Monday, February 28, 2011

Artikel saya disiarkan dalam akhbar Berita Harian



Hari ini artikel saya disiarkan dalam akhbar Berita Harian di muka surat 31, ruangan Agama.

Saya mengucapkan syukur kepada Allah SWT.

Sebenarnya saya sudah lama tidak menghantar artikel di akhbar ini.

Kali terakhir saya menghantarnya ialah pada tahun 2001. Artikel pertama yang disiarkan ialah 'Ilmu kebal tidak wujud dalam Islam' diikuti dengan artikel 'Tanggungjawab memelihara ibubapa', 'Tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah', 'Rahmat iman kepada manusia' dan beberapa buah artikel lagi.

Setiap artikel saya menerima sebanyak RM 150.00 ke RM 200.00.

Dengan wang yang diterima dan dikumpulkan, dapatlah saya mengadakan kenduri doa selamat dan kesyukuran (kecil-kecilan) sempena masuk rumah baru di Taman Sri Penaga, Sikamat sepuluh tahun yang lalu.

Rumah itu dibeli atas nama isteri.

Kemudian saya mula menyepi..., tidak mahu lagi menulis. Entahlah saya pun tak tahu kenapa…

Mungkin kerana sibuk dengan urusan kerja, komitmen dengan keluarga dan berkuliah di sana sini.

Namun pada tahun ini saya berazam untuk memulakannya kembali.

Justeru dua minggu lepas saya menghantar sebuah artikel sempena Maulidur Rasul.

Syukur, hari ini ia disiarkan. Kepada mereka yang melayari internet bolehlah klik pada:

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Rasulullahjadikandugaan_motivasibakarsemangatperjuangan/Article

Selamat Membaca !

Sunday, February 27, 2011

Sekilas hukum zina, jadi pak sanggup dan qadzaf


Tafsir Al-Quran
Surah An-Nur ayat 1-5


“Ini ialah satu surah yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).(1)Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.(2)Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman(3). Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; (4)Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”(5).

Huraian ayat

“Ini ialah satu “surah” yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya)”.

Dalam ayat ini Allah SWT menegaskan bahawa Dia menurunkan satu surah yang penting dari langit yang mengandungi beberapa hukum (undang-undang) yang wajib dipatuhi dan dilaksanakan oleh setiap manusia.

Allah SWT juga menurunkan ayat-ayat atau bukti-bukti yang terang untuk manusia mentauhidkan-Nya, semoga dengan cara itu manusia akan memperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT pada pangkal ayat kedua,

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat;..”

Ayat ini menjelaskan hukuman bagi orang lelaki dan perempuan yang berzina iaitu hendaklah masing-masing disebat dengan 100 kali sebatan jika sabit kesalahan. Merujuk kepada beberapa hadis Rasulullah saw, ayat ini ditujukan kepada penzina Ghairul Muhson iaitu penzina yang belum berkahwin.

Adapun bagi penzina yang sudah berkahwin, jika sabit kesalahan mereka hendaklah dijatuhkan hukuman samapai mati. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya,

الشيخ والشيخة اذا زنيا فارجموهما البتة

Maksudnya : Lelaki tua dan perempuan tua yang berzina, maka rejamlah kedua-duanya sebagai balasan daripada hukuman Allah SWT.

Kalau dilihat pada ayat ini, hikmah Allah SWT mendahulukan perkataan ‘Az-Zaniyatu’ (perempuan yang berzina) adalah untuk menunjukkan bahawa penzinaan itu biasanya bermula dengan tarikan dari kaum perempuan yang memakai pakaian yang menjolok mata, bersolak dan memakai wangi-wangian yang memberahikan kaum lelaki.

Akan tetapi ini tidaklah bermakna kaum lelaki bebas dari kesalahan itu, malah mereka juga turut memainkan peranan seperti mengajak pasangannya untuk keluar bersama, makan bersama dan akhirnya tidur bersama.

Justeru ibubapa hendaklah memastikan anak-anak perempuan mereka supaya tidak keluar dengan mana-mana lelaki yang bukan mahram, walaupun mereka sudah bertunang. Kerana banyak terjadi ibubapa kepada anak perempuan yang sudah bertunang terpaksa mempercepatkan tarikh pernikahan apabila mengetahui perut anak gadisnya sudah pun berisi.

Firman Allah SWT di pertengahan ayat kedua,

“dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat;..”

Dalam ayat ini Allah SWT melarang sama sekali orang Islam merasa simpati dan kasihan terhadap penzina yang sedang menjalani hukuman Allah SWT, sehingga timbul perasaan untuk meringan atau menghapuskan hukuman tersebut.

Dengan kata lain hukuman Allah SWT sudah pun tetap, tidak boleh digantikan dengan hukuman yang dicipta oleh akal manusia. Hanya mereka yang tidak beriman kepada Allah dan hari Akhirat sahaja yang sanggup mengenepikan hukuman Allah lalu digantikan hukuman tersebut dengan bayaran denda, penjara atau sebagainya.

Di Malaysia, sebagai contoh enakmen jenayah syariah di negeri Perak menyatakan, mana-mana orang perseorangan yang melakukan persetubuhan haram (zina) jika sabit kesalahan hukumannya ialah RM5000.00 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Walaubagaimanapun Hakim Mahkamah Syariah yang menjatuhkan hukuman seperti ini tidaklah dianggap berdosa kerana mereka hanyalah pegawai kerajaan yang melaksanakan kerjanya sahaja. Adapun golongan yang bertanggungjawab untuk mendaulatkan syariat Allah SWT ialah mereka yang memegang tampuk kekuasaan politik di dalam sesebuah Negara. Mereka inilah yang bakal dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.

Dihujung ayat kedua Allah SWT berfirman,

“..dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan agar hukuman ini disaksikan di khalayak orang-orang yang beriman supaya mereka takut dan tidak melakukan kesalahan ini di masa akan datang.

Di zaman Rasulullah saw ketika baginda melaksanakan hukuman rejam ke atas Salma Al-Ghamidiah , darah dari badan Salma terpercik lalu mengenai baju Khalid Al-Walid, menyebabkan Khalid marah dan mencacinya. Mendengar cacian Khalid, Rasulullah saw bersabda,

“Jangan terlalu menghinanya kerana ia sedang menjalani hukuman Allah ”

Di sampuk oleh Saidina Omar Al-Khattab,

“Ya Rasulullah ! adakah tuan hamba akan menyembahyangkan jenazahnya ?”

Rasulullah saw bersabda,

“Jika aku bandingkan kebajikannya dengan tujuh puluh perempuan (beriman) di Madinah ini, maka luas lagi (amal) kebajikannya. Tidakkah kamu mengetahui sebaik-baik manusia di sisi Allah ialah orang yang sanggup mengorbankan dirinya kepada Allah ”

Dengan penjelasan Rasulullah saw itu, nyatalah hukuman Allah jika dijalankan bererti keampunan ke atas penjenayah itu terjamin dan itulah sebaik-baik yang kita kehendaki.

Firman Allah SWT pada ayat ketiga,

“Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman”

Sebab ayat ini diturunkan seperti yang diriwayatkan oleh Mujahid dan Ato’,

Ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, di kalangan mereka ada yang miskin dan papa kedana. Manakala di Madinah pula ada segelintir wanita pelacur yang kaya raya. Justeru terdapat di kalangan para sahabat dari golongan muhajirin yang miskin ingin menikahi perempuan-perempuan pelacur itu, moga-moga mereka dapat menumpang kesenagan dengan perempuan-perempuan pelacur tersebut. Lalu para sahabat merujuk perkara ini kepada Rasulullah saw maka turunlah ayat ini yang melarang para sahabat mengahwini mereka.

Dan mengikut sebahagian pendapat golongan para mufassirin, ayat ini telah dimansuhkan (dibatalkan hukumnya) apabila turunn ayat 32 surah An-Nur yang berbunyi,

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui”. (An-Nur 032)

Justeru apabila hukum ini dibatalkan, maka sudah tidak menjadi kesalahan kepada orang-orang Islam yang ingin menikahi pasangan mereka yang penzina jika bertujuan untuk berdakwah atau menjadi Pak Sanggup.

Dalam hal menjadi Pak Sanggup disyaratkan tidak menasabkan anak yang dikandung oleh perempuan itu yang bukan dari hasil benihnya kepada nama dirinya. Kalau di lakukan juga maka Pak Sanggup ini telah melakukan dosa besar kerana menipu Allah dan juga Rasul-Nya.

Anak zina hendaklah dibin atau dibintikan dengan Abdullah selaras dengan Fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM. Manakala di Negeri Sembilan Fatwa yang serupa juga telah diwartakan iaitu,

“Jika seorang bayi itu dilahirkan kurang 6 bulan daripada tarikh akad nikah maka anak tersebut haram dinasabkan kepadaa suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan anak tersebut. Dan jika seorang bayi yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan dan diketahui dengan yakin bahawa kehamilan telah berlaku sebelum akad, atau suami tidak bersetubuh selepas akad atau tidak dimasukkan mani suaminya ke dalam rahim, maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut”.

Firman Allah SWT pada ayat ke 4,

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik..;”

Dalam ayat ini Allah SWT telah menetapkan beberapa perundangan iaitu, orang yang menuduh perempuan yang baik-baik (yang menjaga kehormatannya) dengan tuduhan zina hendaklah membawa empat orang saksi yang melihat dengan mata kepala mereka sendiri perbuatan tersebut.

Jika yang membuat tuduah itu gagal mengemukakan empat orang saksi maka dia akan dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali sebatan. Moga-moga dengan hukuman ini akan memberi peringatan kepada umat Islam supaya berhati-hati dalam membuat tuduhan apatah lagi ia melibatkan maruah manusia.

Setelah mereka dihukum 80 kali sebatan, mereka sama sekali tidak boleh menjadi saksi selama-lamanya di masa akan datang kewibawaannya sudah tercemar akibat mereka-reka cerita yang bohong.

Pada ayat 5 pula Allah SWT berfirman,

“Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan sekiranya yang menuduh itu bertaubat dan menarik balik tuduhan tersebut, sekaligus menyesal atas apa yang telah dilakukannya dan kembali menjadi orang yang baik, maka Allah SWT akan menerima taubatnya kerana Dia adalah Tuhan yang Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih.

Berdasarkan ini, menurut Mazhab Maliki, Shafi’ei dan juga Hanbali kesaksian orang yang sudah bertaubat ini diterima semula di masa akan datang.

Wallahualam.

Wednesday, February 23, 2011

Selamat Pengantin Baru Ust Jamil !

Pagi tadi saya menerima ‘sms’ daripada abang Ahmad, Bilal Masjid Qaryah Sikamat.

Beliau mewakili Ybhg Al-Fadhil Ust Jamil bin Wahab, Nazir Masjid Qaryah Sikamat menjemput datang ke rumahnya di Taman Tunku Khursiah pada hari Sabtu ini kerana meraikan pernikahannya dengan seorang gadis dari Senawang.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT.

Sebelum ini saya hanya mendengar khabar-khabar angin sahaja yang Ust Jamil akan berkahwin, sekaligus menamatkan zaman dudanya.

Tetapi apabila ‘orang kuat’ Masjid Qaryah Sikamat sendiri yang mengesahkannya, saya turut tumpang gembira. Sekurang-kurangnya Ybhg Al-Fadhil Ust Jamil sudah ada peneman yang bakal menceriakan kehidupannya.

Di kesempatan ini saya serta ahli-ahli kariah Masjid Sikamat ingin merakamkan ucapan tahniah kepada beliau.

Semoga pernikahan Ybhg Al-Fadhil Ust Jamil yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan ini diberkati dan dirahmati Allah SWT hendaknya.

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau kurniakanlah kebaikan dan kebahagiaan kepada pengantin baru ini.

Amin.

Monday, February 21, 2011

Siapakah manusia ?*


Manusia bertanggungjawab memakmurkan bumi Allah

Firman Allah SWT,

Dan juga pada dirimu sendiri mengapa tidak kamu perhatikan.

Pelbagai pandangan ulama dalam mendefinasikan siapakah manusia yang sebenarnya. Boleh disimpulkan bahawa manusia ialah makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT dalam kesempurnaan baik dari segi rohani mahupun jasmani.

Selain itu manusia adalah ‘makhluk mukallaf’. Makhluk ertinya diciptakan dan mukallaf ertinya dipertanggungjawabkan. Jelasnya, manusia ialah makhluk yang mempunyai tanggungjawab atau yang dibebankan dengan beberapa kewajipan.

Manusia juga merupakan makhluk yang menakjubkan yang Allah SWT letakkan kepada mereka banyak rahsia kekuasaan Ilahiyah dan tempat melahirkan inayah ketuhanan-Nya. Mereka dipilih oleh Allah SWT sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi sebagaimana firman-Nya,

“Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-An'am 165)

Oleh kerana kedudukan manusia yang sungguh mulia, maka Allah SWT telah menjadikan segala apa yang ada di langit dan di bumi ini untuk kepentingan dan kemudahan manusia melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.

Hakikat sebenar manusia

Seseorang muslim hendaklah mengetahui tiga perkara yang menjadi hakikat sebenar manusia dan kedudukannya. Apabila seorang muslim menyakini tiga perkara ini akan menambahkan keimanan dan keyakinan mereka kepada Allah SWT. Tiga perkara itu ialah :

Pertama : Manusia ialah semulia-mulia makhluk kerana diberikan pelbagai keistimewaan yang tidak terdapat pada makhluk yang lain. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT,

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”. (Al-Israa 070)

Kedua : Manusia adalah makhluk, jika di lihat daripada kejadian manusia yang pertama iaitu Nabi Adam a.s. yang dicipta daripada tanah liat, kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah disempurnakan bentuknya dan ditiupkan roh lalu Allah SWT berfirman ‘Kun Fayakun’, dan berdirilah Adam sebagai manusia yang sempurna.

Firman Allah SWT,

“Allah telah menjadikan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya : Jadilah engkau, maka menjadilah ia”. (Ali -‘Imran 059)

Seruan ‘Kun Fa Yakun ’ adalah seruan yang melambangkan Kekuasaan dan Kebesaran Allah SWT Yang Maha Sempurna.

Ketiga : Manusia adalah makhluk yang dicipta sebaik-baik kejadian, semenjak dicipta buat kali pertama sehinggalah kepada penciptaan seterusnya. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”. (At-Tin 004)

Imam Syafie rhm menyatakan bahawa Allah SWT memuji manusia kerana mereka mempunyai akal. Dengan akal manusia dapat membezakan antara yang benar dan salah. Lantaran itu sekiranya manusia tidak mempunyai akal sudah tentu Allah SWT tidak memuji mereka dan sudah pasti taraf mereka sama sahaja seperti binatang.

Oleh itu dapat kita fahami bahawa manusia adalah makhluk yang mempunyai kemampuan untuk meningkat ke arah ketinggian dan kemuliaan dengan kelebihan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Mereka akan menjadi makhluk yang mulia, hebat dan tinggi darjatnya jika taat kepada Allah SWT serta tahu menggunakan segala kurniaan Allah SWT dengan sebaik-baiknya.

Sebaliknya manusia juga boleh jatuh ke darjat yang lebih rendah dan hina daripada binatang. Mereka menjadi makhluk yang sesat, rosak dan hina jika mengabaikan nikmat dan kurniaan Allah, tidak mahu bersyukur serta mengkhianati apatah lagi menderhakai segala perintah-Nya.

* HAK CIPTA TERPELIHARA

Petikan dari,

Manusia dan Alam Penciptaan
(Manuskrip terbaru)

Sunday, February 20, 2011

Semoga cepat sembuh

Hari ini sekali lagi saya berkunjung ke surau An-Nur Bandar Baru Bangi kerana menggantikan Ybhg Al-Fadhil Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus, menyampaikan kuliah Dhuha kepada para muslimat.

“Dato’ baru keluar dari Wad, masaalah darah tinggi. Sekarang sedang berehat di rumah”, kata Haji Muazzan setiausaha khas kepada Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus.

Ketika itu saya baru sahaja menghabiskan kuliah.

Kami dan AJK Muslimat sedang menikmati jamuan di ruang dapur Surau An-Nur.

“Maklumlah di musim-musim sambutan Maulidur Rasul seperti ini, Dato’ berceramah di merata-rata tempat. Macam-macam jamuan yang dihidangkan kepada Dato”, sambung Haji Muazzan lagi.

“Kenapa abang tak kawal pemakanan Dato’?” , tanya saya.

“Nak control macam mana Ustaz…, saya pun ‘libas’ jugak”, jawab Haji Muazzan tersengih-sengih.

“Dato’ sebenarnya seorang yang tidak cerewet tentang hidangan. Apa sahaja yang dijamu oleh pihak penganjur, Dato’ akan makan”, sambung Haji Muazzzan.

“Ya…, Ustaz Dato’ Haron Din pun macam tu juga. Dia tak banyak komplen. Kalau kami hidangkan 4 jenis lauk kepadanya, Dato’ Haron Din akan merasa semuanya walaupun sedikit”, sampuk seorang AJK muslimat yang hadir.

“Eh…Ustaz, apa lagi tu. Silalah makan”, tegur seorang AJK muslimat yang melihat saya belum lagi menjamah makanan.

Menu pagi ini ialah sebungkus nasi lemak berlaukkan telur rebus.

“Saya dah kenyang…”, jawab saya.

“Alah Ustaz…, jamahlah sikit”, kata mereka.

Masya Allah, pagi tadi saya sudah bersarapan sebungkus Mee Hoon, kemudian mahu ditambah pula dengan sebungkus Nasi Lemak. Fuh !, memang bertambahlah berat badan saya.

Sebelum pulang, tiba-tiba handphone saya berbunyi, panggilan datangnya dari Tuan Haji Mustafa Nazir Masjid Pedas Hilir.

“Ustaz, malam ni jangan lupa ceramah Maulidur Rasul di masjid kami. Jangan tak datang pulak, kami dah sembelih kambing .”

KAMBING ?, kata hati kecil saya.

Aduhai penganjur..., saya sebenarnya sudah dua tahun mengidap darah tinggi.

"Ok, o.k.. , insya Allah sebelum Maghrib nanti saya akan sampai ", jawab saya.

Ya Allah, Engkau peliharalah kesihatanku.

Amin.

Tuesday, February 15, 2011

Di pondok kecil


Antara lagu nasyid kegemaran saya

Hari ini cuti Maulidur Rasul.

Saya mengambil peluang membawa anak-anak murid menziarahi rumah Anak-Anak Yatim Darul Aminan di Gedong Lalang Ampangan.


Anak-anak yatim lelaki

Kali terakhir kami menjenguk Rumah Anak-Anak Yatim di sini ialah pada tahun 2008.

Aktiviti yang dijalankan

Saya serahkan sepenuhnya kepada anak-anak murid untuk menjalankan apa-apa aktiviti yang berfaedah untuk anak-anak yatim.


Anak yatim perempuan

Justeru ada anak-anak murid yang menyanyi nasyid, ada yang berselawat, ada yang bercerita kisah Nabi, ada yang main teka teki dan ada yang berlawak jenaka.

Sungguh kreatif.

Matlamatnya satu, kami mahu menggembirakan anak-anak yatim di sini. Kami tidak mahu mereka bersedih.

Manakala murid saya Nik Nur Madihah (pelajar terbaik SPM peringkat kebangsaan tahun 2009) pula memberi nasihat dan motivasi agar anak-anak yatim terus maju dalam pelajaran.


Kumpulan Nasyid Darul Aminan

Di pihak anak-anak yatim pula , mereka menghidangkan bebarapa buah lagu untuk kami.

Nasyid 'Di Pondok Kecil' dendangan Almarhum Asri Rabbani antara salah satu lagu yang dipersembahkan.

Saya melihat anak-anak murid, rupa-rupanya ada yang sebak dan menangis bila mendengar lagu ini.

Sayang, kamera saya kehabisan bateri untuk merakam aksi hiba mereka.

Sumbangan derma

Dalam lawatan ini, pelajar-pelajar saya menyumbangkan derma RM 1130.00 hasil keuntungan menjual kek di kalangan guru-guru dan rakan-rakan pelajar.

Setelah menikmati jamuan makan tengah hari tajaan anak-anak murid, tibalah saat untuk berpisah dengan anak-anak yatim.

"Datanglah lagi bang...", kata seorang anak yatim lelaki. Matanya redup memandang kami.

"Jangan lupakan kami ya...", kata seorang anak yatim perempuan sambil tangannya melambai-lambai ke arah kami yang sudah pun berada di dalam bas.

"Insya Allah...", jawab kami serentak.

Ya Allah jadikanlah amalan ini sebagai amalan soleh kami.

Amin.

Monday, February 14, 2011

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1432H


Risalah Maulidur Rasul 1432H Jabatan Mufti NS

Firman Allah SWT,

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (Al-Anbiyaa’ : 107)

Antara rahmat terbesar yang dibawa oleh Rasulullah saw ialah menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT. Dialah Allah, Dialah Tuhan semesta alam, Tuhan yang mencipta segala makhluk di langit dan di bumi, Tuhan Yang Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih, Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki dan Tuhan yang menjadi Raja di hari kemudian.

Dalam menyampaikan ajaran tauhid ini, Rasulullah saw berdepan dengan pelbagai mehnah dan karenah yang datang dari kalangan musyrikin Mekah dan puak munafik Madinah. Termasuk juga yang datang dari orang-orang Yahudi yang bersifat degil serta kaum Nasrani yang sesat kerana menyembah Nabi Isa a.s sebagai Tuhan.

Pelbagai dugaan, ancaman dan penderitaan yang baginda alami, semuanya dihadapi dengan sabar dan tabah kerana baginda sedar apa yang disampaikan olehnya ialah sesuatu yang Hak. Rasulullah saw menginsafi bahawa para Rasul-Rasul yang terdahulu juga berdepan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi dari kaumnya.

Ada Rasul yang dibunuh dengan kejam seperti Nabi Zakaria a.s, ada Rasul yang dicampak dalam api seperti Nabi Ibrahim a.s dan ada juga Rasul yang hampir disalib seperti Nabi Isa a.s. Semuanya menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada Rasulullah saw dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya yang maha suci.

Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”. (At-Taubah : 128)

Walaupun ditawar dengan pangkat, harta dan gadis jelita, Rasulullah saw tidak pernah berganjak apatah lagi berundur sejengkal dalam perjuangan menyebarkan kalimah Tauhid kepada umatnya. Sifat Rasulullah saw yang mulia ini memberi isyarat kepada musuh-musuh Islam bahawa baginda bukanlah seorang yang gilakan kuasa apatah lagi tamakkan harta serta kaki perempuan.

Baginda sungguh kasih kepada umatnya, tidak mahu mereka teraba-raba dalam kesesatan mencari Tuhan yang sebenar. Baginda juga tidak mahu umatnya melakukan penderhakaan kepada Allah SWT yang kelak mengakibatkan mereka memperolehi azab yang dahsyat di akhirat.

Sifat kasih Rasulullah saw melangkaui zaman, tidak terbatas kepada umat yang hidup sezaman dengan baginda sahaja. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ad-Darimi, Al-Baqawardi dan Ibnu Qani’ daripada Abi Jum’ah Al-Ansari :

قال قلت يا رسول الله هل من قوم أعظم أجرا منا امنابك واتبعناك ؟ قال : ما يمنعكم من ذلك ورسول الله بين أظهركم يأتيكم بالوحي من السماء. بل قوم يأتون من بعدكم يأتيهم كتاب الله بين لوحين فيؤمنون بي ويعملون بما فيه أولئك أعظم منكم أجرا

Maksudnya : Berkata dia (Abi Jum’ah Al-Ansari) : Aku bertanya ; Ya Rasulullah ! Adakah satu kaum yang lebih besar pahalanya daripada kami, padahal kami beriman dan kami mengikut akan (ajaran) engkau? Jawab baginda saw : Apalah akan halangannya bagi kamu (untuk beriman kepadaku), sedang Rasulullah ada di hadapan kamu, dan datang kepada kamu wahyu (langsung) dari langit. Tetapi akan ada lagi satu kaum yang akan datang sesudah kamu, datang kepada mereka Kitab Allah yang ditulis di antara dua Luh, maka mereka pun beriman kepadaku dan mereka amalkan apa yang tersebut di dalamnya. Mereka itu adalah lebih besar pahalanya daripada kamu.

Dipetik dari,

Risalah Maulidur Rasul 1432H
Jabatan Mufti Negeri Sembilan

Wednesday, February 9, 2011

Mereka mengasihi Rasulullah



Firman Allah SWT,

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Ali-‘Imran : 31)

Berdasarkan ayat di atas, syarat untuk dikasihi Allah SWT serta mendapat pengampunan daripada-Nya hendaklah menyintai Rasulullah saw serta mengikut ajaran yang disampaikan oleh baginda dengan sepenuhnya.

Jangan sekali-kali menidakkan ajaran baginda, baik yang berupa suruhan mahu pun larangan.

Kisah Saad bin Rabi’

Jika kita lihat sirah Nabi saw, ramai para sahabat yang membuktikan kecintaan mereka kepada Rasulullah saw. Antaranya kisah seorang sahabat yang bernama Saad bin Rabe'yang terlalu kasihkan Rasulullah SAW dan Rasulullah saw pun kasih kepadanya.

Menurut riwayat, setelah selesai sahaja peperangan Uhud, Nabi saw dalam keadaan luka parah di dahi dan pipinya tiba-tiba teringatkan sahabatnya yang bernama Saad bin Rabi’. Nabi saw bertanya kepada para sahabat adakah Saad bin Rabi’ masih hidup, atau hanya mengalami kecederaan atau sudah terkorban syahid.

Lalu Nabi saw menyuruh para sahabat mencari Saad bin Rabi’. Lalu bangun seorang sahabat di kalangan Ansar menawarkan diri untuk melaksanakan kehendak Nabi SAW bagi mencari Saad. Setelah puas mencari, akhirnya sahabat Ansar ini bertemu dengan Saad bin Rabe' dalam keadaan beliau mengalami luka yang parah.

Keadaannya betul-betul nazak, hanya menunggu masa untuk menghembuskan nafas yang terakhir.

Sahabat Ansar ini pun memberitahu Saad,

"Wahai saad, sesungguhnya Nabi saw memerintahkan aku supaya mencari engkau, untuk mengetahui keadaan dirimu. Bagaimanakah keadaanmu wahai Saad?"

Jawab Saad dalam nada lemah,

"Wahai sahabatku, sesungguhnya aku berada dalam kalangan orang yang hampir mati. Oleh itu jika engkau bertemu dengan Nabi saw katakan kepada baginda bahawa aku berkirim salam."

Kata Saad lagi,

"Aku tidak dapat membalas jasa baginda yang telah mempimpin dan mengasuhku, hingga aku menjadi seorang mukmin dan menjadi pengikut Nabi SAW yang setia. Jika engkau kembali ke Madinah, sampaikan salam aku kepada sahabat-sahabat kita yang masih hidup di Madinah. Tolong sampaikan pesananku kepada mereka, jika kamu masih hidup sedangkan kamu tidak mempertahankan Nabi sehingga baginda di bunuh oleh musuh, maka kamu semua akan dipertanggungjawabkan di depan Allah SWT di akhirat kelak. Aku sudah tidak berdaya untuk menjaga keselamatan Nabi saw kerana ajalku sudah terlalu hampir"

Akhirnya Saad bin Rabi’ meninggal dunia di pangkuan sahabat daripada Ansar ini.

Kisah wanita Ansar

Begitu juga kisah seorang wanita Ansar apabila diberitahu tentang kematian bapa, saudara lelaki serta suaminya dalam Perang Uhud. Lalu dia bertanya mengenai keadaan Rasulullah saw.

Para sahabat memberitahu bahawa Rasulullah SAW dalam keadaan baik dan selamat.

Kata wanita ini,

“Syukur Alhamdulillah, Rasulullah saw sihat”.

Kemudian wanita itu meminta izin untuk melihat Rasulullah SAW. Apabila dapat melihat Rasulullah saw wanita ini berkata,

“Ya Rasulullah segala musibah yang menimpaku adalah kecil sedangkan yang besar adalah engkau, ya Rasulullah.”

Kisah Dhamurah Az-Zarki

Menurut Ibnu Hatim apabila turun ayat 97 surah An-Nisaa yang mencerca orang-orang Islam yang tidak mahu berhijrah, kemudian di susuli pula dengan ayat 98 surah yang sama, di mana Allah SWT memberi pengecualian kepada orang-orang yang lemah,

“… Kecuali orang-orang yang lemah (tertindas) dari golongan lelaki dan perempuan dan kanak-kanak…. (An-Nisaa 098)

Ada seorang sahabat yang bernama Dhamurah, umurnya sudah lanjut dan matanya tidak boleh melihat. Dia menganggap ayat 98 surah An-Nisak tidak ditujukan kepada dirinya kerana dia seorang yang kaya dan boleh lagi berjalan. Dengan kata lain dia merasakan dirinya sebagai orang yang berkemampuan.

Lalu dia pun bersiap untuk berhijrah, namun apabila sampai di Tanaim, Dhamurah meninggal dunia. Maka turunlah ayat 100 surah an-Nisak,

“....Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemuadian ia mati sesungguhnya dia beroleh paahala dari Allah dan adalah Allah itu Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (An-Nisaa 100)

Kisah Tsauban

Selain itu ada juga kisah dimana soerang sahabat yang bernama Tsauban. Beliau amat kasih kepada Rasulullah saw sehinggaka kalau sehari tidak berjumpa baginda bagaikan setahun.

Betapa kasihnya dia dengan Rasulullah saw sehinggakan dia selalu murung, menangis dan badannya cengkung. Satu hari Nabi saw bertanyakan tentang keadaan dirinya.

Jawab Tsauban,

"Ya Rasulullah, aku sebenarnya tidak sakit, tapi aku sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan gembira sekali. Apabila memikirkan keadaan hari akhirat, hati aku bertambah cemas, takut-takut aku tidak dapat bersama denganmu lagi. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala aku kalu masuk syurga pun berkemungkinan syurga ku tidak sama seperti syurga engkau. Dan yang paling membimbangkan aku, jika tidak masuk ke syurga langsung. Ketika itu sudah pasti aku tidak bertemu lagi dengan engkau”.

Mendengar kata-kata Tsauban, baginda saw merasa amat terharu. Baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana masuk syurga atau tidak dan bertemu dengannya di akhirat semuanya adalah urusan Allah SWT.

Tidak lama selepas itu, turunlah surah An-Nisak ayat 69 ,

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)".(An-Nisaa’ : 69)

Mendengarkan jaminan Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula.

Kisah batang kurma, dhab dan bukit Uhud

Satu ketika, Rasulullah saw meminta supaya seorang sahabatnya yang menjadi tukang kayu untuk menyediakan sebuah mimbar yang baru. Mimbar lama dibuat daripada batang kurma yang dikerat.

Setelah siap mimbar yang baru, lalu dibawalah kepada Nabi Muhammad saw. Sebelum sempat Nabi memijak mimbar yang baru, Nabi saw telah mendengar mimbar yang lama menangis.

Lalu Nabi saw meletakkan tangannya di atas mimbar yang lama dan memujuk, lalu mimbar lama itu pun berhenti menangis.

Satu hari, Rasulullah SAW bertemu dengan seorang arab badwi dan mengajaknya untuk beriman.

“Islamlah kamu wahai Badwi”.

Badwi ini bertanya,

“Ya Muhammad, buat apa aku hendak beriman dengan engkau? Kalau engkau tanya pada Dhob ini , belum tentu dia hendak beriman dengan engkau” , sambil jarinya menunjuk ke arah seekor Dhob yang sedang berada berhampiran dengan mereka.

Rasulullah SAW memandang Dhob itu dan berkata:

“Wahai dhob, siapakah aku?”

Jawab Dhob,

“Engkau adalah utusan Allah”

Jawapan Dhab menyebabkan badwi ini terkejut. Lantas hatinya terbuka untuk memeluk Islam.

Begitu juga kasihnya bukit Uhud dengan Nabi saw sebagaimana satu kisah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a,

“Satu hari aku dengan Nabi SAW dan beberapa sahabat lain, sedang berdiri di atas Bukit Uhud. Bersama dengan kami ialah Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khatab dan Uthman bin Affan. Tiba-tiba Bukit Uhud bergoyang (seakan terjadi gempa), lalu Nabi SAW bersabda,“Tenanglah kamu wahai Uhud!”, dan dengan serta merta Bukit Uhud pun berhenti bergoyang. Kemudian Nabi SAW bersabda; “Wahai Uhud! Yang berada di atas kamu sekarang ini bukanlah orang lain tetapi seorang Nabi, seorang As-Siddiq (Saidina Abu Bakar as-Siddiq) dan Syahidani (dua orang yang bakal mati syahid, iaitu Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Uthman Bin Affan).”(Hadith Sahih, Riwayat al-Bukhari)

Wallahualam

Sunday, February 6, 2011

8 penghalang cinta kepada Rasul


Tafsir Al-Quran
Surah At-Taubah ayat 24


Firman Allah SWT,

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.(24)

Huraian ayat

Menurut Imam Al-Qurthubi, ayat ini merupakan dalil yang jelas tentang kewajipan menyintai Allah dan juga Rasul hendaklah melebihi kecintaan kepada yang lain-lain. Tegasnya, barangsiapa yang menyintai sesuatu melebihi cinta kepada Allah dan Rasul, mereka bakal memperolehi seksaan sama ada cepat atau pun lambat, di dunia mahu pun di akhirat.

Yang dimaksudkan menyintai Allah dan Rasul ialah mematuhi segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan juga Hadis.

Barangsiapa yang hanya menyintai Allah SWT tanpa disertai dengan menyintai Rasul, maka setiap amalannya tidak diterima oleh Allah SWT. Begitu juga sebaliknya jika hanya menyintai Rasul tetapi tidak menyintai Allah SWT, maka akan terjerumus ke lembah kekufuran.

Al-Quran menjelaskan tiada jalan untuk menyintai Allah melainkan mesti menyintai Rasul sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran,

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Ali-‘Imran : 31)

Dalam surah At-Taubah ayat 24 tadi Allah SWT menjelaskan 8 sebab yang menjadi penghalang seseorang itu untuk menyintai Allah dan Rasul.

Yang pertama ialah cinta kepada bapa termasuk juga ibu. Bapa adalah orang yang paling dihormati dalam sesebuah keluarga. Dialah yang bersusah payah mencari rezeki dan dialah orang yang penting dalam membuat sesuatu keputusan. Dia juglah yang mewalikan pernikahan anak perempuan dan dengan nama dia jugalah anak-anak itu dibin atau dibintikan.

Oleh kerana itu anak-anak akan merasa marah jika orang lain mencemuh dan mengutuk bapanya sehingga mereka sanggup bergaduh, bertengkar kerana mempertahankan nama baik bapa. Persoalan, jika anak-anak sanggup mempertahankan bapa mengapa dalam masa yang sama mereka tidak sanggup mempertahankan Rasulullah saw jika baginda dihina oleh orang kafir ?

Yang kedua ialah cinta kepada anak-anak. Sudah menjadi hasrat pasangan suami isteri untuk mendapatkan zuriat sebagai pemyambung keturunan. Ada yang mudah mendapat zuriat, ada yang sukar dan ada yang langsung tidak dikurniakan zuriat. Bagi mereka yang tidak memiliki zuriat biasanya akan mengambil anak angkat yang dipelihara seperti anak kandungnya sendiri.

Anak adalah pengarang jantung bagi ibu dan bapa. Seorang bapa yang penat bekerja bila mendengar suara anak-anak kecil di rumah hatinya akan terhibur. Ada bapa yang sanggup membelikan hadiah dan barang permainan yang mahal-mahal untuk anaknya. Ada ibu bapa yang memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menyewa hotel-hotel peranginan sama ada di dalam mahu pun di luar negara semata-mata untuk bercuti dengan anak-anak.

Namun jika cinta kepada anak-anak melebihi cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya sehingga tidak sanggup marah kepada anak-anak yang terang-terang melakukan dosa seperti tidak solat, maka tunggulah balasan Allah SWT tidak kira cepat atau lambat.

Yang ketiga ialah cinta kepada adik beradik. Biar pun semasa kecil sering bergaduh namun bak kata pepatah air dicincang tidak akan putus. Jika di sekolah apabila abang melihat adiknya dibuli, abang akan mempertahankan adiknya. Begitu juga jika sudah besar dan dewasa apabila abang meninggal dunia, maka adik akan mengambil alih tanggungjawab untuk membela anak-anak abangnya seperti dia menjaga anaknya sendiri. Inilah sifat naluri manusia.

Yang keempat ialah cinta suami kepada isteri dan isteri kepada suami. Ada suami yang sanggup menyerahkan semua wang gajinya kepada isteri. Ada juga suami yang sanggup membelikan hadiah hari jadi yang mahal-mahal untuk isterinya. Bagi isteri pula ada yang sabar menjaga suaminya yang sakit atau lumpuh dan sebagainya. Sedikit pun tidak ada di riak wajah suami atau isteri perasaan kecewa dan kesal.

Yang kelima ialah cinta terhadap kaum keluarga. Disebabkan cinta kepada keluarga ada suami yang ditawarkan bekerja ke luar negera terpaksa menolak tawaran tersebut walaupun gaji yang ditawarkan agak lumayan. Hal ini semata-mata tidak mahu berpisah dengan isteri dan anak-anak, apatah lagi jika anak-anak itu masih kecil yang sudah pastinya memerlukan perhatian seorang bapa.

Yang keenam ialah cinta terhadap harta. Ia adalah sifat semulajadi manusia. Di kalangan manusia ada yang bekerja keras siang dan malam untuk mengumpulkan harta sebanyak yang mungkin. Daripada emas berkilau, wang ringgit, rumah besar dan kereta mewah sehinggalah sampai kepada baju yang berjenama.

Di antara harta kekayaan itu, ada yang diperolehi melalui usaha sendiri dan ada harta yang diperolehi secara warisan. Sudah tentu harta yang diperolehi melalui hasil titik peluh sendiri lebih dikasihi daripada harta warisan.

Yang ketujuh ialah cinta kepada perniagaan yang diusahakan sama ada perniagaan yang kecil mahu pun yang besar. Bagi mereka yang berniaga kecil-kecilan seperti menjual nasi lemak dan kuih muih, amat risau sekiranya hari hujan menyebabkan mereka tidak boleh berniaga. Manakala bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan besar seperti gedung-gedung jualan juga amat risau jika berlaku demontrasi jalanan menyebabkan gedung perniagaan mereka dirompak atau sebagainya.

Dan yang kelapan ialah cinta kepada tempat kediaman. Ada manusia yang sanggup berbelanja berpuluh-puluh ribu ringgit untuk mengubah suai rumah mengikut citarasa yang disukai. Ada yang buat rumah di atas bukit, di tepi tasik dan tidak kurang juga yang buat rumah di tengah-tengah padang Golf. Sedangkan untuk menyahut panggilan Allah SWT ke Baitullah dan menziarahi makam Rasulullah saw di Madinah asyik tertangguh-tangguh. Demikianlah kegilaan manusia pada rumah.

Di akhir ayat Allah SWT berfirman,

“kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.

Maksudnya orang yang mengasihi sesuatu sehingga melebihi kasih kepada Allah dan Rasul, mereka bukan sahaja diancam azab di dunia dan di akhirat tetapi mereka juga diistiharkan sebagai fasik (penderhaka).

Wallahualam.

Friday, February 4, 2011

Bulan Rabi'ul Awwal menjelma kembali


Kenangan di Taman Desa Kiara pada tahun 1999

Al-Quran menjelaskan tentang kewajipan menyintai Nabi Muhammad saw sebagaimana firman-Nya,

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Ali-‘Imran : 31)

Berdasarkan ayat di atas, syarat untuk dikasihi Allah SWT serta mendapat pengampunan daripada-Nya hendaklah menyintai Rasulullah saw serta mengikut ajaran yang disampaikan oleh baginda dengan sepenuhnya. Jangan sekali-kali menidakkan ajaran baginda, baik yang berupa suruhan mahu pun larangan.

Firman Allah SWT lagi,

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)”. (Al-Hashr : 7)

Rasulullah saw meninggalkan dua perkara iatu Al-Quran dan hadis kepada umatnya sebagai rujukan. Selagi dua perkara itu dipegang dan dijadikan pedoman hidup, selagi itulah umat Islam tidak akan sesat selama-lamanya.

Sabda Rasulullah saw,

تَرَكْتُ فِيْكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ

Maksudnya : Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan al-Sunnah Rasul-Nya.(Hadis riwayat Malik)

Menyintai Allah dan Rasul hendaklah diutamakan daripada perasaan cinta dan kasih kepada yang lain. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya,

“Katakanlah jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta kekayaan yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya dan Allah tidak memberi pertunjuk kepada orang-orang fasik”. (At-Taubah : 24)


Antara penghuni Taman yang hadir

Justeru, mereka yang lebih mengutamakan perasaan cinta kepada bapa, cinta kepada anak, isteri, keluarga, harta, perniagaan dan tempat tinggal (rumah) melebihi daripada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, golongan ini bakal mendapat seksaan yang amat pedih sama ada cepat atau lambat, di dunia mahu pun di akhirat.

Kesimpulannya, jika diletakkan antara kepentingan agama dan kepentingan dunia maka hendaklah diutamakan kepentingan agama dari segala-galanya.

Marilah kita bersama-sama memupuk perasaan cinta kepada Rasulullah saw dalam diri anak-anak sebagaimana pesan Rasulullah saw kepada ibu bapa,

أدبوا أولادكم على ثلاث خصال : حب نبيكم، وحب أهل بيته، وقراءة القرآن، فإن حملة القرآن في ظل الله يوم لا ظل إلا ظله مع أنبيائه وأصفيائه

Maksudnya : Ajarilah anak-anak kamu tiga perkara : Mencintai Nabi kamu,mencintai ahli keluarga baginda dan membaca Al-Quran, kerana penghafal Al-Quran kelak akan dilindungkan Allah pada hari tiadanya lindungan selain lindungan-Nya bersama-sama dengan Nabi-Nabi-Nya dan kekasih-kekasih-Nya (Hadis riwayat Abu Nasr Abdul Karim Asy-Syirazi di dalam Fawaied dan Ibnu Najjar daripada Ali r.a)

Wallahulam.