Saturday, April 30, 2011

Anjuran berwasiat

Semoga rohnya dicucuri rahmat

Sabda Rasulullah saw,

وفي لفظ : عادنى رسول الله (ص) فى مرضي فقال : أوصيت ؟ قلت نعم , قال : بكم ؟ قال : بما لي كله في سبيل الله . قال : فما تركت لولدك ؟ قلت : هم أغنياء, قال : أوص بالعشر , فما زال يقول , وأقول, حتى قال : أوص بلثلث والثلث كثير أو كبير


Maksudnya : Dalam satu lafaz dikatakan : Rasulullah saw menziarahi aku ketika aku dalam keadaan sakit, lalu baginda bertanya: “Apakah engkau sudah berwasiat ? Aku menjawab: Sudah. Rasulullah saw bertanya lagi : “Berapa ?”. Aku menjawab : Seemua hartaku diwasiatkan ke fi sabilillah, Nabi saw bertanya lagi : “ Lalu apa yang engkau tinggalkan untuk anak-anakmu?”. Aku menjawab : Mereka adalah orang-orang kaya. Lalu baginda pun bersabda, “Wasiatkanlah satu persepuluh. Kalimah itu diulang-ulang dan aku aku pula berulang-ulang mengatakan semua sehinggalah baginda bersabda: “Wasiatkanlah satu pertiga kerana satu pertiga itu sudah cukup banyak atau besar”. (HR Nasaei dan Imam Ahmad).

Huraian Hadis

Hadis ini menganjurkan supaya umat Islam berwasiat sebelum meninggal dunia. Hukum berwasiat adalah sunat dan jumlah harta yang diwasiatkan itu hendaklah tidak melebihi satu pertiga. Pahala bersedekah melalui wasiat sangat besar dan akan berterusan diperolehi si mati sampai hari Qiamat.

Sabda Rasulullah saw,

“Apabila mati anak Adam, maka akan terputuslah segala pahala amalannya melainkan tiga amalan iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hikmah di suruh berwasiat

Apabila seseorang itu sudah meninggal dunia, hartanya akan difaraidkan kepada waris-waris yang ada. Setelah mendapat bahagian masing-masing, mereka semuanya akan membawa haluan sendiri sehingga mungkin di kalangan mereka terlupa untuk menyedekahkan Al-Fatihah atau mendokan kebaikan untuk si mati.

Sebab itulah Rasulullah saw bersabda,

“Orang yang malang adalah orang yang tidak sempat berwasiat”. (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru tulislah wasiat amal jariah dan beritahu kepada waris-waris seperti anak atau isteri wasiat tersebut. Sebagai contoh :

1. Bila abang sudah meninggal dunia nanti, sebelum faraidkan duit KWSP, keluarkan RM 1000.00 dan sedekahkan kepada anak-anak yatim.

2. Bila abang sudah meninggal dunia nanti keluarkan satu pertiga daripada duit simpanan ASB abang, dan belikan Al-Quran untuk disedekahkan kepada mana-mana masjid dan surau.

Orang Islam yang membuat wasiat sebelum mati adalah orang yang beruntung dan matinya di atas jalan yang benar. Sabda Rasulullah saw,

“Barangsiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan ini dan sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan”. (Riwayat Ibnu Majah)

Mewasiatkan harta kepada anak angkat

Ramai yang membela anak angkat. Kadang-kadang anak angkat lebih disayangi berbanding anak sendiri kerana sikap mereka yang mengambil berat dan pandai menjaga hati kedua ibubapa aangkatnya.

Dalam Islam, anak angkat tidak layak mewarisi harta pusaka. Justeru jalan penyelesaiannya ibu bapa angkat janganlah lupa untuk mewasiatkan sedikit harta (tidak melebihi satu pertiga ) kepada anak angkat sebelum meninggal dunia. Hikmahnya untuk memnjaga kebajikan anak angkat supaya tidak tersisih bersama adik beradik yang lain.

Wasiat bukan Islam kepada Islam atau sebaliknya

Wasiat bukan Islam kepada kepada orang Islam dan sebaliknya adalah harus pada syarak. Dengan itu adalah sah pemberian harta yang diwasiat oleh seseorang bapa / ibu yang bukan Islam kepada anaknya yang Islam. Kecuali didalam hukum pusaka mempusakai maka tiada harus bagi anak yang Islam menerima pusaka daripada bapa/ ibunya atau lain-lain pewarisan yang bukan Islam begitu juga sebaliknya kerana berlainan agama.



Wallahualam.

Friday, April 29, 2011

Sumpah laknat Dato' Eskay : kenangan buat sahabat

Saya betul-betul teruja apabila melihat kelibat seorang sahabat dalam majlis sumpah laknat Dato' Eskay di Malaysiakini.

Namanya Ust Hj Syamsul Firdaus bin Haji Supri. Kami berdua sangat rapat sejak dibangku SMKA SHAMS lagi. Jarak usia antara kami hanyalah dua tahun (saya senior). Rumah ibu bapanya di Bukit Temiang Seremban.

Semasa di SMKA SHAMS, beliau berbakat besar sebagai pemidato Bahasa Arab. Apabila beliau tinggal di asrama, saya adalah 'mentornya' tempat merujuk segala permasalahan. Justeru segala pahit, manis dan kisah dukanya di SMKA SHAMS masih kemas dalam simpanan saya.

Ust Hj Syamsul sedang menyampaikan tazkirah

Kami berpisah apabila saya melanjutkan pengajian ke UKM. Manakala Ust Hj Syamsul Firdaus pula menyambung pengajiannya di Ma'had Tahfiz Pusat Islam Kuala Lumpur, peringkat Diploma.

Tiga tahun kemudian, beliau menyambung pengajian di Jordan dalam bidang Syariah. Apabila balik ke Malaysia, Ust Hj Syamsul bekerja sebagai Imam di Masjid Saidina Omar Damansara.

Sekali sekala saya akan menjemput beliau menyampaikan khutbah Jumaat atau tazkirah di Surau Kolej Tuanku Jaafar.

Ketika Masjid Qaryah Sikamat di awal pembinaan, saya mencadangkan kepadanya supaya mencuba nasib memohon menjadi Imam Besar.

Kata Ust Hj Syamsul,

"Belum masanya lagi..., lagi pun Masjid Sikamat itu hanya bertaraf 'Qaryah' sahaja berbanding dengan Masjid di mana ana bertugas sekarang".

Sama seperti saya, Ust Hj Syamsul berkahwin dengan orang Sekinchan. Isterinya dan isteri saya adalah rakan persekolahan di Sabak Bernam. Sebagai sahabat karib, saya dan isteri hadir ke majlis kenduri perkahwinannya di Bukit Temiang dan juga Sekinchan.

Jika kami balik beraya di Sekinchan, Ust Hj Syamsul akan menghubungi saya untuk datang singgah ke rumah mertua.

Sudah menjadi kebiasaan apabila bertemu, kami akan berbual panjang sehinggalah anak kecilnya merengek mahu pulang.

Ust Hj Syamsul Firdaus seorang aktivis Parti Keadilan Rakyat dan penyokong 'tegar' Dato Sri Anwar Ibrahim.

Di awal gerakan reformasi 1998, kami pernah satu kereta ke Markaz PAS Taman Melewar bagi menghadiri majlis Pelancaran GERAK. Kalau tidak silap, Ust Hj Syamsul pernah menjadi salah seorang Exco Pemuda PKN bahagian Wilayah Persekutuan.

Tiga tahun lepas Ust Hj Syamsul dipecat sebagai Imam Masjid Damansara kerana di dakwa membaca khutbah Jumaat berbau politik.

Selepas di pecat, Ust Hj Syamsul bertugas sebagai Pegawai Khas YB Yaacob Sapari, Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Ust Hj Syamsul pernah menjemput saya untuk menjadi salah seorang ahli panel Forum Perdana anjuran Parti Keadilan Rakyat, namun saya menolak.

Kata saya padanya,

"Siapalah ana...".

Saya pernah bertanya kepadanya secara peribadi,

"Apa cita-cita politik anta ?"

"Ana mahu bertanding sebagai calon di DUN Sikamat dalam PRU 13 nanti. Itu pun bergantung kepada restu Dato' Seri Anwar dan Kak Wan", katanya tegas.

Dua hari lepas saya menghantar sms kepadanya,

"Apa komen anta tentang video itu ?".

Tidak sampai seminit dia membalas sms saya,

"Senang aja, ikut Al-Quran surah An-Nur ayat 4 dan ayat 13. Video itu bohong !".

Demikianlah serba sedikit pengenalan sahabat saya yang bernama Ust Hj Syamsul Firdaus Hj Supri.

Kepada beliau, saya ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya dalam Politik !

Monday, April 25, 2011

Al-Quran didik manusia berfikir cari kebenaran

Oleh Mohd Hishamuddin Mansor
Berita Harian
2011/04/23


MUKJIZAT al-Quran sungguh berbeza dengan mukjizat Rasulullah SAW yang lain kerana mukjizat itu hanya boleh disaksikan mereka yang hidup pada zaman Baginda saja sedangkan mukjizat al-Quran boleh dilihat sehingga ke akhir zaman.

Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia tersembunyi dan hikmah yang boleh diselidiki dan diterokai manusia bagi mencari kebenaran sehingga ke hari kiamat.
Membaca al-Quran serta bertadabbur dengannya menjadikan hati keras bertukar lembut. Ramai tokoh menolak Islam akhirnya beriman kepada Allah selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.

Contohnya, Saidina Umar al-Khattab pada zaman Rasulullah SAW, manakala pada zaman moden pula ialah Malcolm X, Mike Tyson dan ramai lagi.

Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril dalam dua peringkat. Pertama, al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz (langit ketujuh) ke Baitul Izzah (di langit dunia) pada malam Lailatul Qadar iaitu malam penuh keberkatan pada Ramadan.

Peringkat kedua, al-Quran diturunkan dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun. Oleh kerana Allah menurunkan al-Quran, maka Dia berhak memelihara kesucian kitab ini daripada dicemari pengubahsuaian manusia.

Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

Buktinya dari dulu hingga sekarang dan sampai hari kiamat, tidak ada seorang manusia yang sanggup mencipta satu ayat setanding al-Quran. Sedangkan jika dilihat dari sudut sejarah ketika al-Quran diturunkan, masyarakat Arab jahiliah mahir mengarang sajak serta bersyair.

Mereka tidak mampu membuat satu ayat setanding al-Quran. Maka benarlah firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu ada menaruh syak mengenai apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 23-24)

Berdasarkan ayat ini, jika manusia masih berdegil dan tidak mahu beriman dengan apa yang terkandung dalam al-Quran maka bersiap sedialah dengan azab neraka di akhirat kelak.

Dalam al-Quran, banyak ayat menggesa manusia berfikir dan merenung alam ciptaan-Nya, sama ada di langit mahu pun di bumi serta mengkaji keindahan ciptaan Allah paling dekat dengan diri iaitu penciptaan jasad mereka yang unik.

Sebenarnya pada diri manusia itu ada tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka berakal saja dapat memahami hakikat itu.

Firman Allah bermaksud: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil dan bukti itu)?” (Surah az-Zariyat, ayat 21)

Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Perhatikan lidah untuk berkata-kata turut berperanan sebagai deria rasa membolehkan manusia menikmati pelbagai juadah makanan.

Di kanan dan kiri kepala manusia pula dicipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga ada sepasang mata untuk melihat. Tanpa ketiga-tiga pancaindera ini sukar manusia menguruskan kehidupan harian. Justeru, patutkah manusia mengingkari Allah Tuhan yang Mencipta?

Allah mencela orang yang tidak mahu menggunakan akal untuk mencari Tuhan dalam firman bermaksud: “Dan berapa banyak tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 105)

Mereka diberikan petunjuk tetapi masih melakukan penderhakaan kepada Tuhan Yang Maha Pencipta, diumpama seperti binatang ternak, malah lebih sesat daripada itu. Hal ini disebut dalam al-Quran.

Allah berfirman bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami (Allah) akan isikan neraka Jahanam itu sebahagian daripada golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunayi telinga, tetapi tidak mahu mendengar (ayat dan nasihat Allah). Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A'raf, ayat 179)

Allah juga mengeji golongan yang hanya mengikut apa saja tradisi diwarisi daripada nenek moyang sehingga berterusan sesat dalam kegelapan jahiliah.

Firman-Nya bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka, turutlah akan apa yang diturunkan oleh Allah. Mereka menjawab: (Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada Allah)?” (Surah al-Baqarah, ayat 170)

Manusia sangat memerlukan hidayah Allah. Melalui pembacaan, pemahaman dan kajian terhadap al-Quran, mereka akan kenal siapa diri mereka yang sebenar dan tahu Tuhan layak disembah.

Mereka juga akan merasai kehadiran Allah Pemilik Semesta Alam. Bagi yang tidak membaca dan mengkaji al-Quran, sudah tentu tidak dapat merasai kehebatan mukjizat kalam Allah ini. Dengan kata lain, mereka akan terus teraba-raba dalam kesesatan serta kegelapan.

Penulis ialah Ketua Jabatan Pendidikan Islam, Kolej Tuanku Jaafar Mantin, Negeri Sembilan

Friday, April 22, 2011

ALFATIHAH - BAPA MERTUA SAYA MENINGGAL DUNIA

Pukul 1.24 pagi tadi saya menerima panggilan telefon dari Kg. Sg Leman Sekinchan Selangor memaklumkan bapa mertua saya Haji Abdul Rahman bin Omar telah kembali kerahmatullah.

Saya dan sekeluarga akan berada di Sekinchan, mungkin dalam tempoh beberapa hari.

Wednesday, April 20, 2011

Matahari, bulan panduan umat Islam beribadat


Oleh Mohd Hishamuddin Mansor
Berita Harian 2011/04/09


KEJADIAN matahari adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Ilahi yang terpenting di alam ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (sebahagian dari dalil yang itu ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya, itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yasin, ayat 38)

Daripada ayat ini dapat difahami matahari itu beredar di atas paksinya dengan ketetapan Allah SWT yang kemas tanpa cacat dan huru hara. Matahari tidak pernah mengingkari perintah Tuhan dalam melaksanakan tugasnya serta sentiasa akur beredar di atas paksinya.

Kejadian matahari memberi manfaat dan faedah kepada semua makhluk di bumi hasil daripada cahayanya. Andai kata matahari tidak menyinarkan cahayanya, sudah tentu memberi kesukaran kepada makhluk di bumi ini menjalani kehidupan masing-masing.

Disebabkan cahayanya, binatang menjadi ceria manakala burung pula bersiul sambil bertasbih memuji Allah SWT.

Melalui sinar cahaya matahari juga tanaman dapat hidup subur. Pohon dan bunga dapat tumbuh sekali gus mengindahkan pemandangan bumi. Manusia pula dapat menikmati hasil daripada buah-buahan yang masak dan ranum sebagai makanan yang berkhasiat.

Matahari menyedut air di laut dan sungai lalu terbentuknya awan. Apabila awan menjadi berat, ia pecah lalu menitiskan hujan. Dengan kejadian hujan yang menyirami bumi, tumbuhan dapat membesar dengan sempurna. Sebahagiannya menjadi punca rezeki manusia. Justeru, tidak layak manusia bersyukur melainkan kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki.

Manusia amat memerlukan matahari sebagai pelita yang menyinari kehidupan mereka di dunia. Tanpa matahari mustahil mereka dapat menjalankan tugas mereka di bumi dalam keadaan selesa dan sempurna.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah, bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat, tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?” (Surah al-Qasas , ayat 71)

Sementara itu, bulan pula adalah satu jirim yang mana permukaannya berbatu batan dan berbentuk bulat. Permukaannya sejuk melainkan permukaan yang bertentangan dengan matahari. Ia berpusing atau beredar pada tempat peredarannya (manzilah).

Allah SWT menjelaskan pergerakan bulan yang berada tetap di paksinya mengelilingi bumi bertujuan untuk memberi faedah kepada manusia mengetahui bilangan hari, bulan, musim dan tahun.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.

“Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya)”. (Surah Yunus, ayat 5)

Bagi golongan beriman, mereka boleh mengetahui masa beribadat seperti waktu solat, berpuasa Ramadan dan menunaikan fardu haji di Baitullah. Dalam urusan muamalat pula mereka boleh menetapkan tempoh untuk urusan sewa menyewa, gadaian, upah dan pelbagai lagi.

Selain itu Allah SWT juga menjelaskan perbezaan di antara cahaya matahari dan bulan. Hal ini diterangkan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang)”. (Surah Nuh, ayat 16)

Jika diperhatikan dalam al-Quran, Allah SWT sentiasa menyifatkan matahari sebagai lampu (pelita) yang bersinar, sedangkan bulan disifatkan-Nya sebagai cahaya. Apakah perbezaan di antara kedua-duanya ?

Kemajuan sains mendapati cahaya matahari datang daripada zat matahari itu sendiri. Oleh itu ia menjadi lampu atau pelita yang bersinar. Sedangkan bulan tidak, ia hanya menerima cahaya daripada matahari kemudian memantulkannya pula ke bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?” (Surah an-Nabaa, ayat 13)

Walaupun cahaya bulan tidak setanding dengan cahaya matahari tetapi ia tetap mengasyikkan mata memandang terutama ketika di bulan purnama. Memandang bulan yang indah memberi kerehatan dan ketenangan pada fikiran juga minda manusia.

Kesimpulannya kita hendaklah merasa bersyukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat matahari dan bulan yang dikurniakan-Nya.

Dipetik daripada buku, Alam Cakerawala Bukti Kekuasaan Allah SWT, Sempena Konvensyen Falak Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada 26-27 Mac 2011.

Tuesday, April 19, 2011

Sesuatu itu dijadikan mengikut ukurannya

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Qamar ayat 49


Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran”. (Al-Qamar 049)

Huraian ayat

Ayat ini menjelaskan bahawa segala ciptaan Allah SWT baik di langit dan di bumi telah ditetapkan kadar atau kesesuaiannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Jika kadar itu terlebih atau terkurang, nescaya akan binasalah dunia ini dan segala makhluk yang wujud di dalamnya.

Berikut ialah beberapa contoh kejadian setiap sesuatu berdasarkan ukuran yang telah ditetapkan Allah SWT.

Pertama : - Allah SWT telah menetapkan jarak antara matahari dan bumi. Jarak tersebut adalah amat sesuai dan tepat. Sekiranya matahari itu berada lebih dekat daripada kedudukannya sekarang, tentulah bumi akan menjadi bertambah panas. Ini akan mengakibatkan berlakunya pencairan ke atas gunung-gunung air batu di kutub utara dan selatan. Sekiranya ia berlaku dunia akan karam dengan sebab pertambahan air di lautan.

Kedua : - Jika jarak bumi ini jauh daripada matahari sekali ganda daripada yang ada sekarang nescaya berkuranganlah kepanasan yang sampai ke permukaan bumi ini dan bumi pula terpaksa mengambil masa yang lebih panjang untuk mengelilingi matahari. Ekoran daripada itu akan menjadi panjanglah musim sejuk sehingga mengakibatkan benda-benda yang hidup dan cair di permukaan bumi akan sejuk serta membeku.

Ketiga : - Allah SWT telah menetapkan kadar oksigen yang tepat dan sesuai di muka bumi ini. Sekiranya nisbah oksigen yang ada di bumi ini berubah kepada 50 peratus menggantikan 21 peratus yang ada sekarang nescaya semua benda yang terdapat di bumi ini akan terbakar.

Keempat : - Allah SWT juga telah menetapkan kadar hujan yang turun di bumi. Tidak terlalu sedikit sehingga tidak mencukupi untuk keperluan makhluk di bumi dan juga tidak terlalu berlebihan sehingga mungkin menjadikan bumi ini karam seluruhnya.

Kelima : - Tarikan graviti yang ada di bumi ini tidak terlalu kuat sehingga menjadikan segala benda melekat di bumi. Tarikan graviti ini juga tidak terlalu kurang daripada apa yang ada sekarang sehingga menjadikan segala benda termasuk manusia terapung-apung di permukaan bumi.

Keenam : - Allah SWT juga telah menjadikan air laut itu masin. Sekiranya air itu laut itu manis nescaya akan busuklah segala kehidupan yang ada di dalamnya kerana air manis tidak dapat mencegah daripada sesuatu itu menjadi busuk dan rosak kecuali air masin.

Ketujuh : - Di tengah-tengah penciptaan manusia yang sempurna terdapat juga segelintir manusia yang cacat. Kepada golongan cacat ini Allah SWT tidak membebankan mereka dengan tugas dan tanggungjawab seperti orang yang sihat dan sempurna.

Kelapan : - Di dalam penciptaan haiwan-haiwan di atas muka bumi ini Allah SWT telah menentukan kadar bilangan haiwan yang bermanfaat agar tidak terlalu sedikit sehingga boleh mengancam keperluan manusia kepadanya. Haiwan yang berbisa dan berbahaya pula dijadikan sedikit, dan habitatnya juga dicipta jauh dari kehidupan manusia untuk memelihara keselamatan manusia dari gangguan binatang-binatang tersebut.

Kesembilan : - Bumi ini sentiasa berganti siang dan malam. Allah SWT membahagikan kedua-dua masa itu sangat sesuai sekali dengan kadar yang dihajati oleh penghuni-peghuni alam yang terdiri daripada manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Sebagai contoh tumbuh-tumbuhan akan layu jika terlalu lama disinari cahaya matahari dan jika waktu malam berpanjangan pula ia akan mati kerana ketiadaan cahaya matahari untuk memproses makanan. Kesimpulannya, Allah SWT menjadikan siang untuk penghuni bumi menjalankan urusan kehidupan mereka dan waktu malam pula sebagai masa untuk berehat.

Kesepuluh : - Allah SWT juga menentukan ajal makhluk berdasarkan kadar kesesuaiannya. Ahli sains telah memberi contoh sekiranya sepasang lalat itu membiak tanpa mati nescaya dalam tempoh lima tahun ia akan membina lapisan setinggi 5cm di permukaan bumi. Jika ini berlaku, akan sukar pula kehiduppan lain untuk tinggal di atas muka bumi ini.

Segala contoh-contoh di atas adalah bukti kesempurnaan di dalam penciptaan Allah SWT di alam ini. Setiap sesuatu kejadiannya telah ditetapkan ukuran dan sukatan sesuai dengan keperluan kehidupan yang ada. Justeru, semuanya berperanan untuk menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Penciptanya.

Wallahualam.

Friday, April 15, 2011

Isu 'Poco-Poco' dan berbuat baik kepada ibubapa

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Israk ayat 23-24


Firman Allah SWT,

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).(23)Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”(24) (Al-Israa 023-024)

Huraian ayat

Di permulaan ayat 23 Allah SWT memerintahkan manusia supaya tidak menyembah sesuatu melainkan kepada-Nya sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta. Jika diperhatikan, terlalu banyak peringatan yang Allah SWT berikan kepada manusia sama ada di dalam Al-Quran mahu pun melalui lidah Rasul-Nya supaya manusia mentauhidkanNya dan menjauhkan diri daripada perbuatan syirik.

Sebagai contoh dalam surah An-Nisak ayat 116 Allah SWT memberi amaran keras kepada sesiapa yang syirik,

“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

Isu tarian ‘Poco-Poco’

Baru-baru ini Mufti Perak SS Dato’ Dr. Harussani Zakaria melalui hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwanya telah mengharamkan tarian ‘Poco-Poco’ yang diminati oleh masyarakat Islam di negara kita.

Sama seperti pengharaman Yoga, fatwa ini telah menimbulkan polimik di mana ada yang pro dan kontra. Secara peribadi saya menyokong fatwa ini setelah mengetahui alasan utamanya iaitu untuk mengelakkan umat Islam tergelincir akidah.

Tarian ‘Poco-Poco’ sebenarnya berasal dari Filipina. Ia ditarikan oleh penganut Kristian ketika menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka. Sebab itu jika diperhatikan gerak langkah tarian ini membentuk salib.

Sedangkan Rasulullah saw telah mengingatkan umatnya supaya jangan meniru budaya orang Yahudi dan Nasrani. Sabda baginda,

“Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka."

Jika kita boleh menerima pandangan Mufti tentang pengharaman sambutan ‘Valentine Day’ kerana ia meniru budaya orang-orang Kristian apatah lagi berkaitan dengan seorang Paderi yang bernama St. Valentino, justeru mengapa dalam masa yang sama kita tidak boleh menerima pengharaman tarian ‘Poco-Poco’, juga atas alasan yang serupa iaitu budaya Kristian ?

Seperkara lagi, tarian ‘Poco-Poco’ melibatkan percampuran bebas lelaki dan perempuan, seakan-akan seperti joget lambak !

Dimanakah letaknya maruah seorang muslimah apabila menggerak-gerakkan badannya sambil menghentak kaki diperhatikan pula oleh lelaki yang bukan mahram ?

Bukankah Allah SWT berfirman,

“….Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (an-Nur ayat 31)

Kesimpulannya, jalan yang paling selamat, tinggalkanlah tarian ini yang jelas boleh mengundang kesyirikkan kepada Allah SWT.

Huraian ayat seterusnya

Setelah Allah SWT memerintahkan supaya menyembah kepada-Nya sahaja, kemudian datang pula perintah supaya melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa khususnya ketika mereka sudah tua.

Dilarang sama sekali berkata kasar kepada mereka walaupun sepatah perkataan seperti ‘Ah, oh atau sebagainya kerana ia termasuk kata-kata penderhakaan.

Rasulullah saw memberi amaran ke atas mereka yang menderhakai kedua ibu bapanya,

كل الذنوب يغفر الله منها ما شاء إلا عقوق الوالدين فإنه يعجل لصاحبه
العقوبة فى الحياة قبل الممات


Maksudnya : Segala dosa diampuni Allah daripadanya mana yang Dia kehendaki kecuaali dosa derhaka kepada ibu. Sesungguhnya dosa derhaka terhadap kedua ibu bapa memperceatkan azab ketika hidup di dunia dan di akhirat.

Dalam sebuah hadis yang lain,

جاء رجل من قضاعة إلى النبي (ص) فقال : يا رسول اله أرأيت أنى إن شهدت أن لا إله إلا الهe وأنك رسول اله وصليت الصلوات الخمس وصمت رمضان وقمت لياليه وأديت الزكاة فممن أنا ؟ فقال النبي (ص) له , من مات على هذا كان مع النبيين والصديقين والشهداء يوم القيامة هكذا ونصب
أصبعه ما لم يعق والديه


Maksudnya : Telah datang seorang lelaki dari Qudhaah berjumpa Nabi saw lalu bertanya, apa pandangan engkau jika aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya engkau pesuruh Allah dan aku solat lima waktu sehari semalam dan aku berpuasa di bulan Ramadhan dan aku bangun pada waktu malam dan aku mengeluarkan zakat maka bagaimanakah keadaanku ? Maka Nabi saw menjawab, barangsiapa yang mati dalam melakukan hal demikian maka sesungguhnya dia akan bersama para Nabi dan para Siddiqin, dan para Syuhadak di hari Qiamat seperti ini (Nabi saw menujukkan dua jarinya) selagi mana dia tidak derhaka kepada kedua ibubapanya.


Anak kurang ajar

Banyak terjadi hari ini di mana ibu bapa awal-awal lagi sudah menyerahkan harta seperti rumah, tanah dan sebagainya kepada anak-anak sebelum mereka meninggal dunia.

Tujuannya apabila mereka sudah tua dan sakit, anak-anak akan menjaga dan memelihara mereka berdua. Malangnya setelah harta itu diserahkan kepada anak-anak dan kedua ibu bapa ini sudah pun tua dan selalu pula uzur, anak-anak sedikit pun tidak memperdulikan mereka apatah lagi datang menjenguk.

Paling kasihan ada ibu bapa yang sudah uzur itu dihantar ke rumah orang tua-tua.

Justeru syarak mengharuskan ibu bapa mengambil semula harta yang telah dihibahkan kepada anak-anak. Hal ini berdasarkan hadis Nabi saw,

لا يحل للرجل أن يعطي العطية فيرجع فيها إلا الولد فيما يعطي ولده ومثل الرجل يعي العطية ثم يرجع فيها كمثل الكلب أكل حتى إذا شبع قاء
ثم رجع في قيئه


Maksudnya : “Tidak halal bagi seseorang yang memberikan sesuatu pemberian lalu ia menaik kembali pemberian itu melainkan seorang ayah yang memberikan kepada anaknya. Perumpamaan seseorang yang memberikan sesuatu pemberian kepada orang lain kemudian ia menarik kembali pemberiannya adalah seperti anjing yang makan sehingga muntah kemudian ia memakan kembali muntahnya itu”. (HR Imam yang lima dan Tirmidzi mengesahkannya)

Namun pengambilan itu tertakluk kepada beberapa syarat antaranya :

1.Ibubapa perlu membuktikan bahawa harta yang ingin dituntut dari anaknya itu merupakan harta hibah yang diberikan kepada anaknya.

2.Harta itu masih wujud. Jika harta itu sudah habis digunakan oleh anak, maka ibu bapa tidak boleh menuntutnya kembali.

3.Harta itu hendaklah masih dalam milik si anak. Jika harta sudah dipindah milik kepada orang lain, maka ibu bapa tidak boleh membuat tuntutan. Justeru tindakan tepat jika mana-mana ibubapa yang hendak menyerahkan hartanya kepada anak dengan cara hibah maka hendaklah dia memasukkan kepentingannya ke dalam harta tersebut atau melantik seorang peguam yang amanah sebagai pemegang amanah.

4.Harta itu tidak diperoleh semula oleh anak dengan cara lain contohnya hartanah berkenaan pernah berpindah milik, kemudian diperoleh semula oleh anak melalui transaksi baru seperti hadiah atau pembelian maka ia tidak boleh dituntut.

Mana-mana anak derhaka yang tidak sempat memohon maaf daripada kedua ibubapanya yang telah meninggal dunia, maka hendaklah dia melaksanakan tiga perkara berikut.

1.Hendaklah anak itu menjadi anak yang soleh

2.Hendaklah anak itu menghubung silaturrahim dengan kaum kerabat dan sahabat handai arwah kedua ibubapanya.

3.Hendaklah anak itu berdoa memohon ampun ke atas kedua ibu bapanya dan bersedekah atas namannya.

Kewajipan melangsaikan hutang arwah yang meninggal

Ada sesetengah anak apabila bapanya meninggal dunia mereka terus menfaraidkan harta-harta yang ditinggalkan oleh arwah bapanya tanpa terlebih dahulu menjelaskan hutang-hutang si mati. Sedangkan apabila da yang menuntut hutang daripada mereka lalu akan dijawab,

1.“Ayah saya yang berhutang…, bukan saya. Kalau mahu tuntut, tuntutlah dikuburnya…”.

2.“Harta yang ditinggalkan oleh arwah ayah saya sudah menjadi harta pusaka milik saya . Harta ini sudah tidak ada mengena dengan si mati”.

Sikap seperti ini juga menujukkan cirri penderhakaan kepada kedua ibubapanya yang sudah meninggal dunia. Dalam sebuah hadis,

عن سعد الأطوال, أن أخاه مات وترك ثلاث مائة درهم , وترك عيالا , قال : فأردت أن أنفقها على عياله , فقال النبى (ص) . إن أخاك محتبس بدينه , فاقض عنه , فقال يا رسول الله قد أديت عنه إلا دينارين, ادعتهما امرأة وليس لها بينة , قال فاعطها فإنها محقة


Maksudnya : Daripada Saad al-Atwal bahawa saudaranya itu mati dan meninggalkan harta pusaka 300 dirham serta beberapa orang keluarga. Ia berkata : Lalu aku bermaksud hendak menginfakkan kepada kaum keluarganya. Maka Nabi saw bersabda : Sesungguhnya saudaramu itu tertahan disebabkan hutangnya, oleh kerana itu bayarlah atas namanya. Sa’ad berkata : Ya rasulullah ! Sesungguhnya aku telah membayar hutangnya atas namanya, tinggal dua dinar yang ku sisakan buat seorang perempuan, tetapi perempuan itu tidak mempunyai bukti.Nabi saw bersabda, berikanlah kepadanya, kerana dia berhak. (HR Ahmad dan Ibnu Majah).

Hadis ini menunjukkan betapa perlu untuk mendahulukan pembayaran hutang daripada harta yang ditinggalkan oleh simati sebelum ia diagihkan kepada kaum keluarga. Ingat jika kita kasihkan arwah bapa kita maka hendaklah hutangnya dibayar terlebih dahulu.

Dalam sebuah hadis yang lain,

“Roh seseorang mukmin tergantung (terseksa) disebabkan hutangnya sehinggalah hutangnya itu tertunai. (Riwayat Ahmad)


Selesai membayar hutang, barulah harta itu difaraidkan. Selain hutang dalam bentuk wang ringgit hutang kepada Allah SWT seperti zakat, haji kifarah, nazar dan fidyah juga hendaklah ditunaikan.

Sebagai contoh jika arwah ayah ada menyimpan wang dalam bank dan tidak pernah membayar zakat seumur hidup, maka hendaklah si anak menjelaskan hutang zakat arwah ayahnya sebanyak 2.5 peratus daripada simpanannya kepada Baitul Mal.

Sekiranya arwah ayah belum menunaikan fardhu Haji sedangkan dia termasuk dalam golongan yang berkemampuan menunaikan Haji dan wang simpanannya dalam tabung haji sudah pun cukup maka wajiblah si anak menggunakan duit simpanan tersebut untuk dibuatkan Haji Badal arwah ayahnya.

Jika arwah ayahsemasa hidup ada bernazar hendak mengerjakan umrah, maka hendaklah dikeluarkan wang simpanan itu untuk dibuatkan umrah untuk arwah ayahnya. Begitu juga jika arwah ayah ada bernazar untuk sponsor sesiapa seperti Pak Imam atau Pak Bilal mengerjakan umrah dan nazar itu tidak sempat dilaksanakan maka hendaklah si anak menunaikan nazar tersebut dengan cara menggunakan wang peninggalan harta si mati.

Begitu jugalah jika arwah ayah ada meninggalkan puasa maka hendaklah dijelaskan fidayah puasanya daripada harta yang ditinggalkannya.

Pada ayat 24 Allah SWT memerintahkan anak-anak supaya hendaklah merasa belas kasihan kepada kedua ibu bapa dan doakanlah mereka dengan kebaikan. Antara doa yang makthur seperti yang diajar oleh Rasulullah saw,

اللهم اغفرلي ولولدي وارحمهما كما ربياني صغيرا


Maksudnya : Ya Allah ampunkanlak dosaku dan kedua ibu bapaku dan kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya kepadaku semasa kecil.

Wallahualam.

Wednesday, April 13, 2011

Hukum meminta balik sesuatu yang sudah diberi

Buruk siku

Dalam sebuah hadis yang datangnya daripada Tawus bahwa Ibnu Umar dan Ibnu Abbas keduanya telah merafa’kan sebuah hadis di mana Nabi saw bersabda,

لا يحل للرجل أن يعطي العطية فيرجع فيها إلا الولد فيما يعطي ولده ومثل الرجل يعطي العطية ثم يرجع فيها كمثل الكلب أكل حتى إذا شبع قاء
ثم رجع في قيئه


Maksudnya : “Tidak halal bagi seseorang yang memberikan sesuatu pemberian lalu ia menaik kembali pemberian itu melainkan seorang ayah yang memberikan kepada anaknya. Perumpamaan seseorang yang memberikan sesuatu pemberian kepada orang lain kemudian ia menarik kembali pemberiannya adalah seperti anjing yang makan sehingga muntah kemudian ia memakan kembali muntahnya itu”. (HR Imam yang lima dan Tirmidzi mengesahkannya)

Huraian hadis

Hadis ini mengingatkan umat Islam supaya jangan bersikap buruk siku dalam sesuatu pemberian. Nabi saw menggambarkan orang yang buruk siku ini seperti anjing yang menjilat muntahnya sendiri bagi menunjukkan betapa hinanya perbuatan tersebut.

Contoh ?

Contohnya apabila seseorang yang memberi hutang kemudian bermurah hati untuk menghalalkan hutang yang diberi menyebabkan orang yang berhutang merasa gembira dan berterima kasih kepadanya.

Perbuatan menghalalkan hutang yang diberi apatah lagi kepada mereka yang memang susah amat digalakkan dan dianggap sebagai sedekah yang mana pahalanya cukup besar di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT,

"Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)". (Al-Baqarah 280)

Kemudian orang yang memberi hutang tiba-tiba berubah fikiran mungkin kerana dihasut oleh seseorang atau kerana si pemberi hutang sudah jatuh miskin lalu dia meminta kembali duit yang sudah dihalalkannya itu.

Perbuatan seperti ini adalah 'haram dan berdosa' di sisi Allah SWT kerana ketika orang yang memberi hutang itu menghalalkan hutangnya maka akad hibah telah pun sempurna.

Syarat utama sah sesuatu pemberian atau hibah atau sedekah ialah qabdh yakni barang itu telah diterima dan dipegang oleh penerima.

Pengecualian

Tetapi sekiranya barang itu belum diterima maka pemberi berhak untuk membatalkan pemberiannya. Sebagai contoh Ali hendak meminjam duit daripada Abu. Abu bersetuju untuk memasukkan duit itu dalam akaun Ali pada keesokkan hari dengan katanya,

“Tidak perlulah engkau membayarnya kembali…, anggaplah duit itu pemberian ikhlas daripada aku kepada engkau”.

Tetapi keesokkan hari sebelum Abu memasukkan duit itu ke dalam akaun Ali (Ali belum menerima duit itu) dia menghubungi Ali,

“ Tak jadilah aku beri duit itu secara percuma kepada engkau…, aku anggap duit yang kuberi itu nanti sebagai hutang”.

Maka pembatalan seperti ini adalah harus kerana transaksi pemberian dan penerimaan hibah belum sempurna.

Wallahualam.

Monday, April 11, 2011

Peristiwa Nakhlah dan iktibar dari kejahatan orang-orang kafir

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 217


Firman Allah SWT,

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)".

Huraian ayat

Kenapa ayat ini diturunkan ?

Para mufassirin menjelaskan sebab ayat ini diturunkan kerana pada penghujung bulan Jamadil Akhir tahun ke dua hijrah (dua bulan sebelum tercetusnya peperangan Badar) Rasulullah saw telah menghantar satu pasukan kecil (Sariyyah) untuk menuju ke satu tempat yang diarahkan oleh baginda. Pasukan kecil ini terdiri daripada 8 orang Muhajirin, diketuai oleh saudara sepupu baginda sendiri yang bernama Abdullah bin Jahsyi.

Sebelum mereka berangkat Rasulullah saw telah memberi sepucuk surat kepada Abdullah bin Jahsyi dengan sabdanya,

“ Berangkatlah kamu dengan nama Allah dan janganlah engkau membuka surat ini melainkan engkau telah sampai ke satu tempat sejauh perjalanan dua hari. Setelah engkau berhenti, maka bukalah surat ini. Bacakan isi surat ini kepada anggota pasukanmu, kemudian engkau pergilah ke satu tempat seperti mana yang diarahkan dalam surat ini dan janganlah engkau memaksa-maksa seseorang pun dari anggota pasukanmu untuk mengikutmu”.

Selepas dua hari perjalanan, maka Abdullah bin Jahsyi membuka surat ini dan membaca isi kandungannya di hadapan setiap anggota pasukannya. Antara isi kandungan surat tersebut ialah,

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Apabila engkau membaca suratku ini maka teruskanlah perjalanan sehingga ke satu tempat yang bernama Nakhlah yang terletak antara Mekah dan Taif. Di situ engkau intiplah rombongan perdagangan Quraisy dan kumpulkan maklumat mereka untuk kami."

Lalu Abdullah pun memberitahu para sahabat yang terlibat dalam operasi ini bahawa dia sama sekali tidak memaksa mereka untuk terlibat bagi menjayakan operasi ini. Kata Abdullah,

"Siapa di kalangan kamu takut mati takut mati, maka sampai setakat di sini sahajalah perjalanan kalian, maka kamu boleh pulang. Tetapi siapa yang ingin mati syahid, dia boleh terus bersama-sama denganku kerana aku sendiri akan meneruskan misi ini," katanya.

Respon daripada ucapannya, Alhamdulillah tidak ada seorang pun di kalangan anggota dalam kumpulannya yang ingin berpatah balik dan pulang semula ke Madinah. Kesemuanya berikrar untuk terus bersama Abdullah bin Jahsyi sekaligus menyerahkan segala urusan hidup dan mati mereka kepada Allah SWT.

Namun apabila mereka sampai di satu tempat yang bernama Najran, tiba-tiba dua orang daripada anggota kumpulan ini telah terpisah kerana tersesat jalan. Puncanya kerana mereka mencari unta masing-masing yang terlepas lari. Mereka yang tersesat ini ialah Saad bin Abi Waqqas dan Utbah bin Ghazwan.

Maka tinggallah baki mereka seramai enam orang untuk meneruskan operasi ini. Apabila sampai ke Nakhlah, mereka melihat melihat ada 4 orang rombongan dagang Quraisy iaitu Amru bin Al-Hadhrami, Hakim bin Kisan, Usman dan saudaranya Naufal bin Abdullah Al-Makhzumi sedang dalam perjalanan untuk pulang ke Mekah. Mereka membawa pelbagai aneka barang dagangan termasuk anggur kering dan juga lauk pauk.

Melihat hal ini Abdullah bin Jahsy kemudian berbincang dengan anggota kumpulannya apakah wajar mereka membiarkan sahaja rombongan Quraisy itu balik ke Mekah atau merampas harta-harta dagangan mereka.

Semasa berbincang salah seorang anggota kumpula berkata,

"Wahai Abdullah , sekarang kita berada pada hari terakhir di bulan Jamadil Akhir sebelum masuk bulan Rejab iaitu bulan yang diharamkan berperang. Kalau kita memerangi rombongan Quraisy ini bererti kita menceroboh kesucian bulan haram. Tetapi kalau kita biarka mereka, pasti mereka akan dapat memasuki Mekah tanpa sebarang halangan. Justeru misi kita untuk menyekat menyekat dan memberi pengajaran kepada orang-orang Quraisy gagal”.

Akhirnya mereka bersetuju untuk menghalang rombongan perdagangan Quraisy ini. Mereka berusaha untuk menyerang sebelum masuknya bulan Rejab namun usaha ini gagal kerana kesuntukkan masa. Mahu tidak mahu serangan ini berlarutan sehingga masuk ke bulan Rejab.

Salah seorang anggota kumpulan yang bernama Waid bin Abdullah as-Sahmi melepaskan anak panah dan tepat mengenai Amru bin Al-Hadhrami lalu terbunuh. Manakala dua orang anggota perdaganan Quraisy iaitu Hakim bin Kisan dan Usman bin Abdullah Al-Makhzumi berjaya di tawan. Tetapi saudara Usman iaitu Naufal bin Abdullah Al-Makhzumi berjaya melapaskan diri dan balik ke Mekah seterusnya melaporkan peristiwa ini kepada pemimpin Quraisy.

Apabila orang Quraisy mengetahui pertempuran ini, mereka menuduh Muhammad telah menghalalkan pertumpahan darah dan merampas harta-harta penduduk Mekah pada bukan suci yang diharamkan berperang.

Berita kemarahan orang-orang Mekah telah sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad saw. Kebetulan ketika itu Abdullah bin Jahsyi bersama anggota rombongannya telah selamat tiba ke Madinah membawa sejumlah harta dagangan yang dirampas serta dua orang tawanan.

Nabi saw bersabda kepada mereka,

“Aku tidak menyuruh kamu supaya berperang pada bulan haram”

Nabi saw kemudian mengarahkan supaya harta rampasan itu hendaklah disimpan dahulu kerana baginda tidak mahu mengambilnya. Dengan kata-kata dan tindakan Nabi saw ini menyebabkan Abdullah bin Jahsyi dan anggota kumpulannya merasa bersalah serta menyesal atas serangan yang mereka lakukan ke atas pedagang Quraisy.

Tidak lama selepas itu turunlah ayat ini,

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah..”

Dalam ayat ini Allah SWT menjawab, memang benar berperang pada bulan-bulan haram itu adalah berdosa besar, tetapi siapakah yang memulakan peperangan tersebut ? Bukankah selama ini musyrikin Mekah yang memulakan tindakan ganas ke atas umat Islam, menyekat umat Islam dari beribadat kepada Allah, menyeksa dan membunuh orang-orang Islam semata-mata kerana mereka mentauhidkan Allah SWT, mencabuli kesucian Masjidil Haram dengan kerja-kerja kufur serta mengusir dan merampas segala harta penduduk-penduknya yang beriman ?

Sesungguhnya perbuatan orang-orang Quraisy Mekah yang mengganas, mengusir, dan menindas penduduk Mekah yang beriman adalah lebih besar dari dari berperang di bulan haram seperti yang dilakukan oleh beberapa orang sahabat Nabi saw.

Bila turun sahaja wahyu ini, maka legalah Nabi saw dan para sahabat. Lalu harta yang dirampas Nabi saw bahagikan kepada lima bahagian. Satu bahagian nabi saw ambil dan selebihnya dibahagi-bahagikan kepada tentera yang terlibat dalam serangan ini.

Kemudian Allah SWT berfirman lagi,

“Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan..”

Yang dimaksudkan dengan fitnah di sini ialah menyekat kebebsan manusia untuk hidup beragama dan memaksa manusia supaya terus kufur kepada Allah SWT. Ada juga pendapat yang mengatakan fitnah di sini ertinya Syirik, yang mana dosanya lebih besar daripada membunuh.

Firman Allah SWT lagi,

“Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian);..”

Dalam ayat ini ini Allah SWT mengingatkan orang-orang Islam supaya berwaspada terhadap sikap orang-orang kafir yang berazam untuk memerangi dan memurtadkan orang-orang Islam. Yang dimaksudkan memerangi di sini bukan sahaja dalam bentuk fiikal tetapi juga dalam bentuk pemikiran, hiburan, ideologi dan kebudayaan.

Justeru hari ini tidak hairan jika ada orang-orang Islam yang berfikiran seperti orang-orang kafir, ada pemimpin-pemimpin Islam yang berideologikan komunis dan ada orang-orang Islam yang mengamalkan budaya orang-orang bukan Islam.

Firman Allah SWT lagi,

“..dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)”.

Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan orang-orang Islam akibat daripada perbuatan murtad. Antaranya segala amal ibadah yang dilakuakan oleh orang murtad serta merta akan hancur binasa tidak diterima oleh Allah SWT. Malah di akhirat mereka akan di azab dan tinggal kekal dalam neraka selama-lamanya.

Seseorang itu boleh menjadi murtad dengan sebab melakukan salah satu daripada tiga cara iaitu sama ada dengan perbuatan, percakapan atau iktiqad (kepercayaan dalam hati).

Murtad melalui perbuatan contohnya melakukan perkara-perkara seperti menghina Al-Quran atau hadis sama ada dengan cara mengoyak, memijak dan membuangnya di dalam longkang. Begitu juga dengan memakai lambang-lambang agama lain seperti salib atau menyertai upacara ibadah kepercayaan orang-orang kafir dan sebagainya.

Murtad melalui percakapan seperti mencela Allah SWT, sifat-sifatNya atau nama-namaNya, bersumpah selain daripada namaNya, menghina Nabi dan Rasul sama ada sifat-sifat nya mahupun ajarannya, mengaku dirinya menjadi Nabi dan Rasul, mengengkari kewujudan malaikat-malaikat, mengeluarkan kata-kata yang menghina Islam, menolak segala hukum-hukum yang terkandung di dalam Al-Quran, mengatakan tidak adanya azab kubur, menafikan kewujudan neraka, syurga, kewajipan menutup aurat, menyanyi lagu-lagu yang bertentangan dengan kalimah tauhid dan sebagainya.

Murtad melalui ikiqad seperti seseorang itu berkeyakinan dalam hati bahawa alam ini terjadi dengan sendiri, atau menolak dalam hati tentang kebenaran Al-Quran, beriktiqad bahawa Nabi Muhammad saw itu adalah manusia biasa bukan bertaraf Nabi, atau beriktiqad bahawa Ghulam Ahmad Qadiani sebagai Nabi atau Rasul, atau mempercayai di dalam hati bahawa undang-undang ciptaan manusia itu lebih baik daripada undang-undang Allah SWT.

Begitu juga murtad sekiranya seseorang beriktiqad dalam hati bahawa tidak salah meminum arak, tidak salah meninggalkan solat, tidak salah berzina, tidak salah berjudi sedangkan dia sudah mengetahui bahawa semua perbuatan itu adalah haram di sisi Allah SWT.

Menurut jumhur ulama bahawa orang yang melakukan kesalahan murtad hukumannya adalah bunuh samada dia seorang lelaki atau perempuan, tua atau pun muda.

من بدل دينه فاقتلوه

Maksudnya : Barangsiapa yang menukar agamanya maka bunuhlah dia.

Walaubagaimanapun seseorang yang murtad melalui iktiqad, tidak boleh dikenakan hukuman bunuh selagi mana ia tidak menzahirkan kemurtadannya melalui perbuatan atau percakapan. Oleh itu dia masih dianggap muslim mengikut hukuman di dunia tetapi di akhirat maka terserahlah kepada Allah SWT untuk menentukan kedudukannya.

Menurut jumhur ulama yakni Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, orang yang murtad tidak boleh terus dihukum bunuh melainkan hendaklah disuruh bertaubat terlebih dahulu.

Mengenai tempoh masa yang diberikan agar orang yang murtad itu bertaubat dan kembali kepada Islam menurut mazhab Maliki ialah tiga hari tiga malam bermula daripada masa dia di sabitkan melakukan kesalahan itu. Manakala menurut Imam Abu Hanifah, tempoh masa yang diberikan ialah terpulang kepada budi bicara pihak pemerintah.

Jika ada harapan bahawa pesalah itu akan bertaubat atau dia meminta agar hukuman yang dikenakan kepadanya ditangguhkan maka pemerintah boleh menangguhkan selama 3 hari. Tetapi sekiranya tidak ada harapan untuknya bertaubat atau tidak mahu meminta agar ditangguhkan hukuman, maka bolehlah dilaksanakan hukuman bunuh pada masa itu juga.

Apabila orang yang murtad itu telah dibunuh, maka adalah haram bagi umat Islam menguruskan mayatnya samada dimandikan, disolatkan atau dikuburkan di kawasan perkuburan orang-orang Islam. Manakala segala harta bendanya akan menjadi hak milik orang rama (harta fai’) dan tidak boleh dipusakai sama ada waris-warisnya yang Islam atau yang bukan Islam. Inilah pendapat Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

Wallahualam.

Saturday, April 9, 2011

Arwah Pak Mat dalam kenangan

Arwah (kanan) sedang disantuni oleh cikgu Kamaruzzaman

"Dah siap esok jangan lupo kita buek doa selamat", kata arwah Pak Mat kepada Ust Hj Azzahar merujuk kepada pembinaan Surau sementara.

"Bagilah saya jadi pembancuh teh atau tukang sapu surau...", katanya kepada saya sewaktu majlis sambutan Maal Hijrah di Vila Suria beberapa bulan yang lalu.

Arwah sempat menghulurkan sejumlah wang dalam kotak derma yang dilancarkan.

Demikianlah arwah pak Mat.

Di akhir kehidupannya, arwah sangat gigih untuk melihat sebuah surau terbina tidak jauh di hadapan rumahnya.

Dengan bantuan kawannya En. Daud yang tinggal di Taman Desa Rhu Sikamat, Pak Mat cuba mengadakan appointment dengan YAB Menteri Besar bagi mempercepatkan pembinaan Surau. Namun usahanya setakat ini masih belum berhasil.

Satu hari ketika di depan rumah Prof. Madya Halim Ramli arwah berkata,

"Ustaz hari Khamis yang akan datang kito jumpo MB", katanya dengan semangat.

Namun bila tiba hari Khamis yang maksudkan, arwah Pak Mat menghubungi saya,

"Ustaz...perjumpaan batal, MB sibuk".

Pagi tadi seusai Subuh, sebelum keluar mencari kurniaan Allah, saya berkesempatan menziarahi jenazah Pak Mat, mengucapkan takziah kepada keluarganya serta menyedekahkan bacaan Yasin dan tahlil buat rohnya.

Semoga roh Pak Mat tenang bersemadi di bawah limpahan cucuran rahmat Ilahi. Amin.

Walaupun arwah sudah kembali kepada Penciptanya, namun semangat dan usahanya untuk membina surau akan kami teruskan.

Insya Allah.

Friday, April 8, 2011

Saya bernazar jika....

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Saidatina Aisyah r.anha,

من نذر أن يطيع الله فليطعه ومن نذر أن يعصيه فلا يعصه

Maksudnya : Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaati-Nya dan barangsiapa yang bernazar untuk melaukan maksiat kepada-Nya maka janganlah dia melakukannya.

Nazar ertinya mewajibkan diri melakukan ibadat yang tidak diwajibkan oleh syarak secara mutlak ataupun yang bergantung kepada perkara lain.

Nazar adalah sesuatu yang disyariatkan dan ia termasuk sebagai ibadat. Rasulullah saw mengingatkan orang-orang yang tidak menunaikan nazar mereka,

إن بعدكم قوما يخونون ولا تمنون ويشهدون ولا يستشهدون وينذرون
ولا يفون ويظهر فيهم السمن


Maksudnya : Sesungguhnya selepas kamu akan wujud suatu kaum yang melakukan pengkhianatan dan tidak amanah, menyaksikan sesuatu kejadian tetapi tidak mahu memberikan kesaksian , melakukan nazar tetapi tidak menunaikannya dan jelas kelihatan pada mereka lemak badan (kerana gemuk).

Maksud ‘jelas kelihatan pada mereka lemak badan’ adalah disebabkan banyak makan dan sentiasa berehat serta meninggalkan jihad. Digunakan juga sebagai sindiran terhadap perbuatan bermegah dengan perhiasan dunia.

Namun adalah lebih afdhal seseorang itu melakukan ibadat yang mahu dilakukannya tanpa mewajibkan perkara itu ke atas dirinya dengan menjadikannya sebagai nazar. Sebagai contoh bersedekah secara sukarela adalah lebih afdhal daripada sedekah yang diwajibkan kerana sebab nazar.

Dalilnya ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

إنه لا يرد شيئا وإنما يستخرج به من البخيل


Maksudnya : Sesungguhnya ia tidak akan menolak sesuatu pun tetapi ia hanya akan dilakukan oleh orang yang bakhil.

Pembahagian nazar

Nazar terbahagi kepada tiga iaitu :

1. Nazar al-Lajaj (keras kepala)

Ia berlaku dalam keadaan pertengkaran dan permusuhan yang terhasil akibat kemarahan yang melampau seperti katanya : “ Sekiranya aku bercakap juga dengan engkau, aku bernazar untuk berpuasa selama sebulan”.

Jika kehendak yang dinazarkan itu berlaku maka wajiblah atas orang yang bernazar itu untuk melaksanakan apa yang dinazarkan atau pun membayar kafarah sumpah. Dalilnya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

كفارة النذر كفارة اليمين


Maksudnya : “Kafarah nazar seperti kafarah sumpah”.

Kafarah sumpah ialah :

1.Memerdekakan hamba
2. Memberi makan 10 orang miskin, setiap orang satu mud, atau pakaian setiap seorang.
3. Berpuasa selama tiga hari.

2. Nazar al-Mujazah ( Mukafaah )

Iaitu menggantungkan (mensyaratkan) kewajipan sesuatu ibadat dengan tercapainya sesuatu kehendak orang yang bernazar tanpa sebarang dorongan pertengkaran seperti katanya: “ Kalau akau berjaya dalam peperiksaan ini maka wajib ke atasku menyedekahkan seekor lambing”.

Justeru apabila kehendaknya itu tercapai maka wajib ke atas dirinya melaksanakan apa yang dinazarkannya. Sabda Rasulullah saw,

من نذر أن يطيع الله فليطعه


Maksudnya : Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaati-Nya.

3. Ketiga : Nazar Mutlak

Ia merupakan nazar yang mana dilafazkan oleh seseorang bagi tujuan untuk mendekatkan diri kepada AllahSWT tanpa mensyaratkan nazarnya itu dengan sesuatu yang lain atau bukan dilafazkan ketika hilang pertimbangan diri akibat marah. Contohnya seseorang itu berkata : “Kerana Allah, wajib bagiku berpuasa pada hari Khamis ini”.

Nazar ini wajib dilaksanakan secara mutlak kerana ia tidak bergantung kepada syarat.

Syarat-Syarat Nazar

a. Orang yang bernazar

Pertama, orang yang bernazar hendaklah Islam, justeru tidak sah sekiranya seseorang itu kafir. Yang kedua yang bernazar hendaklah taklif, maka tidak sah jika kanak-kanak atau orang gila kerana kedua-duanya tidak ada kewajipan ke atas mereka. Dan yang ketiga ialah sukarela. Oleh itu tidak sah nazar orang yang dipaksa. Sabda Rasulullah saw,

رفع عن أمتى الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه


Maksudnya : Tidak diperkirakan daripada umatu kesilapan, kelupaan dan apa yang dipaksakan ke atasnya.

b. Perkara yang dinazarkan

Perkara yang dinazar itu merupakan perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Justeru tidak boleh bernazar kepada perkara yang diharuskan oleh syarak kerana perkara itu tidak membawa kepada pahala atau dosa bagi sesiapa yang melakukannya. Jika seseorang itu bernazar dalam perkara yang diharuskan seperti makan, minum, tidur dan sebagainya maka ia tidak memberi kesan apa-apa kepada nazarnya.

Dalilnya adalah sebagaimana hadis riwayat imam Bukhari daripada Ibnu Abbas katanya :

"Sewaktu Nabi saw sedang berkhutbah, tiba-tiba baginda melihat seorang lelaki sedang berdiri, lalu baginda bertanya tentang lelaki itu. Para sahabat menjawab : Dialah Abu Israil yang bernazar untuk berdiri dan tidak mahu duduk, tidak mahu berteduh, tidak bercakap dan terus berpuasa. Nabi saw bersabda ; Perintahkan dia untuk bercakap, berteduh, duduk dan menyempurnakan puasanya".

Begitu juga dilarang bernazar dalam perkara yang diharamkan seperti membunuh dan berzina.

Dilarang juga bernazar dalam perkara yang makruh daan haram seperti bernazar untuk meninggalkan solat sunat rawatib atau mahu melakukan perbuatan zina. Ini adalah kerana bernazar untuk melakukan perkara makruh dan haram bukan termasuk dalam perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw,

لا نذر فى معصية الله


Maksudnya : Tiada nazar untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT.


Selain itu perkara yang dinazarkan itu bukan sesuatu yang memang diwajibkan seperti bernazar untuk menunaikan solat Zuhor, atau bernazar untuk berpuasa di bulan Ramadhan.

Kewajipan fardu kifayah tidak termasuk dalam pengertian kewajipan fardhu ain. Justeru boleh bernazar dengannya seperti bernazar untuk menunaikan solat jenazah atau mempelajari perubatan dan sebagainya.

Wallahualam.

Thursday, April 7, 2011

Isu Al-Kitab cukup penting

Dua tiga minggu ini ada dua isu yang agak panas di tanah air kita.

Yang pertama ialah isu Al-Kitab dan yang kedua mengenai Video Seks yang didakwa dilakukan oleh Ketua Pembangkang.

Namun isu yang dihighlight sehabis-habisnya oleh pihak media ialah isu Video seks tersebut.

Sedangkan isu 'Al-Kitab' tenggelam begitu sahaja tidak seghairah seperti mereka melaporkan isu kalimah Allah satu ketika dahulu.

Adakah kerana mahu menjaga hati pengundi Kristian di Sarawak ? Wallahualam.

Para pembaca sekalian,

Berbalik kepada isu Al-Kitab.

Ketika Dato’ Idris Jala dilantik menjadi Pengerusi MAS satu ketika dahulu saya sangat kuat menyangkakan dia seorang yang beragama Islam kerana namanya mengambil sempena nama seorang Nabi iaitu ‘Idris a.s’.

Namun hakikat sebenarnya dia seorang penganut Kristian.

Bayangkan kalau seorang ‘Ustaz’ seperti saya pun boleh keliru dengan nama-nama Islam yang digunakan oleh penganut Kristian, apatah lagi yang bukan ‘Ustaz’.

Justeru saya sangat bimbang jika Bible ‘Al-Kitab’ yang berbahasa Malaysia di diizinkan penggunaannnya oleh penganut Kristian, sudah tentu akan mengelirukan ramai orang Islam di Malaysia khususnya mereka yang miskin akidah.

“Tuan jangan bimbang untuk membaca Al-Kitab. Sebab Al-Kitab adalah kitab yang tidak diragui kebenarannya. Tak percaya sila baca Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 1 dan 2, Alif Laamm Miim, Zalikal Kitab...”.

Inilah kata-kata yang cukup dibimbangi jika keluar dari mulut pendakyah-pendakyah yang mahu menggelincirkan akidah orang-orang Islam.

Justeru, umat Islam di Malaysia perlulah bersama dan menyokong pihak-pihak tertentu seperti PEMBELA yang membantah pengedaran Bible versi Al-Kitab di negara ini.

Mana-mana bukan Islam yang menggunakan ayat Al-Quran dan menyalahtafsirkannya hendaklah juga dibantah sekeras-kerasnya.

Memang tidak salah jika orang bukan Islam mahu membaca tafsiran Al-Quran demi mencari kebenaran dan hidayah tetapi adalah salah jika mereka menyelewengkan tafsirannya untuk agenda tertentu.

Ingatlah amaran Allah SWT,

“Orang Yahudi dan Nasara (Kristian) tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keadaan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Sekadar itu sahaja luahan dari hati saya mengenai isu Al-Kitab.

Wallahualam.

Monday, April 4, 2011

Tetamu yang tidak diundang

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Pada hari Sabtu 3 hb April 2011, sekitar jam 2.00 petang kami sedang bersiap untuk pulang ke kampung Sekinchan.

Tiba-tiba isteri saya menjerit kerana ternampak sesuatu di bilik air dapur. Saya yang sedang memasukkan barang-barang di dalam kereta, secepat kilat meluru ke dapur untuk melihat apa yang terjadi.

"Ada apa Na ?", tanya saya.

"Tu...", tunjuk isteri ke arah bilik air. Wajahnya pucat kaku.

Setelah mengetahui hal sebenar, saya segera mengunci pintu bilik air lalu menghubungi JPAM.

Dua puluh minit kemudian, Van JPAM tiba bersama 4 orang anggotanya.

"Mana dia bang?", tanya seorang anggota JPAM yang bernama En. Fendi.

"Dalam bilik air dapur", jawab saya ringkas.

Anak-anak lelaki saya sungguh teruja untuk melihat tetamu yang tidak diundang ini.

Azim, anak ke empat rancak bersilat ala ultramannya untuk 'membelasah' binatang reptilia ini.

"Ok, bang... sudah selesai", kata En. Fendi.

Syukur, tidak sampai dua minit segala-galanya berakhir.

Biawak yang tersesat

Seekor biawak dalam lingkungan 5-7 kg berjaya di keluarkan dari bilik air dan terus di masukkan ke dalam sangkar.

Terima kasih JPAM !