Friday, July 29, 2011

Bicara al-Quran mengenai kurma


Oleh DR. MOHD. ASMADI YAKOB

BULAN Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun ini seperti juga kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.

Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.

Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.

Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.

Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut sekali.

Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.

Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan 'ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang paling bermutu.

Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang sama.

Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An'am: 99)

Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.

Nikmat yang wajib disyukuri

Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-An'am: 141)

Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.

Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum 'Ad yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.

Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun'aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).

Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.

Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.

Golongan yang ingkar

Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.

Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.

Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.

Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat keadaan mereka.

Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.

Kisah Maryam

Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.

Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.

Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.

Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.

Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.

Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.

Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.

Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.

Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.

Sumber: Utusan Malaysia

Tuesday, July 26, 2011

Manusia perlu pengampunan Tuhan

Besar mana dosa seseorang, besar lagi rahmat dan pengampunan Tuhan

Kisah Nabi Adam a.s memakan buah yang dilarang oleh Allah SWT memberi didikan dan pengajaran kepada manusia supaya sentiasa memohon keampunan daripada-Nya kerana sifat manusia itu tidak sunyi daripada melakukan perkara yang dilarang Allah.

Dorongan melakukan kesalahan ini mungkin kerana hasutan syaitan, kejahilan diri, terlalu dipegaruhi oleh hawa nafsu, mengikut perasaan serta dipengaruhi oleh emosi.

Jalan penyelesaian kepada kesalahan yang dilakukan ialah bertaubat, insaf serta kembali ke jalan-Nya yang sebenar.

Firman Allah SWT,

“ Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha” (At-Tahrim 008)

Sabda Rasulullah saw,

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ


Maksudnya : Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baiknya orang yang bersalah adalah yang bertaubat. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Peluang taubat yang diberikan Allah SWT menujukkan betapa sifat maghfirah, rahmat dan kasih sayang Tuhan kepada manusia sebagai makhluk yang bersifat lemah.

Walaupun dosa yang dilakukan manusia itu sebesar langit dan bumi, namun Allah SWT tetap akan memberi pengampunan kerana Dia adalah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Sabda baginda saw,

عن أنس رضى الله عنه قال : سمعت رسول الله (ص) يقول : قال الله تعالى : يا ابن أدم إنك ما دعوتنى ورجوتنى غفرت لك على ما كان منك ولا أبالى يا ابن أدم لو بلغت ذنوبك عنان السماء ثم استغفرتنى غفرت لك . يا ابن أدم إنك لو أتيتنى بقراب الأرض خطايا ثم لقيتنى لا تشرك بي شيئا لأتيتك بقرابها مغفرة – رواه الترمذى وقال : حديث حسن صحيح


Maksudnya : Daripada Anas r.a berkata : Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda : Telah berfirman Allah SWT ; Wahai anak Adam ! Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam ! Andai kata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni. Wahai anak Adam ! Andaikata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tiada menyengutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula. (Hadis riwayat Tirmizi)

Lihat sahaja contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw. Walaupun baginda seorang yang maksum, namun baginda turut memohon ampun kepada Allah SWT. Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadisnya,

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ، فِي الْيَوْمِ، أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya : Demi Allah, Sesungguhnya aku beristighfar dan bertobat kepada-Nya pada setiap lebih dari tujuh puluh kali. (Hadis riwayat Bukhari)


Pengajaran daripada hadis ini, jika Rasul-Rasul yang bersifat maksum sentiasa memohon keampunan dari Tuhan, maka lebih-lebih lagilah umatnya yang tidak maksum, yang tidak sunyi daripada melakukan sebarang kesalahan dan juga dosa.

Justeru, adalah perlu bagi mereka untuk sentiasa bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Banyak kelebihan bagi mereka yang bertaubat kepada Allah SWT. Selain dosa-dosa mereka diampunkan, mereka juga berpeluang untuk mendiami syurga-Nya yang seluas langit dan bumi.

Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya,

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;” (Ali-'Imran 133)


Sekian.

Salam tazkirah daripada,

Abu Sofea

Bertadabbur dengan al-Quran

Assalamualaikum wrm wbh,

Syukur Alhamdulillah, hari ini 26 Julai 2011, sebuah lagi artikel saya diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia di muka surat 23, ruangan Agama.

Selamat membaca !

Al-Haqir wal Faqir Ilallah.

Abu Sofea

Friday, July 22, 2011

Pelbagai cara mengenal Allah SWT

Allah SWT boleh dikenali melalui ayat-ayat Manzurah

Mengenal Allah SWT boleh melalui ayat-ayat atau tanda-tandanya. Ayat-ayat Allah SWT terbahagi kepada dua iaitu Ayat Manzurah dan Ayat Maqru’ah.

Ayat-Ayat Manzurah ialah ayat-ayat yang boleh dilihat dengan pancaindera iaitu kejadian alam ini.

Melalui pengamatan manusia kepada tanda-tanda kejadian alam ini akan memudahkan mereka berma’rifat kepada Allah SWT.

Alam ini diibarat seperti sebuah kitab yang isi kandungannya sarat dengan makhluk dan fenomena-fenomena alam yang beranika rupa.

Manakala Ayat Maqru’ah ialah ayat-ayat Al-Quran itu sendiri yang dibaca dan ditadabbur sehingga kebesaran Allah SWT dapat dirasa dan diresap di dalam diri dan jiwa. Firman Allah SWT,

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah". (Al-Anfal 002)

Jalan lain untuk mengenal Allah SWT ialah dengan memahami nama-nama Allah SWT yang baik serta sifat-sifat-Nya yang luhur dan tinggi.

Nama-nama dan sifat-Nya itulah yang menjadi perantara yang digunakan oleh Allah SWT agar semua makhluk dapat mengenal serta mengetahui kebesaran-Nya.

Firman Allah SWT,

"Katakan, Serulah Allah atau serulah Rahman mana-mana sahaja nama yang kamu seru. Dia mempunyai nama-nama yang baik". (Al-Israa’ 110)

Justeru seseorang yang hendak mengenal Allah SWT melalui cara ini, hendaklah terlebih dahulu mengetahui maksud dan pengertian nama-nama serta sifat-sifat-Nya yang tersebut.

Melalui tadabbur seperti ini seseorang itu akan dapat memahami kesempurnaan, keagungan dan kehebatan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta.

Sekian wa ilal liqa',

Abu Sofeya

Saturday, July 16, 2011

Raudhatus Sakinah sudah pun berdaftar

Mewakili Ust Nor Azamir Alias

Alhamdulillah, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal Raudhatus Sakinah yang beralamat di Rumah Nenek Maryam Blok C Ampangan telah pun diluluskan pendaftarannya oleh pejabat pendaftar pertubuhan.

Majlis dimulai dengan tahlil dan doa selamat

Pagi tadi bertempat di rumah Nenek Maryam, telah diadakan majlis tahlil dan doa selamat serta penyampaian sumbangan derma kepada lebih 100 orang anak-anak yatim dan 40 ibu tunggal yang berdaftar dengan pertubuhan ini.

Sumbangan sepatutnya disampaikan oleh Pengerusi Raudhatus Sakinah iaitu Ybhg Al-Fadhil Ust Nor Azamir Alias yang juga Timbalan Mufti NS.

Di belakang tabir Raudhatus Sakinah

Namun beliau tidak dapat hadir kerana ada tugas yang perlu disempurnakan di Sri Menanti Kuala Pilah.

Justeru pihak Raudhatus Sakinah meminta saya sebagai AJK untuk mewakilkan beliau.

Bak kata pepatah, 'tiada rotan akar pun jadi'.

Sebahagian ibu-ibu tunggal yang hadir

Di kesempatan ini pihak Raudhatus Sakinah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua dermawan yang telah menyumbang dana kepada pertubuhan ini.

Begitu juga pihak yang telah bertungkus lumus demi menjayakan majlis yang penuh berkat ini sehingga selesai.

Alhamdulillah cuaca pagi ini agak baik

Mudah-mudahan segala sumbangan tuan puan akan diberi ganjaran yang berpanjangan sehingga ke akhirat.

Sekian coretan daripada hamba Allah yang dhaif,

Abu Sofeya.

Friday, July 15, 2011

Mari betulkan bacaan Fatihah



Agama itu nasihat.

Nasihat ini ditujukan buat diri saya yang kurang sempurna dan para dua’t ilal Llah secara umum. Sekali-kali saya tidak tujukan kepada sesiapa secara khusus.

Para asatiz yang dihormati,

Dalam kita berdakwah, memberi nasihat itu dan ini sama ada melalui lisan atau tulisan, kadang-kadang ada baiknya kita menoleh dan bermuhasabah pada diri apakah perkara-perkara asas dalam fardhu ain yang kita lakukan sudah pun beres.

Sudah menjadi kebiasaan apabila para du’at berkunjung ke masjid atau surau dalam menyampaikan risalah dakwah, mereka akan diberi keutamaan untuk memimpin solat berjemaah.

Di sinilah para makmum akan memerhati, melihat dan menilai kreadibiliti seseorang da’ei. Jika bacaan Fatihah para du’at betul tajwidnya, syukur Alhamdulillah. Tetapi jika sebaliknya mungkin ada jemaah yang akan mengomel,

“Baca Fatihah pun teruk..,nak ngajar kita pula”.

Para asatiz yang ilmuan,

Fatihah adalah rukun keempat dalam solat. Tanpanya solat seseorang itu tidak sah . Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw,

“Tidak sah solat bagi barangsiapa yang tidak membaca Ummul Quran (yakni, al-Fatihah).’ [Hadith Muslim]

Tidak perlulah kita membaca Fatihah mendayu-dayu seperti Imam Sudais atau Imam Syuraim. Tapi cukuplah kalau tajwid dan makhrajnya betul.

Justeru luangkanlah masa walau sedikit untuk menyemak bacaan Fatihah.

Perhatikan yang mana satu kalimah yang perlu diizhar tanpa diikhfakkan.

Demikian juga dengan hukum mad dan sebagainya.

Salam hormat daripada saya yang masih belajar.

Al haqir-wal-faqir ilal Llah.

Abu Sofeya.

Wallahualam.

Thursday, July 14, 2011

Kenangan Umrah 3-14 Julai 2011

Pagi sebelum berangkat

Kota Mekah ibarat sebuah universiti kehidupan. Ia mendidik manusia erti kesabaran, setiakawan, belas kasihan, bertimbang rasa, hormat menghormati, rendah diri, tolong menolong dan bekerja sama.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semuanya. Teristimewa buat isteri tersayang dan anak-anak yang sanggup ditinggalkan.

Begitu juga sanak saudara, jiran-jiran, rakan-rakan, jemaah masjid dan surau yang banyak memberi dorongan dan kata-kata nasihat.

Terima kasih juga diucapkan kepada ahli-ahli rombongan. Gelak ketawa, senda gurau dan susah sedih yang kita lalui bersama akan terpahat sebagai kenangan paling berharga.

Alhamdulillah segala-galanya sudah pun selesai dan selamat. Hanya kepada Allah SWT kita serahkan amalan kita.

Insya Allah jika ada umur yang panjang kita berjumpa lagi.

Salam hormat daripada saya.

Abu Sofeya

Kelihatan Makcik Bedah (bertongkat) yang begitu ceria

Masih sempat menghafal doa di KLIA

Apabila MH 151 sudah mula bergerak

Sejam sebelum mendarat

En Kamaruddin dan isterinya Fatimah (dari Kuantan) yang turut serta dalam rombongan

Subuh pertama di Masjid Nabawi

Kenangan di makam Rasulullah

Menziarahi perkuburan Baqi'

Aktiviti 'melontar riyal' di Pasar Kurma

Di sisi bukit Uhud

Di Jabal Rahmah

Selesai umrah pertama, berehat sambil menunggu waktu Subuh

Bersama Dato' Zulkarnain dan isterinya Datin Sabariah

Bacaan Yasin dan Tahlil Arwah

Ada yang khusyuk mengaminkan doa dan ada juga terlelap, mungkin keletihan

Yang tua dihormati, yang muda disayangi

Bermiqat di Tana'eim

Di ladang ternakan unta

Di hadapan binaan Masjid Hudaibiyah yang lama

Kenangan di Masjid terapung, Jeddah

Di Terminal Haji sebelum berangkat pulang

Saturday, July 2, 2011

“Kami ikut aje ….”

Labbaikallahummalabbaik

Tiga hari lepas,

“Ustaz, saya nak sahkan flight ustaz Ahad ni pukul 12.45 tgh hari. Ustaz dan rombongan kena berada di KLIA paling awal pukul 9.30 pagi. Tunggu di paras 5 kaunter L”, kata En. Alif kakitangan KRS Travel, Senawang.

“Berapa orang semuanya?”, tanya saya minta kepastian.

“31 orang. Ada yang daftar di cawangan KRS Kuala Lumpur. Saya telah maklumkan kepada mereka tentang jadual flight. Cuma adik beradik ustaz sahaja yang saya tak maklumkan. Minta Ustaz tolong sampaikan maklumat ini kepada mereka ”, jawab En. Alif.

No problem”, respon saya.

Pertama kali sebagai trip leader

Berbeza dengan pengalaman sebelumnya, inilah kali pertama saya diberi mandat sebagai ketua rombongan.

Sebagai trip leader, tentulah banyak karenah yang bakal saya hadapi daripada ahli-ahli rombongan. Moga-moga Allah SWT sentiasa memberi kesabaran dan kecekalan kepada saya dalam memimpin mereka.

Hasil perbualan saya dengan beberapa ahli rombongan ketika menyampaikan taklimat umrah baru-baru ini, majoriti mereka belum pernah ke tanah suci.

“Kami tak tahu apa-apa…, kami hanya ikut ustaz aje…”, kata seorang wanita muda.

“Saya pun…”, sampuk seorang rakannya.

“Ha’ ah…, apa yang Ustaz buat kita ikut aje.., tak perlu nak susah-susah”, kata seorang makcik sambil mengusap-usap lututnya. Mungkin dia mengalami sakit lutut.

“Boleh, tapi kalau saya masuk ke tandas, jangan pula puan-puan ikut saya ”, respon saya di sambut gelak ketawa oleh peserta rombongan yang lain.

Peserta yang paling tua berusia 84 tahun.

Untuk warga emas ini, saya sudah pun memaklumkan kepada warisnya supaya menyediakan sejumlah wang yang banyak sebagai persiapan untuk mengupah seseorang menyorongnya dengan kerusi roda apabila tawaf dan saei nanti.

“Tak boleh ke saya aje yang sorongkan atuk saya tu?”, tanya seorang gadis yang berusia 16 tahun, cucu kepada warga emas ini.

Dari riak wajahnya, seolah-olah tidak sabar untuk memberi khidmat terbaik buat datuk kesayangannya.

“Bagi saya, biarlah kerja-kerja menyorong ini di lakukan oleh orang lelaki di sana yang lebih berpengalaman”, kata saya.

Mendaki Gua Hirak

Insya Allah jika berkelapangan dan sihat, saya bercadang untuk mendaki Gua Hirak (Jaban Nur). Kali pertama saya mendakinya pada tahun 2000, namun gagal sampai ke kemuncak.

Alhamdulillah pada tahun 2004, saya berjaya sampai ke puncak setelah mendaki lebih satu jam lamanya.

Puncak Gua Hirak, dari pandangan jauh. (Sumber http://manzlie-makkah.blogspot.com/)

Pada tahun 2008, saya tidak memanjatnya kerana hendak menyimpan tenaga bagi melakukan kerja-kerja Haji.

Bagaimana pula kali ini ?

Wallahualam, hanya takdir yang menentukan. Doakan semoga saya berjaya sampai ke kemuncak sekali lagi.

Doa saya...

Buat rakan-rakan dan kenalan, insya Allah semasa di sana nanti saya akan doakan kalian semua agar sihat wal’afiat, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Begitu juga saya, turut mengharapkan doa dari kalian semua, semoga saya dan semua peserta rombongan sihat wal’afiat dan dapat melaksanakan kerja-kerja umrah dengan sempurna.

Amin….

Friday, July 1, 2011

Allahyarham Tan Sri Zain Hashim dalam kenangan

Allahyarham Tan Sri Zain Hashim dalam satu majlis

Saya mula mengenali Allahyarham 5 tahun yang lalu. Beliau antara bapa yang rajin menjemput anak bongsunya, Abdul Aziz dari Kolej Tuanku Jaafar setiap kali exeat atau cuti persekolahan.

Jika ada parent teacher meeting, Tan Sri Zain Hashim tidak pernah ‘ponteng’ untuk mengetahui kemajuan akademik anaknya.

“Anak saya sembahyang tak Ustaz?”, tanya beliau satu hari.

“Alhamdulillah, anak Tan Sri komited dalam menunaikan solat fardu”, jawab saya.

Anaknya baru sahaja menamatkan peperiksaan 'O Level' beberapa minggu yang lepas.

Sebagai guru, saya kagum dengan bacaan Al-Quran Abdul Aziz yang fasih, lancar dan betul sebutan tajwidnya.

Pengetahuan agamanya juga cemerlang, menyebabkan saya tidak teragak-agak untuk memberi gred A+ pada setiap kali assessment.

Pada saya Abdul Aziz sungguh berbeza dengan anak-anak VIP yang lain.

“Ayah saya rajin solat berjemaah. Kalau kami ke mana-mana, dia akan singgah di masjid atau surau sekiranya waktu solat sudah masuk”, kata Abdul Aziz menceritakan perihal ayahnya.

Ketika mengambil anak di waktu-waktu cuti sekolah (biasanya tengah hari Jumaat), Tan Sri Zain Hashim selalu menyapa saya sewaktu berada di surau untuk mendirikan solat Jumaat.

“Apa tajuk khutbah Jumaat hari ini ustaz ?”, soalan yang sering ditanya oleh Tan Sri zain Hashim.

Keramahannya menyebabkan saya mati akal untuk berbual lanjut.

Isterinya juga seorang yang komited dengan aktiviti-aktiviti keagamaan.

Puan Sri merupakan murid kepada Sheikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki. Beliau pernah menghadiahkan kepada saya beberapa buah kitab karangan ulama ini.

“Ustaz kenal Sheikh Fuad ?”, tanyanya dalam satu majlis parent teacher meeting beberapa bulan yang lalu.

“Kenal…, dia ulama terkenal”, jawab saya.

“Sheikh Fuad adalah guru kami”, katanya sambil menceritakan kealiman gurunya itu kepada saya.

Sekarang Tan Sri Zain Hashim sudah tiada di bumi ini. Dia sudah kembali kepada Penciptanya.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dimasukkan dalam golongan solihin.

Al-Fatihah….