganjurkan pameran-pameran yang lebih memberi manfaat kepada masyarakat awam. Saya kira pameran buku atau pameran Sains lebih menepati kehendak semasa.

– MOHD. HISHAMUDDIN MANSOR,
Negeri Sembilan.

Ulasan Mufti Perlis ...

KANGAR 13 Mac – Hentikan pameran hantu dan jin kerana ia tidak membantu, sebaliknya hanya mengkhayalkan masyarakat, tegas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Menurut beliau, pameran seumpama itu hanya menunjukkan masyarakat Islam terutama bangsa Melayu lebih mengutamakan perkara-perkara mengkhayalkan sedangkan masih banyak lagi perkara bersifat fakta yang harus menjadi fokus besar.

"Kenapa kita berlebih-lebih dalam perkara ini (pameran hantu dan jin)... ia tidak langsung membantu minda dan tidak membawa apa-apa kemajuan dalam usaha membangunkan Islam.Tumpuan berlebihan ini boleh menyebabkan dunia Islam dianggap hanya tertumpu kepada perkara-perkara mundur sebegini," katanya.

Dr. Mohd. Asri berkata, sepatutnya pihak-pihak berkenaan berusaha menganjurkan program-program atau pameran bersifat fakta yang memberi kesan selari dengan usaha memajukan Islam.

"Benda-benda sebegini (pameran hantu dan jin) tidak patut ada (dibuat). Kita sepatutnya memikirkan perkara-perkara realistik yang bakal kita hadapi, bukannya terus berkhayal seperti ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Dr. Mohd. Asri mengulas surat pembaca dalam ruangan Forum Utusan Malaysia semalam.

Seorang pembaca, Mohd. Hishamuddin Mansor dari Negeri Sembilan mempersoalkan apakah manfaat yang diperoleh daripada Pameran Alam Misteri: Jin dan Hantu yang sedang diadakan di Seremban sekarang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Islam memang mengakui kewujudan makhluk halus seperti jin, syaitan, iblis dan sebagainya tetapi masyarakat tidak harus memberi tumpuan besar terhadap perkara itu.

"Dalam al-Quran juga terdapat surah-surah tertentu yang boleh dibaca apabila diganggu oleh makhluk halus ini yang bertujuan menghalau dan menjauhkan mereka".

"Tetapi jika kita terus berkhayal seperti ini, saya bimbang kita akan kembali kepada zaman Melayu lama yang mana semua penyakit akan dikaitkan dengan jin dan syaitan. Apabila sakit kita akan terus berjumpa bomoh dan jika mati pula terus dikaitkan dengan makhluk halus itu.

"Jadi, tinggalkanlah zaman bomoh-bomoh ini, kita memiliki sistem perubatan yang moden dan luas termasuk perubatan Islam. Beri fokus kepada perkara itu lebih mustahak," katanya.

Dr. Mohd. Asri juga menyarankan supaya diadakan lebih banyak pameran tentang tamadun atau sains Islam seperti yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini yang mampu membina minda masyarakat Islam yang akhirnya dapat bersama-sama memajukan Islam.

"Islam anti khayal, jadi lebih eloklah pameran yang mengkhayalkan seperti itu (pameran hantu dan jin) tidak diadakan. Buatlah pameran yang lebih mendatangkan manfaat," tambahnya.

Ulasan Rais Yatim ....

Isu pameran hantu ke Kabinet: Rais (Berita Harian : 21 Mac 2007)

Katanya, beliau sendiri akan membentangkan perkara itu supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dapat dimaklumkan mengenai ketidakwajaran pameran itu diadakan atau diteruskan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Dr Adi Taha mengemukakan satu laporan lengkap mengenai pameran itu untuk dibuat penilaian sebelum dikemukakan pada mesyuarat Kabinet.

Katanya, langkah itu juga untuk mendapatkan persetujuan Kabinet supaya pameran berkaitan alam misteri yang boleh bertembung dengan akidah, nilai hidup dan tamadun umat Islam, juga dapat dibincang pada Mesyuarat Menteri-Menteri Besar akan datang.
“Secara peribadi saya amat duka cita kerana pameran itu diteruskan juga, walaupun saya sudah meminta ia dihentikan.

“Saya hairan apa yang hendak dipertahankan sangat pameran itu sedangkan tidak mendatangkan faedah dan dari segi agama pun, ia sudah bertentangan.Apakah kerana ada unsur komersial (pameran itu diteruskan)... saya tidak faham,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Kelmarin Berita Harian melaporkan kurator muzium berkenaan, Drs Shamsuddin Ahmad, berkata pameran itu diteruskan selepas perbincangan dengan Pengerusi Lembaga Muzium negeri, Datuk Kamaruddin Siaraf yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).Beliau menegaskan pameran yang dirancang sejak tahun lalu itu bukan ‘kosong’ dan bertujuan mengkhayalkan orang ramai, sebaliknya diimbangi program keilmuan serta mendidik orang ramai termasuk sesi ceramah dan dialog bersama pakar mengenai alam ghaib.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Hasan juga dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri tidak terbabit dengan penganjuran pameran dan tidak dimaklumkan mengenainya.Pameran itu yang bermula 10 Mac lalu akan berlangsung selama tiga bulan dan dijadualkan berakhir 31 Mei depan.

Bagaimanapun, Rais mengakui pihak muzium negeri tidak perlu merujuk kepada Kerajaan Pusat dan kementerian untuk mengadakan sesuatu pameran kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tetapi, katanya atas semangat menghormati hubungan kerajaan negeri dengan Pusat, mereka sewajarnya mematuhi apa yang dinyatakan pemimpin Pusat.

“Dalam hal ini, nampaknya mereka terbabit tidak mematuhi arahan pucuk pimpinan Pusat dan ini tidak baik.Saya berharap negeri lain tidak mengadakan pameran seperti itu yang juga tidak disokong oleh tokoh agama,” katanya.

Beliau berkata, kementerian menyokong dan iktiraf pameran anjuran Muzium Negeri hanyalah yang berlandaskan dua asas iaitu memenuhi matlamat meningkatkan ilmu pengetahuan dan cara hidup atau tamadun bangsa.

Pameran hantu, jin di Muzium Negeri Sembilan dihentikan (Berita Harian : 14 April 2007)

Pengerusi LMNS, Datuk Kamaruddin Siaraf yang juga setiausaha kerajaan negeri berkata, pameran itu yang bermula 10 Mac lalu dan dijadualkan berakhir 31 Mei depan, ditutup selepas solat Jumaat.

"Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menutup pameran ini sebagai menghormati pandangan majlis fatwa itu," katanya di sini hari ini.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, 'Profesor Datuk Dr. Abdul Shukor Husin semalam berkata, pameran sedemikian boleh menjurus kepada makruh dan seterusnya haram apabila mendatangkan mudarat kepada akidah umat Islam.

Beliau berkata, majlls fatwa juga tidak mahu umat Islam terus disogok dengan perkara-perkara tahyul dan khurafat yang tidak diketahui manusia.Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati para pekerja muzium berkenaan menurunkan sepanduk pameran itu yang dipasang di sekitar perkarangan dan jalan masuk ke muzium itu.

Dalam pada itu, masih terdapat pengunjung yang tidak mengetahui mengenai penutupan itu datang untuk melihat pameran berkenaan.

Pameran misteri seumpama itu sebelum ini pernah diadakan di Melaka dan Selangor tetapi kewajaran mengadakannya mula dipersoalkan bermula dengan surat pembaca yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia.

Ia semakin panas apabila Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut menegur pameran itu yang hanya mengkhayalkan masyarakat dan boleh mendatangkan mudara kepada umat Islam.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim turut menyokong pandangan itu dan menegur serta menyarankan supaya pameran itu dihentikan kerana tidak memberi faedah kepada perkembangan tamadun manusia.

LMNS bagaimanapun bertegas untuk tetap meneruskan pameran kecuali terdapat arahan kerajaan negeri untuk berbuat demikian.Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyerahkan kepada Lembaga Pengarah LMNS untuk membuat keputusan.

Thursday, January 28, 2010

Kalimah Allah : Penutup dan Noktah !

Bila Sayed Tantawi kata Malaysia sebagai sebuah Negara Islam ...
Saya masih ingat, sekitar tahun 2006 ketika Dr. Sayed Tantawi (Sheikhul Al-Azhar) datang ke Malaysia beliau membuat kenyataan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam tulin yang menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain.

Maka gegak gempitalah ustaz-ustaz yang pro pembangkang (termasuk saya) membidas kenyataan Dr.Sayed Tantawi. Kami memohon supaya Sayed Tantawi tinggal di Malaysia dalam tempoh sebulan, baru dia boleh menilai sama ada Malaysia ini sebuah Negara Islam atau tidak.

Hakikatnya Sayed Tantawi orang luar, dia tidak pernah tahu masalah keruntuhan moral di kalangan remaja Islam di Malaysia, dia tidak pernah tahu berapa banyak kilang-kilang arak di negara ini, dan dia tidak pernah tahu berapa banyak pula lesen-lesen judi serta kasino-kasino yang telah diluluskan oleh kerajaan BN.

Itu tidak termasuk gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, duit royalti minyak di rompak, yang miskin bertambah miskin dan yang kaya bertambah kaya kerana harta kekayaan negara berlegar di kalangan elit tertentu !

Kalau Sayed Tantanwi lihat budak-budak Melayu minum arak di Bukit Bintang, kalau dia tahu betapa parahnya gejala zina, pelacuran dan jumlah anak haram di Malaysia, dan kalau ulama terkenal ini di bawa melawat ke pusat perjudian terbesar di Genting Highland sudah tentu Sayed Tantawi akan lari meninggalkan Malaysia..,

“Masya Allah.., Ana taubat, ana tak mahu tinggal di Malaysia ! lebih baik ana tinggal di Mesir jaga unta .... ”, mungkin itulah kata-kata beliau jika mengetahui keadaan Malaysia yang sebenar.

Mengapa ? Kerana Negara Islam adalah Negara ‘ Baldatun Toyyibah Warabbun Ghafur ’ (Negara yang baik serta mendapat pengampunan Tuhan). Justeru macam mana pengampunan Allah mahu turun dalam sebuah Negara yang mengamalkan undang-undang sekuler, mengenepikan undang-undang Islam ? Sampai sekarang sudah 52 tahun merdeka, tukang sebat Syariah pun tak ada lagi !

Bila Yusuf al-Qardhawi kata kalimah Allah boleh diguna orang bukan Islam…

Baru-baru ini ketika berkunjung ke Malaysia kerana menerima anugerah tokoh Maal Hijrah Prof Yusuf al-Qardawi menyatakan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah di Malaysia.

Maka sekali lagi gegak gempitalah penyokong-penyokong parti pembangkang menulis di blog masing-masing menyokong kenyataan Prof Yusuf al-Qardawi, Mufti negara Qatar.

Pada hal mereka inilah yang menempelak Dr. Sayed Tantawi (Sheikhul Al-Azhar) satu ketika dahulu dengan berhujah bahawa ulama itu tidak memahami realiti kehidupan masyarakat Islam di Malaysia. Hanya ulama-ulama tempatan sahaja yang boleh mengeluarkan pendapat sebab mereka sangat mengetahui waqe' di negara ini.

Saya ingin bertanya kepada penyokong-penyokong yang taksub ini, kenapa tidak mahu menggunakan hujah yang sama untuk menolak pandangan Prof. Yusuf al-Qardawi ? Adakah Prof. Yusuf al-Qardawi pernah bermastatautin di bumi Malaysia ?

Pernahkan Prof Dr. Yusuf al-Qardawi lihat sendiri betapa parah dan rapuhnya akidah umat Islam di negara ini ? Tahukah Prof. Dr Yusuf al-Qardawi bahawa 80 peratus remaja di negara ini tidak menunaikan solat ? Tahukah Prof. Yusof al-Qardawi di Malaysia terdapat beberapa aliran sesat seperti Islam Liberal, Gerakan Anti Hadis, fahaman Feminisme dan entah bermaca-macam ajaran karut lagi ?

Tahukah Prof. Yusuf al-Qardawi bahawa institusi kekeluargaan begitu rapuh di Malaysia sehingga kes-kes penceraian di mahkamah syariah sentiasa bertambah? Tahukah Prof. Yusof al-Qardawi gejala rempit dan dadah di monopoli oleh orang-orang Islam di negara ini ?

Justeru dalam konteks apakah Prof Yusuf al-Qardawi mengatakan kalimah Allah boleh diguna pakai oleh orang-orang Kristian ? Saya mohon jasa baik supaya Prof. Yusuf al-Qardawi tinggal lama sikit di Malaysia untuk menilai sama ada wajar atau tidak kenyataan Prof tersebut. Untuk makluman Prof, saya sedia mencarikan rumah sewa untuk Prof tinggal di bumi Malaysia khususnya di tempat-tempat yang berprestij seperti di Bukit Bintang dan Bangsar !

Jangan meludah ke langit terkena batang hidung sendiri!

Semasa pembesar-pembesar negara menunduk hormat ke Tugu Negara sempena Hari Pahlawan, maka gegak gempitalah penyokong-penyokong parti pembangkang (termasuk saya) menyanggah amalan tersebut kerana tidak menghormati keputusan para Mufti yang telah mengeluarkan fatwa mengenai pengharaman amalan bertafakur di Tugu Negara.

Hari ini apabila para Mufti sudah membuat keputusan : Orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah, maka mengapa penyokong-penyokong pembangkang tidak mahu menghormati keputusan para Mufti ?

Ada yang menempelak saya,

"Ustaz, mana lebih besar kalimah Allah atau syariat Allah ? UMNO beria-ia mahu mempertahankan kalimah Allah sedangkan syariat Allah tidak mahu tegakkan", kata seorang jemaah di surau al-Falah Taman Desa Ru.

Saya jawab balik,

"PAS pun macam tu jugak, kalimah ALLAH pun tak boleh nak pertahankan, macam mana nak mendaulatkan hukum ALLAH", tegas saya.

Akhir kalam...

Saya tak tahu nak tulis apa lagi.

Wallahulam .

Tuesday, January 26, 2010

Bolehkah makhluk halus disumbat dalam botol ?

Terdapat dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan si pulan itu telah berjaya menangkap jin atau toyol lalu dimasukkan ke dalam botol dan dibuang ke dalam laut.

Dan tidak ketinggalan juga ada hantu yang dipamerkan untuk tatapan orang ramai. Bagaimana pandangan Islam mengenai hal ini ?

Jawapan

Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang sedikit sebanyak budayanya dicambahi oleh pelbagai kepercayaan tahyul dan khurafat. Disebarkanlah dakwaan itu dan ini yang kadang-kadang ia bercanggah dengan hukum syarak.

Makhluk halus seperti jin, ifrit, syaitan, iblis atau toyol (menurut istilah orang Melayu) dibuat daripada api (bukan fizikal). Kederasannya adalah sama seperti kederasan cahaya. Oleh itu, bagaimana mungkin sesuatu yang bentuknya bukan fizikal hendak dimasukkan dalam sesuatu yang berbentuk fizikal.

Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok. Sebagai contoh, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat gambar tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak. Malah batu batan yang sebesar Piramid juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-tray.

Kalau cahaya api boleh melepasi tembok pejal seperti yang disebutkan tadi apatah lagi bahan seperti botol yang dibuat daripada kaca. Justeru dakwaan yang mengatakan jin atau toyol boleh di sumbat di dalam botol dan di buang ke laut tidak ada asasnya menurut syarak. Kerana makhluk halus ini sebenarnya boleh masuk dan boleh keluar daripada botol pada bila-bila masa.

Di zaman Rasulullah....

Di zaman Rasulullah saw, ketika baginda mengimamkan solat di Masjidil Haram, tiba-tiba dalam solat itu kelihatan oleh para sahabat, Rasulullah saw seolah-olah sedang mengelak daripada sesuatu, dan memegang serta menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak. Selepas selesai solat, para sahabat bertanya Rasulullah saw mengenai gerak gerinya ketika solat.

Rasulullah saw menjelaskan kepada mereka, bahawa Ifrit telah datang kepadaku dengan obor api untuk menganggu solatku, aku mengelak daripada nyalaan obor itu dari muka ku dan aku telah menangkapnya dengan tangan. Dan ketika itu aku berazam mengikat Ifrit ini pada salah satu tiang di Masjidil Haram, biar selepas itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak kita. Tiba-tiba aku teringat doa Nabi Sulaiman, yang meminta kepada Allah SWT bahawa kekuatan yang ada padanya boleh menawan, menangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberi lagi kepada mana-mana orang, maka aku lepaskan Ifrit itu setelah aku terasa lidahnya mula mengenai lenganku.

Daripada kisah di atas dapat kita fahami bahawa Nabi Muhammad saw yang semulia-mulia makhluk di atas muka bumi ini tidak pernah menambat Jin atau Iblis apatah lagi menyumbatnya di dalam botol untuk di buang kemana-mana. Juga amalan seperti ini tidak pernah berlaku kepada sahabat mahu pun tabien.

Untuk mengelakkan diri daripada diganggu oleh makhluk halus ini, hendaklah berdoa memohon kepada Allah agar dijauhkan daripada makhluk ini. Juga terdapat beberapa ayat di dalam Al-Quran yang disuruh oleh Rasulullah saw untuk kita amalkan antaranya surah Al-Baqarah, ayatul Kursi dan sebagainya. Dengan mengamalkan ayat-ayat ini, dengan izin Allah maka makhluk halus ini akan menjauhi manusia atau mengeluarkan diri daripada badan manusia.


Rujukkan,
Prof. Dato’ Dr. Haron Din, www.darussyifa.org

Saturday, January 23, 2010

Zina : Dosa yang bakal menghantui sipelakunya !


Sampai hati kau buang aku...

Islam memandang jenayah zina sebagai satu jenayah yang sangat keji dan tidak bermoral. Ia bukan sahaja membiakkan penyakit berjangkit seperti AIDS dan Siplis tetapi juga merosakkan sistem kekeluargaan, menghancurkan rumahtangga, menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat, melahirkan jenayah rogol yang berleluasa, wujudnya anak luar nikah tanpa bapa sekaligus membawa kepada pembunuhan bayi yang tidak berdosa.

Sabda Rasulullah saw,

إذا ظهر الزنا والربى فى قرية فقد أحلوا فى أنفسهم عذاب الله

Maksudnya : Jika zina dan riba sudah muncul di suatu qaryah bererti mereka sudah menghalalkan diri mereka untuk diseksa oleh Allah SWT.


Kenapa mak buat saya macam nii..?

Sabda Nabi saw lagi,

“Tidak ada sebarang dosa yang lebih besar selepas syirik selain daripada setitik air mani yang ditumpahkan oleh seseorang ke dalam rahim yang tidak halal baginya”.

Sebuah lagi hadis,

“ Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi mengutuk orang yang berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya. ”

'Prevention is better than cure'

Firman Allah SWT dalam surah Al-Israk ayat 32,

ولا تقربوا الزنا انه كان فاحشة وساء سبيلا

Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, (kerana) sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan membawa kerosakkan.


Apa dosa saya ...?

Berdasarkan ayat ini apa sahaja perbuatan yang boleh membawa kepada gejala zina seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pendedahan aurat, membaca buku-buku dan majalah lucah, melawati laman-laman web lucah serta menonton VCD / DVD yang membangkitkan selera syahwat hukumnya adalah haram.

Ikatan pertunangan ..lesen untuk 'dating' ?

Ada ibubapa yang beranggapan,

“Tak apalah…., biarlah mereka berjalan berdua.., lagi pun mereka sudah bertunang”.

Ini satu kenyataan yang silap. Bertunang bukan lesen untuk membenarkan anak-anak gadis keluar dengan lelaki tunangannya. Sebaliknya bertunang ialah satu tempoh perjanjian antara lelaki dan wanita sama ada sebulan, enam bulan, aetahun atau semalaman untuk mereka mendirikan rumah tangga.

Justeru bagi pasangan yang sudah bertunang dan ingin mendirikan rumahtangga hendaklah mereka memelihara tingkah laku mereka kerana aman damainya rumahtangga bergantung juga kepada apa yang telah mereka lakukan sebelum berkahwin.


Kenapa bunuh saya ...?

Dalam sepotong hadis Nabi saw menjelaskan, apabila seorang lelaki dan perempuan duduk beruda-duaan apatah lagi di tempat yang sunyi maka syaitan akan menjadi pihak ketiga untuk menghasut supaya mereka melakukan perbuatan terkutuk itu.

Kalau betul seseorang lelaki itu benar-benar ingin menjadikan teman perempuannya sebagai isteri, dia akan memelihara dan menjaga bakal isterinya itu sebaik mungkin dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan zina.

Pandangan pakar seksologi...

Pengkaji seksologi manusia melaporkan perbuatan memegang tangan antara lelaki dan perempuan boleh mewujudkan penjajahan minda seseorang lelaki ke atas seseorang perempuan. Pendekata peluang perempuan untuk dicairkan dan menurut kata-kata lelaki tersebut adalah cukup besar. Inilah punca mengapa seseorang perempuan tidak dapat menghalang kekasihnya daripada melakukan sesuatu di luar batasan agama. Sebab fikiran mereka sebenarnya sudah terjajah.

Bagi lelaki pula apabila mereka menyentuh tangan perempuan yang bukan mahramnya, secara tidak langsung aktiviti organ seksnya lebih aktif sehingga kalenjar inferior di otak bertindak tidak normal, merembeskan hormone testron sama ada semakin banyak atau kurang. Sekiranya banyak ia boleh membangkitkan nafsu syahwat seorang lelaki lebih daripada biasa.

Hukuman ke atas penzina

Islam menetapkan hukum yang tegas, iaitu mana-mana penzina yang sabit kesalahannya jika belum berkahwin hendaklah disebat seratus kali sebatan. Hal ini berdasarkan dalil surah An-Nur ayat 2,

الزانية والزانى فاجلدوا كل واحد منهما مائة جلدة

Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan ..


Memang patut Islam mengenakan hukuman yang berat ke atas penzina !

Manakalah bagi yang sudah berkahwin, hendaklah direjam sampai mati.

الشيخ والشيخة اذا زنيا فارجموهما البتة

Maksudnya : Lelaki tua dan perempuan tua yang berzina, maka rejamlah kedua-duanya sebagai balasan daripada hukuman Allah SWT.

Zina dengan binatang ?

Melakukan zina dengan binatang juga dijatuhkan hukuman mati sebagaimana sebuah hadis yang berbunyi,

ومن أتى بهيمة فاقتلوه واقتلوها معه

Maksudnya : Sesiapa yang menyetubuhi binatang maka hendaklah kamu membunuhnya dan membunuh binatang itu bersama-sama nya.

Wallahualam.

Petikan nota kuliah
Surau al Amin Sikamat
23.1.2010

Thursday, January 21, 2010

Sempurnakan wuduk anda .....






















Rukun-rukun wuduk

1.Niat. Menurut fuqaha Syafi’eyah, niat hendaklah serentak dengan basuhan yang pertama, yakni muka. Memadai lafaznya :

نويت الوضوء
Maksudnya : Sahaja aku berwuduk

2.Basuh Muka. Alirkan air dan ratakan keseluruh muka dari anak rambut bahagian atas muka sehinggalh di bawah dagu dan dari anak telinga kanan ke anak telinga kiri. Wajib juga membasuh janggut kerana ia termasuk dalam bahagian muka. Bagi mereka yang berjanggut lebat atau tebal memadailah membasuh bahagian luarnya sahaja dan disunatkan menyelai-nyelainya dengan jari jemari.

3.Basuh kedua tangan dan siku. Menurut fuqaha Syafe’iyah, jika mengambil wuduk dari tempat yang boleh dicedok airnya dengan tangan, maka disunatkan di mulai dari hujung anggota wuduk. Tetapi jika mengambil wuduk dari air yang mengalir seperti paip atau dari air yang dicurahkan oleh seseorang, maka sunat membasuh dari kedua-dua siku atau dari kedua-dua buku lali kaki.

4.Sapu air di kepala. Menurut mazhab Syafi’eyah, yang difardhukan hanyalah sebahagian kepala sahaja sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Bagi mereka yang tidak mempunayi rambut, memadailah hanya mengusap kulit kepalanya sahaja.

5.Basuh kedua kaki. Alir dan ratakan air dari jari jemari kaki, tumit hingga ke buku lali kaki.

6.Tertib, maksudnya mendahulukan basuhan anggota wuduk secra susunan yang dinyatakan dalam al-Quran.

Pembatal Wuduk

1.Keluar sesuatu dari dua jalan yakni qubul atau dubur sama ada yang keluar itu berupa benda keras seperti batu, atau cecair seperti berak, kencing, mazi atau angin seperti kentut.

2.Hilang akal disebabkan mabuk atau gila atau pitam atau tidur yang tidak tetap kedudukannya.

3.Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang telah baligh dan bukan mahramnya sama ada sengaja mahu pun tidak sengaja kerana di qiaskan kepada perbuatan kencing atau pun kentut sama ada sengaja atau tidak, ia tetap membatalkan wuduk.

Jika bersentuh dengan berlapik sekalipun nipis, ia tidak membatalkan wuduk. Juga tidak terbatal wuduk sekiranya yang disentuh itu bukan kulit seperti rambut, kuku dan gigi. Dan tidak terbatal wuduk sekiranya yang disentuh itu adalah kanak-kanak yang belum sampai had syahwat.

4.Menyentuh kemaluan dengan maksud menyentuh qubul dan dubur dengan tapak tangan sama ada yang di sentuh itu kemaluan sendiri mahu pun kemaluan orang lain. Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw,

من مس ذكره فليتوضأ

Maksudnya : Barangsiapa yang menyentuh kemaluannya, maka hendaklah dia berwuduk semula. (HR Ashabus Sunan)

Menurut Mazhab Syafi’ey lagi adalah batal wuduk sekali pun yang disentuh itu kemaluan kanak-kanak, atau mayat atau yang sudah terpotong.

Wallahualam.

Petikan dari kuliah Fardhu Ain
Di Sek. Men. Vokasional Ampangan
21.1.2010

Tuesday, January 19, 2010

CUBA TEKA …..

Ayat ini di ambil dari Al Quran, Bible atau dari rekaan Kristian ?

ALLAH berfirman:

"Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan "

"Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak- anaknya "

"Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh "

"Aku memberinya kepekaan setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya "

"Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya "

"Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu"

"Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan dan ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bilapun ia perlukan."

"Kau tahu; kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya."

"Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya.. Tempat dimana cinta itu ada."

Kirimkan ini kepada setiap wanita yang anda kenal hari ini untuk memperingati. ….

Syukran ya Allah !

Ulasan saya :

Inilah kesan kalau kalimah ALLAH diizin kepada penganut Kristian di Malaysia. Bagi umat Islam yang faham al-Quran insya Allah, mereka akan tahu membezakan firman Allah yang sebenar dengan firman Allah yang direka-reka oleh pendakyah Kristian. Bagi mereka yang BUTA AL-QURAN, wallahualam.


Gereja ALLAH di Indonesia..., ALLAH itu Kasih !

Persoalan, berapa ramai umat Islam di Malaysia khususnya generasi muda yang faham Al-Quran di banding dengan mereka yang buta Al-Quran ? Kalau bab solat fardhu pun masih ramai yang belum beres, jangan harap mereka boleh membaca dan memahami al-Quran dengan baik.


Mungkin lagu-lagu seperti ini akan menjadi siulan anak-anak muda Islam di masa akan datang....

Justeru kepada parti-parti politik seperti PAS dan PKR yang menyokong kalimah Allah diguna pakai oleh orang Kristian, tolong fikirkan hal ini. Anda perlu realistik melihat 'keparahan' akidah umat Islam di Malaysia, bukan hanya asyik berpolitik di sana sini untuk mengejar populariti dan undi orang bukan Islam.

Caca marba Indonesia

Adakah Malaysia mahu mencontohi Indonesia ? Memetik kata-kata YB Zulkifli Noordin,

"Setelah berpuluh tahun 'amalan syirik ini dibenarkan, akhirnya generasi Indonesia menjadi bangsa yang cacamerba dan rojak. Apa tidaknya, gadis Melayu berjumpa dengan pemuda Kristian tidak nampak lagi perbezaan diantara mereka. Nama sama, yang Muslim pun "Hartono", yang Kristian pun "Hartono". Yang Muslim pun tuhannya "ALLAH", yang Kristian tuhannya pun "ALLAH". Yang Muslim "solat" di masjid, yang Kristian "solat" di gereja ALLAH. Yang Muslimnya mengejar "syurga", yang Kristian pun mencari "syurga"! Bagi si gadis Melayu Muslim ni, apa beza Hartono Muslim dan Hartono Kristian..sama saja dong!! Jadi kita tidak hairan ada pasangan suami isteri, dimana si isteri Islam, si suami Kristian. Mula nikah di masjid, lusa nikah pula di gereja..kita serupa dong!!"

Ala kulli hal.., wassalam.

Sunday, January 17, 2010

Nabi Isa a.s akan kembali.....























Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 157-158,

“Dan Karena Ucapan mereka: "Sesungguhnya kami Telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah ", padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahwa yang mereka bunuh itu adalah Isa. (157) Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (158).

Benarkah Nabi Isa a.s belum wafat ?

Jawapan, Ya berdasarkan ayat ini orang-orang Islam percaya bahawa Nabi Isa a.s belum lagi wafat, kerana baginda tidak disalib tetapi diselamatkan oleh Allah SWT dengan cara mengangkat baginda ke sisi –Nya. Dalam ayat ini juga Allah SWT menyatakan bahawa mereka yang membunuh Nabi Isa a.s itu sebenarnya tidak yakin siapakah yang di bunuh itu.

Apa kata Bible tentang kematian Nabi Isa a.s ?

Jawapan, kalau dirujuk dalam Bible juga terdapat beberapa keraguan untuk mengesahkan orang yang di salib itu ialah Nabi Isa a.s. Sebagai contoh ketika di kayu salib, orang yang di salib mengeluh dan merayu-rayu kepada Tuhan agar melepaskannya dari kayu salib itu,

"Eloi Eloi Lama sabachtani – which means, “My God, My God, why have you forsaken me ” (Mark 15 : 34 )

Kata-kata rintihan ini tidak sesuai diucapkan oleh seorang Rasul kerana mereka merupakan individu yang kuat menghadapi cabaran ketika berdakwah walaupun nyawanya di ancam. Contoh, Nabi Ibrahim a.s ketika dicampak ke dalam api, baginda tidak pernah merintih dan merayu kepada Tuhan untuk menyelamatkannya.

Hujah kedua ialah semasa penangkapan dilakukan, semua anak-anak murid Nabi Isa a.s melarikan diri.

Then everyone deserted him and fled . (Mark 14 : 50 )

Dengan kata lain tidak seorang pun yang boleh mengesahkan yang ditangkap itu ialah Nabi Isa a.s kerana masing-masing tidak ada di sisi baginda ketika itu.

Setelah ditangkap, orang itu dipukul, ditinju dan dipakaikan mahkota berduri. Justeru, sukar untuk melihat wajahnya yang asal.

The Pilate took Jesus and had him flogged. The soldiers twisted together a crown of thorns and put it on his head. (John: 19 1-3)

Nabi Isa a.s sendiri ada membayangkan kepada muridnya yang baginda akan pergi ke sisi Tuhan,

“I am with you for only a short time and then I go to the one who sent me. You will look for me, but you will not find me, where I am, you cannot come ” ( John 7 : 33)

Kalau benarlah Nabi Isa a.s belum wafat mengapa dalam surah Maryam ayat 33 ada menyebut tentang kematian baginda ?

Firman Allah SWT,

"Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari Qiamat)". (Surah Maryam : 33)

Jawapan, adapun maksud mati dalam ayat ini bukanlah mati di kayu salib kerana Allah SWT telah menafikannya dalam surah an-Nisaa ayat 157-158 tadi, tetapi maksud mati di sini ialah merujuk kepada kematiannya sebelum berlakunya hari Qiamat.

Adakah dalil dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa Nabi Isa a.s akan turun menjelang Hari Qiamat ?

Dalilnya ialah surah Ali Imran ayat 46,

“ Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian dan semasa ia dewasa dan ia adalah dari orang-orang soleh.”

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa Nabi Isa a.s dikurniakan dua mukjizat. Mukjizat yang pertama ialah baginda boleh bercakap dengan manusia sewaktu bayi dan mukjizat yang kedua baginda boleh bercakap kepada manusia sewaktu dewasa. Mukjizat kedua ini merujuk kepada kepulangannya ke dunia kali kedua iaitu menyeru manusia di dunia untuk kembali mengamalkan ajaran Islam.

Satu lagi ialah ayat 59 surah Ali Imran,

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya ; "Jadilah engkau!", maka jadilah ia (seorang manusia)".(Surah Ali 'Imran : ayat 59)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan persamaan antara kejadian Nabi Adam dan Nabi Isa ‘alaihimassalam. Masing-masing dicipta daripada kalimah-Nya Kun Fayakun. Persamaan lain ialah :

1. Jika Nabi Adam dicipta tanpa bapa, maka Nabi isa juga dicipta tanpa bapa.
2. Jika Nabi Adam diturunkan dari Syurga, maka Nabi Isa juga akan turun dari Syurga.
3. Jika Nabi Adam turun ke dunia tidak mempunyai saudara mara maka Nabi Isa juga akan turun ke dunia tanpa mempunyai saudara mara.

Adakah dalil daripada hadis Rasulullah saw yang memberitahu bahawa Nabi Isa a.s akan turun menjelang hari Qiamat ?

Jawapan, Ya memang ada. Satu daripadanya Rasulullah saw pernah bersabda : ,

إنى لأرجو أن طال بي عمر أن ألقى عيسى بن مريم. فإن عجل بي موت فمن لقيه فليقرئه منى السلام

Maksudnya : Sesungguhnya aku berharap umurku panjang agar dapat berjumpa dengan Nabi Isa Ibnu Maryam. Tetapi jika maut lebih dahulu menjemputku, maka barangsiapa di kalangan kamu yang berjumpa dengan baginda sampaikanlah salamku kepadanya. (HR Imam Ahmad)

Adakah turunnya nanti membawa gelaran Nabi dan adakah ini bermaksud baginda adalah Nabi yang terakhir ?

Jawapan, baginda akan turun sebagai Nabi yang meneruskan syariat Nabi Muhammad saw. Hal ini di sebut oleh Rasulullah saw,

ينزل عيسى بن مريم مصدقا بمحمد على ملته فيقتل الدجال
ثم إنما هو قيام الساعة

Maksudnya : Nabi Isa bin Maryam akan turun (pada akhir zaman ) dengan membenarkan syariat aku (Nabi Muhammad saw), baginda akan membunuh Dajjal. Dan sesungguhnya turunnya baginda adalah menjadi tanda dekatnya hari Qiamat. (HR Ahmad)

Penurunannya juga sama sekali tidak mengubah kedudukan Nabi Muhammad saw sebagai Nabi yang bongsu (penyudah) bagi segala Rasul. Logik akal, kalau kita mempunyai lima orang anak dan anak yang kelima meninggal dunia, adakah anak yang keempat akan menjadi anak yang bongsu ? Sudah tentu tidak ! Anak kelima tetap anak kelima, dialah yang bongsu cuma dia sudah meninggal dunia.

Bagaimana Nabi Isa a.s faham syariat Nabi Muhammad saw sedangkan baginda tidak pernah berada di zaman Rasulullah ?

Jawapan, Nabi Isa a.s akan di ajar oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 48,

“Dan Allah mengajarkan Kitab kepadanya, Hikmah, Taurat dan Injil” (Al-Imran 048)

Al- Kitab dalam ayat di atas ialah merujuk kepada al-Quran dan al-Hikmah pula ialah hadis Rasulullah saw.

Apakah yang dilakukan oleh Nabi Isa a.s semasa turun ke dunia ?

Jawapan, Nabi Isa a.s akan turun kedunia untuk membunuh Dajjal sebagaimana yang diterangkan dalam hadis sebelum ini. Sabda Rasulullah saw,

“Nabi Isa bin Maryam akan turun (pada akhir zaman ) dengan membenarkan syariat aku (Nabi Muhammad saw), baginda akan membunuh Dajjal…”

Siapakah Dajjal ?

Jawapan, Dajjal ialah ibu segala kejahatan, kerosakan, keganasan, kesesatan dan pembohongan. Ada yang berpendapat Dajjal itu sudah pun muncul sekarang iaitu kuasa besar dunia - AMERIKA ?

Dajjal akhirnya mati dibunuh oleh Nabi Isa a.s di satu tempat yang bernama Babul Ludi. Hal ini diceritakan oleh Mujammi’ bin Jariah al-Ansari dalam sebuah hadis,

يقتل عيسى بن مريم الدجال بباب لد

“Ibnu Maryam akan membunuh Dajjal di (satu tempat namanya) Babul Luddi”. (HR Tirmidzi)

Dimanakah Babul Ludi itu ?

Babul Ludi ialah satu daerah yang berhampiran dengan Baitul Maqdis,Palestine. Apabila Dajjal berjaya dimusnahkan oleh Nabi Isa a.s, kehidupan di dunia akan kembali aman, tiada lagi pembunuhan, tiada lagi peperangan, tiada lagi pembohongan, tiada lagi kesesatan dan tiada lagi penindasan antara satu sama lain.

Baginda akan memerintah dunia dengan adil dan saksama. Di bawah pemerintahannya manusia akan menjadi kaya raya sehingga tidak ada seorang pun yang menjadi peminta sedekah kerana hasil bumi telah digunakan ke jalan yang betul pogram makanan, kesihatan, kebajikan dan perkara-perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia keseluruhannya. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw,

ويفيض المال حتى لا يقبله أحد

Maksudnya : menjadi suburlah negeri dan mengalirlah harta kekayaan yang banyak sehingga ada orang yang bersedekah namun tidak orang yang mahu menerimanya. (HR Bukhari dan Muslim)

Tujuan lain Nabi Isa a.s diturunkan ?

Jawapan, Imam at-Tirmizi meriwayatkan sebuah lagi hadis mengenai penurunan Nabi Isa a.s,

والذي نفسى بيده ليوشكن أن ينزل فيكم ابن مريم حكما مقسطا فيكسر الصليب ويقتل الخنزير ويضع الجزية ويفيض المال حتى لا يقبله أحد

Maksudnya : Demi Zat yang diriku dalam kekuasaan-Nya. Tidak diragukan lagi bahawa Nabi Isa akan turun kepada kamu, lalu menjadi Hakim yang adil, memecahkan kayu salib, membunuh babi, menghapuskan jizyah dan pada waktu itu mengalirlah harta kekayaan yang banyak sehingga ada orang yang bersedekah namun tidak orang yang mahu menerimanya. (HR Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini, Nabi Isa a.s akan turun ke dunia untuk menjadi Hakim yang adil untuk bagi memutuskan ajaran siapakah yang benar, Islam atau Kristian. Baginda juga akan memecahkan salib yakni menghancurkan doktrin Kristian yang mempertuhankan baginda. Nabi Isa a.s akan mengembalikan penganut Kristian ke ajarannya yang sebenar iaitu menyembah Allah SWT sebagaimana yang terdapat dalam Bible,

“Hear, O Israeil, the Lord our God, the Lord is One ” (Mark 12 : 29) ms 1519

"You are right in saying that God is one and there is no other but Him”. (Mark 12 : 32)

Selain itu baginda akan menghapuskan ajaran Kristian yang selama ini menganggap babi halal dimakan sedangkan Bible sendiri melarang memakan babi.

“And the pig ….. you must not eat their meat or touch their carcasses (Bangkai) , they are unclean for you". ( Leviticus 11 : 7-8)

Menurut Imam an-Nawawi rhm, setelah Nabi Isa a.s membunuh Dajjal, baginda akan menghapuskan jizyah (cukai keselamatan) yang selama ini telah diberikan kepada orang kafir di zaman Rasulullah saw. Dengan kata lain Nabi Isa a.s tidak akan berkompromi dengan orang-orang kafir. Mereka hanya diberi dua pilihan sama ada mahu masuk Islam atau di perangi.

Dengan penghapusan jizyah ini, tiada cara lain bagi orang kafir untuk selamat melainkan mesti beriman dengan Allah SWT. Kesannya, semua ahli kitab memeluk Islam sbagaimana firman allah SWT,

“ Tidak ada seorang pun ahli kitab kecuali akan beriman kepadanya debelum kematiannya. Dan di hari Qiamat nanti Isa akan menjadi saksi terhadap mereka”. ( surah an-Nisaa : 159)

Adakah penghapusan Jizyah ini bermakna Nabi Isa merombak syariat Nabi Muhammad saw ?

Jawapan, Tidak kerana penghapusan jizyah ini juga termasuk sebahagian daripada syariat Nabi Muhammad saw yang telah dimaklumkan oleh baginda melalui hadis-hadisnya.

Tujuan seterusnya ?

Jawapan, penurunan Nabi Isa a.s ke dunia juga adalah untuk memberitahu manusia tentang dekatnya hari Qiamat. Firman Allah SWT,

“Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari Qiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang hari (Qiamat) itu, dan turutilah (pertunju) Ku ; inilah jalan yang lurus.” (Az-Zukhruf 061)

Berapa lama Nabi Isa a.s akan berada di bumi ?

Jawapan, Nabi Isa a.s akan berada di bumi selama 40 tahun. Hal ini diterangkan dalam hadis Rasulullah saw,

Isa Ibnu Maryam akan turun memerintah selama 40 tahun dengan Kitabullah dan sunnahku kemudian baginda wafat. (Al-Muttaqi alHindi, al-Burhan fi ‘Alamat al-Mahdi Akhiruz zaman)

Bila Nabi Isa a.s wafat ?

Jawapan, Baginda wafat setelah tujuh tahun membunuh Dajjal. Kata sahabat Nabi saw yang bernama Abdullah bin Amru,

“Allah mengutus Nabi Isa iibnu Maryam untuk membunuh Dajjal. Setelah itu baginda akan tinggal bersama-sama umat Islam selama tujuh tahun”.

Di manakah Nabi Isa a.s di makamkan ?

Seperti yang disebut oleh hadis-hadis Nabi saw, jenazah Nabi Isa a.s akan di sembahyangkan oleh umat Islam kemudian dikebumikan di sebelah makam Rasulullah saw. Hal ini berdasarkan keterangan Abdullah bin Salam,

“ Telah tersurat di dalam kitab Taurat tentang sifat Nabi Muhammad saw dan Isa ibnu Maryam akan dikebumikan di samping baginda. ” (Riwayat Tirmizi)

Apa terjadi selepas kewafatan Nabi Isa a.s ?

Jawapan, Selepas kewafatan Nabi Isa a.s, manusia akan kembali sesat Mereka disesatkan dengan kemewahan harta yang melimpah ruah. Akan berlaku perselisihan dan konflik sesama manusia. Golongan yang engkar dan menolak agama Allah SWT akan muncul kembali. Dunia akan kembali bergolak, rosak sehingga tidak ada lagi kebaikan padanya. Pada waktu itulah hari Qiamat akan terjadi yang mana hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahuinya. Sabda Rasulullah saw,

“Selepas baginda (Nabi Isa a.s wafat) Hari Pengadilan (Qiamat) akan berlaku dalam jangka waktu yang pendek” ( Ahmad Diya’addin al-Kamushkhanawi, Rumuz al-Hadith)

Wallahualam.

Rujukan,

Al-Quran
The NIV (New International Version) Study Bible
Isa al-Masih Rasul Bukan anak Tuhan, Ahmad Muhammad Abd Ghaffar
Tanda-Tanda Pintu Taubat Ditutup , Reza Abd Rahman
Nabi Isa a.s akan turun menjelang Qiamat, Harun Yahya
Perbandingan Islam dan Kristian, Arsyad Thalib Lubis

Nota ini dikuliahkan di surau Bandar Warisan Puteri Sikamat pada 17 /1/2010 dan Masjid Qaryah Sikamat pada 18/1/2010.

Friday, January 15, 2010

Siapakah Dia Waliullah ?






















Tok Kenali, tokoh ulama yang dikatakan sebagai Waliullah.

Waliullah ertinya orang yang benar-benar hampir kepada Allah SWT. Orang ini ialah insan yang istimewa di sisi Allah SWT, sentiasa memahami dan mentaati perintah Allah dalam semua perkara serta menjauhi semua larangan Allah SWT. Waliullah memang wujud dari dahulu sehingga sekarang.

Di dalam Al-Quran surah Yunus, Allah SWT berfirman,

ألا ان أولياء الله لا خوف عليهم ولا هم يحزنون (62) الذين ءامنوا وكانوا يتقون (63)

Maksudnya : Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran ke atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (62) (Iaitu) orang-orang yang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. (63)

Adakah wali akan mengaku dia adalah wali ?

Persoalan, bolehkah seseorang manusia mendakwa bahawa dia adalah wali Allah ? Prof Haron Din dalam satu rencana yang disiarkan dalam akhbar Harakah keluaran 1-15 Januari 2007 menulis, Tidak pernah saya berjumpa dalam sebarang sumber sejarah Islam tentang seseorang wali Allah mengaku yang dia adalah wali Allah.

Kerana ini bertentangan dengan sifat para wali yang bersifat tawaduk sepanjang waktu, tidak bercakap banyak apatah lagi yang tidak perlu dan menyisih diri daripada masyarakat kerana bimbang takut dikenali sebagai wali. Oleh itu seseorang yang mengaku dan mendabik dada bahawa dia adalah wali, ia mewujudkan perasaan riak dan takabbur. Kalau orang biasa dilarang bersifat seperti ini apatah lagi mereka yang sudah sampai ke makam wali.

Tegasnya umat Islam jangan sekali-kali mudah tertipu dengan dakwaan seseorang yang mengatakan bahawa dirinya adalah wali.

Mengatakan si pulan ialah Wali Allah

Bagaimana pula dengan dakwaan seseorang yang mengatakan bahawa si pulan itu ialah waliullah dan dikurniakan pelbagai karamah. Seperti seseorang itu berkata,

“Kau jangan main-main, dia tu wali Allah. Dia ada karamah !”

Bagi menjawab persoalan ini, memetik tulisan Dr Basri Ibrahim, pensyarah pengajian Islam Universiti Darul Iman Trengganu, dalam bukunya Himpunan isu-isu Feqah terpilih, beliau mempersoalkan dari manakah kita mengenal seseorang itu sebagai wali Allah.

Siapa yang mengesahkan kewalian dan kekaramahan yang berlaku ke atas dirinya ? Sedangkan yang betul-betul mengenal seseorang itu wali dalam ertikata yang sebenar ialah Allah SWT sahaja. Kalau betullah orang yang di dakwa itu wali Allah, maka jalan yang paling selamat ialah berserahlah kepada Allah SWT, biarlah Allah SWT sahaja yang layak menentukannya.

Al-Imam As-Syafie pernah menegaskan, bahawa jangan mengukur seseorang itu melalui perkara ghaib yang berlaku ke atas dirinya. Kata beliau,

اذا رأيتم الرجل يطير فى الهواء ويمشى على الماء فلا تجعلوا بالحكم
بصلاحه قبل أن تقيسوا أمره بكتاب الله عزوجل

Maksudnya : Jika anda melihat seorang lelaki mampu terbang di udara dan dapat berjalan di atas air, janganlah anda cepat-cepat menghukum yang ianya seorang soleh sebelum anda benar-benar membandingkan urusannya dengan Kitab Allah.

Macam mana pula dengan dakwaan yang mengatakan si pulan dilihat berada di Mekah sedangkan jasadnya berada di tanahair

Dan bagaimana pula dengan dakwaan-dakwaan atau kisah yang diperolehi daripada orang ramai yang mengatakan sipulan itu dilihat mengerjakan solat di depan Kaabah atau mengerjakan Haji di Mekah sedangkan jasadnya ada di tanah air ? Adakah kisah-kisah seperti ini boleh dipercayai ?

Bagi menjawab persoalan ini hendaklah kita melihat perjalanan hidup (sirah) Rasulullah saw. Sejarah membuktikan setelah Rasulullah saw berhijrah ke Yathrib (Madinah), baginda amat rindu untuk kembali ke Mekah. Kerinduan baginda itu sehingga membawa kepada termimpi-mimpi yang mana baginda dan orang-orang Islam dapat masuk ke Mekah, bercukur dan bergunting dalam keadaan aman.

Namun itu hanyalah sekadar mimpi. Sejarah mencatatkan Rasulullah saw hanya berjaya memasuki kota Mekah dan bersolat di depan Kaabah setelah baginda dan para sahabat berjaya membuka kota Mekah. Kalau benarlah seseorang itu boleh mengerjakan solat di depan Kaabah, dalam masa yang sama jasadnya ada di tanah air, maka orang yang selayaknya mendapat keistimewaan ini ialah junjungan besar Nabi Muhammad saw. Tetapi dalam tempoh kerinduan itu tidak pernah tercatat dalam sejarah, penduduk Mekah melihat Nabi saw bersolat di depan Kaabah.

Sejarah juga mencatatkan, dalam tempoh sepuluh tahun Rasulullah saw tinggal di Madinah sehingga wafat di situ tidak pernah seorang sahabat melihat Rasulullah saw bersolat di depan Kaabah sedangkan jasadnya ada di Madinah. Sekiranya ada tentu hal ini akan dirakamkan di dalam hadis-hadis baginda.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada para sahabat selepas kewafatan Rasulullah saw. Siapa yang tidak kenal sahabat-sahabat Rasulullah saw seperti Abu Bakar yang mana kalau ditimbang semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, tidak sama beratnya kalau dibandingkan dengan iman Abu Bakar. Tidak pernah tercatat dalam sejarah, tokoh yang sehebat ini ada mendirikan solat di depan Kaabah sedangkan jasadnya ada di Madinah.

Begitu juga dengan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mana tokoh ini pernah disebut oleh Rasulullah saw, kalaulah ada Nabi selepasku, maka Umar layak menjadi Nabi. Tidak pernah tercatat dalam sejarah Islam sepanjang beliau menguruskan Negara Islam yang berpusat di Madinah ada orang melihat kelibatnya sedang sembahyang di depan Kaabah. Demikianlah hal yang sama tidak pernah berlaku ke atas tokoh-tokoh Islam yang lain seperti Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali kwj, Bilal bin Rabah, Abdur Rahman bin Auf dan ramai lagi.

Perjalanan hidup tokoh-tokoh ulama tasawwuf besar Islam seperti Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, Rabiatul Adawiah, Abdullah bin Mubarak dan ramai lagi pun terpaksa menempuh perjalanan yang memakan masa berbulan-bulan lamanya semata-mata untuk menunaikan fardhu Haji. Mereka hanya bersolat di depan Kaabah setelah mereka tinggal di sana.

Kita bimbang dakwaan-dakwaan seperti ini datang daripada musuh-musuh Islam. Bagi orang-orang yang jahil yang malas mendirikan solat akan menjadikan kisah ini sebagai satu helah untuk mereka meninggalkan solat. Mereka akan mengemukakan alasan yang mereka juga mendirikan solat di Kaabah atau di Masjidil Haram atau di Masjid Nabawi untuk mengelakkan diri daripada hukuman atau untuk menipu orang ramai yang kebetulan pula cetek ilmu pengetahuan.

Justeru itulah Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan,

“ Kita suka memberi peringatan kepada masyarakat tentang tipu daya yang dilakukan oleh orang-orang yang mendakwa dapat bersolat di depan Kaabah sedangkan dirinya berada bersama orang lain di di kampong atau di negaranya. Mereka ini adalah sumber fitnah kepada orang ramai dengan cara menarik mereka kearah mencanggahi perintah Allah dan membuka laluan mudah untuk meninggalkan suruhan Allah SWT. Orang ini adalah sebesar-besar bala kepada Islam. Cukuplah kepada kita ajaran penghulu kita Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya sebagai panduan dan penolong. Mereka adalah orang yang diberi pertunjuk oleh Allah. Pertunjuk ini adalah segala-galanya bagi kita”.

Wallahualam

Rujukan,

Dr. Haron Din - Harakah keluaran 1-15 Januari 2007
Dr. Basri Ibrahim – Himpunan Isu-Isu Feqah Terpilih

Tuesday, January 12, 2010

2012 : Satu lagi filem sampah !

“ Sir, have you ever watched this film ? ”, asked Hanna one of my Australian student in 2 international.

“What film ?”, I asked.

“2012”, she replied.

“Can you tell me about the story ?”, I asked Hanna with interest.

“Of course sir. It’s about Doomsday coming two years later. At the end of the movie a few people survived”.

Then I explained to my students,

“Class, do you know this film wants to tell us that we have a chance to survive and escape Doomsday using man-made technologies. For me this is rubbish and against what Al-Quran mentions …, that all living being will die !”, I expressed.

Sunday, January 10, 2010

Sahabatku yang bernama Ust Hj Halim bin Abdullah ...

Ust Hj Halim Abdullah sedang memimpin jemaah Haji kelolaan syarikatnya

Sepanjang bergelanggang dalam arena dakwah, saya berkenalan dengan ramai rakan-rakan para Ustaz. Saya mengenali Ust Hj Kamal, Ust Hj Azhar, Ust Alim, Ust Hj Zawawi dan Ust Shafie di Bandar Warisan Puteri, Sikamat.

Saya rapat dengan Ust Nasaruddin Ali, Ust Afendi, Ust Norazman, Ust Ali Kuty dan Ust Zaidi Ramli. Saya mengkagumi Ust Sheikh Mohsein, Ust Ann Wan Seng , Brother Shahkirit dan Cikgu Azmi bin Abdul Hamid. Saya bersahabat dengan Ust Hafizi, Ust Amru al-Haz, Ust Syarizan dan Ust Najib. Saya menghormati Ust Hj Humaidi, Ust Jaafar Mohammad, Ust Surol, Ust Hj Kasim dan Ust Hj Halim bin Abdullah.

Inilah rakan-rakan saya di dunia dan akhirat. Jangan sesiapa yang cuba menjarakkan antara saya dengan mereka. Kepada ustaz-ustaz sekalian, saya doakan agar semuanya sihat wal’afiat dan beroleh kejayaan dalam apa sahaja lapangan kerjaya. Jika ditakdirkan saya meninggal dunia dahulu, saya berharap agar rakan-rakan Ustaz sekalian sudi menjenguk jenazah saya, sudi menghadiahkan Al-Fatihah buat saya dan sudi menyedekahkan solat jenazah ke atas mayat saya.

"Ya Allah turunkanlah rahmat-Mu ke atas rakan-rakanku semua…, ke atas keluarga dan anak-anak mereka. Amin ya Rabbal A’lamin "

Ust Hj Halim Abdullah..., guruku dan sahabatku

Hari ini saya ingin memperkenalkan seorang sahabat saya yang bernama Ust Hj Halim bin Abdullah, Naib Presiden Ikatan Siswazah Islam Malaysia (ISMA). Saya mula mengenalinya pada tahun 2000. Ketika itu saya tinggal di Taman Desa Kiara Sikamat dan diberi amanah sebagai Pengerusi Surau al-Hidayah taman tersebut. Sewaktu perasmian Surau oleh YAB Menteri Besar N.S, saya menghubungi Ust Hj Halim Abdullah dan menjemput beliau menyampaikan ceramah sempena majlis itu.

Berjuang membela umat Islam di Palestin

Itulah detik pertama saya bercakap dengannya. Itu pun melalui telifon. Ust Hj Halim mengatakan dia tidak dapat hadir kerana sibuk. Menurutnya, pada malam itu dia sedang berada di KLIA bagi mengetuai rombongan Umrah anjuran pakej syarikatnya. Dia berjanji akan mengunjungi surau al-Hidayah jika ada kesempatan apabila pulang ke tanah air nanti. Selepas itu saya tidak lagi berhubung dengan beliau sehinggalah pada tahun 2004.

Berangkat mengerjakan Umrah...

Pada bulan Julai 2004, saya, emak dan seorang kakak berhasrat ingin menunaikan Umrah. Emak menyuruh saya mencarikan pakej yang sesuai dan harga yang berpatutan. Saya teringat pakej Ust Haji Halim lantas menghubunginya. Ketika itu harga pakej Umrah yang ditawarkan oleh syarikatnya ialah RM3690.00 untuk selama 15 hari 12 malam. Inilah pakej yang paling murah apatah lagi hotel yang berhampiran , lebih kurang 150 M dari Masjidil Haram dan 50 m dari Masjid Nabawi.

Setelah mencapai kata putus, saya, emak dan kakak mengunjunginya di pejabat beliau yang terletak di belakang BSN Ampangan untuk membuat pembayaran. Itulah kali pertama saya bersua muka dengannya. Orangnya lembut, perwatakannya sederhana, butiran katanya amat menyenangkan, bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Sayang.., ketika itu saya tidak boleh berbual lama dengannya kerana ada urusan kerja yang perlu dilaksanakan.

Satu petang di bumi Madinah....

Ketika di Madinah, saya menunggu-nunggu peluang untuk berbual dengan Ust Hj Halim. Maklum sahajalah, beliau sentiasa sibuk melayan karenah jemaah yang jumlahnya lebih kurang 50 orang kesemuanya.

Satu petang, setelah selesai menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Masjid Nabawi, kami balik ke hotel penginapan. Saya melihat Ust Hj Halim Abdullah singgah di kafeteria Hotel, memesan air minuman dan duduk berseorangan di meja yang disediakan.

Wah ! ini peluang saya untuk berbual dengannya. Saya menyapa beliau. Sapaan saya disambut dengan baik. Kami duduk dan berbual panjang, hampir sejam lamanya. Kami bertaaruf, mengenali diri masing-masing seterusnya mengupas satu topik ke satu topik.

Bersama tokoh ulama Universiti al-Azhar

Dari butir perbualannya, tahulah saya beliau seorang pendakwah yang meratapi nasib anak bangsanya. Beliau sangat menyelami masalah remaja, beliau menyedihi masalah-masalah ibu tunggal, beliau mengambil berat ketirisan akidah di kalangan remaja dan dewasa, beliau membimbangi gejala sosial dan hedonisme, beliau sangat prihatin dengan isu-isu politik di negaranya dan beliau juga seorang yang gigih memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin dan mana-mana umat Islam yang tertindas di bumi ini.

Di akhir perbualan saya berkata,

“Ustaz, anta seorang yang hebat, ramai pengaruh. Tapi satu soalan yang ana nak tanya, kenapa Ustaz tak mahu masuk politik ? Atau dalam kuliah-kuliah yang Ustaz sampaikan masukkanlah sikit unsur-unsur politik supaya masyarakat sedar”, tanya saya.

Beliau menjawab sambil tersenyum,

“Sheikh..., bukankah dakwah itu luas. Kalau semua Ustaz nak bercakap pasal politik siapa pula nak bawa isu-isu lain untuk diketengahkan dalam masyarakat”, katanya.

Bersama Mendaki Gua Hirak

Satu hari semasa di Mekah, Ust Hj Halim menyampaikan pesan kepada jemaah Umrah. Siapa yang ingin mendaki Jaban Nur, sila bersiap dan tunggu di lobi hotel. Ya, saya kepingin untuk kesana, merasai bagaimana hebatnya junjungan besar Nabi saw yang sentiasa berulang alik dari rumahnya ke Gua Hirak sebelum diturunkan wahyu.

Kali pertama mengerjakan Umrah bersama anak-anak murid pada tahun 2000, saya tidak berkesempatan mendaki ke puncak Jaban Nur, kerana ketika itu saya demam. Insya Allah kali ini saya berazam untuk sampai ke kemuncak !

Petang itu saya dan seramai enam orang anak muda bersiap sedia dengan memakai kasut. Sebelum bertolak, saya hairan Ust Hj Halim hanya memakai selipar getah sahaja.

"Boleh ke pakai selipar Ustaz", tanya saya.

"Insya Allah, ana selesa berselipar", jawabnya.

Sepanjang pendakian, kami berbual mesra. Kadangkala kami ketawa apabila di kalangan rakan memperkatakan sesuatu yang melucukan. Alangkah indahnya suasana ketika itu.

Saya masih ingat, waktu itu cuaca di Mekah pada bulan Julai agak panas. Lima minit kami mendaki pasti kami akan berhenti untuk meneguk sedikit minuman. Di satu peringkat, saya perhatikan air minuman Ust Hj Halim berbaki tak sampai pun separuh.

Di pertengahan pendakian, tiba-tiba Ust Hj Halim berhenti. Beliau menyantuni seorang Badwi tua yang kehabisan air minuman. Ust Hj Halim menuangkan air minumannya yang tinggal sedikit itu ke cawan si Badwi tua. Alangkah mulianya hati Ust Hj Halim, bisik saya.

Setelah hampir satu jam mendaki, akhirnya sampai juga kami di puncak Jaban Nur. Di sisi gua Hirak sambil menyedut udara segar, saya berbual panjang dengan Ust Haji Halim Abdullah. Beliau mengajak saya menyertai usrahnya.

"Dalam berdakwah, jangan bergerak solo..., kita perlu berjemaah", kata-kata beliau yang masih saya ingat.

Saya mengangguk.

Kami pulang ke hotel penginapan menaiki teksi buruk Pak Arab. Bayangkan sebuah teksi yang boleh mengisi lima penumpang di duduki oleh enam orang lelaki dewasa yang saiz badan kesemuanya XXL. Rasa nak patah tulung rusuk saya apabila berhimpit macam sardin. Ust Hj Halim melihat saya menahan nafas sambil melemparkan senyuman.

"Anta kena kuat", katanya yang mengandungi maksud tersirat.

Menghadiri Usrah...

Balik dari mengerjakan Umrah saya mengikuti Usrah bulanan Ust Hj Halim yang diadakan di rumahnya bersebelahan dengan surau Taman Guru. Seingat saya hanya dua kali sahaja saya hadir ke majlis usrahnya, selepas itu saya tidak lagi menyertainya kerana hampir setiap malam saya memenuhi undangan surau dan masjid untuk menyampaikan kuliah. Saya juga gagal menyertai program Mukhaiyam yang dianjurkannya di PD walaupun pada awalnya sudah menyatakan kesudian.

Namun begitu ini tidak bermakna saya melupai Ust Hj Halim. Kami terus bersahabat seperti biasa dan saling kunjung mengunjungi antara antara satu sama lain. Dia dan isteri pernah datang berhari raya di rumah saya pada tahun 2006. Mengelabah saya dan isteri membuat persiapan juadah untuk menerima kehadiran beliau.

Dua tahun lepas saya mengunjungi rumah barunya di Pulai Impian Sikamat kerana ingin bertanya sesuatu mengenai permasalahan agama. Kami berbual panjang sehingga ke larut malam. Isterinya sempat menghidangkan kuih kodok ikan bilis kepada saya. Dan pertengahan tahun 2009, beliau mengingatkan saya agak tidak lupa menghadiri majlis perkahwinan dua orang anaknya yang diadakan serentak.

Kenangan semasa di Mina..

Saya masih ingat ketika menunaikan fardhu Haji tahun 2008. Semasa di Mina jarak antara khemah saya dengan khemah Ust Hj Halim hanya saling berdepan. Dia terkejut bila saya mengunjunginya. Katanya,

"Anta pergi dengan pakej mana ? "

"Asia Oriental", jawab saya.

"Untuk makluman anta, ketua rombongan anta tu kawan baik ana", kata Ust Hj Halim.

Selepas solat Zuhor di Mina, ketua rombongan saya Pak Wan mengistiharkan kepada jemaah bahawa ada seorang Ustaz yang mengikuti jemaah Haji syarikat Asia Oriental. Dia menyuruh saya bangun dan memperkenalkan diri. Terperanjat saya. Rupa-rupanya Ust Hj Halim telah memberitahu Pak Wan tentang diri saya. Kata Pak Wan,

"Insya Allah tuan-tuan, sepanjang kita berada di bumi Mina, kuliah Suboh akan dipimpin oleh Ust Hishamuddin kita ", kata Pak Wan dengan penuh semangat.

"Alhamdulillah ....", respon para jemaah.

Apa boleh buat, terpaksalah saya memenuhi kehendak dan hasrat jemaah Haji Asia Oriental yang jumlahnya hampir tiga ratus orang ramainya.

Pagi tadi kami terserempak kembali..…

Tokoh ISMA yang disegani

Ketika berjoging di Tapian Gelanggang Paroi, saya terserempak dengan Ust Hj Halim. Rupa-rupanya Ust Hj Halim dan team Usrahnya bermain bola pagi ini. Ketika berjumpa, seperti biasa kami berbual termasuklah isu-isu semasa yang sedang berlaku di Malaysia.

“Ustaz, bagaimana pandangan Ustaz dengan isu kalimah Allah yang sedang hangat diperkatakan sekarang ?”, tanya saya.

“Ana tak setuju…, kami pimpinan ISMA sudah bermesyuarat dan memperhalusi isu ini. Kami dapati ia bertujuan untuk mengikis identiti umat Islam di Malaysia. Sebab itu ISMA antara NGO yang terawal membuat bantahan”, katanya.

Demikianlah Ust Hj Halim Abdullah, di sebalik kelembutannya ada ketegasan. Ya Allah, syukur... dan terima kasih kerana menghadiahkan kepadaku seorang sahabat yang bernama Ust Hj Halim bin Abdullah.. . Ya Allah.., kurniakanlah kebaikan di atas persahabatan kami..

Kepada Ust Haj Halim bin Abdullah, saya ucapkan selamat berjuang di medan dakwah!

Wallahualam.

Friday, January 8, 2010

Kalimah Allah : Hujah Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia


Nanti Kristian pun kata ini rumah Allah !

"Wah, dahsyat betul serangan misionari Kristian ke atas umat Islam di Malaysia hari ini", kata abang Aris selepas saya menyampaikan kuliah Maghrib di surau Al-Amin Sikamat baru-baru ini.

"Kenapa pula ?", tanya saya.

"Cuba Ustaz tengok betapa hebatnya mereka. Sekali mereka asak dengan isu kalimah Allah , orang Islam terus berantakan dan berpecah menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan sokong mereka guna kalimah Allah dan satu lagi kumpulan menentang. Ulama pun macam tu jugak, berpecah menjadi dua kelompok, satu kelompok Haron Din dan satu lagi kelompok Haji Hadi" , jelasnya sambil menuangkan teh o ke cawan saya. Sudah menjadi tradisi di surau ini akan mengadakan jamuan ringan selepas kuliah Maghrib.

"Ustaz sokong siapa pulak?", tanya pakcik Yasin jemaah yang paling tua di surau itu.

"Dalam hal ini, wajib kita menyokong Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia kerana mereka adalah badan yang berautoriti mengeluarkan fatwa, bukan ulama bebas atau ulama yang berdasarkan politik kepartian. Lagi pun mereka bertugas di bawah Raja-Raja Melayu dan Yang Di Pertuan Agong", hujah saya.

" Sepatutnya bila semua Mufti dah buat keputusan, maka yang lain kena diam dan hormati keputusan yang telah dibuat. Samalah macam kes pengharaman Yoga dulu. Ni tak, masing-masing nak jadi Mufti, sampai Dr. Asri yang dah bersara pun keluarkan fatwa gak. Nampak sangat orang Islam tak bersatu. Saya percaya orang-orang ABIM, PKPIM, TERAS, PPIM dan PGS yang ada dalam parti PAS pun tak setuju ", tambah saya lagi.

"Itulah Ustaz, saya rasa keliru dengan pendirian PAS dalam isu ini seolah-olah PAS terlalu ikut telunjuk Parti Keadilan ", sampuk kak Ana isteri abang Aris. Pasangan suami isteri ini memang dikenali sebagai penyokong kuat parti PAS di Taman Jujur. Pantang kalau berjumpa saya, mesti berbual pasal politik.

"Tak tahulah kak, susah nak cakap", respon saya.

"Majlis Syura Ulama Pas, tak keluarkan apa-apa statement ke Ustaz?", tanya abang Aris.

"Mana saya tahu", kata saya.

"Sepatutnya Majlis Syura Ulama kena mainkan peranan dalam isu ini, barulah nampak ulama memimpin ummah", kata abang Aris bersemangat.

"Entahlah bang.., inilah yang dikatakan politik", kata saya mengakhiri perbualan.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia

Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites, Alor Star, Kedah

1) Ulasan/Hujah

Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverend Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yahweh.

Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.

Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.

Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.

Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.

Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

2) Keputusan

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

** Tamat Keputusan Muzakarah **

Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?”. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Maa’idah: Ayat 17)

Gerakan Feminisme : Satu lagi ancaman akidah ke atas umat Islam di Malaysia !

Amina Wadud, pendokong utama Gerakan Feminisme

Selain berdepan dengan gerakan missionari Kristian, umat Islam di negara ini juga sedang di asak akidahnya oleh beberapa kumpulan sesat yang lain seperti Gerakan Feminisme,Kumpulan Anti Hadis dan Fahaman Islam Liberal. Artikel hari ini saya fokuskan kepada Gerakan Feminisme.

Gerakan Feminisme …?

Ya, Gerakan Feminisme sebenarnya berasal dari barat yang bertujuan mewujudkan persamaan laki-laki dan perempuan (gender equality). Gerakan yang didokong oleh mereka yang berfahaman Islam Liberal ini menunutut persamaan hukum-hukum syariah antara lelaki dan wanita.

Di antara isu-isu liberal dan kontroversi yang ditimbulkan oleh kumpulan ini ialah poligami tidak sah dan mesti dinyatakan batal secara undang-undang, perkahwinan yang berbeza agama termasuk muslimah dan bukan Islam mesti dikira sah, masa edah bukan hanya untuk wanita sahaja tetapi juga untuk laki-laki, isteri boleh menjatuhkan talak dan bahagian warisan anak laki-laki dan wanita adalah sama.

Sudah muncul ke kumpulan ini di Malaysia...?

Bibit-bibit feminisme di Malaysia sudah lama muncul. Kewujudan kumpulan NGO yang bernama Sisters in Islam yang dahulunya didirikan oleh Amina Wadud kini mula mempengaruhi wanita-wanita di Malaysia seperti Zainah Anwar, Marina Mahathir dan Nori Abdullah. Bahkan lebih terkehadapan perjuangan kumpulan ini seolah-oleh mendapat restu dari kerajaan.

Buktinya satu Persidangan Global Musawah Mengenai Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam (Musawah atau kesaksamaan dalam Bahasa Arab)telah diadakan di ibu negara bermula 13 hingga 17 Februari 2009 lalu.

Persidangan ini dilancarkan oleh Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ia dihadiri lebih 250 peserta termasuk aktivis, sarjana, penggubal polisi, ahli Parlimen, usahawan dan golongan profesional dari 47 buah negara.

Selain Zainah Anwar sebagai perancang utama persidangan ini, Jawatankuasanya terdiri daripada Rabea Naciri dari Morocco, Asma'u Joda (Nigeria); Zainah Anwar, Prof. Yakin Ertürk, Ziba Mir-Hosseini (Iran/United Kingdom) dan Kamala Chandrakirana (Indonesia). Boleh dikatakan semua mereka ini berfikiran Islam Liberal.

Bukti lain yang mengesahkan wujudnya kumpulan ini ?

Kalau tiada angin bertiup masakan pokok boleh bergoyang. Sila amati bidasan Prof Mehrun Siraj (gambar)ke atas kumpulan ini yang sedang giat memperjuangkan hak kaum wanita di Malaysia untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki pilihannya walaupun berlainan agama. Artikel yang bertajuk 'Love for Islam comes first'telah disiarkan oleh akhbar the Star pada ada 22hb Jun 2006. Layari http://www.mail-archive.com/harakahdaily@yahoogroups.com/msg05050.html

Kesimpulan dan nasihat untuk pendakwah

Pendakwah-pendakwah Islam perlu berkerja keras menahan asakan-asakan ini yang datangnya dari luar dan dalam. Malaysia merupakan Negara yang subur mengeluarkan graduan-graduan pengajian Islam sama ada dari universiti tempatan mahu pun luar negara. Di UKM sahaja sebagai contoh, Fakulti Pengajian Islam mengijazahkan tidak kurang 400 orang graduan pengajian Islam setiap tahun.

Bayangkan berapa ramainya pendakwah-pendakwah Islam di bumi tercinta ini jika dicampurkan dengan jumlah graduan yang dilahirkan dari Universiti Malaya, UIA, KIAS, Universiti Darul Iman, Al-Azhar, Madinah, Maghribi, Jordan dan Indonesia.

Sepatutnya semakin ramai pelajar-pelajar yang berkelulusan Ijazah pengajian Islam, semakin meriah surau dan masjid dengan kuliah-kuliah agama. Namun, dari dulu sehingga sekarang ada masjid dan surau tertentu yang begitu suram dengan program kuliah, ceramah dan tazkirah. Soalan saya, tak kan tak ada seorang pun pendakwah-pendakwah yang tinggal di kawasan tersebut menampilkan diri untuk memimpin masyarakat ?

Sedarilah wahai para pendakwah sekalian,

Benarkah dakwaan yang mengatakan membenarkan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian akan memudahkan mereka memeluk Islam ? Sedangkan para pendakwah hari ini begitu pasif dan tidak pernah berusaha untuk keluar menerangkan keindahan Islam kepada orang ramai apatah lagi kepada non-muslim ?

Tidak malukah kita kepada mualaf-mualaf seperti Brother Shahkirit Kakulal Govindji dan Brother An Wan Seng yang begitu aktif kehulu kehilir menerangkan Islam di masjid dan surau termasuk di gereja ?

Ayuh bangkit dan bangunlah wahai para pendakwah sekalian. Sesungguhnya umat Islam memerlukan anda semua. Ilmu anda sentiasa ditagih !Anda adalah panglima-panglima yang berada di barisan hadapan ketika umat Islam di asak, digodam oleh mereka yang berfikiran sesat lagi menyesatkan. Pantang panglima, sekali melangkah akan kembali undur !

Wallahualam.

Rujukan,

Kertas kerja : Isu-isu Sentral Dalam pemikiran Islam Liberal -Dr. Ugi Suharto, UIA

Wednesday, January 6, 2010

Agenda pemurtadan di sebalik filem 'Bruce Almighty'....


Ceramah Israk Wal Mikraj
Pada tahun 2003, semasa menyampaikan ceramah Israk Wal Mikraj di Surau dua tingkat Jiboi Ampangan, saya dedahkan kepada hadirin bagaimana jahatnya perancangan missionary Kristian untuk merosakkan akidah umat Islam di dunia hari ini. Saya mengkritik langkah kerajaan membenarkan sebuah filem yang berjudul 'Bruce Almighty' di pasarkan ke Malaysia.

Saya katakan kepada hadirin, inilah cara misionari Kristian hendak memurtadkan umat Islam iaitu menghasilkan filem-filem sampah seperti ini.

Sebelum itu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga mengingatkan kerajaan agar menyekat filem ini kerana ia boleh merosakkan akidah umat Islam. Tokoh-tokoh ulama seperti Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz turut menyelar filem ini kerana ia boleh memesongkan kanak-kanak dan remaja yang masih cetek agama.

Ada yang jawab dalam akhbar : “Apa pasal pula ulama kata menonton filem ini boleh merosakkan akidah ? Bukankah Tuhan yang digambarkan dalam filem itu Tuhan orang Yahudi bukannya Tuhan orang Islam. Lainlah kalau yang dijadikan komedi itu Tuhan orang Islam, maka memang patutlah kita bantah ”, tulis seorang wartawan dalam akhbar berbahasa Melayu.

Saya beristighfar panjang membaca tulisan ini. Kata-kata wartawan ini amat bertentangan dengan kalimah syahadah yang diucapkannya, “Tiada Tuhan Melainkan ALLAH”. Tulisannya boleh menyebabkan dia murtad kerana menganggap ada tuhan lain selain Allah. Maksudnya ada Tuhan Yahudi dan ada Tuhan Islam.

Inilah antara risiko besar yang bakal diperolehi oleh umat Islam di Malaysia jika filem ini dibenarkan masuk ke negara ini. Penat-penat kita tanamkan pada anak-anak ilmu agama sejak kecil sehingga dewasa, tiba-tiba dalam masa tidak sampai dua jam akidah mereka rosak dan hancur apabila menganggap bahawa tidak salah menonton filem Bruce Almighty kerana Tuhan yang digambarkan dalam filem itu bukan Tuhan orang Islam, tapi Tuhan orang Yahudi ! Kenyataan ini seolah-olah ada dua Tuhan.

Menikmati jamuan berlaukkan daging landak berduri...

Selepas menyampaikan ceramah, saya telah dijemput untuk menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak surau. Wah !, sungguh enak.., sungguh berselera saya makan malam itu apatah lagi seumur hidup saya belum pernah menjamah daging landak yang dimasak gulai cili api. Kena dengan selera saya.

Sedang asyik menjamu selera, tiba-tiba pengerusi surau bertanya saya,

“Ustaz, malam bila yang ustaz free…?, tanyanya.

“Kenapa ?”, jawab saya.

“Sebab kami nak ambil Ustaz sebagai pengkuliah tetap di surau kami”, jelas si pengerusi surau sambil mengambil kertas untuk mencatatkan hari-hari yang saya free.

Setelah memberi info yang dikehendaki, pengerusi surau berjanji akan mencadangkan nama saya sebagai pengkuliah tetap di surau itu dalam mesyuarat AJK yang akan datang.

Sebelum balik, saya dibekalkan sebungkus lagi daging landak berduri dan kata-kata pujian dari pengerusi surau,

“Bagus isi ceramah ustaz tadi, insya Allah nanti saya akan hubungi Ustaz untuk jadual kuliah di Surau ini", katanya konfiden.

“Baiklah”, jawab saya.

Tujuh tahun sudah pun berlalu....

Sampai hari ini saya masih belum dijemput untuk menghadiri sebarang kuliah apatah lagi ceramah di surau dua tingkat Jiboi Ampangan. Melalui maklumat yang saya dengar dari sumber surau yang sahih, nama saya telah di GAM untuk menyampaikan ceramah di surau tersebut buat selama-lamanya.

Dalam hati saya berkata, Masha Allah…., disebalik daging landak berduri yang dihidangkan kepada saya malam itu, rupa-rupanya ada ‘duri’ yang berpengaruh menyekat saya menyampaikan kuliah di surau dua tingkat Jiboi Ampangan.

Tak palah…

Wallahualam.