Friday, July 30, 2010

Di ambang Ramadhan



Sabda Rasulullah saw,

إن في الجنة بابا يقال له الريان منه الصائمون يوم القيامة , لا يدخل منه أحد غيرهم , يقال أين الصائمون ؟ فيقومون فيدخلون فإذا دخلوا أغلق عليهم , فلم يدخل منه أحد

Maksudnya: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.

Berdasarkan hadis ini, kedudukan orang yang berpuasa di sisi Allah sangat mulia sehingga Allah SWT menyediakan pintu khas untuk mereka ke syurga yang dinamakan ar-Rayyan. Pintu ini dijaga oleh Malaikat yang akan menyeru orang yang berpuasa untuk masuk ke syurga melalui pintu ini.

Sabda Rasulullah saw,

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِه

Maksudnya : “Barangsiapa yang berpuasa karena iman dan ihtisab (berhadap ganjaran dari Allah SWT) maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun alaih)

Berdasarkan hadis ini, syarat orang yang berpuasa untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT ialah melaksanakannya kerana keimanan dan ihtisab (mengharapkan ganjaran pahala) daripada Allah SWT.

Justeru, barangsiapa yang berpuasa dan berniat di hati untuk menguruskan badan, untuk menyihatkan badan atau mengurangkan kolestrol, golongan ini tidak mendapat ganjaran yang Allah SWT tawarkan.

Sabda Rasulullah saw,

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Maksudnya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak.

Berdasarkan hadis ini waktu berbuka puasa adalah masa yang mustajab untuk kita berdoa kepada Allah SWT. Selain waktu ini ialah sepertiga malam(waktu sahur).

Mengapa orang yang berpuasa doanya mustajab. Sebab dengan berpuasa seseorang itu telah membersihkan diri dari dosa dan mensucikan hatinya dari sifat mazmumah. Oleh itu jika mereka memanjatkan doa kepada Allah SWT, doa itu akan mudah dimakbulkan hati dan jiwanya sudah bersih daripada dosa.

Sabda Rasulullah saw,

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين

Maksudnya: Apabila datangnya Ramadhan nescaya dibuka pintu‐pintu syurga, ditutup pintu‐pintu neraka dan diikat syaitan‐syaitan.

Terdapat beberapa pandangan ulama’ yang menghuraikan makna syaitan diikat.

1. Pertama mengatakan, “diikat syaitan pada bulan Ramadhan” sebenarnya hanyalah satu kiasan seperti “pemandu itu digantung lesennya”. Perkataan “digantung” disini bukan bermakna lessen itu diikat dengan tali, kemudian digantung pada tiang.Sebaliknya, ia adalah kiasan kepada pembatalan ke“sah”an lesen tersebut.

Justeru maksud “ syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan” adalah kiasan kepada “kemampuan mereka yang terhad dan terbatas untuk menggoda dan memperdayakan manusia”.

2. Kedua mengatakan, “syaitan diikat pada bulan Ramadhan” membawa maksud syaitan itu benar-benar diikat, ertinya, ia bukan satu kiasan.

Persoalan jika kesemua syaitan diikat, mengapa masih terdapat ramai manusia yang melakukan maksiat dan kemungkaran di bulan Ramadahan?

Al-Imam Qurtubi menjawab persoalan ini dengan mengatakan “diikat semua syaitan pada bulan Ramadhan tidak bermaksud kejahatan dan maksiat tidak berlaku, kerana ada sebab-sebab sampingan lain yang menyebabkan berlakunya maksiat seperti kehendak hawa nafsu yang jelek dan juga adat kebiasan seseorang yang buruk”.

Wallahualm.

Nota kuliah
Surau Kolej Height
30.7.2010

Wednesday, July 28, 2010

Enam atau lapan masa ?


Petikan dari manuskrip buku bertajuk “ Jika misionari Kristian bertanya anda…”

Kalau dilihat dalam beberapa ayat Al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah mencipta langit dan bumi selama enam masa. Hal ini boleh dilihat dalam surah Al-‘Araf ayat 54,

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas 'Arsy. Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti), dan (Dia pula yang menciptakan) matahari, dan bulan dan bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekelian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekelian alam” (54)


Cantiknya

Dalam surah Yunus ayat 3,

“ Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, Kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy, mentadbirkan segala urusan. Tidak ada siapa yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu ; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya? ”(3)

Dalam surah Al-Furqan ayat 59,

“ Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, Dialah Ar-Rahman, (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya” (59)


Keagungan Allah

Dalam surah As-Sajdah ayat 4,

“Allah yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy ; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pember syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredhaanNya) ?”(4)

Tetapi yang menjadi musykil, apabila merujuk surah Fussilat ayat 9-12, Tuhan menyebut secara terperinci tentang penciptaan langit dan bumi dan jumlah masa keseluruhan adalah lapan masa. Perhatikan ayat tersebut,


Subhanallah

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu jadikan bagiNya sekutu-sekutu yang lain, Dia itulah Tuhan semesta alam (9) Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka ; (semuanya itu berlaku ) dalam empat masa (10) Kemudian Dia menujukan kehendakNya kea rah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi : Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa ! Keduanya menjawab : Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela (11) Lalu Dia menjadikannya tujuh langit , dalam dua masa ; dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang –bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa,lagi Maha Mengetahui “(12).



Menakjubkan

Sekiranya di jumlahkan penciptaan bumi dalam dua masa, penciptaan gunung dan mencita bahan keperluan hidup di atas muka bumi dalam empat masa kemudian menjadikan tujuh langit dalam dua masa. Jumlah keseluruhan ialah lapan masa. Bukankah ia menunjukkan berlakunya kontradiks antara ayat-ayat Al-Quran ?

Jawapan

Sesungguhnya tidak ada kontradiks dalam ayat-ayat yang di sebutkan di atas. Apabila Allah SWT menjelaskan bahawa Dia mencipta langit dan bumi enam masa, fakta ini akan kekal sampai hari Qiamat. Mengenai surah surah Fussilat ayat 9-12, kita perlu fahami ayat ini betul-betul.


Hebat

Dalam ayat ke 9 Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah mencipta langit dan bumi dalam dua masa. Kemudian pada ayat ke 10, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah menjadikan gunung-gunung dan makanan-makanan dalam empat masa. Kalau difahami ayat ini betul-betul, Allah SWT mahu memberitahu bahawa Dia selesai mencipta bumi dalam dua masa, kemudia diteruskan mencipta gunung-gunung dan makanan-makanan di atas muka bumi sampailah kepada empat masa. Maknanya jumlah masa Allah SWT mencipta bumi, segala isi-isinya termasuk gunung-gunung dan makanan-makanan ialah tetap empat masa.

Yang menyebabkan kekeliruan missionary Kristian di sini ialah apabila mereka menjumlahkan dua masa penciptaan bumi dan empat masa penciptaan gunung-gunung makanan menjadikan kesuruhannya ialah enam masa. Sesungguhnya kiraan seperti itu tidak tepat atau salah.


Masya Allah

Sama seperti jarak perjalanan antara Seremban ke Alor Star ialah enam jam. Manakala jarak masa antara Seremban ke Ipoh ialah dua jam. Jumlah keseluruhan jarak masa antara Seremban ke Alor Star ialah tetap enam jam, tidak boleh dicampurkan dengan jarak masa antara Seremban dengan Ipoh kerana Ipoh sudah termasuk antara Seremban ke Alor Star.

Kemudian dalam ayat ke 12 Allah SWT menjelaskan bahawa Dia mecipta tujuh langit selama dua masa. Maka jumlah keseluruhan Allah SWT mencipta langit dan bumi ialah enam masa. Kesimpulannya tidak ada pertentangan dalam ayat-ayat Al-Quran berhubung jumlah masa Allah SWT mencipta langit dan bumi.

Tuesday, July 27, 2010

Doa bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan



Sumber,
http://impiutm.blogspot.com/

Monday, July 26, 2010

Bersama warga Flat PPR Seri Alam, Kuala Lumpur


Sebahagian yang hadir

Asalnya mereka adalah golongan setinggan Kg Delima Kuala Lumpur, berhampiran Istana Negara.

Setelah penempatan mereka di roboh pada tahun 2004, mereka dipindahkan ke Flat ini dengan sewa bulanan sebanyak RM 124.00 sebulan.

Malam tadi saya berkesempatan menyampaikan ceramah Israk wal Mikraj di Surau Flat ini. Surau yang bernama "Silatur Rahim" ini hanyalah surau sementara. Insya Allah mereka bakal memiliki surau baru dalam sedikit masa lagi.


Ceramah bermula pukul 8.03 minit

Rupa-rupanya jemaah surau ini ramai orang Negeri Sembilan. Justeru tidak ada masalah jika saya menggunakan loghat Negeri Sembilan dari mula sampai akhir sepanjang menyampaikan ceramah.

Tepat pukul 9.10 malam, saya menamatkan ceramah. Saya tidak boleh mengambil masa lama kerana bimbang terlepas komuter terakhir untuk balik ke Seremban.


Tuan Haji Mansor bin Minal (berbaju hijau)

Selepas menikmati jamuan, saya dihantar oleh Tuan Haji Muazzan ke Stesyen Komuter Bank Negara.

"Datanglah lagi Ustaz..", lambai Tuan Haji Mansor bin Minal, Pengerusi Surau.

"Insya Allah...", jawab saya membalas lambaian.

Saya sampai di rumah pukul 12.09 malam.

Penutup

Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf kepada semua hadirin dan hadirat jika sepanjang ceramah ada kekurangan, menyinggung perasaan dan sebagainya.

Sesungguhnya budi bahasa tuan-tuan melayan saya dengan baik akan saya ingat sampai ke mati.

"Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan kebaikan kepada semua penghuni Flat ini.."

Wallahualam.

Sunday, July 25, 2010

Pengalaman menduduki peperiksaan di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya


Semalam saya menghadiri peperiksaan bertulis dan lisan sebagai Guru Pembimbing Ibadah Haji di Kompleks Haji Kelana Jaya.

Bila sampai, saya melihat ramai Ustaz dan Ustazah sudah menunggu sejak awal pagi. Mereka datang dari seluruh Negara.

Ada yang sedang membaca nota, ada yang sedang berbual-bual dalam bahasa Arab dan ada juga yang relaxs sahaja.

Di kalangan mereka ada yang memiliki jazah Master dari dalam mahu pun luar Negara.

Latar belakang kerjaya juga agak hebat, ada yang berkhidmat sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam di JAKIM, ada yang bekerja di Jabatan-Jabatan Agama Islam, ada yang berpangkat Mejar dalam KAGAT, ada Pensyarah-pensyarah IPTA, ada bekas Qadhi, ada bekas Pengetua Sekolah Ma’had dan ramai lagi.

"Anta kerja di mana ?", tanya saya bila berjumpa seorang Ustaz dari Seremban.

"Ana kerja sebagai Pensyarah di Institut Perguruan Raja Melewar", jawabnya.

Saya cuba melihat diri saya….., Masya Allah… siapalah saya jika dibandingkan dengan mereka semua.

Saya hanyalah seorang ‘Ustaz Soghir ‘, ilmu pun tidaklah setinggi mereka.

Justeru, saya memujuk hati saya agar tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi disebabkan saingan yang agak sengit.

Peperiksaan bertulis bermula.

Tepat jam 9.00 pagi peperiksaan pun bermula.

Ada 20 soalan objektif dan 5 soalan subjektif.

Alhamdulillah soalannya agak mudah kerana ia berkait dengan perkara-perkara asas dalam ibadah Haji. Saya yakin semua calon Guru-Guru Pembimbing Ibadah Haji boleh menjawab dan mendapat markah cemerlang.

Lembaga Tabung Haji meletakkan syarat mesti lulus dengan mendapat markah 75 peratus sebagai standard untuk ditauliahkan sebagai Guru Pembimbing Ibadah Haji.

Peperiksaan lisan

Pukul 10.30 pagi, sesi kedua pun berlangsung. Kami dipecahkan kepada 6 kumpulan.

Satu kumpulan 14 ke 15 orang.

Saya dikumpulkan dalam kumpulan satu. Ada 14 orang kesemuanya. Giliran saya nombor 8.

Panel penemuduga bagi kumpulan satu ialah Yang Berbahagia Sheikh Dr. Haji Muhammad Uthman El-Muhammady dan Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Hajah Anisah Binti Abd. Ghani.

Setiap orang ditanya selama 15 ke 20 minit.

Respon dari mereka yang sudah selesai di temuduga menunjukkan soalan yang ditanya agak berbeza. Kalau sama, mudahlah saya membuat persiapan.

Prof Madya Dr Hajah Anisah lebih banyak bertanya mengenai ibadah Haji manakala Sheikh Dr. Haji Muhammad Uthman El-Muhammady lebih bertanya kepada pengetahuan am.

Tiba giliran saya

Tepat jam 12.57 minit tengah hari, ketika perut mula berkeroncong, nama saya pun dipanggil.

Dengan lafaz Bismillah saya pun masuk dengan tertib. Setelah bersalaman dengan Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, saya duduk mengadap mereka berdua.

“Tawakal kepada Allah”, hati saya berbisik.

Prof. Madya Dr Anisah binti Abd Ghani mula menyemak ijazah dan sijil-sijil saya.

“Anta sudah ada tauliah mengajar di Negeri Sembilan ?”, soalan pertama dari Prof. Madya Dr. Hajah Anisah.

“Sudah, tauliah saya ada pada muka surat dua dalam folder. Saya ditauliah oleh Sahibus Samahah Dato’ Sheikh Haji Muhd Murtadza bin Haji Ahmad , ketika itu dia menjadi Mufti Kerajaan Negeri Sembilan”, jawab saya berterus terang.

Semasa menyebut nama Sheikh Haji Murtadza bin Sheikh Haji Ahmad, sengaja saya kuatkan sedikit supaya di dengari oleh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.

Saya tahu Dr Muhammad Uthman El-Muhammady seorang tokoh yang amat menyintai amalan kesufian. Beliau dan Sheikh Haji Murtadza adalah rakan baik yang sangat keras menentang fahaman Wahabi.

“Sheikh Haji Muhd Murtadza ?”, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady menyampuk.

“Ya, saya mendapat tauliah terus dari Sahibus Samahah Dato’ Sheikh Sheikh Haji Murtadza”, jawab saya bersungguh-sungguh.

“Dia kawan baik ana”, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady tersenyum gembira.

Prof. Madya Dr. Anisah meneruskan soalan kedua.

“ Apa erti Tahalul ?”, tanyanya.

“Tahalul ertinya melepaskan diri dari pantang larang ihram semasa mengerjakan Haji”, jawab saya lancar.

“ Apa beza Nafar Awal dan Nafar Thani ?”, soalan ketiga dari Prof Madya Dr Anisah.

Dengan tenang saya menjawab,

“Nafar Awal ialah apabila seseorang jemaah hajitu meninggalkan Mina pada 12 Zulhijjah dengan niat tidak mahu kembali semula ke tempat itu sebelum terbenam matahari dengan syarat dia hendaklah selesai melontar Jamratul Aqabah serta melontar Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah pada 11 dan 12 Zulhijjah. Manakala Nafar Thani ialah apabila seseorang itu keluar dari Mina pada 13 Zulhijjah setelah melakukan semua kerja-kerja melontar, seperti Jamratul Aqbah dan hari-hari Tasyrik.”, jelas saya.

Prof. Madya Dr Anisah terus mengasak dengan soalan ketiga,

“ Siapakah yang dikecualikan daripada melaksanakan Tawaf Wada’ ?”, tanyaya.

Bagaikan memberi bola tanggung, saya terus melipat,

“Mereka yang dikecualikan daripada melakukan Tawaf Wada’ ialah perempuan yang datang haidh dan jemaah haji yang sakit atau uzur ”, jawab saya.

Tanpa membuang masa Prof. Madya Anisah terus melontarkan soalan keempat,

“Bilakah seseorang itu boleh mengupah orang lain untuk melakukan lontaran bagi pihak dirinya ?”.

Saya menjawab,

“Seseorang itu boleh mengupah orang lain untuk melaksanakan lontaran bagi pihak dirinya setelah mendapat pengesahan dari doctor. Dan upah itu hedaklah dilaksanakan sebelum berakhirnya 13 zulhijjah. Dengan kata lain seseorang itu tidak boleh sewenang-wenang mengupah orang lain untuk mengerjakan lontaran bagi pihak dirinya sebelum tarikh itu kerana dibimbangi dia kembali sehat sediakala”.

Saya melihat Prof. Madya Anisah tersenyum.

“Baik sekarang saya serahkan kepada Dr Muhammad Uthman El-Muhammady untuk bertanya soalan kepada Ustaz ”, katanya.

“Cuba anta baca surah Al-Fatihah”, soalan pertama dari Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.

Saya pun membacanya seperti saya menjadi imam solat berjemaah di Masjid mahu pun Surau.

“Sebutkan perkara-perkara dalam tasawuf yang membantu kita untuk khusyuk dalam solat ?”, tanya Dr Muhammad Uthman El-Muhammady untuk soalan kedua.

Masya Allah….. ini soalan maut yang betul-betul saya tidak sangka.

Saya teringat masa belajar dengan Prof Zakaria Stapa ketika mengambil paper Tasawuf 1 di UKM.

Dengan ingat-ingat lupa saya menjawab,

“Menurut Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, bagi membantu seseorang itu untuk khusyuk dalam solat dia hendaklah menghadirkan dalam hatinya perasaan Raja’, khauf, tafahhum, takzim,hayak dan ……… minta maaf Dr, saya tidak ingat. ”, jawab saya berterus terang.

Dr Muhammad Uthman El-Muhammady hanya tersenyum.

Adakah dia tersenyum kerana jawapan saya salah atau betul, wallahualam.

“Kholas”, respon dari Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.

“Terimakasih Dr., Prof.., ”, kata saya minta izin untuk keluar.

“Oh ya, jika anta balik ke Seremban dan berjumpa dengan Sheikh Haji Muhd Murtadza, sampaikan salam ana pada dirinya”, kata Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.

“Insya Allah”, jawab saya.

Apabila saya keluar dari bilik temuduga, ramai calon-calon lain terperanjat.

“Eh, kenapa anta cepat sangat, baru tujuh minit dah keluar ?”, tanya mereka.

Saya mengangkat bahu.

Adakah ini petanda awal yang saya...... atau waktu Zuhor pun sudah dekat.

Apa pun saya berserah kepada Allah SWT.

Wallahualam.

p/s – Terima kasih kepada Abang Jamal dari Bandar Warisan Puteri Sikamat kerana sudi membawa saya ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Semoga Allah SWT membalas jasa baik tuan.

Thursday, July 22, 2010

Kuliah Penghayatan Ramadhan


Esok Cikgu Hasmol Watan Shamsol (Ketua Warden SMV Ampangan) akan berpindah ke Melaka

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183-184,

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [183]Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. “[184]

Huraian ayat

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa….”

Ayat ini turun pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah.Ia merupakan perintah wajib daripada Allah SWT kepada orang-orang yang beriman untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Justeru, orang yang mengingkari kefardhuan puasa adalah murtad.

Dari segi hukum feqah, orang yang wajib berpuasa itu ialah :

1. Islam, orang-orang kafir tidak wajib berpuasa
2. Sampai umur (akil baligh), tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana puasa memerlukan niat dan niat ini hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang berakal sahaja.
3. Berakal (siuman), maka tidak sah puasa orang gila dan orang yang pitam sepanjang hari dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Tetapi jika orang yang pitam itu sedar walau pun sekejap di siang hari maka sah puasanya.
4. Mampu, orang sakit yang memudaratkan, orang tua yang lemah dikecualikan
5. Bermukim, orang yang dalam bermusafir lebih dari dua marhalah tidak diwajibkan berpuasa.

Firman Allah SWT,

“……sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu….”

Ayat ini menunjukkan ibadah puasa ini sudah diamalkan oleh umat-umat terdahulu. Nabi Nuh AS sebagi contoh berpuasa sepanjang tahun. Nabi Daud a.s pula berpuasa sehari dan berbuka sehari. Manakala Nabi Isa a.s berpuasa sehari dan berbuka satu atau dua hari.


Pelajar-pelajar Sek. Men. Vokasional Ampangan

Sedangkan Nabi Muhammad SAW dan umatnya berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadhan.

Firman-Nya di akhir ayat 183,

“……supaya kamu bertaqwa….”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan hikmah puasa iaitu taqwa. Apakah dia taqwa ?

Rasulullah pernah bertanya kepada Abu Hurairah :” Pernahkah engkau bertemu jalan yang berduri ? Bagaimana tindakanmu pada waktu itu ?” Kata Abu Hurairah, “Apabila aku melihat duri. Aku akan menghindar ke tempat yang tidak berduri atau aku langkahi, atau aku mundur”. Rasulullah pun bersabda :”Itulah dia taqwa”.

Dengan kata lain orang yang bertaqwa ialah mereka yang menyedari dan beringat dengan kehadiran Allah SWT pada dirinya sama ada ketika jaga mahupun tidur. Dengan ada kesedaran inilah manusia akan patuh melakukan ketaatan dan meningglkan larangan Allah SWT.

“ Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu…”

Maksudnya puasa itu diwajibkan dalam bulan Ramadhan. Ramadhan asalnya daripada kalimah ض م ر yang membawa maksud kepanasan yang membawa kepada dahaga. Menurut Imam Al‐Qurtubi berkata: Dinamakan Ramadhan kerana ia membakar segala dosa dengan amalan soleh yang dilakukan.

Sabda Rasulullah saw,

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, nescaya diampun baginya dosa yang terdahulu.


Bermacam ragam pelajar

Firman Allah SWT,

“….maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain…

Berdasarkan ayat ini keringanan untuk tidak berpuasa itu diberikan kepada mereka yang sakit. Yang dimaksudkan sakit di sini yang boleh membahayakan keselamatan dirinya jika berpuasa. Untuk menilai tahap sakitnya maka perlu kepada pandangan doctor. Orang yang tidak berpuasa kerana sakit, maka ia wajib mengganti puasa yang ditinggalkannya di bulan lain jika ia sudah sihat.

Termasuk dalam kategori ini ialah wanita yang hamil dan menyusukan anak yang bimbang keselamatan dirinya jika ia berpuasa, maka hendaklah dia menqadhak semula puasanya pada hari-hari lain. Tetapi sekiranya dia takut akan keselamatan janin atau bayinya, maka wanita ini wajib mengqadha' puasanya serta membayar fidyah yang berupa memberi makan kepada orang miskin.

Kadar Fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) sebanyak secupak iaitu bersamaan 675 gram. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Fidyah boleh diganti dari beras kepada duit. Cara akadnya,

Kata pembayar : "Bismillahirrahmani Rahim, inilah duit bagi menggantikan beras, bagi sebagai fidyah yang wajib ke atas aku atau nama orang yang mewakilkan bagi tahun ini, atau tahun sebelumnya atau bagi tahun-tahun yang tertunggak sebelumnya, aku sedekahkan kepada engkau kerana Allah Taala.

Jawab penerima: "Aku terima”

Selain itu orang yang diberi keringanan untuk tidak berpuasa ialah mereka yang bermusafir lebih dari dua marhalah iaitu kira-kira 89 km. safar (dalam perjalanan). Golongan ini wajib mengganti puasanya itu pada hari lain sejumlah hari yang dia tidak berpuasa.

Firman Allah SWT,

“….dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin…”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan orang yang sudah lanjut usia dan tidak sanggup untuk berpuasa maka wajib bagi dirinya membayar fidyah yakni dengan memberi makan kepada orang miskin sebanyak hari yang ditinggalkan.

“…..Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya…”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menejlaskan jika seseorang itu berhajat untuk membayar fidyah lebih daripada jumlah yang sepatutnya, maka itu adalah sedekah yang digalakkan dalam Islam.

Firman Allah SWT pada akhir ayat 184,

“…dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui”.

Maksudnya, jika golongan yang diberi kelonggaran itu seperti orang yang bermusafir, terdaya untuk melakukan iabadah puasa, maka itu alah lebih baik baginya daripada membayar fidyah jika mereka megetahui.

Selain itu ada juga pendapat yang mengatakan, maksud ayat ini ialah puasa sunat. Dengan kata lain, selain puasa wajib di bulan Ramadhan ada puasa-puasa sunat yang amat baik untuk diamalkan jika kita mengetahui fadhilatnya.

Antaranya puasa sunat enam hari di bulan Syawal, puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis, berpuasa pada 9 dan 10 Muharam, berpuasa pada hari Arafh dan sebagainya.

Sek. Men Vokasional Ampangan
Khamis, 22.7.2010

Wednesday, July 21, 2010

Ceramah Israk Mikraj di Kg Ismail : Berkata benar walaupun pahit !


Memulakan ceramah

Apabila Rasulullah saw balik dari pengembaraan Israk wal mikraj, Ummu Hani’ melarang baginda menceritakan kisah ini kepada orang ramai. Dia bimbang orang ramai tidak akan percaya dengan cerita Rasulullah saw.


Antara yang hadir

Namun yang benar tetap benar. Rasulullah saw tetap bertegas untuk menceritakan kepada umatnya, walaupun tahu risiko akan kehilangan pengaruh. Baginda sedar apa yang dilakukannya adalah betul.

Umatnya perlu diberitahu kisah ini, sama ada mereka percaya atau tidak, biarlah Allah SWT yang menentukan.


Kelihatan Tuan Haji Hashim bin Jasa

Sudah menjadi fitrah, sesuatu yang benar itu mesti ada penentangnya.

“Tak logiklah”, kata Abu Jahal.

“Susah nak percaya”, kata orang munafik.

“Sampai mati pun aku tak akan percaya”, kata seorang lagi penentang kebenaran.

Maka benarlah, kisah Israk wal Mikraj yang disampaikan oleh Rasulullah saw telah menjadi fitnah dan ujian kepada masyarakat.


Ramai warga emas

Firman Allah SWT,

Maksudnya : “…..dan tiadalah Kami menjadikan mimpi pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia …” (Al-Israa’ : 60)

Sehingga ada yang berpaling daripada Islam. Yang kafir bertambah keras kafirnya menentang Rasulullah saw.


Tuan Haji Zainal, duduk di kerusi

Rasulullah saw dituduh gila, di maki, di pulau dan entah bermacam-macam lagi kata-kata nista yang dilemparkan kepada baginda.

Rasulullah saw bersabar. Baginda tetap yakin bahawa kebenaran pasti akan menang.

Inilah contoh teladan yang Nabi saw tunjukkan kepada para pendakwah.

Penutup

Terima kasih kepada Tuan Haji Hashim bin Jasa, Cikgu Manap, Tuan Haji Zainal, Pakcik Samad dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Saya mohon maaf jika ada kekuarangan semasa menyampaikan ceramah.

Wallhualam.


Ceramah Israk wal Mikraj
Surau Kg Ismail
21.7.2010

Ke Bangunan Telekom, Kuala Lumpur


Bilik Mesyuarat Rajawali tkt 3A, Bukit Mahkamah KL.

Tiga minggu lepas saya dihubungi oleh En. Fuzi bin Tajuddin, ahli jemaah surau Taman Desa Beringin Sikamat. Beliau menjemput saya menyampaikan ceramah Israk Wal Mikraj di Bangunan Telekom Bukit Mahkamah Kuala Lumpur.

“Ustaz, saya nak tanya pada 21hb Julai 2010, pukul 11.30 pagi Ustaz free tak ?”, tanyanya.

“Insya Allah, free ”, jawab saya.

Menaiki komuter

Justeru, hari ini saya ke Kuala Lumpur.

Saya bertolak dari stesyen Komuter Seremban pukul 9.00 pagi dan sampai di perhentian Bank Negara tepat 10.30 pagi.

Seminit kemudian, Tuan Haji Muazzan menjemput saya ke lokasi yang dimaksudkan.

Ceramah habis pukul 1.15 tengah hari kemudian diikuti sesi soal jawab.


Menikmati jamuan makan tengah hari

Selepas makan tengah hari dan solat Zuhor berjemaah, Tuan Haji Muazzan menghantar saya kembali ke Stesyen Komuter Bank Negara untuk pulang ke Seremban.

Terima kasih kepada warga Telekom Kuala Lumpur. Terima kasih juga kepada Tuan Haji Muazzan, jasa baik tuan akan di kenang ke akhir hayat.

Sunday, July 18, 2010

Kuliah Muslimat di Surau An-Nur, Bangi


Suasana perkarangan surau ketika mula-mula sampai

Surau An-Nur juga dikenali sebagai Surau Dato' Dr Haron Din kerana lokasinya berhampiran dengan rumah beliau.

Surau ini cukup masyhur dengan kegiatan ilmunya. Bertandang ke surau ini mengingatkan saya nostalgia lama sewaktu menuntut di UKM.

Dengan mengenderai motorsikal Honda 70, saya dan rakan-rakan sering ke sini untuk mendengar ceramah dari Ustaz-Ustaz yang 'hardcore' seperti Ust Salehuddin Nasir dan ramai lagi.


Deretan kereta yang memenuhi perkarangan Surau

Istimewanya Surau ini di era 90an, ia memberi laluan kepada semua penceramah tidak kira latar belakang politik dan kepartian.

Saya masih ingat antara ilmuan Islam yang pernah menyampaikan khutbah Jumaat di Surau ini ialah Prof Dato’ Dr. Abdullah bin Mohd Zin bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketika itu beliau ialah Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam UKM.

Menggantikan Dato' Ust Haji Ismail Kamus

Pagi tadi saya di pelawa untuk mengggantikan Ybhg al-Fadhil Dato' Ust Haji Ismail Kamus yang tidak dapat hadir menyampaikan kuliah untuk kaum muslimat. Program bermula pada pukul 9.30 pagi.


Di hadapan ratusan muslimat yang dahagakan ilmu

Asalnya saya merasa segan untuk memenuhi undangan ini memandangkan saya hanyalah seorang Ustaz Kampung yang sekadar aktif di kawasan Sikamat.

Namun atas semangat ingin belajar dan mencari pengalaman baru, saya beranikan diri untuk tampil di hadapan ratusan muslimat yang dahagakan ilmu. Bersama mereka ialah buku catatan untuk mencatat setiap ilmu yang disampaikan oleh penceramah.

Saya sedar golongan muslimat yang hadir ini bukan calang-calang orang. Selain suri rumah, ada di kalangan mereka merupakan pensyarah-pensyarah Universiti, guru-guru dan pegawai tinggi di sector kerajaan mahu pun swasta.


Ada juga muslimat yang membawa anak kecil

Telahan saya tepat apabila salah seorang yang hadir ialah guru saya iaitu Prof. Madya Dr Saodah Hassan bekas Pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam UKM.

Beliau menekuni ceramah saya dari awal sehingga akhir. Kadang-kadang saya tersasul dalam menyampaikan point disebabkan rasa cuak bila berhadapan dengan guru sendiri.


Prof. Madya Dr. Saodah Hassan

Saya sampai di surau ini pukul 9.10 pagi, disambut oleh Tuan Haji Ghazali bin Abbas, Pengerusi Surau An-Nur yang juga bekas Pustakawan UKM.

Ketika saya tiba, sudah ada gerai-gerai jualan yang menjual tudung, telekung dan kaset-kaset ceramah agama. Anak-anak kecil berlari di sana sini mewujudkan suasana meriah.


Tuan Haji Ghazali dan Haji Muazzan

Perasaan saya mula berdebar-debar apabila melihat kereta demi kereta mula masuk memenuhi perkarangan surau. Ada yang parking di luar surau sepanjang 300-400 meter.

Hati saya berkata,

"Mungkin mereka sangkakan yang datang pagi ini ialah Ust Dato' Haji Ismail Kamus. Kalaulah mereka tahu saya yang datang tentulah tidak seramai begini "

Tepat 9.32 minit pagi, Haji Ghazali menjemput saya duduk di meja khas penceramah.

Saya memilih tafsir Maudu’ei surah al-Baqarah ayat 154-158.


Sedang melontarkan point

Ceramah habis pukul 10.45 pagi. Selepas itu saya diajukan dengan beberapa soalan. Berikut adalah sebahagian dari soalan yang di terima dan jawapan.

Soalan :

Ustaz, bolehkah saya mengamalkan doa-doa yang biasa dibacakan oleh Imam selepas saya selesai bersembahyang ?

Jawapan :

Boleh

Soalan :

Ustaz, apakah hukumnya wanita-wanita Islam bermain alat muzik yang mempunyai tali seperti gitar ?

Jawapan :

Masaalah ini khilafiah di kalangan ulama. Ada yang berpendapat haram dan ada yang berpendapat harus.

Nasihat saya jika mahu bermain alat muzik seperti ini biarlah sesama kaum wanita sahaja.

Soalan :

Ustaz, saya pernah membeli buku secara ansuran. Sebelum habis bayar penjual itu sudah meninggal dunia. Saya langsung tidak ada no. telefon penjual tersebut, aoatah lagi rumahnya dan saudara-saudaranya. Apa yang patut saya buat ?

Jawapan :

Sedekahkan baki wang yang belum dibayar kepada Tabung Masjid dan niatkan pahalanya kepada orang tersebut.

Soalan :

Biasanya di pejabat, apabila sesuatu jamuan telah selesai, makanan berlebihan. Bolehkah makanan itu dibungkus dan di bawa balik untuk di makan bersama keluarga ?

Jawapan :

Hukumnya harus

Soalan :

Ustaz, saya melarang anak saya dari menyertai tarian di sekolahnya. Tapi ada yang mengatakan tindakan saya itu adalah salah kerana mensia-siakan bakat anak saya. Apa pandangan Ustaz ?

Jawapan :

Tindakan Puan adalah betul. Jangan pedulikan kata orang.

Akhir kalam

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Surau An-Nur di atas jemputan yang diberi. Mohon kemaafan jika sepanjang ceramah ada menyinggung mana-mana perasaan.

Yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri.

Wallahualam.

Friday, July 16, 2010

Bertandang ke Labu


Menjelang waktu Maghrib

Sebenarnya ada dua isi yang hendak saya sampaikan di Masjid Qaryah Gadong Jaya, Labu pada malam ini. Namun oleh kerana masa terbatas, saya cuma sempat menyentuh mengenai solat sahaja.

1. Orang yang tidak solat

Rasulullah saw melihat satu golongan yang menghempap-hempapkan kepala mereka dengan batu yang besar. Setiap kali mereka menghempapkan kepala mereka dengan batu sehingga pecah , kepala mereka akan bercantum kembali seperti sediakala dan mereka akan mengulangi perbuatan itu dengan tidak henti-henti . Maka Baginda pun bertanya kepada Jibril, "Siapakah gerangan ini wahai Jibril?'. Malaikat Jibril menjawab :

"Merekalah golongan yang berat kepalanya untuk mengerjakan sembahyang Fardu".

Betapa hinanya orang yang meninggalkan solat seperti yag dikisahkan di zaman Nabi Musa a.s. Di zaman ini, ada seorang sepasang suami isteri yang sudah lama berumahtangga , namun tidak mempunyai zuriat, lalu terdetik di dalam hati suami untuk bernazar.

"Kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam."

Dengan izin Allah SWT, isteri lelaki tadi pun hamil dan melahirkan seorang anak. Bila sudah mendapat anak, laki ni pun runsing bagaimaa dia mahu menunaikan nazarnya iaitu meminum air kencing anjing, lalu dia mengadu kepada Nabi Musa a.s.

Nabi Musa a.s menjawab bahawa lelaki itu tidak perlu minum air kencing anjing hitam, tapi minumlah air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam dengan menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang tidak sembahyang. Demikianlah betapa hina orang yang meninggalkan solat.

2. Zakat

Rasulullah saw juga telah menemui suatu kaum yang berpakaian koyak rabak, koyak di depan dan koyak di belakang, mereka berkelakuan seperti binatang, memakan makanan daripada kayu-kayu yang berduri, pohon-pohon yang pahit maung dan tulang belulang daripada neraka Jahannam.


Sebahagian jemaah yang hadir

Maka Nabi saw bertanya Jibril, siapakah mereka itu ? Jawab Jibril : Mereka itulah orang-orang yang tidak membayar zakat harta.

Pentingnya membayar zakat sehinggakan apabila Rasulullah saw wafat, Saidina Abu Bakar r.a mengambil alih tempatnya sebagai pemerintah Negara, maka sebahagian daripada suku-suku Arab telah kufur kerana enggan membayar zakat.

Khalifah Abu Bakar yang terkenal dengan sikapnya yang lemah lembut telah mengistiharkan perang ke atas golongan ini. Ketika beliau bersiap sedia untuk memerangi mereka, beliau di datangi Saidina Umar bin al-Khattab, lalu berkata kepadanya, bagaimana kita harus menentang mereka sedangkan Rasulullah saw telah bersabda,

أمرت أن أقاتل الناس حتى يقولوا لا اله الا الله ،
فمن قالها فقد عصم منى ماله ونفسه وحسابه على الله


Maksudnya : Aku telah diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap Laa Ilaaha Illallaah. Maka barangsiapa yang mengucapkannya, dia terlindung daripadaku pada hartanya dan jiwanya, sedang perhisabannya kelak terserah kepada Allah.

Jawab Abu Bakar, Demi Allah aku akan memerangi sesiapa pun yang membezakan antara sembahyang dengan zakat, kerana sesungguhnya zakat itu adalah suatu hak terhadap harta. Demi Allah, jika mereka menahan seekor kambing kecil yang dahulu pernah mereka menyerahkannya kepada Rasulullah sebagai harta zakat, nescaya aku akan memerangi mereka disebabkan mereka menahannya.

Saidina Umar kemudiannya bersetuju dengan pandangan Abu Bakar.

Akhir kalam

Terima kasih kepada Nazir Masjid dan AJK-AJKnya, Ketua Kampung dan semua yang hadir mendengar ceramah saya malam ini.

Saya mohon ampun dan maaf jika ada sebarang kekurangan dalam menyampaikan ceramah.

Yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu kerana kelemahan saya sendiri.

Insya Allah jika panjang umur kita berjumpa lagi……

Wallahualam,

Petikan Ceramah Israk wal Mikraj
Di Masjid Qaryah Gadong Jaya, Labu
Seremban.

16.7.2010

Thursday, July 15, 2010

Israk wal Mikraj : Pergi dengan roh, jasad atau kedua-duanya sekali ?



Peristiwa Israk wal Mikraj merupakan mukjizat kedua terbesar Nabi Muhammad saw selepas Al-Quran. Musuh-musuh Islam yang terdiri daripada orang kafir dan munafik mengambil peluang untuk menyerang peristiwa ini bersandarkan beberapa hujah.

Antaranya mereka berpendapat bahawa peristiwa Israk wal Mikraj hanyalah sekadar mimpi Rasulullah saw yang hanya melibatkan roh, bukannya jasad. Mereka menggunakan dalil Al-Quran surah al-Israa ayat 60,

Firman Allah SWT,

“…..dan tiadalah Kami menjadikan mimpi pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia …” (60)

Dalam ayat ini Allah SWT menggunakan perkataan ar-Rukya ; jika diterjemahkan dalam bahasa Melayu ertinya penglihatan dalam mimpi. Mimpi hanya melibatkan roh bukannya jasad. Ia berlaku apabila seseorang itu tidur dan di luar kesedaran manusia.

Dalam menjawab persoalan ini seorang ulama terkenal yang bernama Sheikh Mutawalli al-Sya’rawi dalam kitabnya ‘Isra wal Mikraj’ menyatakan perkataan ar-Rukya dalam bahasa Arab terbahagi kepada dua maksud. Satu penglihatan dalam mimpi dan kedua penglihatan dalam sedar.

Untuk mengetahui sama ada perkataan ar-Rukya dalam surah al-Israaa ayat 60 merujuk kepada penglihatan dalam mimpi atau sedar maka hendaklah dilihat pada pengertian ayat ini keseluruhannya,

“…..dan tiadalah Kami menjadikan mimpi pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia …”

Jika perkataan ar-Rukya dalam ayat tersebut ditafsirkan kepada penglihatan dalam mimpi, tentulah peristiwa ini tidak dianggap sebagai ujian kepada manusia.

Sebaliknya catatan sejarah menunjukkan apabila Rasulullah saw menghabarkan peristiwa ini kepada orang ramai, maka ia menjadi cabaran kepada iman manusia untuk mempercayainya.

Rasulullah saw juga dituduh sebagai ‘orang gila’ kerana menceritakan sesuatu yang tidak logik berdasarkan pemikiran manusia.

Ini menunjukkan bahawa baginda saw pergi dengan roh dan jasad.

Walalhualam.

Kuliah Maghrib,
Surau Taman Sri Pulai
Rabu, 14.7.2010

Tuesday, July 13, 2010

Sepetang di Sek Men Keb Tunku Ampuan Najihah



Sudah 14 tahun isteri saya mengajar di Sek Men Kebangsaan Tunku Ampuan Najihah Seremban (SMKTAN). Sepanjang tempoh itu dia tidak pernah menjemput saya untuk menyampaikan ceramah agama di sekolahnya.

“ Selagi Na ada di sekolah itu, abang tak boleh datang beri ceramah sebab Na rasa malu dengan kawan-kawan kalau ceramah abang tak sedap”, kata isteri saya.

Tiga hari lepas Ustazah Afzilah dari sekolah ini menelefon isteri saya, bertanya sama ada saya free atau tidak pada hari Selasa 13.7.2010 jam 2.30 petang kerana hendak menjemput menyampaikan ceramah Israk wal Mikraj.

Isteri saya pun menyampaikan pesanan ini kepada saya. Respon saya,



“Hai…, selama ini awak melarang abang berceramah di sekolah awak, kenapa tiba-tiba kali ini bertukar fikiran ?”.

“Kali ini tak pa.., sebab Na bukan ada di sekolah pun ”, jawab isteri saya.

Isteri saya sedang cuti bersalin anak kelima dan insya Allah cutinya masih berbaki sebulan lagi.

Justeru, petang tadi saya pun bertandang ke Sekolah ini untuk menyampaikan ceramah Israk wal Mikraj selama satu jam.

Sebelum pergi isteri saya berpesan,

“Ingat...abang ceramah pasal Israk wal Mikraj aja tau……, jangan cerita hal-hal yang lain pulak “, katanya.

“Insya Allah “, jawab saya.



Program ceramah berakhir pada pukul 3.45 petang.

Terima kasih kepada warga SMKTAN di atas layanan yang diberi.

Jika ada kekurangan semasa menyampaikan ceramah, saya mohon kemaafan….

Monday, July 12, 2010

Israk wal Mikraj dan RIBA


Adakah anda pergi ke masjid dan surau dengan kenderaan yang dibeli dengan cara riba. ? Atau insuran kenderaan anda dibeli dengan syarikat yang mengamalkan riba ? Atau rumah yang dihuni turut dibiayai oleh perbankan riba ?

Barangsiapa yang terlibat dengan riba atau bersubahat dengan amalan riba maka azab Allah SWT amat pedih. Hidupnya di dunia tidak berkat. Mereka seperti sedang berperang dengan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 278-279,

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.(278) Maka jika kamu tidak meninggalkan sisa riba, maka ketahuilah, bahwa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu, dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya"(279)

Ambillah iktibar dari kisah Israk wal Mikraj. Dalam peristiwa ini Rasulullah saw saw telah melihat sebuah sungai darah yang meluap-luap seperti meluapnya air panas yang sedang mendidih, dan di tebing-tebing sungai itu terdapat malaikat-malaikat yang di tangan masing-masing api. Terdapat satu kaum yang berenang-renang di dalam sungai api tersebut sambil dimulutnya terdapat bara api yang ditelannya.

Setiap ada yang cuba menyelamatkan diri hingga ke tebing sungai itu, maka Malaikat yang berada di tebing akan menolaknya semula jatuh ke dalam sungai tersebut, maka tenggelamlah ia semula dalam keadaan terbakar hingga sampai ke dasar sungai itu. Maka Nabi saw bertanya Jibril, siapakah mereka itu ? Jawab Jibril : Mereka itulah orang-orang yang memakan riba, mereka disiksa di situ sehingga akhirnya mereka dimasukkan pula ke dalam api neraka.

Riba merupakan satu ideologi yang di luar batas kemanusiaan. Islam telah memerangi riba dalam satu peperangan yang tiada taranya. Allah SWTjuga mensifatkan pemakan riba adalah seperti berikut :

"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), Maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. orang yang kembali (mengambil riba), Maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya". (Surah Al-Baqarah 275)

Justeru, marilah kita berazam untuk membebaskan diri dari riba !

Sunday, July 11, 2010

Berkunjung ke Felda Bukit Rokan Utara


Bergambar di hadapan Masjid Felda Bukit Rokan Utara

Kata orang tua-tua jauh perjalanan luas pemandangan. Malam tadi saya ke Masjid Felda Bukit Rokan Utara kerana memenuhi undangan menyampaikan ceramah Israk Wal Mikraj.

Tiga minggu lepas, sebelum pihak Masjid mengesahkan jemputan, mereka bertanyakan maklumat peribadi, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan nombor surat tauliah mengajar untuk tujuan semakan dan tapisan di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

“Wah ketat betul prosedur untuk berceramah di masjid ini”, tanya saya.

“Bukan apa ustaz…, saya hanya menjalankan arahan seperti yang diminta oleh Jawatankuasa Masjid “, kata Ust Osman bin Hasan Guru Agama Felda yang menghubungi saya.


Suasana menjelang waktu Maghrib

Setelah rujukan dan tapisan di buat, barulah Ust Osman menghubungi saya mengesahkan jemputan tersebut.

"Berapa bayarannya Ustaz ?", tanya Ust Osman.

"Terpulanglah kepada pihak Masjid, saya tidak meletakkan sebarang bayaran, lagi pun saya ini bukanlah penceramah popular", jawab saya berterus terang.

Petang semalam, dengan bertemankan abang Ipar, Bahzin bin Mat Diah yang tinggal di Taman Desa Kiara Sikamat, saya bertolak ke destinasi selepas menunaikan solat Asar di Masjid Qaryah Sikamat.

Turut bersama ialah dua orang anak lelaki, Ahmad Afif Amiruddin dan Ahmad Afif Arifuddin.

Saya diminta oleh Ust Osman menggunakan jalan Kuala Pilah kerana katanya lebih dekat.

“Saya tunggu Ustaz di bangunan Tabung Haji Kuala Pilah”, pesan Ust Osman.


Dari kanan ialah Imam, Nazir dan AJK Masjid

Dalam keadaan hujan renyai-renyai saya memandu kereta Pesona milik isteri dengan kelajuan 70 ke 80 km sejam. Tiba di Bukit Putus, Ybhg Al-Fadhil Ust Haji Khushairi bin Hamthan rakan se 'classmate' ketika di SMKA SHAMS pula telefon,

“Sheikh…, malam ini anta free tak ?, Kalau free tolong gantikan ana berceramah di sekian tempat ”, tanya Ust Khushairi.

“Aasif jiddan ya akhi…, Al -Aan uridu an azhaba ila Bukit Rokan , kerana ceramah Israk Mikraj”, jawab saya menggunakan bahasa Arab rojak.

“ Ok, ana doakan anta selamat pergi dan selamat balik, pandu kereta berhati-hati..." kata Ust Khushairi.

Lebih kurang jam 6.03 minit petang kami pun sampai di bangunan Tabung Haji Kuala Pilah. Saya kemudian menghubungi Ust Osman memberitahu ketibaan saya.

“Ana pun dah sampai. Kereta Toyota Avanza ana ada di depan bangunan Tabung Haji. Ustaz tunggu sekejap, ana sekarang sedang gunting rambut”, beritahu Ust Osman.

20 minit selepas itu Ust Osman pun muncul dan terus memimpin kami ke Masjid yang dimaksudkan.


Sebahagian dari jemaah lelaki

Rupa-rupanya perjalanan dari bangunan Tabung Haji Kuala Pilah ke Masid Bukit Rokan Utara tidaklah jauh sangat, lebih kurang 30 minit sahaja.

Kami melalui Senaling, Kepis dan Jelai.

Pukul 6.45 kami pun sampai didestinasi. Pihak Masjid mengundang kami untuk makan nasi terlebih dahulu.

Dengan berlaukkan daging masak gulai cili api, sayur sawi goreng dan ikan masin sepat kami pun makan dengan berselera.

Selepas Maghrib, majlis pun dimulakan.


Kehadiran jemaah wanita amat memberangsangkan

Pukul 9.00 malam saya pun menghentikan ceramah. Cukuplah satu jam sahaja. Selepas solat Isyak dan menikmati sedikit jamuan ringan, pukul 9.33 malam kami pun pulang ke seremban.

Sampai di rumah pukul 10. 57 malam.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Felda Bukit Rokan Utara….., terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan ... terima kasih atas segala layanan yang diberi ... dan terima kasih segala-galanya ....

Maafkan saya jika ada kekurangan semasa menyampaikan ceramah.....Insya Allah kalau panjang umur kita berjumpa lagi…..

Noktah.

Thursday, July 8, 2010

Berkuliah di surau As-Siddiq


Isnin lepas, saya dihubungi oleh Tuan Haji Muazzan, pegawai khas Ybhg Al-Fadhil Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus untuk menggantikan beliau menyampaikan kuliah bulanan di Surau As-Siddiq Taman Tun Hussein Onn Cheras, pada Rabu 7.7.2010. Program ini khas untuk kaum wanita.

Tuan Haji Muazzan sempat menghulurkan telefon bimbitnya kepada Ybhg Al-Fadhil Dato' untuk bercakap dengan saya.

Tergamam rasanya bila bercakap dengan tokoh ulama yang disegani seluruh Malaysia. Tak tahu nak cakap apa.

"Anta tolong gantikan tempat ana kuliah ya. Satu perkara lagi, ana nak tanya bila anta nak tambah isteri ?", gurau Ybhg Al-Fadhil Dato'.

Saya tidak sedar apa yang saya jawab. Yang saya ingat,

"Ok Dato'", dua perkataan ini sahaja.



Kuliah bermula pada pukul 3.15 petang. Saya bertolak dari rumah selepas solat Zuhor di Masjid Qaryah Sikamat. Parking kereta di Surau Taman Sri Pulai. Kemudian menaiki Toyota Avanza milik Tuan Haji Muazzan dan sampai kedestinasi pukul 2.40 petang.

Sepanjang perjalanan ke Cheras, hujan renyai-renyai dan kadang-kadang lebat menggila.

Program tamat pukul 5.00 petang selepas solat Asar. Setelah menikmati sedikit jamuan saya bergegas balik dan sampai di rumah pukul 6.30 petang. Seterusnya mandi untuk berkuliah di Surau Kg Ismail pula.

Saya cuba menghulurkan sekeping wang RM 50.00 kepada Tuan Haji Muazzan kerana belanja minyak dan tol. Tetapi beliau menolak kerana katanya dia ikhlas kerana Allah SWT.

Terima kasih Tuan Haji Muazzan, kerana sanggup mengiringi saya ke program tersebut.

Hanya Allah SWT sahaja yang layak memberi pahala kepada tuan.

Sunday, July 4, 2010

Sebuah cerpen… Menanti Azan Subuh.


Tik tok, tik tok, tik tok …jam loceng Pak Hashim berdetik dan terus berdetik.

Sudah pukul tiga pagi rupanya.

Malam ini Pak Hashim tidak dapat melelapkan mata. Dia terkenangkan dua orang anaknya iaitu Hasan yang sedang menjalani rawatan di Pusat Serenti Dadah Tampin, manakala anak bongsunya pula Halim seorang usahawan yang tinggal di Kuala Lumpur.

Isteri Pak Hashim sudah lama meninggal dunia, lima tahun yang lalu.

Kini Pak Hashim tinggal keseorangan di Kg Pilin Rembau Negeri Sembilan.

“Esok aku mahu melawat Halim. Semenjak dia berhijrah ke Kuala Lumpur dua tahun lepas dia tidak pernah mengirim berita . Ah ! mungkin dia sedang sibuk dengan urusan bisnesnya”, senyum Pak Hashim cuba memujuk hatinya yang kecewa.

Keesokkan harinya

Selepas bersarapan pagi, berangkatlah Pak Hashim ke Kuala Lumpur untuk menemui anak bongsu kesayangannya yang dirindui selama ini.

Sampai di perhentian Pudu Raya, dengan berbekalkan alamat yang diberi Pak Hashim menyewa sebuah teksi lalu menuju ke Taman Tun Dr. Ismail untuk mencari rumah anaknya.

Ketika melalui kawasan perumahan ini Pak Hashim merasa kagum apabila melihat deretan rumah banglow yang dihuni oleh orang-orang kaya.

“Aku tak sangka Halim, engkau sudah berjaya dan mampu tinggal di kawasan elit ini”, bisik hati Pak Hashim bangga.

Teksi dinaikinya kemudian berhenti di sebuah rumah yang tersergam indah.

“Pakcik, dah sampai”, kata si pemandu teksi, memecah lamunan Pak Hashim.

Setelah membayar tambang , Pak Hashim turun lalu membunyikan loceng di pagar rumah.

“Ting Tong”.

Kelihatan seorang lelaki India datang menghampirinya lalu bertanya,

“Mahu jumpa siapa encik ?”

“Saya mahu jumpa anak saya, namanya Halim ", jawab Pak Hashim.

“Sila masuk. Nanti saya panggilkan boss saya”, jawab lelaki India ini. Rupa-rupanya dia adalah tukang kebun di rumah anaknya.

Pak Hashim masuk ke perkarangan rumah. Dilihatnya dua buah kereta mewah, Toyota Camry 2.4 cc dan MPV Toyota Alphard sedang ‘berehat’ di garej kereta.

“Bertuahnya aku dapat anak macam Halim ini. Dia sudah jadi tokey besar rupa-rupanya, bolehlah aku menumpang senang ,” kata hati Pak Hashim.

Selang beberapa minit kemudian pintu rumah pun di buka.

“Halim !”, terpacul perkataan itu dari mulut Pak Hashim. Betapa gembiranya setelah menatap wajah anak bongsu kesayangannya.

Pak Hashim cuba merapatkan dirinya pada Halim untuk memeluk anak yang dirinduinya itu.

Tiba-tiba…,

“Hei orang tua !, engkau ini siapa tiba-tiba datang ke rumah aku ?”, bentak Halim marah.

“Eh Halim, ini ayah engkau sayang. Tidak kah engkau ingat dua tahun lalu ayah menjual kebun getah semata-mata mahu memberi modal kepada engkau berniaga di Kuala Lumpur ”, kata Pak Hashim.

“Ayah aku sudah lama meninggal”, kata Halim.

Kemudian muncul seorang perempuan Inggeris yang sedang mabuk sambil memaut bahu Halim.

“Whats wrong Halim ”, tanya gadis Inggeris ini sambil mencium pipi Halim.

“Nothing wrong Amy, this old man try to claim that he is my father”, terang Halim kepada kekasihnya itu.

“Get lost !”, Halim menyepak Pak Hashim sehingga tersungkur di tepi longkang.

Lelaki India yang melihat peristiwa itu hanya menggeleng-geleng kepala. Manakala gadis Inggeris hanya tersenyum sinis sambil meneguk segelas wiski.

Dengan lemah longlai Pak Hashim meninggalkan rumah anak bongsu kesayangannya itu.

"Apalah nasib ku ini...", sayu hati Pak Hashim apabila melangkah keluar.

Di sebuah Masjid.

Malam itu Pak Hashim menumpang tidur di sebuah Masjid di pinggir kota. Esok selepas Subuh, dia bercadang untuk pulang semula ke kampungnya.

Oleh kerana terlalu jauh berjalan, Pak Hashim tidur dengan nyenyaknya.

“Pakcik-pakcik bangun”.

Kedengaran suara seorang lelaki mengejutkannya dari tidur.

Dengan terkesat-kesat Pak Hashim membuka matanya.

Subhanallah ! Allah SWT Maha Berkuasa. Pagi ini dia dipertemukan dengan anak pertamanya Hasan.

“Ayah!”, perkataan pertama keluar dari mulut Hasan apabila menyedari lelaki tua yang dikejutkannya tadi ialah ayahnya sendiri.

“Hasan”, menitis air mata Pak Hashim sambil memeluk erat anaknya itu.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar”, kedengaran bilal Masjid melaungkan azan menandakan masuknya waktu Subuh.

Kedua beranak ini kemudian mendirikan solat Subuh berjemaah.

Setelah selesai solat, Hasan mempelawa ayahnya menaiki kereta Wira kepunyaanya.

“Macam mana engkau boleh jadi macam ini Hasan ? ”, tanya Pak Hashim.

“Panjang ceritanya ayah”, jawab Hasan.

Sambil memandu kereta menuju kerumahnya di Taman Keramat Hasan memulakan cerita. Katanya dia sudah lama keluar dari Pusat Serenti Dadah tiga tahun lepas. Selepas keluar, dia berazam tidak akan pulang ke kampung selagi tidak berjaya dalam kehidupan.

Dengan berbekalkan semangat yang jitu, dia memulakan kehidupannya di Kuala Lumpur dengan bekerja sebagai pelayan Restoren kepunyaan sepasang suami isteri yang warak, Haji Karim dan Hajah Aminah.

Pada sebelah malam selepas bekerja, dia sering datang ke rumah Haji Karim untuk belajar mengaji Al-Quran.

Pasangan suami iteri ini mempunyai seorang anak gadis yang bernama Ain Sofea. Bekerja sebagai Guru Agama KAFA.



Tidak mahu mendatangkan fitnah kerana sering berkunjung ke rumah mereka, akhirnya Haji Karim dan Hajah Aminah membuat keputusan menjodohkan anak gadisnya dengan Hasan.

Manakala Restoren kepunyaan mereka diserahkan kepada Hasan untuk diusahakan.

Haji Karim dan isteri sekarang sedang menetap di Mekah, menghabiskan sisa hidupnya untuk beribadah di sana. Demikianlah cerita Hasan.

Kereta Wira bewarna hitam kemudiannya berhenti di sebuah rumah teres dua tingkat.

Kelihatan seorang perempuan muda sedang mendukung anak kecil membuka pintu sambil tersenyum manis.

“Itulah isteri saya ayah... Ain Sofea. Anak yang di dukung itu ialah cucu ayah, namanya Azimuddin”, kata Hassan.

Pak Hashim tersenyum gembira. Lain yang dicari, lain yang ditemui.

Friday, July 2, 2010

Cuti penggal kedua pun bermula


Minggu depan saya mula bercuti selama enam minggu. Bermakna Kolej Tuanku Jaafar hanya akan di buka semula pada pertengahan Ogos nanti.

Besok hari terakhir bagi penggal kedua.

Semua guru di sini sedang sibuk mengemaskan barang-barang. Buku-buku mula di susun kemas dan dimasukkan ke dalam almari. Mood mengajar sudah tidak ada. Di wajah guru-guru terukir senyuman gembira. Mungkin dalam hati sudah tidak sabar-sabar mahu bercuti agaknya.

Cuti sebulan setengah, masing-masing sudah ada rancangannya tersendiri. Ada yang mahu pergi melancong, ada yang hendak menyelam di Pulau Sipadan, ada yang hendak pergi Umrah, ada yang hendak panjat Gunung Kinabalu dan bermacam-macam lagi.

Saya pula tidak boleh pergi kemana-mana kerana anak-anak bersekolah. Biarlah saya dengan aktiviti saya di rumah.

Esok hari Speech Daydi Kolej Tuanku Jaafar.

Orang-orang penting Kolej seperti YAM Tunku Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar serta kaum kerabat Negeri Sembilan turut hadir.

Dan seperti biasa saya akan menjadi orang yang 'terpenting' dalam majlis itu nanti untuk membaca doa.

“The program cannot run without you“, usik seorang guru bukan Islam.

“Please pray for us too”, kata seorang Mat Saleh pula.

Saya tersenyum. Rupa-rupnya mereka pun ingat Tuhan. Apa pun saya mendoakan agar mereka mendapat hidayah.

Kebiasaannya semasa Speech Day, saya mengambil peluang untuk berkenalan dengan ramai ibu bapa. Di kalangan mereka ada yang bertaraf VIP. Berbagai ragam dan gaya hidup yang mereka pamerkan.

Namun di kalangan VIP-VIP ini, antara yang rapat dengan saya ialah Dato’ Markiman Kobiran, pegawai khas Menteri Keselamatan dalam Negeri. Sehingga sekarang saya mudah menghubunginya serta berbalas sms.

Begitu juga dengan Tan Sri Dato’Jen (B) ' Zain Hashim, bekas Panglima Tentera Darat Malaysia yang juga begitu baik dan warak orangnya. Dia dan isteri pernah menghadiahkan kitab Tafsir ayat-ayat lazim karangan ulama terkenal Sheikh Fuad Kamaluddin al-Maliki kepada saya. Terimakasih kepada Tan Sri dan Puan Sri !

Cuti nanti saya akan menyiapkan buku kedua saya. Selain itu saya diminta freekan tarikh 13,14 dan 15 Julai untuk kuliah di Lembah Kelang.

Manakala 24 Julai, saya perlu ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya untuk temuduga & ujian kelayakan sebagai Guru Pembimbing Ibadah Haji. Doakan saya berjaya.

Seorang kenalan pula mengajak saya menyampaikan ceramah di Pusat Muktamar Islam, Malaysian Airline System(MAS).

Saya telah memberi tarikh-tarikh yang kosong. Ya, saya memang bercita-cita mahu berceramah di MAS serta beramah mesra dengan pegawai-pegawai syarikat penerbangan ini. Semoga Allah SWT memakbulkan doa saya.

Akhir kalam, saya bertekad untuk memanfaatkan masa cuti ini dengan baik.

Wassalam

Thursday, July 1, 2010

Cara ringkas mengerjakan Umrah


Puan Zuraidah Omar, Guru Bahasa Melayu Kolej Tuanku Jaafar bakal mengerjakan Umrah pada pertengahan bulan Julai ini.

Baru-baru ini beliau meminta saya menyampaikan taklimat ringkas kepadanya sekitar 30 minit, bagaimana mahu mengerjakan Umrah. Bertempat di perpustakaan Kolej dan bersaksikan beberapa orang pelajar saya mula menjalankan kewajipan mengajar orang yang tidak tahu.

"Kenapa Puan tidak mahu pergi ke kursus intensif ?", soalan pertama saya.

I bukan tak nak pergi kursus Ustaz …, tapi I tak ada masa”, dia memulakan bicara.

“Oklah, sebelum itu saya mahu tanya, Puan pergi ke mana dulu, Mekah atau Madinah ?”, soalan saya seterusnya.

“Madinah”, jawabnya ringkas.

“O.k, setelah Puan selesai menziarahi Madinah, sebelum bertolak ke Mekah, Puan digalakkan mandi sunat Ihram di Hotel. Niatnya sahaja aku mandi sunat Ihram kerana Allah Taala. Selepas itu Puan pakai telekung”, kata saya.

Dia mengangguk.

“Kemudian Puan naik bas bertolak ke Mekah. Lebih kurang 15 minit bas Puan akan berhenti di satu tempat namanya Bir Ali. Puan masuk ke masjid itu dan sembahyanglah sunat ihram dua rakaat. Niatnya, sahaja aku sembahyang sunat Ihram dua rakaat kerana Allah Taala”, jelas saya.


Masjid Bir Ali

“Lepas sembahyang ?”, tanyanya.

“Dah selesai sembahynag sunat Ihram, Puan dikehendaki berniat mengerjakan Umrah. Niatnya Nawaitul ‘Umrata Wa Ahramtu biha Lillahi Ta’ala, maksudnya sahaja aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala”.

Saya melihat Puan Zuraidah mencatatkan sesuatu dalam bukunya.

“O.k, teruskan lagi Ustaz”, pintanya.

“Lepas Puan berniat, Puan tidak boleh melakukan beberapa perkara iaitu menutup muka, memakai bau-bauan pada badan atau pakaian, memakai minyak rambut pada kepala, menanggalkan rambut atau menghilangkan mana-mana bulu pada anggota badan, mengerat atau membuang kuku, memotong, menebang atau mencabut pokok atau tumbuhan di Tanah Haram, memburu binatang buruan yang halal dimakan atau membinasakannya sama ada di Tanah Haram atau di Tanah Halal, bersetubuh, melakukan perkara pendahuluan bersetubuh seperti bercium, berkucup-kucupan atau berpeluk yang menaikkan nafsu syahwat dan nikah”, kata saya dengan panjang lebar.

Puan Zuraidah tersenyum sipu. Mungkin penjelasan saya pada larangan terakhir membuatkan dia rasa malu.

“Selepas berniat ihram, Puan disunatkan bertalbiah berulang-ulang kali. Lafaznya, Labbaikallahumma Labbaik, Labbaikala Syarika Laka Labbaik , Innal Hamda Wan Ni’mata, Lakawal Mulk, La Syarii kalak ”, kata saya.

“Agak-agak berapa lama perjalanan dari Madinah ke Mekah Ustaz ?”, tanyanya dalam excited.

“Err…, bergantung kepada kesesakan lalu lintas. Biasanya kalau time mengerjakan Umrah tak lama lebih kurang tujuh atau lapan jam”, jawab saya.

“Bila Puan dah sampai di Mekah, selepas check in di Hotel, Puan turun ke dataran Kaabah dan lakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan bermula dari Hajar Aswad. Ingat, ketika tawaf jangan masuk dalam Hijir Ismail, nanti tawaf Puan tidak sah”, kata saya.


Saya tunjukkan gambar Kaabah di depannya dan terangkan cara-cara mengerjakan tawaf dengan betul.

“Masa tawaf baca apa Ustaz ?”, tanyanya.

“Puan, yang wajibnya perbuatan tawaf itu. Ada pun bacaan-bacaan semasa tawaf adalah sunat sahaja. Kalau Puan tidak tahu membaca doa-doa semasa tawaf, Puan bacalah zikir-zikir yang Puan tahu ”, jawab saya.

“Lepas tawaf, Puan di galakkan sembahyang sunat di belakang Makam Ibrahim. Lepas itu minumlah air zam-zam sambil berdoa, “Allah humma in ni As Aluka ‘Ilman Naafi’an, Warizqan Toiyiban Wa syifa An Min Kullidak ”. Maksudnya Ya Allah Aku memohon padamu ilmu yang manfaat, rizqi yang luas, ubat dari segala penyakit”, kata saya lagi.

Puan Zuraidah mencatatakan doa ini dalam buku catatannya.

“Ok, teruskan lagi Ustaz”, katanya setelah selesai mencatat.

“Selepas itu, Puan pergi ke bukit Safa. Dari bukit itu Puan dikehendaki bersaei iaitu berulang alik dari Safa ke Marwa sebanyak tujuh kali dengan yakin. Apabila sudah selesai saei, Puan dikehendaki bertahalul iaitu melepaskan diri dari pantang larang ihram dengan cara menggunting rambut paling kurang 3 helai. Selepas itu selesailah ibadah Umrah Puan”, sambil saya menunjukkan gambar orang bersaei kepadanya.



“Itu sahaja ?”, tanyanya memohon kepastian.

“Ya itu sahaja. Untuk hari berikutnya, jika Puan mahu mengerjakan Umrah, Puan di kehendaki pergi ke Tanaeim untuk berniat di sana. Puan tidak usah risau, nanti ada Mutawif yang akan membimbing Puan", kata saya.

Puan Zuraidah mengangguk-angguk tanda faham.

“Terima kasih Ustaz”, katanya.

“Sama-sama", jawab saya.

UMRAH DI BAWAH BIMBINGAN SAYA PADA 6-17 APRIL 2014 (12H/10M)

Kepada mereka yang tidak pernah mengerjakan Umrah dan inginkan bimbingan ekslusif daripada saya untuk doa dan bacaan-bacaan semasa di sana, insya Allah saya sedia membantu.

Penerbangan : MAS
Harga : RM 5250.00
Tempat bermiqat : Qarnul Manazil
Pembimbing : Ust Hj Hishamuddin Mansor


Tentatif program seperti berikut :

HARI 01 :: KUALA LUMPUR – JEDDAH

Jemaah diminta berkumpul di KLIA 3 jam sebelum masa berlepas. Bersiap dengan mandi sunat ihram dan berpakaian ihram. Pasport, tiket dan boarding pass akan diserah kepada jemaah sebelum bertolak.

Setibanya di Jeddah, jemaah akan disambut oleh pegawai umrah Makkah untuk dibawa menaiki bas ke hotel yang ditetapkan. Selepas berehat jemaah akan dibawa oleh pembimbing untuk menyempurnakan ibadat umrah yang pertama.

HARI 02 :: MEKAH

Selepas sarapan pagi – Lawatan di sekitar Masjidil Haram seperti rumah kelahiran Rasulullah saw, perkuburan Ma’la.

Jemaah bebas untuk beribadat.

Program kuliah

HARI 03 :: MEKAH

Selepas sarapan pagi – Lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Makkah seperti Jabal Thur, Arafah, Jabal Rahmah, Jabal Nur, Muzdalifah dan Mina. Jemaah akan dibawa ke Ja’ranah untuk bermiqat dan seterusnya kembali ke Makkah untuk mengerjakan umrah kedua. Seterusnya, jemaah bebas untuk beribadat.

Program kuliah

HARI 04 :: MEKAH

Jemaah digalakkan berada di Masjidil Haram lebih awal untuk menunaikan solat Jumaat.

Program kuliah

HARI 05 :: MEKAH

Selepas sarapan— Lawatan ke ladang ternakan unta di Hudaibiyah dan muzium Mekah, kilang kelambu Kaabah (tertakluk kepada kebenaran). Seterusnya bermiqat di Hudaibiyah untuk umrah ke tiga. Seterusnya, jemaah bebas untuk beribadat.

Program kuliah

HARI 06 :: MEKAH

Acara bebas. Jemaah digalakkan mengerjakan ibadah di Masjidil Haram seperti membaca Al-Quran, tawaf sunat, zikir dan sebagainya. Sesiapa yang ingin mengerjakan umrah kali berikutnya boleh berniat di Tanaim.

Program kuliah

HARI 07 :: MEKAH

Acara bebas

Program kuliah

HARI 08 :: MEKAH – MADINAH

Selepas solat Subuh jemaah dikehendaki mengerjakan tawaf wada’ kemudian bersiap menuju ke Madinah dan dijangka sampai menjelang Maghrib.

HARI 09 :: MADINAH

Selepas sarapan—lawatan ke sekitar Masjid Nabawi, menziarahi Makam Rasulullah dan para sahabat, Raudhah dan perkuburan Baqi’. Selesai ziarah, jemaah bebas untuk beribadat di Masjid Nabawi.

Program kuliah

HARI 10 :: MADINAH

Selepas sarapan pagi—lawatan ke Masjid Quba, Masjid Tujuh, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan bazaar kurma. Selepas itu jemaah bebas beribadat.

Program kuliah dan taklimat pulang

HARI 11 -12 :: MADINAH – KUALA LUMPUR

Jemaah dinasihatkan menyempurnakan ziarah wada’ sebelum meninggalkan Madinah. Jemaah kemudiannya akan dibawa kelapangan terbang Madinah untuk penerbangan ke KLIA. Jemaah dijangka tiba mengikut jadual yang ditetapkan.

Jadual tertakluk kepada sebarang perubahan.


Daftar segera !