Sunday, June 5, 2011

DAM IHSAR DAN TAMATTU'

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 196


Firman Allah SWT,

“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya)”. (Al-Baqarah 196)

Huraian ayat

Firman Allah SWT,

“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah;..”

Maksudnya Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya mengerjakan ibadah Haji dan umrah dengan sempurna iaitu dengan cara melaksanakan segala rukun-rukunnya iaitu bermula dengan niat, kemudian wukuf (kecuali umrah) , seterusnya tawaf, diikuti dengan saei sehinggalah bercukur dan juga tertib.

Selain itu hendaklah juga menyempurnakan segala perkara-perkara yang menjadi kewajipan dalam ibadah haji iaitu berniat ihram di miqat, bermalam di Muzdalifah, melontar jamratul Aqabah, bermalam di Mina, melontar ketiga-tiga jamrah, serta meninggalkan perkara-perkara yang haram semasa ihram. Manakala perkara-perkara wajib umrah pula hanyalah dua iaitu berniat ihram di miqat dan meninggalkan segala pantang larang ihram.

Hukum mengerjakan ibadah Haji dan umrah adalah wajib sekali seumur hidup. Hal ini berdasarkan beberapa hadis Nabi saw yang antaranya,

Daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah saw telah berucap di hadapan kami: “Wahai manusia ! Allah telah mewajibkan kamu menerjakan haji maka hendaklah kamu menunaikannya”. Maka bertanya orang ramai : “Adakah diwajibkan tiap-tiap tahun ya Rasulullah ?”. Rasulullah saw diam, sehingga tiga kali orang itu bertanya. Lalu Nabi saw bersaabda : ”Sekiranya aku mengatakan ya, nescaya menjadi wajib – sedangkan kamu tidak sanggup”.

Antara syarat mengerjakan ibadah haji ialah berkemampuan. Yang dimaksudkan dengan berkemampuan di sini ialah terjamin keselamatan semasa pergi dan balik, mempunyai pengangkutan yang sesuai, mempunyai perbelanjaan yang mencukupi untuk pergi dan ahli keluarga yang ditinggalkan serta mempunyai kesempatan masa untuk mengerjakan haji.

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali 24 memutuskan sesiapa yang menunaikan Haji secara berhutang dengan meyakini bahawa mereka boleh membayar semula hutang tersebut maka hukumnya adalah harus.

Seorang suami tidak wajib mengumpulkan wang untuk membiayai pemergian isterinya ke Tanah Suci kerana perbelanjaan untuk mengerjakan Haji tidak termasuk sebagai nafkah yang wajib diberi oleh seorang suami kepada isteri. Tetapi jika suami itu seorang yang berkemampuan, maka dia digalakkan membawa isterinya bersama bagi menunaikan fardhu haji

Firman Allah SWT lagi,

“…maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati;..”

Maksudnya jika seseorang itu terkepung atau terhalang daripada menunaikan ibadah Haji atau umrah disebabkan oleh musuh, penyakit yang berat sehingga terpaksa segera dihantar pulang ke tanah air untuk rawatan lanjut sedangkan Haji atau Umrahnya masih belum selesai, maka wajiblah dia menyembelih korban berupa satu pertujuh dari unta atau lembu atau seekor kambing.

Dam Ihsar juga boleh diguna pakai untuk menyelesaikan masalah wanita yang datang haid dan tidak dapat melaksanakan Tawaf Haji atau Umrah kerana terpaksa balik segera ke tanah air.

Ada satu cara yang boleh dilakukan oleh jemaah Haji atau umrah yang terhalang daripada mengerjakan Haji atau umrah bagi mengelakkan daripada membayara dam iaitu mereka berniat ihram semasa di miqat secara bersyarat,

“Aku berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya. Sekiranya aku terhalang oleh sesuatu halangan syarak yang tidak berupaya meneruskannya, maka aku bertahalullah ketika itu kerana Allah ta`ala.”

Dengan niat ihram bersyarat seperti ini, seseorang yang terhalang bolehlah bertahalul dengan menggunting rambut tanpa perlu membayar dam. Namun dia wajib mengqadak semula umrah atau hajinya pada tahun kemudian.

Firman Allah SWT lagi,

“..dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya...”

Dalam ayat ini Allah SWt melarang bercukur kepala sebelum binatang dam sampai di tempat sembelihannya. Para ulama berbeza pendapat di manakah yang dimaksudkan tempat penyembelihan itu ?

Pendapat pertama menyatakan yang dimaksudkan dengan tempat penyembelihan itu ialah tempat dimana jemaah haji atau umrah itu terkepung atau terkandas. Hal ini merujuk kepada amalan Rasulullah saw dan para sahabat yang menyembelih dam ihsar pada tahun tahun peristiwa Hudaibiyah.

Pendapat kedua dari yang datangnya dari mazhab Hanafi pula, yang dikatakan tempat penyembelihan itu ialah kawasan tanah haram Mekah. Pendapat yang paling kuat di antara dua pendapat ini ialah ialah pendapat yang pertama kerana jika seseorang itu sudah terhalang di luar kawasan tanah suci, bagaimana dia boleh tiba ke tanah haram sedangkan dia sudah terhalang ?

Firman Allah SWT lagi,

“…Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam…”.

Maksudnya seseorang yang telah berniat ihram Haji atau umrah dia dilarang mencukur rambutnya. Namun jika dia memmpunyai penyakit yang menyakiti kepalanya seperti kutu maka haruslah dia mencukur rambutnya dan dia perlu membayar fidyah (dam) yang boleh dipilih di antara 3 perkara iaitu :

1. Berpuasa tiga hari
2. Bersedekah dengan memberi makan tiga gantang ( 5 kg 85 gram) beras kepada 6 orang fakir miskin.
3. Menyembelih sebaiknya seekor unta, atau lembu atau sekurang-kurangya seekor kambing.

Firman Allah SWT,

“…Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati…”

Maksudnya sesiapa yang tidak menghadapi ancaman musuh, tidak terhalang atau terkandas dalam mengerjakan ibadah haji atau umrah atau dengan kata lain mengerakan haji dengan cara Tamattuk (mengerjakan umrah dahulu kemudian haji) maka wajiblah dia membayar dam iaitu menyembelih kambing sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT,

“…Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna….”

Maksudnya jika seseorang itu tidak dapat melakukan sembelihan berupa kambing, maka wajiblah dia berpuasa tiga hari selepas ihram haji yakni bermula sebelum enam haribulan Zulhijjah dan laksanakan tujuh hari semasa pulang ke tanah air. Jumlah keseluruhan yang perlu dilakukan dengan sempurna ialah sebanyak 10 hari.

Firman Allah SWT,

“…Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya)”.

Maksudnya, hukum ini hanyalah terpakai bagi mereka yang tinggal jauh dari kota suci Mekah. Inilah rukhsah kelonggaran yang Allah SWT kurniakan bagi mereka yang merantau jauh yang terpaksa menanggung bebanan perjalanan yang sukar melebihi daripada tempatan yang tinggal di tanah suci Mekah.

Oleh sebab itu tidak ada Haji Tamttuk dan Qiran untuk penduduk yang tinggal di tanah haram.

Di akhir ayat Allah SWT menyeru supaya bertaqwa kepada-Nya. Kepada mereka yang mengengkari perintah dan larangan-Nya, ingatlah sesungguhnya balasan Allah SWT adalah sangat dahsyat dan pedih. .

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.