Monday, March 28, 2011

Alam Cakerawala Bukti Kekuasaan Allah

Buku ini diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan sempena Konvensyen Falak pada 26 hingga 27 March 2011

Allah SWT menjelaskan pergerakan bulan yang berada tetap di paksinya mengelilingi bumi bertujuan untuk memberi faedah kepada manusia mengetahui bilangan hari, bulan, musim dan tahun.

Firman Allah SWT,

"Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)". (Yunus 005)

Bagi golongan yang beriman, mereka boleh mengetahui masa untuk beribadat seperti waktu solat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu Haji di Baitullah dan sebagainya. Dalam urusan muamalat pula mereka boleh mengetahui habisnya tempoh dalam hal sewa menyewa, gadaian, upah dan pelbagai lagi urusan di dunia.

Selain itu Allah SWT juga menjelaskan perbezaan di antara cahaya matahari dan bulan. Hal ini diterangkan melalui firman-Nya,

"Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang)" (Nuh 016)

Jika diperhatikan dalam al-Quran, Allah SWT sentiasa menyifatkan matahari sebagai lampu (pelita) yang bersinar, sedangkan bulan disifatkan-Nya sebagai cahaya. Apakah perbezaan di antara kedua-duanya ?

Kemajuan sains mendapati bahawa cahaya matahari datang dari zat matahari itu sendiri. Oleh itu ia menjadi lampu atau pelita yang bersinar. Sedangkan bulan tidak, ia hanya menerima cahaya daripada matahari kemudian memantulkannya pula ke bumi.

Firman Allah SWT,

"Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?" (an-Nabaa 013)

Walaupun cahaya bulan pula tidak setanding dengan cahaya matahari tetapi ia tetap mengasyikkan mata memandang terutama ketika di bulan purnama. Memandang bulan yang indah memberi kerehatan dan ketenangan pada fikiran juga minda manusia.

Petikan dari buku,

Alam Cakerawala Bukti Kekuasaan Allah SWT
Sempena Konvensyen Falak
Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada 26-27 hb March 2011

Sunday, March 27, 2011

Berkursus Tafaqquh Haji di Kelana Jaya

Hari ini dan semalam saya berada di kompleks Haji Kelana Jaya kerana mengikuti kursus intensif Tafaqquh Haji bagi Guru-Guru Pembimbing Ibadah Haji peringkat zon tengah iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Inilah kali pertama saya menyertai kursus seperti ini. Di kalangan peserta ada yang sudah berpengalaman berbelas-belas kali sebagai Mutawwif Haji.

Topik yang menjadi perbincangan

Ada dua topik yang dibincang dan ditelaah iaitu permasalahan haidh dan Istihadhah serta perkara-perkara larangan ihram (muhramat ihram).


Kitab turas yang menjadi rujukan para peserta ialah “Bughyah at-Tullab” karangan Syeikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathani.

Kami dibahagikan kepada sepuluh kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai seramai 9-ke 11 ahli.

Saya dimasukkan ke dalam kumpulan 10.

Kumpulan kami diberi tugas membaca, memahami dan mengambil point-point penting dari kitab “Bughyah at-Tullab” bermula dari muka surat 227 hingga 230, juzuk kedua di bawah tajuk perkara-perkara larangan dalam ihram.

Pada hari kedua (hari ini), setiap kumpulan dikehendaki membentangkan hasil yang mereka perolehi di depan pakar rujuk Lembaga Tabung Haji iaitu Prof Madya Datin Dr. Zulaikha (Pensyarah UKM) dan Sahibus Samahah Dato’ Hassan Ahmad (Mufti Pulau Pinang).

Alhamdulillah banyak ilmu yang saya perolehi dari kursus ini. Insya Allah nanti saya akan siarkan segala maklumat tersebut untuk dikongsi bersama.

Wallahualam.

Friday, March 25, 2011

Pusat Kegiatan Aktiviti di Vila Suria


Alhamdulillah, Wakaf Pusat Kegiatan Aktiviti Vila Suria sedang rancak dalam pembinaan dan insya Allah dijangka siap tidak berapa lama lagi.

Ia terletak di belakang tapak pembinaan Surau, setentang dengan rumah Ust Muharizal.

Pembinaannya adalah kekal dan tidak akan dirobohkan walaupun Surau Vila Suria telah siap dibina nanti.

Dengan wujudnya wakaf ini, penduduk Vila Suria boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan silaturrahim.

Sehubungan dengan itu Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria sangat mengalu-alukan bantuan derma dari orang ramai. No. akaun Jawatankuasa Pembinaan Surau ada di paparkan di blog ini.

Muslimin muslimat juga boleh berhubung terus dengan Ust Hj Azzahar bin Abd Aziz no H/P 0193322677 atau Bendahari En. Azmi no H/P 0167644863.

Segala jasa baik para penderma hanya Allah SWT sahaja yang layak membalasnya.

Sekian.

Saturday, March 19, 2011

Pancaindera beri pedoman manusia renung kebesaran Pencipta


MANUSIA makhluk menakjubkan yang Allah letakkan kepada mereka banyak rahsia kekuasaan Ilahiyah dan tempat melahirkan inayah ketuhanan-Nya. Mereka dipilih Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya:

"Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-An'am ayat 165)

Kalau dikaji ayat al-Quran, terdapat banyak perintah Allah menyuruh manusia mengkaji diri mereka sendiri. Pada diri manusia itu terdapat tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka yang berakal memahami hakikat ini.

Firman Allah bermaksud:

“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (az-Zariyat ayat 21)

Firman Allah SWT lagi bermaksud:

“(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan dari apa ia diciptakan.” (at-Tariq Ayat 5)

Sesungguhnya Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Cuba perhatikan anggota yang wujud di kepala manusia seperti lidah, telinga dan mulut. Lidah yang dicipta sentiasa digunakan manusia untuk bertutur di samping berperanan sebagai deria rasa untuk menikmati makan dan minuman.

Di kanan dan kiri kepala manusia pula, Allah mencipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga terdapat sepasang mata untuk melihat.

Tiga pancaindera yang terletak di kepala ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia membantu manusia menguruskan kehidupan harian mereka. Jika ditanya kepada manusia, adakah mereka mahu dibisukan lidah, dibutakan mata atau dipekakkan telinga, tentu sekali mereka akan mengatakan tidak kerana tanpa ketiga-tiga pancaindera ini kehidupan mereka amat sukar.

Persoalannya siapakah yang mencipta dan menganugerahkan pancaindera yang hebat ini secara percuma kepada manusia? Jika rosak, adakah pancaindera yang sangat berharga ini boleh dibeli atau ditempah sebagai gantinya? Seterusnya adakah wujud cerdik pandai di dunia ini yang boleh mencipta pancaindera itu yang sama dan setanding seperti asal?

Persoalan seperti ini tidak mampu dijawab oleh manusia melainkan ia perlu kembali kepada yang menciptanya. Siapakah yang mampu mencipta pancaindera yang sebegitu hebat? Tidak lain Dialah Tuhan yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih kepada seluruh makhluk-Nya.

Contoh lain, jika seseorang manusia yang mahu tidur, namun matanya tidak mahu lelap sedangkan sudah puas dia berusaha untuk memejamkan matanya, adakah dia yang mahu supaya matanya tidak lelap? Atau ada kuasa lain yang menahan matanya supaya lelap? Jika ya, adakah manusia boleh melawan kuasa itu? Sudah tentu jawapannya tidak.

Ini menunjukkan betapa lemahnya manusia. Jika matanya sendiri tidak berupaya untuk dilelapkan apatah lagi jika mahu dibanding dengan kekuasaan Penciptanya. Demikianlah beberapa contoh yang terdapat pada diri manusia yang perlu direnungi, moga-moga dengan cara itu manusia akan mengenali siapa dirinya, siapa Tuhannya dan ke mana akhirnya perjalanan hidup mereka.

( sumber : Mohd Hishamuddin Mansor, Berita Harian, 17 Mac 2011, Kuala Lumpur )

Thursday, March 17, 2011

Takziah buat semua mangsa ribut

Malam ini saya menyampaikan kuliah bulanan di surau Taman Desa Beringin.

Apabila saya sampai, kelihatan perkarangan surau ini berselerak dengan atap-atap genting, kayu-kayan, tiang-tiang dan macam-macam lagi.

Di atas atap surau pula, kelihatan beberapa orang pekerja Indonesia sedang bertukang, seperti membaiki sesuatu.

Saya sangkakan mungkin surau ini sedang direnovasi.

Telahan saya silap apabila saya diberitahu oleh Ust Akib (Pengerusi Surau) bahawa surau ini telah dilanggar oleh puting beliung yang sungguh dahsyat petang semalam.

Banyak atap gentingnya terpelanting. Dalaman surau pula basah kuyup akibat disimbahi air hujan yang lebat.

Sebuah khemah yang sedia terpasang di perkarangan surau telah diterbangkan sejauh 200 meter dari kedudukannya.

Kereta Ust Akib yang di parking di halaman surau turut berubah kedudukan dan bercalar hasil terkena serpihan benda-benda yang terpelanting.

Manakala sederet rumah di Taman Desa Beringin turut bocor kerana atapnya terbang ditiup angin.

Patutlah malam ini saya melihat segelintir jemaah berwajah duka. Mungkin banyak wang yang telah dikeluarkan untuk membaiki kerosakkan di rumah masing-masing.

Saya juga difahamkan puting beliung ini turut menyerang 30 buah rumah di Taman Desa Rhu.

Apa yang mampu saya ucapkan hanyalah "Innalillahi wa inna ilaihi raji'uun".

Takziah buat semua mangsa ribut semalam. Insya Allah setiap sesuatu pasti ada hikmahnya.

Moga-moga kalian diberi pahala di atas kesabaran.

Tuesday, March 15, 2011

Jawapan 'Aisyah

Tafsir Al-Quran
Surah An-Nur ayat 11-14


Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)”. (An-Nur 011)

Huraian ayat

Ayat ini diturunkan khusus dengan satu peristiwa di mana Saidatina Aisyah telah dituduh melakukan perbuatan curang dengan sahabat Rasulullah saw yang bernama Safwan bin Al-Mu’attol. Tuduhan fitnah ini dibuat oleh ketua munafik yang bernamaAbdullah bin Ubai bin Salul.

Tuduhan ini cukup berat untuk ditanggung oleh Rasulullah saw dan keluarganya. Kerana ia lebih kepada serangan peribadi untuk memalu dan menjatuhkan reputasi Rasulullah saw sekaligus mencemarkan maruah isteri baginda.

Ia juga boleh menggoncang keimanan dan perpaduan umat Islam. Hampir-hampir umat Islam berbalah dan berpecah kerana fitnah ini. Maka dengan sebab itulah tiada pengampunan ke atas orang yang membuat tuduhan fitnah tersebut.

Kalau dirujuk dalam kitab-kitab hadis soheh yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, kisah ini bermula ketika Rasulullah saw dan tentera Islam dalam perjalanan mahu pulang ke Madinah setelah selesai dalam satu misi ketenteraan dengan Bani Mustaliq. Ia berlaku pada bulan Sya’ban tahun kelima hijrah.

Apabila mereka berhenti pada suatu tempat. ‘Aisyah keluar dari sekedupnya untuk suatu keperluan, kemudian kembali. Tiba-tiba dia merasakan kalungnya hilang, lalu dia pergi lagi mencarinya. Ketika sedang mencari kalung itu, rombongan berangkat dengan menyangkakan bahwa ‘Aisyah masih ada dalam sekedup tersebut.

Setelah ‘Aisyah mengetahui, sekedupnya sudah berangkat, maka dia duduk di tempatnya dan mengaharapkan sekedup itu akan kembali menjemputnya. Kebetulan, ketika itu seorang sahabat Nabi saw yang bernama Sofwan bin Mu’attol sedang melalui jalan tersebut , maka dilihatnya seseorang sedang tidur sendirian.

Bila dia menghampiri alangkah terkejutnya kerana yang tinggal bersendirian itu ialah ‘Aisyah Ummul Mukminin. Lantas dia mengucapkan : “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, isteri Rasul!”

‘Aisyah terbangun. Lalu dia dipersilakan oleh Sofwan mengendarai untanya. Sofwan berjalan menuntun untanya sampailah mereka tiba di Madinah.

Apabila mereka berdua tiba di Madinah, Abdullah bin Ubai bin Salul yang mempunyai dendam dengan Rasulullah saw telah menabur fitnah kononnya Saidatina ‘Aisyah telah melakukan perbuatan curang dengan Sofwan bin Mu’attol.

Fitnah ini disebarkan dari mulut-kemulut sehingga ada di kalangan umat Islam termakan dengan fitnah tersebut. Antara sahabat yang termakan hasutan api fitnah ini ialah Misthah bin Utsatsah seorang pejuang dalam peperangan Badar. Dia merupakan sahabat yang sama-sama berhjrah dari Mekah ke Madinah. Oleh kerana kehidupannya di Madinah susah, maka dibiayai sepenuhnya oleh Abu Bakar as-Siddiq.

Selain Misthah bin Utsatsah ialah Hassan bin Thabit yang juga seorang penyair Nabi saw yang terkemuka, Hamnah bt Jahsyi isteri kepada Mus’ab bin Umair yang terkorban dalam perang Uhud dan Siti Zainab binti Jahsyi iaitu saudara kepada Ummul Mukminin, Aisyah r.anha.

Rasulullah saw berharap agar wahyu turun dengan segera untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.

Beberapa hari setelah fitnah ini tersebar, Nabi saw bertanya Aisyah di rumah bapa mertuanya Saidina Abu Bakar,

“Wahai 'Aisyah.., sesungguhnya telah sampai berita kepadaku bahawa engkau telah melakukan begini…, begini… dengan Safwan bin Mu'attol. Jika engkau seorang yang bersih, maka Allah SWT akan membersihkan engkau. Tetapi jika engkau berbuat dosa maka minta ampunlah dengan Allah dan bertaubatlah kepada-Nya”.

Setelah mendengar kata-kata Nabi saw kepadanya, maka sayulah 'Aisyah dan berlinanglah air mata beliau. Lalu dia berpaling kepada ayahandanya Abu Bakar,

“Wahai ayah, jawablah bagi pihakku”.

Jawab Saidina Abu Bakar,

“ Demi Allah wahai anakku, Ayah tidak tahu apa yang hendak dikatakan kepada Rasulullah saw”.

Mendengar sahaja jawapan ayahnya 'Aisyah kemudian berpaling pula kepada ibunya Ummu Ruman.

“Wahai ibu, jawablah bagi pihakku”.

Jawab ibunya,

“Wahai 'Aisyah, ibu juga tidak tahu apa yang hendak dikatakan kepada Rasulullah”.

Oleh kerana kedua ibu bapanya tidak boleh menjawab bagi pihak dirinya, maka 'Aisyah pun berkata kepada Rasulullah saw suaminya yang tercinta,

“ Sekiranya aku mengatakan yang aku adalah bersih tentu tuan-tuan tidak mempercayainya. Tapi sekiranya aku mengaku sedangkan Allah SWT mengetahui bahawa aku seorang yang suci dan bersih, tuan-tuan semua tidak akan mempercayainya. Demi Allah ! aku tidak mendapat satu misal untuk aku katakan kepada tuan-tuan semua kecuali apa yang pernah dikatakan oleh Nabi Yaakob iaitu,

“Sebaiknya aku bersabar, Dan kepada Allah sahajalah tempat memohon pertolongan terhadap apa yang kamu semua desas desuskan”. ( Yusuf 18)

Apa hikmah wahyu lambat turun ?

Sebenarnya ada hikmah mengapa Allah SWT melewatkan penurunan wahyu untuk membersihkan 'Aisyah. Tujuannya ialah bagi menguji kesetiaan para sahabat kepada Rasulullh saw.

Inilah yang disebut oleh Allah SWT,

“…janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu…”

Ertinya para sahabat yang tidak termakan dengan api fitnah itu, mereka sebenarnya telah lulus ujian itu. Mereka merupakan sahabat Nabi yang setia bersama dengan baginda ketika maruah dan peribadi baginda dihina dan diburuk-burukkan oleh kepala orang-orang munafik iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Sudah pasti golongan ini diberi pahala oleh Allah SWT.

Sebaliknya mereka yang termakan dengan fitnah ini golongan ini ditegur oleh Allah SWT dalam ayat ke 12,

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”. (An-Nur 012)

Ertinya orang-orang yang beriman hendaklah bersangka baik sesama mereka apatah lagi dengan Nabi saw dan keluarganya. Sewaktu 'Aisyah dihantar pulang dengan selamat oleh Safwan bin Mu'attol, semua para sahabat menyaksikan hal itu. Kalau benarlah kedua-dua mereka mempunyai hubungan sulit sudah tentu 'Aisyah akan dihantar secara sembunyi-sembunyi oleh Safwan bin Muattol.

Firman Allah SWT pada ayat ke 13,

“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta”.

Dalam ayat ini Allah SWT bertanya kepada orang yang membuat tuduhan, kalaulah betul tuduhan itu benar kenapa tidak dibawakan empat orang saksi untuk membuktikan dakwaan mereka ?

Firman Allah SWT pada ayat ke 14,

“Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -(An-Nur 014)

Ertinya kalaulah tidak kerana limpah kurnia dan rahmat yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhammad saw, sudah tentu mereka akan menerima seksaan yang cepat akibat perbuatan menyakiti Rasulullah saw itu. Namun azab seksaan itu ditangguhkan kepada mereka, moga-moga dengan cara itu mereka sedar dan kembali bertaubat kepada-Nya.

Bila turun ayat yang membersihkan Aisyah dari tuduhan zina, maka Saidina Abu Bakar telah bersumpah dengan nama Allah untuk tidak mahu meneruskan bantuan kepada Misthah lagi. Tidak lama selepas itu turun wahyu yang melarang Abu Bakar bersumpah sedemikian.

Firman Allah SWT,

“Dan janganlah kamu jadikan (nama ) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu dari berbuat baik, dan bertqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa mengetahui “(Al-Baqarah ayat 224)

Berdasarkan ayat ini para ulama menjelaskan mereka yang bersumpah seperti ini hendaklah membayar kaffarah sumpah iaitu,

1. Memberi makan sepuluh orang miskin daripada makanan yang biasanya diberikan kepada keluarga, atau;

2. Memberi kepada mereka pakaian, atau;

3. Membebaskan seorang hamba, atau ;

4. Sekiranya dia tidak mampu maka wajib ke atasnya berpuasa selama tiga hari.

Bagaimanakah nasib mereka yang termakan api fitnah daan menyebarkannya secara tidak langsung kepada orang-orang yang beriman ?

Kepada golongan ini seperti Misthah bin Utsatsah , Hasan bin Thabit, Hamnah bt Jahsyi dan Zainab bt Jahsyi, Nabi saw telah menjatuhkan hukuman 40 kali sebatan kepada mereka semua.

Manakala Abdullah bin Ubai bin Salul telah dijatuhkan hukuman oleh Allah SWT dimana dia dilaknat di dunia dan di akhirat (dosanya tidak diampun).

Sila rujuk dalam artikel ‘Mari perhatikan surah An-Nur ayat 23’ sebelum ini.

Wallahualam.

Sunday, March 13, 2011

Azan


Laungan azan sentiasa berkumandang 24 jam

Dalam sebuah hadis,

عن عبدالله بن عمر أنه قال كان المسلمون حين قدموا المدينة يجتمعون فيتحينون الصلوات وليس ينادى بها أحد فيتكلموا يوما فى ذلك فقال بعضهم اتخذوا ناقوسا مثل ناقوس النصارى وقال بعضهم قرنا مثل قرن اليهود فقال عمر أولا تبعثون رجلا ينادى بالصلاة قال رسول الله (ص) يا بلال قم فناد بالصلاة


Maksudnya : Daripada Abdullah bin Umar r.a katanya, tatkala kaum muslimin belum beberapa lama tiba di Madinah, mereka berkumpul bersama-sama untuk solat. Mereka hanya kira-kirakan sahaja kalau waktu solat telah tiba, kerana belum ada suatu cara untuk memanggil orang ramai berkumpul ke tempat solat. Maka pada satu hari mereka bermesyuawarah membicarakan hal itu. Sesetengah mereka mengusulkan : Ambillah naqus (loceng) seperti naqus orang-orang Nasrani (Kristian)." Berkata sebahagian yang lain pula: "(Ambillah) trompet seperti trompet orang-orang Yahudi."Lalu berkata ‘Umar: "Tidakkah kamu melantik seorang lelaki untuk menyerukan sembahyang?"Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Wahai Bilal, berdirilah dan serulah untuk sembahyang."(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah bin Zaid katanya yang bermaksud :

"Ketika Rasulullah saw memerintahkan untuk menggunakan naqus (loceng) untuk dipalu bagi mengumpulkan orang ramai untuk mendirikan sembahyang jemaah, dalam tidur aku bermimpi, seorang lelaki berjalan mengelilingiku sedang di tangannya membawa naqus. Lalu aku berkata: "Wahai hamba Allah, adakah kamu hendak jual naqus itu?"

Dia berkata: "Apa yang akan engkau buat dengannya (naqus)?

Aku berkata: "Kami menggunakan naqus ini untuk menyeru kepada sembahyang."

Dia berkata: "Mahukah kamu aku tunjukkan yang lebih baik daripada itu?"

Aku berkata: "Ya."

Berkata periwayat (orang yang mimpi): "Dia (lelaki yang di dalam mimpi ) berkata: "Engkau ucapkan: "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, Aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, marilah mendirikan sembahyang, marilah mendirikan sembahyang, marilah menuju kemenangan, marilah menuju kemenangan, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah."

(‘Abdullah bin Zaid) berkata: "Kemudian lelaki itu berundur sedikit.

Lalu lelaki itu berkata: "Jika engkau menyerukan iqamah sembahyang engkau ucapkan: "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, marilah mendirikan sembahyang, marilah menuju kemenangan, sesungguhnya sembahyang telah didirikan, sesungguhnya sembahyang telah didirikan, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah."

Pada pagi esoknya aku datang kepada Rasulullah saw memberitahu mengenai mimpiku itu. Baginda bersabda:

"Sesungguhnya mimpimu itu benar insya Allah, berdirilah engkau bersama Bilal dan ajarkan kepadanya apa yang engkau mimpikan itu. Hendaklah Bilal azan dengan apa yang diajarkan kepadanya itu, kerana suaranya lebih bagus dan tinggi daripada engkau." Maka aku berdiri bersama Bilal lalu aku ajarkan dia dan dia azan dengan apa yang aku ajarkan itu.

(‘Abdullah bin Zaid) berkata: "Maka terdengarlah azan itu oleh ‘Umar bin al-Khattab, sedang dia berada dirumahnya. Lalu dia keluar dengan bergegas menyeret selendang di belakangnya dan berkata: "Demi yang telah mengutusmu dengan benar wahai Rasulullah, sesungguhnya aku bermimpi sepertimana yang dimimpikan oleh (Àbdullah bin Zaid)."

Bersabda Rasulullah saw : "Segala puji bagi Allah."

Kelebihan menjadi Muazzin

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani, Nabi saw bersabda :

إذا أذن فى قرية أمنها الله عز وجل من عذابه ذلك اليوم


Maksudnya : Jika seseorang azan di suatu kampung maka Allah SWT akan mengamankan dari seksaan-Nya pada hari itu.

Sebuah lagi hadis Nabi saw bersabda kepada Sa’sa’ah r.a,

إذا كنت فى غنمك أوباديتك فأذنت للصلاة فارفع صوتك بالأذان فإنه لا يسمع صوت المؤذن إنس ولا جن إلا شهد له يوم القيامة

Maksudnya : Jika engkau berada di antara kambingmu atau ladangmu, lalu engkau azan untuk sembahyang maka kuatkanlah suaramu dengan kalimah azan. Sebab tidaklah mendengar suara orang yang azan itu oleh manusia dan Jin melainkan mereka akan menjadi saksi bagi orang yang azan itu pada hari Qiamat.

Wallahualam.

Saturday, March 12, 2011

Artikel Pluralisme Agama di Berita Harian

Berita Harian, tarikh 12.3.2011 ms/35

Selamat membaca.

Friday, March 11, 2011

Berubat dengan ayat-ayat Al-Quran


Dalam sebuah hadis riwayat Imam At-Tirmizi, Abu Daud dan Bukhari, Nabi saw bersabda,

عباد الله تداووا فإن الله لم يضع داء إلا وضع له شفاء غير داء واحد، قالوا
وما هو يا رسول الله ، قال الهرم


Maksudnya: “Wahai hamba Allah, berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit melainkan Allah meletak bersamanya penawar melainkan satu penyakit .Para sahabat bertanya “Apa dia ya Rasulullah?” Baginda menjawab “Tua”.

Daripada hadis ini dapat kita ketahui bahawa Islam memerintahkan umatnya supaya berubat daripada penyakit yang dihidapi.

Hukum berubat ada dua iaitu wajib dan harus. Pada orang awam ia menjadi wajib sekiranya seseorang itu tidak dapat menanggung kesakitan dan penyakitnya sudah sampai ketahap kritikal.

Namun ia menjadi harus sekiranya seseorang itu masih boleh menahan kesakitan serta dapat bersabar jika penyakitnya itu belum teruk.

Berubat dengan madu

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a memberitakan Rasulullah saw telah bersabda,

عليكم بالشفاءين : العسل والقرأن

Maksudnya : Lazimilah kamu menggunaan dua penyembuh iaitu madu dan Al-Quran. (HR Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis ini Nabi saw menyarankan kepada pesakit supaya berubat dengan dua perkara iaitu madu lebah dan Al-Quran. Jika manusia itu berubat dengan dua perkara ini bermakna mereka telah mengumpulkan dua kekuatan iaitu kekuatan di langit iaitu Al-Quran dan kekuatan di bumi iaitu madu lebah.

Sebagai seorang yang beriman tidak boleh sama sekali bersifat ragu-ragu dengan penyembuhan Al-Quran. Jika ragu-ragu Al-Quran boleh menyembuhkan penyakit, sama seperti meragu-ragukan kebenaran ayat-ayat Al-Quran.

Namun perlu diingat Al-Quran ialah penyembuh dan rahmat kepada mereka yang mengimaninya dan melaksanakan segala ajarannya.

Kelebihan membaca Yasin

Dalam sebuah hadis,

عن معقل بن يسار قال قال رسول الله (ص) : إقرءوا يس على موتاكم

Maksudnya : Daripada Ma’qal bin Yasar katanya, telah bersabda Rasulullah saw : Hendaklah kamu membacakan surah Yasin ke atas orang-orang (hendak) mati di kalangan kamu”

Surah Yasin disebut juga sebagai jantung Al-Quran sebagaimana hadis,

Daripada Anas r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda : Tiap-tiap sesuatu itu ada mempunyai jantung, dan jantung Al-Quran ialah ialah surah Yain. Barangsiapa yang membaca surah Yasin nescaya Allah SWT akan tuliskan baginya pahala membaca Al-Quran sebanyak sepuluh kali, tidak termasuk pahala membaca Yasiin.

Orang yang mendengar bacaan Yasiin turut mendapat kelebihan berdasarkan sabda Rasulullah saw,

عن عاءشة رضى الله عنها أن رسول الله (ص) قال : إن فى القرأن لسورة تشفع لقارئها وتغفر لمستمعها ألا وهى سورة يس


Maksudnya : Daripada Aisyah r.a bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda : Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu terdapat sebuah surah yang boleh memberi syafaat kepada orang yang membacanya dan mengampunkan dosa orang yang mendengar bacaannya. Ketahuilah ia adalah surah Yasin.

Orang yang membaca surah Yasin pada malam Jumaat akan mendapat keampunan Allah SWT pada pagi keesokkannya. Sabda Rasulullah saw,

ذكر الثعلبي عن أبي هريرة أن رسول الله (ص) قال : من قرأ سورة يس ليلة الجمعة أصبح مغفورا له

Maksudnya : Ath-Tha’labi menyebutkan daripada Abu Hurairah bahawasanya Nabi saw bersabda : Barangsiapa membaca surah Yasin pada malam JUmaat paginya dia mendapat keampunan Allah SWT.

Membaca Yasiin ketika menziarahi perkuburan juga adalah digalakkan berdasarkan hadis,

عن أنس أن رسول الله (ص) قال : من دخل المقبرة فقرأ سورة يس خفف العذاب عن أهلها ذلك اليوم وكان له بعدد فيها حسنات


Maksudnya : Daripada Anas bahawa Rasulullah saw bersabda : Barangsiapa masuk ke kawasan perkubura lalu membaca surah Yasin, nescaya diringankan seksa ahli kubur itu pada hari itu dan dia mendapat pula kebajikan sebanyak bilangan orang-orang yang berada di dalam perkuburan itu.

Bagi orang yang sakit kepala atau otak membaca Yasin mempunyai kelebihannya sebagaimana hadis,

أخرج إبن الضريس عن سعيد بن جبير رضى الله عنه أنه قرأ
على رجل مجنون سورة يس فبرئ


Maksudnya : Ibnu Adh-Dharis telah mengeluarkan sumber daripada Said bin Jubair r.a bahawa telah membacakan ke atas seorang lelaki yang sakit otak akan surah Yasin, tiba-tiba dia siuman (sembuh) (HR Ibnu Adh Dharis)

Wednesday, March 9, 2011

Kisah Khaulah yang curang


Tafsir Al-Quran
Surah An-Nur ayat 6-9


Firman Allah SWT,

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; (6)Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.(7)Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; -(8)Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.”(9) (An-Nur 006-009)

Huraian ayat

Ayat ke 6 menjelaskan sekiranya mana-mana suami yang melemparkan tuduhan zina ke atas isterinya sedangkan dia tidak boleh membawa 4 orang saksi kerana kesukaran untuk berbuat demikian maka hendaklah dia bersumpah di hadapan hakim sebanyak 4 kali bahawa tuduhan zina ke atas isterinya itu adalah benar. Cara sumpahnya ialah seperti berikut :

“Aku bersaksi dengan nama Allah bahawa tuduhan zina ke atas isteriku itu adalah benar”.

Pada ayat ke tujuh Allah SWT berfirman,

“Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta”

Maksudnya pada sumpah kelima hendaklah suami melaknat dirinya sekiranya dia berbohong. Contoh sumpah laknat,

“Demi Allah, sesungguhnya laknat Allah akan menimpa diriku jika aku berdusta dalam membuat tuduhan zina terhadap isteriku”.

Hikmah diadakan peraturan seperti ini ialah untuk mengelakkan suami dari dikenakan hukuman qadzaf.

Pada ayat ke 8,

“Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta”

Berdasarkan ayat ini, jika si isteri mahu menafikan tuduhan zina yang dibuat oleh suaminya maka hendaklah dia turut bersumpah sebanyak kali 4 kali di hadapan Hakim seperti berikut,

“Aku bersaksi dengan nama Allah bahawa tuduhan zina yang dibuat oleh suamiku ke atasku adalah dusta”.

Pada ayat ke 9 Allah SWT berfirman,

“Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.”

Maknanya pada sumpah kelima hendaklah si isteri melaknat dirinya sekiranya dia berbohong. Contoh sumpah laknat isteri,

“Demi Allah, sesungguhnya laknat Allah akan menimpa diriku jika tuduhan suamiku itu adalah benar ”.

Dengan lafaz sumpah seperti ini maka terlepaslah isteri itu daripada hukuman rejam sampai mati. Dan kesan daripada sumpah kedua-dua belah pihak ialah suami dan isteri terpisah serta merta. Suami juga tidak boleh berkahwin dengan bekas isterinya itu buat selama-lamanya.

Sebab turun ayat

Seperti yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas yang mafhumnya,

Ada seorang sahabat yang bernama 'Uwainir al-‘Ajlani yang telah melemparkan tuduhan zina ke atas isterinya yang bernama Khaulah. Dia mendakwa Khaulah telah berlaku curang apabila berzina dengan seorang lelaki yang bernama Syuraik.

Kes ini telah di bawa kepada Rasulullah saw . Justeru Nabi saw telah memanggil kedua suami isteri di masjid. Selepas sahaja selesai menunaikan solat Asar maka Nabi saw bersabda kepada 'Uwainir,

"Berdirilah engkau dan ucapkanlah: Aku bersaksi di hadapan Allah bahwa si Khaulah (isteriku) telah berzina, dan tuduhanku ini adalah benar."

'Uwaiir mengulangi perkataan yang Nabi saw katakan itu dengan tegas.

Nabi saw bersabda lagi : "Katakanlah olehmu, Aku bersaksi di hadapan Allah bahawa saya melihat sendiri lelaki yang bernama Syuraik telah tidur di atas perutnya, dan aku berkata benar."

Ucapan itu pun dikatakan dengan tegas oleh 'Uwainir.

Lalu Nabi saw bersabda lagi: "Katakanlah, Aku bersaksi di hadapan Allah bahawa Khaulah mengandung hasil dari hubungan dengan lelaki lain, bukan kerana hubungan denganku. Dan aku berada di pihak yang benar."

Dan 'Uwainir mengucapkan perkataan yang diajar oleh Rasulullah saw itu dengan tegas.

Nabi saw melanjutkan pula: "Katakanlah, Aku bersaksi di hadapan Allah bahwa Khaulah telah berzina, dan aku tidak pernah mencampurinya sejak 4 bulan, dan aku berkata benar."

Perkataan ini pun diucapkan oleh 'Uwainir dengan tegas.

Kemudian Nabi saw berkata: "Katakanlah : Laknat Allah akan jatuh ke atas diri 'Uwainir (dirinya sendiri), kalaulah aku berkata dusta."

Setelah selesai 'Uwainir mengulangi perkataan yang diajar oleh Nabi itu saw satu persatu, maka Nabi pun bersabda kepadanya,

"Sekarang duduklah!"

'Uwainir pun duduk.

"Sekarang, giliran engkau pula berdiri!", kata Nabi saw kepada Khaulah.

Lalu Khaulah pun berdiri dan diajar oleh Nabi saw kepadanya ucapan-ucapan yang pertama,

"Aku bersaksi di hadapan Allah bahwa aku tidak berzina, dan suami saya tidak pernah melihat si Syuraik tidur di atas perut ku. Percakapan suamiku itu adalah dusta." Memang 'Uwainir adalah bercakap dusta!"

Khaulah mengulang kata-kata yang diajar oleh Nabi saw dengan tegas.

Ucapan yang kedua,

"Aku bersaksi di hadapan Allah, bahawa dia tidak pemah melihat si Syuraik tidur di atas perutku."

Khaulah pun mengulang kata-kata yang diajar oleh Nabi saw ini dengan tegas.

Ucapan ketiga,

"Aku bersaksi di hadapan Allah, bahawa aku mengandung ini adalah hasil dari hubungan dengan suamiku sendiri. Tuduhannya yang mengatakan aku mengandung hasil hubungan dengan lelaki lain adalah dusta."

Khaulah mengulang kata-kata Nabi saw.

Ucapan keempat,

"Aku bersaksi di hadapan Allah, bahwa suami aku tidaklah pernah melihat aku melakukan kejahatan. Segala tuduhannya itu adalah dusta."

Khaulah turut mengulangi kata-kata ini.

Ucapan kelima,

"Kemurkaan Allah akan menimpa Khaulah (dirinya sendiri), kalau tuduhan 'Uwainir itu benar."

Menurut riwayat ketika Khaulah hendak mengucapkan sumpahnya pada kali kelima, dia diberitahu bahawa azab Allah akan menimpanya jika dia berbohong. Peringatan ini menyebabkan dia teragak-agak dan hampir hendak mengaku akan kesalahannya.

Tiba-tiba dia berubah fikiran lalu berkata,

“Aku sama sekali tidak akan memalukan kaumku”.

Setelah selesai saling laknat melaknat, maka Nabi saw memisahkan pasangan suami isteri ini dan melarang anak yang dikandungkan oleh Khaulah dinasabkan kepada 'Uwainir.

Khaulah juga tidak berhak untuk mendapat tempat tinggal dan nafkah daripada suaminya kerana perpisahan ini terjadi tanpa talak dan tanpa kematian suami.

Seterusnya Nabi saw bersabda kepada para sahabat yang mafhumnya jika Khaulah melahirkan anak rupanya hitam manis, matanya besar bersangatan hitam biji matanya dan besar pula punggungnya, maka 'Uwainir adalah di pihak yang benar. Tetapi sekiranya Khaulah melahirkan anak yang rupanya kemerah-merahan lagi tersangat pendek maka 'Uwainirlah yang berdusta. Tidak lama selepas itu Khaulah melahirkan anak yang rupanya sama seperti yang dimaksudkan oleh Nabi saw yang menujukkan bahawa 'Uwainir berada di pihak yang benar.

Wallahualam.

Sunday, March 6, 2011

Mari perhatikan surah An-Nur ayat 23

Tafsir Al-Quran
Surah An-Nur ayat 23


Firman Allah SWT,

Sesungguhnya orang-orang menuduh perempuan-perempuan yang baik-baik (yang lengah) lagi beriman (berbuat zina), mereka kena laknat di dunia dan di akhirat, dan bagi mereka azab yang besar( 23)

Mukaddimah

Dalam artikel sebelum ini telah dijelaskan tentang hukuman qadzaf, iaitu mereka yang membuat tuduhan zina ke atas perempuan yang baik lagi solehah, sekiranya gagal membawa 4 orang saksi yang adil mereka bakal menerima hukuman sebat sebanyak 80 kali sebatan.

Dalam ayat 5 surah An-Nur menjelaskan, sekiranya mereka bertaubat, Allah SWT akan mengampuni dosa dan kesalahan mereka.

Huraian ayat 23

Namun pengampunan Allah SWT itu ada pengecualiannya sepertimana yang diterangkan dalam surah An-Nur ayat 23.

"...mereka kena laknat di dunia dan di akhirat, dan bagi mereka azab yang besar"

Ayat ini diturunkan khusus dengan satu peristiwa di mana Saidatina Aisyah telah dituduh melakukan perbuatan curang dengan sahabat yang bernama Safwan bin Al-Mu’attol. Tuduhan fitnah ini dibuat oleh ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul.

Tuduhan ini cukup berat untuk ditanggung oleh Rasulullah saw dan keluarganya. Kerana ia lebih kepada serangan untuk memalu dan menjatuhkan reputasi Rasulullah saw, mencemarkan maruah isteri baginda dan boleh menggoncang keimanan umat Islam. Hampir-hampir umat Islam berbalah kerana fitnah ini. Maka dengan sebab itulah tiada pengampunan ke atas orang yang membuat tuduhan fitnah ini.

Kalau dirujuk dalam kitab-kitab hadis soheh yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, kisah ini bermula ketika Rasulullah saw dan tentera Islam dalam perjalanan mahu pulang ke Madinah setelah selesai dalam satu misi ketenteraan dengan Bani Mustaliq.

Ketika itu Saidatina Aisyah telah keluar dari tempat penginapannya yang disediakan khas di atas unta untuk menunaikan sesuatu hajat. Apabila dia kembali ke penginapannya, dia menyedari bahawa kalungnya telah tercicir. Lalu beliau keluar sekali lagi untuk mencari kalungnya.

Apabila pulang, di dapati rombongan tentera Islam telah berangkat meninggalkannya. Maka tinggallah Saidatina Aisyah keseorangan menunggu sehingga tertidur dengan harapan mudah-mudahan akan ada orang yang menyedari kehilangannya lalu kembali semula mencarinya.

Kebetulan pada masa itu muncul seorang sahabat iaitu Safwan bin Mu’attol yang ditugaskan oleh Rasulullah saw untuk memeriksa apa-apa barang kepunyaan tentera Islam yang tertinggal di belakang. Apabila Safwan melihat Saidatina ‘Aisyah, beliau mempelawa Aisyah menunggang untanya sambil beliau berjalan kaki untuk pulang ke Madinah.

Apabila mereka berdua sampai di Madinah, Abdullah bin Ubai bin Salul yang mempunyai dendam dengan Rasulullah saw telah menabur fitnah kononnya Saidatina Aisyah telah melakukan perbuatan curang dengan Sofwan bin Al-Mu’attol. Fitnah ini disebarkan dari mulut-kemulut sehingga ada di kalangan umat Islam termakan dengan fitnah tersebut. Rasulullah saw berharap agar wahyu turun dengan segera untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.

Sebulan selepas peristiwa itu turun ayat Al-Quran surah An-Nur ayat 11-23 yang membersihkan Saidatina Aisyah dari tuduhan curang. Pada ayat 23 Allah SWT dengan tegas melaknat orang yang membuat tuduhan ini dan di akhirat dia dijanjikan azab yang besar (dahsyat).

Dalam surah Al-Ahzab ayat 57, Allah ulangi kutukannya ke atas orang yang menyakiti Rasulullah saw,

"Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan RasulNya mereka itu dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat dan disediakan bagi mereka seksa yang mendatangkan kehinaan".

Juga disebut dalam hadis sahih Bukhari, apabila Abdullah bin Ubai bin Salul meninggal dunia, datanglah anaknya menemui Rasulullah saw meminta jubah baginda untuk dijadikan kain kafan. Anaknya juga meminta Rasulullah saw menyembahyangkan jenazah bapanya. Permintaan ini diperkenankan oleh Rasulullah saw namun dibantah oleh Saidina Umar bin al-Khattab.

Kemudian turun ayat Al-Quran surah At-Taubah ayat 84,

"Dan janganlah engkau sembahyangkan mayat seseorang daripada mereka yang telah mati untuk selama-lamanya, dan janganlah engkau berdiri di atas kuburnya. Sesungguhnya mereka itu telah kufur kepada Allah SWT dan RasulNya dan mereka sedang mereka dalam keadaan fasik (jahat)".

Selepas turun ayat ini, Nabi saw tidak pernah menyembahyangkan mayat orang-orang munafik dan tidak pula berdiri di atas kubur mereka. Kesimpulannya jelas, tidak ada kontradik antara surah An-Nur ayat 4-5 dengan surah yang sama pada ayat 23.

Nabi saw pernah memberitahu senarai orang-orang munafik kepada seorang sahabat yang bernama Huzaifah al-Yamani. Kata Huzaifah,

"Banyak orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang pahala dan fadilah-fadilah amalan, tetapi aku bertanya Rasulullah apa yang merusakkan amalan itu."

Di zaman pemerintahan Saidina Omar bin al-Khattab, beliau akan melihat Huzaifah jika dijemput untuk menuanaikan solat jenazah di kalangan rakyatnya yang meninggal dunia. Ini kerana Huzaifah Al-Yamani mempunyai pengetahuan siapa yang munafik dan siapa yang tidak di kalangan rakyat ketika itu.

Wallahualam.

Tuesday, March 1, 2011

Ikut Nabi bukti cinta

Artikel saya hari ini disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia, ruangan Mega Agama ms 24

Firman Allah SWT,

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Ali-‘Imran : 31)

Berdasarkan ayat di atas, syarat untuk dikasihi Allah SWT serta mendapat pengampunan daripada-Nya hendaklah menyintai Rasulullah saw serta mengikut ajaran yang disampaikan oleh baginda dengan sepenuhnya. Jangan sekali-kali menidakkan ajaran baginda, baik yang berupa suruhan mahu pun larangan.

Firman Allah SWT,

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (Al-Hashr : 7)

Rasulullah saw meninggalkan dua perkara iatu al-Quran dan hadis kepada umatnya sebagai rujukan. Selagi dua perkara itu dipegang dan dijadikan pedoman hidup, selagi itulah umat Islam tidak akan sesat selama-lamanya.

Sabda Rasulullah saw,

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya kamu tidak akan sesat, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan al-Sunnah Rasul-Nya”.(Hadis riwayat Malik)

Menyintai Allah dan Rasul hendaklah diutamakan daripada perasaan cinta dan kasih kepada yang lain. Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya,

“Katakanlah jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta kekayaan yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya dan Allah tidak memberi pertunjuk kepada orang-orang fasik”. (At-Taubah : 24)

Justeru, mereka yang lebih mengutamakan perasaan cinta kepada bapa, cinta kepada anak, isteri, keluarga, harta, perniagaan dan tempat tinggal (rumah) melebihi daripada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, golongan ini bakal mendapat seksaan yang amat pedih sama ada cepat atau lambat, di dunia mahu pun di akhirat. Tegasnya, jika diletakkan antara kepentingan agama dan kepentingan dunia maka hendaklah diutamakan kepentingan agama dari segala-galanya.

Pernah suatu ketika Saidina Omar bin al-Khattab r.a berkata kepada Rasulullah saw,

“Ya Rasulullah yang paling aku cintai dari segala sesuatu selain diriku sendiri”.

Maka Rasulullah saw bersabda,

“ Tidak ! demi Allah yang menguasai jiwaku, sehingga aku lebih engkau cintai melebihi daripada dirimu sendiri”.

Lalu berkata Saidina Omar,

“ Maka sesungguhnya engkau sekarang demi Allah, lebih aku cintai daripada diriku sendiri”.

Nabi saw bersabda,

“Sekarang wahai Omar, barulah benar kecintaanmu”.

Menyintai Rasulullah saw bukanlah hanya dengan kata-kata dan slogan semata-mata, namun hendaklah dibuktikan dengan kepatuhan terhadap segala ajaran yang disampaikan oleh baginda. Kewajipan mentaati baginda saw dijelaskan dalam al-Quran,

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”. (An-Nisaa’ : 59)

Maksud mentaati Allah dalam ayat di atas ialah mengamalkan isi kandungan al-Quran, manakala maksud mentaati Rasul pula ialah menjadikan segala ajaran baginda yang berupa hadis dan sunnah sebagai panduan. Sedangkan mentaati Ulil Amri bererti mematuhi pemimpin yang mengetuai urusan kaum muslimin selagi mereka tidak menyeru kepada maksiat dan juga kemungkaran.

Firman-Nya lagi,

“Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan)”. (An-Nisaa’ : 80)

Ayat ini menegaskan, tunduk dan patuh kepada setiap perintah Rasul yang berupa peraturan dan syariat bererti tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Ringkasnya, mengingkari Rasul bererti mengengkari Allah SWT kerana pada hakikatnya yang memerintah dan yang menegah itu sebenarnya datang daripada Allah SWT. Setiap syariat dan peraturan yang disampaikan kepada umatnya, bukan direka-reka atau dicipta menurut kehendak dan nafsu baginda.

Firman Allah SWT,

“Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”. (An-Najm : 3-4)

Rasulullah saw seorang yang amanah, sangat dipercayai, tidak pernah berdusta, berbohong apatah lagi berlaku khianat kepada umatnya. Setiap wahyu yang diturunkan kepada baginda akan disampaikan pula kepada umatnya secara luhur. Sepatah ayat pun tidak disembunyi atau dirahsiakan dari pengetahuan umatnya. Inilah yang dinyatakan dalam al-Quran,

“Tugasku menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah yang diutuskan oleh Tuhanku dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah bagi kamu”. (Al-A'raf : 68)

Banyak kelebihan yang Allah SWT kurniakan ke atas mereka yang menyintai dan mentaati Rasulullah saw. Antaranya sebagaimana firman Allah SWT,

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)”.(An-Nisaa’ : 69)

Menurut riwayat At-Tabrani dan Ibnu Mardawaih dari Saidatina Aisyah (r.a) berkata,

Seorang lelaki telah mendatangi Nabi saw lalu berkata : “Ya Rasulullah, sesungguhnya tuanlah yang sangat saya kasihi melebihi dari diri sendiri dan anak juga anak saya. Sekiranya saya mengingat-ingat tuan di rumah, tidak tertahan rasanya untuk mendatangi dan melihat tuan. Dan jika teringat kematian dan kewafatan tuan nanti, sedarlah saya kalau tuan memasuki syurga, tentulah syurga tuan sedarjat para Nabi, sedangkan saya kalau masuk ke syurga saya takut tidak dapat lagi melihat tuan”

Tidak lama selepas itu turunlah ayat di atas di mana Tuhan menjanjikan kepada orang-orang yang mentaati Allah dan juga Rasul, mereka bakal mendiami syurga bersama para Nabi, orang-orang Siddiqiin, para Syuhada’ dan juga orang-orang yang soleh di akhirat kelak.

Wallahualam


"Ya Allah jika adalah pahalanya aku menulis artikel ini, sampaikanlah pahala itu kepada arwah ayahandaku, arwah nendaku, ibuku, kaum kerabatku, guru-guruku, jiran-jiranku dan sahabat handaiku.."