Monday, March 29, 2010

Allah yang menghidup dan mematikan...

Tafsir Al-Quran
Surah Az-Zumar ayat 42.


Firman Allah SWT,

"Allah (Yang Menguasai Segala-Galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati : dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan jiwa yang lain (kebadannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir untuk memahaminya)".

Huraian ayat.

“Allah (Yang Menguasai Segala-Galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya,”

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang sudah meninggal dunia bukanlah bermakna rohnya habis sebegitu sahaja kerana roh itu akan kembali kepada yang Empunya iatu Allah SWT. Dialah yang akan memelihara roh itu dengan baik. Firman-Nya lagi,

“..dan jiwa orang yang tidak mati : dalam masa tidurnya..”

Maksudnya ketika manusia tidur, samalah keadaannya seperti mati. Dari zahir hanya nafasnya sahaja yang turun naik, sedangkan rohnya berada di bawah pemeliharaan Allah SWT. Firman-Nya lagi,

“..kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan jiwa yang lain (kebadannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan..”

Maksudnya bagi mereka yang Allah SWT sudah tentukan ajalnya, rohnya ditahan dalam pemeliharaan Allah SWT, tidak dikembalikan lagi ke tubuh jasadnya. Manakala bagi mereka yang belum diputuskan oleh Allah SWT untuk pulang ke sisi-Nya, roh mereka akan dikembalikan ke tubuh mereka sehinggalah sampai ke satu tempoh yang ditentukan oleh Allah SWT.

Kadang-kadang ada juga orang yang tidur selesa,namun rohnya tidak dikembalikan semula oleh Allah SWT ke tubuhnya, dengan kata lain dia meninggal dunia ketika tidur. Sebab itulah Rasulullah saw mengajar kita sebelum tidur,

إذا جاء أحدكم إلى فراشه فلينفضه بصنفة ثوبه ثلاث مرات وليقل : بسمك وضعت جنبى وبك أرفعه , إن أمسكت نفسى فاغفرلها وإن أرسلتها فاحفظها بما تحفظ به عبادك الصالحين

Maksudnya : Apabila seseorang di antara kamu hendak ke tempat tidurnya, hendaklah dia kibaskan tempat tidurnya dengan hujung kain (selimutnya) tiga kali dan hendaklah membaca doa (ini ): Dengan nama Engkau ya Tuhanku, aku letakkan jasadku dan dengan nama Engkau pula Engkau akan angkatkan dia (rohku). Jika rohku Engkau tahan, maka Engkau ampunkanlahnya dan jika rohku Engkau lepaskan (kembalikan) , maka sudilah kiranya Engkau memeliharanya sebagaimana Engkau pelihara hamba-hamba Engkau yang soleh. (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nasaei dan Ibnu Majah)

Kemudian Nabi saw juga mengajar kita supaya berdoa selepas bangun daripada tidur,

ألحمد لله الذى أحيانا بعد ما أماتنا وإليه النشور

Maksudnya : “ Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku sesudah Dia mematikanku , dan kepada-Nyalah jua kita akan dikembalikan. ( HR Bukhari)

Firman Allah SWT dihujung ayat ini,

“Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)”.

Maksudnya, di hujung ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa soal mengenai roh, soal mengenai hidup dan dan soal mengenai mati adalah hak Allah SWT yang menjadi tanda kekuasaan-Nya buat mereka yang mahu berfikir dan mengambil iktibar.

Pengajaran ayat

Pengajaran daripada ayat ini ialah hidup dan mati kita adalah dibawah ketentuan Allah SWT. Justeru manusia perlulah bersedia untuk menerima kedatangan maut yang pada bila-bila masa.

Firman Allah SWT dalam surah Munafiqun ayat 10-11.

"Lalu mereka berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku walaupun sejenak ? maka, dengan waktu yang singkat itu membolehkan Aku bersedekah dan Aku termasuk orang-orang yang saleh?". Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang, apabila telah datang waktu kematiannya (menjemput) dan Allah Maha mengenal apa yang kamu kerjakan". (Surah Munafiqun ayat 10-11)

Wallahualam.

Saturday, March 27, 2010

Sifat-sifat orang munafik

Rasulullah saw berdepan dengan golongan munafik di bumi Madinah

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 8-16,

" Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian," pada hal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.(8)

Selepas Allah SWT menceritakan perihal sifat-sifat orang yang beriman pada mukaddimah surah, di susuli pula dengan sifat-sifat orang kafir, kemudian Allah SWT menyatakan pula golongan yang ketiga iaitu puak munafik yang menzahirkan keimanan tetapi pada hakikat sebenarnya mereka kufur dan tidak beriman kepada Allah SWT.

"Mereka cuba hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka sebenarnya hanya menipu dirinya sendiri sedangkan mereka tidak sedar".(9)

Maksudnya mereka cuba hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman dengan cara mengelabui mata orang ramai kononnya mereka pun mengerjakan ibadah, bersedekah dan sebagainya. Pada hakikatnya apa yang mereka buat itu bukanlah datang daripada perasaan ikhlas, tetapi kerana terpaksa, bimbang tidak mahu dipinggirkan oleh masyarakat Islam.

Di akhir ayat Allah menjelaskan mereka yang menipu ini sebenarnya menipu diri mereka sendiri. Maksudnya kalau dengan manusia bolehlah mereka menipu tetapi dengan Allah SWT mereka sama sekali tidak boleh menipu. Sampai masanya nanti Allah SWT akan menzahirkan kemunafikkan mereka.

"Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksaan yang sangat pedih, disebabkan mereka berdusta".(10)

Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa dalam hati orang munafik itu ada penyakit. Maksud penyakit di di sini ialah penyakit jiwa seperti dengki, ego, dendam kesumat, serta menganggap diri mereka amat pintar. Pada sangkaan mereka perbuatan menipu, bohong dan berpura-pura di depan orang ramai itu tidak akan terbongkar, tetapi jangkaan mereka meleset, kerana Allah SWT akhirnya membongkarkan pembohongan merekasehingga diketahui oleh orang-orang yang beriman.

Bila Allah SWT bongkarkan pembohongan mereka, maka bertambahlah terseksa jiwa mereka kerana malu yang amat sangat dengan orang ramai. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT Lalu Allah SWT tambahkan lagi penyakitnya.

Dihujung ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa mereka akan di azab dengan azab yang sangat pedih, maksudnya kalaulah di dunia lagi mereka sudah mendapat seksaan yang yang amat parah dalam bentuk penyakit jiwa, tidak tenteram, gelisah, dengki, ego dan bermacam-macam lagi, apatah lagi akhirat kelak yang mana Allah SWT akan menyediakan mereka sekaan yang sangat dahsyat dan amat pedih disebabkan perbuatan mereka yang berdusta.

Dan bila dikatakan kepada mereka:"Janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi". mereka menjawab: "Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengadakan kebaikan."(11)

Menurut tafsir Al-Azhar, ayat ini ditujukan kepada golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bi Salul. Sebelum Nabi saw datang ke Madinah, Abdullah adalah tokoh yang dihormati oleh penduduk Aus dan Kahzraj. Namun apabila orang-orang Madinah tahu ketidakjujuran Abdullah, setelah Rasulullah saw tiba di Madinah maka mereka melantik Rasulullah saw sebagai pemimpin Madinah.

Sejak kedatangan Nabi saw, Abdullah bin Ubai bin Salul kerjanya hanya mencemuh dan memperolok-olokkan dakwah Nabi saw daripada belakang. Hati mereka sakit apabila melihat orang Madinah baik dan rapat dengan Nabi saw. Justeru dengan lempar sembunyi tangan, mereka berusaha menghalang orang ramai melakukan kebaikan.

Apabila mereka diberi nasihat supaya jangan buat kerosakkan yang boleh memecah belahkan perpaduan umat , mereka menjawab tujuan mereka tidak lain hanyalah untuk melakukan kebaikkan sahaja. Ibarat kata pepatah lidah tidak bertulang, kata-kata mereka penuh dengan janji manis padahal isinya kosong. Sebaliknya Allah SWT menyangkal dakwaan mereka yang kononnya mereka melakukan kebaikan. FirmanNya,

"Ketahuilah, Sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerusakan, tetapi mereka tidak sedar".(12)

HAMKA menyatakan maksud tidak sedar ialah mereka tidak sedar akibat yang berlaku ke atas mereka di belakang hari hasil perbuatan mereka yang mencemuh Rasulullah saw dan orang-orang yang beriman. Sudah tentulah perbuatan mereka itu menjerut leher mereka sendiri.

Apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang yang telah beriman." mereka menjawab: "Adakah patut kami beriman seperti orang-orang bodoh yang telah beriman ?”. Ketahuilah sesungguhnya mereka itulah yang sebenarnya bodoh, tetapi mereka tidak sedar". (13)

Yang mereka maksudkan orang-orang yang bodoh itu ialah sahabat-sahabat Nabi yang telah beriman kepada Allah SWT. Apabila memeluk Islam, darjat para sahabat dengan golongan miskin dan hamba-hamba sahaya yang memeluk Islam adalah sama. Kerana Islam mengajar tidak ada perhambaan sesama manusia, sebab semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT. Inilah yang tidak boleh diterima oleh golongan munafik. Mereka menganggap bergaul dengan orang miskin dan hamba itu tidak sepadan dengan darjat mereka. Kesimpulannya sifat sombong memang sudah terpasak di dalam hati orang-orang munafik.

Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami Telah beriman". dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok sahaja."(14)

Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan dengan jelas perangai orang-orang munafik. Bila di depan orang-orang yang beriman, mereka menyatakan bahawa mereka juga beriman tetapi apabila mereka berjumpa sesama rakan-rakan yang lain (yang sama-sama jadi syaitan), atau ketua-ketua mereka, mereka akan kata, apa yang mereka akui kononnya mereka beriman itu hanyalah palsu semata-mata. Tujuannya hanyalah untuk mengelabui mata orang-orang Islam.

Mereka rasa amat puas kerana dapat menipu orang-orang Islam secara bulat-bulat. Lantas Allah SWT berfirman,

"Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka".(15)

Orang-orang munafik ini tidak sedar siapa yang sebenarnya mereka olok-olokkan itu ? Mereka ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad saw yang disokong oleh wahyu, dan wahyu ini pula datangnya daripada Allah SWT. Tegasnya mereka seolah-olah juga memperolok-olokkan Allah. Mana mungkin Allah SWT boleh diperolok-olokkan. Maka dengan sebab itulah Allah SWT menyatakan dengan tegas, Dia akan memperolok-olok dan mengejek-ejek mereka pula dengan balasan azab yang setimpal.

Mereka juga dibiarkan sesat tanpa pedoman, hidup penuh dengan kepura-puraan, hati mereka sebenarnya gelisah, sebab mereka sebenarnya tahu apa yang mereka buat itu salah. Tapi apakan daya oleh kerana perasaan ego yang menguasai diri dan tanpa hidayah Allah SWT, maka Allah SWT biarkan mereka hidup sesat dengan jiwa yang sakit berpanjangan. Kemudian Allah SWT menyatakan lagi perihal orang munafik itu dengan firmanNya,

"Mereka Itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, Maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk ".(16)

Ertinya orang-orang munafik itu telah di datangkan petunjuk kebenaran. Hati kecil mereka mengakui bahawa pertunjuk yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw itu betul. Tetapi kerana rayuan hawa nafsu dan syaitan yang menolak pertunjuk itu maka terjadilah perjuangan batin. Akhirnya mereka kalah dalam perjuangan batin itu, mereka menolak kebenaran dan sanggup menerima kesesatan. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT mereka membeli kesesatan dengan pertunjuk. Justeru orang yang seperti ini tidak akan mendapat pertunjuk daripada Allah SWT.

Wallahualam.

Dikuliahkan oleh,

Ust Mohd Hishamuddin bin Mansor.

Monday, March 15, 2010

Roh suami datang menyetubuhi isteri ?

Gambar hiasan

Bagaimana pandangan Islam tentang dakwaan seorang isteri yang mengadu bahawa suaminya telah meninggal dunia tiga bulan yang lalu. Tetapi yang pelik, boleh dikatakan setiap malam arwah suaminya datang kepadanya dan menyetubuhinya ?

Jawapan

Jika kejadian aneh di atas berlaku atas nama mimpi, maka ia tidak boleh dipertikaikan sama sekali, apatah lagi jika si isteri memang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah SWT lebih dahulu daripadanya. Kerinduan si isteri pada suaminya sehingga terbawa-bawa ke alam mimpi.

Adapun jika kejadian aneh ini berlaku dalam keadaan sedar, maksudnya bukan khayalan atau mimpi, yang mana si isteri yakin yang datang menggaulinya itu adalah suaminya yang telah meninggal dunia, maka jawapan Islam ; hal ini tidak mungkin boleh berlaku, kerana orang yang telah meninggal dunia, mereka telah berpindah ke alam Baqa’- alamul Khulud – yang bermula daripada alam kubur.

Tetapi jika ia berlaku juga, seperti mana yang di dakwa oleh si isteri, maka yang datang menggaulinya itu bukan suaminya tetapi ia dilakukan oleh makhuk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, ia di sebut di dalam Al-Quranul Karim sebanyak 12 kali. Misalnya dalam surah As-Saaffaat ayat 51 Allah SWT berfirman,

قال قائل منهم انى كان لى قرين (51)

Maksudnya : Salah seorang (yang telah meninggal dunia yang menghadapi balasan Allah SWT) berkata : Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu ada seorang Qareen.

Qareen adalah satu jenis daripada Jin atau pun Syaitan. Dalam tafsir seperti Al-Qurtubi dan Al-Maraghi ia disebut sebagai kawan atau teman. Manakala insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya, maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Firman Allah SWT,

ومن يكن الشيطن له قرينا فساء قرينا (38)

Maksudnya : Dan sesiapa yang mengambil Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah Syaitan. (Suran An-Nisa, ayat 38)

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan Syaitan dan meminta pertolongan daripadanya, maka jadilah dia Qareen. Selepas dia meninggal dunia , Qareen yang selama ini menjadi sahabat karibnya akan melakukan berbagai-bagai kejahatan termasuklah dia boleh mengganggu keluarga si mati sehingga mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.

Dan inilah yang terjadi ke atas perempuan tersebut.

Rujukan : -

www.darussyifa.org

Saturday, March 13, 2010

Kisah Nabi Adam a.s dan Iblis ...

Firman Allah SWT,

“ Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat : “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam ”. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis ; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir”. (Al-Baqarah 034)

Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan Nabi Muhammad saw bahawa Dia (Allah) telah memerintahkan para Malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam a.s, maka Malaikat telah melaksanakan perintah tersebut dengan patuh melainkan Iblis yang sombong. Disebabkan itu maka jadilah ia dari golongan kafir.

Ada beberapa persoalan, yang pertama ayat ini ditujukan kepada malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam a.s, soalannya mengapa Iblis juga perlu sujud ? Adakah dia juga termasuk sebagai makhluk yang bernama malaikat ?

Jawapannya hendaklah kita merujuk surah Al-Kahfi ayat 50,

“Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada malaikat : “Sujudlah kamu kepada Adam ”, lalu mereka sujud melainkan Iblis ; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya… ”

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa Iblis bukanlah malaikat, sebaliknya ia adalah makhluk yang berasal daripada Jin.

Persoalan seterusnya, kalau dia bukan malaikat mengapa dia perlu sujud ?

Jawapannya, walaupun dia bukan malaikat, tetapi dia tinggal bersama dengan para malaikat yang wajib taat segala perintah Allah SWT. Samalah seperti warga asing yang tinggal di Malaysia walaupun dia bukan warganegara Malaysia, tetapi dia wajib patuh kepada undang-undang di Negara Malaysia.

Dr. Nurcholish Majid seorang pemikir Islam Liberal di Indonesia (M 2007) yang sealiran dengan Gus Dur ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa keengganan Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam a.s menunjukkan bahawa tahap keimanannya lebih tinggi daripada malaikat kerana Iblis tidak mahu sujud yakni menyembah kepada mana-mana makhluk melainkkan hanya kepada Allah SWT sahaja. Di akhirat kelak Iblis bakal memperolehi syurga yang tertinggi melebihi syurga para Nabi dan Rasul.

Ini merupakan satu tafsiran yang sesat. Sujud yang dimaksudkan di sini bukanlah Sujud seperti menyembah, tetapi sujud menghormati Nabi Adam a.s sebagai makhluk yang istimewa untuk dijadikan khalifah di atas muka bumi.

Firman Allah SWT seterusnya,

“Dan Kami berfirman: "Wahai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu di syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim ”(Al-Baqarah 035)

Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan bagaimana Nabi Adam dan isterinya Hawa diberikan kebebasan oleh Allah SWT untuk tinggal dalam syurga dan menikmati segala makanan yang terdapat dalamnya.

Para ulama berbeza pandangan mengenai Syurga yang didiami oleh Nabi Adam a.s, adakah syurganya sama seperti syurga yang Allah SWT janjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di akhirat nanti. Menurut Imam Sya'rawi, syurga yang didiami oleh Nabi Adam a.s adalah syurga yang bersifat sementara kerana syurga yang bersifat kekal tidak boleh dimasuki Iblis dan hanya boleh dimasuki oleh manusia selepas melalui proses hisab.

Di syurga ini kebebasan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Adam dan Hawa di tidak mutlak, ada perkara lain yang mereka tidak boleh buat iaitu jangan mendekati sebatang pokok dengan maksud tidak boleh memakan buah dari pokok tersebut.

Apakah nama pokok tersebut ? Al Quran dan Hadis tidak ada menerangkan nama pokok tersebut. Namun begitu ada pendapat mengatakan nama pokok tersebut ialah pokok khuldi. Ini berdasarkan surah Taha ayat 120,

“ Setelah itu maka Syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata : Wahai Adam mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon (khuldi) yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan lenyap ?”

Tetapi pendapat ini dipertikaikan kerana nama pokok khuldi itu adalah nama yang diberikan oleh Syaitan bukan nama yang diberikan oleh Allah SWT. Kesimpulannya, hanya Allah SWT sahajalah yang Maha Mengetahui apakah nama pokok tersebut.

Ayat ini memberi pengajaran kepada kita bahawa Allah SWT memberi kebebasan kepada umat Islam untuk tinggal dui dunia ini sebagaimana Allah SWT memberi kebebasan kepa Nabi Adam dan Hawa untuk tinggal di syurga. Namun kebeasan yang Allah SWT beri tidak bersifat mutlak.

Sebagai contoh Islam memberi kebebasan untuk manusia memeluk Islam, tetapi tidak memberi kebebasan untuk keluar dari Islam. Jika seorang Muslim telah keluar dari Islam (murtad), maka dia diminta bertaubat dan jika dia enggan, maka hukuman hudud wajib dijatuhkan ke atasnya yakni dihukum mati.

Islam juga memberi kebebasan kepada umatnya untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat tapi janganlah sampai membawa kepada pemikiran yang sesat dan kufur seperti pemikiran Islam Liberal, pluarisme agama dan sebagainya.

Firman Allah SWT lagi,

“ Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari Syurga itu dan menyebabkan mereka di keluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya ; dan Kami berfirman : Turunlah kamu ! Sebahagian dari kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain ;dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati) .”(Al-Baqarah 036)

Setelah itu datanglah Syaitan menghasut mereka sehingga mereka makan buah yang dilarang itu.lalu mereka tergelincir dari Syurga. Persoalan, bagaimana Nabi Adam boleh melakukan kesalahan sedangkan setiap Nabi itu maksum, terpelihara daripada melakukan dosa ?

Untuk menjawab persoalan ini hendaklah merujuk surah Taha ayat 115.

“ Dan demi sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa ; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh ”.

Daripada ayat ini jelas kepada kita bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Nabi Adam, bukanlah satu kesalahan yang disengajakan sehingga baginda dihukum berdosa. Sedangkan Allah SWT sama sekali tidak akan mengambil tindakan atau memberi balasan terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan tanpa sengaja. Firman Allah dalam surah Al-Ahzaab ayat 5,

“ Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukanny, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Oleh itu tidak boleh sama sekali kita membuat andaian, sekiranya Nabi Adam tidak memakan buah yang dilarang oleh Allah SWT itu maka kita semua hari ini berada di syurga.

Sebab kalau kita rujuk dalam al-Quran Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 30,

“Dan ingatlah wahai Muhammad ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, Sesungguhnya Aku menjadikan seorang khalifah di atas bumi (Adam) …”

Daripada ayat ini fahamlah kita bahawa Nabi Adam a.s diturunkan ke dunia oleh Allah SWT kerana Dia mahu menjadikan Adam sebagai khalifah. Sama ada Nabi Adam makan atau tidak buah yang dilarang itu, baginda tetap akan diturunkan dari syurga ke dunia.

Dalam surah al-A’raaf ayat 23,

“ Mereka berdua merayu : Wahai Tuhan kami, kami telah menganiyai diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi ”.

Persoalan, kalaulah Nabi Adam a.s tidak berdosa, mengapa dia perlu minta ampun dengan Allah SWT ? Jawapannya, Nabi Adam a.s tetap minta ampun dengan Allah SWT kerana mahu memberi pengajaran kepada cucu cicitnya supaya minta ampunlah dengan Allah SWT apatah lagi jika melakukan kesalahan dengan sengaja.

Perbezaan kesalahan Nabi Adam dan Iblis

1. Kesalahan Nabi Adam dilakukan dengan tidak sengaja, kesalahan Iblis dilakukan dengan sengaja

2. Nabi Adam a.s bila sudah melakukan kesalahan, dia mengaku kesalahan yang dilakukan lalu meminta ampun kepada Allah, sedangkan Iblis dia tidak mahu mengaku kesalahan yang dilakukan dan tidak mahu meminta ampun kepada Allah

3. Allah ampunkan dosa Nabi Adam tetapi Iblis diistiharkan kafir.

Kesimpulannya

Jika kia melakuan kesalahan, ayuh segera mmengaku kesalahan kita dan minta ampun kepada Allah SWT. Jangan jadi seperti Iblis yang cuba hendak menegakkan benang yang basah walau pun dia tahu perbuatannya adalah salah.

Wallahualam.

Nota Kuliah Subuh di Surau Jiboi pada 14.3.2010

Friday, March 12, 2010

Etika memberi dan menjawab salam



Salam bererti damai, sejahtera dan selamat. Salah satu nama Allah ialah As-Salam. Memberi salam termasuk salah satu daripada hak persaudaraan dalam Islam sebagaimana hadis Rasulullah saw,

عن أبي هريرة أن رسول الله (ص) قال حق المسلم على المسلم ست قيل ما هن يا رسول الله ؟ قال إذا لقيته فسلم عليه وإذا دعاك فأجبه وإذا استنصحك فانصح له وإذا عطس فحمد الله فسمته وإذا مرض فعده وإذا مات فاتبعه

Maksudnya : “ Daripada Abu Hurairah r.anhu katanya Rasulullah saw bersabda : Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain ada enam perkara. Lalu baginda ditanya, apakah enam perkara itu ya Rasulullah ? Baginda menjawab, Bila engkau beremu dengannya ucapkanlah salam, bila dia mengundangmu maka penuhilah undangannya, Jika dia meminta nasihat daripadamu maka berilah nasihat, Jiika dia bersin lalu bertahmid maka doakanlah rahmat untuk dirinya, Jika dia sakit maka ziarahilahnya dan jika dia meninggal dunia maka iringilah jenazahnya ke kubur”.

Sabda Rasulullah saw,

إذا التتقى الرجلان المسلمان فسلم أحدهما على صاحبه فإن أحبهما إلى الله أحسنهما بشر الصاحبه فإذا تصافحا نزلت عليهما مائة رحمة للبادئ تسعون
وللمصافح عشرة

Maksudnya : Apabila berjumpa dua orang Islam, lalu yang seorang mengucapkan salam kepada yang lain, maka yang paling disukai Allah dia antara keduanya ialah barangsiapa yang mukanya lebih berseri-seri. Dan apabila mereka bersalam, Tuhan menurunkan 100 rahmat. Untuk yang memulai menghulurkan tangan diberikan 90 dan untuk yang menyambut tangan yang dihulurkan itu mendapat 10.



Mengucapkan salam membuktikan rasa kecintaan seseorang kepada saudaranya yang seagama. Ia menggambarkan rasa kebersihan hatinya daripada dengki, dendam, kebencian, kesombongan dan rasa memandang rendah terhadap orang lain. Seseorang muslim yang bebas daripada sifat ini, insya Allah bakal beroleh ganjaran besar (syurga) di akhirat kelak. Sabda Rasulullah saw,

لا تدخلو الجنة حتى تؤمنوا , ولا تؤمنوا حتى تحابوا أولا أدلكم على شئ إذا فعلتموه تحاببتم ؟ أفشوا السلام بينكم

Maksudnya : Kamu tidak akan masuk ke syurga sehinggalah kamu semua beriman, kamu belum beriman dengan sempurna sehingga kamu saling menyayangi. Apakah kamu tidak suka sekiranya aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu amalkan, pasti kamu akan saling sayang menyayangi. Sebarkanlah salam di antara kamu.

Dalam hadis yang lain,

إن رجلا سأل رسول الله (ص) : أى الإسلام خير ؟ قال : تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف

Maksudnya : Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw : Apakah amal Islam yang paling baik ? Nabi saw menjawab : Kamu memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan yang engkau tidak kenal.

Kata Abdullah bin Salam , semasa Rasulullah saw sampai di Yathrib baginda bersabda :

سمعت رسول الله (ص) يقول : يا أيها الناس أفشوا السلام وأطيعوا الطعام وصلوا الأرحام وصلوا والناس نيام تدخلوا الجنة بسلام

Maksudnya : Aku mendengar Nabi saw bersabda, Wahai manusia sebarkanlah salam, berilah makanan kepada yang memerlukan, pereratkanlah hubungan silaturrahim, dan bangunlah solat pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan sejahtera. (HR ad-Darimi)

Adab memberi salam

Sabda Rasulullah saw,

يسلم الراكب الماشى على القاعد والقليل على الكثير

Maksudnya : Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada pejalan kaki, orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai.



Berdasarkan hadis ini, adalah sunnah adalah orang menaiki kendaraan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki, dan orang yang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk, orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang banyak, dan orang yang lebih muda memberi salam kepada orang yang lebih tua.

Disunatkan memberi salam di saat masuk ke suatu rumah sekalipun rumah itu kosong, karena Allah telah berfirman yang artinya:

Dan apabila kamu akan masuk ke suatu rumah, maka ucapkanlah salam atas diri kalian" (An-Nur: 61)

Lafaznya ialah , Assalamu `alaina wa `ala `ibadillahis shalihin", sebagaimana sabda Rasulullah saw,

"Apabila seseorang akan masuk ke suatu rumah yang tidak berpenghuni, maka hendaklah ia mengucapkan : Assalamu `alaina wa `ala `ibadillahis shalihin" (HR. Bukhari )
Al-Albani).

Hukum kanak-kanak memberi dan menjawab salam

Menurut Imam an-Nawawi rhm sekiranya yang memberi salam itu kanak-kanak maka wajib orang dewasa menjawabnya. Tetapi jika orang dewasa memberi salam kepada kanak-kanak maka mereka tidak wajib menjawabnya kerana tidak termasuk sebagai ahlul fardhi.















Sekiranya seseorang yang sudah baligh, memberi salam kepada satu jemaah yang terdapat kanak-kanak di dalamnya, lalu kanak-kanak menjawab salam tersebut maka para ulama berbeza pandangan. Ada pendapat mengatakan sudah lepas tanggungjawab ahli jemaah yang dewasa untuk menjawab salam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar as-Syasyi dan al-Musstazhari dikiaskan dengan masalah jika kanak-kanak azan maka lepaslah tuntutan orang dewasa untuk melaungkan azan.

Pendapat kedua yang paling sahih mengatakan jawapan salam kanak-kanak itu tidak melepaskan kewajipan orang-orang dewasa menjawabnya, sebab kanak-kanak tidak dianggap sebagai ahlul fardhi. Sedangkan menjawab salam itu hukumnya adalah fardhu. Inilah pandangan al-Qadhi Hussein dan al-Mutawalli.

Berkirim salam

Apabila seseorang menyampaikan salam kepada seseorang maka hendaklah orang yang menerima salam itu menjawabnya dengan segera dengan lafaz Wa’alahis Salam. Sunat juga hukumnya jika turut mendoakan orang yang membawa salam itu dengan lafaz Wa’alaika wa’alaihis Salam. Hal ini sabit dengan sebuah hadis Nabi saw yang datangnya dari Ghalib al-Qaththaan berkata :

بعثنى أبي إلى رسول الله (ص) فقال : إئته فأقرئه السلام , فأتيته فقلت : إن أبي يقرئك السلام , فقال : عليك السلام وعلى أبيك السلام

Maksudnya : Ayahku mengutusku untuk menemui Rasulullah saw maka katanya : Datangilah Rasulullah, sampaikan salamku kepadanya. Aku pun datang kepada Rasulullah lalu aku kataan kepada baginda, Sesungguhnya ayahku mengucapkan salam kepadamu. Nabi saw menjawab, ‘Alaika wa’ala Abikas Salam.

Hukum salam antara lelaki dan perempuan

Berpandukan pendapat jamhur (kebanyakan) ulama’ yang berasaskan hadis dan amalan Rasullah s.a.w. serta para sahabat bahawa seorang, lelaki boleh memberi salam kepada wanita, jika sekiranya ia tidak menimbulkan sebarang fitnah.

Dalam sahih al-Bukhari disebutkan bahawa Ummu Hani’ binti Abu Talib berjumpa Rasullah s.a.w. pada tahun pembukaan Makkah dan terus memberi salam kepada baginda, lalu pun menjawab salamnya.

Sebuah lagi hadis, yang diriwayatkan oleh Jarir yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah berjalan dan berjumpa sekumpulan wanita lalu baginda memberi salam kepada mereka.”Saidina Umar bin al-Khattab juga pernah memberi salam ketika berjumpa dengan beberapa orang wanita sambil berkata: “Aku adalah utusan Rasullah kepada kamu sekelian.”

Ibnu Aun pernah bertanya kepada Ibnu Sirin: “Bolehkah saya memberi salam kepada seorang perempuan?” Jawabnya: “Tidak ada salahnya”. Demikianlah pandangan para ulama mengenai keharusan kaum lelaki memberi salam kepada perempuan dan juga sebaliknya.

Namun menurut Imam Al Nawawi rhm: " Jika seseorang perempuan yang ajnabi(bukan mahram) itu cantik dan di takuti timbul fitnah maka adalah haram memberi salam kepadanya. Salam itu tidak harus dijawab oleh perempuan itu begitulah sebaliknya jika yang memberi salam itu perempuan maka tidak wajib salam itu di jawab oleh si lelaki.

Memberi salam serentak

Apabila dua orang saling bertemu dan mengucapkan salam serentak, maka menurut al-Qadhi Hussein dan Abu Sa’ad al-Mutawalli, kedua orang itu dihukumkan sebagai pemberi salam yang wajib menjawab salam masing-masing.

Manakala satu lagi pendapat iaitu Asy-Syasi dan dipersetujui oleh Imam an-Nawawi, jika salah seorang dari kedua yang memberi salam itu lewat maka yang lewat itulah yang perlu menjawab salam tetapi jika serentak maka memadailah salah seorang daripadanya menjawab.

Hukum mengucapkan ‘Alaikas Salam

Para ulama berbeza pendapat jika seseorang memberi salam dengan lafaz ‘Alaikas salam. Menurut Imam Abu Hassan al-Wahidi ucapan salam itu wajib dijawab walaupun lafaznya menyalahi kebiasaan. Manakala Imam al-Ghazali pula berpendapat hukum mengucapkan salam seperti itu adalah makruh, namun menjawabnya adalah wajib.

Dalam sebuah hadis, dari Abu Jazyl Hujaimi r.a berkata,

أتيت رسول الله (ص) فقلت : عليك السلام يا رسول الله , قال : لا تقل عليك السلام , فإن " عليك السلام " تحية الموتى

Maksudnya : Aku datang kepada Rasulullah saw lalu berkata, ‘Alaikas Salam ya Rasulullah. Nabi saw menjawab, Janganlah engkau berkata ‘Alaikas salam kerana ucapan ‘Alaikas Salam adalah salam orang mati. (HR Abu Daud, Tirmizi dll)

Hukum jawab salam orang kafir

Sabda Rasulullah saw,

"Janganlah kamu memulai salam kepada orang Yahudi dan jangan kepada orang Nasara".(H.S.R.Muslim).

Haram hukumnya menjawab salam daripada orang kafir. Dalilnya ialah sebuah hadis yang datanya dari Qatadah, dari Anas bin Malik (radiallahua’anh) bahawa sahabat Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah bertanya kepada baginda:

“Bahawa ahli kitab (Yahudi dan Kristian) memberi salam kepada kami, maka bagaimana kami membalasnya? Baginda menjawab:

إذا سلم عليكم أهل الكتاب فقولوا : وعليكم

Maksudnya : Apabila Ahlul Kitab memberi salam kepada kalian maka jawablah dengan ucapan wa’alaikum”. (Hadis Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibn Majah)

Hadis di atas jelas menyatakan bahawa orang Islam tidak boleh menjawab salam orang Yahudi, Kristian dan orang-orang Musyrikin. Begitu juga memberi salam kepada mereka kerana lafaz salam menumbuhkan perasaan kasih sayang, sedangkan berkasih sayang dengan orang kafir adalah dilarang sama sekali. Firman Allah SWT,

Maksudnya : “Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya...” (al-Mujaadilah, ayat 22).

Justeru, para ulama’ bersetuju bahawa cara yang dibolehkan menjawab salam orang bukan Islam hanyalah sekadar menyebut ucapan “wa’alika” atau “wa’alaikum” dan ia hendaklah dikhususkan kepada kafir zimmi sahaja.

Jika seseorang muslim melalui suatu kumpulan manusia yang terdiri dari orang Islam dan bukan Islam maka disunatkan memberi salam dengan niat ditujukan kepada orang Islam sahaja. Dalilnya ialah hadis yang datangnya dari Usamah bin Zaid r.a katanya, Azkar m/s 498

إن النبي (ص) مر على مجلس فيه أخلاط من المسلمين والمشركين عبده الأوثان واليهود فسلم عليهم النبي (ص)

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi saw melewati satu majlis yang di dalamnya bercampur antara umat Islam dan kaum musyrikin penyembah berhala serta orang-orang Yahudi maka Nabi saw memberi salam kepada mereka.

Situasi yang makruh ketika memberi salam

Walaupun penyebaran salam itu sangat dituntut, akan tetapi ada tempat dan ketikanya kita dimakruhkan mengucapkannya. Adapun keadaan yang dimakruhkan itu antara lain ialah:

Makruh memberi salam kepada orang yang sedang buang air atau istinjak. Sekiranya orang seperti ini diberi salam, tidak wajib ke atasnya menjawab salam tersebut. Makruh memberi salam kepada orang yang sedang tidur atau mengantuk atau kepada orang yang sedang azan, iqamah dan sembahyang.

Makruh memberi salam kepada orang yang sedang makan ketika makanan berada di mulutnya. Sekiranya dia diberi salam ketika itu, maka tidak wajib ke atasnya menjawab. Sekiranya dia makan tetapi tidak ada makanan dalam mulutnya, maka tidak mengapa memberi salam kepadanya dan salam seperti itu wajib dijawab.

Makruh juga memberi salam ketika khutbah Jumaat sedang diperdengarkan. Menurut Imam an-Nawawi rhm, makruh memberi salam kepada jamaah yang hadir, kerana mereka sedang khusyuk mendengar khutbah apatah lagi disuruh apabila khatib sudah berada di atas mimbar.

Makruh juga memberi salam kepada orang yang sedang membaca al-Qur’an. Menurut Imam Abu al-Hasan al-Wahidi, adalah lebih afdal tidak memberi salam kepadanya. Jika dia diberi salam, cukup baginya menjawab dengan isyarat. Akan tetapi jika dijawabnya dengan lisan, sambungan bacaan al-Qurannya dengan Isti‘adzah.

Makruh memberi salam kepada orang yang membaca talbiah ketika berihram, kerana memutuskan talbiah itu adalah makruh. Makruh memberi salam dengan isyarat, ini berdasarkan keterangan dari Jabir r.a bahawa Nabi saw bersabda:

“Janganlah kamu memberi salam seperti orang-orang Yahudi, kerana sesungguhnya mereka memberi salam menggunakan dengan kepala, tangan dan isyarat.”(Hadis riwayat an-Nasa’i)

Adapun larangan ini ditujukan khas bagi sesiapa yang mampu memberi salam tetapi tidak mengucapkannya, kecuali jika ada keuzuran, seperti orang bersembahyang, bisu dan orang yang diberi salam itu jauh jaraknya sepertimana yang diriwayatkan daripada ِAsma’ r.anha, beliau berkata:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melalui dalam masjid dan dalamnya terdapat sekumpulan wanita yang duduk, maka Baginda memberi isyarat salam dengan tangan Baginda.”(Hadis riwayat at-Termizi)

Wallahualam.

Kuliah Maghrib,
Surau Kolej Height, Surau al-Amin, Surau Desa Rhu, Masjid Ampangan dan Sikamat.

Rujukan,

Al-Azkar - Imam an-Nawawi
Sahih Muslim

Thursday, March 11, 2010

Sempurnakan solat anda......(siri 1)


1. Mengadap Qiblat

Dalil mengadap Qiblat ialah firman Allah SWT,

Maksudnya : Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap ke kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram (tempat letak Kaabah) ; dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah wajah kamu ke arahnya. (al-Baqarah 144)

2. Meletakkan penghadang

Adalah sunat hukumnya meletakkan penghadang atau pun sutrah seperti tiang, beg, bantal, payung atau tongkat yang diletakkan di hadapannya, dengan jarak yang mencukupkan dirinya untuk sujud dengan tujuan untuk memusatkan pemikiran ketika solat tanpa diganggu dengan lalu orang ramai. Dalilnya ialah hadis Rasulullah saw,

“ Apabila seseorang kamu ingin bersolat, maka hendaklah ia meletakkan di hadapannya sesuatu, sekiranya tiada letaklah tongkat, jika tiada buatlah satu garisan kemudian tiada lagi mudarat sesiapa yang lalu di hadapanmu “.

Jika orang yang sedang solat telah mengadakan sutrah, maka dilarang melintas melainkan di sekeliling luar sutrah itu. Jika tidak dapat, maka hendaklah tunggu hingga pensolat selesai Sesiapa yang melintas di antara pensolat dan sutrahnya, maka kesalahan tercatat di bahu pelintas.

Sabda baginda,

إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ

Maksudnya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari)

Namun jika seseorang itu solat tanpa mengadakan sutrah sehingga dilintasi oleh orang lain, maka kesalahan tercatat di bahu orang yang bersolat. Ini kerana pensolat itu telah mengabaikan apa yang diwajibkan oleh agama ketika bersolat.

3. Berdiri tegak (Bagi yang berkemampuan)

Dalilnya ialah firman Allah SWT,

Dan berdirilah kerana Allah dengan keadaan kamu taat setaatnya. (al-Baqarah 238)

Adapun berdiri ketika menunaikan solat sunat maka hukumnya tidak wajib. Justeru, boleh menunaikan solat sunat dalam keadaan duduk sekali pun ia mampu berdiri. Cuma pahalanya kurang dibandingkan dengan solat sunat secara berdiri. Sabda Rasulullah saw,

صلاة الرجل قاعدا نصف الصلاة

Maksudnya : Solat yang dilakukan sambil duduk pahalanya sama seperti separuh solat. (Mutafaqqun ‘alaih)

Jarak di antara dua kaki ketika berdiri menurut mazhab Syafie ialah kadar sejengkal. Adapun ketika solat berjemaah, jarak antara kaki dengan kaki jemaah di sebelah ialah sehingga menyentuh jari kaki mereka. Sabda Rasulullah saw,

“Adalah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain demikian juga hujung kaki”. (HR Bukhari)

Adalah penting semasa menunaikan solat berjemaah untuk merapatkan saf sebagaimana sabda Rasulullah saw,

سووا الصفوف فإن تسوية الصفوف من إقامة الصلاة

Maksudnya : Luruskanlah saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan solat. (Mutaffun ‘alaih)

4. Niat

Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw,

إنما الأعمال بالنيات

Maksudnya : Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. (HR Bukhari dan Muslim)

Niat ialah ketika mengangkat Takbiratul Ihram. Menurut Mazhab Syafie adalah sunat jika dimulai dengan lafaz niat bagi membantu hati. Jika ditinggalkan lafaz niat maka solatnya tetap sah.

5. Takbiratul Ihram

Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw,

مفتاح الصلاة الطهور وتحريمها التكبير وتحليلها التسليم

Maksudnya : Kunci solat ialah bersuci, pembukaannya ialah bertakbir dan penutupnya ialah memberi salam.

Lafaz takbiratul ihram ialaah Allahu Akbar. Maka tidak sah solat sekiranya ditukar kepada ArRahmanu Akbar, Akbar Allah atau sebagainya. Mengikut hukum tajwid melafazkan kalimah Allah hanyalah 2 harakat sahaja. Namun begitu ada juga sesetengah ulama membenarkan untuk dipanjangkan sehingga 20 harakat.

Tidak dibenarkan memanjangkan dalam 3 perkara berikut :

1. Iaitu memanjangkan lafaz “Akbaaaar”.
2. Iaitu memanjangkan lafaz “Aaaaakbar”
3. Iaitu memanjangkan lafaz “Aaaaaallah”

Disyaratkan bertakbiratul ihram itu hendaklah di dengar oleh telinganya sendiri dalam suasana yang tidak bising. Wajib disertakan disertakan niat dalam hati ketika mengangkat takbiratul ihram seperti “Sahaja aku menunaikan solat fardhu Zuhor”.

Mengangkat tangan ketika takbiratul ihram hukumnya adalah sunat berdasarkan hadis Rasulullah saw,

كان رسول الله (ص) إذا قام إلى الصلاة رفع يديه مدا

Maksudnya : Rasulullah saw jika berdiri ketika solat diangkatnya kedua tangannya dengan terkembang. (Hadis Khamsah)

Mengenai paras mana tangan itu diangkat, menurut mazhab Syafie ialah paras bahu. Ini berdasarkan dalil dari ibnu Umar katanya, Solat 4 mazhab ms 223

كان رسول الله (ص) إذا قام إلى الصلاة رفع يديه
حتى يكونا حذومنكبيه ثم يكبر

Maksudnya : Rasulullah saw jika berdiri hendak solat, diangkatnya kedua belah tangannya hiingga setentang dengan kedua bahunya, lalu bertakbir. (Mutafaqqun ‘alaih)

Manakala mazhab Hanbali, seseorang itu boleh mengangkat tangan ketika takbiratul ihram sehingga tinggi ke paras telinga. Mazhab Hanafi pula meereka berijtihad bahawa mengangkat tangan ketika takbiratul ihram hendaklah ibu jari berada di paras bawah cuping telinga.

Bila seseorang itu sudah mengangkat takbiratul ihram, bermula dari saat itu maka haramlah bagi dirinya melakukan beberapa perkara iaitu makan, minum, berjalan, melompat, ketawa dan sebagainya.

6. Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri

Selepas mengangkat takbiratul ihram, kedua belah tangan hendaklah disedakapkan. Caranya ialah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri. Dalilnya ialah hadis Rasulullah saw,

إنا معشر الأنبياء أمرنا بتعجيل فطرنا وتأخير سحورنا , وأن نضع أيما ننا على شمائلنا فى الصلاة

Maksudnya : Kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka puasa, melambatkan makan sahur dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ketika solat.

Tangan kanan hendaaklah berada di posisi di awal pergelangan tangan kiri sebagaimana yang diriwayatkan oleh seorang sahabat yang bernama Wail r.a katanya,

Nabi saw meletkkan tangan kanannya di atas permukaan tangan kirinya dan pergelangan dan awal tangaan. (HR Muslim dan Ahmad)

Menurut mazhab Syafie juga tangan tersebut hendaklah diletakkan di bawah dada dan di atas pusat. Dalilnya sebuah hadis dari Halab at-Ta’ei,

رأيت رسول الله (ص) يضع اليمنى على اليسرى على صدره فوق المفصل

Maksudnya : Saya melihat Rasulullah saw melatkkan tangan kanan di atas tangan kiri di atas pusat. (Hr Tirmizi)

7. Mengadap pandangan ke tempat sujud

Apabila solat Rasulullah saw akan menundukkan kepala dan mengarahkannya ke lantai sebagaimana hadis,

Adalah Rasulullah saw menundukkan kepala baginda dan melontarkan pandangannya ke bumi. (HR al-Baihaqi dan al-Hakim)

Rasulullah saw melarang para sahabat solat mengadap ke langit. Sabda baginda saw yang mafhumnya,

Hendaklah orang-orang yang mengadapkan pandangannya ke langit menghentikan perbuatan itu atau pandangan mereka akan tersambar.

Terdapat khilaf di kalangan ulama mengenai hukum memejam mata ketika solat. Beberapa ulama di kalangan mazhab Syafie menghukumkan makruh kerana menyerupai Yahudi.

Ibnu Qaiyyim pula berndapat : Jika membuka mata tidak menganggu kekhusyukkan solat maka ia adalah lebih elok dari memejam mata. Dan pandangan yang mengatakan elok pejam mata adalah lebih bertepatan dengan prinsop dan tujuan solat berbanding pandangan yang memakruhkannya.

8. Membaca Doa Iftitah

Membaca doa Iftitah hukumnya adalah sunat menurut Mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali. Dalam hal ini kita bebas memilih mana-mana doa yang pernah dibaca oleh Nabi saw. Antaranya ialah,

سبحانك اللهم وبحمدك وتبارك اسمك زتعالى جدك ولا اله إله غيرك

Maksudnya : Maha Suci Engkau ya Allah, dan Maha Terpuji, Maha Berkat Namu-Mu, Maha Tinggi kemuliaan-Mu dan tiada Tuhan selain Engkau. (Hadis Muslim)

Walaubagaimanapun majoriti umat Islam di Malaysia mengamalkan doa Allahu Akbar Kabira …..

9. Membaca Fatihah

Sabda Rasulullah saw,

Maksudnya : Tiada solat bagi mereka yang tidak membaca Fatihatul Kitab.

Majoriti mazhab berrpendapat membaca al-Fatihah adalah rukun yang perlu dibaca pada setiap rakaat. . Maka barangsiapa yang meninggalkannya secara sengaja maka batallah solatnya. Barangsiapa yang terlupa membacanya dan teringat sebelum sampai ke rakaat selepas itu maka Wajib untuk mengulangi berdiri dan membaca al-Fatihah. Sekiranya sudah memasuki rakaat yang seterusnya kemudian baru dia teringat maka terhapuslah rakaat sebelumnya.

Jangan diselangi antara ayat-ayat Fatihah yang dibaca dengan ayat lain seperti mengucap Alhamdulillah ketika bersin. Jika seseorang itu tidak boleh membaca Fatihah hendaklah dia menggantikan dengan ayat-ayat lain atau zikir syaratnya jangan kurang hurufnya dengan surah al-Fatihah. Jika tidak mampu juga maka hendaklah berdiri sekadar lamanya bacaan al-Fatihah.

Membaca Fatihah hendaklah dimulai dengan bacaan Bismillah. Maka tidak sah solat tanpa membaca Bismillah dalilnya ialah, Solat 4 mazhab 210

إذا قرأتم الفاتحة فاقرؤوا بسم الله الرحمن الرحيم فإنها إحدى أياتها

Maksudnya : Apabila membaca Fatihah, maka bacalah Bismillahirrahmanir Rahim, sebab ia adalah salah satu ayatnya.

Manakala menurut imam-imam Mazhab yang lain seperti Hanafi dan Hanbali , Bismillah bukanlah suatu ayat dari surah al-Fatihah. Hukum membacanya adalah sunat saja. Mazhab Maliki pula berpendapat bahawa membaca surah al-Fatihah hukumnya adalah makruh.

Wallahualam.

Dikuliahkan pada 11.3.2010
Sek. Men. Vokasional Ampangan.

Baran


S*al, Ba%b*, A&j*ng, B*ngs3t ”, dan entah bermaca-macam lagi perkataan maki hamun Dolah (bukan nama sebenar) kepada isterinya, Ramlah (juga bukan nama sebenar).

Dolah cukup marah. Bayangkan, dia baru sahaja pulang ke rumah dari menoreh, dalam keadaan lapar dia membuka tudung saji untuk menikmati juadah makan tengah hari. Sebaik sahaja membukanya, dia rasa hampa, satu makanan pun tidak ada. Mana hati tidak panas!

Dolah tengok isterinya di serambi rumah. Kelihatan isterinya sedang asyik menjahit. Pagi, petang, siang, malam sibuk menjahit.

"Hei Ramlah , mana nasi aku ?, Dah pukul berapa ni ? Kau tahu tak laki kau ni balik nak makan ? Aku lapar !" , bentak Dolah.

“Ma.. ma.. maafkan Ram bang, Ram...Ram terlalu sibuk menyiapkan baju Kak Timah. Dia suruh siapkan baju tu petang ni jugak, itu yang Ram terlewat memasak hari ini”, jawab Ramlah terketar-ketar.

Ramlah memang rajin membantu suami. Dia mengambil upah menjahit untuk menampung pendapatan suami yang tidak seberapa.

“Kau memang bini yang tak guna satu sen!, si*l”, marah Dolah, sambil menghempaskan pinggan mangkuk dan peralatan dapur, hancur berkecai.

Tidak cukup dengan itu, Dolah menghampiri Ramlah lalu direntapnya baju Kak Timah kemudian dikoyaknya di depan Ramlah.

Ramlah terperanjat melihat kelakuan suaminya. Menitis air matanya melihat baju Kak Timah digunting-gunting oleh Dolah. Penat-penat dia menjahit baju itu sejak dari Subuh tiba-tiba dikoyakkan sebegitu sahaja oleh lakinya.

Ramlah hilang sabar. Bagaikan ada satu kekuatan dalam dirinya, dia menempik,

“Hei..laki tak guna, awak patut bersyukur dapat bini macam aku ni tau”, suara Ramlah bagaikan halilintar.

"Aku menjahit siang malam ni pun untuk bantu awak. Nak harapkan pendapatan awak dari menoreh tu berapa sen sangat ?", sambungnya lagi bagaikan orang gila meroyan.

Inilah kali pertama Ramlah meninggikan suara di depan Dolah. Kali ni dia nekad, biarlah apa yang terjadi hari ini, kena pukul, kena terajang, kena sepak malah kena cerai pun dia sanggup.

Janji hari ini dia dapat meluahkan kebenciannya terhadap Dolah. Dia dah tak tahan, laki yang dicintainya 20 tahun yang lalu sudah menjadi orang yang paling dibenci dalam hidupnya. Mana boleh sabar, kalau hari-hari kena maki hamun dan sumpah seranah. Dia bukan binatang.

“Eh, berani kau jawab ?”, Dolah naik angin bila mendengar Ramlah menjawab. Bagaikan di rasuk hantu, Dolah mencapai parang yang tersisip di pinggangnya, lalu……

Ulasan

Kisah yang dipaparkan di atas adalah salah satu contoh sifat tercela seorang suami. Islam melarang umatnya daripada memaki hamun sesama manusia apatah lagi jika ia melibatkan, anak-anak dan mereka yang ada hubungan darah dengan kita.

Dalam sepotong hadis, Rasulullah saw bersabda,

عن سمرة بن جندب قال : قال رسول الله (ص) لا تلاعنوا بلعنة الله
ولا بغضبه ولا باالنار

Maksudnya : Daripada Samurah bin Jundub r.a katanya , telah bersabda Rasulullah saw: Janganlah kamu berlaknat dengan laknat Allah dan janganlah kamu kutuk mengutuk dan janganlah kamu neraka menerakai. (sesama kamu)

Satu lagi hadis Nabi saw,

عن ابن عمر قال : قال رسول الله (ص) لا يكون المؤمن لعانا

Maksudnya : Daripada Ibnu Umar r.a katanya , Rasulullah saw telah bersabda, Tiadalah seorang mukmin itu menjadi pelaknat.

Orang yang suka memaki hamun dan menyumpah ranah itu termasuk ciri-ciri orang yang fasik.

عن عبد الله بن مسعود قال : قال رسول الله (ص) سباب المسلم فسوق وقتاله كفر

Maksudnya : Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya, telah bersabda Rasulullah saw : Memaki orang Islam itu adalah fasik dan memeranginya adalah kufur.

Islam juga melarang memaki atau menceritakan keburukan orang yang sudah mati juga . Sebagai contoh mengatakan arwah si anu itu kuat mencuri, atau arwah sipulan itu kuat berjudi, kaki maksiat, penagih dadah dan sebagainya. Sabit dengan keterangan hadis yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi,

عن المغيرة بن شعبة يقول : قال رسول الله (ص) عليه وسلم
لا تسبوا الأموات فتؤذوا الأحياء

Maksudnya : Daripada Al-Mughirah bin Syu’bah bahawasanya telah Rasulullah saw : Janganlah kamu sekelian memaki orang yang sudah mati nescaya nanti kamu akan menyakiti orang yang hidup.

Selain itu Islam juga melarang kita melaknat angin sebagaimana dalil yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi,

عن ابن عباس أن رجلا لعن الريح عند النبى (ص) فقال : لا تلعن الريح , فانها مأمورة وانه من لعن شيئا ليس له بأهل رجعت اللعنة عليه

Maksudnya : Daripada Ibnu Abbas Bahawasanya seorang lelaki telah melaknat angin di sisi Nabi saw, maka Nabi saw bersabda : Janganlah kamu melaknat angin kerana ia di bawah perintah Allah. Dan sesunggunya siapa yang melaknat sesuatu yang tidak patut dilaknatnya, maka laknat itu kembali kepadanya.

Wallahualam.

Tuesday, March 9, 2010

Bolehkah bersahabat atau berguru dengan bunian ?

Didatangi langsuir ?

Siapakah Bunian ? Adakah benar dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan orang bunian lebih hebat dari sudut keIslaman, keilmuan dan kealimannya berbanding dengan manusia ? Jika benar, bolehkah manusia berguru dengan mereka ?

Jawapan

Bunian termasuk sekelompok makhluk halus yang wujud di alam ini. Makhluk halus ini berbeza daripada manusia dari sudut rupa bentuk, kebolehan dan keinginan. Ia dicipta oleh Allah SWT untuk hidup dalam masyarakat mereka dengan cara dan adat resam mereka yang tersendiri.

Setakat ini belum ada keputusan muktamad apakah makhluk yang bernama bunian ini termasuk dalam golongan Jin atau Qareen, atau syaitan atau iblis ? Namun menurut Prof. Dato’ Dr. Haron Din, beliau lebih mengkategorikan makhluk ini sebagai Qareen.

Islam menyarankan agar manusia hendaklah bersahabat dengan sesama manusia sahaja, tidak boleh sama sekali dengan makhluk halus. Sebagai contoh Al-Quran menjelaskan bahawa makhluk halus dalam kelompok Jin sanggup untuk menolong manusia jika diminta, tetapi kesanggupan mereka untuk menolong itu nanti lebih banyak mengundang padah kepada manusia.






















Dalam botol ni ada jin ?

Firman Allah SWT,

وأنه كان رجال من الانس يعوذون برجال من الجن فزادوهم رهقا (6)

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang manusia , menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan daripada ketua-ketua golongan Jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan Jin bertambah sombong dan jahat.
(Surah Al-Jin, ayat 6 )

Daripada ayat di atas, dapat kita fahami bahawa memang ada manusia yang menjalin hubungan dengan Jin dengan meminta pertolongan daripada mereka, tetapi kesan buruk daripada hubungan itu akan menimpa manusia itu sendiri.

Mengenai Qareen pula, Allah SWT berfirman ;

ومن يكن الشيطن له قرينا فساء قرينا (38)

Maksudnya : Dan sesiapa yang mengambil Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah Syaitan. (Suran An-Nisa, ayat 38)

Dalam ayat di atas dapat kita fahami bahawa Qareen itu adalah Syaitan. Dan seburuk-buruk sahabat ialah Syaitan. Secara logiknya, kalaulah baik macam mana pun makhluk halus ini dengan manusia, tiba-tiba satu masa nanti kalau kita berselisih dengan mereka, pada ketika itu mereka akan melakukan sesuatu perkara yang tidak baik kepada kita. Mereka tentu akan mengambil kesempatan di atas kekurangan manusia yang tidak boleh melihat mereka.


Setiap yang bernyawa pasti akan mati...

Apabila ini terjadi maka sudah pasti ketenangan hidup seseorang itu akan musnah. Dirinya akan dihantui kebimbangan. Bimbang kerana kawan yang baik selama ini telah menjadi musuh, dan pada bila-bila masa akan datang melakukan sesuatu tindakan buruk ke atas dirinya. Sebab itu Islam melarang sama sekali kita menjadikan mereka sebagai sahabat.

Dakwaan yang mengatakan makhluk halus lebih hebat keislaman dan keilmuannya berbanding dengan manusia adalah tidak benar. Jika mereka lebih hebat daripada manusia maka sudah tentulah Allah SWT akan melantik mereka menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Al-Quran menjelaskan bahawa manusia adalah makhluk yang diberi kemuliaan mengatasi makhluk-makhluk yang lain. Firman Allah SWT,

ولقد كرمنا بنى ءادم وحملنهم فى البر والبحر ورزقنهم من الطيبت
وفضلنهم على كثير ممن خلقنا تفضيلا (70)

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam ; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut ; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya berbanding dengan makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (Surah Al-Isra’, ayat 70)

Pernah berlaku dalam sejarah, seorang ulama besar Islam Sheikh Abdul Wahab As-Sya’rani pernah diajukan soalan oleh makhluk halus yang berbunyi, “ Kami dalam masyarakat Jin telah bertanya kepada ulama-ulama besar dari kalangan kami, bolehkah Allah SWT menganugerahkan kepada makhluk pengetahuan yang sama dengan pengetahuan-Nya atau pun tidak boleh ? Kami telah tanya soalan ini kepada ulama-ulama kami, tetapi malngnya mereka tidak boleh menjawabnya .”

Sheikh Abdul Wahab As-Sya’rani menjelaskan, tidak mungkin. Kerana Allah SWT tidak akan melakukan sesuatu perkara yang berlawanan dengan sifat kekudusan-Nya iaitu tidak apa pun yang sebanding dengan-Nya.

Justeru, tidak boleh bagi manusia untuk belajar dan berguru sesuatu ilmu daripada makhluk halus.

Rujukan,

www.darussyifa.org

Friday, March 5, 2010

Ambil iktibar dari kisah kaum Nabi Lut a.s ....


Pesta Gay di Kuala Lumpur...

Catatan sejarah menceritakan bahawa Nabi Lut mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Nabi Ibrahim a.s. Ada riwayat yang menceritakan bahawa ayah Nabi Lut adalah saudara kandung kepada Nabi Ibrahim a.s. Setelah berlaku peristiwa di mana Nabi Ibrahim di bakar oleh Raja Namrud, Nabi Ibrahim berpindah dari Kufah ke Syam. Dalam perpindahan ini Nabi Lut ikut serta. Bapa saudaranya itu memulakan kehidupan baru di Syam.

Sampailah satu ketika dia berpisah dengan Nabi Ibrahim apabila Allah SWT melantiknya sebagai Rasul dan memerintahkannya pergi ke satu tempat yang bernama Sodom. Sodom merupakan satu negeri yang terletak di pinggir Laut Mati, yang juga di sebut sebagai Dead Sea. Persoalannya, mengapa Allah SWT utuskan Nabi Lut ke tempat yang bernama Sodom ? Untuk mencari jawapannya kita rujuk Al-Quran surah Al-Ankabut ayat 28,

Di hotel Prince World ...

Dan (Ingatlah) ketika Luth berkata pepada kaumnya:

"Sesungguhnya kamu benar-benar mengerjakan perbuatan yang amat keji yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun dari umat-umat sebelum kamu".

Apakah perbuatan keji yang dilakukan oleh penduduk Sodom ini sehingga di utuskan seorang Rasul untuk memberi peringatan ? Ayat seterusnya menceritakan,

"Apakah Sesungguhnya kamu patut mendatangi laki-laki, menyamun dan mengerjakan kemungkaran di tempat-tempat pertemuanmu? Maka jawaban kaumnya tidak lain Hanya mengatakan: "Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar".














Terus berseronok ...

Maksudnya perangai keji orang Sodom ini tidak lain, melainkan suka bersetubuh sesama lelaki (homoseksual), kemudian suka menyamun, merampas dan merompak harta orang diikuti dengan melakukan kemungkaran seperti minuman keras, bercakap kotor, lucah dan suka memaki hamun orang. Semua benda-benda yang disebutkan tadi sudah menular dan sudah wujud dalam masyarakat kita hari ini.

Apabila Nabi Luth mengingatkan kaumnya supaya bertaubat, mohon ampun kepada Allah SWT, maka kaumnya menjawab dalam keadaan sombong, ‘kalau betul ada azab Allah SWT, ayuh datangkan azab itu kepada kami, kami sudah tidak sabar-sabar untuk menerima azab Allah itu, kalau betul engkau ini orang yang benar.

Nabi Luth pun berdoa kepada Allah SWT: "Ya Tuhanku, tolonglah Aku (dengan menimpakan azab) atas kaum yang berbuat kerusakan itu".














Berpeluk dan bercium...

Maka Allah SWT berfirman pada ayat yang seterusnya,

"Dan tatkala utusan kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa kabar gembira, mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk negeri (Sodom) ini; Sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim".

Dalam ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT telah mengutus beberapa utusan yang terdiri daripada malaikat untuk dikirim ke negeri Sodom. Tetapi sebelum utusan-utusan malaikat ini sampai ke negeri Sodom, mereka singgah bertemu Nabi Ibrahim (pada ketika itu berada di Palestin) untuk menyampaikan khabar gembira bahawa Nabi Ibrahim akan dikurniakan seorang anak dari isterinya yang bernama Sarah.

Setelah menyampaikan khabar gembira tersebut, utusan-utusan yang terdiri daripada malaikat ini pun berkata kepada Ibrahim, Wahai Ibrahim selepas ini kami akan ke negeri anak saudaramu Luth untuk kami hancurkan penduduk negeri tersebut. Nabi Ibrahim yang tahu negeri Sodon akan dihancurkan, cukup bimbang akan keselamatan anak saudaranya Nabi Luth.


Menuju ke puncak .....kehancuran!

Dalam ayat yang berikutnya Allah SWT menceritakan,

Nabi Ibrahim berkata : "Sesungguhnya di kota itu ada Luth". Jawab para malaikat, "Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. kami sungguh-sungguh akan menyelamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya, dia termasuk orang-orang yang (akan dibinasakan) tertinggal.

Allah SWT berfirman lagi,

"Dan tatkala datang utusan-utusan kami (para malaikat) itu kepada Luth, dia merasa susah Karena (kedatangan) mereka, dan (merasa) tidak punya kekuatan untuk melindungi mereka dan mereka berkata: "Janganlah kamu takut dan jangan (pula) susah. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan kamu dan pengikut-pengikutmu, kecuali isterimu, dia adalah termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan)".

Dalam ayat di atas diceritakan apabila utusan-utusan yang terdiri daripada Malaikat itu datang bertemu dengan Nabi Lut mereka berupa lelaki-lelaki kacak yang rupawan menyebabkan Nabi Lut merasa bimbang takut-takut kaumnya akan buat sesuatu yang tidak elok kepada malaikat-malaikat ini.

Namun malaikat memberitahu kepada Nabi Lut, kamu tidak usah bimbang dengan keselamatan kami sebaliknya kamilah yang akan menyelamatkan kamu dan pengikut-pengikut kamu melainkan isteri kamu yang sering menghalang kamu daripada melakukan kebaikan.


Pasangan gay di barat...

Firman Allah SWT yang berikutnya,

"Sesungguhnya kami akan menurunkan azab dari langit ke atas penduduk kota Ini Karena mereka melakukan perbuatan fasik. (34). Dan Sesungguhnya kami tinggalkan daripadanya satu tanda yang nyata[1152] bagi orang-orang yang berakal".(35)

Allah SWT tidak menyatakan apakah azab yang dikenakan ke atas kaum Bani Luth. Ada yang mengatakan buminya diterbalikkan, iaitu yang di atas diterbalikkan ke bawah dan yang bawah di terbalikkanke atas. Tapi kemungkinan besar yang dimaksudkan dengan azab di sini ialah azab gunung berapi yang menumpahkan larvanya ke seluruh penduduk Sodom.

Dan Allah SWT memberitahu kesan bekas runtuhan negeri Sodom ini boleh dilihat sehingga sekarang sebagai renungan dan pengajaran kepada orang-orang yang berakal. (Jejak Rasul pernah buat penggambaran di lokasi di mana letaknya Bandar Sodom ini iaitu terletak di pinggir laut mati berhampiran dengan Jordan dan Palestine.

Tuesday, March 2, 2010

Adakah Nabi Khidir masih hidup ...?






















Benarkah Nabi Khidir a.s masih hidup ? Bagi menjawabnya eloklah kita meneliti dua pandangan ulama seperti yang dipaparkan.

Pendapat yang mengatakan masih hidup

Bagi mereka yang mengatakan Nabi Khidir a. s masih hidup, mereka berpegang kepada dalil yang menyebut bahawa ada empat orang di kalangan nabi yang masih hidup, dua orang di kalangan mereka berada di langit iaitu Nabi Isa a.s dan Nabi Idris a.s manakala dua orang lagi berada di bumi iaitu Nabi Khidir a.s dan Nabi Ilyas a.s. Nabi Khidir berada di lautan manakala Nabi Ilyas berada di daratan.

Selain itu ada juga hadis yang mengatakan Nabi Khidir dan Nabi Ilyas a.s bertemu pada musim Haji setiap tahun. Kemudian diceritakan pada satu ketika Rasulullah saw berada di dalam masjid Madinah dan baginda mendengar satu suara di belakangnya. Para sahabat keluar daripada masjid dan mendapati orang yang bercakap itu adalah Nabi Khidir a.s.

Hujah ini turut di sokong oleh ramai ulama antaranya, Abu Ishaq As-Tha’labi yang merupakan seorang ahli tafsir dengan katanya, “Dikatakan bahawa Nabi Khidir a.s tidak akan wafat kecuali di akhir zaman iaitu sewaktu Al-Quran di angkat ke langit ”.

Ibnu Solah berkata : “Beliau masih hidup di kalangan para ulama dan bergaul dengan mereka ”. Amru bin Dinar pula berkata : “ Sesungguhnya Nabi Khidir a.s dan Nabi Ilyas a.s kedua-duanya masih lagi hidup selagi masih ada Al-Quran sehinggalah ia di angkat ke langit barulah mereka akan wafat .”

Manakala Al-Yafi’ie berpendapat, “ Sesungguhnya aku telah mendengar seorang Sheikh besar iaitu Najmuddin Al-Asfahani berada di belakang kubur Nabi Ibrahim a.s menyatakan bahawa Nabi Khidir a.s memohon dari Allah SWT agar dicabut nyawanya ketika Al-Quran di angkat ke langit .”

Pendapat yang mengatakan sudah wafat

Mereka menggunakan dalil surah Al-Anbiaa ayat 34,

وما جعلنا لبشر من قبلك الخلد أفاين مت فهم الخلدون (34)

Maksudnya : Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya ?

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa tidak ada seorang pun manusia sebelum mahupun selepas Nabi Muhammad saw yang boleh hidup kekal selama-lamanya. Justeru ayat ini sekaligus menafikan dakwaan mereka yang mengatakan Nabi Khidir a.s masih hidup sehingga sekarang.

Jika Nabi Khidir a.s masih hidup, ia adalah satu perkara besar dan sudah tentu hal sebesar ini akan disebut di dalam Al-Quran sebagaimana Allah SWT pernah menyebut tentang kisah Ashabul Kahfi yang dihidupkannya selama 950 tahun sebagai bukti tanda kebesaran dan kekuasaanNya.

Kalau kisah Ashabul Kahfi yang hidup selama 950 tahun disebut di dalam Al-Quran , maka lebih-lebih lagilah kisah Nabi Khidir a.s yang dihidupkanNya sepanjang zaman juga akan di sebut di dalam Al-Quran. Sedangkan dalam Al-Quran tidak ada satu ayat pun yang mengisahkan Nabi Khidir masih hidup sampai sekarang. Ini menunjukkan kepada kita bahawa dakwaan yang mengatakan Nabi Khidir a.s masih hidup tidak berpegang kepada dalil Al-Quran yang merupakan rujukan utama umat Islam.

Jika benarlah dakwaan Nabi Khidir a.s masih hidup, sudah pasti baginda akan membantu Nabi Muhammad saw sebagaimana Nabi Harun a.s pernah membantu Nabi Musa a.s. Bukankah ini sudah termasuk dalam perjanjian antara nabi-nabi dengan Allah SWT sebagaimana yang dirakamkan di dalam Al-Quran surah Ali-‘Imran ayat 81,

"Dan ingatlah ketika Allah SWT mengambil perjanjian dari para Nabi : Sesungguhnya Aku memberikan kitab dan kebijaksanaan padamu, kemudian datanglah kepadamu seorang Rasul yang membenarkan ajaran yang ada padamu, hendaklah kamu percaya dan memberikan pertolongan kepadanya. Allah berfirman : Adakah kamu semua mengakui dan menerima perjanjianKu yang sedemikian itu ? Mereka menjawab : Kami semua mengakui. Allah berfirman pula : Oleh sebab itu hendaklah kamu menjadi saksi dan Aku menjadi saksi pula bersamamu ".

Tetapi tidak terdapat dalam catatan sejarah yang menunjukkan bahawa Nabi Khidir pernah membantu Rasulullah saw dalam perjuangannya menegakkan syiar Islam apatah lagi di saat-saat genting seperti dalam peperangan Badar, Uhud dan sebagainya. Ini adalah bukti yang menunjukkan bahawa Nabi Khidir a.s sudah pun wafat.

Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Jabir ra. menjelaskan bahawa Rasulullah saw bersabda,

والله لو كان موسى حيا بين أظهركم ما حل له الا أن يتبعنى

Maksudnya : Demi Allah, andaikata Musa masih hidup dan ada di hadapanmu, maka tidak ada tempat baginya melainkan dia tentu mengikut ajaranku..

Berdasarkan hadis di atas, jika Nabi Khidir a.s masih hidup, kenapa dia tidak datang mengerjakan solat Jumaat, dan menunaikan Haji bersama-sama Rasulullah saw. Bukankah mengerjakan solat Jumaat dan menunaikan Haji itu termasuk ajaran Rasulullah saw ?

Jika seseorang mendakwa bahawa dia pernah berjumpa Nabi Khidir a.s, maka apakah tanda atau bukti yang membolehkan dia mengenali Nabi Khidir ? Apakah cukup dengan mendakwa “ Sayalah Nabi Khidir ” lalu orang yang melihat terus mempercayainya tanpa sebarang bukti daripada Allah SWT.

Di samping itu para ulama seperti Imam Bukhari apabila ditanya mengenai Nabi Khidir dan Nabi Ilyas a.s, adakah kedua-duanya masih hidup, beliau menjawab, bagaimanakah boleh jadi demikian ? Bukankah Rasulullah saw bersabda, Tidak seorang pun yang ada pada hari ini kekal apabila tiba seratus tahun.

Sheikul Islam Ibnu Taimiyah pernah ditanya mengenai soalan yang serupa, beliau menjawab : Seandainya Nabi Khidir a.s masih hidup, wajib ke atasnya menemui Rasulullah saw dan berjihad serta belajar daripada baginda.

Abu Al-Faraj ibn al-Jawzi berkata : “Alangkah jauhnya fahaman orang yang mengatakan Nabi Khidir masih hidup kerana dengan mengatakan yang sedemikian bererti dia membantah syariat Islam ”.

Kesimpulan saya

Isu sama ada Nabi Khidir masih hidup atau tidak bukanlah perkara pokok dalam agama. Ia hanyalah masalah khilafiah yang tidak perlu dipertengkarkan. Kedua belah pihak hendaklah saling berlapang dada dan menghormati setiap pandangan yang berbeza.

Bagi saya, daripada memikirkan isu ini lebih baik kita fikirkan bagaimana mahu menyelamatkan umat Islam yang sedang tertindas di bumi Palestin. Elok juga kalau kita fikirkan bagaimana mahu membebaskan pemikiran syirik dan khurafat sebahagian rakyat Malaysia yang menganggap hanya Be End sahaja boleh memerintah !

Sekian jumpa lagi di lain artikel. Ma'as Salamah.

Wallahualam.