Friday, December 31, 2010

BSN Ampangan meletup : Terima kasih dan tahniah PDRM !




















BSN Ampangan (Cawangan Perbankan Islam)terbakar hangus!

Minggu lepas, minggu yang penuh cabaran bagi kami Anak-Anak Hajah Sariah.

Manakan tidak, salah seorang daripada ahli keluarga kami Norizah binti Mansor, Pengurus BSN cawangan Ampangan menerima ujian yang paling hebat apabila dipanggil oleh polis kerana kehilangan wang sejumlah lebih RM 200,000.

Wang itu disimpan di peti besi yang sedikit pun tidak ada kesan kebakaran atau pun diumpil.

Hairan bin Ajaib !

Bagaimana wang itu boleh hilang sedangkan hanya kakak saya sahaja yang memegang kunci itu.

Siapa yang ambilnya ?

Orang dalam ?

Kalau orang dalam, siapa ?

Lantas mata tertumpu kepada .....

Hari Khamis malam Jumaat , 23.12.2010

Hampir semua adik beradik berkumpul di rumah mak. Masing-masing berwajah muram kerana kami percaya ahli keluarga kami tidak bersalah.

Dia sebenarnya teraniaya.

Kami mendirikan solat Hajat dan membaca Yasin. Kami berdoa bersungguh-sungguh supaya Tuhan tunjukkan kebenaran.

“Ya Allah …, Engkau pandanglah kami dengan belas kasihan-Mu, Berilah pertolongan kepada ahli keluarga kami yang terniaya…, sesungguhnya dia tidak bersalah…., makbulkanlah doa kami….”, demikianlah rayuan demi rayuan yang saya panjatkan kepada Tuhan sambil diaminkan oleh kaum keluarga.

Selepas solat Isyak, saya sempat memberi tazkirah ringkas di hadapan semua adik beradik.

“Anggaplah apa yang berlaku kepada ahli keluarga kita sebagai ujian daripada Allah SWT. Hisham yakin…, kes ini akan selesai secepat yang mungkin. Mari kita tawakal dan serahkan kepada Allah SWT. Lagi pun PDRM pasti akan menyiasatnya secara profesional”, kata saya.

Hari Selasa malam Rabu, 28.12.2010….

Menjelang Maghrib, abang Zul yang turut bekerja di BSN menghantar sms,

‘Hisham….Syukur Alhamdulillah berkat doa semua adik beradik kes telah selesai. Duit yang hilang dah dapat semula bersama perompaknya’.

Justeru selepas solat Isyak saya terus menelefon abang Zul untuk mengetahui siapakah perompaknya.

“Maaf, polis tak mahu beritahu, tapi perompak itu sudah pun mengaku salah”, kata abang Zul dengan suara yang ceria.

Saya telefon pula mak.

“Alhamdulillah…, mak sekarang ni ada di rumah kak Izah kau”, kata mak meraikan anaknya yang sudah berjaya melepasi ujian.

Syukur segala-galanya telah selesai.

Hari Rabu…, 29.12.2010

Waktu Zuhor saya telah diundang ke BSN Seremban untuk memimpin bacaan Yasin dan solat Hajat.

Sampai di surau BSN (tingkat 4), seorang pegawai kanan BSN memberitahu saya,

“Ustaz…, kita ubah agenda kepada maajlis membaca Yasin dan doa kesyukuran sahaja, tak perlu buat solat Hajat”, kata pegawai ini.

“Kenapa?”, tanya saya.

“Kes sudah selesai ”, jawabnya yang tersenyum gembira.

Saya perhatikan semua pekerja BSN yang hadir sungguh ceria.

TERIMA KASIH PDRM !

Bagi pihak Anak-Anak Hajah Sariah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan rasa terharu dengan kepantasan Polis Diraja Malaysia yang begitu cekap dan profesional melaksanakan tugas sehingga tertangkapnya perompak tersebut.

Ada hikmah di sebalik kes ini

Kes ini merapatkan lagi hubungan kekeluargaan kami yang sememangnya sudah rapat. Dan yang paling penting ia telah merapatkan hubungan kami dengan Tuhan sebagai tempat mengadu.

Hampir semua adik beradik bangun setiap malam menunaikan solat Hajat memohon pertunjuk.

Hari ini , 31.12.2010….

Selepas solat Jumaat, saya berkunjung ke rumah mak . Kak Padilah pun ada bersama.

“Insya Allah, kak Izah nak ikut engkau pergi Umrah tahun depan”, kata mak.

“Lah pun nak ikut juga….”, sampuk kak Padilah.

“Ya ke … Al-hamdulillah”.

Saturday, December 25, 2010

Majlis Penutup Perkampungan Al-Quran


Amir menerima hadiah saguhati pertandingan hafazan

Al-Quran merupakan wahyu dan mukjizat kepada Rasulullah s.a.w., ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini, manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah SWT.

Selain daripada itu, Al-Quran juga mempunyai rahsia dan hikmah yang tinggi. Kunci kerahsiaannya perlu digali, pintu hikmahnya perlu diterokai supaya arah tuju perjalanan hidup kita sentiasa dalam keredhaan Allah SWT.


Sekali lagi tampil ke hadapan untuk menerima cenderamata daripada Dato' Mufti

Lebih-lebih lagi kita wajib mempercayai kitab Al-Quran kerana ia merupakan pelengkap kepada kesempurnaan rukun Iman seseorang Muslim.

Sebagai ibubapa, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Masjid Qaryah Sikamat yang telah menganjurkan program ini dengan jayanya.


Semoga kalian semua menjadi anak yang soleh

Tuesday, December 21, 2010

Pluralisme Agama : Menafikan perjuangan Nabi






















Dr. Uthman Muhammady, antara ulama yang gigih menentang 'Pluralisme Agama' melalui pena, seminar dan diskusi ilmiah

Dewasa ini muncul fahaman sesat yang meresapi sebahagian kecil umat Islam di negara kita. Fahaman ini dikenali sebagai fahaman ‘Pluralisme Agama’ yang menganggap bahawa semua agama di dunia ini adalah sama dan sedarjat.

Doktrin sesat

Dengan memetik beberapa ayat Al-Quran serta menyelewengkan tafsirannya, pendokong fahaman ini mendakwa semua agama baik Islam, Kristian, Yahudi , Buddha atau Hindu, mengajar manusia menyembah Tuhan yang sama dan melakukan kebaikan.

Cuma cara dan metodnya sahaja yang berbeza. Hakikatnya, di akhirat semua penganut agama ini bakal memperolehi pahala dan berpeluang masuk ke syurga.

Perlu ditentang

Fahaman sesat ini perlu ditentang kerana ia bercanggah dengan Al-Quran dan juga Hadis. Sesungguhnya Allah SWT hanya mengiktiraf agama Islam sahaja sebagai agama yang diredai-Nya.

Tidak ada agama lain yang boleh membawa kesejahteraan kepada manusia di dunia dan akhirat melainkan Islam.

Firman Allah SWT,

Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al-'Imran 085)

Orang-orang kafir sama sekali tidak boleh memasuki Syurga walaupun mereka beramal soleh. Untuk ke syurga mereka perlu mendapatkan lesen iaitu mengucap dua kalimah syahadah serta beramal soleh mengikut acuan agama Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 23,

Dan kami periksa amal kebajikan mereka, kemudian Kami jadikannya bagaikan debu-debu yang berterbangan.

Memperkecilkan dakwah Rasulullah dan sahabat

Pandangan yang mengatakan semua agama adalah sama merupakan pandangan yang menafikan perjuangan Nabi saw yang begitu gigih berusaha membasmi amalan syirik di kalangan musyrikin Quraisy.

Baginda juga sangat istiqamah dalam menyebarkan Tauhid kepada penganut Kristian, Yahudi dan juga Majusi.

Fahaman ini juga secara tidak langusng menidakkan sumbangan para sahabat yang berhabis-habisan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir demi mempertahankan akidah yang suci.

Nama-nama harum seperti Hamzah bin Abi Talib, Jaafar bin Abi Talib dan Zaid bin Haritah sentiasa meniti di bibir umat Islam sebagai syuhada yang besar jasanya dalam membela agama Allah.

Nasihat Rasulullah

Rasulullah saw pernah mengingatkan akan adanya golongan yang cuba mentafsirkan Al-Quran mengikut hawa nafsu. Sabda baginda,

سيقرأ القران رجال لا يجاوز حناجرهم يمرقون من الدين كما يمرق السهم من المية

Maksudnya : Kelak akan ada orang-orang yang membaca Al-Quran yang tidak sampai melampaui tenggoroknya (tidak sampai merssap dalam hati). Mereka sebenarnya lepas dari agama bagaikan lepasnya anak panah dari busurnya. (Riwayat Abu Ya’la)

Islam menghormati penganut agama lain mengamalkan ajaran agama mereka, sebagaimana perjanjian yang pernah dimeterai antara Rasulullah saw dengan orang bukan Islam ketika di awal pembentukan negara Madinah.

Tetapi itu tidak bermakna Islam mengiktiraf kebenaran agama-agama tersebut.

Firman Allah SWT,

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (Al-'Imran 019)

Kesimpulan

Umat Islam perlu kepada pengukuhan akidah yang mantap dalam membentengi diri dari fahaman sesat lagi menyesatkan. Tanpa keimanan yang teguh , amat mudah umat Islam tergelincir ke lembah kesesatan. Nau’zubillah.

Wallahualam.

Saturday, December 11, 2010

Marah dan hakikatnya


Tidak semua marah dilarang

Dalam sebuah hadis,

عن أبي هريرة رضي الله عنه , أن رجلا قال للنبي (ص) : أوصني ! قال : لا تغضب ! فردد مرارا . قال : لا تغضب !

Maksudnya : DaripadaAbu Hurairah r.a bahawasanya ada seorang telah berkata kepada Nabii saw : Berpesanlah kepadaku ! Jawab baginda : Jangan marah !. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta di pesan, maka baginda masih tetap berkata-kata : Jangan marah ! (HR Bukhari)

Dalam sebuah hadis lain yang dikeluarkan oleh At-Tabrani,

دلني على عمل يدخلني الجنة , قال : لا تغضب ولك الجنة

Maksudnya : Tunjukkanlah saya satu amalan yang bakal menyebabkan saya memperolehi syurga. Sabda Nabi saw : Jangan marah, nescaya engkau masuk syurga.

Disebut dalam hadits dari Ibnu Mas’ud r.a Nabi saw bersabda :

“Tahukah kamu siapa yang paling kuat di kalangan kalian ? Sahabat menjawab : Mereka ialah yang paling kuat gustinya. Baginda bersabda : Bukan begitu, tetapi orang yang paling kuat ialah mereka yang boleh mengendalikan nafsunya ketika marah.” (HR. Muslim)

Hakikat marah

Marah adalah salah satu sifat yang ada pada diri manusia secara fitrahnya. Tidak semua sifat marah itu dilarang dalam Islam. Ada kalanya wajib seseorang itu marah seperti marah seorang suami yang melihat isterinya keluar rumah mendedahkan aurat, atau marah seorang bapa yang melihat anaknya tidak menunaikan solat serta marah apabila Islam dihina oleh pihak musuh dan sebagainya. Mereka yang tidak marah dalam situasi ini, mereka adalah golongan yang lemah iman.

Selain itu ada juga marah yang diharuskan jika tidak melampaui batas syarak seperti marah seorang majikan kepada pekerjanya yang culas serta marah seorang guru yang mahu mendidik dan mengasuh muridnya.

Manakala marah yang dicela ialah marah terhadap orang alim yang mengajar kebaikan, atau marah kepada pihak yang berusaha melakukan makruf, atau marah kepada meeka yang mencegah kemungkaran atau marah kepada pemerintah yang mahu melaksanakan syariat Allah SWT dan sebagainya.

Marah seperti ini dicela kerana mirip kepada perangai dan tingkah laku orang kafir.

Cara mengatasi sifat marah

Rasulullah saw telah mangajar umatnya cara-cara menghilangkan sifat marah iaitu

1.Membaca ta’awudz ketika marah.

2. Duduk seperti mana sabda Rasulullah saw, “Apabila salah seorang diantara kalian marah dalam keadaan berdiri duduklah, jika belum hilang maka berbaringlah.”

3. Diam sebagaimana sabda baginda,“Apabila ada diantara kalian marah maka diamlah.”

4. Berwuduk kerana marah itu dari syaitan dan syaitan itu dicipta daripada api sedangkan maka api kalah dengan air.

Wallahualam.

Monday, December 6, 2010

Mereka yang terkhilaf



Selamat Hari Jadi Ahmad Afif Arifuddin, 4.12.2004

“Seorang mualaf 32 tahun, baru sahaja memeluk Islam (tanpa pengetahuan keluarga) pada bulan Ramadhan yang lalu. Bekerja di Hospital Swasta Seremban. Beliau sedang mencari jodoh yang berusia 30 tahun ke bawah. Utk keterangan lanjut dan No H/Pnya sila hubungi saya”

Para pembaca sekalian…,

Apa yang saya catat ini merupakan kisah benar yang berlaku dalam hidup saya.

Semenjak saya mengiklankan hasrat seorang mualaf yang mahu mencari jodoh dua bulan yang lalu, bermacam-macam panggilan telefon, email dan sms yang saya terima.

Ada yang benar-benar memahami maksud iklan yang tertera di atas, di samping ada juga yang tidak memahaminya. Mereka sangkakan sayalah mualaf yang dimaksudkan.

Mereka sebenarnya terkhilaf.

Bayangkan seorang gadis menghantar email yang maksudnya begini,

“Ustaz…, ustaz kata ustaz seorang mualaf. Baru masuk Islam bulan puasa yang lalu. Tapi bila saya baca kisah hidup ustaz, ustaz pernah belajar di sekolah agama. Macam mana tu ? Tak pahamlah ”

Satu lagi email berbunyi,

“Ustaz yang dihormati…, saya sudi menjadi isteri ustaz. Saya dari Jeli Kelantan, berusia 32 tahun. Saya suka kepada kanak-kanak”.

Semua email ini telah pun saya padamkan serta merta. Saya bimbang kalaulah isteri saya membacanya…, habis!

Alamat bergegarlah rumah tangga saya.

Mungkin lebih hebat gegarannya dari Gunung berapi Merapi, Indonesia.

SMS yang mendebarkan

Saya juga pernah menerima sms yang mampu mencairkan iman.

“Ust..,saya terbaca blog Ustaz. Ustaz sedang mencari jodoh rupanya….Untuk makluman ustaz Saya seorang gadis yang sedang mengalami kesakitan…. Tolonglah datang untuk mengubati saya… ”.

Cis !

Saya terus membuang sms yang menggoda ini.

Panggilan telefon

Beberapa hari lepas ketika sedang memandu kereta membawa keluarga balik ke kampong Sekinchan , tiba-tiba saya menerima satu panggilan.

“Na…, tolong jawabkan”, kata saya kepada isteri.

“Hello…., ya…, ya… nak cakap dengan dia ?”, tanya isteri saya.

“Bang…ada seorang perempuan nak cakap dengan abang”, isteri saya menyerahkan handphone kepada saya sambil wajahnya masam mencuka.

“Waalaikumussalam”,respon saya menjawab salam yang diberi.

“Ustaz Hishamuddin …, nama saya Nor………. Saya telefon ini dari Syarikat S…a…s.”, kata suara pemanggil.

Gaya suaranya agak memikat dan manja. Mungkin dia bekerja sebagai penyambut tetamu di Syarikat yang hebat ini.

Dan yang terpenting, mungkin Syarikat ini sedang mencari penceramah agama untuk menyampaikan ceramah Maal Hijrah yang semakin hampir.

Kalau begitu, beruntunglah saya. Dalam ramai-ramai penceramah yang hebat-hebat dan tersohor di tanah air, penceramah 'kerdil' seperti saya ini pula yang dijemput.

Apa nak buat…sudah rezeki, bisik hati kecil. Saya mula tersenyum lebar.

Kalau dapat duit saguhati dari syarikat ini nanti bolehlah saya gunakannya untuk membeli baju sekolah anak-anak. Ringan sedikit bebanan saya.

“Ya ada apa Puan Nor….. memanggil saya ?”, tanya saya sambil memperlahankan kenderaan.

Bagi saya penggilan seperti ini cukup penting. Segala maklumat tentang lokasi ceramah, tarikh dan masanya perlu dihafal dalam minda fikiran.

“Tak usahlah ustaz berpuan-puan pula dengan saya…, saya masih belum berkahwin”, katanya dengan nada suara perlahan, tetapi manja menggoda.

“Ya.., cik Nor …… apa hajat cik Nor…. menghubungi saya”, tanya saya tidak sabar menunggu jawapan.

“Ustaz Hishamuddin …..sebelum ini ustaz sudah banyak menyampaikan kuliah agama di masjid dan surau di Negeri Sembilan ya ?”, tanya suara manja ini lagi.

“Ya”, jawab saya.

Hati saya sudah mengagak, memang Syarikat gergasi ini mahu menjemput saya menyampaikan ceramah agama. Sebab itu mereka bertanyakan soalan seperti ini untuk mengesahkan sama ada saya sudah berpengalaman menyampaikan ceramah atau sebaliknya.

Pengalaman saya sebelum ini, memang ada pejabat-pejabat, syarikat , organisasi , surau dan masjid yang akan interview saya terlebih dahulu melalui panggilan telefon untuk mengetahui status saya sama ada saya adalah penceramah pro pembangkang atau kerajaan atau sebagainya.

Ada juga yang bertanyakan ijazah kelulusan saya, surat tauliah mengajar…, dan tidak kurang juga yang meminta nombor siri surat tauliah untuk dirujuk ke Jabatan Agama bagi memastikan ia benar atau palsu.

Maklumlah, zaman sekarang macam-macam perkara boleh dipalsukan.

Saya faham itu adalah prosedur bagi sesetengah syarikat, organisasi , masjid mahu pun surau. Dari satu segi, ia bagus untuk mengelakkan sebarang kontroversi.

Di Cheras, satu hari dalam kuliah wanita, saya pernah mendengar komplen dari beberapa orang muslimat yang mengatakan ada seorang penceramah mingguan di surau mereka menyampaikan kuliah seperti berikut,

“Ketika sertu, hendaklah membasuh dengan 7 kali basuhan, 6 kali dengan air lumpur dan satu kali dengan air mutlak”.

Saya beristighfar panjang.

“Di mana Ustaz menyampaikan kuliah..?”, tanya si gadis ini. Suaranya ‘maintain’ manja.

“Banyak ….antaranya masjid Sikamat Seremban.., Masjid Negeri dan bla..bla…”, jawab saya lancar.

Mungkin jawapan saya sedang direkod oleh si gadis pemanggil untuk dilaporkan kepada pihak pengurusan tertinggi Syarikat ini.

Kemudian pihak pengurusan tertinggi akan membuat keputusan sama ada saya layak atau tidak berceramah di Syarikat tersebut.

“Err…err… bolehkah saya berjumpa Ustaz di Masjid sekian-sekian ?”,tanya gadis ini lagi.

“Kenapa ?”, jawab saya hairan.

Hati saya menduga, mungkin si gadis ini mahu menyerahkan surat jemputan menyampaikan ceramah kepada saya secara 'by hand'.

Maklumlah Maal Hijrah hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Kalau di pos surat jemputan itu secara manual mungkin memakan masa berhari-hari untuk sampai ke tangan saya. Apatah lagi bulan Disember ini, tentu ramai posman bercuti untuk bersama keluarga.

“Sebenarnya…, sebenarnya…., saya ..saya...", tiba-tiba suara si gadis tersekat-sekat.

Saya masih bersangka baik. Mungkin line Celcom hari ini tidak berapa clear.. Sebab itu dia bercakap sepatah, sepatah bagi memastikan saya mendengar maklumat yang bakal di sampaikan.

"Ya..., teruskan, teruskan saya dengar suara cik Nor...", jawab saya.

Kereta diberhentikan di tepi highway.

Saya mengambil pen di kotak 'handbreak' , untuk mencatatkan tarikh ceramah, tajuk dan masanya.

Sebentar lagi, si gadis tentu akan menjelaskan kepada saya sedetail-detailnya.

"Sebenarnya saya...., saya ...ingin berkenalan dengan Ustaz. Saya ada terbaca dalam blog ustaz. Ustaz ini seorang mualaf yang sedang mencari jodoh…”, kata gadis manja ini dalam keadaan suaranya tertahan-tahan, mungkin malu untuk meluahkan hasrat.

“Ya Allah ….”, jawab saya spontan.

Saya terus mematikan handphone.

Isteri saya menjeling,

“Wah…lama betul awak bercakap dengan perempuan tu . Siapa dia tu ?”, tanya isteri yang sedang cemburu.

Saya diam. Kaki menekan pedal minyak. Pesona 1.6 (Auto)terus meluncur laju meredah highway.

Salam Maal Hijrah 1432 daripada saya sekeluarga dari Sekinchan Selangor.

Wassalam.