Monday, May 31, 2010

Doa buat mak






















Mak memang baik hati.

25 tahun yang lalu, masa arwah abah sakit, mak setia menjaga abah. Mak mandikan abah, mak jiruskan kencing dan berak abah. Sikit pun mak tak mengeluh melayan karenah abah.

Masa arwah Uwan sakit pun macam tu juga. Mak tak pernah merungut menjaga Uwan yang mengidap kencing manis. Setiap hari mak lapkan kudis dan nanah yang membusuk di kaki Uwan.

Bila time makan, mak bergilir-gilir dengan kak Ipah menghidang dan menemani Uwan makan.

17 tahun dulu ketika Hisham terlantar sakit di Hospital Besar Seremban, mak jugalah yang menjaga Hisham. Mak suapkan makanan ke mulut Hisham dan mak ambilkan air untuk Hisham beristinjak di atas katil.

Malam pertama Hisham di hospital, mak cuba hendak menumpang tidur di katil Wad yang kosong, malangnya mak ditegur oleh jururawat yang bertugas. Katanya pelawat tidak dibenarkan tidur di atas katil Wad walaupun katil itu tiada penghuni.

Mak akur dengan undang-undang di Wad. Esoknya mak pergi ke pekan Rasah beli kerusi malas dan mak jinjing kerusi itu sampai ke tingkat 7.

Mak buat semua ini semata-mata hendak menjaga Hisham.

10 hari Hisham di hospital, maka 10 harilah mak tidur di kerusi malas itu. Alangkah besarnya jasa mak pada Hisham.

Dua hari lepas...

Mak telifon Hisham,

“Hisham, mak nak beritahu, yang mak dan kak Ipah dah dapat surat dari Tabung Haji. Kami terpilih untuk ke Mekah tahun ini”, kata mak dengan suara gembira.

Hisham serba salah. Rasa-rasanya mahu sahaja Hisham halang mak dari menunaikan fardhu Haji tahun ini.

Bukan apa, sebelum ni mak dah tiga kali menunaikan fardhu Haji dan dua kali mengerjakan Umrah. Cukuplah tu. Buat apa mak nak susah-susah lagi. Lagi pun mak dah tua sedangkan mengerjakan haji tu sekali sahaja seumur hidup.

Dalam usia mak yang sudah menjangkau 75 tahun ni, kalau terjadi apa-apa di Mekah siapa yang susah ?

Nak harapkan kak Ipah ?

Mana boleh. Kak Ipah sendiri pun tak boleh menguruskan dirinya, macam mana dia nak uruskan mak. Kak Ipah tergolong sebagai orang kurang upaya, berpunca dari serangan demam panas yang dialaminya semasa kecil 40 tahun yang lalu. Kalau ikutkan, dia pun tak layak menunaikan fardhu Haji.

Tapi mak berkeras juga, katanya selagi dia hidup, dia tetap nak bawa Kak Ipah pergi menunaikan fardhu Haji.

Aduh ! pening kepala Hisham memikirkan hal ini. Siapalah di kalangan adik beradik yang nak beri nasihat pada mak.

Abang Kamal ?

Dia dah jenuh menasihati mak, tapi tak berhasil.

Kak Long ?

Kak Long sekarang sedang berdukacita sebab suaminya sedang sakit, tak kencing dan berak berhari-hari. Dengar khabarnya ada masalah buah pinggang.

Adik beradik yang lain ?

Masing-masing tak berani kerana bimbang mak berkecil hati.

Semalam...

Ketika Hisham beri kuliah di Surau Bandar Warisan Puteri, tiba-tiba kelihatan abang Isa dari Taman Perwira.

Macam dia tahu-tahu pula yang Hisham sedang risaukan mak.

Kata abang Isa selepas kuliah,

“Tak usahlah Ustaz risau. Sebenarnya mak ustaz dah beritahu abang tentang hal ini. Untuk makluman Ustaz, abang laki bini pun akan menunaikan fardhu Haji tahun ini. Jangan bimbang, abang akan mohon dengan Tabung Haji supaya kami boleh pergi sama-sama dan tinggal di hotel yang sama. Lagi pun kita ni satu kampung dan tinggal pula satu taman. Abang dah anggap mak Ustaz macam mak abang juga”, kata abang Isa bersungguh-sungguh.

Alhamdulillah, terharu Hisham dengar penjelasan abang Isa. Hisham peluk abang Isa, Hisham salam tangannya kuat-kuat. Lega rasanya hati.

Dedikasi buat mak ....

Buat mak yang baik hati.

Syukurlah mak. Dalam ramai-ramai mak di dunia ini, maklah antara yang paling bertuah kerana sudah beberapa kali menerima 'surat jemputan' dari Allah SWT untuk menjadi tetamunya di tanah suci.

Mungkin inilah ganjaran yang Allah SWT beri pada mak, berkat kesabaran mak menjaga arwah abah, arwah Uwan dan juga kami adik beradik seramai 13 orang.

Ya Allah ! sihatkanlah mak ,kak Ipah, abang Isa dan isterinya semasa menunaikan fardhu Haji nanti. Amin.

Friday, May 28, 2010

Nabi saw menangis


Ya, Rasulullah saw sering menangis. Baginda menangisi perihal umatnya di akhirat nanti.

Dalam sepotong hadis riwayat daripada Anas bin Malik r.a, pada satu hari Malaikat Jibril a.s telah datang menemui Rasulullah saw, dalam keadaan wajahnya yang berubah. Maka Nabi saw bertanya kepadanya : Wahai Jibril, mengapakah aku melihat wajahmu berubah ? Jawab Jibril : Wahai Muhammad (bagaimanakah wajahku tidak berubah), Aku telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyampaikan khabar kepadamu tentang nyalaan api neraka. Maka tidaklah layak bagi mereka yang mempercayai bahawa neraka Jahannam itu benar, siksa kubur itu benar dan siksaan Allah itu amat dahsyat untuk merasa gembira dan bersuka ria sebelum ia merasa aman daripadanya.

Lalu Nabi saw bertanya Jibril : Wahai Jibril, khabarkanlah kepadaku akan sifat neraka Jahannam itu ? Kata Jibril a.s : Wahai Muhammad, Ketika Allah Taala menjadikan neraka Jahannam, Allah menyalakan apinya selama 1000 tahun sehingga warnanya bertukar menjadi merah. Kemudian Allah menyalakannya 1000 tahun lagi sehingga warnanya bertukar menjadi putih. Kemudian Allah menyalakannya 1000 tahun lagi sehingga warnanya bertukar menjadi hitam seperti malam gelap, nyalaannya tidak pernah berhenti dan baranya tidak pernah terpadam.

Ya Muhammad, Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, sekiranya api neraka itu terbuka sebesar lubang jarum di atas dunia ini, nescaya akan terbakar dunia ini dan seluruh kehidupannya disebabkan kepanasannya. Ya Muhammad, Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan hak, sekiranya satu baju daripada ahli neraka itu di gantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan busuknya.

Ya Muhammad, Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, sekiranya satu pergelangan dari rantai besi dari neraka itu di letakkan di atas sebuah bukit (gunung) di atas dunia ini nescaya akan cair gunung itu sampai ke lapisan bumi yang ketujuh. Ya Muhammad, Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, sekiranya seorang daripada ahli neraka itu di siksa dihujung dunia sebelah barat maka akan hangus terbakarlah orang-orang yang berada dihujung sebelah timur kerana bahang kepanasannya.

Ya Muhammad, Neraka Jahannam itu sangatlah dalam jurangnya, perhiasannya daripada besi, minumannya adalah nanah, dan pakaiannya daripada api dan mempunyai tujuh pintu. Nabi saw bertanya : Wahai Jibril, adakah pintunya sama seperti pintu-pintu di rumah kami ? Jawab Jibril, tidak. Pintu-pintu neraka sentiasa terbuka, jarak dari satu pintu ke satu pintu ibarat perjalanan 70,000 tahun lamanya. Setiap pintu lebih panas dari pintu yang lain 70 kali ganda.

Tanya Nabi saw lagi : Siapakah penghuni bagi setiap pintu-pintu tersebut ? Jawab Jibril a.s : Ya Muhammad, pintu yang terbawah disediakan untuk orang-orang munafik dan orang-orang kafir serta pengikut-pengikut Firaun, yang namanya Hawiyah. Pintu kedua disediakan untuk orang-orang musyrikin yang namanya Jahim. Pintu ketiga disediakan untuk orang-orang Sobi’ein yang namanya Saqar. Pintu keempat disediakan untuk Iblis dan pengikut-pengikutnya yang namanya Ladza. Pintu kelima disediakan untuk orang-orang Yahudi yang namanya Huthomah dan pintu keenam disediakan untuk orang-orang nasara yang namanya Sae’ir.

Kemudian malaikat Jibril a.s diam sehinggalah Nabi saw bertanya lagi. Wahai Jibril, mengapakah engkau senyap, terangkanlah kepada aku penghuni neraka bagi pintu ke tujuh ? Jawab Jibril a.s : Ya Muhammad, Pintu ke tujuh dihuni oleh umatmu yang berdosa besar yang mana mereka mati belum sempat bertaubat. Maka Nabi saw apabila mendengar sahaja kata-kata Jibril, baginda terus menangis sehinggalah baginda pengsan.

Apabila melihat Rasulullah saw pengsan, maka Jibril meriba Nabi saw di atas pangkuannya sehinggalah baginda sedar kembali. Setelah sedar Nabi saw bertanya sekali lagi kepada Jibril : Wahai Jibril, sungguh besar kerisauanku, apakah ada seorang daripada umatku yang akan masuk ke dalam neraka ? Jawab Jibril : Ya, ya Rasulullah iaitu mereka yang berdosa besar di kalangan umatmu.

Nabi saw kemudian menangis lagi, Malaikat Jibril pun turut menangis. Nabi saw kemudian masuk ke rumahnya dan tidak berbicara dengan orang lain dan keluar rumah melainkan untuk solat dan apabila solat baginda sering menangis berdoa kepada Allah SWT.

Wednesday, May 26, 2010

Perbuatan makruh ketika solat



Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda,

من صلى صلاة لوقتها وأسبغ وضوءها وأتم ركوعها وسجودها وخشوعها عرجت وهى بيضاء مسفرة تقول حفظك الله كما حفظتنى ومن صلى لغير وقتها ولم يسبغ وضوءها ولم يتم ركوعها ولا سجودها ولا خشوعها عرجت وهى سوداء مظلمة تقول ضيعك الله كما ضيعتنى حتى إذا كانت حيث شاء الله لفت كما يلف الثوب الخلق فيضرب بها وجهه

Maksudnya : Barangsiapa menunaikan solat pada waktunya dan melengkapkan wuduknya serta menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan khusyuknya nescaya solat itu akan terangkat ke langit dalam keadaan putih dan cemerlang. Ujar solat itu : Semoga Allah memelihara engkau sebagaimana engkau memelihara aku. Barangsiapa menunaikan solat di luar waktunya dan tiada pula melengkapkan wuduknya serta tiada menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan khusyuknya nescaya solat itu akan terangkat dalam keadaan hitam legam. Ujar solat itu : Semoga Allah menyia-nyiakan engkau sebagaimana engkau menyiakan aku. Apabila ia telah sampai ke tempat yang ditetapkan Allah, maka ia pun dilipat-lipat sebagaimana dilipatkan baju yang koyak-koyak lalu dicampakkan solat itu kemuka orang yang melakukannya.

Huraian

Hadis ini mengingatkan kita tentang pentingnya memelihara solat dan mengetahui hal-hal yang mengurangkan pahala solat atau sesuatu yang menyebabkan solat kita ditolak oleh Allah SWT. Antara perkara yang mengurangkan pahala solat ialah apabila melakukan perkara-perkara makruh seperti berikut :

1. Mendongak kepala ke atas.

Hadis Nabi saw,

عن أنس بن مالك رضى الله عنه قال : قال رسول الله (ص) : ما بال أقوام يرفعون أبصارهم إلى السماء فى الصلاة فالشتد قوله فى دلك حتى قال لينتهن عن ذلك أو ليحطفن أبصارهم

Maksudnya : Mengapa ramai orang yang mendongakkan wajahnya ke langit ketika solat ? Baginda megeraskan suaranya ketika mengucapkan hal tersebut sampai baginda bersabda : Hendaklah mereka berhenti dari perbuatan itu atau mata mereka dibutakan.

2. Menoleh-noleh ke kanan atau ke kiri.

Dalilnya sabda Rasulullah saw,

لا يزال الله مقبلا على العبد فى الصلاة ما لم يلتفت , فإ دا صرف وجهه انصرف عنه

Maksudnya : Allah SWT sentasa menerima hamba-Nya ketika ia sedang solat selama mana ia tidak menolah. Jika ia menolah maka Allah SWT pun berpaling daripadanya.

3. Berdiri sambil bercekak pinggang.

Sabda Rasulullah saw,

الإختصار فى الصلاة راحة أهل النار

Maksudnya : Bercekak pinggang ketika solat adalah sikap istirehatnya ahli neraka.

4. Solat dalam keadaan mengantuk.

Sabda Rasulullah saw,

إذا نعس أحدكم فى الصلاة فلينم حتى يعلم ما يقرؤه

Maksudnya : Barangsiapa di antara kamu yang mengantuk ketika solat, maka hendaklah dia tidur terlebih dahulu sehinggalah ia menyedari apa yang dibacanya.

Makruh menguap ketika solat, berludah ke kiri atau ke kanan dan berlebihan membongkok atau menundukkan kepala ketika rukuk.

5. Solat ketika jamuan sudah dihidangkan.

Sabda Rasulullah saw,

إذا وضع العشاء وأقيمت الصلاة فابدؤوا بالعشاء

Maksudnya : Bila makanan malam sudah dihidangkan dan solat telah diqamatkan, maka makanlah dulu. (HR Muslim)

6. Solat dalam keadaan sakit perut hendak buang air besar atau kecil atau menahan kentut

Sabda Rasulullah saw,

لا يصل أحدكم بحضرة الطعام ولا هو يدافعه الأخبثان

Maksudnya : Janganlah seseorang dari kamu melakukan solat dekat dengan hidangan makanan dan janagnlah solat sambil menahan keluarnya sesuatu dari dua jalan iaitu depan dan belakang.

Namun jika waktu solat sudah hampir luput maka hendaklah dia menahannya selama mana tidak memberi mudarat pada dirinya.

7. Solat di tempat yang diragu-ragukan terkena najis.

Dalam sebuah hadis,

أن النبي (ص)نهى أن يصلى فى سبع : المزبلة , والمخزرة , والمقبرة , وقارعه الطريق , والحمام , ومعاطن الإبل , وفوق ظهر بيت الله تعالى

Maksudnya : Nabi melarang melakukan solat ditujuh tempat : Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan binatang, di tanah perkuburan, ditengah jalan, di tempat mandi, tempat unta berpangkal (kandang unta) dan di atas Baitullah.

8. Lain-lain

Makruh meninggalkan surah pada rakaat yang pertama atau kedua selepas membaca surah al-Fatihah. Juga makruh menyaringkan bacaan pada tempat yang semestinya perlahan serta makruh menyaringkan suara di belakang imam.

Wallahualam,

Kuliah Maghrib
Surau Al-Amin
22.5.2010

Tuesday, May 25, 2010

Harapan ayah dan bonda


Buat cahaya mata yang bakal dilahirkan
Ayahanda dan bonda
Menunggumu dengan penuh harapan
Buaian kasih mesra sudah disediakan
Hingga tidur nyenyak kami dodoikan

Biarpun perwira atau jelita
Ayahanda dan bonda terima sahaja
Kami riba , kami ciummu sayang,
Kami timang tinggi-tinggi,
Kami belai dikau wahai belahan hati
Pengarang jiwa, penyejuk rasa

Jika engkau seorang perwira
Gagah perkasa menabur bakti
Pada agama, bangsa dan negara hendaknya

Jika engkau seorang jelita
Parasmu indah berseri-seri
Menambah kembang di taman pertiwi
Memancarkan iman limpahan ilahi

Wahai penggirang jiwa
Baik perwira atau jelita
Ayahanda dan bonda menerima sahaja
Anugerah dari Tuhan itu yang utama

Semoga kehadiranmu bertambah mesra
Ikatan kasih ayahanda dan bonda
Menyemai cinta menyusur ke mati


Nota :
Buat Isteri yang bakal melahirkan, terima kasih sayang !

Monday, May 24, 2010

Kahwin Muhallil (Cina buta)






















Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah : 230


Firman Allah SWT,

“Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu, kalau ia diceraikan (oleh suami baru itu dan habis eddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula ), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Itulah aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang mengetahui dan memahaminya.” (Al-Baqarah 230)

Huraian

Ayat ini turun berkaitan dengan kisah ‘Aisyah binti Abdul Rahman yang telah diceraikan oleh suaminya Rifa’ah bin Wahab dengan talak tiga. Beliau kemudiannya berkahwin pula dengan Abdul Rahman bin Zubair al-Qurazi. Malangnya beliau juga turut diceraikan oleh suami keduanya itu. Setelah itu dia telah datang kepada Rasulullah saw dan berkata : Ya Rasulullah, Dia (Abdul Rahman bin Zubair al-Quraizi) telah menceraikan aku sebelum menyentuhiku (yakni bersetubuh). Bolehkan aku kembali kepada bekas suamiku yang pertama.. Baginda saw menjawab : Tidak boleh selagi tidak di sentuh (yakni bersetubuh dengan isteri kedua).

Berdasarkan ayat di atas, ulama feqah sepakat, sekiranya si suami menceraikan isterinya dengan talak tiga, si suami itu tidak boleh merujuk kembali kepada bekas isterinya melainkan bekas isterinya itu berkahwin dengan suami yang baru melalui perkahwinan yang diiktiraf syariat, sah dan bertujuan kekal bukan perkahwinan yang dirancang (perkahwinan muhallil). Dan berdasarkan hadis di atas perkahwinan dengan suami kedua itu hendaklah berlaku dukhul iaitu jimak.

Jika berlaku penceraian dengan suami kedua (penceraian yang tidak dirancang), setelah tamat eddah maka bolehlah bekas suaminya yang pertama dahulu mengahwininya semula dengan akad nikah dan mahar yang baru. Dan suami pertama akan kembali memiliki tiga talak sekaligus memadamkan talak yang lalu. .

Hal ini berbeza dengan penceraian talaq satu dan talak dua, menurut jumhur (Maliki, Syafie dan Hanbali) perkahwinan kali kedua dengan bekas isteri yang dicerai talak satu atau dua tidak akan memadamkan talak terdahulu. Ini kerana perkahwinan dan persetubuhan dengan suami kedua tidak diperlukan untuk menghalalkan dirinya kepada suami pertama.

Adapun perkahwinan muhallil yakni perkahwinan yang dirancang agar bekas isteri yang dicerai dengan talak 3 boleh kembali kepada bekas suaminya yang pertama setelah berlaku penceraian dengan suami kedua, perkahwinan seperti ini adalah haram, batil dan tidak sah. Jika berlaku juga perkahwinan dengan bekas suami pertama dengan cara ini, maka perkahwinan itu tidak sah dan ia di anggap sebagai perbuatan zina. Ini berdasarkan hadis Rasulullah saw,

ألا أخبركم بالتيس المستعار ؟ قالو : بلى يا رسول الله قال : هو المحلل ,
لعن الله المحلل والمحلل له


Maksudnya : Mahukah kamu jika aku memberitahu siapakah orang yang paling keji lagi hina ? Para sahabat menjawab : Ya, ya Rasulullah. Baginda berkata : Ia adalah al-Muhallil (lelaki yang mengahwini seorang perempuan yang telah dicerai talak tiga dengan tujuan menghalalkannya semula kepada bekas suaminya selepas ia menceraikan) Allah melaknat al-Muhallil dan al-Muhallal lahu (suami yang menjatuhkan talak tiga kemudiannya ingin merujuk semula bekas isterinya melalui perkahwinan muhallil.

Kata Saidina Umar al-Khattab r.a, Tidak dibawa kepadaku muhallil atau muhallal lahu melainkan akan aku rejam kedua-duanya. Abdullah bin Umar ketika menerangkan maksud ayahnya : beliau menjawab kedua-duanya adalah penzina.

Di akhir ayat 230, Allah SWT mengistiharkan bahawa segala hukum-hukum tersebut adalah batasan Allah SWT yang diterangkan dengan sejelas-jelasnya kepada golongan yang tahu akan faedahnya dan sedar terhadap kepentingannya.

Wallahualam.

Kuliah Maghrib,
Ust. Mohd Hishamuddin bin Mansor.

Rujukan,
Tafsir Ahmad Sonhadji, Al-Munir dan Az-Azhar.

Friday, May 21, 2010

Mimpi ngeri seorang wanita


Baru-baru ini seorang wanita dalam lingkungan usia 40-an berjumpa saya.

“Ustaz.., hati saya kecewa, remuk rendam, hancur luluh bagaikan kaca jatuh ke lantai, katanya memulakan cerita.

“Asstaghfirullah …! mengapa sampai begitu sekali wahai Puan ?”,bukankah di sebalik kesusahan ada kesenangan ?” tanya saya.

“Ustaz…, suami saya telah mengkhianati rumahtangga yang telah kami dirikan sekian tahun lamanya. Dia sudah berkahwin lagi satu….”, ujarnya dengan suara tangisan sayu.

“ Bersabarlah wahai Puan…, semuanya itu sudah ditaqdirkan", saya cuba meredakan kesedihannya.

“Tapi ustaz…, dia menipu saya, dia memungkiri janji yang pernah dilafazkan sebelum berkahwin bahawa dia tidak akan menduakan saya selagimana saya hidup di dunia ini”, katanya lagi.

Kali ini tangisannya bertambah kuat.

Saya diam tidak berkata apa, membiarkan dia menangis ... menangis sepuas-puasnya.



“Ustaz, hati saya sungguh kecewa. Apa yang saya perlu lakukan ?" tanyanya tersekat-sekat.

“Puan, banyak-banyakan bersabar. Allah SWT berfirman,

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Surah al-Ankabut ayat 2)

“Tapi ustaz…,ujian ini cukup berat bagi saya. Saya tidak boleh terima hakikat yang saya sudah dimadukan, saya tidak boleh tidur, fikiran saya runsing ”, katanya.

“Puan, jika benar ujian ini cukup berat bagi Puan, Allah SWT ada jawapannya ….,

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” ( Surah Al-Baqarah ayat 28)

Kemudian saya menyambung,

"Puan, Allah SWT Maha Mengasihi Puan. Ya.., Puan tidak boleh tidur lena kerana asyik memikirkan masaalah ini. Tapi tahukah Puan sebenarnya Allah SWT mengajak Puan berkata-kata dengan-Nya. Alangkah indahnya setiap malam yang Puan gelisah, Puan bangun mendirikan solat sunat, membaca al-Quran serta mengadu kepada-Nya. Insya Allah, pasti Puan akan diberi pertunjuk dan kekuatan".

“Terima kasih Ustaz kerana sudi mendengar dan juga menasihat”, ujar wanita ini sambil mengesat air matanya.

“Ya, sama-sama”, saya mengakhiri perbualan.

Wednesday, May 19, 2010

Seputar hukum Talak dan Khulu'


Tafsir al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 229


Firman Allah SWT,

"Talaq itu dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya aatau dilepaskan (diceraikan) dengan cara yang baik. Tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang deceraikan itu), kecuali jika kedua-duanya (suami isteri) takut tidak dapat mengakkan aturan-aaturan hokum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hokum Allah, maka tidak menjadi berdosa mengenai bayaran (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan bayaran itu oleh suami). Itulah aturan-aturan hokum Allah, maka janganlah kamu melanggarinya. Sesiapa yang melanggar aturan-aturan hokum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Al-Baqarah 229)

Huraian ayat

Firman Allah SWT,

Talaq itu dua kali…

Kalau dirujuk kepada latar belakang sebelum ayat ini turun, sudah menjadi tradisi dalam masyarakat Arab jahiliah untuk menceraikan isteri tanpa had. Ada suami yang menceraikan isteri kemudian sebelum tamat eddah, mereka akan merujuk kembali isterinya. Kemudian mereka akan menjatuhkan talak yang lain pula. Perbuatan ini dilakukan berulang kali bertujuan untuk menganiayai wanita. Dengan kata lain, si isteri tetap sebagai isteri selagi mana ia dirujuk ketika dalam eddah, walaupun telah dijatuhkan talak sebanyak 100 kali.

Dengan kedatangan Islam, perbuatan zalim ini telah diperbetulkan. Islam hanya membenarkan talak yang boleh dirujuk itu hanyalah dua kali sahaja. Ini untuk mengelakkan suami mempermain-mainkan institusi perkahwinan sekaligus akan menimbulkan penderitaaan terhadap isteri dan juga anak-anak.

Apabila Allah SWT menyebut Talaq itu dua kali…bermaksud dua talak yang berlainan hendaklah dilakukan secara satu persatu. Justeru menurut jumhur ulama mana-mana suami yang menjatuhkan talak dua atau talak tiga sekali gus, perbuatan itu melanggar peraturan Allah SWT dan talak itu jatuh mengikut bilangannya.

Manakala Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qaiyyim berpendapat talak tiga itu tetap jatuh satu kerana merujuk kepada zaman Rasulullah saw dan juga pemerintahan Abu Bakar a.s. Cuma di zaman Saidina Umar, beliau berijtihad, talak itu jatuh mengikut bilangannya untuk membendung masaalah penceraian disebabkan perbuatan tergesa-gesa suami di zaman tersebut.

Firman-Nya lagi,

….Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikan) dengan cara yang baik..

Setelah bercerai talak satu atau dua, si suami boleh rujuk kembali kepada isterinya dalam tempoh eddah atau hendaklah dilepaskan isterinya itu dengan cara baik supaya dia boleh menentukan kehidupannya sendiri.

Firman Allah SWT seterusnya,

…Tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu),

Ayat ini memberi amaran terhadap suami agar tidak menuntut kembali apa-apa yang telah diberikan kepada bekas isteri sama ada mas kahwin, hantaran atau lain-lainnya

Firman-Nya yang berikut,

…kecuali jika kedua-duanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah…

Tetapi sekiranya kedua-dua pihak bimbang tidak boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri dengan baik, yakni si isteri bimbang akan melakukan perbuatan nusyuz disebabkan perasaan bencinya kepada suaminya atau si suami bimbang akan bertindak di luar batas syara’ di sebabkan perbuatan isterinya yang nusyuz, maka bolehlah si suami menerima apa-apa yang telah diberikan kepada isterinya melalui pencerain khulu’ (tebus talak). Perbuatan ini adalah harus dan tidak dianggap berdosa seperti yang dijelaskan Allah SWT,

Firman Allah SWT,

…Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidak menjadi berdosa mengenai bayaran (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan bayaran itu oleh suami)…

Imam Bukhari, Ibn Majah dan Al-Nasaei meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, sebab ayat ini turun kerana Jamilah iaitu isteri Tsabit bin Qais telah datang berjumpa Rasulullah saw untuk mengadu hal berkaitan suaminya. Kata Jamilah : Ya Rasulullah ! saya ingin mengadu (mengenai suamiku) Thabit bin Qais, saya tidak mencelanya kerana akhlak dan agamanya tetapi saya tidak tahan dengan sifat beliau yang panas baran dan saya pula benci melakukan kekufuran dalam Islam (kufur nikmat layanan dan pergaulan yang baik dan mengkhianatinya). Baginda bertanya : Adakah engkau sanggup mengembalikan kebunnya ? Dia menjawab : Ya. Kemudian Rasulullah saw berkata kepada Thabit : Terimalah kebun tersebut dan ceraikannya dengan talak 1.

Penceraian khulu’ adalah dari kemahuan dan kerelaan perempuan itu sendiri. Justeru, jumhur ulama menyatakan penceraian secara khulu’(tebus talaq) boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada di lakukan ketika isteri sedang haid atau suci. Ia berbeza dengan talak biasa dimana suami diharamkan menceraikan isterinya ketika haid dan di waktu suci yang telah disetubuhi.

Para ulama telah berselisih pendapat mengenai kadar khuluk yang perlu dibayar oleh isteri kepada suami. Setengah mereka mengatakan si suami hendaklah bertimbang rasa dan tidak boleh mengambil kadar yang lebih dari kadar yang telah diberikan kepada isteri sebelumnya kerana perbuatan itu boleh menganayai isterinya.

Manakala setengah pendapat yang lain mengatakan kadar khuluk itu terpulang kepada suami, dialah yang menetapkan berapa kadar yang perlu di bayar oleh si isteri sebagaimana si isteri berhak menetapkan kadar maskahwinnya. Namun apa yang penting kadar khuluk itu hendaklah dipersetujui antara kedua belah pihak di hadapan seorang Hakim.

Berlainan dengan talak raj’ei, mana-mana suami yang hendak rujuk kepada isterinya selepas diceraikan dengan cara khuluk, maka wajiblah dia minta kebenaran dari bekas isterinya. Dengan kata lain, rujuk itu tidak sah tanpa kehendak isteri.

Firman Allah SWT,

…Itulah aturan-aturan hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarinya. Sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (229) .


Seterusnya dihujung ayat ini, Allah SWT memberi amaran dan ancaman terhadap orang-orang yang melanggar hukum Allah SWT. Hukum nikah, hukum talak, hukum rujuk dan hukum khuluk adalah peraturan daripada Allah SWT. Barangsiapa membantah hukum ini Allah SWT sifatkan mereka sebagai orang-orang yang zalim, yakni zalim terhadap diri sendiri, zalim terhadap isteri, zalim terhadap anak-anak bahkan zalim terhadap masyarakat secara amnya.

Wallahualam.

Kuliah Maghrib
Ust Hj Hishamuddin Mansor

Rujukan
Tafsir Ahmad Sonhadji, Al-Munir dan Al-Azhar.

Monday, May 17, 2010

Bagaimana hukum potong tangan dilaksanakan






















Firman Allah SWT,

“Lelaki yang mencuri dan wanita yang mencuri, maka potonglah tangan kedua mereka (sebagai) pembalasan atas apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah s.w.t” [al-Maaidah : 38].

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut pencuri lelaki dahulu kemudian baru wanita kerana jenayah ini biasanya didominasi oleh kaum lelaki.

Anggota Yang Wajib DiPotong

Menurut Imam Abu Hanifah jika pesalah itu melakukan kesalahan mencuri kali pertama, maka hendaklah dipotong tangan kanannya. Kemudian jika dia melakukan kesalahan kali kedua maka hendaklah dipotong pula kaki kirinya. Jika dia kembali semula mencuri selepas itu, maka dia akan dipenjarakan ke suatu waktu yang tidak ditetapkan masanya sehinggalah dia mati atau dia terang-terang bertaubat.



Tetapi menurut Imam Malik dan Imam Syafie, anggota yang wajib dipotong ialah tangan kanannya bagi kesalahan pertama, jika dia mencuri kali kedua, maka hendaklah dipotong pula kaki kirinya, dan jika dia mencuri kali ketiga maka hendaklah dipotong pula tangan kirinya dan jika dia mencuri kali keempat maka hendaklah dipotong pula kaki kanannya. Andainya sesudah itu, dia masih mencuri lagi maka dia akan dipenjarakan sehingga mati atau sehingga terang-terang dia bertaubat.

Tempat Yang Wajib DiPotong

Terdapat khilaf di kalangan ulama tentang tempat yang wajib dipotong. Menurut Imam-Imam Mazhab yang empat, tempat yang wajib dipotong ialah pada pergelangan tangan Manakala ulama di kalangan Mazhab Syiah Imamiah berpendapat tempat yang wajib dipotong ialah di pangkal jari-jari, sementara golongan Mazhab Khawarij pula ialah di bahu tangan.

Pada anggota kaki pula, tempat yang wajib dipotong menurut jumhur ulama ialah sendi buku lali kaki. Manakala Mazhab Syiah Imamiah pula berpendapat, tempat yang wajib dipotong ialah di bahagian hadapan kaki tidak termasuk tumit.

Cara Memotong

Hendaklah memotong pada sendi pergelangan tangan atau pada sendi buku lali. Selepas sendi-sendi itu dipotong, sunat menurut Al-Shafie dan Ahmad, direndamkan bahagian yang dipotong itu ke dalam minyak yang mendidik untuk mematikan urat-urat yang terputus dan menghentikan darah terus mengalir.

Mengggantung tangan yang dipotong

Di dalam masaalah ini terdapat dua pandangan daripada para ulama : Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendapat, tangan pencuri yang telah dipotong sunat di gantung kelehernya untuk beberapa waktu agar ia menjadi satu pengajaran yang menakutkan kepada orang ramai.

Tentang kadar masa gantungan itu, ulama di kalangan Mazhab Hanbali tidak menghadkan kadar masanya, tetapi menurut ulama di kalangan Mazhab Shafie masanya adalah selama satu jam. Manakala ulama di kalangan Mazhab Hanafi dan Maliki tidak menyebut langsung tentang hukum menggantungkan tangan pencuri.

Ketiadaan Anggota Yang Wajib Di Potong

Ulama telah bersetuju bahawa pembalasan potong akan gugur apabila anggota yang wajib dipotong tidak ada akibat sesuatu yang berlaku selepas kejadian curi, sama ada sakit atau menjalani hukuman qisas. Kerana itu sesiapa yang kehilangan tangan kanannya kerana sesuatu peristiwa selepas dia melakukan kesalahan mencuri, maka pembalasan potong tidak lagi wajib ke atasnya dan ia tidak boleh dipindahkan ke kaki kirinya. Akan tetapi jika peristiwa itu berlaku sebelum dia melakukan kesalahan mencuri, maka pembalasan potong tetap akan dijalankan yakni berpindah ke kaki kirinya. Wallahualam.


Dikuliahkan oleh,
Ust. Mohd Hishamuddin bin Mansor.

Rujukan,

1.Undang Undang Jenayah Islam –Dr. Mat Saad Abd Rahman, Penerbit Hizbi Shah Alam
2.Jinayah Dalam Islam – Dr. Mahfodz Mohammad, Nurin Enterprise Kuala Lumpur
3.Milenia Muslim, Jun 2006 m.s 36.

Friday, May 14, 2010

Semoga rohnya dicucuri rahmat


Mengukir senyuman sebelum dikafankan..

Pemergiannya amat dirasai. Biarpun sewaktu hidup, Almarhum Ust Hj Ashaari bin Muhammad berdepan dengan pelbagai 'kontroversi', namun peranan dan sumbangannya terhadap dakwah Islamiah tidak boleh dinafikan.

Terus terang saya katakan, saya tidak pernah berjumpa dengannya dan tidak pernah melibatkan diri dengan aktiviti jemaah yang dipimpinnya.

Namun semasa menuntut di UKM, saya pernah ke Sg Penchala bertemu dengan beberapa orang jemaah al-Arqam untuk mendapatkan nasihat mengenai program 'Malam Kesenian Islam', dimana saya adalah pengarahnya.

Selain itu saya juga sering membaca buku-buku dan rencana yang ditulis oleh Almarhum.

Antara buku Almarhum yang pernah saya tatap ialah 'Mengenal Diri Melalui Rasa Hati'. Masya Allah..., gaya tulisannya bersahaja.... namun sentuhannya sungguh berbisa.

Membaca buku ini seolah-olah saya sedang bertalaqqi di hadapannya. Beliau 'memukul' dengan lembut, 'merawat' dengan hikmah dan 'mendidik' dengan kasih sayang.

Butiran nasihat yang dicurahkan dalam tulisannya, menjadikan saya seolah-olah seperti anak yang sedang berada dalam dakapan seorang bapa.

Saya juga tidak ketinggalan untuk memiliki kaset-kaset nasyid kumpulan Nada Murni. Lagu-lagu Islamik yang didendangkan oleh anak muridnya iaitu Almarhum Ust Asri sungguh merdu, syahdu dan meresap ke dalam jiwa.

Antara lirik lagu-lagu yang masih saya ingat seperti, 'Sunnah Orang Berjuang', 'Di Pondok Kecil' dan 'Munajat'.





Akhir kalam, Ya Allah..., Engkau cucurilah rahmat ke atas rohnya.Amin.

Pembatal solat


1. Makan atau minum dengan sengaja.

Maksudnya sama ada makanan yang dimakan itu sedikit atau banyak walaupun menelan makanan yang terdapat di celah-celah gigi sebesar gula pasir atau makanan itu di hisap, di kunyah, dihancurkan kemudian di telan maka batallah solatnya.

Namun jika jika seseorang itu makan atau minum dengan tidak sengaja kerana terlupa atau jahil disebabkan tinggal berjauhan dari ulama, maka ia tidak membatalkan solat.

2. Berkata-kata dengan sengaja.

Sekiranya seseorang itu berkata-kata dengan sengaja sedangkan dia tahu bahawa perbuatan itu adalah haram sekalipun satu huruf yang tidak difahami atau berdehem-dehem tanpa sebab, atau menghembuskan nafas dengan kuat sama ada melalui mulut atau hidung maka batallah solatnya.

Adalah tidak batal solat jika seseorang itu berkata-kata kerana jahil disebabkan baru memeluk Islam Namun jika seseorang itu berdehem ketika solat kerana batuk atau untuk membaikkan suara didalam solat, maka hukumnya adalah harus.

Begitu juga sekiranya sesorang makmum yang bertasbih kerana ingin mengingatkan imam yang terlupa rukun maka ia tidak membatalkan solat. Namun bagi perempuan jika hendak menegur imam yang terlupa rukun, maka hendaklah dengan menepuk belakang tapak tangannya.

Jika seseorang memberi salam ketika solat maka salam tersebut wajib dijawab tetapi bukan dengan suara sebaliknya dengan isyarat pergelangan tangan. Jika dia menjawab dengan suara maka batallah solatnya.

Jika kita sedang bersolat di dalam rumah seorang diri, tiba-tiba ada orang memberi salam maka boleh kita menguatkan bacaan al-Fatihah atau surah atau sebutan 'Allahhuakbar' ketika bertukar rukun.Ini sekadar memberitahu orang yang berkunjung kerumah bahawa kita sedang bersalat ketika ia memberi salam

3. Berhadas sebelum salam yang pertama.



















Jika seseorang sedang solat, tiba-tiba air mani atau mazinyanya keluar sama ada sedikit atau banyak atau terkentut sama ada kuat atau perlahan atau terberak maka batallah solatnya.

4. Terkena najis pada badan atau pakaian.

Namun jika terjatuh najis sama ada basah atau kering pada pakaian seperti songkok atau serban lalu dengan segera (sekadar masa tumakninah) dicampakkan maka ia tidak membatalkan solat. Sah solat sekiranya seseorang memakai minyak wangi yang ada kandungan alcohol, selagi minyak wangi itu tidak mengandungi najis atau bahan yang diharamkan.

Juga sah solat jika kucing peliharaan menjilat-jilat tapak kaki sewaktu sedang solat kerana kucing tidak dianggap binatang yang najis. Sama seperti lintah jika ia menghisap kaki orang yang sedang solat, maka solatnya tetap sah tidak batal melainkan sekiranya darah keluar akibat gigitan tersebut.

5. Ketawa berdekah-dekah

Maksudnya jika seseorang yang tertawa dengan mengeluarkan bunyi atau suara maka batallah solatnya. Namun jika seseorang yang ketawa yang tidak dapat dielak serta tidak mengeluarkan suara (ketawa dalam hati) maka solatnya tidak batal.

6. Banyak bergerak yang bukan gerakan solat.

Maksudnya melakukan perbuatan yang banyak berturut-turut sama ada sengaja atau terlupa lebih dari tiga kali seperti menggeleng-gelengkan kepala atau menggerakan tangan atau kaki maka batallah solatnya.

Tetapi sekiranya gerakan tersebut sedikit, atau hanya melibatkan anggota badan yang kecil seperti jari-jari, kelopak mata, bibir , mulut atau kemaluan maka ia tidak membatalkan solat. Sekiranya seseorang itu mengeluarkan lidahnya serta menggerakkannya tiga kali berturut-turut, maka batallah solatnya.

Jika seseorang itu menggaru anggota badannya lebih dari tiga kali kerana hajat seperti terkena penyakit gatal-gatal maka dia dimaafkan.

7. Terbuka atau membuka aurat dengan sengaja

Jika seseorang yang sedang solat, tiba-tiba kainnya di buka oleh kanak-kanak atau monyet sehingga terbuka auratnya maka batallah solatnya. Namun jika seseorang mendirikan solat, tiba-tiba kainnya ditiup angin lalu terbuka aurat kemudian dengan segera dia menutupnya kembali (sekadar masa tumakninah) maka ia tidak membatalkan solat.

Tetapi sekiranya yang demikian itu menyebabkan dia terpaksa melakukan gerakan yang banyak maka batallah solatnya.

8. Berpaling daripada Qiblat

Maksudnya jika dadanya bergerak sama ada ke kiri atau ke kanan walaupun sebab di rempuh atau ditolak, biar pun membetulkannya kembali dengan kadar segera, maka batallah solatnya. Di kecualikan bagi orang yang mendirikan solat khauf.

9. Berubah niat

Maksudnya seseorang yang mendirikan solat tiba-tiba berniat mahu menghentikan solatnya atau merasa ragu-ragu sama ada mahu menghenti atau meneruskan solatnya maka batallah solatnya.

Demikian juga batal solat sekiranya seseorang itu berniat hendak menukar solatnya dari Zuhor kepada Asar melainkan jika seseorang yang mendirikan solat fardhu, seperti solat Zuhor hendak ditukarkan menjadi solat sunat zuhor qabliah dengan cara meringkaskannya menjadi dua rakaat kerana mahu mendirikan solat secara berjemaah, maka hukumnya adalah harus.

10. Memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja

Maksudnya seseorang yang sengaja memanjangkan masa ketika iktidalnya, atau ketika duduk antara dua sujud, maka batallah solatnya.

11. Mendahului imam atau terkemudian dari Imam tanpa uzur

Maksudnya seseorang yang solat kemudian sengaja mendahului imam dengan dua rukun. atau makmum yang ketinggalan daripada Imam sehingga dua rukun tanpa uzur maka batallah solatnya.

12. Murtad

Sama ada dengan perkataan, atau berazam dalam hati seperti memasang niat untuk memeluk agama Kristian pada esok hari dan sebagainya.


Kuliah Maghrib

SMK Vokasional Ampangan
Khamis, 13.5.2010

Rujukan,

Sabilal Muhtadin
Kitab Idaman Penuntut Pada Menghuraikan Yang Kusut

Thursday, May 13, 2010

TAHNIAH AJK VILA SURIA !

Semalam apabila saya 'google' perkataan Vila Suria, jelas terpampang sebuah blog untuk komuniti di Vila Suria, Bandar Warisan Puteri Sikamat.

Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ybhg Prof. Madya Halim Ramli (gambar) dan AJK-AJKnya kerana telah berjaya melahirkan blog ini untuk tatapan dan saluran informasi penduduk di Vila Suria.

Moga-moga blog ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita. Bagi mereka yang ingin melayari blog ini sila ke alamat berikut :

http://vilasuria.blogspot.com/2010_05_01_archive.html

Wassalam.

Wednesday, May 12, 2010

Sempurnakan Solat Anda (siri 2)



Pendahuluan

Alhamdulillah siri lepas kita sudah membicarakan kaifiat mendrikan solat sehingga sampai kepada tajuk membaca surah al-Fatihah. Kali ini kita sambung lagi dengan beberapa tajuk iaitu :

10. Rukuk

Ia adalah fardhu dalam setiap solat yang dilakukan berdasarkan firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu dan sujudlah kamu” (al-Hajj : 77)

Cara bagi rukuk ialah membongkok dan meluruskan tulang punggung sehingga kedua telapak tangan mencapai lutut. Sunat merenggangkan jari ketika rukuk berdasarkan hadis Nabi saw,

أن النبي (ص) كان إذا ركع فرج بين أصابعه , وإذا سجد ضم أصابعه

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi saw apabila rukuk, baginda membuka (merenggangkan) jari-jarinya dan apabila sujud Nabi merapat-rapatkan jarinya.

Semasa rukuk di sunatkan membaca tasbih ini sebanyak tiga kali,

سبحان ربي العظيم

Maksudnya : Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agong

Atau

سبحان ربي العظيم وبحمده

Maksudnya : Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agong dan Terpuji

Atau

سبوح قدوس رب الملائكة والروح

Maksudnya : Yang Maha Suci Lagi Maha Bersih, Penguasa Malaikat dan Roh

Tempoh masa ruku, berdiri sesudah rukuk, sujud dan duduk di antara sujud seperti yang dilakukan oleh Rasulullah saw adalah hampir sama.

11. Iktidal

Selesai melakukan rukuk, solat diteruskan dengan Iktidal iaitu bangkit berdiri tegak dengan mengangkat kedua tangan sampai ke bahu atau telinga dengan jari terbuka sedikit seperti ketika Takbiratul Ihram.

Sewaktu mengangkat tulang punggung sesudah rukuk Nabi saw membaca,

سمع الله لمن حمدة

Maksudnya : Allah SWT mendengar orang memuji-Nya.

Kemudian setelah berdiri lurus, Nabi saw membaca pula,

ربنا (و) لك الحمد

Maksudnya : Tuhan Kami, dan untuk-Mu segala pujian.

12. Sujud

Selepas melakukan iktidal, adalah fardhu bagi setiap orang yang menunaikan solat untuk sujud. Berikut beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ketika sujud.



Pertama :- Berdasarkan mazhab Syafie, hendaklah mendahulukan lutut ke lantai sebelum tangan sebagaimana hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Syuraik bin Abdullah an-Nakhaei,

رأيت رسول الله (ص) إذا سجد , وضع ركبتيه قبل يديه وإذا نهض رفع يديه ركبتيه

Maksudnya : Aku telah melihat Rasulullah saw apabila sujud, baginda akan meletakkan kedua lututnya sebelum tangannya dan apabila bangkit, baginda akan mengangkat kedua belah tangannya sebelum lutut. (HR Abu Daud, an-Nasaei)

Kedua :- Ulama bersepakat bahawa sujud yang sempurna mesti dilakukan di atas 7 anggota. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim,

أمرت أن أسجد على سبعة أعظم , وعلى الجبهة , وأشار بيده على أنفه , واليدين واركبتين وأطراف القدمين


Maksudnya : Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud : Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki. (Mutafaqqun ‘alaih)


Ketiga :- Semasa sujud, hendaklah pastikan dahi terbuka tanpa ada sesuatu yang menghalang seperti kain atau rambut. Sabda Rasulullah saw,

أمرت أن أسجد على سبعة , لا أكف شعرا ولا ثوبا

Maksudnya : Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh anggota, tidak ditutupi oleh rambut dan baju.

Selain itu hendaklah menekan dahi itu ke lantai yakni tidak memadai hanya mencecahnya sahaja. Dalilnya ialah hadis Nabi saw,

إذا سجدت فمكن جبهتك من الأرض ولا تنقر نقرا

Maksudnya : Apabila kamu sujud, hendaklah kamu menekan dahimu ke bumi dan jangan hanya mencecah semata-mata untuk cepat.

Keempat : - Ketika sujud hendaklah merapatkan jari sebagaimana hadis Nabi saw,

أن النبي (ص) كان إذا ركع فرج بين أصابعه , وإذا سجد ضم أصابعه

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi saw apabila rukuk, baginda membuka (merenggangkan) jari-jarinya dan apabila sujud Nabi merapat-rapatkan jarinya.

Sunat membaca 3 kali tasbih ketika sujud iaitu :

سبحان ربي الأعلى

Maksudnya : Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi

Atau

سبحان ربي الأعلى وبحمده

Maksudnya : Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dan Terpuji

Atau

سبوح قدوس رب الملائكة والروح

Maksudnya : Yang Maha Suci Lagi Maha Bersih, Penguasa Malaikat dan Roh

13. Duduk di antara dua sujud

Duduk ini dikenali sebagai iftirasy. Menurut sunnah, duduk cara ini ialah dengan melipatkan kaki kiri sebagai alas duduk, manakala telapak kaki kanan ditegakkan di atas lantai dan hujung jari kaki mengadap kea rah qiblat. Tiada perbezaan duduk seperti ini antara lelaki dan wanita.

Dalilnya ialah sebuah hadis daripada Aisyah r.anha,

أن النبي (ص) كان يفرش رجله اليسرى وينصب اليمنى

Maksudnya : Nabi saw (ketika duduk antara dua sujud) menghamparkan kaki kiri dan menegakkan telapak kaki kanannya. (Mutafaqqun ‘alaih)


Walaubagaimanapun adalah harus duduk dengan cara menghamparkan kedua telapak kaki dan duduk di atas kedua tumit. Ini juga berdasarkan hadis Nabi saw,

أن اب عباس سئل عن الإقعاء على القدمين ؟ فقال هى سنة نبيك (ص)

Maksudnya : Ibnu ‘Abbas di tanya tentang duduk di atas kedua tumit, maka jelasnya : Itu adalah sunnah Nabimu.

Bacaan ketika duduk antara dua sujud,

رب اغفرلى وارحمنى واجبرنى وارفعنى وارزقنى واهدنى وعافنى واععنى

Maksudnya : Ya Allah ampunilah aku, belas kasihanilah aku dan angkatlah darjatku dan cukuplah segala kekuranganku dan berilah rezeki kepadaku, dan berilah aku pertunjuk dan sejahterakanlah aku dan berilah keampunan kepadaku.

Atau

رب اغفرلى , رب اغفرلى

Maksudnya : Ya Allah ampunilah dosaku, Ya Allah ampunilah dosaku

14. Sujud kedua

Sama seperti sujud pertama dari segi cara dan bacaannya.

15. Duduk Istirahah

Menurut mazhab Syafie rhm, adalah sunat duduk sebentar selepas sujud, sebelum bangun untuk rakaat seterusnya.

16. Bangun untuk rakaat seterusnya

Menurut mazhab Syafie, ketika bangun Nabi saw akan meletakkan tangannya di atas lantai sebelum berdiri. Dalilnya ialah sebuah hadis Rasulullah saw,

إذا رفع رأسه عن السجدة الثانية واعتمد على الأرض ثم قام

Maksudnya : Apabila Nabi saw mengangkat kepalanya dari sujud kedua, Nabi akan duduk sebentar dan bergantung kepada bumi kemudian bangkit berdiri.

17. Tahyat awal / akhir

Adalah sunat mengangkat jari telunjuk semasa melafazkan syahadah. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah saw yang mafhumnya,

“Sesungguhnya Nabi sawapabila bertasyahhud, baginda meletakkan tangan kirinya di atas peha kiri, tangan kanan di atas peha kanan dan mengisyaratkan dengan jari telunjukkanya serta tidak melepaskan pandangan matanya dari jari isyaratnya”

18. Memberi salam

Menurut mazhab Syafie, memberi salam yang pertama hukumnya adalah wajib, manakala yang kedua hukumnya adalah sunat sama ada ketika solat bersendirian atau berjemaah.

Sunat memperlahankan salam kedua daripada yang pertama.

Jika solat berjemaah adalah digalakkan makmum menjawab salam imam dengan syarat setelah mereka juga melafazkan salam. Wallahualam.

Kuliah Maghrib
Surau Sek. Men. Keb Vokasional Ampangan
Khamis , 29.4.2010

Monday, May 10, 2010

Al-Quran hanya sebut jasa ibu ?



Al-Quran hanya mengutamakan ibu ? Menurut orientalis barat dan musuh-musuh Islam, apabila memperkatakan tentang jasa ibu bapa, Al-Quran tidak berlaku adil kerana hanya menyebut jasa ibu sahaja, sedangkan jasa bapa tidak disebut langsung.

Persoalannya, mengapa berlaku diskriminasi ? Bukankah bapa juga memppunyai peranan yang penting dan berat dalam rumah tangga ?
Cuba lihat surah Al-Ahqaf ayat 15,

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungkannya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga bpuluh bulan …" (15)

Manakala dalam surah Luqman ayat 14 Allah SWT berfirman,

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun ; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepad kedua ibubapamu ; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) "(14)

Bagaimana boleh berlakunya diskriminasi ini ?

Jawapan

Sesungguhnya tidak ada apa-apa diskriminasi seperti yang di sebut oleh Al-Quran pada kedua-dua ayat di atas. Apabila kita kembali kepada peranan asal ibubapa, ibu fungsinya ialah di rumah menjaga anak-anak manakala bapa fungsinya keluar bekerja mencari rezeki.

Tujuan Al-Quran menyebut jasa ibu sahaja kerana pada kebiasaannya jasa ibu seperti mengandung, melahir dan menyusukan adalah bersifat tersembunyi daripada pengetahuan si anak kerana pada masa itu si anak masih dalam perut ibu atau masih kecil serta tidak mampu berfikir.

Sedangkan jasa bapa boleh dilihat oleh mata kepala si anak apabila dia sudah mampu berfikir. Si anak akan melihat bapa lebih berperanan besar dalam rumahtangga berbanding ibu seperti keluar bekerja mencari rezeki dan sebagainya.

Jadi , untuk mengelakkan salah tanggapan si anak terhadap jasa kedua ibubapanya, maka sebab itulah Al-Quran hanya menyebut jasa ibu sahaja tanpa menyebut jasa bapa kerana jasa bapa sudah di ketahui oleh si anak sedangkan jasa ibu bersifat tersembunyi.

Buat baiklah kepada ibu bapa

Sabda Rasulullah saw,

كل الذنوب يغفر الله منها ما شاء إلا عقوق الوالدين فإنه يعجل لصاحبه
العقوبة فى الحياة قبل الممات


Maksudnya : Segala dosa diampuni Allah daripadanya mana yang Dia kehendaki kecuali dosa derhaka kepada ibu bapa. Sesungguhnya dosa derhaka terhadap ibubapa memncepatkan balasan azab ketika hidup dan sebelum mati.

جاء رجل من قضاعة إالى النبي (ص) فقال : يا رسول الله أرأيت أنى إن شهدت لا اله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وصمت رمضان وقمت لياليه وأديت الزكاة فممن أنا ؟ فقال النبي (ص) له , من مات على هذا كان مع النبين والصديقين والشهداء يوم القيامة هكذا ونصب أصبعه ما لم يعق والديه

Maksudnya : Telah datang seorang lelaki dari Qudho'ah berjumpa Nabi saw lalu bertanya, Apa pandangan engkau jika aku naik saksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya engkau pesuruh Allah dan aku solat lima waktu sehari semalam dan aku berpuasa di bulan Ramadhan dan aku bangun pada waktu malam dan aku mengeluarkan zakat maka bagaimanakah kedudukan aku ? Maka Nabi saw menjawab, barangsiap mati dalam melakukan perkara demikian maka sesungguhnya dia akan bersama para Nabi dan para Siddiqin dan para syuhadak di hari Qiamat nanti seperti ini (Nabi menunjukkan dua jarinya) selagi mana dia tidak derhaka kepada kedua ibubapanya.

Sabda Rasulullah saw,

ما من عبد أتاه الله تعالى مالا ثم لم يؤد حق والديه إلا أحبط الله عز وجل عمله وأذاقه العذاب الأليم

Maksudnya : Tidaklah seorang haamba yang dikurniakan rezeki oleh Allah kemudian dia tidak memuliakan kedua orang tuanya, kecuali Allah SWT menghapuskan amal kebajikannya dan menyeksanya dengan seksaan yang pedih.

Wallahualam

Saturday, May 8, 2010

Nabi saw perintahkan tujuh perkara



Dalam sebuah hadis,

عن البراء بن عازب رضى الله عنه قال أمرنا النبي (ص) بسبع ونهانا عن سبع أمرنا بعيادة المريض وإتباع الجنازة وتشميت العاطس وإبرار المقسم ونصر المظلوم وإفشاء السلام وإجابة الداعى ونهانا عن خواتم أو التختم بالذهب وعن أنية الفضة وعن المياثر وعن القسى وعن لبس الحرير والإستبراق والدباج


Maksudnya : Rasulullah saw. memerintahkan kami untuk melaksanakan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara. Beliau memerintahkan kami menjenguk orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin (mengucap yarhamukallah), melaksanakan sumpah dengan benar, menolong orang yang teraniaya, memenuhi undangan dan menyebarkan salam. Beliau melarang kami memakai cincin emas, minum dengan bejana dari perak, memakai pelana sutera, memakai pakaian baju sutera baik yang tebal dan tipis

Huraian

Dalam hadis ini Nabi saw menyuruh kita melakuakan tujuh perkara iaitu :

1. Menziarah orang sakit.

Dalam hadis yang lain Nabi saw bersabda :

عائد المريض فى مخرفة الجنة حتى يرجع

Maksudnya : Orang yang menziarahi orang yang sakit, dia berada dalam taman syurga sehinggalah dia pulang. ( HR Muslim)

Di antara adab ketika menziarahi orang sakit ialah tidak duduk terlalu lama ketika berziarah kerana dikhuatiri orang yang sakit itu merasa kurang selesa, keluh kesah dan menghalang pergerakannya.

Walaubagaimanapun jika kunjungan yang lama itu dapat mententeram dan menghiburkan hati pesakit , maka hukumnya adalah harus. Disunatkan juga mendoakan orang sakit dengan doa-doa tertentu seperti berikut :

بسم الله الشافى , بسم الله الكافى , بسم الله المعافى , بسم الله الوافى , بسم الله رب السموات ولأرض و بسم الله الذى لا يضر مع اسمه شئ فى الأرض ولا فى السماء وهو السميع العليم

Maksudnya : Dengan nama Allah yang Maha Menyembuhkan, dengan Nama Allah Yang Maha Sempurna, Dengan Nama Allah Yang Maha Menyihatkan, Dengan Nama Allah Yang Maha Menyempurnakan, Dengan Nma Allah Yang memiliki Langit dan Bumi, Dengan nama Allah Yang Tidak Memberi Mudharat Sesuatu di Bumi juga Langit dan Dia Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.

Boleh juga dibacakan beberapa surah pendek seperti surah al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al Falaq dan Surah An-Naas.

Manakala bagi orang yang nazak, maka sunat bagi orang yang menziarahinya lebih-lebih lagi orang yang akrab dengan pesakit mentalqinkan atau membisikkan di telinganya kalimah 'Laa ilahahillallah', mudah-mudahan matinya nanti diakhiri dengan menyebut kalimah 'Laa ilahahillallah'.

Di samping itu hendaklah mententeramkan hati pesakit dengan kata-kata semangat dan menyuruhnya agar bersabar.

2. Mengiringi jenazah



Yang kedua Nabi saw memerintahkan agar kita mengiringi jenazah orang yang meninnggal ke kubur. Hukum ini hanyalah untuk kaum lelaki, manakala bagi kaum wanita seelok-eloknya hendaklah dielakkan bagi melindungi dirinya dari fitnah seperti meratap dan meraung.

Sewaktu menghantar jenazah ke kubur, hendaklah mematuhi beberapa adab. Antaranya ialah bersegera menghantarnya tanah perkuburan. Sabda Rasulullah saw,

أسرعوا بالجنازة فإن تك صالحة فخير تقدمونها إليه وإن تك سوى ذلك فشر تضعونه عن رقبكم

Maksudnya : Hendaklah kamu segera mengkebumikan jenazah(mayat), jika jenazah itu baik kamu mendekatkan dia kepada kebajikan, dan jika jenazah itu tidak baik bererti kamu melepaskan kejahatan daripada tengkok kamu. (Muttafaqun Alaihi)

Maksud segera di sini tidaklah sampai membahayakan jenazah. Semasa menghantar jenazah di larang bergurau senda atau membicarakan masalah dunia, sebaliknya hendaklah mengambil pengajaran daripada musibah dan kematian yang menimpa.

Menurut mazhab Syafie adalah harus orang Islam menanggung jenazah orang kafir dan mengiringinya sehingga ke kubur sekiranya mayat tersebut adalah saudaranya dan tidak ada orang musyrikin yang menanggung dan mengiringinya.

3. Mendoakan orang yang bersin


















Dalam hadis ini juga Nabi saw memerintahkan agar mendokan orang yang bersin dengan ucapan Yarhamkumullah. Manakala bagi orang yang bersin sekiranya mendengar orang mendokannya, maka sunat pula baginya membalas dengan doa Yahdikumullahu Wa Yushlihu Balakum.

Mendoakan orang bersin ini maksimumnya hanya tiga kali sahaja berdasarkan hadis Rasulullah saw yang datangnya dari Abu Hurairah r.a mafhumnya,

“Doakan saudaramu yang bersin sebanyak tiga kali kalau lebih dari tiga maka dia sedang selsema.”

Perlu diketahui bahawa hukum sunat mendoakan orang yang bersin itu sekiranya dia menyebut Al-Hamdulillah berdasarkan hadis Rasulullah saw,

“Jika seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan Alhamdulillah, maka hendaklah kamu mendoakannya. Jika dia tidak mengucapkan Alhamdulillah, maka JANGAN mendoakannya!”

Bersin merupakan salah satu aktiviti yang dilakukan oleh tubuh badan sama ada sengaja atau tidak. Bersin yang sengaja misalnya jika kita merasa gatal hidung, maka jika kita gosok-gosok hidung kita, cepat atau lambat kita akan bersin. Sedangkan bersin yg tidak disengaja misalnya karena sakit alergi atau saat kita melihat kilauan cahaya akan mengakibatkan bersin.

Dari sudut kesihatan, bersin merupakan salah satu cara tubuh untuk mengeluarkan virus/bakteri/’bibit penyakit’. Justeru adalah sunnah untuk meletakkan tangan, atau sapu tangan di mulut untuk mengelakkkan virus merebak sekaligus mengurangkan nada suara bersandarkan kepada satu riwayat oleh Abu Daud dan At Termidzi daripada Abu Hurairah r.a, katanya;

“Adalah Rasulullah s.a.w. jika bersin, Baginda s.a.w letakkan tangannya, atau bajunya di mulutnya untuk mengurangkan bunyi suaranya”.

4. Melaksanakan sumpah

Sumpah menurut pengertian syara’ yaitu mentahkikkan atau menguatkan sesuatu dengan menyebut nama Allah S WT, seperti; walLahi, bilLahi, talLahi.

Sabda Rasulullah saw,

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ أَوْ لِيَصْمُتْ.

Maksudnya : Barangsiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah. (HR Bukhari)

Ada tiga sumpah yang dilarang oleh Rasulullah saw sebagaimana sabda baginda,

لا نذر ولا يمين فيما لا يملك ابن أدم ولا في معصية الله ولا في قطعة رحم

Maksudnya : Tidak ada Nazar dan tidak ada sumpah pada perkara yang tidak dapat dikuasai oleh anak Adam,dan tidak pula dalam hal yang maksiat kepada Allah SWTdan tidak pula dalam hal yang memutuskan silaturrahim. (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Berdasarkan hadis ini tiga sumpah tersebut ialah :

1. Bersumpah dalam perkara yang tidak dapat dikuasai oleh seseorang seperti ungkapan : “Wallahi, anak aku pasti akan berjaya dalam peperiksaan SPM pada hujung tahun ini”

2. Bersumpah untuk melakukan maksiat seperti katanya “Wallahi aku akan berjudi pada petang ini”.

3. Bersumpah untuk memutuskan silaturrahim seperti katanya “Wallahi aku tidak akan menegurnya kembali”.

Seseorang yang bersumpah tetapi tidak menunaikannya maka hendaklah dia membayar kaffarah sumpah iaitu memerdekakan seorang hamba atau memberi makan kepada 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang miskin atau jika tidak dapat (menunaikan tiga pilihan kafarat di atas), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari.

Islam memandang hina orang yang suka bersumpah walaupun dalam hal yang remeh temeh kerana ia menunjukkan penghinaan dan kurang penghormatan terhadap kalimah sumpah.

Firman Allah SWT,

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَهِينٍ

Maksudnya “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina”. (Surah Al-Qalam : 10)

Kata Imam as-Syafie rhm, “ Aku tidak pernah bersumpah baik pada yang benar atau pun pada yang dusta ”

5. Membantu orang yang di zalimi

Yang kelima Nabi saw memerintahkan agar membantu orang yang kena zalim. Sabda Rasulullah saw dalam hadis yang lain,

"Janganlah seseorang di antara kalian berdiri di tempat seseorang terbunuh secara zalim. sebab sesungguhnya laknat akan turun pada setiap orang yang hadir pada saat mereka tidak lagi sanggup membelanya. Dan janganlah seseorang diantara kalian di berdiri di suatu tempat dimana seseorang dipukul secara zalim". (Diriwayatkan oleh Imam Thabrani dan Imam Baihaqi)

Membantu saudara segama yang di zalimi adalah wajib tidak kira dimana mereka berada sekalipun. Justeru dalam isu umat Islam Palestin yang dizalimi yahudi, maka wajiblah bagi kita membantu mereka dengan cara memboikot barang-barang yang ada hubungan dengan Israil seperti rokok yang berjenama Marlboro, Benson & Hedges, Winston, Gold Coast atau minuman dan makanan seperti Coca Cola, Mc Donalds, Fanta, Sprite dan sebagainya.

6. Memenuhi undangan

Yang dimaksudkan undangan di sini ialah undangan perkahwinan. Ulama mazhab Shafie menegaskan bahawa memenuhi undangan perkahwinan hukumnya adalah wajib selagi tiada halangan syarei berdasarkan hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

فمن لم يأت الدعوة فقد عصى الله ورسوله

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak menghadiri undangan, dia telah menentang Allah dan Rasul-Nya.”

Sabda Rasulullah saw,

وَالله لَو دعيت إلىَ كَرَاع لَأجَبَت

Maksudnya : Demi Allah, jika aku diundang ke majlis Walimah (walaupun hanya memasak kaki kambing) aku pasti datang.

Walaubagaimanapun jika dalam majlis kenduri itu ada makanan atau minuman yang diharamkan seperti arak atau dianjurkan oleh ahli maksiat , wujudnya pergaulan bebas dan hiburan yang melampau dan adanya pengasingan orang kaya dan miskin maka haram memenuhi undangan seperti ini.

7. Menyebarkan salam

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi saw bersabda :

قَالَ : لاَ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوْا، وَلاَ تُؤْمِنُوْا حَتَّى تَحَابُّوْا، أَوَ لاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوْهُ تَحَابَبْتُمْ، أَفْشُوا السَّلاَمَ


Maksudnya : Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: “Kamu tidak akan masuk ke Surga hingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman secara sempurna hingga kamu saling mencintai. Maukah kamu kutunjukkan sesuatu, apabila kamu lakukan akan saling mencintai? Biasakan mengucapkan salam di antara kamu (apabila bertemu).”

Pun begitu ada situasi tertentu kita di larang memberi salam iaitu memberi salam kepada orang kafir. Makruh memberi salam kepada orang yang sedang buang air, istinjak, orang yang sedang tidur atau mengantuk , orang yang sedang azan, orang yang sedang iqamah dan solat dan memberi salam kepada orang yang sedang membaca al-Quran.

Larangan-larangan Rasulullah

Kemudian dalam hadis ini Nabi saw melarang kita melakukan beberapa perkara antaranya ialah memakai cincin emas. Sabda Rasulullah saw,

نهى رسول الله (ص) عن التخم بالذهب

Maksudnya : Rasulullah saw melarang memakai cincin daripada emas.


Termasuk juga adalah haram bagi kaum lelaki memakai cincin campuran antara emas dan perak yakni cincin suasa.

Rasulullah saw turut melarang kita menggunakan bejana (pinggan mangkuk, cawan, sudu) dari emas dan perak.

Baginda bersabda,

إن الذي يأكل ويشرب في أنية الذهب والفضة إنما يجرجر في بطنه نار جهنم

Maksudnya : Sesungguhnya orang yang makan dan minum dengan pinggan emas dan perak maka akan gemercik bunyi api neraka dalam perutnya ”

Rasulullah saw juga melarang kaum lelaki memakai kain sutera. Dalam sebuah hadis baginda bersabda,

من لبس الحرير فى الدنيا لم يلبسه فى الأخرة

Maksudnya : Barangsiapa yang memakai sutera di dunia, dia tidak akan memakainya di akhirat.

Hukum ini terkecuali bagi kanak-kanak lelaki dengan syarat kanak-kanak itu umurnya tidak kurang dari tujuh tahun. Begitu juga jika ada keperluan yang berhubung dengan masaalah kesihatan, sebagaimana Rasulullah saw pernah mengizinkan Abdur Rahman bin Auf dan Zubir bin Al-Awwam memakainya kerana ada luka di bahagian badan mereka.

Wallahualam.

Thursday, May 6, 2010

Merenungi surah al-Baqarah ayat 1-10



Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 1 – 10


1. Alif laam miim

Di dalam Al-Quran terdapat 29 surah yang dimulakan dengan huruf Hijaiyah dan bilangan huruf-huruf itu pula ada sebanyak 14 huruf. Adakalanya surah itu dimulakan dengan huruf tunggal, ada surah yang dimulakan dengan dua huruf, ada yang tiga huruf, ada yang dimulakan dengan empat huruf dan ada yang lima huruf.

Berbagai-bagai pendapat ulama menghuraikan berkenaan huruf-huruf yang terdapat pada permulaan surah itu. Ibnu Abbas menerangkan bahawa ketiga huruf itu adalah isyarat kepada tiga nama Alif untuk nama Allah; Lam untuk Jibril dan Mim untuk Nabi Muhammad saw. Rabi’ bin Anas (sahabat Rasulullah saw) mengatakan Alif, Lam, Mim adalah tiga kunci : Alif kunci dari namaNya Allah, Lam kunci dari namaNya Lathif dan Mim kunci dari namanya Majid.

Namun pendapat yang paling masyhur di kalangan para mufassirin ialah hanya Allah SWT sahaja yang layak mengetahui maksud huruf-huruf tersebut.

2. Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa

Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw adalah benar-benar wahyu daripada Allah SWT. Ia mengandungi pertunjuk, hidayah dan pengajaran bagi orang-orang yang taqwa.

Perkataan taqwa diambil daripada perkataan wiqayah, ertinya memelihara, iaitu memelihara hubungan baik dengan Allah SWT. Juga memelihara segala perintahNya supaya dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Kemudian Allah SWT menjelaskan ciri-ciri orang yang bertaqwa pada ayat yang berikiutnya.

3. Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat, dan menafkahkan sebahagian rezki yang Kami anugerahkan kepada mereka.

Yang pertama ialah mereka yang beriman dengan perkara ghaib. Maksud ghaib ialah sesuatu yang tidak dapat disaksikan oleh pancaindera, tidak boleh dilihat oleh mata dan tidak boleh didengar oleh telinga tetapi boleh diterima oleh akal.

Bagi umat Islam hari ini yang hidup 14 abad selepas kewafatan Rasulullah saw, yang tidak sempat melihat wajah baginda jika dibandingkan dengan para sahabat, juga dikira beriman kepada perkara ghaib sekiranya mereka percaya dengan seyakin-yakinnya ajaran yang dibawa oleh Nabi saw, mengamalkannya, menghayati sirah kehidupan dan perjuangan baginda, cinta dan kasih kepada baginda sehingga menitiskan air mata.

Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ad-Darimi, Al-Baqawardi dan Ibnu Qani’ daripada Abi Jum’ah Al-Ansari :

قال قلت يا رسول الله هل من قوم أعظم أجرا منا امنابك واتبعناك ؟ قال : ما يمنعكم من ذلك ورسول الله بين أظهركم يأتيكم بالوحي من السماء. بل قوم يأتون من بعدكم يأتيهم كتاب الله بين لوحين فيؤمنون بي ويعملون بما فيه أولئك أعظم منكم أجرا


Maksudnya : Berkata dia (Abi Jum’ah Al-Ansari) : Aku bertanya ; Ya Rasulullah ! Adakah satu kaum yang lebih besar pahalanya daripada kami, padahal kami beriman dan kami mengikut akan (ajaran) engkau? Jawab baginda saw : Apalah akan halangannya bagi kamu (untuk beriman kepadaku), sedang Rasulullah ada di hadapan kamu, dan datang kepada kamu wahyu (langsung) dari langit. Tetapi akan ada lagi satu kaum yang akan datang sesudah kamu, datang kepada mereka Kitab Allah yang ditulis di antara dua Luh, maka mereka pun beriman kepadaku dan mereka amalkan apa yang tersebut di dalamnya. Mereka itu adalah lebih besar pahalanya daripada kamu.

Dan telah dikeluarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Hibban dari Abu Saidul Khudri :

أن رجلا قال : يا رسول الله طوبى لمن راك وأمن بك قال : طوبى لمن راني وأمن بي ثم طوبى لمن أمن بي ولم يرني

Maksudnya : Bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw. Berbahagialah siapa yang melihat engkau dan beriman kepada engkau. Baginda pun menjawab : Berbahagialah bagi siapa yang melihat aku dan beriman kepadaku; dan berbahagialah bagi siapa yang beriman kepadaku, padahal dia tidak melihat aku.

Apabila seseorang mukmin itu percaya dengan seyakin-yakinnya tentang kewujudan alam ghaib seperti Syurga, Neraka, Malaikat dan Mahsyar secara tidak langsung akan melahirkan insan yang taat kepada perintah Allah SWT.

Ketaatan pertama yang perlu dilakukan ialah menunaikan solat. Sabda Rasulullah saw,

" إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ "انْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ. "


Maksudnya: Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khyusuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat ‘Periksalah oleh kamu semua, adakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain; sekiranya ada amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini.(Sunan Tirmizi)

Dan daripada solat pula akan lahir sifat insan yang rajin berusaha mencari rezeki seterusnya membelanjakannya ke jalan mentaati Allahseperti mengeluarkan zakat, memberi nafkah kepada anak dan isteri, bersedekah dan lain-lainnya.

4. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepada kamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum kamu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.

Kemudian Allah SWT menyambung lagi bahawa mereka yang bertaqwa itu ialah mereka yang beriman kepada kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw di samping kitab-kitab yang terdahulu iaitu Taurat yang Allah turunkan kepada Nabi Musa, Zabur yang Allah turunkan kepada Nabi Daud dan Injil yang Allah turunkan kepada Nabi Isa a.s.

Dengan kata lain orang yang bertaqwa akan turut beriman dengan semua Nabi-Nabi dan Rasul yang Allah SWT utuskan kepada umat terdahulu.

Kemudian di akhir ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa orang yang beriman itu juga meyakini akan kewujudan hari Akhirat. Inilah kunci penyempurnaan iman. Maksudnya kehidupan di dunia ini tidak terhenti setakat di dunia sahaja. Apa yang kita lakukan di dunia ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Kepercayaan kepada hari Akhirat juga menginsafkan kita bahawa apa-apa pun yang wujud di dunia ini adalah sementara, semuanya akan hancur, yang kekal hanyalah Allah SWT sahaja.

5. Mereka itulah yang mendapat pertunjuk dari Tuhan mereka (Allah), dan mereka itulah yang mendapat kemenangan.

Maksudnya, orang seperti itulah yang mendapat hidayah dan pertunjuk daripada Allah SWT. Dan orang yang mendapat pertunjuk inilah mereka yang menang di sisi Allah SWT apabila berjaya memasuki Syurga di akhirat serta terselamat dari azab neraka.

6. Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, samada kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak juga akan beriman.

Setelah Allah menjelaskan sifat-sifat mukmin yang betaqwa, maka Allah SWT menyatakan pula sifat orang-orang kafir bagi menunjukka perbezaan di antara dua golongan ini. Ayat ini datang dengan lafaz umum tetapi hendaklah difahami dengan maksud khusus kerana terdapat juga orang-orang kafir yang diberi peringatan oleh Nabi Muhammad saw, mereka beriman setelah diberi hidayah oleh Allah SWT.

Justeru para ulama berbeza pendapat tentang kepada siap ayat ini ditujukan. Ada pendapat yang mengatakan ayat ini ditujukan kepada Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Talib yang enggan menganut Islam. Ada juga pendapat yang mengatakan ia ditujukan kepada musyrikin Mekah. Mereka tidak mahu menerima peringatan Nabi Muhammad saw yang melarang mereka menyembah berhala, jangan makan riba, jangan bunuh anak-anak perempuan, jangan ada perhambaan sesama manusia.

Di samping itu ada juga pendapat yang mengatakan ia ditujukan kepada segolongan Yahudi. Di kalangan mereka, ada yang sudah tahu bahawa ajaran Nabi Muhammad itu benar, dia adalah Nabi akhir zaman seperti yang telah tertulis dalam kitab Taurat mereka, tetapi oleh kerana perasaan hasad dengki, kerana Nabi itu ditus di kalangan bangsa arab, bukan dari bangsa mereka maka mereka mengengkarinya secara total.

Inilah contoh kekafiran mereka sama ada diberi peringatan atau tidak mereka tetap menolak ajakan Rasulullah saw untuk memeluk Islam.

Persoalan mengapa mereka tidak mahu menerima cahaya Iman ? Maka Allah SWT menjelaskan dalam firmanNya pada ayat yang ketujuh,

7. Allah Telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. dan bagi mereka siksa yang amat berat.


Maksudnya mereka ini telah di cap hati dan telinganya oleh Allah SWT, di patri dan dikunci sehingga tidak terbuka dan tidak bersedia untuk mendengar ajakan dakwah. Penglihatan mereka juga sudah tertutup, sebab itu apa jua kebenaran yang di bentangkan di hadapan mereka, mereka masih tidak mahu menerimanya lagi. Bagi mereka apa sahaja kepercayaan syirik yang diwarisi oleh nenek moyang dari dahulu hendaklah diteruskan secara tradisi. Orang-orang seperti inilah yang akan mendapat seksaan besar di kemudian hari.

8. Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian," pada hal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.

Selepas Allah SWT menceritakan perihal sifat-sifat orang yang beriman pada mukaddimah surah, di susuli pula dengan sifat-sifat orang kafir, kemudian Allah SWT menyatakan pula golongan yang ketiga iaitu puak munafik yang menzahirkan keimanan tetapi pada hakikat sebenarnya mereka kufur dan tidak beriman kepada Allah SWT.

9. Mereka cuba hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka sebenarnya hanya menipu dirinya sendiri sedangkan mereka tidak sedar.

Maksudnya mereka cuba hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman dengan cara mengelabui mata orang ramai kononnya mereka pun mengerjakan ibadah, bersedekah dan sebagainya. Pada hakikatnya apa yang mereka buat itu bukanlah datang daripada perasaan ikhlas, tetapi kerana terpaksa, bimbang tidak mahu dipinggirkan oleh masyarakat Islam.

10. Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksaan yang sangat pedih, disebabkan mereka berdusta.

Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa dalam hati orang munafik itu ada penyakit. Maksud penyakit di di sini ialah penyakit jiwa seperti dengki, ego, dendam kesumat, serta menganggap diri mereka amat pintar. Pada sangkaan mereka perbuatan menipu, bohong dan berpura-pura di depan orang ramai itu tidak akan terbongkar, Tetapi jangkaan mereka meleset, kerana Allah SWT akhirnya membongkarkan pembohongan merekasehingga diketahui oleh orang-orang yang beriman.

Bila Allah SWT bongkarkan pembohongan mereka, maka bertambahlah terseksa jiwa mereka kerana malu yang amat sangat dengan orang ramai. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT Lalu Allah SWT tambahkan lagi penyakitnya.

Wallahualam.

Wednesday, May 5, 2010

Lakukan tiga perkara

Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi,

اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya : “Bertakwalah kamu kepada Allah dimanapun kamu berada, dan ikutilah kejahatan yang kamu lakukan dengan amal kebaikan yang akan menghapuskan dosa kejahatan tersebut pergauli manusia dengan akhlak yang mulia”

Walaupun hadis ini amat ringkas, namun ada tiga perkara yang Nabi saw sebut untuk kita jadikan panduan.

Yang pertama : - Dalam hadis ini Nabi saw mengingatkan agar kita sentiasa bertaqwa kepada-Nya walau di mana kita berada. Perkataan taqwa inilah yang sering diingatkan oleh para khatib ketika menunaikan solat Jumaat.

Taqwa dari segi bahasa diambil dari perkataan “wiqayah” maksudnya memelihara. Yang dimaksudkan dengan memelihara di sini ialah memelihara hubungan baik dengan Allah SWT.

Insya Allah, jika 'hablum minallah' seseorang itu baik, akan melahirkan insan yang patuh dan taat dalam menjunjung segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Yang kedua :- Nabi saw menyebut,

“…ikutilah kejahatan yang kamu lakukan dengan amal kebaikan yang akan menghapuskan dosa kejahatan tersebut…”

Oleh kerana manusia itu tidak lari dari melakukan kesalahan, justeru itulah Nabi saw memerintahkan agar kita melakukan amal soleh sebanyak yang mungkin untuk memadamkan dosa-dosa dari kesalahan yang kita lakukan.

Bagi mereka yang melakukan dosa besar, hendaklah di dahului dengan taubat Nasuha.

Yang ketiga :- Nabi saw menyuruh agar kita menggauli manusia dengan akhlak yang mulia.






















Sabda Rasulullah saw,

“Sesungguhnya orang yang paling hampir dengan tempatku di kalangan kamu ialah yang paling cantik akhlaknya, mereka menghormati orang lain dan mereka senang bermesra dan dimesrai. Orang Mukmin itu ialah yang mudah mesra dan dimesrai, dan tiada kebaikan pada mereka yang tidak boleh bermesra dan dimesrai. Dan sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada manusia.” (Riwayat Al Hakim dan Al Baihaqi).

Hadis lain,

“Penyebab utama masuknya manusia ke surga adalah bertakwa kepada Allah dan kebaikan akhlaknya.” ( Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah ).

Wallahualam.