Thursday, September 30, 2010

Catatan hari ini : Mesyuarat persiapan kursus Haji Perdana


Dari kiri ialah Tuan Haji Adnan bin Borhan (Pengurus TH Port Dickson), Tuan Haji Nawawi bin Ishak (Pengarah TH Negeri) dan Tuan Haji Nor Azamir bin Alias (Timbalan Mufti Negeri Sembilan)

Saya sampai di bangunan Tabung Haji Seremban pada pukul 2.11 minit petang. Di bilik mesyuarat, Tuan Haji Adnan bin Borhan, Pengurus Tabung Haji daerah Port Dickson sudah pun menunggu.

Sejurus kemudian tiba pula Ustaz Haji Muslal bin Rakiman dan Ustaz Haji Norazamir bin Alias (Timbalan Mufti). Mereka merupakan Guru Pembimbing Ibadah Haji yang agak senior dan paling berpengalaman di negeri ini.

Selang beberapa minit, Tuan Haji Nawawi bin Ishak Pengarah Tabung Haji Negeri Sembilan pun tiba dan terus memulakan mesyuarat.

Pengerusi memaklumkan ketidak hadiran salah seorang Guru Pembimbing Ibadah Haji iaitu Ustaz Dato’ Haji Arshad bin Abd Samad, kerana ada urusan tertentu.

Pembahagian tugas

Mesyuarat kemudian membincangkan perkara-perkara yang berkaitan kursus Haji Perdana di Stadium Nilai pada 2 dan 3 hb Oktober ini.


Pegawai-pegawai Tabung Haji yang turut hadir

Ustaz Haji Nor Azamir dilantik sebagai Ketua Guru Pembimbing Ibadah Haji. Beliau bertanggungjawab menyampaikan taklimat ringkas sebelum latihan amali dijalankan.

Manakala Guru-Guru Pembimbing Ibadah Haji yang lain akan mengetuai pergerakan amali tawaf, saei, wukuf, mabit di Muzdalifah, melontar jamrah dan tahalul.

Menurut Tuan Haji Nawawi, jumlah keseluruhan bakal jemaah Haji di seluruh Negeri Sembilan tahun ini ialah seramai lebih 1200 orang.

Menurutnya lagi, setiap Guru Pembimbing Ibadah Haji akan memimpin sekurang-kurangnya seramai 300 orang peserta.

Sebelum bersurai

Sebelum menamatkan mesyuarat, Pengerusi bertanya jika ada sebarang kemusykilan.

“Saya pimpin Maktab yang ke berapa ?”, tanya saya.

“Maktab ketiga”, jawab seorang Pegawai Tabung Haji yang hadir.

Saya mengangguk. Ini bermakna saya tidak bersama dengan bakal-bakal jemaah Haji dari daerah Seremban.

Mungkin saya akan memimpin bakal-bakal jemaah Haji dari daerah Tampin, Rembau atau Port Dickson. Segala-galanya akan diketahui semasa hari pendaftaran nanti.

Apa pun saya bersyukur kepada Allah dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Lembaga Tabung Haji Negeri Sembilan kerana telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memimbing bakal-bakal jemaah Haji tahun ini.

Moga-moga ia adalah satu pengalaman yang berguna buat saya pada masa-masa akan datang.

Sebelum pulang Guru-Guru Pembimbing Ibadah Haji telah dihadiahkan sepasang kain ihram.

Syukran !

Tuesday, September 28, 2010

Jika sinki dapur anda tersumbat


Pakcik Tahir sedang menyelesaikan masalah sinki tersumbat

Baru-baru ini sinki dapur saya tersumbat. Sudah puas saya cuba membaikinya, tetapi tidak berhasil.

Manakala isteri pula asyik merungut, meminta saya menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Lalu saya teringat Pakcik Tahir, mungkin beliau boleh membantu.

Bukan sukar untuk saya berjumpa dengannya, sebab Pakcik Tahir sentiasa berada di Masjid Qaryah Sikamat.

Jika tidak berada di masjid ini, carilah beliau di surau Al-Falah. Insya Allah pasti ketemu.

Siapakah Pakcik Tahir ?

Pakcik Tahir tinggal di Taman Desa Rhu Sikamat. Walaupun usianya 72 tahun, namun beliau masih sihat dan kuat.

“Apa rahsia pakcik ?”, tanya saya.

“Tak ada apa-apa Ustaz…cuma saya suka menolong orang”, katanya.

Saya dan anak-anak tekun melihat Pakcik Tahir bekerja.

Lima belas minit kemudian

"Sudah siap pakcik ?", tanya saya apabila melihat beliau menyimpan semula peralatannya di dalam beg.

"Sudah", katanya.

Saya menghulurkan beberapa keping duit bewarna merah kepadanya.

"Terima kasih Ustaz", beliau menerimanya.

"Tak perlulah Pakcik berterima kasih dengan saya. Sebaliknya sayalah yang perlu berterima kasih dengan Pakcik ", kata saya.

Pakcik Tahir boleh dihubungi melalui telefon 06 7624529.

Jika tuan-tuan ada apa-apa masalah seperti mahu menggantikan pintu yang reput, membaiki paip yang rosak, tandas tersumbat dan sebagainya, maka Pakcik Tahir sedia membantu.

Wallahualam.

Sunday, September 26, 2010

Demi masa


Mengunjungi rumah seorang jutawan MLM di Taman Acasia Sikamat

Masa berlalu begitu pantas. Tempoh yang dilalui selama seminggu , bagaikan rasa sehari.

Aktiviti ziarah di bulan Syawal, memenuhi undangan rumah terbuka di sana-sini, kesibukan mengajar di sekolah, aktiviti menulis pada waktu malam, menyampaikan kuliah di beberapa tempat semuanya itu cukup meletihkan.

Namun disebalik keletihan, terpancar rasa bahagia. Bahagia kerana masa yang diberikan Allah terisi dengan aktiviti yang berguna.

Annual Repot

Minggu depan, minggu yang paling mencabar. Islamic Studies Department Report for year 2010 perlu dikarang dalam Bahasa Inggeris, paling kurang 15 muka surat untuk dihantar kepada Pengetua, Mr Walter Jones. Dateline yang diberi ialah 2hb Oktober 2010.

Assesment para pelajar pula perlu dihantar pada hari Isnin 27hb, di samping Meeting Heads of Department pada hari yang sama.

Hari Khamis, 30 hb Sept 2010, pukul 2 .00 petang saya diminta oleh Lembaga Tabung Haji untuk menghadiri satu mesyuarat di pejabat Tabung Haji Seremban. Saya tidak tahu apa agendanya.

Mungkin berkait rapat dengan kursus Haji Perdana.

Pada tarikh 2 dan 3hb Oktober, saya akan menggalas amanah pertama membimbing bakal-bakal jemaah Haji menjalani kursus Haji Perdana di Stadium tertutup Nilai.

Saya berdoa kepada Allah SWT, agar diberi kekuatan, kecekalan dan kesihatan yang baik untuk menempuh hari-hari mendatang.

Menyiapkan manuskrip ketiga

Pagi semalam (Sabtu), sebelum ketempat kerja saya memeriksa akaun bank di ATM Mantin. Alhamdulillah Syarikat Penerbit Cresent Sdn Bhd, tidak mungkir janji.

Baki pembayaran untuk manuskrip kedua telah dimasukkan ke dalam akaun.

Dapatlah saya berbelanja sedikit membeli barangan keperluan keluarga. Selebihnya saya menyimpan untuk masa depan anak-anak.

Sekarang saya sedang membuat ‘sentuhan terakhir’ untuk manuskrip ketiga. Ia mengandungi 105 muka surat dan 24 buah tajuk. Ia adalah koleksi tazkirah saya di beberapa buah masjid dan surau selama ini.

Saya juga bercadang untuk menjual manuskrip ini kepada Syarikat Cresent Sdn Bhd minggu hadapan.

Manuskrip keempat

Selesai manuskrip ketiga, insya Allah akan menyusul pula manuskrip keempat. Ia merupakan Latihan Ilmiah hasil tulisan isteri ketika belajar di UKM dulu. Ia akan di olah untuk dijadikan buku.

“Abang minta izin olah Latihan Ilmiah ini untuk dijadikan buku” , kata saya meminta izin daripada isteri.

Isteri cuma tersenyum.

Diam tanda setuju.

Projek ternakan kambing akikah

Abang Kamal yang bekerja di Qatar ada berbincang dengan saya mengenai projek ternakan kambing di tanah arwah abah seluas dua ekar suku di Kg Perigi Jernih Rembau. Daripada tanah itu terbiar, lebih baik adik beradik buat sesuatu yang mendatangkan hasil.


Abang Kamal

Dari segi modal, abang Kamal akan sediakan. Dia juga sudah ‘study’ secara mendalam tentang projek ini. Katanya,

“Insya Allah kalau kita buat betul-betul, abang Kamal yakin kita boleh berjaya”.

Saya mengangguk-anggukan kepala.

Sebagai adik, saya sangat memahami abang Kamal. Kalau dia buat sesuatu, dia akan buat bersungguh-sungguh sampai berjaya.

Justeru saya diberi amanah untuk membuat persiapan awal, seperti mengunjungi Jabatan-Jabatan kerajaan yang berkait rapat dengan projek ini. Maklumlah abang Kamal sekarang berada di perantauan orang.

Kepada adik beradik yang lain, mari kita berpadu tenaga untuk “all out” memastikan projek ini berjaya !

Ia adalah tuntutan fardhu kifayah. Allahu Akbar !

Jutawan MLM

"Ustaz, kalau ikut saya berniaga produk ini, ustaz pun boleh menjadi jutawan", kata seorang hamba Allah di Masjid Sikamat baru-baru ini.

Saya sudah lama memerhatikan jutawan ini anak beranak. Setiap bulan Ramadhan, dia dan keluarganya akan berkumpul di Masjid Qaryah Sikamat menunaikan solat Terawih di barisan depan.

Kadang-kadang kereta Mercedes atau BMW yang harganya ratusan ribu ringgit mereka parking di sebelah rumah tuan imam.

Mereka melangkah ke masjid dengan tenang dan tawadhuk. Sedikit pun tidak ada perasaan riak apatah lagi sombong.

Anak-anak lelaki jutawan ini juga cukup tinggi budi bahasanya, mereka merendah diri sehinggakan jemaah masjid amat menyenangi mereka semua.

Hati saya berkata,

"Inilah kunci kejayaan beliau dan keluarga. Mempamerkan akhlak yang terpuji mencontohi Rasulullah saw ".

Mereka sekali-kali tidak mempromosi barang yang mereka jual. Cukup dengan modal akhlak yang terpuji, jemaah masjid datang menyapa dan bertanya, bagaimanakah mereka boleh berjaya.

Di situ mereka akan ceritakan, langkah demi langkah yang mereka lalui sehingga anak-beranak semuanya menjadi saudagar yang berjaya.

Kepada Cikgu Haji Amir, saya ingin mengucapkan tahniah !

Saturday, September 18, 2010

Catatan semalam : Menuai hasil pertama

Semalam selepas sahaja solat Jumaat di Surau Kolej Tuanku Jaafar, saya dan abang sulong (Mohd Shaari) menuju ke Kuala Lumpur untuk berurusan dengan Syarikat Penerbit Cresent Sdn Bhd.

Sampai di sana pukul 2.55 petang.

“Ustaz tunggu sekejap, saya on the way ke pejabat”, kata En Ibrahim Pengurus Besar Syarikat ini apabila saya memaklumkan ketibaan saya.

3.20 petang, En. Ibrahim pun sampai.

“O.k, Editor saya sudah pun semak manuskrip Ustaz. Jadi kami bersetuju untuk membelinya. Tapi Ustaz perlu ubah Layout, kurangkan kepada 8” X 5". Selepas itu manuskrip ustaz serahkan kepada kami dalam bentuk CD", kata En. Ibrahim memulakan perbincangan.

“ Baiklah, sekarang kita bincang pula tentang harga”, kata saya.

"Berapa Ustaz mahu jual ?", tanya En. Ibrahim.

"RM....", jawab saya.

“Ustaz…ekonomi sekarang meleset, buku susah hendak jual di pasaran ..., jadi kami hanya bersetuju untuk membeli hak cipta Ustaz sebanyak RM….. sahaja boleh ?”, katanya menawarkan harga.

Saya sudah agak, inilah jawapan yang sering diucapkan oleh Syarikat Penerbit apabila berurusan dengan penulis buku.

Tapi tidak mengapa ...., memang manuskrip kedua ini sengaja saya hendak jual untuk test market.

Lagi pun jumlah yang ditawarkan itu cukup lumayan, boleh cover kos untuk mengerjakan Umrah.

“Bagilah lebih sikit”, kata saya demand.

“Itulah harga yang terbaik yang kami boleh beri kepada Ustaz”, katanya muktamad.

“O.klah, saya setuju, better than nothing”, jawab saya malas mahu bercerita panjang.

En. Ibrahim tersenyum lebar lalu mengarahkan kakitangannya supaya segera membuat surat perjanjian jual beli. Tidak sampai lima belas minit surat perjanjian pun siap.

“Sekarang Ustaz tandatangan di sini”, katanya.

Kemudian saya diberi cek RM….. iaitu jumlah separuh dari harga yang dipersetujui.

Bakinya pihak Syarikat berjanji akan menjelaskannya setelah saya menghantar manuskrip dalam bentuk CD.

"Ustaz, jangan risau dari segi payment, Syarikat ini tidak pernah mungkir janji", bisik seorang penulis buku yang turut mempunyai appointment dengan En. Ibrahim.

Sebelum balik

“Saya ada satu lagi manuskrip yang hendak dijual kepada Syarikat tuan”, kata saya.

“Bagus…, bagus, lagi banyak Ustaz menulis lagi bagus. Kami sedia untuk membelinya”, kata En. Ibrahim riang.

Kami pun berpisah.

Singgah di rumah En. Sahit (Bendahari Raudatus Sakinah)

Pukul 6.20 petang dalam perjalanan balik ke rumah, saya singgah di rumah En Sahit di Taman Perwira untuk menyampaikan ucapan takziah kerana kematian isterinya.

Ketika menemui beliau yang sedang bersedih, saya membisikkan di telinganya,

“Bersabarlah abang Sahit, arwah seorang yang mulia dan meninggal dunia pun pada hari yang mulia iaitu hari Jumaat. Insya Allah, Tuhan akan beri kebaikan kepada rohnya “, pujuk saya.

Saya diberitahu oleh Cikgu Yusuf, Pengerusi Surau Al-Hadi jenazah akan disolatkan selepas Zuhor di Masjid Ampangan.

“Saya mungkin tidak sempat untuk solat jenazah kerana habis kerja pukul 1.00 tgh hari”, kata saya.

Cikgu Yusof mengangguk tanda faham.

Kemudian saya bersalam-salaman dengan kaum keluarga En Sahit dan hadirin sebelum pulang ke rumah.

Rumah terbuka di Sri Pulai

Selepas berbuka puasa, saya dan keluarga menuju ke rumah abang Kamal di Taman Sri Pulai. Alhamdulillah bermacam lauk pauk disediakan. Bermula dari udang sambal petai, tempoyak, gulai ikan tenggiri, ayam goreng, ikan masin sepat dan macam-macam lagi.

Semua adik beradik berkumpul.

Kursus Haji Perdana

"Hisham, mak dah dapat surat untuk pergi kursus Haji Perdana di Stadium Nilai. Tarikh 2 dan 3 hb Oktober ini”, kata emak yang melihat saya sedang makan dalam keadaan berselera.

“Ya, Hisham pun dah dapat surat untuk bertugas di sana nanti. Bolehlah kita pergi sama-sama”, jawab saya.

Emak gembira.

9.30 malam saya, isteri dan anak-anak meninggalkan rumah abang Kamal setelah anak bongsu merengek-rengek untuk tidur.

Thursday, September 16, 2010

Keluarga Datuk Sosilawati, bersabarlah...

Kepada keluarga Datuk Sosilawati , Kamaruddin Shamsuddin, Ahmad Kamil Abdul Karim dan Noorhisham Mohamad , yang dibunuh secara kejam baru-baru ini, bersabarlah.

Sabda Rasulullah saw,

ما مصيب المسلم من وصب ولا نصب ولا سقم ولا حزن
حتي الهم يهمه إلا كفر به من سيئاته


Maksudnya : Tidak ada seorang muslim pun yang mengalami penderitaan, kepenatan, kesakitan, kesulitan, kesedihan dan kebimbangan yang merunsingkannya melainkan dihapuskan sebahagian daripada kejahatannya. (HR Muslim)

Sesungguhnya mereka kembali kerahmatullah dengan penuh kemuliaan sebagai orang yang mati Syahid (Akhirat).

Inilah satu kelebihan yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhammad saw.

Menurut Imam al-Qurthubi dan As-Sayuti, orang yang mati syahid akhirat terlepas daripada seksaan kubur. Berkata Syeikh Luqani dan Syekh Abdus Salam dalam Syarah Ithaf al-Murid: Telah warid daripada Nabi saw, bahawa terdapat 40 jenis orang yang dikecualikan daripada fitnah kubur. Di antaranya :

“Orang yang mati di dalam menuntut ilmu syar’ie, orang yang mati dalam keadaan bermusafir kerana tujuan yang baik, orang yang mati kerana diterkam binatang yang buas atau digigit oleh binatang yang beracun, orang yang mati kerana taun, orang yang mati kerana tenggelam (lemas), orang yang mati terbakar, orang yang mati dihempap oleh runtuhan, perempuan yang mati kerana besalin, orang yang mati kekal seumur hidup melakukan solat Dhuha, orang yang mati kekal mengamalkan puasa tiga hari tiap-tiap bulan, orang yang mati ketika menerima amanah di muka bumi iaitu matinya para ulama, orang yang mati kerana mempertahanka nyawa, orang yang mati kerana mempertahankan harta, orang yang mati kerana mempertahankan keluarga dan orang yang mati dalam keadaan sentiasa berwudhuk”.

Mati dengan cara di pukul dan dibakar adalah kematian yang menyakitkan. Ia merupakan kafarah daripada Allah SWT untuk mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya sebelum dimasukkan ke dalam Syurga yang penuh kenikmatan.

Bagaimanakah nasib mereka di akhirat ?

Insya Allah, bersangka baiklah dengan Allah SWT dan Rasul-Nya. Jika azab kubur mereka lepas, azab akhirat pun mereka akan lepas juga.

Dalilnya adalah hadits Utsman bin Affan Radhiyallahu’anhu yang meriwayatkan bahwa Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya kubur adalah tempat pertama ke di akhirat. Maka seseorang yang diselamatkan darinya, maka apa yang datang setelahnya lebih mudah. Dan jika dia tidak selamat darinya, maka apa yang datang setelahnya jauh lebih buruk.” (HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad dengan derajat Hasan).

Pengajaran buat yang hidup

Jangan kita bersangka buruk dengan sesama mukmin. Mungkin orang yang kita anggap buruk itu rupa-rupanya mereka mati dalam keadaan mulia di sisi Allah SWT.


Wallahualam.

Wednesday, September 15, 2010

Selamat datang Nik Madihah



















Ustaz mengucapkan selamat datang kepada Nik Madihah pelajar terbaik SPM 2008 (19 A)yang akan mengambil A Level di Kolej Tuanku Jaafar Mantin Seremban.

Beliau telah memulakan hari pertamanya sebagai pelajar Kolej ini semalam atas biayaan Bank Negara.

Justeru, ustaz mendoakan Nik Madihah berjaya dengan cemerlang di dunia dan akhirat.

Insya Allah.

Sunday, September 12, 2010

Khutbah Eidul Fitri 1431 H


Di hadapan jemaah Surau Kg. Ismail Ampangan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia,

Bulan Ramadhan telah pun berlalu, adalah lumrah bagi para sahabat Rasulullah saw serta mukmin yang hakiki mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang gembira serta syukur dan melepaskannya dengan hati yang sayu dan sedih, penuh rasa bersalah serta bimbang jika tidak sempat menemui bulan Ramadhan pada tahun yang berikutnya.

Dan mereka juga khuatir jika segala ibadah yang mereka lakukan di bulan Ramadhan masih gagal menebus dosa-dosa mereka yang lalu, pendekata gagal mendapat keampunan daripada Allah SWT. Dalam hal ini Rasulullah saw,

ويل لمن أدرك رمضان فلم يغفر له

Maksudnya : Neraka Waillah, bagi mereka yang berkesempatan di bulan Ramadhan sedangkan dia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Manakala bagi orang mukmin yang hatinya berpenyakit, mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang kecewa, kecewa kerana terpaksa meninggalkan nikmat makan dan minum serta syahwat, kecewa kerana terpaksa berpuasa selama sebulan, pendekata puasa bagi mereka tidak mempunyai apa-apa erti bahkan dianggap sebagai satu bulan penyeksaan, justeru mereka tidak sabar-sabar menanti kedatangan Syawal, apabila Syawal menjelma mereka akan gembira dan seronok, kerana segala bentuk penyeksaan yang mereka lalui selama sebulan telah pun berakhir.


Sebahagian jemaah yang hadir

Golongan yang berpuasa kerana terpaksa inilah yang disebut oleh Rasulullah saw,

كم من صائم ليس له من صيامه الا الجوع والعطس

Maksudnya : Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa daripada ibadah puasanya melainkan hanyalah lapar dan dahaga.

Muslimin dan muslimat sekelian,

Di samping itu, kita juga turut merasa sedih, apabila ada segelintir umat Islam hari ini yang masih mengabaikan kewajipan berpuasa, malah tanpa segan silu makan di hadapan orang ramai. Paling mengaibkan ada kedai-kedai makanan Islam yang turut sama bersubuhat menjual makanan kepada orang-orang Islam yang tidak berpuasa.

Kepada peniaga-peniaga makanan ini sayugia diingatkan, sesungguhnya bersubahat dalam perkara yang haram maka hukumnya adalah haram, segala keuntungan yang diperolehi daripadanya adalah haram, dan darah daging yang tumbuh daripada titik peluh yang haram akan dibakar api neraka selama-lamanya diakhirat nanti. Bertaubatlah sebelum terlambat…

Dan kepada mereka yang meninggalkan ibadah puasa tanpa sebarang keuzuran pula , Rasulullah saw memberi ancaman keras sebagaimana sabda baginda yang mafhumnya,

“Barangsiapa yang berbuka puasa satu hari di bulan Ramadhan tanpa sebarang rukhsah (kelonggaran ) dan tanpa uzur, maka dia tidak akan mampu mengqadakkan puasa yang ditinggalakan sehari itu sekali pun dia berpuasa seumur hidup ”. (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi)

Muslimin dan muslimat sekelian,

Sebenarnya tidak ada perayaan kepada orang yang tidak berpuasa. Kerana ibadah puasa adalah ibadah yang diperintahkan menerusi Al-Quran. Al-Quran adalah kitab suci, yang diturunkan pada bulan Ramadhan sedangkan orang-orang yang tidak berpuasa, hatinya adalah kotor dan bernajis, mana mungkin ajaran Al-Quran yang suci boleh melekat di dalam hatinya. Justeru, orang yang tidak patuh kepada perintah Al-Quran mereka sebenarnya tidak layak berhari Raya pada hari ini.

Allahu Akbar (3 X)

Menyambut Hari Raya di zaman ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Antara cabaran terbesar yang akan kita hadapi hari ini ialah daripada program-program televisyen yang sentiasa berlumba-lumba untuk menyiarkan rancangan yang bercorak hiburan dan melalaikan. Bermula pada malam raya, sehingga berhari-hari malah seminggu, dua minggu telivesyen akan menyiarkan program hiburan kepada umat Islam, seolah-olah Hari Raya adalah hari untuk kita berpesta dan berhibur, menyanyi dan berjoget.

Tidak ketinggalan juga ada di kalangan ibu bapa yang membenarkan anak-anak remaja mereka keluar berpasang-pasangan lelaki dan perempuan tanpa ikatan mahram menuju ke panggung-panggung wayang untuk menonton wayang. Jelas perbuatan ini adalah maksiat dan bertentangan dengan Islam. Sabda Rasulullah saw,

من عصى الله فى العيد فكأنما عصى الله فى الميعاد

Maksudnya : Barangsiapa yang melakukan maksiat di hari raya, maka samalah kedudukan mereka dengan orang yang mungkir janji.

Berdasarkan hadis di atas mungkir janji adalah sifat-sifat orang munafik. Justeru orang yang melakukan maksiat di Aidil Fitri kedudukan mereka samalah seperti orang munafik.

Allahu Akbar ( 3 X), Sidang muslimin dan muslimat sekelian,

Islam sebenarnya tidak menghalang kita menikmati sedikit keseronokkan, Islam sama sekali tidak menghalang kita menikmati sedikit hiburan pada Hari Raya, tetapi biarlah ia berpandukan kepada hukum syarak, biarlah ia berpaksikan kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, hendaklah ia tidak melampau batas-batas susila, tidak berlebih-lebihan serta menjaga adab-adab pergaulan lelaki dan perempuan.

Pada Hari Raya kita disunatkan memakai pakaian yang elok. Pakaian yang elok tidak semestinya pakaian baru. Pastikan pakaian yang dipakai oleh isteri dan anak-anak kita menepati syariat serta menutup aurat. Adalah dayus mana-mana suami atau bapa yang membiarkan anak-anak atau isteri mereka keluar memakai pakaian yang menjolok mata.

Allahu Akbar (3 X) Muslimin dan muslimat sekelian,

Hari ini adalah Hari Raya. Hidupkanlah suasana Hari Raya ini dengan amalan ziarah menziarahi sesama Islam, bermula menziarahi ibu bapa serta orang-orang yang lebih tua di kalangan keluarga kita, diikuti dengan kaum kerabat, sanak saudara, jiran-jiran serta sahabat handai. Malah disebut dalam sepotong hadis sahih bahawa amalan ziarah menziarahi ini akan membawa keberkatan dalam hidup serta memanjangkan umur. Nabi saw bersabda,

“Barangsiapa yang mahu rezekinya bertambah, usianya dipanjangkan maka hendaklah dia menghubungi rahimnya .”

Bagi mereka yang sudah kematian ayah dan ibu, ziarahilah kaum kerabat mereka, baik di sebelah arwah ayah mahupun di sebelah arwah ibu, dan juga ziarahilah sahabat handai mereka kerana Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang sahabat, bagaimanakah mahu membuat kebaikan kepada ibubapa yang telah meninggal dunia ya Rasulullah ? Jawab baginda, Hendaklah kamu memperbanyakkan doa dan istighfar untuk mereka, tunaikan wasiat mereka, hubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang tidak sampai hubungan kamu dengan mereka melainkan dengan perantaraan ibubapa kamu dan muliakanlah sahabat handai mereka yang masih hidup.

Dalam kita ziarah menziarahi, berhati-hatilah ketika membawa kenderaan. Janganlah tergesa-gesa mahu segera sampai, kerana sifat tergesa-gesa itu adalah daripada syaitan.

Ingatlah Allah ketika memandu, ingatlah isteri dan anak-anak, ingatlah orang yang tersayang di kalangan ibu bapa dan saudara mara, sesungguhnya nyawa kita amat berharga di sisi orang yang tersayang. Ketahuilah kematian di jalanraya merupakan kematian yang cukup tertinggi di Negara kita.

Allahu Akbar (3 X) Muslimin dan muslimat sekelian,

Di Hari Raya ini, muliakanlah tetamu-tetamu yang datang kerumah kita sama ada tua atau pun muda, sama ada kanak-kanak mahu pun remaja kerana Rasulullah saw bersabda,

ان الضيف اذا دخل بيت المؤمن دخل معه ألف بركة وألف رحمة

Maksudnya : Sesungguhnya tetamu itu apabila ia masuk ke dalam rumah seseorang mukmin, maka dia akan masuk membawa seribu berkat dan seribu rahmat.

Layanilah tetamu-tetamu kita dengan baik, janganlah kita membeza-bezakan antara tetamu miskin dan tetamu kaya, kerana kita semuanya adalah sama di sisi Allah SWT, cuma yang membezakan antara kita ialah taqwa kepadaNya. Firman Allah SWT,

ان أكرمكم عند الله اتقاكم

Maksudnya : Sesungguhnya yang mulia di sisi Allah di kalangan kamu ialah mereka yang bertaqwa.

Mengadakan rumah terbuka adalah satu amalan yang mulia, kerana ia termasuk amalan sedekah yang boleh merapatkan hubungan sesama Islam. Di samping menjamu selera kita dapat beramah mesra dengan sanak saudara, jiran-jiran dan sahabat handai.

Tetapi janganlah pula sampai kita berlumba-lumba sesama sendiri, untuk menunjukkan rumah terbuka siapakah yang paling hebat, rumah terbuka siapakah yang paling banyak hidangan juadahnya sehingga kita berbelanja besar dan membazir. Ingatlah orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.

Di dalam kita menjamu selera, janganlah kita makan berlebih-lebihan, sebaliknya hendaklah kita bersederhana. Ingatlah, badan yang sihat amat penting bagi kita untuk beribadat dan untuk kita bekerja mencari rezeki. Kawallah pemakanan kita, kekanglah nafsu kita kerana penyakit Diabetes, penyakit tekanan darah tinggi, penyakit lemah jantung, penyakit obesity dan lain-lainnya adalah berpunca kerana terlebih makan.

Allahu Akbar (3 X) Sidang muslimin dan muslimat sekelian,

Pada Hari Raya ini kita digalakkan saling maaf-bermaafan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lidah mana yang tidak pernah tergigit begitu juga manusia mana yang tidak pernah melakukan dosa sesama manusia.

Yang berlalu, biarlah ia berlalu. Janganlah disimpan di dalam hati. Buanglah yang keruh ambillah yang jernih. Oleh itu hulurkanlah salam perdamaian, oleh itu hulurkanlah salam kemaafan, hulurkanlah salam persaudaraan kerana sesungguhnya umat Islam adalah bersaudara sebagaimana firman Allah SWT,

انما المؤمنون اخوة فأصلحو بين أخويكم

Maksudnya : Orang-orang yang beriman adalah bersaudara, maka damaikanlah kedua-dua mereka, takutlah kamu kepada Allah moga-moga kamu akan beroleh rahmat.

Janganlah kita berpaling dan bermasam muka, janganlah kita keraskan hati tidak mahu bertegur sapa kerana Rasulullah saw pernah bersabda yang mafhumnya berbunyi, Tidak halal umat Islam tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari.

Di kesempatan ini, saya mewakili Pengerusi, Imam dan seluruh ahli jawatankuasa Surau memohon ribuan ampun dan maaf zahir dan batin kepada sekelian jemaah sekiranya terdapat kesalahan dan kesilapan kami dalam mentadbir dan menguruskan surau ini.

Datanglah beramai-ramai ke surau, di samping solat berjemaah kita juga boleh mendengar kuliah-kuliah Maghrib yang disampaikan oleh para ustaz yang bertauliah. Bila lagi masanya untuk kita mengisi dada kita dengan ilmu pengetahuan melainkan waktu kesempatan yang Tuhan berikan kepada kita.

Ingatlah wahai muslimin dan muslimat sekelian, usia kita semakin bertambah, sepatutnya semakin bertambah usia kita semakin bertambah erat hubungan kita dengan Allah dan semakin bertambah ilmu agama kita. Bukannya semakin bertambah usia kita semakin jauh pula kita dengan Allah dan semakin jahil pula kita dengan ilmu-ilmu agama.

Anggaplah Hari Raya Idul Fitri pada tahun ini merupakan Hari Raya Idul Fitri yang terakhir bagi kita semua, kerana kita semua tidak tahu bilakah kita akan pulang ke pangkuan Allah SWT.

Lihatlah di sekeliling kita. Berapa ramai di kalangan sahabat-sahabat, berapa ramai di kalangan jiran-jiran, mau pun sanak saudara yang turut bersama-sama merayakan Idul Fitri pada tahun lepas, tetapi pada tahun ini mereka tidak lagi bersama dengan kita, mereka sudah menyahut panggilan Ilahi. Mungkin hari yang berikutnya adalah hari kita, justeru bersiap sedialah dengan amalan soleh sebagai bekalan menuju ke negeri yang abadi.

Allahu Akbar (3 X)

Tuesday, September 7, 2010

Terima kasih sekalung budi

Petang tadi Kolej Tuanku Jaafar telah dikunjungi oleh tetamu-tetamu dari Angkatan Belia Islam Malaysia.

Mereka tiba dalam pukul 5.00 petang, disambut oleh En Adha bin Aris, Pengurus ICT Kolej Tuanku Jaafar Mantin.

Selain tazkirah, mereka turut membuat persembahan multimedia menceritakan pengalaman ketika menghantar misi bantuan di negara-negara Islam yang mereka kunjungi.

Majlis diakhiri dengan program berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah.

Saya bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan mereka sewaktu solat Terawih. Rupa-rupanya mereka tidak dapat bersama untuk solat Terawih kerana sudah mempunyai program di tempat lain.

Justeru ketika saya tiba, kami hanya sempat bertemu seketika sahaja.

Di atas kesempatan ini , saya bagi pihak semua staf dan pelajar-pelajar muslim Kolej Tuanku Jaafar mengucapkan jutaan terima kasih di atas kunjungan tuan-tuan petang tadi.

Terimalah serangkap pantun daripada saya.

Sudi tuan menghadirkan diri,
Ke tempat kami setulus hati,
Ucapan terima kasih kami dahului,
Segala kekurangan harap dimaafi.


Syukran !

Sunday, September 5, 2010

Catatan hari ini : Yang merah itu saga



Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa.

Alhamdulillah, bulan ini saya menerima tiga helai kain pelikat.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menghadiahkannya.

Apa pun kualiti atau harganya, saya tetap menerima dengan rasa syukur dan gembira.

Syukur kerana masih ada yang mengingati. Gembira kerana hubungan ukhwah sesama insan saling terjalin erat.

Itulah yang lebih mahal dari segala-galanya. Budi bahasa yang tidak boleh di jual beli.

Mengintai Lailatul Qadar di Al-Falah

Hari ini rutin saya bermula seawal pukul 3.30 pagi.

Jemputan sebagai pembimbing Qiamullail di Surau Al-Falah Taman Desa Rhu, saya terima dan laksanakan sebaik mungkin.

Suasana tiga perempat malam di sini sungguh ceria. Kanak-kanak turut hadir menambahkan suasana gembira.


Dua jemaah surau sedang berbual mesra

Lampu surau yang bersinar terang menghilangkan rasa mengantuk. Kami bertasbih memuji Allah, bagaikan suara ombak membadai pantai.

Majlis selesai sejam sebelum Fajar.

Bermenukan nasi lemak dan teh tarik kami bersama-sama menikmati sahur.

Menyemai bakti di Masjid Negeri

Selesai sahur , saya menuju ke Masjid Negeri. Di sana sudah menunggu ratusan insan yang mendambakan diri pada Ilahi.

Mereka beriktikaf mengharapkan rahmat dari Tuhan yang Maha Pemurah.

Azan Iqamat dilaungkan oleh Bilal bertugas. Tuan Haji Kamaruddin, Imam 3 bergerak ke hadapan mengimami solat.


Kelihatan Tuan Haji Kamaruddin, Imam 3 Masjid Negeri

Selesai Subuh, saya mula menyampaikan tazkirah sebagai peringatan untuk diri dan sidang jemaah.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri, Maaf Zahir dan Batin, Wakullu ‘Aaam Wa Antum Bikhair ”, kata saya sebelum menutup majlis 5 minit sebelum pukul 7 pagi.

Kemudian kami bersalam-salaman tanda redha meredhai.

Ibu-Ibu Tunggal dan Fakir Miskin : Kalian tetap diingati

Pukul 9.00 pagi saya menuju ke rumah Nenek Maryam Janariah di blok C Ampangan.

Di sana tetamu VIP iaitu Sahibul Fadhilah Ust Haji Nor Azamir Alias, Timbalan Mufti Negeri Sembilan sudah pun tiba lebih awal.


Timbalan Mufti sedang menyampaikan ucapan

Pagi ini ada majlis penyampaian sumbangan untuk ibu-ibu tunggal dan fakir miskin oleh Badan Kebajikan Raudhus Sakinah.

Saya diminta membaca doa.

Majlis diteruskan dengan ucapan Ybhg Sahibul Fadhilah Ust Nor Azamir selaku Pengerusi Badan Kebajikan sukarela ini.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan kepada ibu-ibu tunggal dan fakir miskin yang hadir.


Antara mereka yang hadir

Selesai majlis, Ust Nor Azamir, saya (AJK Penaja) , Kak Liza (Setiausaha), Kak Safura (AJK Penaja), abang Zaki (AJK Penaja), abang Jamalullail (AJK Penaja) dan abang Sahit (Bendahari) mengadakan mesyuarat ringkas.

Agenda mesyuarat ialah merancang untuk mendaftarkan Badan Kebajikan ini di Pejabat Pendaftaran dengan kadar segera.

Kami juga berbincang mengenai aktiviti Jamuan Hari Raya yang bakal diadakan.

Majlis berakhir 11.40 pagi.

Iftar dan solat Terawih dengan adik beradik

Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, beberapa hari sebelum Hari Raya kami adik beradik akan berkumpul untuk berbuka puasa dan solat Terawih bersama-sama.


Solat Terawih bersama adik beradik

Hari ini emak membuat sup tulang, lauk kegemaran saya. Adik beradik yang lain pula membawa juadah masing-masing dari rumah.

Kami berbuka dengan rasa syukur dan gembira. Kadang-kadang ada di kalangan adik beradik usik mengusik yang menambah suasana ceria.


Abang-abang saya (dari kiri) Mohd Zulkifli dan Mohd Shaari bin Mansor

Majlis kemudian disusuli dengan solat Maghrib, Isyak dan Terawih berjemaah.

Syukur ya Allah !

Friday, September 3, 2010

Warkah buat jiran... Takbir Raya di Vila Suria




Buat jiran-jiranku setaman sekalian,

Saya mendoakan semoga jiran-jiran semua sihat wal’afiat, dimurahkan rezeki serta mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT hendak-Nya.

Tahun ini saya beraya di Seremban. Justeru saya mengambil kesempatan pada malam raya untuk mempelawa jiran-jiran setaman bertakbir raya dari rumah ke rumah.

Setakat ini sudah ada tiga buah rumah yang sudah pun memberi persetujuan.

Jika jiran-jiran bersetuju, datanglah ke rumah saya pukul 9.00 malam di no 516 Jalan A 17. Dari rumah saya kita akan bergerak ke rumah jiran -jiran yang lain pula.

Oh ya.., satu perkara lagi jangan pula jiran-jiran bersusah payah menyediakan juadah yang berat-berat. Kerana tujuan kita hanyalah bersilaturrahim dan saling kenal mengenal sahaja.

Buat jiran-jiran yang pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah memandu dan ingatlah orang yang tersayang.

Semoga jiran-jiran pulang dengan selamat dan balik semula ke Vila Suria dengan selamat.

Sekian daripada saya, 'WAKULLU 'AAM WA ANTUM BIKHAIR'.

Jiranmu setaman,

Ust Hj Hishamuddin bin Mansor

Sekitar Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Jama'ei


Pelajar-pelajar sedang mengambil tempat

Majlis ini berlangsung di Surau SMK Seremban 2 malam tadi. Ia telah dihadiri oleh ramai pelajar, guru-guru dan ibu bapa.


Kelihatan Ustazah Nik Rosidah bt Mohamad memberi arahan kepada peserta perempuan

Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar dan sempurna. Pada pengamatan saya majoriti pelajar sekolah ini boleh membaca Al-Quran dengan baik. Syabas diucapkan kepada guru-guru agama SMK S2.


Bangunan sekolah di lihat dari Surau

Sungguh indah pemandangan sekolah di waktu senja.


Iftar dengan kurma sebelum solat Maghrib

7.18 minit malam, kami sama-sama berbuka. Duduk bersila di atas lantai tanpa mengira darjat sama ada Guru, Ibu bapa dan juga pelajar. Santai...


Datin Hjh Maznah bt Yusof, Pengetua Cemerlang SMK S2

Datin Pengetua memberi nasihat kepada pelajar supaya menjauhi gejala sosial. Datin cukup bimbang dengan pertambahan anak luar nikah di kalangan bangsa Melayu.

Syukur SMK S2 memiliki Pengetua yang prihatin dengan nasib bangsanya.


Sedang khusyuk mendengar nasihat dari Pengetua

Akhirnya saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan. Saya ingin memohon maaf jika sepanjang majlis yang saya pimpin ini ada sebarang kecacatan dan kekurangan.

Yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk itu kerana kelemahan saya sendiri.

Wednesday, September 1, 2010

Kisah seorang doktor yang mencari Lailatul Qadar

Doktor-doktor yang sedang bergelut menyelamatkan nyawa pesakit

Tahun 2006, saya pernah ke klinik Kesihatan Seremban menyampaikan tazkirah Ramadhan di hadapan jururawat dan Doktor-Doktor yang bertugas sekitar daerah Seremban.

Ketika itu Dr. Ramli Pengarah Klinik Kesihatan Seremban (ahli jemaah tabligh) merupakan jiran saya di Taman Sri Penaga Sikamat.

Setelah selesai tazkirah sementara menunggu waktu berbuka, saya dihampiri oleh seorang doctor mungkin pakar pembedahan,

“Ustaz…, tugas saya ialah membedah orang. Sedangkan pembedahan itu tidak mengenal waktu. Jika ada kes-kes kecemasan saya akan dipanggil segera untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kadang-kadang saya merasa rugi memilih bidang kedoktoran ini kerana tidak berpeluang menghidupkan sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan . Bayangkan, pukul 3 pagi ketika orang lain sedang bertahajud dan beriktikaf di Masjid, saya pula sedang bergelut di bilik pembedahan” , katanya kesal.

Saya terkedu mendengar keluhan doctor ini.

“Doktor…, tugas doktor sungguh mulia kerana menyelamatkan nyawa pesakit . Insya Allah dengan amalan yang mulia ini, doctor juga dikira sedang 'beribadah' kepada Allah SWT. Apatah lagi kalau doktor bertugas pada hari jatuhnya malam Lailatul Qadar, sudah tentu Allah SWT akan memberi ganjaran pahala seribu bulan kepada doktor”, jelas saya.

“Betul ke Ustaz ?”, tanyanya lagi.

“Insya Allah”, jawab saya.

Suara azan Maghrib tiba-tiba kedengaran dari corong radio menandakan waktu berbuka sudah pun masuk.

Kami pun makan bersama-sama.