Tuesday, May 31, 2011

AMALAN KHURAFAT DI KALANGAN JEMAAH HAJI

Di sinilah Rasulullah saw dilahirkan

Erti khurafat ialah kepercayaan karut yang direka-reka dan diada-adakan yang bercanggah dengan al-Quran & al-Sunnah.

Mengamalkan perkara-perkara khurafat adalah ditegah oleh syarak kerana disamping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk sepertimana tersebut di dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Setiap bidaah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.

Contoh amalan khurafat sebelum bertolak

1- Tidak boleh memijak bendul rumah, kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.

2- Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh pandang kembali melihat rumah, kalau dipandang pekerjaan hajinya tidak sempurna, kerana hatinya teringat-ingat ke rumah.

3- Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.

4- Setelah balik nanti mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut sebagai ibadah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati. Kalau melanggar sia-sialah haji.

Contoh amalan khurafat di tanah suci

1. Mesti mencari tiang jin di dalam Masjidil Haram, peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.

2. Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang jin tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.

3. Jin yang dibawa balik dari Makkah adalah jin yang baik.

4. Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapatkan jodoh dan memurahkan rezeki.

5. Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik dengan tujuan jika dicampak ke dalam kolam ikan maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman maka buah-buah akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai maka akan laris.

6. Mencuri tali-tali khemah di padang Arafah untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelaris untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.

7. Membawa balik tanah Arafah untuk upacara memijak tanah buat pertama kali bagi bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan menjadi gagah berani.

8. Tidak boleh melihat cermin semasa dalam ihram. Jika dilihat muka akan menjaadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.

9. Menyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.

10. Mengetuk pintu Masjid dan gelang kuncinya di kawasan Sai’e sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuat rezekinya tertutup buat selama-lamanya.

11. Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjidil Haram supaya boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.

12. Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di dalam masjid dua kali dari arah penjuru emas sekali kerana kepercayaan penjuru emas itu melambangkan kemaluan nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.

13. Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikapankan dengan kain itu bagi menghindari diri dari siksaan kubur.

14. Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kapan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Makkah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kapan dengannya. Munkar Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.

15. Kalau berlaku hujan maka mandilah di bawah curahan air dari pancuran emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.

16. Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan sekiranya ada orang yang menawarkannya maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjadikan masuk syurga.

17. Wanita mandi bertelanjang di telaga Ji’ranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami, dan lain-lain.

Wallahualam.

Wednesday, May 25, 2011

Kenapa Syiah mengkafirkan sahabat ?

Di antara perbezaan utama antara Syiah dan Sunni ialah seperti berikut :

1. Syiah mengkafir / melaknat para sahabat dan isteri Nabi

Ramai berpendapat kumpulan Syiah yang mengkafirkan para sahabat ialah kelompok Syiah di zaman dahulu, sedangkan Syiah yang berpangkalan di Iran sekarang adalah Syiah yang sangat menghormati para sahabat Nabi saw.

Dakwaan ini adalah tidak benar, kerana Syiah yang ada di Iran sekarang (Syiah Imamiyah) sehingga hari ini masih tetap mengkafir dan melaknat para sahabat Nabi saw termasuk isteri-isteri baginda.

Ini dapat dibuktikan melalui karya tokoh-tokoh utama mereka antaranya Ayatollah Ruhullah Khomeini, pengasas revolusi Iran. Dalam kitabnya Kasyful Asrar beliau menulis,

“ Abu Bakar dan Umar telah banyak meyalahi hukum-hukum Allah yang terang. Mereka berdua telah banyak mempermain-mainkan hukum hakam Tuhan, mereka menghalalkan dan mengharamkannya mengikut sesuka hati sendiri. Mereka berdua telah melakukan kezaliman ke atas Saidatina Fatimah dan anak-cucunya”. (Imam Khomeini : Kasyful Asrar, 110)

“Perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh Umar bin Al-Khattab itu adalah bersumberkan kekafiran dan kesesatan yang bertentangan dengan ayat-ayat Allah yang termaktub di dalam Al-Quranul Karim”. (Imam Khomeini : Kasyful Asrar : 116)


Mereka juga berpendapat bahawa hanya tiga orang sahaja yang masih beriman setelah kewafatan Rasullullah saw. Dari Abu Ja’afar a.s katanya,

"Semua manusia adalah riddah (murtad) selepas Nabi saw kecuali tiga orang. Beliau di tanya : Siapakah tiga orang itu ? Beliau menjawab : Al-Miqdad bin Al-Aswad, Abu Zar Al-Ghifari dan Salman Al-Farisi .” (Sheikh At-Tho’ifah : Rajalul Kasyi : 6)

Daripada Ali r.a berkata,

“ Semua orang telah murtad sepeninggalan Rasulullah saw kecuali empat orang sahaja”. (Sulaim bin Qais: As-Saqifah : 92)

Sebab utama mereka mengistiharkan Saidina Abu Bakar, Umar dan Usman r.anhum sebagai kafir kerana mereka dianggap telah merampas jawatan khalifah daripada Saidina Ali kwj. Manakala para sahabat lain yang turut mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, Umar dan Usman juga diwartakan kafir.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut mengeluarkan kata-kata cacian, dan laknat yang diabadikan dalam bentuk doa yang dikenali sebagai ‘Doa Dua Berhala’. Berikut adalah isi kandungan doa tersebut :

“Ya Allah, laknatilah olehmu dua berhala Quraisy dan dua Toghu (Abu Bakar dan Umar), dua pendusta, dua anak perempuannya (‘Aisyah dan Hafshah) yang mana mereka berdua menyalahi perintah engkau, mengingkari wahyu engkau, mengingkari nikmat engkau dan menderhaka terhadap wahyu engkau dan mengubah agama engkau dan menyelewengkan Al-Quran dan menyintai seteru engkau dan mengingkari nikmat batin engkau dan menggagalkan perkara-perkara fardhu engkau dan melanggar ayat-ayat engkau dan memusuhi wali-wali engkau dan melantik musuh engkau dan memerangi negara engkau dan merosakkan hamba-hamab engkau. Ya Allah laknatilah mereka berdua dan pengikut-pengikutmereka dan wali-wali mereka dan penyokong-penyokong mereka, kekasih-kekasih mereka. Maka sesungguhnya mereka telah meruntuhkan institusi kenabian”. ( Al-Syed Manzur Hussain: Tuhfah Al-‘Awwam : 330)

Syiah Imamiyah menganggap doa ini cukup penting untuk diamalkan kerana kononnya ia telah disyariat serta mempunyai pelbagai fadhilat. Antara fadhilat dan kelebihan mereka yang membacanya ialah ,

“Barangsiapa yang membaca doa ini sekali, maka Allah akan menulis baginya 70 000 kebaikan, menghapus 70 000 keburukkan dan mengangkat 70 000 darjat serta memenuhi puluhan ribu keperluan. Dan barangsiapa yang melaknat Abu Bakar dan Umar pada pagi hari, tidak akan ditulis baginya satu keburukkan sehingga petang, dan barangsiapa melaknat keduanya pada petang hari, takkan ditulis baginya satu keburukkan sehingga pagi tiba”. (Dhiya’u Ash Shalihin : 513)

Orang-orang Syiah amat berdendam dengan Saidina Umar bin Al-Khattab sehinggakan mereka merayakan hari pembunuhannya. Manakala pembunuh Saidina Umar, iaitu Abu Lukluah kuburnya sentiasa diziarahi serta diangkat sebagai wira dan digelar dengan gelaran sebagai Baba Syuja’uddin (Pintu keberanian bagi Agama).

Di dalam kitab Zadul Maad karya Mulla Baqir Majlisi ada menyebut tentang kelebihan bergembira pada hari pembunuhan Saidina Umar, sehinggakan Syiah Imamiyah berpendapat penganutnya boleh melakukan apa sahaja pada hari kematian Saidina Omar kerana pada hari itu dosa mereka tidak akan dicatat oleh malaikat.

“ Rasulullah saw bersabda : Bahawa Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat supaya menjadikan hari kematian orang yang zalim itu sebagai hari Syiahku dan keluargaku. Allah menugaskan para malaikat yang mencatat perbuatan hamba-hambaNya supaya berhenti mencatat dosa pada hari itu dan tiga hari berikutnya. Maka untuk itu, untukmu Muhammad dan untuk umatmu, tiga hari dosa tidak ditulis. Hari-hari itu adalah sebagai cuti untuk menghargai pewaris-pewarismu, untukmu dan untuk keluargamu dan pencinta-pencintamu yang bersusah payah supaya berhari raya.”

Selanjutnya di dalam kitab ini juga ditulis,

“ Dan barangsiapa yang memeriahkan hari raya ini, aku bersumpah dengan kehormatan dan kemuliaanku, akan ku beri ganjaran-ganjaran para malaikat yang mengililingi ‘Arasy dan akan ku beri syafaat untuknya dan untuk kaum keluarga terdekatnya... ”

Syiah Imamiyyah amat membenci isteri-isteri Rasulullah saw, khususnya Saidatina Aisyah. Tokoh ulama besar mereka Maulla Baqir Al-Majlisi telah mengadakan satu bab yang khusus dalam kitabnya, Hayatul Qulub bertajuk “Bab yang ke 55 pada menyatakan kecelakaan Aisyah .” Di dalam bab ini berkali-kali pengarangnya mengatakan Aisyah dan Hafshah sebagai munafik dan kafir.

Beliau mengemukakan riwayat yang kononnya muktabar tentang Aisyah dan Hafshahlah yang telah meracuni Nabi sehingga mengakibatkan kewafatan baginda. Al-Aisyyasyi telah meriwayatkan dengan sanad yang muktabr dari Imam Ja’afar Sadiq bahawa Aisyah dan Hafshah telah mensyahidkan Rasulullah dengan meracuni baginda.

Komentar

Ternyata fahaman Syiah yang mengkafir dan melaknat para sahabat serta isteri-isteri Nabi saw khususnya Aisyah, merupakan satu perbuatan yang sangat terkutuk dan tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Terdapat banyak ayat Al-Quran yang memuji para sahabat Nabi saw serta isteri-isteri baginda.. Antaranya ialah firman Allah SWT,

“ Dan orang-orang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut( jejak langkah) mereka dengan kebaikkan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar . ” (Surah At-Taubah : 100)

Al-Quran sangat memuliakan isteri-isteri Rasulullah saw. Firman Allah SWT,

“...Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasulullah dan tidak boleh berkahwin dengan isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah SWT ".(Surah Al-Ahzab : 53)

Dalam sepotong hadis, Nabi saw sangat melarang umatnya daripada mencela para sahabat. Sabda baginda saw,

لا تسبوا أصحابى فلو أن أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا ما بلغ مد أحدهم ولا نصيفة

Maksudnya : Janganlah kamu mencela para sahabatku. Kalaulah seseorang kamu menafkahkan emas sebesar bukit Uhud, nescaya belum sampai secupak atau setengah cupak dari apa yang mereka nafkahkan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Satu ketika para sahabat telah bertanyakan Rasulullah saw, “Siapakah antara golongan manusia yang paling baik ?”. Jawab Nabi saw,

قرنى ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

Maksudnya : Mereka yang ada pada kurunku, kemudian mereka yang datang selepas itu, kemudian mereka yang datang selepas itu. (Sahih Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Berdasarkan hadis di atas, para ulama sepakat mengatakan bahawa generasi yang paling baik dalam sejarah ialah generasi Nabi saw iaitu para sahabat baginda. Kenyataan ini menafikan dakwaan puak Syiah yang menganggap bahawa semua sahabat Nabi saw telah murtad.

Mengatakan para sahabat dan isteri Rasulullah saw sebagai kafir seolah-olah menunjukkan Nabi Muhammad saw telah gagal dalam usaha mendidik para sahabat dan isteri baginda sehingga semuanya menjadi murtad selepas kewafatannya. Dan lebih dahsyat lagi, dakwaan seperti ini seolah-olah menunjukkan Allah SWT itu bersifat lemah kerana melantik Nabinya yang gagal melaksanakan tanggungjawab !.

2. Meyakini Ar-Raj’ah

Dendam Syiah Imamiah tidak terhenti begitu sahaja. Dendam yang begitu mendalam dilampiaskan melalui satu akidah yang mereka cipta iaitu Ar-Raj’ah. Ar-Raj’ah ialah keyakinan orang-orang Syiah bahawa imam mereka yang ke dua belas iaitu Muhammad bin Al-‘Askari atau digelar Qaim Ali Muhammad ( penegak keluarga Muhammad) akan dibangkitkan semula di akhir zaman sebagai Imam Mahdi.

Apabila Imam Mahdi muncul kelak, dia akan menghidupkan semula semua para sahabat yang menjadi musuh utama Syiah Imamiyah untuk membalas dendam serta menghukum para sahabat. Berkata Sayid Al-Murtadho di dalam kitabnya Al-Masail Al-Nashriyyah :

“ Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar akan disalib pada saat itu di atas satu pohon di zaman Al-Mahdi (Imam mereka yang kedua belas) dan pohon itu pertamanya basah sebelum penyaliban, lalu menjadi kering setelahnya. ”

Imam Mahdi juga akan menghidupkan semula Saidatina ‘Aisyah dari kubur untuk dilaksanakan hukuman hudud ke atas dirinya. Inilah yang disebut oleh Imam mereka Muhammad Al-Baqir dalam kitabnya Haqul Yakin,

“ Jika Al-Mahdi keluar, maka sesungguhnya dia akan menghidupkan ‘Aisyah Ummul Mukminin dan dia akan melaksanakan hukuman hudud ke atas diri ‘Aisyah”.

Ada juga di antara mereka yang beranggapan bahawa yang akan dibangkitkan nanti bukan sahaja Imam mereka yang kedua belas tetapi seluruh imam-imamnya. Menurut At-Tarbasi,

“Para Imam akan dibangkitkan kembali (raj’ah)sebelum kiamat sebagai mukjizat mereka”. (At-Tarbasi : Majma’ Al-Bayan)

Komentar

Ternyata kepercayaan orang-orang Syiah bahawa manusia yang telah meninggal dunia boleh dihidupkan semula ke alam dunia adalah satu keyakinan yang dusta dan amat jelas bertentangan dengan nas al-Quran. Allah SWT menegaskan bahawa roh mereka yang telah meninggal dunia itu akan tetap berada di alam barzakh sehingga pada hari Qiamat. FirmanNya :

“ Kesudahan golongan yang kufur engkar itu apabila sampai aajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia : Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) ; supaya aaku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak ! Masakan dapat ? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari Qiamat)”. (Al-Mukminun : 99-100)

3. Menganggap Imam-Imam mereka maksum

Diantara doktrin utama golongan Syiah adalah kepimpinan umat Islam sepatutnya berada di tangan Saidina Ali kwj dan keturunannya setelah wafatnya Rasulullah saw. Dari doktrin ini wujudlah 12 orang Imam bermula dari Saidina Ali sehinggalah yang terakhir iaitu Muhammad bin Hassan Al-‘Askari.

Imam Khomeini pemimpin revolusi Iran yang menjadi idola bagi negara Syiah Iran dan kelompok Hizbullah di Lubanan beranggapan bahawa Imam-Imam mereka lebih mulia daripada para Malaikat dan Nabi-Nabi. Kata-katanya yang sesat itu telah ditulis dalam kitabnya yang masyhur iaitu Hukumat Al-Islamiyyah seperti berikut :

“Sesungguhnya Imam-Imam kita mempunyai satu kedudukkan yang tidak bisa dicapai oleh malaikat yang didekatkan, dan tidak pula oleh Nabi yang di utus ”

Diriwayatkan juga daripada Jaafar As-Sadiq :

“Sesungguhnya aku mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi. Aku mengetahui apa yang ada di Syurga dan di Neraka. Aku mengetahui ilmu tentang zaman silam dan ilmu tentang zaman akan datang ”. (Usul Kafi, jilid 1 : 261)

Komentar

Tidak terdapat nas sama ada dari Al-Quran dan Hadis yang menyokong iktikad mereka. Malah ini adalah satu kepercayaan yang jauh menyeleweng, kufur, sesat dan khurafat serta tidak boleh diterima olah akal yang waras.

Kesimpulan

Melihat tingkah laku Syiah di Iraq yang semakin menjadi-jadi dan bermaharajalela selepas kejatuhan Saddam Hussein, masjid-masjid puak sunnah di bakar, ulama-ulama sunnah dibunuh, kampung-kampung mereka di bom, seolah-olah puak Sunnah mahu dihapuskan dari bumi Iraq, Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi, seorang ulama besar Islam yang sering mengumandangkan seruan ke arah taqrib (pendekatan) bagaikan hilang sabar.

Dalam satu kenyataannya semasa menutup Muktamar Antarabangsa Pendekatan Antara Mazhab, beliau berkata,

“Tidak mungkin berlaku pendekatan jika Syiah masih terus berpegang dengan akidah yang mencela sahabat r.a.... ”

Katanya lagi,

“ Tidak mungkin boleh berlaku pendekatan antara orang yang mengatakan Umar r.anhu ( semoga Allah meredhainya) dengan orang yang mengatakan Umar la’nahullahu (semoga allah melaknatnya). Atau antara yang mengatakan Aisyah radhiallahu ‘anha (semoga Allah meredhainya) dengan orang yang mencaci dan menghinanya dngan tuduhan yang sangat keji".

Wallahualam.

Di kuliahkan,

Di sekitar Masjid dan Surau daerah Seremban.

Dinukil dari,

1.Mohd Yaakub Mohd Yunus, Kenapa Kita Perlu Menolak Syiah, Majalah i Mac 2007
2.Zain Y.S , Syiah dan Sahabat Rasulullah saw, Majalah i Mac 2007
3.http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html
4.http://www.darulkautsar.com/pemurnianaqidah/syiah/bahayasyiah.htm
5.Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Pertelingkahan Para Sahabat Nabi saw : Antara Ketulinan Fakta Dengan Pembohongan Sejarah , Pustaka Yamien Sdn Bhd, Kuala Lumpu 2002.

Sunday, May 22, 2011

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Bacaan di Maqam Rasulullah saw

"Mat.., aku dengar kau nak pergi umrah bulan depan. Tolong sampaikan salam aku pada Nabi saw", kata Ngadiran.

"Insya Allah", jawab Mat dengan konfiden.

Sebenarnya dia jahil.., tak tahu macam mana nak sampaikan kiriman salam kepada Nabi saw.

Di rumah Mat menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Masa taklimat umrah baru-baru ini tak ada pula wakil syarikat mengajarnya cara-cara menyampaikan kiriman salam kepada Rasulullah.

Lalu dia tanya isterinya. Mana tahu isterinya ada maklumat tentang hal itu.

"Entahlah..", jawab Markonah sambil melipat kain.

"Cuba abang tanya Ustaz Sartono", cadang isterinya pula.

Mat mengambil telefon bimbitnya. Setelah dua tiga kali mendail, akhirnya Ustaz Sartono menjawab panggilannya.

"Maaf ana tengah kuliah tadi...", jawab Ustaz Sartono lulusan USIM.

"Ustaz..., saya nak tanya. Macam mana nak sampaikan kiriman salam kepada Rasulullah?", tanya Mat direct kepada soalan.

"Oh senang aja..., datanglah ke rumah saya. Cakap-cakap dalam telefon nanti tersilap pula...", kata Ustaz Sartono lembut.

Pada hari yang dijanjikan Mat datang ke rumah Ustaz Sartono.

"Nah...kat kertas ini ada cara bacaan macam mana nak sampaikan kiriman salam kepada Rasulullah", kata Ustaz Sartono menghulurkan kertas bersaiz A 4 pada Mat.

"Terima kasih Ustaz...", kata Mat sebelum menghidupkan enjin motorsikal Yamahanya untuk pulang.

Kertas yang diberi oleh Ustaz Sartono kepada Mat


* Cerita di atas hanyalah rekaan sahaja.

Sunday, May 15, 2011

UMRAH : PANDUAN BERMUSAFIR

Adab bermusafir :

1- Menyelesaikan perbalahan dan kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain. Begitu juga memulangkan barang-barang simpanan kepada pemiliknya.

2- Membawa bekalan yang halal dan meninggalkan perbelanjaan yang mencukupi kepada orang-orang yang wajib dibiayai nafkahnya seperti isteri, anak dan bapa.

3- Bermusafir hendaklah dilakukan bersama kawan-kawan sama ada bertiga atau berempat selepas dipilih daripada kalangan yang sesuai bermusafir bersamanya.

4- Hendaklah melantik salah seorang daripada teman-teman yang bermusafir sebagai ketua yang akan mempengerusikan perbincangan antara mereka.

5- Menunaikan solat sunat musafir. Caranya :

i- Berniat:أصلي سنة السفر ركعتين لله تعالى

Sahaja aku solat sunat musafir dua rakaat kerana Allah taala

ii. Rakaat 1: Surah al-Kafirun, rakaat 2: Surah al-Ikhlas

iii- Berdoa utk keselamatan, kemudahan & keberkatan dalam perjalanan pergi dan balik

Doa dari rumah menuju ke Lapangan Terbang (Atas kenderaan)

سبحان الذي سخرلنا هذا وما كنا له مقرنين وإنا إلى ربنا لمنقلبون

SUBHANAL LAZI SAKH KHARALANA HAZA WA MA KUNNA LAHU MUQRININIIN WA INNA ILA RABBINA LAMUN QALIBUUN

Doa di atas Kapal Terbang


بسم الله مجريها ومرسها إن ربي لغفور رحيم

BISMILLAHI MAJRIHA WAMUR SAHA INNA RABBI LAGHAFUR RUR RAHIM

Thursday, May 12, 2011

Sakit yang lama berulang kembali


Sejak dua hari lepas saya berjalan terhencot-hencot.

Tumit kaki kanan terasa sakit kalau di pijak. Paling sakit jika bangun pada waktu pagi. Saya terpaksa melompat-lompat menggunakan kaki kiri untuk ke bilik air.

Solat pun duduk di atas kerusi.

Ketika masuk ke kereta, dahi berkerut menahan derita.

"Kasihan ayah...", kata anak-anak yang bersimpati.

"Itulah... ayah engkau degil, tak mahu ke klinik", bebel pula isteri.

Di tempat kerja

“Kenapa ustaz ?”, tanya seorang rakan bila melihat saya berjalan terjengket-jengket.

“Tak ada apa-apa..mungkin tergeliat ”, kata saya.

Di sekolah, pergerakan saya hanya terhad di dalam kelas sahaja. Malas ke bilik guru atau pun ke library.

Time makan tengah hari saya hanya makan nasi bungkus, di beli semasa bersarapan pagi di pekan Mantin.

Cukup terseksa untuk berjalan ke Dining Hall.

Pendekata penyakit ini mengubah aktiviti harian saya.

Latar belakang penyakit.

Saya sudah lama menderita penyakit ini. Sejak empat atau lima tahun yang lalu.

Kesakitan yang saya alami ini datang sekali sekala. Ada masa setahun dua tiga kali.

Lokasi kesakitan bukan sahaja datang dari tumit, kerana ada masa-masa tertentu ia datang juga dari tapak kaki dan keting.

Pernah juga saya bercadang untuk berjumpa doktor. Namun bila tiba masanya hendak ke klinik, tiba-tiba penyakit ini sembuh serta merta.

Maka hasrat untuk berjumpa doktor pun hilang, sama hilangnya dengan penyakit itu.

Hari ini

Saya sudah tidak tahan lagi. Kaki saya berdenyut-denyut. Nampak seperti ada benjolan kecil di tumit kaki, sudah mula membengkak.

Kali ini saya bertekad mahu berjumpa doktor.

Biar semua misteri kesakitan selama ini terurai.

Justeru saya menghantar ‘sms’ kepada isteri.

“Tolong ambil anak-anak dari sekolah, petang ni abang nak ke klinik”.

Selesai waktu bekerja saya terus ke sebuah klinik di pekan Mantin.

Ketika sesi rawatan,

“Ini bukan gout, kalau gout rasa sakitnya dari arah sendi ”, jelas Dr. Vijay lewat berusia 50 an.

“Jadi apakah penyakit saya ? barah…?, kanser tulang…?”, saya mula berburuk sangka.

Dalam fikiran mula membayangkan sesuatu yang malang. Jika benarlah jangkaan saya, waduh ! ia merupakan ujian paling berat dalam hidup saya.

“Bukan?, kalau barah atau kanser tulang, kaki you akan bengkak dan akan merebak ke tempat lain”, katanya lagi.

Syukur Alhamdulillah…, jawapan doktor menyebabkan hati saya merasa lega.

“Habis tu ….. ?” tanya saya meminta kepastian.

“Penyakit you dinamakan “X”, kata doktor menyebut istilah Bahasa Inggeris yang saya sudah lupa sebutannya.

"Ia berpunca daripada lebihan berat badan. Kaki you terlalu kecil untuk menampung berat badan yang besar", tambah doktor lagi.

Doktor mengambil sehelai kertas kosong dan melukis gambar tulang kaki. Kemudian dia memberikan sedikit ‘tazkirah’ kepada saya.

So, kesimpulannya you kena banyak exercise dan kurangkan berat badan. I akan beri you ubat tahan sakit dan kurangkan bengkak. Esok lusa penyakit ini akan sembuh”, kata doktor penuh yakin.

Barulah saya tahu punca penyakit selama ini. Saya berazam untuk mengurangkan berat badan dan banyak melakukan senaman.

“Terima kasih Doktor”, sesi rawatan pun tamat.

Monday, May 9, 2011

KURSUS MENGERJAKAN HAJI DAN UMRAH EKSLUSIF DI RUMAH


Assalamualaikum wrm wbh,

Pengunjung blog yang dihormati sekalian,

Saya ingin menawarkan kursus mengerjakan Haji dan Umrah secara ekslusif di rumah anda. Kelebihan kursus ini ialah :

a. Disampaikan dalam bentuk multimedia dan power point.
b. Seisi rumah boleh bertanya tanpa rasa malu dan segan
c. Bayaran perkhidmatan adalah terpulang kepada tuan rumah (merangkumi minyak kereta dan tol).

Ketika memimpin Kursus Haji Perdana 2010 di Stadium Nilai

Perkhidmatan ini hanya untuk mereka yang tinggal di Negeri Sembilan dan Lembah Kelang sahaja.

Jika berminat, bolehlah berhubung dengan saya 019-6404133.

Wednesday, May 4, 2011

UMRAH 3 - 14 JULAI 2011

Hotel Safoa Taamiz di Mekah

Saya mempelawa tuan-tuan dan puan-puan mengerjakan Umrah Sya'ban pada bulan Julai 2011 ini. Butiran adalah seperti berikut :

Tarikh : 3 hingga 14hb Julai 2011 (12 H / 10 M).

Harga : RM 4888.00 (4 / 5 orang sebilik)

Penerbangan : MAS.

Hotel : Madinah - Manazel Muhajirin 100m dari Masjid Nabawi
Makkah - Safoa Taamiz 200m dari Masjidil Haram.

Syarikat Pengendali : KRS Travel & Tours, Levender Height Seremban.

Alhamdulillah, setakat ini sudah 19 orang yang mendaftar di bawah saya. 4 orang daripadanya akan bertolak pada 29 hb Mei dan balik pada 13 hb Jun melalui penerbangan Gulf Air.

Hotel Manazel Muhajirin di Madinah

Manakala selebihnya Insya Allah akan bersama dengan saya pada 3hb Julai nanti.

Pendaftaran masih terbuka dan tiada had maksima. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan berminat bolehlah hubungi saya.

Dokumen yang diperlukan :

1. Passport : Sah 6 bulan dari tarikh bertolak

2. Gambar 4 keping

3. Salinan surat nikah suami isteri

4. Surat suntikan Meninggococcal

5. Deposit RM 500.00

Tarikh akhir untuk menjelaskan baki bayaran ialah sebulan sebelum bertolak.

Sekian, wassalam.

Monday, May 2, 2011

Hukum berwasiat

Tafsir al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 180-182


Firman Allah SWT,

“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.(180)Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.(181)Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”(182)

Latar belakang ayat

Sebelum kedatangan Islam, orang Arab tidak mempunyai undang-undang yang khusus berkaitan tentang harta pusaka. Peraturan yang ada ialah sesiapa yang meninggal dunia harta itu akan jatuh pada kaum kerabat yang paling rapat.

Ada juga yang bebas membahagikan harta-harta mereka kepada sesiapa sahaja yang mereka kehendaki selepas meninggal dunia sehingga mengabaikan kaum kerabat.

Setelah kedatangan Islam, barulah undang-undang pengagihan harta yang meliputi wasiat dan faraid diturun dan diperkenalkan sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayat di atas.

Hukum berwasiat terbahagi kepada tiga :

Pertama : Wajib iaitu pada orang yang menanggung kewajipan seperti hutang yang belum dilangsaikan. Maka orang seperti ini hendaklah menulis dan mencatatkan berapa banyak hutangnya untuk dijelaskan oleh warisnya apabila dia meninggal dunia kelak.

Kedua : Sunat iaitu bagi mereka yang mempunyai harta tetapi tidak ada apa-apa kewajipan yang wajib di selesaikan. Wasiat seperti ini dikira sebagai amal soleh yang sangat baik untuk dilakukan. Sabda Rasulullah saw,

“Apabila mati anak Adam, maka akan terputuslah segala pahala amalannya melainkan tiga amalan iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai contoh kata suami kepada isteri : “Bila abang sudah meninggal dunia nanti, sebelum faraidkan duit KWSP, keluarkan RM 1000.00 dan sedekahkan kepada anak-anak yatim”.

Atau,

“Bila abang sudah meninggal dunia nanti keluarkan satu pertiga daripada duit simpanan abang, dan belikan Al-Quran untuk disedekahkan kepada mana-mana masjid dan surau”.

Orang Islam yang membuat wasiat seperti ini adalah orang yang beruntung dan matinya di atas jalan yang benar. Sabda Rasulullah saw,

“Barangsiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan ini dan sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan”. (Riwayat Ibnu Majah)

Manakala mereka yang berharta tetapi tidak berwasiat seperti ini adalah malang sebagaimana sabda baginda saw,

“Orang yang malang adalah orang yang tidak sempat berwasiat”. (Riwayat Ibnu Majah)

Namun wasiat seperti ini tidak boleh melebihi satu pertiga. Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud yang mempunyai banyak harta kekayaan. Ketika Nabi saw datang ke Mekah menziarahinya beliau mengambil kesempatan untuk bertanya perihal harta-hartanya,

جاءني رسول الله (ص) يعودني عام حجة الوداع من وجع اشتد بي فقلت : يا رسول الله إني قد بلغ بي من الوجع ما ترى , وأنا ذو مال ولا يرثني إلا ابنة لي, أفأتصدق بثلثى مالي ؟ قال : لا , قلت : فالشطر يا رسول الله ؟ فقال : لا, قلت فالثلث يا رسول الله ؟ قال : الثلث والثلث كثير أو كبير إنك إن تذر ورثتك أغنياء خير من أن تذرهم عالة يتكففون الناس


Maksudnya : Rasulullah saw menziarahi aku pada tahun Haji Wada’ ketika aku sedang sakit tenat. Aku memberitahu baginda bahawa aku seperti yang diketahuinya sedang sakit kuat, sedangkan aku epunyai harta, tiada siapa yang akan mempesakai harta itu melainan seorang anak perempuan sahaja. Aku bertanya baginda : Boleh kah aku meninggalkan wasiat supaya bersedekah sebanyak dua pertiga daripaa keseluruhan hartaku ? Baginda saw menjawab : Tidak harus sedekah sebanyak itu. Aku bertanya lagi : Bolehkan aku bersedekah separuh daripadanya ? Sabda baginda : Separuh pun tidak boleh. Aku bertanya lagi : Bolehkah aku berwasiat supaya bersedekah satu pertiga sahaja daripadanya ? Jawab Rasulullah : Ya, satu pertiga pun banyak atau besar kadarnya. Andainya engkau tinggalkan waris-waris engkau kaya raya, lebih baik bagimu dari meninggalkan mereka miskin dan bergantung harap kepada orang lain.

Sebuah lagi hadis yang lain,

وفي لفظ : عادنى رسول الله (ص) فى مرضي فقال : أوصيت ؟ قلت نعم , قال : بكم ؟ قال : بما لي كله في سبيل الله . قال : فما تركت لولدك ؟ قلت : هم أغنياء, قال : أوص بالعشر , فما زال يقول , وأقول, حتى قال : أوص بلثلث والثلث كثير أو كبير


Maksudnya : Dalam satu lafaz dikatakan : Rasulullah saw menziarahi aku ketika aku dalam keadaan sakit, lalu baginda bertanya: “Apakah engkau sudah berwasiat ? Aku menjawab: Sudah. Rasulullah saw bertanya lagi : “Berapa ?”. Aku menjawab : Seemua hartaku diwasiatkan ke fi sabilillah, Nabi saw bertanya lagi : “ Lalu apa yang engkau tinggalkan untuk anak-anakmu?”. Aku menjawab : Mereka adalah orang-orang kaya. Lalu baginda pun bersabda, “Wasiatkanlah satu persepuluh. Kalimah itu diulang-ulang dan aku aku pula berulang-ulang mengatakan semua sehinggalah baginda bersabda: “Wasiatkanlah satu pertiga kerana satu pertiga itu sudah cukup banyak atau besar”. (HR Nasaei dan Imam Ahmad).

Ketiga : Harus seperti berwasiat agar mengkebumikannya di tempat-tempat tertentu. Wasiat seperti ini pernah di lakukan oleh Saidina Omar bin al-Khattab, Aisyah dan Ibnu Umar. Namun jika ada halangan, maka harus dikebuikan dimana-mana tanah perkuburan Islam.

Pada ayat 180 Allah SWT mewajibkan setiap orang Islam yang mempunyai kelebihan harta dan memiliki tanda-tanda kematian yang semakin menghampiri supaya meninggalkan wasiat sebahagian harta untuk diberikan kepada kedua ibu bapa dan kaum keluarga yang terdekat secara adil dan baik. Jangan berwasiat harta kepada orang kaya dan mengabaikan pula orang-orang miskin dan tidak boleh berwasiat lebih daripada satu pertiga.

Menurut jumhur ulama : Wasiat pada awal Islam diwajibkan kepada kedua ibu bapa simati dan kaum kerabatnya yang terdekat mengikut kadar pembahagian yang difikirkan adil, , tetapi hukum ini telah dimansuhkan apabila turunnya ayat-ayat tentang pembahagian harta pusaka (faraid).

Justeru, wasiat harta kepada ahli waris seperti ibu bapa, anak-anak dan isteri tidak lagi diharuskan kerana masing-masing sudah terjamin untuk mendapat bahagian masing-masing seperti isteri ibu bapa mendapat satu perenam setiap orang, isteri mendapat satu perempat jika tidak memiliki anak, tetapi jika mempunyai anak isteri mendapat satu perlapan manakala anak pula dikira sebagai asobah iaitu yang menghabiskan baki harta dengan pembahagian anak lelaki mendapat satu bahagian dan anak perempuan sebahagian.

Hal ini termaktub dalam surah al-Nisa’ : Ayat 11, 12, dan 176) iaitu ayat yang secara khusus menyentuh peruntukan bahagian ditetapkan ke atas waris dalam pembahagian harta pusaka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak, maka tiada wasiat untuk warisnya.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Namun ada juga pendapat di kalangan ulama mengatakan ayat-ayat berkaitan wasiat masih kekal berkuatkuasa walaupun setelah turun ayat-ayat berkaitan pembahagian harta pusaka. Ini kerana terdapat kategori-kategori keluarga yang terhalang dari mendapat harta pusaka seperti ibu bapa yang kafir dan tidak boleh menerima pusaka kerana berlainan agama. Begitu juga para cucu yang kematian bapa sebelum kematian datuknya. Di mana harta datuk itu tidak boleh diwariskan kepada cucu jika datuk itu ada meninggalkan anak-anaknya yang lain. Sedangkan jika arawah bapa cucu ini masih hidup, arwah bapanya berhak ke atas harta datuk dan boleh pula mewariskan harta itu kepada anaknya.

Oleh itu dengan kekalnya hukum wasiat seperti surah Al-Baqarah ayat 180 di atas maka dapatlah menolong cucu-cucu ini kerana mereka masih kecil dan perlukan pembelaan.

Pada ayat 181, Allah SWT menjelaskan pemegang-pemegang wasiat hendaklah jujur dan beramanah pada melaksanakan wasiat yang diamanahkan kepadanya. Melaksanakan wasiat hendaklah diletakkan pada peringkat keutamaan dalam pembahagian harta peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia.

Firman Allah SWT,

“Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya..”

Maksud dari ayat diatas adalah barang siapa yang mengubah wasiat, menambah, mengurangi, atau menyembunyikannya, maka dosanya hanya ditanggung oleh orang yang mengubahnya sedangkan pahala orang yang berwasiat tetap tidak akan berkurang.

Ayat ini adalah dalil bahawa mana-mana orang yang berhutang dan telah berwasiat agar dilunaskan hutang-hutangnya dari harta peninggalannya selepas meninggal dunia namun tidak dilaksanakan wasiat tersebut oleh si pemegang amanah atau melwat-lewatkan pembayaran hutang maka orang yang berhutang ini terlepas daripada dosa.

Sebaliknya yang menanggung dosa tersebut ialah si pemegang amanah yang mengkhinati amanah, tidak mahu melunaskan hutang atau melenagguh-nangguhkan pembayaran hutang simati.

Firman Allah SWT dihujung ayat 181,

“sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Allah SWT memberitahu agar pihak yang ingin meninggalkan wasiat itu supaya tidak bimbang terhadap pihak yang memegang wasiat kerana Allah adalah sebaik-baik saksi lagi yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui jika terdapat sebarang penyelewengan tentang wasiat itu.

Firman Allah pada ayat 182,

“Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Secara hakikinya wasiat tidak boleh diubah. Namun jika si pemegang wasiat itu memikirkan wasiat itu bertentangan dengan muslihat umum para waris, atau perintah wasiat itu satu pembaziran dan sia-sia, atau menzalimi ahli waris, maka tidaklah berdoasa bagi pemegang wasiat mengubahnya kepada cara yang lebih mendatangkan kebaikan yang banyak.

Wallahualam.