Sunday, January 30, 2011

Iktibar dari bumi Iraq, Tunisia dan Mesir

Tulisan ini hanyalah pandangan peribadi saya. Ia sama sekali tidak dipengaruhi oleh mana-mana individu atau sentimen parti politik.

Saya menulis dengan jujur dan datangnya dari hati yang ikhlas.

Saudara pembaca sekalian,

Pada tahun 2003 tentera Amerika melanggar Iraq. Tidak sampai dua minggu, akhirnya kota Babylon ini berjaya ditakluk oleh kuasa besar dunia di bawah pimpinan George Bush ketika itu.

Manakala rejim Saddam Hussein yang memerintah negara melebihi 30 tahun akhirnya tumbang menyembah bumi.

Tidak berapa lama selepas itu Saddam Hussein yang digelar sebagai ‘Hero Arab’ telah ditangkap, dibicarakan sehinggalah membawa kepada hukuman mati ke atasnya pada tahun 2006.

Demikianlah nasib yang menimpa arwah Saddam Hussein.

Kenapa Tuhan tidak memakbulkan doa umat Islam ?

Ketika serangan besar-besaran dilakukan oleh tentera Amerika, umat Islam di Iraq berdoa kepada Allah SWT agar tentera mereka berjaya mengalahkan kuasa mustakbirin ini.

Mengiringi doa rakyat Iraq ialah doa dari jutaan umat Islam di seluruh dunia melalui solat Hajat yang didirikan di masjid-masjid. Umat Islam memohon supaya Allah SWT menghancurkan tentera-tentera kafir yang diketuai oleh si durjana George Bush.

Di Mekah, Imam Besar Masjidil Haram turut berdoa di depan Kaabah (tempat yang paling mustajab berdoa) menangis dan merayu-rayu supaya Tuhan mengalahkan tentera Amerika.

Para makmum di belakangnya pula menangis sebak mengaminkan doa Imam Sudais yang terkenal dengan suaranya yang merdu dan sayu.

Tetapi…

Sejarah menyaksikan, biar pun umat Islam dari seluruh dunia berdoa siang dan malam, tetapi Allah SWT tetap tidak memakbulkan doa tersebut.

Sebaliknya tentera kafir Amerika pula mencapai kemenangan gilang gemilang !

Kenapa doa umat Islam tidak dimakbulkan Tuhan?

Bukankah doa itu merupakan senjata yang ampuh untuk melawan musuh ?

Mustahil dalam jutaan umat Islam yang berdoa itu, tidak ada seorang pun di kalangan hamba-hamba–Nya yang bertaraf 'Waliullah' dimana doanya cukup makbul di sisi Tuhan ?

Sebab kekalahan

Para pembaca sekalian,

Jangan diberi alasan senjata yang ‘old fashion’ menjadi penyebab utama tentera Iraq kalah. Jika itu alasannya bagaimana pula di zaman Rasulullah saw apabila para sahabat yang tidak mempunyai senjata, meruncingkan pelepah tamar untuk dijadikan pedang buat melawan tentera Quraisy dalam perang Badar.

Hakikatnya tentera Islam tetap menang walaupun senjata dan kuantiti tenteranya tidak sehebat seperti mana tentera Quraisy.

Bukti lain, lihat sahaja tentera Mujahidin Afghanistaan apabila berjaya menghalau tentera Soviet Union dari negara mereka suatu ketika dahulu.

Adakah senjata yang digunakan oleh tentera Mujahidin ini sungguh hebat sehingga memaksa tentera komunis berundur dangan perasaan aib ?

Justeru kekuatan senjata bukan faktor utama yang menentukan kemenangan dalam sesuatu pertempuran. Ia hanyalah sebagai faktor sampingan.

Kembali kepada persoalan, dimanakah puncanya doa umat Islam tidak dimakbulkan Tuhan ?

Punca sebenar terletak kepada pemimpin negara Iraq yang bernama Saddam Hussein.

Dia seorang pemimpin yang zalim.

Lebih 30 tahun dia memerintah negaranya, adakah dia sudah mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT dalam negaranya ?

Saddam Hussein sama seperti sebahagian pemimpin-pemimpin negara Islam yang lain, sungguh selesa mengambil hukum dan undang-undang ciptaan manusia menggantikan undang-undang Allah SWT .

Sedangkan Allah SWT mengistiharkan mereka yang tidak berhukum dengan undang-undang-Nya sebagai golongan yang zalim.

Firman Allah SWT,

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” (Al-Maidah 45 )

Mustahil Saddam Hussein tidak tahu dan faham ayat di atas. Bukankah dia lahir di kalangan bangsa Arab dan Al-Quran juga diturunkan dalam bahasa Arab ?

Membina patung

Di waktu pemerintahannya, Saddam Hussein turut membina patung-patung besar beliau di seluruh negara seolah-olah mengajak rakyatnya mendewa-dewakannya sebagai pemimpin yang agung.

Pembinaan patung-patung besar ini satu perbuatan syirik kepada Allah SWT.

Al-Quran menjelaskan,

“Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang sangat besar” (Luqman 13)

Jika kita katakan Presiden George Bush ketika itu zalim kerana membunuh rakyat Iraq yang tidak berdosa, tatapi Saddam Hussein juga sungguh besar kezalimannya apabila cuba membunuh akidah rakyatnya.

Ketika Saidina Omar bin al-Khattab menjadi khalifah, beliau memecat Khalid Al-Walid sebagai panglima perang kerana bimbang akidah tenteranya tergelincir akibat terlalu memuja Khalid al-Walid sebagai panglima yang sering membawa tuah dalam setiap peperangan.

Di zaman Rasulullah saw, sewaktu baginda berjaya membuka kota Mekah, arahan pertama yang baginda berikan kepada para sahabat ialah memecahkan patung-patung yang berada di sekitar Mekah khususnya di depan Kaabah.

Zaman sekarang terbalik, setelah tentera Amerika berjaya menguasai negara Iraq, perkara pertama yang mereka lakukan ialah memecahkan patung-patung Saddam Hussein.

Bezanya di zaman Rasulullah saw orang kafir yang membuat patung dan tentera Islam memecah-mecahkannya, di zaman sekarang orang islam yang membuat patung manakala orang kafir pula memecah-mecahkannya.

Sebab itu Allah SWT tidak memberi kemenangan kepada tentera Islam di Iraq kerana Dia tidak meredhai pemimpin negara tersebut yang terang-terang melakukan syirik kepada-Nya.

Di Tunisia

Sepatutnya apa yang berlaku ke atas Iraq perlu dijadikan iktibar oleh Presiden Tunisia dan pemerintah-pemerintah negara Islam yang lain.


Dengan gambar Presiden di sana sini seolah-olah mengajak rakyat memujanya

Tetapi berdasarkan gaya pemerintahan presiden Tunisia Zine El Abidine Ben Ali yang kuku besi, ditambah dengan kezaliman tidak mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT, malah mengajak pula rakyat memuja dirinya sebagai pemimpin yang hebat seolah-olah 'TIADA PRESIDEN YANG LAYAK MEMERINTAH MELAINKAN DIA SAHAJA', akhirnya sang Presiden ini di hina Allah SWT apabila lari ‘mencicit’ meninggalkan negaranya sendiri.

Di Mesir

Para pembaca sekalian,

Saya percaya umat Islam di seluruh dunia sedang memerhatikan perkembangan di Mesir dengan penuh minat.

Pada saya, di saat ini Presiden Hosni Mubarak sedang dirundung ketakutan. Barangkali dia sudah pun bersiap sedia dengan Jet peribadinya untuk melarikan diri apabila keadaan sudah tidak terkawal.

Tidak mustahil juga pegawai-pegawainya sedang sibuk menghubungi beberapa buah negara sekutu untuk mendapatkan suaka politik bagi diri dan keluarganya.


Hosni Mubarak sepatutnya berundur

Ala kulli hal, jadikanlah iktibar apa yang berlaku ke atas Negara-negara Arab tersebut. Jangan sekali-kali kita bersekongkol dengan mana-mana golongan yang zalim dan mensyirikkan Allah SWT.

Firman-Nya,

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan" (Hud 113)

Wallahualam.

Saturday, January 22, 2011

Demi langit yang mempunyai gugusan bintang


Tafsir Al-Quran
Surah Al-Buruj ayat 1-11


“Demi langit yang mempunyai gugusan bintang; dan hari (pembalasan) yang dijanjikan;Dan yang menyaksikan dan yang disaksikan; -Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran,(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman.Dan mereka tidak marah dan menyeksa orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Berkuasa, lagi Maha Terpuji!Tuhan yang menguasai segala langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar”. (Al-Buruj 001-011)

Huraian ayat

Dalam ayat pertama Allah SWT bersumpah dengan nama langit yang mempunyai gugusan bintang atau juga disebut sebagai Buruj. Tujuannya untuk menunjukkan kepada manusia betapa ajaibnya makhluk dingakasa itu ditadbir dengan teratur tanpa berselisih perjalanannya walau sedikit pun.

Pada ayat yang kedua pula Allah SWT bersumpah dengan nama hari Qiamat yang dijanjikan kepada makhluk-Nya. Kaitannnya dengan ayat pertama, Allah SWT mahu mengingatkan manusia betapa cantik dan indahnya bintang-bintang itu dilangit, namun satu hari nanti, iaiatu pada hari yang dijanjikan (Hari Qiamat) bintang-bintang itu akan berlanggar antara satu sama lain lalu gugur ke bumi.

Pada ayat yang ketiga Allah SWT bersumpah dengan nama Nabi Muhammad saw iaitu Syahid (Yang Menyaksikan). Hendaklah kita ketahui bahawa nama Rasulullah saw itu banyak dalam Al-Quran seperti Al-Muzzammil - Yang Berselimut , Al-Muddaththir - Yang Berselimut, Al-Nazirul Mubin - Yang Memberi Ingatan yang jelas dan Muzakkir - Yang Selalu Memberi Ingatan.

Pada ayat yang sama juga Allah SWT bersumpah dengan yang disaksikan iaitu umat Nabi Muhammad saw. Dalam sebuah hadis menceritakan di akhirat kelak semua Nabi-Nabi akan menjadi saksi ke atas apa yang telah dilakukan semasa di dunia. Manakala umat mereka turut menjadi saksi akan kebenaran kata-kata Nabi mereka. Sebagai contoh sebagaimana yang berlaku ke atas Nabi Nuh a.s,

عن أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُدْعَى نُوحٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيَقُولُ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ يَا رَبِّ فَيَقُولُ هَلْ بَلَّغْتَ فَيَقُولُ نَعَمْ فَيُقَالُ لِأُمَّتِهِ هَلْ بَلَّغَكُمْ فَيَقُولُونَ مَا أَتَانَا مِنْ نَذِيرٍ فَيَقُولُ مَنْ يَشْهَدُ لَكَ فَيَقُولُ مُحَمَّدٌ وَأُمَّتُهُ فَتَشْهَدُونَ أَنَّهُ قَدْ بَلَّغَ{ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا }فَذَلِكَ قَوْلُهُ جَلَّ ذِكْرُهُ{ وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ
الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا }

Maksudnya : Rasulullah s.a.w bersabda : Nabi Nuh a.s akan dipanggil pada hari kiamat lalu baginda berkata Labbaik dan Sa’daik wahai tuhan. Lalu dikatakan kepada Nabi Nuh a.s “adakah kau telah menyampaikan?” Nabi Nuh a.s berkata “ya”. Lalu ditanya kepada umatnya,”adakah dia telah menyampaikan kepada kamu?”. Mereka berkata :”Tidak ada peringatan yang datang kepada kami”. Lalu Allah s.w.t bertanya kepada Nabi Nuh a.s : “siapa saksimu?”. Nabi Nuh a.s berkata : “ Muhamad dan umatnya”. Lalu umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi saksi bahawa Nabi Nuh a.s telah menyampaikan.“Dan Rasul(Muhammad) menjadi saksi atas ( perbuatan) kamu” 2:143Itulah yang dimaksudkan oleh Allah SWT di dalam Quran “Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”. 2:143

Setelah Allah SWT mengemukakan tiga sumpah iaitu sumpah pada kejadian langit dan bintang, sumpah pada berlakunya hari Qiamat dan sumpah pada nama Nabi Muhammad saw dan umatnya maka pada ayat keempat sehinggat ayat kesembilan Allah SWT menceritakan pula kisah Ashabul Ukhdud yang terlaknat.

Siapakah Ashabul Ukhdud ?

Dalam satu riwayat : Di zaman dahulu kala ada seorang Raja yang sangat zalim. Raja ini mempunyai seorang penasihat iaitu tukang sihir yang sudah lanjut usia. Satu hari tukang sihir ini mencadangkan kepada raja agar dicari seorang pengganti yang boleh menggantikan tempatnya sebagai Penasihat jika dia sudah tiada. Justeru dia mencadangkan kepada raja agar pengganti itu biarlah seorang kanak-kanak yang boleh diasuh dan diajar segala ilmu yang berkaitan sihir kepadanya.

Permintaan tukang sihir ini diperkenankan oleh Raja, lalu dipilih seorang kanak-kanak untuk berguru dengan tukang sihir ini. Maka berulang aliklah kanak-kanak itu setiap hari ke rumah tukang sihir untuk belajar sihir daripadanya. Manakala antara rumah tukang sihir dengan rumah kanak-kanak itu ada sebuah rumah ahli ibadah yang taat kepada perintah Allah SWT.

Setiap hari dalam perjalanan ke rumah tukang sihir, kanak-kanak ini akan singgah terlebih dahulu di rumah ahli ibadah untuk belajar ilmu daripadanya. Kerana terlalu asyik belajar dari ahli ibadah ini sehinggakan kanak-kanak ini selalu lewat tiba ke rumah tukang sihir. Kelewatan itu menyebabkan dia di marah dan dipukul oleh tukang sihir. Begitu juga kalau dia balik, ibubapanya akan turut marah kerana dia sering lewat sampai ke rumah.

Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak itu melaporkan kepada ahli ibadah. Kata Ahli ibadah,

“ Wahai anakku.., jika engkau ditanya oleh tukang sihir kenapa lambat, maka jawablah yang engkau lewat keluar dari rumah kerana ada pekerjaan yang perlu dilakukan. Dan Kalau engkau ditanya oleh ibubapamu mengapa lewat pulang, maka jawablah yang engkau telah ditahan oleh tukang sihir di rumahnya”.

Pada satu hari, terhambatlah orang ramai menggunakan jalan yang selalu digunakan oleh kanak-kanak ini ke rumah tukang sihir kerana ada binatang buas yang mengganggu keselamatan. Ketika itu kanak-kanak ini berkata di dalam hatinya,

“Aku hendak uji ilmu yang aku perolehi dari ahli ibadah dan tukang sihir. Antara dua ilmu ini, ilmu siapakan yang benar ?”.

Lalu diambilnya seketul batu sambil berdoa,

“Ya Allah, kalaulah ajaran ahli ibadah ini yang benar, maka Engkau bunuhlah binatang itu, agar manusia tidak lagi terhalang untuk menggunakan jalan ini”. Kemudian kanak-kanak itu melontar batu kearah binatang itu lalu binatang itu pun mati.

Kemudian kanak-kanak ini pergi berjumpa dengan ahli ibadah menceritakan apa yang telah berlaku. Kata ahli ibadah,

“Wahai anakku, engkau telah mencapai darjat yang tinggi, lebih tinggi daripada apa yang kucapai. Aku hendak mengingatkan engkau, selepas ini engkau akan berdepan dengan pelbagai ujian. Jika ujian itu datang kepadamu maka janganlah engkau beritahu hubungan aku dengan engkau ”

Sejak kanak-kanak itu berjaya membunuh binatang buas, maka namanya menjadi masyhur dan menjadi buah mulut orang ramai. Maka ramailah yang datang ke rumahnya untuk berubat. Alhamdulillah semua yang datang dapat disembuhkan penyakitnya setelah kanak-kanak ini berdoa kepada Allah SWT.

Dalam masa yang sama ada seorang pegawai istana yang sudah lama mengidap penyakit buta. Bila dia tahu yang kanak-kanak ini boleh mengubat, lalu dia pun berjumpa kanak-kanak ini dan berkata,

“Wahai kanak-kanak sembuhkanlah penyakitku, nescaya aku akan beri engkau sebesar-besar hadiah”.

Kanak-kanak ini menjawab,

“ Wahai tuan, sesungguhnya aku tidak berkuasa menyembuhkan penyakit melainkan Allah SWT sahaja. Jika tuan sudi, berimanlah kepada Allah SWT, nescaya aku akan berdoa kepada Tuhan agar Dia menyembuhkan penyakit tuan”.

Mendengar ajakan kanak-kanak ini maka pegawai istana ini pun beriman kepada Allah SWT. Berkat doa kanak-kanak ini pegawai istana ini pun sembuh dari penyakit butanya.

Setelah sembuh, Raja merasa hairan apabila melihat pegawai istana ini sudah boleh melihat. Raja pun bertanya,

“Siapakah yang telah menyembuhkan penyakitmu ?”.

“Allah, Tuhanku dan Tuhan Tuanku”.

Raja sangat murka lalu pegawai istana ini ditahan dan diseksa di dalam penjara. Oleh kerana tidak ditahan diseksa akhirnya pegawai istana ini mendedahkan siapakah gurunnya iaitu seorang kanak-kanak yang pernah dihantar oleh Raja untuk belajar ilmu sihir.

Kanak-kanak itu pun ditangkap lalu dibawa mengadap Raja. Dia pun turut diseksa. Oleh kerana tidak tahan, akhirnya kanak-kanak itu membocorkan rahsia yang selama ini dia belajar dengan seorang ahli ibadah.

Kemudian ahli ibadah ini ditangkap dan diseksa oleh Raja. Disuruh oleh Raja agar ahli ibadah ini meninggalkan agama menyembah Allah SWT. Ahli ibadah ini enggan, menyebabkan kepalanya dipenggal.

Kemudian Raja menyuruh pula pegawai istananya menyembah Raja sebagai Tuhan. Disebabkan enggan, maka kepalanya juga turut dipenggal oleh Raja.

Manakala nasib kanak-kanak ini, Raja telah mengarahkan pengawal-pengawalnya mencampakkan kanak-kanak itu dari gunung. Ketika kanak-kanak itu di bawa ke atas gunung, dia berdoa kepada Tuhan agar dia diselamatkan. Tiba-tiba gunung itu bergegar menyebabkan kesemua pengawal itu mati terjatuh gunung.

Kanak-kanak ini kemudian kembali semula kepada Raja. Melihat kanak-kanak ini masih hidup Raja pun bertanya,

“Bagaimana nasib pengawal-pengawalku?”.

Jawab kanak-kanak ini,

“Mereka semua sudah terkorban”.

Raja murka, lalu mengarahkan pengawal-pengawalnya menangkap kanak-kanak ini untuk dihumban ke dalam laut. Ketika di bawa ketengah laut, kanak-kanak ini berdoa memohon pemelihraan Allah SWT. Tiba-tiba datanglah angin ribut menyebabkan kapala yang membawanya pecah dan semua pengawal yang mengitringinya mati lemas. Sedangkan kanak-kanak ini selamat terdampar di pantai.

Kanak-kanak ini kemudian menemui kembali Raja. Sekali lagi Raja merasa hairan dan berkata,

“Bagaimana nasib pengawal-pengawalku?”

Jawab kanak-kanak,

“Mereka semuanya sudah mati lemas Tuanku”. Kemudian sambung kanak-kanak ini lagi,

“Tuanku, Tuanku sama sekali tidak boleh membunu patik melainkan Tuanku buatlah apa patik suruh”.

“Apa dia?”, tanya Raja.

Kanak-kanak ini memberitahu supaya Raja mengumpulkan semua manusia di satu tempat kemudian naikkannya dikayu pancang, kemudian ambil panah dan sebutlah Bismillahi Rabbil Ghulam dan panahlah tepat ke dadanya.

Raja pun akur dengan kehendak kanak-kanak ini. Setelah dikumpulkan semua rakyatnya dan kanak-kanak itu sudah pun diikat di atas kayu pancang dan Raja pun mengambil anak panah lalu mengucapkan Bismillahi rabil Ghulam kemudian terus memanah tepat dada kanak-kanak tersebut. Dengan panahan itu maka matilah akhirnya kanak-kanak itu.

Apabila melihat kanak-kanak itu mati dengan panah yang dibacakan Bismillahi Rabbil Ghulam, maka semua rakyat yang menyaksikan peristiwa it uterus mengucapkan kalimah Amanna bi Rabbil Ghulam.

Apabila mendengar arang ramai mengucapkan kalimah itu, maka Raja pun sangat murka lalu diperintahkan askar-askarnya supayamenangkap mana-mana rakyatnya yang eriman kepada Allah SWT. Baginda turut memerintahkan supaya di gali parit yang besar dan dalam. Di dalam parit itu dinyalakan api. Dan Raja pun berkata kepada orang ramai yang ditangkap,

“Siapa yang beriman kepada Allah sila masuk ke dalam parit ini”.

Maka berbondong-bondonglah rakyatnya yang beriman masuk ke dalam parit itu kerana beriman kepada Allah SWT. Sehinggalah tiba giliran seorang ibu yang masih menyusukan bayi kecil. Ibu ini teragak-agak untuk terjun ke dalam parit. Dengan kebesaran Allah SWT bayi yang kecil ini pun berkata,

“Wahai ibu Teguhkanlah hati ibu kerana ibu berada di pihak yang benar”.

Akhirnya ibu ini bersama dengan anaknya turut terkorban syahid apabila terjun dalam parit yang berapi itu. Sedangkan Raja dan askar-askarnya hanya memerhatikan tanpa sedikit pun rasa bersalah. Justeru itulah Allah SWT melaknat mereka.

Firman Allah SWT pada ayat ke 10,

“Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat)”

Ayat ini menujukkan betapa Pengampunnya Allah SWT, masih memberi peluang kepada mana-mana hamba-Nya untuk bertaubat. Sesudah orang-orang kafir ini membunuh orang-orang yang beriman dengan cara membakar mereka di dalam parit besar, Allah SWT masih membuka peluang kepada orang-prang kafir ini beriman dan bertaubat kepada-Nya. Tetapi jika mereka masih tidak mahu bertaubat Allah SWT tetap akan membalas kejahatan yang dilakukan iaitu menyiksa mereka di dalam neraka Jahannam.

Dan pada ayat 11 Allah SWT berfirman,

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar”.

Maksudnya balasan orang yang beriman dan tetap melakukan amal soleh mereka akan menerima syurga yang mengalir di bawahnya air sungai yang sejuk dan nyaman. Itulah balasan bagi orang yang mencapai kemenangan yang besar.

Wallahualam.

Tuesday, January 18, 2011

Penciptaan Langit


Alam kosmos

Dalam Al-Quran banyak ayat yang menggesa manusia supaya merenung kejadian alam cakerawala beserta sekalian makhluk ciptaan-Nya, moga-moga dengan cara itu akan mendekatkan diri kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Firman Allah SWT,

“Dan apakah mereka tidak memerhatikan kerajaan langit dan bumi dan segala sesuatu yang diciptakan Allah” (Al-A'raf 185)

Dialah Allah Tuhan yang mencipta alam maya yang indah supaya manusia mengkaji dan menyingkap rahsianya. Juga untuk manusia mengamati pada peraturan alam, seterusnya mengambil iktibar daripadanya untuk faedah kehidupan di dunia dan juga akhirat.

Kebesaran Allah SWT mencipta langit

Allah SWT memerintahkan kepada hamba-hamba-Nya agar merenung dan berfikir pada penciptaan langit. Firman-Nya,

“ (Mengapa mereka tidak melihat ke langit bagaimana ia di angkat ?” (Al-Gashiya 018)

Sesungguhnya penciptaan langit mempunyai hikmah dan tujuan tertentu yang perlu difikirkan oleh manusia. Di samping sebagai bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, ia juga berperanan memberi manfaat dan faedah kepada kehidupan manusia di dunia ini.

Pengertian langit

Dalam Lisan al-Arab menyatakan langit itu ialah suatu yang tinggi seperti bumbung rumah dan seumpamanya. Kata Al-Zujaj langit ( السماء ( pada bahasa ialah tiap-tiap sesuatu yang tinggi. Justeru atap rumah dan awan misalnya dikatakan langit kerana kedudukannya yang tinggi.

Langit juga bererti seluruh falaq yang mencakupi semua benda yang ada di angkasa yang luas dan jelas kelihatan di sekeliling kita. Ia seperti kubah besar yang mana terdapat di dalamnya matahari, bulan, planet dan juga bintang.Ia tidak dapat dirasa atau disentuh kerana tiada manusia yang pernah sampai kepadanya secara hakiki.

Walau apa pandangan manusia mengenai langit, namun hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Kejadian langit sungguh menakjubkan. Manusia perlu berfikir bagaimana ia boleh terangkat dan tertegak padahal tidak terdapat sebatang tiang sama ada di tengah mahu pun di tepi yang boleh dilihat atau ditemui. Tidak lain kerana kekuasaan Allah SWT. Firman Allah SWT ,

“Allahlah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan”. (Ar-Ra'd 002)

Mengenai tempoh penciptaan langit, Allah SWT menjelaskan melalui firman-Nya,

"Katakanlah (wahai Muhammad) : Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua hari dan kamu jadikan bagiNya sekutu-sekutu yang lain, Dia itulah Tuhan semesta alam. Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka ; (semuanya itu berlaku ) dalam empat hari. Kemudian Dia menujukan kehendakNya kea rah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi : Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa ! Keduanya menjawab : Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela . Lalu Dia menjadikannya tujuh langit , dalam dua hari ; dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang –bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa,lagi Maha Mengetahui". (Fussilat 009-012)


Para mufassirin telah mentakwilkan perkataan hari dalam ayat di atas bukanlah mengikut ukuran hari yang terpakai di dunia yang mana kiraannya satu hari bersamaan 24 jam berdasarkan proses pertukaran malam dan siang. Ini kerana pada masa itu bumi dan matahari belum lagi dijadikan Allah SWT. Justeru,yang dimaksudkan dengan hari dalam ayat di atas ialah masa.

Dalam ayat ke 9 surah Fussilat, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah mencipta langit dan bumi dalam dua masa. Kemudian pada ayat ke 10, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah menjadikan gunung-gunung dan segala makanan-makanan yang berupa tumbuh-tumbuhan dan haiwan sebagai keperluan bagi manusia ialah dalam empat masa. Jumlah keseluruhan masa ialah enam masa.

Nota :

Sebahagian makalah yang dihantar ke Jabatan Mufti NS untuk Konvensyen Falak 2011. Moga-moga dipertimbangkan.

Sunday, January 16, 2011

Seputar bangkai, babi, darah dan sembelihan



Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah 172-173


Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Al-Baqarah 172-173)

Huraian ayat

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu..”,

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya makan makanan yang baik yakni halal. Antara kelebihan memakan makanan yang baik dan halal ialah ia akan melembutkan hati dalam melakukan amal soleh, mewujudkan perasaan takut dan khusyuk ketika beribadat dan menjadikan setiap amalan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.

Dalam sebuah riwayat Nabi saw pernah ditanya oleh seorang sahabat yang bernama Saad bin Abi Waqas,

“Ya Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar aku senantiasa menjadi orang yang dimakbulkan doa.” Maka Nabi saw bersabda : “Wahai Sa’ad perbaikilah makananmu (makanlah makanan yang halal) niscaya engkau akan menjadi orang yang selalu dimakbulkan doa. Dan demi jiwaku yang berada di tanganNya, sesungguhnya jika ada seseorang yang memasukkan makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amalnya selama 40 hari, dan seorang hamba yang dagingnya tumbuh dari hasil menipu dan riba maka api neraka adalah lebih layak baginya "(HR. At-Thabrani)

Sabda Rasulullah saw lagi,

وأيما عبد نبت لحمه من سحت فالنر أولى به

Maksudnya : Dan setiap hamba yang dagingnya tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya (Hadis riwayat at-Tabrani)

Justeru mereka yang keluar rumah dalam usaha mencari rezeki yang halal, Allah SWT akan mengampunkan segala dosa-dosanya sebagaimana sabda baginda,

من أمسى كالا من عمل الحلال , أمسى مغفورا له

Maksudnya : Barangsiapa yang penat bekerja sehari suntuk untuk mencari rezeki yang halal nescaya akan terampunlah segala dosa-dosanya.

Firman Allah SWT di hujung ayat 172,

“…dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya”.


Dalam ayat ini Allah SWT menyuruh kita bersyukur keadanya di atas segala limpah rezeki yang dikurniakan.

Kemudian pada ayat seterusnya Allah SWT berfirman,

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah..”


Berdasarkan ayat ini Allah SWT mengharamkan 4 jenis makanan iaitu :

1. Bangkai

Maksud bangkai ialah binatang yang mati dengan sendiri tanpa ada usaha manusia untuk menyembelih atau dengan cara berburu.

Termasuk juga dalam kategori ini ialah binatang yang mati dicekik baik dengan cara menghimpit kepala binatang itu pada tempat yang sempit dan sebagainya sehingga ia mati, binatang yang mati kerana dipukul dengan kayu atau tongkat, binatang yang mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi, binatang yang mati kerana berkelahi antara satu sama lain dan binatang yang mati kerana di makan oleh binatang yang buas.

Perincian ini disebut dalam surah Al-Maidah,

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala..” (Al-Maidah 003)

Sebab Allah SWT mengharamkan memakan bangkai kerana binatang yang mati dengan sendiri tanpa disembelih mesti ada sebab dan punca berlaku kematiannya.

Mungkin binatang itu mati kerana ada penyakit yang merbahaya atau mati disebabkan ia memakan bahan yang beracun.

Sebab itulah Allah SWT melarang kita memakan bangkai untuk memelihara kesihatan manusia.

Bagi binatang yang mati kerana terjatuh atau bergaduh sesama sendiri, ia adalah rezeki buat bianatang lain untuk memakan dagingnya sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepada semua makhluk-Nya. Hikmah seterusnya supaya manusia boleh berikhtiar untuk mencari ubat bagi merawat penyakit binatang yangdimilikinya.

Namun begitu pengharaman bangkai tidak termasuk kulit, tanduk, tulang atau rambutnya melainkan jika bangkai itu anjing dan babi. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa seorang wanita yang bernama Maimunah pernah diberi hadiah seekor kambing. Tidak berapa lama kemudian kambing itu mati dan secara kebetulan Rasulullah saw berjalan melihat bangkai kambing itu lalu baginda bersabda,

هلا أخذتم إها بها فدبغتموه فانتفعتم به ؟ فقالوا : انها ميتة ,
فقال (ص) إنما حرما أكلها


Maksudnya : Mengapa kamu tidak ambil kulitnya kemudian kamu samak dan memanfaatkannya ? Para sahabat menjawab, bukankah itu bangkai ! Jawab Rasulullah saw, yang diharamkan kepada kamu hanyalah memakannya.

Dikecualikan daripada takrif bangkai ialah belalang, ikan dan segala binatang yang hidup dalam air. Inilah yang dipegang oleh Mazhab Syafie berdasarkan dalil dimana Rasulullah saw pernah ditanya tentang air laut . Baginda saw menjawab,

هو الطهور ماءه ألحل ميتته

Maksudnya : Laut itu suci dan bangkainya halal dimakan.

Hal ini berbeza dengan mazhab Hanafi yang hanya menganggap hanya ikan sahaja yang halal, manakala hidupan laut seperti sotong dan ketam hukumnya adalah haram. Yang paling ringan ialah udang yang dihukumkan makruh memakannya.

2. Darah

Makanan kedua yang diharamkan ialah darah yang mengalir. Hikmah diharamkan kerana darah itu kotor. Jiwa manusia yang bersih tidak boleh menerima makanan yang kotor.

3. Daging babi

Babi merupakan binatang yang kotor kerana tabiatnya yang memakan makanan yang bernajis dan kotor.

Kajian saintifik menunjukkan babi membawa kuman yang boleh menyebabkan penyakit yang teruk kepada manusia.

4. Binatang yang disembelih bukan kerana Allah

Tujuan menyembelih kerana Allah SWT ialah sebagai tanda bersyukur kerana Dia yang telah mencipta binatang ini kepada manusia untuk dinikmati sebagai makanan.

Oleh itu tidak halal menyembelih binatang bukan kerana Allah SWT seperti kerana pemujaan, rawatan atau menyebut nama-nama berhala.

Antara syarat sembelihan penyembelih mestilah Islam atau kafir kitabi sama ada Yahudi dan Nasrani. Binatang yang disembelih hendaklah diputuskan urat halkum dan urat merihnya dengan sekali sembelihan.

Bagi binatang yang sukar hendak disembelih dengan sebab liar bolehlah dilukakan di mana-mana tempat yang boleh mematikannya sekali pun bukan di lehernya.

Ada pun binatang yang luka atau patah kerana digigit binatang yang buas atau dihempap rumah atau dilanggar kereta atau sebagainya halal disembelih jika masih ada hayat mustaqirrah iaitu adanya gerakan yang kuat atau darah memancut keluar apabila disembelih.

Berbeza dengan binatang yang sakit teruk atau lapar walaupun sampai ke tahap mazbuh (nyawa-nyawa ikan) maka halal disembelih sekali pun darahnya tiada memancut bila dipotong lehernya dan tiada gerakan yang kuat.

Jika seseorang itu sedang menyembelih tiba-tiba pisau atau parangnya terangkat, atau terjatuh, atau pisaunya tumpul kemudian ditukar dengan pisau lain untuk menyambung kembali sembelihannya maka hendaklah dilihat kepada keadaan binatang itu.

Jika binatang itu masih dalam hayat mustaqirrah yang mana tandanya ada gerakan yang kuat maka halal daging sembelihan itu.

Tetapi jika binatang itu sudah sampai ketahap mazbuh yang sudah tidak ada gerakan, cuma hanya kedengaran dengusan nafasnya sahaja maka hukumnya haram dimakan daging sembelihan itu.

Bagi mereka yang berburu binatang yang liar tetapi halal seperti rusa atau pelanduk adalah halal binatang itu dimakan jika memenuhi syarat seperti berikut :

1. Pemburu mestilah islam.
2. Menyebut nama Allah ketika melepaskan alatan.
3. Alat yang digunakan itu boleh menembusi dada binatang buruan.

Jika menggunakan binatang seperti anjing, maka hendaklah anjing itu dilatih supaya ia menangkap binatang buruan untuk tuannya bukan untuk dimakan. Dan yang terpenting semasa melepaskan binatang itu hendaklah menyebut nama Allah SWT.

Kemudian di akhir ayat 173 Allah SWT berfirman,

“… maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan sesiapa yang makan binatang-binatang di atas kerana faktor darurat, iaiatu tida makanan yang halal boleh dididapati dan jika tidak memakannya boleh mengakibatkan kematian maka hukumnya adalah harus dan tidak berdosa.

Syaratnya hendaklah memakannya sekadar untuk kesinambungan hidup bukan untuk bersedap-sedap.

Manakala memakan makanan yang haram untuk dijadikan ubat maka hendaklah dipenuhi beberapa syarat iaitu,

1. Terdapat bahaya yang mengancam manusia jika tidak berubat
2. Tidak ada ubat lain yang halal sebagai ganti ubat yang haram itu
3. Adanya satu pengesahan daripada seorang doctor pakar muslim yang amanah.

Wallahualam.

Thursday, January 13, 2011

Manusia dan Akal


Gambar hiasan

Dalam sebuah hadis,

ما اكتسب رجل مثل فضل عقل يهدى صاحبه إلى هدى ويرده عن ردى وماتم إيمان عبد والإ ستقام دينه حتى يكمل عقله

Maksudnya : Tidak ada usaha seseorang seperti keutamaan akal. Akallah yang membantu memberi pertunjuk kepada orang yang memilikinya yang menyelamatkannya dari lembah kehinaan. Tidak sempurna iman dan tidak tertegaknya agama pada diri seseorang sebelum sempurna akalnya. (Riwayat Ibnu Mahbah dari Umar r.a)

Huraian hadis

Akal fikiran adalah amanah Allah SWT yang bakal dipersoalkan penggunaannya di akhirat kelak. Firman Allah SWT,

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan diminta tanggungajawabnya”. (Al-Israa 036)

Jika akal disalah guna untuk kepentingan diri sendiri seperti menipu dan juga mengkhianat maka berlakulah kerosakan dalam kehidupan, sekaligus melahirkan masyarakat yang pincang serta bertuhankan nafsu semata-mata.

Antara kegunaan akal ialah untuk memerhati kejadian alam, langit dan bumi bagi mengukuhkan keimanan kepada Tuhan Pencipta Alam Semesta.

Firman Allah SWT,

“Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir: Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat ”(Al-Baqarah 219-220)

Firman Allah SWT lagi,


“ Katakanlah (wahai Muhammad) : perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi. Dalam pada itu, segala tanda dan bukti tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya ”. (Yunus 101)


Kerana itulah Allah SWT sering menggesa manusia supaya menggunakan akal fikiran untuk manfaat diri, keluarga, masyarakat dan juga alam sekitar.

Orang yang diberi akal tetapi tidak dimanfaatkan dengan sepatutnya dan tidak mahu mencari kebenaran, hakikatnya mereka sengaja menjatuhkan diri ke lembah kebinasaan sehingga membawa penyesalan yang tidak berguna lagi di akhirat kelak.

Mereka yang tidak mahu menggunakan akal untuk memahami ayat-ayat Allah, tidak mahu membezakan antara yang baik dan buruk, tidak mahu memikirkan kebesaran dan kekuasaan-Nya malah menentang ajaran-yang disampaikan oleh utusan-utusan Allah, serta menentang Tuhan Pencipta Alam, mereka diumpamakan seperti binatang ternak, malah lebih teruk daripada itu. Hal ini dijelaskan dalam Al-Quran,

“Dan sesengguhnya Kami(Allah) akan isikan neraka Jahanam itu sebahagian daripada golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami akan ayat-ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mehu melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunyi telinga, tetapi tidak mahu mendengar (ayat-ayat dan nasihat Allah). Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-A'raf 179)

Di katakan lebih hina daripada binatang ternak kerana binatang tunduk dan patuh kepada sistem kehidupan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas mereka, walaupun mereka tidak berakal.

Binatang juga masih ada kefahaman pada diri mereka tentang sesuatu perkara yang merbahaya. Sebagai contoh apabila bertemu dengan musuhnya, binatang akan cuba menjauhkan diri daripada musuh yang membahayakan itu.

Sedangkan manusia yang dikurniakan akal tetapi kufur dan dan tidak mahu mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, sehingga dengan berani pula mencipta sistem lain sebagai alternatif kepada sistem Allah SWT, sudah pasti di akhirat mereka akan dihumban ke dalam neraka Jahannam sebagai balasan di atas kekufuran mereka.

Wallahualam.

Friday, January 7, 2011

Nama Muhammad paling popular di UK !


Kota London

Formula penyelesaian bagi permasalahan ummah letaknya pada diri kita dan ada pada kita dan tidak sewajarnya kita mengikut formula-formula golongan yang kafir lebih-lebih lagi musuh Islam kerana hanya ketaatan kepada perintah Allah yang mampu menyelamatkan umat ini dari permasalahannya.

Janganlah kita menjadi seperti pepatah Arab yang membuat perumpamaan :

كالعيس في البيداء يقتلها الظماء والماء فوق ظهورها محمول

Maksudnya : Seumpama unta yang mati kehausan , walhal dibelakangnya dia memikul sejumlah air yang banyak.

Jasa Rasulullah saw

Dalam aspek jasa dan pengorbanan baginda saw pula, adalah teramat besar jika untuk disebut dan dikenang, yang mana baginda saw berjaya membawa golongan Arab jahiliyyah daripada kegelapan kejahilan kepada kecemerlangan ketamadunan.

Hasil suluhan nubuwwah, maka tidak hairan jika baginda saw dinobatkan sebagai Nabi yang paling berjaya dalam kehidupan oleh kawan dan lawan seperti yang diungkapkan oleh Encyclopedia Britannica yang mengatakan

" Muhammed is the most successful of all Prophets and religious personalities" Muhammad adalah sekalian nabi dan tokoh agama yang paling berjaya .

Kejayaan dakwah baginda dapat kita saksikan sendiri di sepanjang catatan sejarah hinggalah ke hari ini dengan jumlah penganutnya lebih dari satu bilion , umat yang masih istiqamah berpegang dengan kitab suci yang asal iaitu Al Quran yang tidak berbeza sejak dari hari pertama ia diturunkan kepada Nabi saw.

Malah keyakinan kita kepada kejayaan dakwah baginda saw ini tidak terhenti setakat ini sahaja malah Islam yang dibawa oleh baginda akan tetap cemerlang sehingga ke akhir zaman.

Musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti dari memusuhi Islam seperti menyerang keperibadian nabi saw samaada melalui tulisan atau karton dan lakaran yang menghina Nabi saw dan umatnya.

Pun begitu nabi saw tetap di hati penganut-penganutnya yang setia, buktinya di United Kingdom buat pertama kalinya nama nabi saw 'Muhammad' menjadi nama yang paling popular diberikan kepada kanak-kanak lelaki yang baru dilahirkan sepanjang tahun 2009.

Salah seorang tokoh barat Sir Bernard Shaw pula pernah mengatakan

“ Saya mengkaji manusia hebat itu, yakni Nabi Muhammad dan pada pandangan saya beliau bukannya anti Nabi Isa, sebaliknya beliau layak digelar sebagai Penyelamat Umat Manusia”.

Segala ajaran dan petunjuk baginda saw adalah untuk kejayaan dan kemenangan kita di atas dunia ini dan kebahagiaan hari akhirat sebagaimana firman Allah:

"Maka siapa yang beriman dengannya(Muhammad) memuliakannya dan membantunya serta mengikuti cahaya terang yang diturunkan kepadnya merekalah golongan yang mendapat kemenangan" (Al A'raf 157).

Hanya dengan penghayatan kepada ajaran Islam yang ditunjukkan oleh baginda saw kita akan mendapat kejayaan dan kemenangan di dunia dan akhirat.

Nota :-

Artikel ini merupakan sebahagian daripada makalah yang saya hantar ke Jabatan Mufti N.S , sebagai pertimbangan untuk diterbitkan sempena sambutan Maulidur Rasul yang akan datang.

Terpulang kepada mereka sama ada mahu terima atau pun tidak.Wallahulam.

Wednesday, January 5, 2011

Al-Insyiqaq - Terbelah


Qiamat pasti berlaku

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Insyiqaq : 1-15


Firman Allah SWT,

"Apabila langit terbelah, [1]Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; [2]Dan apabila bumi diratakan, [3]Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong,[4]Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; – (Maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya). [5]Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya). [6]Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, [7]-Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, [8]Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. [9]Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, [10]Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, [11]Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang. [12]Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)! [13]Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) ! [14](Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!"[15] (Al-Inshiqaq 001-015)

Huraian ayat

Pada ayat 1-5 Allah SWT menjelaskan apabila berlakunya hari Qiamat, langit akan terbelah kerana mematuhi perintah Allah SWT. Segala sistem cakerawala yang terdapat di langit seperti planet, bulan, bintang dan galaksi akan musnah dan hancur.

Bumi pun turut akur dengan perintah Tuhannya untuk bertukar menjadi rata. Segala-gala yang ada di atasnya seperti bukit bukau dan juga gunung ganang akan tercabut.

Bumi juga akan memuntahkan segala benda yang terdapat dalam perutnya seperti emas, logam , minyak dan juga mayat-mayat manusia sehingga benar-benar menjadi kosong.

Sebelum ini jika berlaku bencana di tempat masing-masing manusia boleh dipindahkan atau di selamatkan oleh pihak berkuasa ke tempat yang selamat atau di khemah-khemah perlindungan tetapi bencana kali ini menyeluruh sehingga tiada satu tempat untuk manusia boleh menyelamatkan diri.

Ayat ini memberi pengajaran kepada manusia tentang kekuasaan Allah SWT. Kalaulah Allah SWT boleh membelah langit yang luas dengan mudah, apatah lagi amat mudah bagi Allah SWT untuk memusnahkan kehidupan-kehidupan kecil di dunia ini seperti manusia.

Justeru janganlah berlagak sombong dengan Allah SWT. Manusia adalah makhluk yang kerdil di sisi-Nya.

Begitu juga dengan bumi, jika ia boleh memuntahkan segala yang terkandung dalam perutnya, maka lagilah mudah bagi Allah SWT untuk menyingkap segala kelakuan yang dilakukan oleh manusia tanpa boleh disembunyikan.

Pada ayat keenam Allah SWT menjelaskan tabiat manusia yang sentiasa berpenat lelah. Ada yang berpenat lelah melakukan kebaikan dengan bersungguh-sungguh di dunia sampailah ke penghujung hayat kerana yakin mereka pasti akan bertemu dengan Tuhannya dan bertemu pula dengan balasan pahala hasil dari amal kebajikan yang dilakukannya semasa di dunia.

Di samping ada juga manusia yang berpenat lelah mengumpul harta serta mengikut kehendak hawa nafsu melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Padahal mereka pasti akan mati dan bertemu dengan Tuhan serta balasan dosa hasil dari amal kejahatan yang dilakukan semsa di dunia.

Pada ayat ketujuh sehingga ayat kesembilan, Allah SWT menjelaskan tentang nasib golongan yang baik lagi beriman iaitu mereka akan menerima kitab catatan amalan di tangan kanan.

Orang ini akan dihisab dengan perkiraan yang mudah mudah sekali. Mereka akan kembali kepada kaumnya yang beriman sebelum menuju ke syurga dengan rasa gembira. Mereka akan berbangga dengan kitab catatan amalan masing-masing sambil berkata,

“Bacalah oleh kamu sekalian kitabku ini”.

Pada ayat ke sepuluh hingga kelima belas Allah SWT memberitahu pula keadaan orang yang celaka iaiatu mereka yang banyak melakukan kesalahan dosa serta menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mereka akan diberi kitab catatan amalan mereka dari arah belakang melalui tangan kiri sebagai tanda kebencian Tuhan untuk melihat wajahnya.

Orang-orang seperti ini menyesal tak sudah kerana bakal bakal dihumban ke dalam neraka Sa’eir . Mereka menjerit sambil menyumpah-nyumpah dirinya sendiri,

“Alangkah celakanya aku”.

Ada dua sebab mereka menyesal yang teramat sangat. Pertama kerana di dunia dahulu mereka merasa gembira apabila bersama dengan kaum yang engkar lagi derhaka kepada Allah SWT.

Sebab yang kedua pula kerana mereka menyangka selepas kematian, mereka tidak akan dibangkitkan semula untuk menemui Tuhannya. Lalu Allah SWT menjawab segala sangkaan mereka itu tidak benar.Sebaliknya mereka pasti akan dihidupkan semula untuk dibicarakan di depan Allah SWT

Ayat ini sekaligus menempelak golongan yang mengengkari hari kebangkitan sebagaimana reaksi orang-orang Quraisy seperti Ubai bin Khalaf dan Al-As bin Wail.

Mereka sanggup mengambil cangkul lalu menggali kubur-kubur di sekitar Mekah lalu tulang-tulang mayat yang sudah rapuh mereka kutip dan campakkan di depan Nabi saw.

Tulang-tulang itu kemudiannya dipijak-pijak dan diramas-ramas sehingga hancur menjadi debu. Setelah itu debu itu mereka tiup ke udara sambil berkata dengan sombong,

“Ya Muhammad, adakah engkau akan menyangka Tuhan berkuasa menghidupkan semula mayat-mayat yang sudah hancur ini ”.

Demikianlah jahatnya orang-orang Quraisy menolak dan menafikan tentang peristiwa hari kebangkitan yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw.

Di akhirat, golongan yang keras kepala ini akan menyesal, menangis, meraung dan menjerit-jerit sambil menyumpah-nyumpah diri mereka sendiri.

Mereka ingin balik semula kedunia untuk memperbaiki diri, namun semuanya sudah terlambat. Kerana jika sudah dibangkitkan di akhirat, manusia tidak boleh dikembalikan semula ke dunia untuk kali kedua.

Bukan itu sahaja, malah untuk mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat di dalam kubur pun tidak diizinkan oleh Allah SWT lagi sebab di alam barzakh sama juga seperti di alam Mahsyar bukan tempat untuk manusia beribadat.