Saturday, February 27, 2010

Suruhlah anak anda menunaikan solat ....

Tafsir al-Quran
Surah al-Baqarah ayat 238-239


Firman Allah SWT,

“ Peliharalah oleh kamu semua solat dan solat pertengahan (Asar). Dan berdirilah kerana Allah dengan keadaan kamu taat setaatnya. (238) Jika kamu takut, maka boleh solat berjalan kaki atau berkenderaan. Apabila kamu aaman sentosa, maka sebutlah Allah (ingat kepada-Nya) sebagaimana Dia telah mengajarkan kamu akan apa-apa yang tiada kamu ketahui.” (239)

Huraian ayat

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya memelihara semua solat yang difardhukan. Sabda Rasulullah saw,

الصلاة عماد الدين. فمن أقامها فقد أقام الدين ومن تركها فقد هدم الدين

Maksudnya : Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mengerjakannya maka sesungguhnya ia telah menegakkan agama dan barangsiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agama.

Orang yang meninggalkan solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali, malahan ianya terlebih keji daripada iblis. Ini kerana si iblis hanya enggan sujud kepada nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk, tetapi orang yang meninggalkan solat adalah seorang yang enggan bersujud kepada Allah s.w.t yang merupakan Khaliq (pencipta).

Kepentingan solat 5 waktu dinyatakan lagi dalam sebuah hadis,

مرو أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوا هم عليها وهم أبناء عشر

Maksudnya : Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka apaabila berumur sepuluh tahun. (HR Abu Daud)

Kemudian dalam ayat ini Allah SWT menyuruh agar memelihara solatul Wusta. Para ulama berbeza pendapat dalam mentafsirkan apakah yang dimaksudkan dengan solatul Wusta. Ada yang mengatakan solat Subuh, ada pula yang menyatakan solat Zuhur dan ada pula pendapat mengatakan solat Isyak.

Namun pendapat yang paling masyhur ialah solat Asar sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadis,

الصلاة الوسطى صلاة العصر

Maksudnya : Solat Wusta ialah solat Asar.

Hukum orang yang meninggalkan solat

Menurut Mazhab Syafie, sesiapa di kalangan orang Islam yang pernah meninggalkan solat dengan sengaja, maka hendaklah mereka melakukan dua perkara iaitu bertaubat dan mengqadak semula solat yang ditinggalkan. Tidak memadai jika hanya sekadar mengqadak solat tanpa bertaubat atau hanya bertaubat tanpa mengqadakannya.






















"Solat Best... !"

Jika sibapa atau suami tidak mengerjakan solat fardhu, maka anak atau isteri wajib mengingatkan bapa atau suaminya dengan penuh hikmah. Jika sudah diingatkan tetapi bapa atau suami masih enggan, maka terlepaslah sudah tanggungjawab si anak atau isteri. Sekiranya seorang suami tidak mahu menunaikan solat setelah diberi nasihat oleh isteri, maka syariat Islam membenarkan si isteri menuntut fasakh daripada Qadhi.

Seorang wali atau bapa yang tidak menunaikan solat, dia tidak boleh menikahkan anak gadisnya kerana dia telah melakukan dosa besar. Maka hak wali untuk menikahkan berpindah kepada wali lain (ab’ad) yang selepasnya. Seorang wali atau bapa juga tidak harus mengahwinkan anak perempuannya dengan mana-mana lelaki yang meninggalkan solat, kerana pada hakikatnya dia bukanlah seorang Islam yang sebenar.

Menurut Prof. Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam fatwanya menulis, mereka yang meninggalkan solat hilanglah hak persaudaraan dalam Islam iaitu (Jika engkau bertemu dengannya maka berilah salam kepadanya, jika dia menjemput datang kerumahnya maka penuhilah jemputannya, jika dia meminta nasihat daripadau maka berilah nasihat kepadanya, dan jika dia bersin lalu memuji Allah maka doakanlah kebaikan pada dirinya, dan jika dia sakit maka ziarahilah dia, dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya.ke kubur).

Dalilnya ialah firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 11,

“ Jika mereka bertaubat, mendirikan sholat dan menunaikan zakat, Maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. dan kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang Mengetahui.”

Berdasarkan ayat ini, orang yang meninggalkan solat hendaklah bertaubat dan agar hak hak persaudaraannya dalam Islam dapat dikembalikan.

Seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan dia meninggalkan solat, maka hendaklah di lihat sama ada dia kafir atau pun fasik. Jika dia fasik, maka jenazahnya hendaklah di sembahyangkan dan di kebumikan di tanah perkuburan Islam dan urusannya di serahkan kepada Allah SWT.

Manakala menurut Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain mengatakan bahawa orang itu tidak harus disembahyangkan apatah lagi dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Namun pendapat yang paling sahih dalam mazhab ini ialah dia tidak dihukum kafir melainkan jika dia telah diajak oleh pemerintah atau pembantunya tetapi dia enggan.

Firman Allah SWT di hujung ayat 238,

" Dan berdirilah kerana Allah dengan keadaan kamu taat setaatnya".

Maksudnya hendaklah solat itu dilakukan dengan sempurna, jangan ada yang rosak rukun mahu pun syarat-syaratnya. Semasa mendirikan hendaklah khusyuk dan melupakan sesuatu yang berada di sekelilingnya.

Dalam ayat 239 maksudnya,

“Jika kamu takut, maka boleh solat berjalan kaki atau berkenderaan. Apabila kamu aman sentosa, maka sebutlah Allah (ingat kepada-Nya) sebagaimana Dia telah mengajarkan kamu akan apa-apa yang tiada kamu ketahui”

Dalam ayat Allah SWT mahu menegaskan bahawa solat itu suatu kewajipan yang tidak boleh diringankan. Sekiranya seseorang itu berada dalam ketakutan seperti dikejar musuh dalam peperangan atau dikejar binatang buas maka bolehlah solat itu dilakuan sama ada berjalan kaki, menunggang kenderaan sama ada mengadap qiblat atau tidak.

Di sini ulama feqah mengecualikan kewajipan mengadap qiblat sewaktu solat itu kepada 4 golongan iaitu :

1. Jika seseorang itu bermusafir dan berada dalam kenderaan, dia diberi keringanan untuk mengadap qiblat sewaktu mula solat sahaja (itu pun jika diketahui) Dalilnya sebuah hadis dari Amir bin Rabi’ah;

رأيت رسول الله (ص) يصلي على راحلته حيث توجهت به

Maksudnya : Saya lihat Rasulullah saw solat di atas kenderaan menuruti arah kenderaan itu.

2. Solat orang yang dipaksa, seperti dia diikat pada sebatang kayu atau lainnya. Maka dalam keadaan ini gugurlah kewajipan mengadap qiblat.

3. Solat orang sakit yang tiada seorang yang boleh membantu untuk mengadapkannya kearah kiblat.

4. Solat khauf, atau solat yang dilakukan dalam ketakutan seperti dalam peperangan atau dikejar musuh seperti firman Allah SWT dalam ayat 239 surah al-Baqarah tadi.

Di hujung ayat ini Allah SWT menjelaskan sekiranya sudah kembali dalam keadaan aman, maka solatlah seperti biasa dan ingatlah Allah SWT banyak-banyak kerana Dialah yang telah mengajar segala ilmu yang kita tidak ketahui sebelum ini. Wallahualam.

Dikuliahkan

Di Masjid Ampangan
Surau al-Amin
Surau al-Falah
Surau Desa Beringin

Wallahualam.

Thursday, February 25, 2010

Berkat doa Nabi Ibrahim a.s ....


Mr. Patrick Briggs, Pengetua Kolej Tuanku Ja'afar dan isteri hadir mendengar ceramah agama sempena Sambutan Maulidur Rasul. Di akhir ceramah, beliau telah dihadiahkan sebuah buku "The Life of Prophet Muhammad " oleh pihak penganjur.

Firman Allah SWT,

“ Ya Tuhan kami, utuskanlah untuk mereka sesorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka (dari syirik). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana ”. –(Baqarah ayat 129).


Kelihatan pelajar non-muslim turut hadir mendengar ceramah Maulidu Rasul (barisan depan no 2)

Dalam satu riwayat para sahabat pernah bertanya Rasullah saw, Ya Rasulullah bagaimana tuan hamba mula-mula diutus menjadi Rasul ? Rasulullah saw menjawab, aku diutus menjadi Rasul dengan berkat doa bapaku Ibrahim dan khabar gembira yang disampaikan oleh Isa ibnu Maryam.


Ceramah di sampaikan oleh Ybhg Prof Dato' Dr Mohd Yusuf Husin (Bekas Mufti Wilayah) dalam bahasa Inggeris

Pengajaran daripada ayat ini, Allah SWT tidak pernah mensia-siakan doa hamba-Nya yang soleh. Walaupun doa Nabi Ibrahim a.s ini dibaca oleh baginda sejak ratusan (mungkin ribuan) tahun yang lampau, namun hanya makbul pada hari Isnin 12 RabiulAwwal 570 Masihi (bersamaan tahun Gajah) dengan diutusnya Nabi Muhammad saw.


Majlis dimulai dengan selawat diketuai oleh beberapa pelajar senior

Justeru kita yang hidup hari ini berdoalah mohon kebaikan daripada Allah SWT. Sama ada cepat atau pun lambat Allah SWT berjanji bahawa Dia tetap akan memakbulkan doa hamba-hambanya yang soleh….. Mungkin kebaikan yang kita minta hari ini dapat dikecapi oleh cucu cicit kita di masa akan datang, Insya Allah.

Wednesday, February 24, 2010

"Sir.., why Islam does not approve dating ?"

Normally, on every Tuesday I’ll have class with my Upper six students in KTJ. My students come from very good backgrounds as they come from government boarding school before.

They are doing their 'A Level' program here, under sponsorship by Petronas and Bank Negara. Insya Allah, they will further their study in UK this August. May Allah bless them !

Yesterday, one of them asked me,

“Sir , I read your articles about Zina in your blog. However, what I wonder is, if Islam does not approve dating, so how do we know more details about our partner ?”

I explained to my students,

“Class, people argue that without dating, you cannot get to know someone well enough to marry them. However, in reality it is not the best way of seeing person for whom he really is. When two person are dating, they put forth their best behavior to impress the other person.

Often, people hide their true personalities in their effort to keep the other person satisfied, so he / she won’t leave them. However, when they get married, they may be disappointed by the real personality of their spouse, which only comes out after they have started together as husband and wife .”

“Sir, If muslims don’t date, how do they get married?”, the students asked.

To respond to the question, I recited a well-known hadith which transmitted by Imam Tirmizi,

‘Whenever a man is alone with a woman, Syaitan is the third ‘.

“Class, according to the hadith, the natural attraction between the opposite sexes is one of Allah’s test of faith. By avoiding being alone together, boys and girls can prevent temptation.

If you want to get married, you should look for a boy or a girl who is good character and a practicing muslim. A muslim girl takes pride in her chastity and honor, and a muslim boy respects and admires a girl who is chaste and virtuous.

And one more important thing, it is also advisable not to postpone the date of the marriage unnecessarily “, I ended my class discussion.

Monday, February 22, 2010

Zina Muhsan : Bagaimana hukuman rejam dilaksanakan ...



Dua artikel saya sebelum ini sudah pun menjelaskan dengan panjang lebar mengenai hukuman sebat ke atas mana-mana pesalah yang melakukan zina serta syarat-syarat yang perlu diberi perhatian sebelum menjatuhkan hukuman.

Kali ini saya ingin menyambung pula bagaimana hukuman rejam dilaksanakan ke atas penzina yang sudah berkahwin.

Sabda Rasulullah saw,

الشيخ والشيخة اذا زنيا فارجموهما البتة

Maksudnya : Lelaki tua dan perempuan tua yang berzina, maka rejamlah kedua-duanya sebagai balasan daripada hukuman Allah SWT.



Sekali lagi saya mohon supaya pembaca dapat membacanya dengan tenang dan tenteram. Sebarang pembacaan yang sekerat-sekerat, sambil lalu atau sambil lewa adalah tidak dibenarkan sama sekali !

Adalah dinasihatkan juga kepada mereka yang belum membaca artikel saya mengenai jenayah zina sebelum ini, sila berbuat demikian. Tanpa membaca artikel-artikel sebelumnya kemudian terus membaca artikel ini dibimbangi akan menimbulkan sikap buruk sangka terhadap undang-undang Allah SWT.

Tidak ada apa yang saya harapkan di sebalik artikel ini melainkan keredhaan daripada-NYA. Selamat membaca !

1. Kedudukan Pesalah Semasa Di Rejam

Semua imam empat Mazhab bersetuju bahawa jika pesalah yang menjalani hukuman rejam itu lelaki, dia dikehendaki menjalaninya dalam keadaan berdiri, tanpa diikat dengan sesuatu, tidak juga dipegang dan tidak digali lubang untuknya sama ada kesalahannya di sabit melalui keterangan para saksi atau pun melalui pengakuannya sendiri.

Jika pesalah yang sabit kesalahan melakukan zina melalui pengakuannya, melarikan diri ketika hukuman rejam dijalankan, perlaksanaan hukuman rejam hendaklah dihentikan segera kerana tindakan melarikan diri itu dikira sebagai dia sudah menarik balik pengakuannya.

Tetapi jika pesalah yang sabit kesalahan zina melalui keterangan empat orang saksi, melarikan diri, maka hukuman rejam tidak boleh dihentikan, malah dia wajib diikuti kemana sahaja dia lari dan terus direjam sehingga mati.

Jika pesalah itu seorang perempuan, menurut ulama Mazhab Shafie, adalah digalakkan mengadakan lubang untuknya jika kesnya itu sabit menerusi 4 orang saksi. Tetapi jika dia disabitkan kesalahan melalui pengakuan dirinya maka penggalian lubang adalah tidak digalakkan, kerana keadaan ini akan menyekatnya untuk lari sekiranya dia menarik balik pengakuan, sedangkan menarik balik pengakuan merupakan sebab yang menggugurkan hukuman rejam.

2. Alat Yang Digunakan

Pelaksanaan hukuman rejam hendaklah menggunakan batu-batu yang sebesar memenuhi tapak tangan. Justeru, tidak boleh menggunakan anak-anak batu yang ringan kerana ia boleh menyebabkan masa azab yang dialami oleh si pesalah amat panjang. Begitu juga tidak boleh digunakan ketulan-ketulan batu yang besar sehingga membunuhnya dengan cepat, kerana cara itu akan menghilangkan hikmah pembalasan yang diharap-harapkan.

3. Tempat Perlaksanaan

Hukuman rejam tidak boleh dilakukan di Masjid kerana pekikan suara pesalah, dan percikan darah yang terpancar boleh mencemarkan kesucian masjid. Oleh itu hukuman rejam hendaklah dijalankan ditempat yang luas dan jauh dari kawasan penempatan umum supaya rejaman yang dilakuan itu tidak mengenai orang lain selain pesalah yang berkenaan boleh disaksikan oleh orang ramai sebagai pengajaran.

4. Mayat Pesalah

Apabila pesalah itu sudah mati, maka mayatnya hendakah diserahkan oleh pemerintah kepada ahli warisnya. Mereka bertanggungjawab melakukan perkara-perkara seperti memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengkebumikannya.



Kemuliaan mayat yang direjam...

Biarpun mereka dihukum mati, namun di sisi Allah mereka adalah sebaik-baik manusia kerana rela mengorbankan diri dalam mematuhi perintah Allah SWT. Di zaman Rasulullah saw ketika baginda melaksanakan hukuman rejam ke atas Salma Al-Ghamidiah , darah dari badan Salma terpercik lalu mengenai baju Khalid Al-Walid, menyebabkan Khalid marah dan mencacinya. Mendengar cacian Khalid, Rasulullah saw bersabda,

“Jangan terlalu menghinanya kerana ia sedang menjalani hukuman Allah ”

Di sampuk oleh Saidina Omar Al-Khattab,

“Ya Rasulullah ! adakah tuan hamba akan menyembahyangkan jenazahnya ?”

Rasulullah saw menjawab,

“Jika aku bandingkan kebajikannya dengan tujuh puluh perempuan (beriman) di Madinah ini, maka luas lagi (amal) kebajikannya. Tidakkah kamu mengetahui sebaik-baik manusia di sisi Allah ialah orang yang sanggup mengorbankan dirinya kepada Allah ”

Dengan penjelasan Rasulullah saw itu, nyatalah hukuman Allah jika dijalankan bererti keampunan ke atas penjenayah itu terjamin dan itulah sebaik-baik yang kita kehendaki.

Wallahualam.

Nota kuliah Masjid Ampangan,

Oleh,
Ust Hj Mohd Hishamuddin bin Mansor


Rujukan,

1. Undang-Undang Jenayah Islam – Dr. Mat Saat Abd Rahman
2. Jinayah Dalam Islam – Dr. Mahfodz Mohammad

Saturday, February 20, 2010

Penentang hudud.., sila baca !!






















Apa yang saya paparkan ini ialah sebuah artikel berkaitan tentang jenayah zina. Saya berharap mana-mana orang perseorangan, NGO-NGO dan parti-parti politik yang menentang hukum hudud dapatlah kiranya meluangkan masa sedikit untuk membaca artikel ini.

Bacalah ketika anda dalam situasi yang tenteram dan tenang. Jangan membacanya sekadar melepaskan batuk ditangga atau membacanya sekerat-sekerat kerana dibimbangi kefahaman anda juga sekerat-sekerat. Bacalah sampai habis !

Cuba fahamkan betapa terperincinya syarat yang Islam letakkan sebelum menjatuhkan hukuman hudud ke atas pesalah zina. Bukan semudah yang tuan-tuan sangkakan.

Semoga artikel ini dapat mencerahkan minda anda yang mungkin ketika ini sedang dalam 'kejerebuan' mengenai hukum Tuhan. Mana yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri. Selamat membaca !

Pengertian Zina

Ulama di kalangan Mazhab Maliki mentakrifkan zina itu ialah persetubuhan seorang mukallaf yang dilakukan dengan sengaja pada kemaluan perempuan anak Adam yang sama sekali bukan miliknya.

Manakala Al-Shirazi, seorang ulama dalam Mazhab Shafi’e mentakrifkan zina dengan katanya : Apabila seorang lelaki dari kalangan penduduk Negara Islam menyetubuhi seorang perempuan yang diharamkan ke atasnya, iaitu tanpa wujud di antara keduanya akad yang sah atau akad yang syubhah (samar), tanpa wujud milik yang sah atau milik yang syubhah (samar), dan lelaki itu pula seorang yang berakal, baligh dan melakukan perbuatan itu dengan pilihannya, tahu tentang pengharamannya, maka wajiblah ke atasnya hukuman had. Jika dia seorang yang muhsan maka wajiblah ke atasnya hukuman rejam.

Berdasarkan takrif di atas terdapat beberapa unsur untuk mensabitkan seseorang itu melakukan kesalahan zina. Pertama, persetubuhan yang diharamkan. Kedua, dilakukan dengan sengaja dan ketiga dilakukan oleh orang yang cukup mukallaf.

Pertama : Persetubuhan Yang Diharamkan

Maksud persetubuhan ialah perbuatan memasukkan zakar ke dalam faraj atau kubul sekurang-kurangnya tenggelam kadar hasyafah (iaitu kepala zakar) atau kadar seumpamanya jika hasyafahnya sudah terputus. Tidak kira sama ada keluar mani atau tidak, atau berlaku dengan tindakan lelaki yang memasukkan zakarnya ke dalam faraj perempuan atau tindakan perempuan memasukkan zakar lelaki ke dalam farajnya.

Justeru tidaklah dianggap zina jika perbuatan-perbuatan yang berlaku adalah di luar faraj seperti berkucup, berpeluk, berkhalwat, memasukkan zakar di antara kedua-dua belah peha atau bercumbuan di luar faraj. Cuma ia merupakan perbuatan yang di larang dan maksiat serta mukaddimah kepada zina yang mana pelakunya boleh dikenakan hukuman ta’zir.

Menurut Imam Abu Hanifah, persetubuhan yang diharamkan dan dianggap sebagai zina itu ialah yang berlaku menerusi faraj atau kubul. Dengan kerana itu persetubuhan melalui dubur sama ada kepunyaan lelaki atau perempuan tidaklah dikira sebagai zina kerana perbuatan itu dinamakan liwat. Lagi pun kesan daripada perbuatan liwat tidak sampai melahirkan keturunan berbanding dengan zina. Justeru pelakunya hanya boleh dikenakan hukuman ta’zir sahaja.

Tetapi jumhur ulama-ulama di kalangan Mazhab Maliki, Shafi’e dan juga Hanbali menganggap persetubuhan melalui dubur itu sama seperti persetubuhan menerusi faraj yang wajib dijatuhkan hukaman had. Al-Quran telah menyamakan kedua-dua perbuatan ini. Antaranya firman Allah SWT kepada kaum Lut,

انكم لتأتون الفاحشة

Maksudnya : Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji. (Al-‘Ankabut : 28)

Dan firmanNya lagi,

واللاتى يأتين الفاحشة من نسائكم

Maksudnya : Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu (An-Nisa’ : 15)

Dalam surah Al-‘Ankabut ayat 28, Allah SWT menyebut persetubuhan haram melalui dubur adalah keji, kemudian dalam surah An-Nisa’ ayat 15, Allah SWT menyebut persetubuhan haram melalui faraj juga adalah keji. Ini menunjukkan kedua-dua perbuatan ini adalah sama taraf.

Hujah ini dikuatkan dengan dalil sepotong hadis,

اذا أتى الرجل الرجل فهما زانيان واذا أتت المرأت المرأة فهما زانيتان

Maksudnya : Apabila seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang lelaki maka kedua-duanya adalah penzina dan apabila seorang perempuan bersetubuh dengan seorang perempuan maka kedua-duanya juga adalah penzina.

Bagaimana pula jika persetubuhan itu dilakukan ke atas orang yang sudah mati yang bukan pasangan suami isteri? Menurut Imam Abu Hanifah dan sebahagian pendapat Mazhab Shafi’e dan Hanbali, perbuatan itu tidak dianggap zina, Cuma pelakunya dikenakan hukuman ta’zir. Manakala sebahagian ulama di kalangan Mazhab Shafi’e, Hanbali dan Maliki berpendapat, perbuatan seperti itu dianggap zina yang wajib dijatuhkan hukuman had zina, malah ia dipandang lebih buruk daripada perbuatan zina kerana menjejaskan kehormatan mayat.

Bagaimana pula jika persetubuhan itu dilakukan pada kemaluan binatang ? Imam Abu Hanifah dan Imam Malik tidak menganggapnya sebagai zina, tetapi ia adalah satu maksiat yang boleh dijatuhkan hukmuan ta’zir sahaja. Manakala dalam Mazhab Shafi’e mempunyai dua pendapat, salah satunya sama seperti pendapat Imam Abu Hanifah. Pendapat kedua, ia dikira sebagai zina dan pelakunya hendaklah dihukum bunuh dalam semua keadaan berdasarkan kepada sebuah hadis yang berbunyi,

ومن أتى بهيمة فاقتلوه واقتلوها معه

Maksudnya : Sesiapa yang menyetubuhi binatang maka hendaklah kamu membunuhnya dan membunuh binatang itu bersama-sama nya.

Kedua : Dilakukan Dengan Sengaja

Maksudnya ialah apabila seseorang lelaki itu benar-benar mengetahui bahawa perempuan yang disetubuhinya itu bukan isterinya atau perempuan yang disetubuhi itu mengetahui bahawa lelaki yang menyetubuhinya ialah lelaki yang bukan suaminya sedangkan mereka mengetahui bahawa perbuatan bersetubuh itu adalah haram.

Berdasarkan ini, bermakna orang yang berzina dengan sengaja tetapi mereka tidak tahu tentang hukum haramnya zina disebabkan jahil, mungkin kerana faktor baru masuk Islam atau tinggal berjauhan daripada masyarakat Islam, maka tidak bolehlah dikenakan hukuman had ke atasnya. Namun, zaman sekarang alasan jahil adalah mustahil untuk diterima , kerana pengharaman zina bukan sahaja telah diketahui oleh orang-orang Islam malah juga orang bukan Islam.

Jika seorang lelaki mendapati seorang perempuan di atas katilnya, pada sangkaannya perempuan itu adalah isterinya, lalu dia menyetubuhinya, tiba-tiba baru dia tahu bahawa perempuan itu adalah ajnabinya maka dia tidak boleh dikenakan hukum had zina kerana dia tidak berniat sengaja untuk melakukan zina.

Akan tetapi mengikut Mazhab Hanafi, bahawa pasangan suami isteri yang telah lama berkongsi hidup adalah tidak munasabah untuk tidak mengenali pasangan masing-masing walaupun mereka buta sekali pun kerana masing-masing boleh mengenal pasangan masing-masing samada melalui rasa, bau, suara dan nafas. Oleh itu menurut Mazhab Hanafi, orang yang melakukan persetubuhan tersalah pasangan tidak terlepas daripada hukuman had zina.

Bagaimana kedudukan seorang lelaki yang dipaksa melakukan zina ? Jumhur ulama berpendapat dia tidak dikenakan hukuman had zina. Manakala ulama di kalangan Mazhab Hanbali mengatakan dia wajib dikenakan hukuman had zina. Ada pun seorang perempuan yang dipaksa melakukan zina atau diperkosa, seluruh jumhur berpendapat dia tidak akan dikenakan hukuman had zina.

Ketiga : Dilakukan Oleh Orang Yang Mukallaf

Pesalah-pesalah zina itu tidak boleh dikenakan hukuman had kecuali jika mereka memenuhi syarat-syarat berikut :

1. Baligh. Oleh sebab itu kalau kanak-kanak lelaki yang belum baligh melakukan zina dengan perempuan dewasa ia tidak boleh dikenakan hukum had zina tetapi hendaklah dikenakan hukuman ta’zir sekiranya kanak-kanak itu sudah mumaiyiz. Ada pun perempuan tersebut, menurut Imam Syafi’e hendaklah dikenakan hukuman had zina.

2. Berakal, ertinya orang gila yang berzina terlepas daripada hukuman had zina. Jika salah seorang penzina berakal maka hukuman had zina hanya akan dilaksanakan ke atas yang berakal sahaja.

3. Islam, maksudnya jika yang berzina itu orang kafir maka dia terlepas daripada hukuman had zina. Tetapi menurut Mazhab Shafi’e dan Hanbali, sesiapa sahaja berzina sama ada orang Islam atau bukan Islam dia boleh dikenakan hukuman had zina. Tetapi jika seorang kafir yang sudah berkahwin berzina dengan pasangannya yang beragama Islam, sikafir hanyalah dikenakan hukuman sebat seratus kali sebatan sahaja, tidak direjam sampai mati, melainkan sikafir itu memaksa perempuan Islam berzina dengannya maka dia akan dikenakan hukuman mati.

Wallahulam.

Dikuliahkan di Masjid Jame' Ampangan.

Rujukan,

1. Undang-Undang Jenayah Islam – Dr. Mat Saat Abd Rahman
2. Jinayah Dalam Islam – Dr. Mahfodz Mohammad

Friday, February 19, 2010

Sisters in Islam buat hal lagi....






















Tindakan 'Sisters in Islam' mempertikaikan hukuman sebat ke atas 3 wanita Islam yang melakukan persetubuhan haram baru-baru ini menggambarkan 'kebebalan' melampau kumpulan tersebut.

Saya sebenarnya malas untuk memberikan sebarang komen terhadap kumpulan yang berfahaman 'Islam Liberal' ini. Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya. Melayan golongan yang jahil seperti ini tidak mendatangkan apa-apa faedah buat kita semua. Pedulikan mereka !

Muslimin dan muslimat sekalian,

Sudah lebih 50 tahun kita merdeka, namun kejadian jenayah semakin menjadi-jadi. Anak-anak zina semakin merebak dan membiak. Rumah-rumah urut dan pusat perjudian sudah tidak terbilang banyaknya. Remaja rempit dan minum arak, aduh ! sungguh menyakitkan mata memandang. Justeru, sudah sampai masanya undang-undang Islam menggantikan undang-undang yang sedia ada.

Tegasnya, segala usaha yang baik bagi memertabatkan undang-undang Islam perlu disokong dari semasa ke semasa. Mereka yang menganggap usaha mendaulatkan undang-undang Islam sama seperti mahu membawa Malaysia ke zaman belakang, mereka itulah sebenarnya yang terkebelakang. Mereka adalah golongan jumud,pesimis dan hamis. Allahu Akbar !

Memetik kata-kata Ybhg Dato' Sheikh Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad bekas Mufti kerajaan Negeri Sembilan sewaktu pertemuan peribadi dengannya,

" Kalau tak dapat buat semua..., buat sikit-sikit dulu..., itu lebih baik daripada tak buat langsung !"

Di sini saya ingin mengucapkan tahniah kepada akhbar Utusan Malaysia kerana tiba-tiba telah menjadi 'baik' dengan menyiarkan berita penyebatan ini secara positif.

Saya tidak sangka akhbar yang pernah mengecam hukum hudud di zaman Mahathir dahulu, kini sudah bertukar menjadi akhbar yang 'mesra hudud'. Mungkin sidang pengarangnya sudah mendapat hidayah daripada Allah SWT. Harap-harap mereka ikhlas...

Muslimin dan muslimat sekalian,

Bagi mengetahui bagaimana hukuman sebat ke atas pesalah zina, di sini saya lampirkan sebuah artikel yang pernah saya kuliahkan di Masjid Ampangan suatu ketika dahulu.

Moga-moga orang seperti Zainah Anwar (SIS), Zaid Ibrahim (PKR), Hishamuddin Rais (Penulis bebas), Raja Petra Kamaruddin (Malaysia Today), Karpal Singh (DAP), Sharizat Jalil (UMNO) dan seterusnya mereka yang sealiran akan terbuka hatinya untuk menerima undang-undang Syariah.

1. Kedudukan Pesalah Zina Semasa Disebat

Jika pesalah itu lelaki maka menurut Imam Abu Hanifah, Imam As-Shafie dan Imam Ahmad, maka dia hendaklah disebat dalam keadaan berdiri. Sebaliknya jika dia seorang perempuan maka dia hendaklah disebat dalam keadaan duduk untuk mengawal auratnya daripada terdedah.

2. Keadaan Pakaian

Menurut Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pesalah lelaki hendaklah menanggalkan pakaiannya kecuali yang menutup auratnya. Tetapi Imam Shafie dan Imam Ahmad berpendapat hendaklah pesalah lelaki dibiarkan memakai pakaian kecuali pakaian yang tebal. Tetapi jika pesalah itu seorang perempuan maka pakainnnya tidak boleh dilucutkan kerana mendedahkan aurat bagi kaum wanita itu adalah haram.

3. Alat Yang Digunakan

Berdasarkan kepada amalan masyarakat Islam terawal, biasanya pesalah akan disebat dengan cemeti (al-saut) Penggunaan cemeti adalah terikat kepada beberapa syarat iaitu cmeti adalah seutas sahaja tanpa terdapat pecah-pecahannya. Jika ia mempunyai dua pecahan maka sekali sebat dikira sebagai dua kali sebat. Begitulah jika ia mempunyai banyak pecahannya, setiap pecahannya adalah menyamai sekali sebat.

4. Cara Menyebat














Kaedah sebat menurut undang-undang Sivil yang zalim...

Adalah disyaratkan agar tukang sebat tidak meluruskan tangannya ketika menyebat pesalah, dan tidak boleh mengangkat tinggi sehingga terdedah semua bahagian ketiaknya dan dia dikehendaki segera mengangkat cemeti apabila sudah mengenai badan pesalah.

5.Bahagian Badan Yang Disebat

Tukang sebat hendaklah mengagihkan sebatannya ke seluruh badan pesalah yang meliputu dua bahunya, dua lengan dan tangannya, dua betis dan juga dua kaki. Imam Malik berpendapat bahagian badan yang disebat ialah di belakang badan pesalah dan bahagian-bahagian yang berhampiran dengannya. Tidak boleh menyebat di semua anggota yang merbahaya seperti muka, kepala, dada, perut dan kesemua anggota kemaluan dan kelahiran.

6.Tempat Perlaksanaan

Para ulama tidak berselisih pendapat dalam menentukan tempat yang terbuka ketika pelaksanaan hukuman sebat dijalankan. Kerana tujuan perlaksanaannya adalah untuk menakutkan orang ramai. Cuma terdapat larangan menggunakan masjid sebagai tempat pelaksanaan hukuman berdasarkan hadis rasulullah saw,

لا تقام الحدود فى الساجد ولا يقتل بالولد الوالد

Maksudnya : Janganlah dilaksanakan hukuman hudud di dalam masjid-masjid dan janganlah dibunuh seorang bapa kerana membunuh anaknya.

Ulama Mazhab Maliki dan Shafie berkata adalah sunat dihadiri oleh sekumpulan orang dan sekurang-kurangnya bilangan mereka sebanyak 4 orang.

Wallahulam.

Rujukan,

1. Undang-Undang Jenayah Islam – Dr. Mat Saat Abd Rahman
2. Jinayah Dalam Islam – Dr. Mahfodz Mohammad

Wednesday, February 17, 2010

Menyambut Maulidur Rasul tiada fadhilat ?

Saya teruja dengan kenyataan ulama yang saya hormati Ybhg Al-Fadhil Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul tiada fadhilat. Pada saya kemungkinan kenyataannya disalah tafsir oleh akhbar. Harap-harap begitulah.

Tetapi sekiranya betul Ybhg Al-Fadhil Tuan Guru ada mengucapkan kata-kata sedemikian, saya tetap menghormati pandangannya kerana Islam sentiasa meraikan perbezaan pendapat apatah lagi dalam soal khilafiyah.

Justeru tidak perlu bagi mereka yang enggan menyambut Maulidur Rasul membidaahkan golongan yang menyambutnya dan begitulah sebaliknya. Yang penting, jangan kita bertengkar sesama sendiri dalam hal seperti ini kerana ia bukan soal pokok dalam agama. Hendaklah kita saling hormat menghormati dan berlapang dada !

Para pembaca sekalian,

Dari dulu sehingga sekarang, saya sentiasa bersama dengan majoriti umat Islam di Malaysia meraikan Sambutan Maulidur Rasul. Malah di kawasan perumahan saya, AJK Pembinaan Surau Vila Suria bercadang untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada 6hb March nanti. Dijadualkan pada hari itu ada gotong royong memasak sesama penghuni taman. Pasti meriah !

Ada juga surau-surau dan masjid yang memulakan majlis sejak dari awal pagi. Di sebelah siang diadakan pertandingan azan, berzanji dan mewarna. Manakala sebelah malamnya ialah acara kemuncak iaitu ceramah Agama dari penceramah jemputan.

Saya percaya surau-surau dan masjid di seluruh Negeri Sembilan sudah mula menentukan tarikh dan tentatif program bagi menjayakannya. Beberapa penceramah yang 'tersohor' sudah mula dihubungi dan ditempah sejak beberapa bulan yang lalu. Nama-nama penceramah seperti Dato' Haron Din, Dato' Hassan Din al-Hafiz, Dato' Ismail Kamus antara yang paling top.

Begitulah 'excitednya'umat Islam di Malaysia menyambut Maulidur Rasul. Alangkah baiknya kalau sikap 'excited' itu diterjemah dalam usaha mendaulatkan syariat Allah.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Saya juga bersetuju dengan langkah kerajaan yang mengadakan anugerah Tokoh Maulidur Rasul kategori non-Muslim, moga-moga dengan cara itu akan menghampirkan mereka dengan Rasulullah saw.


Majlis macam ni lagi tiada fadhilat....!

Selain itu saya juga bersetuju jika pihak surau dan masjid menjemput warga non-muslim di kalangan jiran-jiran setempat untuk turut serta mendengar ceramah Maulidur Rasul dan menikmati jamuan yang disediakan. Bukankah Rasulullah saw diutus kepada semua bangsa ? Tiada dalil yang menunjukkan golongan non-muslim dilarang masuk ke masjid asalkan mereka menutup aurat dan menjaga adab-adabnya.

Pembaca yang dihormati,

Mengadakan Maulidur Rasul termasuk dalam perkara yang boleh menzahirkan perasaan cinta kepada Rasulullah saw. Kita akui, memang terdapat segelintir ulama yang kontra dalam amalan ini. Alasannya kerana sambutan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh Salafussoleh (umat Islam yang hidup pada kurun-kurun awal kenabian). Jika amalan seperti ini ada, sudah tentu golongan salafussoleh lebih layak melakukannya kerana mereka lebih memiliki rasa cinta kepada Rasulullah saw.


















Pun sama juga.., majlis yang tiada fadhilat, Syirik !

Pembaca budiman,

Antara persoalan yang sering dikemukakan oleh golongan yang membantah Maulidur Rasul ialah , mengapa mengingati kelahiran Rasulullah saw hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja ? Bukankah mengingati Rasulullah saw sama ada tarikh kelahirannya, sirah perjuangannya dan segala ajarannya perlu diingati dan dihayati sepanjang masa, tidak tertentu pada bulan dan hari yang khusus ? Bukankah menentukan waktu khusus bagi memperingati rasulullah adalah termasuk perbuatan mengada-ngadakan sesuatu yang tidak ada dalam agama – Bidaah ?

Para pembaca sekalian,

Menurut As-Saiyid Muhammad bin Alwi al-Maliki (w 1425H) seorang ulama terkenal Mekah, menyambut Maullidur Rasul hukumnya adalah harus, tidak termasuk dalam perkara bidaah yang tercela. Sebab dalam perayaan tersebut kaum muslimin dapat mendengar tazkirah dan riwayat hidup Nabi Muhammad saw, membaca dan mendengar solawat yang memang sepatutnya menjadi hak baginda, seterusnya bersedekah dengan menyediakan makanan dan minuman yang menggembirakan hati para hadirin pendengar.

Bukankah bergembira di atas kelahiran Rasulullah saw itu suatu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Kalau orang kafir seperti Abu Lahab turut merasa gembira dengan kelahiran baginda apatah lagi umatnya.

Sejarah mencatatkan , apabila mendengar sahaja berita kelahiran Rasulullah saw, Abu Lahablah orang yang sangat gembira dan terus memerdekakan hambanya yang bernama Thuwaibah kerana dialah yang membawa berita gembira itu kepadanya. Dengan kegembiraannya itu, Allah SWT meringankan seksaan ke atasnya pada setiap hari Isnin.

Para pembaca sekalian,

Memang benar mengadakan Sambutan Maulidur Rasul tidak semestinya dibuat pada hari-hari atau masa-masa tertentu, kerana mengingati nabi saw sudah menjadi satu kewajipan bagi umat Islam setiap masa dalam sepanjang kehidupan.

Cuma harus diakui bahawa sambutan Maulidur Rasul yang diadakan pada bulan Rabuil Awwal dianggap lebih menarik perhatian orang ramai kerana mereka merasakan adanya hubungan antara masa sekarang dengan masa lampau dan hubungan perasaan antara orang-orang yang menyaksikan kehidupan baginda di masa dahulu dengan orang-orang yang hidup di zaman sekarang.

'Ala kulli hal, 'Selamat Menyambut Maulidur Rasul'.

Wallahualam.

Monday, February 15, 2010

Alhamdulillah ... Berita Vila Suria dah pun siap !


Syukur kepada Allah SWT, dalam keadaan tidak berapa sihat (demam) akibat cuaca yang begitu panas, akhirnya 'Berita Vila Suria' siri ke 4 telah berjaya saya siapkan untuk tatapan jiran-jiran setaman.

Mungkin hari ini atau esok, saya akan mengedarkannya ke semua penghuni di Vila Suria yang jumlahnya sebanyak 187 buah rumah. Itu pun bergantung kepada kedai fotostat sama ada sudah beroperasi atau belum.

Maklum sahajalah, pemilik kedai fotostat di Sikamat semuanya berbangsa Cina. Kalau mereka raya, kedai biasanya akan ditutup selama seminggu !

Sudah 4 siri 'Berita Vila Suria' beredar, bermula pada bulan Jun, September, Disember (tahun lepas) dan yang terkini Februari 2010.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jiran setaman khususnya Ybhg Ust Hj Azzahar yang telah sudi menyemak tatabahasa untuk 2 keluaran sebelumnya. Manakala untuk siri ke 4, saya menyuruh isteri sahaja untuk menyemaknya.

Hasil kerja terakhir....

Saya bertekad untuk mengundurkan diri sebagai AJK dalam Mesyuarat Agong Persatuan Pemilik Vila Suria yang akan datang. Mesyuarat dijadual berlangsung pada 7 hb March nanti. Harap-harap akan ada orang baru yang bakal mengambil alih.

Selepas ini saya mahu tumpukan pula tugas saya sebagai AJK Pembinaan Surau Vila Suria. Sudah ramai jiran yang bertanya,

"Ustaz, bila Vila Suria nak buat surau, tak kan selama-lamanya kita nak menumpang di surau Bandar Warisan Puteri?", demikianlah suara mereka.


Barisan AJK Pembinaan Surau Vila Suria. Dari kiri En Noor Azlan (536), En Shamsuddin (590), Ust Azzahar (665), En. Noor Azmi (592),Ust Zainal (663), En Abd Halim (636)dan En Azizan (654). Tidak kelihatan ialah saya, Pn Siti Zabedah (647) dan Pn Sharina (636)

Kepada jiran-jiranku sekalian bersabarlah.., kami AJK-AJK sedang berusaha untuk merealisasikan impian tuan-puan. Tapi, janganlah pula bila Surau sudah terbina nanti, kehadiran jemaah kurang memberangsangkan !.

Saya juga akan fokus kepada penulisan buku dan juga blog. Begitu juga menulis nota kuliah Maghrib untuk di kongsi bersama dengan para jemaah surau dan masjid.Cukuplah setakat itu sahaja buat masa ini.

Aktiviti keluarga...

Kakak saya Norfadilah binti Mansor menghantar SMS,

"Sham.., bila nak buat aktiviti keluarga ?", tanyanya.

"Nantilah dulu.., kita tunggu abang Kamal balik bercuti dari Qatar", balas saya.

Sememangnya kami adik beradik seramai 13 orang akan mengadakan aktiviti keluarga setahun sekali. Tujuannya untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan disamping mahu menggembirakan hati emak yang suka melihat anak-anak dan cucunya berkumpul.

Apa pun kami akan menunggu kepulangan abang Kamal yang sekarang sedang bekerja di Qatar Petroleum. Kata emak, dia akan balik pada bulan March nanti. Bila semuanya sudah ada, barulah saya merancang untuk mengadakan aktiviti bersama adik beradik.

Tak habis-habis Masjid Qaryah Sikamat ...

Saya jangkakan peranan saya sebagai AJK Masjid Qaryah Sikamat sudah menjadi lipatan sejarah. Rupa-rupanya meleset. Ybhg Ust Hj Jamil bin Wahab, Nazir Masjid Qaryah Sikamat baru-baru ini telah menghubungi saya. Katanya, biarpun nama saya telah digugurkan sebagai AJK, beliau tetap mahu mengambil saya sebagai AJK kecil di bawah Biro Dakwah. Harap-harap saya menerima perlantikan itu.

Kepada Ybhg Ust Jamil, berilah saya sedikit masa sebelum membuat sebarang keputusan. Saya bimbang, nanti tidak terpikul amanah yang diberi.

Akhir kata berjumpa lagi di lain tulisan. Ma'as Salamah.

Friday, February 5, 2010

Dia sedang mencari jalan pulang...

Saya sudah penat menulis..., dan bercadang untuk berehat seketika dari penulisan blog. Banyak lagi kerja-kerja lain yang perlu saya lakukan.

Antaranya, nota-nota kuliah Maghrib yang perlu saya siapkan untuk dikongsi bersama dengan para jemaah di masjid.

Sudah menjadi tabiat saya, suka mencatatkan apa yang di baca dan mengedarkan kepada para pendengar sebagaimana yang saya lakukan di Masjid Ampangan Seremban.

Sudah tujuh tahun saya mengajar di masjid ini, itulah cara saya yang tidak pernah berubah sama seperti prinsip politik yang dipegang selama ini. Justeru, janganlah berburuk sangka, mengatakan saya sudah beralih angin !

Begitu juga saya perlu menyiapkan Berita Vila Suria, iaitu sebuah buletin berkala yang diterbitkan oleh Persatuan Penduduk Vila Suria, Bandar Warisan Puteri Sikamat sebagai tatapan untuk jiran-jiran setaman.

Saya juga perlu menjenguk kerja-kerja penulisan buku saya yang bertajuk 'Jika misionari Kristian bertanya anda...', supaya ianya siap mengikut tempoh sasaran.

Selagi ada kekuatan...

Masa bergerak begitu pantas. Umur pun semakin meningkat, sedangkan kematian tidak mengira sesiapa. Bila saya menoleh kebelakang barulah saya sedar, rupa-rupanya masa muda saya, tidak banyak yang saya lakukan untuk Islam dan umatnya. Ya ALLAH ampunkan saya...

Duhai pembaca sekalian...,

Menulis bagaikan nyawa dalam kehidupan saya. Sebenarnya masih banyak lagi isu-isu agama yang mahu saya sentuh dalam blog ini, antaranya fahaman sesat Sister in Islam, Islam Liberal, Plurisme Agama dan pelbagai lagi.

Manakala dalam bidang siasah pula, sudah saya nyatakan sebelum ini yang saya tetap saya.., akan terus mengasak dan menyerang, seterusnya menghalakan peluru bertalu-talu kepada B..!. Allahu Akbar !

Apa pun saya berdoa kepada ALLAH SWT, "Ya ALLAH berilah aku kekuatan dalam meneruskan kerja-kerja ini".

Saya juga berdoa semoga rakan-rakan yang sudi mengunjungi blog ini sentiasa diberi kesihatan yang baik dan 'istiqamah dalam perjuangan' walaupun kita tidak bersua lagi di alam siber buat beberapa ketika. Insya Allah, biar pun metodologi perjuangan berbeza namun matlamat kita tetap SAMA ! BERJUANG TETAP BERJUANG !

Rakan-rakanku sekalian,

Jika ada ilmu yang rakan-rakan perolehi dari blog ini, saya halalkan dunia dan akhirat. Yang baik itu datangnya dari Allah, yang lemah itu dari saya sendiri. Di keheningan malam saya berdoa,

"Ya ALLAH, Engkau kurniakanlah kebaikan dan rahmat ke atas semua pengunjung blog ku ini (yang beriman), murahkan rezeki mereka dan kurniakanlah kesihatan yang baik buat mereka dengan selanjut-lanjut usia.. Amin ya Rabbal 'Alameen..."

Para pembaca sekalian,

Saya kira masih berhutang dengan pembaca sekalian. Bulan lepas saya menulis mengenai Kasim Ahmad di bawah tajuk Alaa… Kassiimm. Penulisan itu hanya sekerat jalan sahaja. Belum ada penyudahnya. Justeru, sebelum saya bercuti panjang, ingin saya lunaskan hutang saya kepada pembaca yang budiman. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Refresh...

Suatu ketika dahulu.. di sekolah saya, ada seorang bapa yang bergelar Datuk. Beliau mempunyai ramai anak hasil dari perkongsian hidup dengan dua orang isteri. Tiga orang daripada anaknya belajar di Kolej Tuanku Jaafar Mantin, Seremban.

Kalau saya sebut nama Datuk ini mungkin ada yang mengenalinya sebab dia seorang ahli perniagaan yang terkenal di Malaysia. (Maaf saya tidak boleh siarkan namanya atas sebab-sebab tertentu). Untuk makluman pembaca, Datuk ini begitu taksub dengan ajaran Kassim Ahmad.

Katanya kepada saya semasa parent teacher meeting ,

" Ustaz, saya ni ahli perniagaan yang sentiasa sibuk ke sana ke mari. Tidak ada masa untuk beribadat, jiwa saya kosong sehinggalah saya diperkenalkan oleh seorang sahabat dengan seorang guru ", katanya memulakan cerita.

" Guru itulah yang membimbing saya, kalau dulu saya cuai solat tapi hari ini tidak lagi, kalau dulu saya tak pernah merasa takut dengan azab Allah tapi sekarang perasaan takut itu sudah meresap dalam diri saya", sambungnya lagi dengan wajah sedih.

Saya tekun mendengar ceritanya. "Baguslah Datuk sudah insaf", kata saya.

"Untuk makluman Ustaz, saya betul-betul terhutang budi dengan guru saya, syukur kalau tidak kerana bimbingannya, entahlah saya pun tak tahu nak jadi apa, mungkin saya akan terus sesat bergelumang dengan dosa", cerita Datuk ini sambil menitiskan air matanya.

"Berjasa sungguh guru Datuk itu. Moga-moga Allah membalas amal kebaikannya. Err., kalau Datuk tidak keberatan boleh saya tahu siapakah gerangan guru yang begitu mulia itu ? Saya ingin berkenalan dengannya dan ingin menimba ilmu daripadanya ", tanya saya.

"Kassim Ahmad, dialah guru saya di dunia dan akhirat, dialah yang telah membentuk saya menjadi manusia bukan haiwan ", kata Datuk ini.

Saya terperanjat besar dengan jawapannya dan terus menyoal Datuk ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui latar belakang gurunya itu. Melalui jawapan yang diberinya, SAH guru yang dimaksudkan itu ialah Kassim Ahmad pengasas ajaran anti hadis di Malaysia.

Saya memujuk Datuk ini agar keluar dari ajaran Kassim Ahmad, malangnya tidak berhasil. Katanya kepada saya,

"Adakah Ustaz mahu saya kembali ke zaman jahiliyah saya dahulu, berfoya-foya tak tentu arah dan tak ingat Allah ? " katanya memarahi saya.

Hati saya berbisik, kasihan sungguh Datuk ini, dalam keadaan dia teraba-raba mencari pembimbing dapat pula pembimbing yang sesat lagi menyesatkan.

Apa pun saya mendoakan agar ALLAH SWT menyelamatkan Datuk ini dari kesesatan Kassim Ahmad.

Siapakah Kassim Ahmad ?

Beliau dilahirkan di Baling Kedah dan pernah berguru dengan Dr. Rasyad Khalifa, Imam Masjid Tucson USA yang kemudian mendakwa dirinya sebagai Rasul. Pada tahun 1985 Kassim Ahmad telah menulis sebuah buku bertajuk 'Hadis Satu Penilaian Semula'. Buku ini kemudian telah diharamkan oleh Pusat Islam Kuala Lumpur.

Pada 6 hb September 1995 Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengistiharkan ajaran anti hadis sebagai sesat. Namun yang peliknya, walaupun ajarannya telah diwartakan sesat namun insan yang bernama Kassim Ahmad masih terus bebas ke sana kemari menyebarkan ajarannya kepada orang ramai.

Contoh tulisan Kassim

Pada bulan Julai 2006 Kassim Ahmad telah menulis sebuah artikel yang boleh menyesatkan orang ramai. Artikel ini telah diterbitkan oleh Majalah Al-Islam yang ketika itu sidang pengarangnya diketuai oleh saudara Astora Jabat. Sila amati tulisan beliau…,

Mengenai hadis Rasulullah

Kassim Ahmad mendakwa terdapat 40 peratus hadis yang didakwa sahih bercanggah dengan ajaran Al-Quran. Beliau menulis….

“…. Dalam kiraan kasar, saya letakkan 40 peratus yang terang-terang bercanggah dengan ajaran al-Quran. Kita tidak harus lupa akan wujudnya musuh dalam selimut yang wujud dalam semua masyarakat dalam semua zaman, yang bekerja siang malam untuk menggagalkan ajaran yang baik ini sunnatullah…”

Mengenai hukum murtad

Kassim Ahmad mendakwa murtad dibenarkan dalam Islam. Katanya…

“…kebebasan beragama adalah mutlak dalam al-Quran ; tidak ada hukuman di dunia ini. Hal ini sangat jelas. Oleh yang demikian, hukuman bunuh dalam hadis itu bercanggah dengan ajaran Al-Quran. Mereka mendakwa kebebasan ini hanya terbatas kepada sesiapa yang hendak memeluk Islam, tetapi apabila telah memeluk Islam mereka tertakluk kepada hukuman hadis ini, nyatalah ingin menterbalikkan logika. “Bebas boleh memeluk apa-apa agama, tetapi apabila telah memeluk Islam, tidak bebas keluar..”

Mengenai hukum rejam

Kassim Ahmad mengatakan hukuman rejam sampai mati bagi penzina yang sudah berkahwin itu bukannya datang daripada Al-Quran tetapi dari kitab Taurat. Jelasnya…

“…. Hukuman terhadap pasangan berzina, sama ada telah berkahwin atau tidak, dalam Al-Quran ialah seratus rotan. Hukuman dalam hadis, yang membezakan antara yang telah berkahwin dan yang tidak ialah rejam sampai mati. Hukuman ini telah diambil dari kitab Taurat. Hukuman ini nyatalah berbeza daripada hukuman dalam Al-Quran…”

Kassim Ahmad juga menuduh hadis Nabi saw telah meminda hukum Al-Quran sebagaimana tulisannya,

“…Ia tidak boleh dikatakan sama sekali penjelasan terhadap hukuman Al-Quran. Ini perubahan atau pindaan terhadap Al-Quran ! Di sini nyatalah hadis telah mengatasi Al-Quran ..!

Mengenai serban

Ketika memperlekehkan serban Kassim Ahmad menulis,

“…Umpamanya adat orang Arab lelaki ialah memekai serban atau tutup kepala, kerana ini sesuai dengan iklim di sana. Tetapi di Malaysia dengan hawanya yang panas ia tidak begitu sesuai. Adakah ini sunnah Nabi yang sunat kita ikut ? Saya tidak fikir begitu. Jika Nabi Muhammad seoorang Melayu, beliau juga akan memakai pakaian adat Melayu …”

Jawapan terhadap tulisan Kasim

Seorang penulis yang bernama Nordi Achie, pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa dari Universiti Malaysia Sabah telah membidas tulisan Kasim Ahmad dalam majalah yang sama pada bulan Ogos 2006. Saya ingin berkongsi dengan pembaca sekalian tentang apa yang ditulisnya.

Jawapan terhadap kritikan ke atas hadis Rasulullah

Jumlah 40 peratus ini bukanlah kecil. Himpunan hadis sahih dalam sahih Bukhari misalnya berjumlah lebih daripada 1000 buah - keseluruhannya tidak kurang 9082 buah termasuk hadis-hadis ulangan. Dalam kiraan kasar penulis pula, ini bermakna sekitar 400 buah hadis sahih dalam Sahih Bukhari "terang-terangan bercanggah dengan ajaran al-Quran". Jika Kassim dapat membuktikannya - meskipun bertaraf kebenarn nisbi, kajiannya mungkin menjadi sumbangan ilmu kehadisan zaman morden yang terbilang. Jika Kassim berjaya, nampaknya kita menanti-nantikan kemunculan Imam Hadis berketurunan Melayu yang pertama seumpamanya di dunia - 'Imam Kassim Ahmad'.

Jawapan terhadap kritikan ke atas hukum murtad

....mengenai kebebasan beragama, hujah Kassim mungkin masih ada kelemahannya. Penulis bersetuju sepenuhnya dengan konsep kebebasan beragama dalam konteks bebas untuk memilih (bebas masuk) mana-mana agama. Tetapi, jika kita diberikan kebebasan untuk keluar daripada Islam, Kssim perlulah memikirkan beberapa persoalan ini.

1. Tidakkah agama Islam akan dipersenda-sendakan oleh musuh-musuh Islam ? Jika kita membenarkan sesiapa pun boleh keluar daripada Islam mengikut sesuka hatinya, natijahnya Islam akan dimomokkan sebagai agama yang tidak ada prinsip ketegasan dalam memelihara agamanya sendiri. Pastinya Kassim juga tidak mahu dimomokkan sedemikian bukan ?

2. Setakat yang penulis ketahui, penganut agama Kristian dan Hindu misalnya, jelas menentang rakan-rakan seagama yang murtad. Penulis tidak pasti sama ada kitab agama mereka membenarkan murtad atau sebaliknya. Oleh anologi penulis mudah sahaja : Jika penganut agama lain pun begitu sayang dengan rakan seaagama mereka, kenapa pula penganut agama Islam membenarkan saudara seagamanya murtad sebebas-bebasnya ? Jika pintu murtad dalam Islam dibuka seluas-luasnya, tidakkah agama kita nanti disangka sedarjat barang permainan sahaja ?

Jawapan terhadap kritikan ke atas hukuman rejam

Pada hemat penulis, hukuman tersebut merupakan hasil ijtihad-tafsiaran Muhammad saw sendiri. Cuma mungkin secara kebetulan, hukuman yang sama telah termaktub dalam Taurat. Persoalannya ialah, jika benar Muhammad saw mengambil hukum tersebut daripada Taurat bagaimanakah Kassim dapat membuktikannya ? Setakat pengetahuan penulis, Muhammad saw juga tidak pernah mempunyai penasihat khas syariah yang terdiri daripada ahli kitab, dan jika ada pun, pasti sukar untuk menyabitkannya seperti dakwaan Kassim. Malah, jika benar hukuman itu diambil daripada Taurat, apakah Muhammad saw tahu membaca Taurat ...sedangkan baginda UMMI ? mungkinkah Kassim dapat menjawab persoalan-persoalan ini ?

Jawapan terhadap kononnya Nabi Muhammad saw meminda hukum al-Quran

Jika tafsiarn ijtihad Rasulullah saw mengenai kedua-dua hukuman (hukuman ke atas pesalah murtad dan pesalah penzina yang telah berkahwin) tersebut bercanggah dengan al-Quran pastilah Allah SWT akan menegur kesilapan Rasulullah saw seperti yang berllaku dalam kes Ummi Maktum (lihat surah 'Abasa 1-10). Selain itu Allah pernah menegur ketersilapan ijtihad Rasulullah saw apabila baginda menerima dalih kaum munafik untuk mengelak diri daripada menyertai Perang Tabuk. Fakta ini dirakam dalam surah at_taubah ayat 43-45.

Jawapan terhadap memperlekehkan serban

Mungkin Kassim tersilap. Sebenarnya serban sesuai digunakan di kutub yang paling sejuk malah kutub yang paling panas. Penulis pernah bertanya dengan seorang sahabat yang telah berserban lebih 20 tahun lamanya. Katanya, mula-mula kepala terasa agak panas tetapi lama-kelamaan kepala terasa sejuk dingin pula. Pengalaman ini dapat dibuktikan menerusi kaedah saintifik. Contohnya krtika kita bersenam, badan kita terasa panas. Tetapi setelah peluh menyejat (kering) badan kita terasa sejuk-dingin. Inilah antara hikmahnya.

Sekian, selamat berpisah buat sementara waktu, jika umur panjang kita berjumpa lagi.

Wallahualam.

Rujukan,
Majalah Al-Islam keluaran Julai & Ogos 2006.

Saya mula menulis buku …..


Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Mencemburui rakan seangkatan saya, Ust Zaharuddin bin Abd Rahman bekas Presiden Gabungan Mahasiwa Islam Semenanjung (GAMIS), yang juga bekas jaguh politik kampus di Universiti Malaya satu ketika dahulu, kini saya mula mengorak langkah untuk menyiapkan sebuah buku sebagai amal jariah buat bekalan di hari akhirat.

Insya Allah, buku kedua saya berjudul “ Jika misionari Kristian bertanya anda…” , mula ditulis setahun yang lalu selepas pulang dari mengerjakan fardhu Haji. Buku ini mengandungi 20 soalan yang sering ditanya oleh misionari Kristian kepada orang-orang Islam. Satu daripadanya telah pun saya paparkan dalam blog ini.

Para pembaca sekalian,

Sesungguhnya, Allah SWT sudah lama mengingatkan kita bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani sama sekali tidak akan redha ke atas umat Islam selagi mana kita tidak mengikut jejak langkah mereka. (Rujuk Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 120)


Risalah Kristian...

Untuk itu, dalam mengembangkan agama mereka, misionari Kristian pada kebiasaannya akan memetik beberapa ayat suci Al-Quran untuk meragukan orang-orang Islam terhadap kesucian wahyu Allah SWT. Justeru, bagi menangkis dakyah mereka, buku ini cuba membidas dan menjawab setiap persoalan yang mereka lontarkan.

Insya Allah, saya cuba menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan termasuk anak-anak remaja yang sering menjadi sasaran dakwah mereka. Moga-moga dengan lahirnya buku ini, akan membantu sedikit sebanyak umat Islam di Malaysia dalam menghadapi ancaman dakyah Kristian yang begitu hebat menggasak.






















Satu lagi risalah Kristian...

Setakat ini sebanyak 16 persoalan dan jawapan telah pun saya tulis, hanya tinggal 4 soalan sahaja lagi yang belum disiapkan. Saya mensasarkan untuk menyiapkan buku ini dalam tempoh 3 atau 4 bulan dari sekarang. Maklumlah, saya perlu membahagikan masa antara mengajar di sekolah, menyiapkan nota kuliah, menyampaikan ceramah di surau/masjid, menulis sesuatu di blog dan menyiapkan buku ini.

Mencari penerbit …

Sekiranya sudah siap , saya berhasrat untuk mengunjungi guru saya yang dikasihi Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusuf bin Haji Ahmad, Mufti kerajaan Negeri Sembilan. Manalah tahu kalau dia berkenan untuk menerbitkan buku ini di bawah Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Jika tidak, mungkin saya akan mencari mana-mana penerbit yang sudi menerbitkan buku ini. Sekiranya tuan-tuan mempunyai kenalan yang memiliki atau bekerja di mana-mana syarikat penerbitan bolehlah memaklumkan kepada saya. Usaha tuan akan saya hargai sepanjang hayat.

Doakan kebaikan buat saya…..Ma’as Salamah !

Tuesday, February 2, 2010

Adik-adikku, jika misionari Kristian bertanya maka jawablah…..

Kata misionari Kristian :
Anda percaya bahawa Nabi Isa tidak wafat ? Kerana dalam kitab al-Quran anda ada menyatakan hal sedemikian iaitu surah An-Nisaa’ ayat 157-158,

“Dan Karena Ucapan mereka: "Sesungguhnya kami Telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah ", padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahwa yang mereka bunuh itu adalah Isa. (157) Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana “(158).

Nanti dulu...., cuba anda lihat pula surah Ali-‘Imran ayat 55,

“(Ingatlah), ketika Allah berfirman : “Hai Isa, sesungguhnya Aku akan mewafatkan kamu dan mengangkat kamu kepadaKu serta membersihkan kamu dari orang-orang-orang kafir …” (55)

Juga dalam surah al-Maidah ayat 117,

“Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (untuk mengatakan), “Sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu”, dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada di antara mereka.. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.”

Kedua-dua ayat di atas menjelaskan kewafatan Nabi Isa bukan ? Jadi, bagaimana ayat-ayat Al-Quran kamu kontradiks antara satu sama lain ?

Jawapan :

Wahai adik-adikku,

Jawablah…, sebenarnya tidak ada kontradiks dalam ayat-ayat Al-Quran kerana perkataan Mutawaffika yang berasal daripada perkataan wafat mengandungi dua pengertian. Pengertian pertama ialah mematikan, manakala pengertian yang kedua ialah menidurkan.

Contoh Al-Quran menggunakan perkataan wafat yang bermakna tidur boleh dilihat dalam surah Al-An’aam ayat 60,

“Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari, Kemudian dia membangunkan kamu pada siang hari .. ”

Justeru, untuk menentukan sama ada perkataan mutawaffika yang terdapat dalam Al-Quran surah al-‘Imran ayat 55 dan surah al-Maidah ayat 117, adakah pengertiannya membawa maksud mewafatkan (mematikan) Nabi Isa atau menidurkan baginda, maka umat Islam perlu rujuk kepada surah An-Nisaa ayat 157-158 yang menerangkan bahwa Nabi Isa a.s tidak disalib dan tidak wafat (mati).

Oleh itu perkataan mutawaffika dalam surah Al-‘Imran ayat 55 dan surah al-Maidah ayat 117 membawa maksud menidurkan atau merehatkan Nabi Isa a.s. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui bagaimana baginda ditidurkan.

Wallahualam,

p/s : Petikan dari buku yang bakal saya siapkan bertajuk “ Jika misionari Kristian bertanya anda…”