Monday, October 31, 2011

Ibadah korban


1. Hukum melakukan ibadah korban.

a. Menurut Mazhab Syafie hukum melakukan ibadah korban ialah Sunat Mua’kaddah (sunat yang sangat dituntut). Justeru adalah makruh bagi orang yang berkemampuan tetapi tidak melakukannya.

Manakala menurut Mazhab Hanafi, hukum melakukan ibadah korban itu adalah wajib bagi orang-orang kaya tetapi hanya sunat bagi orang miskin. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“ Sesiapa yang ada kemudahan (harta) dan tidak melakukan korban, maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami”.

b. Wajib jika seseorang itu bernazar.

c. Korban hanya boleh dibuat untuk orang Islam yang masih hidup. Oleh itu tidak sah dibuat korban untuk orang yang sudah mati melainkan kalau ia berwasiat. Adalah lebih baik berdoa, membaca Al-Quran atau bersedekah atas nama mereka yang sudah tiada dan berharap agar pahala ibadah-ibadah tersebut sampai kepada mereka.

Namun menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali berkorban bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia boleh dilaksanakan dan sampai pahalanya

d. Menurut Mazhab Syafie, tidak sah dibuat korban untuk orang yang hidup melainkan setelah mendapat keizinannya. Walaubagaimanapun wali, boleh melakukan ibadah korban daripada hartanya untuk orang yang berada di bawah tanggungannya seperti anak, cucu atau isterinya walaupun tanpa memberitahu orang yang bersangkutan dengannya.

Samalah seperti anak boleh menyembelih korban untuk ibu yang menjadi tanggungannya, meskipun tidak memberitahu ibunya terlebih dahulu.

2. Fadhilat korban.

a. Sebagai penebus dosa sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada anakandanya Fatimah,

يا فاطمة قومى الى أضحيتك فاشهديها , فان لك بأول قطرة تقطر
من دمها أن يغفرلك ما سلف من ذنوبك


Maksudnya : Wahai Fatimah pergilah ke tempat korbanmu dan saksikanlah ia sesungguhnya dengan titisan darah yang pertama itu akan diampunkan dosa-dosamu yang telah lalu. (Hadis riwayat al-Bazzaar dan Ibnu Hibban)

b. Menambah amal kebajikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

الأضحية لصاحبها بكل شعرة حسنة

Maksudnya : Orang yang berkorban itu akan dikurniakan bagi setiap helai bulu binatang korbannya dengan satu kebajikan. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

c. Zaid bin Arqam berkata: ” Mereka telah bertanya. Ya Rasulullah, apakah udhiyyah(korban) itu? Nabi Muhammad SAW menjawab : Ia adalah sunnah bagi bapa kamu
(Nabi Ibrahim). Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita ? Rasulullah SAW menjawab: ” Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.” Mereka bertanya lagi,bagaimana dengan setiap bulu yang halus pula? Sabda Rasulullah SAW bermaksud” Dengan tiap-tiap helai bulu halus itu satu kebaikan.” ( Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah ).


3. Memotong kuku

Ulama juga mengingatkan pihak-pihak yang ingin mengambil bahagian korban supaya tidak memotong kuku dan rambutnya bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai korban. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Ummu Salamah r.a bahawa Nabi SAW bersabda :

“ Apabila kamu menyaksikan anak bulan Zulhijjah dan ingin berkorban, maka janganlah ia memotong kuku dan rambutnya".

Berpandukan kepada hadis ini, sebahagian ulama berpendapat adalah haram bagi mereka yang ingin berkorban memotong kuku dan rambut sehingga selesai korbannya.

Imam syafie berpendapat hanya makruh manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat harus berbuat demikian. Golongan yang berpendapat haram, memberi beberapa alasan. Antara alasannya ialah kerana korban diharap akan membebaskan seseorang daripada neraka. Andainya kuku dan rambutnya dipotong, dibimbangi nanti rambut dan kukunya tidak diselamatkan daripada azab itu. Namun alasan ini tidak bersandarkan dalil yang jelas dan terang.

4. Binatang korban.

a. Binatang yang boleh dibuat korban itu mestilah binatang al-An’aam, seperti unta (umur 5 tahun), lembu, kerbau, kambing (dua tahun), kibasy dan biri-biri (satu tahun lebih).

Walaubagaimanapun Ibnu Abbas r.a berpendapat bahawa sah korban dengan menyembelih ayam atau itik. Pendapat ini turut disokong oleh Sheikh Maidani dan gurunya Sheikh Bajuri. Namun yang lebih menepati sunnah ialah unta, lembu, kerbau kibasy dan kambing.

b. Seekor unta, lembu atau kerbau boleh dikongsi oleh tujuh orang walaupun tidak semuanya berniat untuk melakukan korban, misalnya ada diantaranya berniat untuk akikah dan yang lain mungkin kerana mahukan dagingnya sahaja.

c. Paling afdhal memilih binatang yang bewarna putih, kemudian yang bewarna kuning, kemudian yang bewarna kelabu (putih tetapi tidak bersih putihnya), kemudian yang bewarna merah, kemudian yang sebahagian badannya bewarna putih dan sebahagiannya bewarna hitam dan kemudian bewarna hitam kesemuanya. (mengikut turutan)

d. Disyaratkan binatang itu tidak cacat yang boleh mengurangkan sesuatu yang akan dimakan, umpamanya kudung telinga walaupun sedikit, putus ekornya, gila, yang tidak ada selera untuk makan menyebabkan badannya menjadi kurus, yang berkudis sekalipun sedikit kerana dagingnya telah rosak, yang baru beranak, yang sangat kurus, yang buta sama ada sebelah mata atau kedua-duanya sekali, yang tempang dan yang bunting. Sabda Rasulullah SAW,

أرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الأََضَاحِيِّ فَقَالَ الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا
وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ظَلْعُهَا وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى


Maksudnya:“Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus).” – Hadis riwayat Abu Daud

e. Manakala binatang yang cacat tetapi tidak mengurangkan dagingnya seperti tidak bertanduk kerana patah atau tercabut dan sebagainya, yang ekornya tidak berbulu, yang tidak bergigi, yang terbelah telinganya atau telinganya berlubang maka sah di buat korban.

f. Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan tersebut tidak bunting ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap dianggap sah, jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang bunting.

5. Daging korban

a. Haram bagi sesiapa yang bernazar dan juga orang yang berada di bawah tanggungannya memakan daging korban nazarnya. Sebaliknya daging korban itu hendaklah disedekahkan keseluruhannya termasuklah bulu, tulang belulangnya dan tanduknya.

b. Bagi korban sunat, adalah sunat dan afdhal bagi orang yang melakukan korban itu mengambil sedikit sahaja daripada daging korbannya untuk kegunaan diri dan keluarga sempena mengambil berkat. Adalah lebih afdhal jika mengambil hati atau limpanya berdasarkan hadis riwayat Al-Baihaqi,

“Rasulullah SAW memakan hati korbannya.”

Adalah menyalahi sunnah sekiranya lembu A yang dikorban tetapi daging dari lembu B yang diberi kepada orang yang berkorban.Manakala daging yang selebihnya hendaklah disedekahkan kerana itulah yang lebih baik dalam mendekatkan diri kepada sifat taqwa, menjauhkan diri daripada sifat tamak serta mengelakkan sifat mementingkan diri sendiri. Diutamakan fakir miskin daripada keluarga, kemudian fakir miskin yang menjadi jiran tetangga.

c. Harus juga bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada orang kaya (jiran-jiran) dan satu pertiga lagi untuk dimakan.

d. Bolehkah daging korban disimpan lebih daripada tiga hari ? Pada permulaannya Nabi SAW melarang menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, .

لا يأكل أحد من لحم أضحيته فوق ثلاث

Maksudnya :"Janganlah seseorang memakan (menyimpan)daging korbannya lebih
daripada tiga hari".


Walaubagaimanapun setelah berlalu suatu ketika, baginda SAW tidak lagi melarang
untuk memakan atau menyimpan daging korban selepas tiga hari.

Dalam sebuah hadis baginda bersabda,

“Sesungguhnya dahulu aku melarang kalian kerana aku maku kalian menyedekahkannya kepada orang Arab Badwi yang memerlukan itu.Sekarang kamu makanlah,kamu simpanlah dan kamu sedekahkanlah daging korban itu”. (HR Muslim)

e. Haram orang yang melakukan korban menjual daging, limpa, bulu, kuku,kulit dan susu yang diperah selepas proses penyembelihan tanpa mengira sama ada korban itu wajib atau sunat.

f. Tidak harus memberikan kulit atau sesuatu dari binatang sembelihan korban kepada penyembelih / pelapah sebagai niat upah penyembelihan yang dilakukannya. Tetapi adalah harus memberinya kepada mereka sekiranya mereka memang berhak menerimanya kerana termasuk dalam golongan fakir dan miskin malah itulah yang lebih aula. Dalam sepotong hadis, sebagaimana yang diberitakan daripada Saidina Ali,

أمرنى رسول الله (ص) أن أقوم على بدنه : وأن أتصدق بلحومها وجلودها وجلالها , وأن لا أعطى الجارز منها شيئا. وقال : نحن نعطيها من عندها

Maksudnya : "Rasulullah saw telah menyuruhku untuk menguruskan haiwan korbannya, agar aku mensedekahkan daging, kulit dan isi perutnya. Aku dilarang memberi apa pun juga kepada penyembelihnya dari daging korban tersebut. Kata Saidina Ali lagi : Kami memberinya dari daging yang ada pada kami ”. (Muttafaq ‘alaihi)

g. Adalah harus bagi orang miskin yang menerima daging korban untuk menjualnya kepada orang lain, tetapi adalah haram bagi orang kaya melakukan yang sedemikian.

h. Adalah haram hukumnya memberi atau menghadiahkan daging korban (mentah atau setelah dimasak )kepada orang kafir sekali pun dia kaum kerabat, sama ada ia korban wajib atau sunat walau pun sedikit, kerana korban adalah perkara yang berhubung dengan ibadat.

Wallahualam.

Nota kuliah Ibadah Korban
Surau Al-Hadi Rumah Rakyat Sikamat
Pada Selasa, 1.11.2011

Wednesday, October 26, 2011

Lembu oh lembu..

Lembu pertama untuk Vila Suria

Lembu kedua untuk Vila Suria

Sudah seminggu saya mencari lembu.

Pernah saya naik motorsikal kapcai bersama En. Pilus meredah bukit dan hutan belantara di Pantai semata-mata untuk mendapatkan beberapa ekor lembu.

“Abang datanglah esok pukul 9 pagi”, kata En. Pilus setelah kami sama-sama hampa apabila tokey lembu yang berbangsa India menggeleng-geleng kepala, tanda lembu sudah habis ditempah orang.

Keesokkan harinya, pukul 9 pagi seperti yang dijanjikan, saya sudah terpacak di rumah En. Pilus.

“Ayah tak da…, dia pergi cari lembu kat Jelebu”, kata anaknya.

Saya mencapai handphone menghubungi En. Pilus.

“Sorry bang…, saya kat Jelebu sekarang ni… cari lembu untuk abang. Setakat ni belum ada lagi. Kalau ada saya akan hubungi abang", jawab En. Pilus.

Saya hampa dengan jawapan En Pilus.

Tapi apa boleh buat, dah lembunya tak da. Kenalah akur…

“Ada berita baik pasal lembu”, satu sms dari Ustaz Haji Azzahar ketika saya sedang berbaring-baring memikirkan hal lembu.

Saya menghubungi Ustaz Azzahar,

“ Lembu belum ada. Insya Allah tokey lembu kata hari ini dia akan call”, kata saya.

Saya menghubungi semula En. Pilus.

“Dah…, dah ada. Esok abang boleh datang tengok”, jawab En Pilus.

"Esok tak boleh..saya ke Kuala Lumpur, hari Rabu boleh ?", tanya saya.

"Ok lah hari Rabu pukul 9 pagi", jawab En. Pilus.

Rabu, 26.10.2011

Pukul 9 pagi sekali lagi saya sudah berada di rumah En. Pilus.

“Hari ini saya ada hal, abang pergilah tengok lembu tu kat Jelebu dengan anak saya”, kata En. Pilus.

Kelihatan anak bujangnya sudah bersiap sedia untuk menemani saya ke Jelebu.

Setelah hampir 40 minit memandu, akhirnya saya sampai di kawasan Felda.

“Acik masuk ke jalan itu…” kata anak En. Pilus.

Saya membelok kereta ke kiri meredah jalan yang bersemak, lecak dan berlumpur.

Kurang tiga minit kereta saya sudah berada di depan kandang lembu.

Bau hamis, hancing bercampur aroma tahi lembu menusuk-nusuk ke hidung saya.

“Mana lembunya pakcik?”, tanya saya kepada seorang tua berusia awal 60 an.

“Tu…,” tunjuknya selamba.

Kelihatan 3 ekor lembu kecil sedang asyik meragut -ragut rumput.

“Berapa harganya?”, tanya saya.

“RM 2500.00”, kata Pakcik tua ni, acuh tak acuh.

Bayangkan.., penat-penat saya datang dari jauh, begitu pula layanannya kepada saya.

Tidak sampai 3 minit kami habis berbincang.

Hati saya tawar untuk membeli lembu-lembunya yang kurus dan kecil.

“O.klah kalau jadi beli, saya akan telefon Pakcik”, jawab saya meninggalkan kawasan kandang yang pekat bau busuknya ini.

"Tak boleh tahan... busuknya", hati saya merungut.

Ketika balik saya menghubungi seorang lagi tokey lembu dari Kg. Balangkan Kuala Sawah, jalan menuju ke Rantau.

Namanya En. Nordin jemaah Masjid Rasah Jaya. Saya dapat nombor telefonnya dari Bilal Masjid ini ketika menyampaikan kuliah Maghrib dua hari yang lepas.

Pukul 11.00 pagi. di Kandang Lembu Kg Belangkan.

“Ada ke lembunya…?”, tanya saya bila sampai di kandangnya yang morden dan bersih tanpa sedikit pun bau hamis apatah lagi hancing.

“Ada ustaz….., kenapa tak telefon awal-awal”, tanya En. Nordin usahawan lembu yang memulakan modal perniagaan RM 1 juta, 6 tahun yang lalu.

Tanpa membuang masa En. Nordin menunjukkan lembu-lembunya yang berjumlah lebih 3oo ekor kesemuanya.

“Pilih usaz, jangan tak pilih. Yang itu harganya RM 2800, yang itu harganya RM 2400, ha…yang itu pula harganya RM 2500. Yang mana satu Ustaz nak?”, tanya En. Nordin.

Setelah menilih tiga ekor lembu berharga RM 2500, saya membayar cengkeram.

“Insya Allah nanti kami akan menghantarnya lepas Asar “, kata En. Nordin gembira.

“Terima kasih …, Assalamualaikum”, saya memberi salam sebelum meninggalkan kandang yang mesra alam ini.

Selesai sudah masalah saya.

Wednesday, October 19, 2011

Nabi Isa a.s Nabi akhir zaman ?

Kata missionary Kristian lagi,

Orang Islam percaya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Nabi akhir zaman dan penutup sekalian para Nabi. Buktinya orang Islam berpegang kepada surah al-Ahzaab ayat 40,

“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul dan kesudahan segala Nabi-Nabi. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu"

Namun dalam masa yang sama umat Islam percaya Nabi Isa akan turun menjelang hari Qiamat. Dari sudut logik tentulah Nabi Isa sebagai Nabi akhir zaman bukannya Nabi Muhammad.

Betul tak…?

Jawapan Islam

Apabila meyakini bahawa Nabi Isa a.s akan turun menjelang hari Qiamat, bukanlah bermakna Nabi Isa a.s adalah Nabi akhir zaman, sekali gus menafikan Nabi Muhammad saw sebagai Nabi penutup yang tidak ada lagi Nabi selepas baginda.

Firman Allah SWT,

“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. (Al-Ahzab : 40)

Pertama, dari segi logik, kalau seseorang mempunyai tiga orang anak, apabila anaknya yang bongsu meninggal dunia, maka anak yang kedua tidak boleh dikatakan sebagai anak bongsu. Dia tetap dianggap sebagai anak kedua daripada tiga orang adik beradik, cuma yang bongsu sudah meninggal dunia. Begitulah bandingan antara Nabi Isa dengan Nabi Muhammad saw.

Kedua, Nabi Isa a.s akan turun ke dunia sebagai Hakim yang adil yang akan memutuskan kebenaran Islam bukannya sebagai seorang Nabi yang membawa syariat baru. Hal ini diterangkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis,

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda,“Demi diriku yang berada dalam kekuasaanNya, sungguh hampir turun kepada kamu Isa anak Maryam yang akan bertindak sebagai Hakim yang adil”. (At-Tirmizi)

Ketiga, semasa penurunan Nabi Isa a.s ke dunia, baginda akan memerintah berdasarkan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Hal ini juga diterangkan oleh Rasulullah saw,

“Isa a.s Ibnu Maryam akan turun memerintah selama 40 tahun dengan Kitabullah dan sunnahku, dan kemudian wafat”. ( Al-Muttaqi al-Hindi, al-Burhan fi ‘Alamat al-Mahdi Akhir az-Zaman).

Dengan penjelasan di atas tidak timbul persoalan kononnya Nabi Isa a.s adalah Nabi akhir zaman bukannya Nabi Muhammad saw.

Wallahualam.

Abu Sofeya.

Monday, October 17, 2011

Kalau benarlah Nabi Isa a.s itu ...

Gereja terbesar di Asia, bakal muncul di Malaysia

Kalau benarlah Nabi Isa a.s itu anak Tuhan kerana tidak mempunyai bapa, maka sepatutnya yang paling layak untuk disembah oleh penganut Kristian sebagai Tuhan ialah Nabi Adam a.s kerana baginda dicipta tidak mempunyai bapa dan juga mempunyai ibu.

Namun hakikatnya, tidak ada penganut Kristian yang menyembah Nabi Adam a.s sebagai Tuhan.

Firman Allah SWT,

“Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka janganlah sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu” (Ali -Imran : 60).

Dalam ayat ini Allah SWT menegaskan, apabila kebenaran daripada Allah SWT sudah pun jelas dan terang, maka kebenaran ini hendaklah diterima tanpa ada lagi perasaan ragu-ragu. Amat malang jika kebenaran sudah dibentang, namun masih ada yang mahu menegakkan benang yang basah lalu mencipta pelbagai alasan untuk menafikan kebenaran.

Sedang rancak pembinaannya di Bukit Jalil

Inilah yang terjadi ke atas penganut agama Kristian yang terus berdegil mempertahankan kebatilan dan menolak kebenaran. Mereka tetap dengan keyakinan untuk menyembah Nabi Isa a.s sebagai Tuhan kerana alasan baginda dicipta tanpa bapa.

Sedangkan dari sudut logik, jika benarlah Nabi Isa a.s itu anak Tuhan mengapa dia perlu di salib ? Bukankah sebagai anak Tuhan, dia sepatutnya dimulia dan diberi penghormatan ? Jika betullah Nabi Isa a.s itu anak Tuhan yang mati di bunuh untuk menebus dosa manusia, justeru orang-orang Kristian perlu berterima kasih kepada orang-orang Yahudi yang membunuhnya. Tanpa pembunuhan tersebut sudah tentulah dosa-dosa manusia tidak tertebus dan akan terus diwarisi sampai hari Qiamat.

Soalan berikutnya, jika betul Nabi Isa a.s itu anak Tuhan, kenapa dia perlu dikorbankan untuk menghapuskan dosa yang diwarisi dari Nabi Adam dan Hawa ? Adakah patut orang lain yang berbuat salah, maka orang lain pula yang dihukum ? Kalau penyalibannya adalah untuk menghapuskan dosa manusia, mengapa dia perlu menjerit-jerit ketika di kayu salib. Bukankah sepatutnya dia redha dengan penyalibannya bukan menjerit-jerit dan merintih meminta tolong dari Tuhan bapa ?

Hal penjeritan dan rintihannya disebut dalam Bible,

"Eloi Eloi Lama sabachtani – which means, “My God, My God, why have you forsaken me ” (Mark 15 : 34 )

Bukankah kata-kata seperti ini sangat tidak sesuai diucapkan oleh seorang Rasul ? Bukankah seorang Rasul mempunyai sifat tabah serta kuat menghadapi ujian dan cabaran ketika berdakwah walaupun nyawanya diancam. Contohnya, Nabi Ibrahim a.s ketika dicampak ke dalam api, baginda tidak pernah merintih dan merayu kepada Tuhan untuk menyelamatkannya.

Seterusnya, jika benarlah Nabi Isa a.s itu anak Tuhan mengapa hidupnya hanya terhad di sekitar Baitul Maqdis sahaja ? Bukankah Tuhan itu bersifat Pemerintah Sekalian Alam bukan hanya terhad di negeri Palestin ?

Jelas segala doktrin ajaran Kristian yang menganggap Nabi Isa a.s adalah anak Tuhan adalah batil dan palsu.

Abu Sofeya

Thursday, October 13, 2011

Orang Kristian tidak kafir ?


Missionari Kristian dengan helah terancang sering memainkan isu kononnya mereka bukanlah golongan kafir.

Antara nas yang mereka gunakan ialah surah Ali ‘Imran ayat 55.

“ (Ingatlah), ketika Allah berfirman : “Hai Isa, sesungguhnya Aku akan mewafatkan kamu dan mengangkat kamu kepadaKu serta membersihkan kamu dari orang-orang-orang kafir , dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir hingga hari Qiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan" (55)

Dalam ayat di atas Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang yang mengikut Isa (penganut Kristian) akan dimuliakan Allah SWT mengatasi orang-orang kafir sehingga hari Qiamat.

Persoalannya ?

Kalaulah mereka kafir, tidak mungkin Allah SWT akan mengangkat darjat mereka sehingga hari Qiamat.

Kalaulah mereka kafir, tidak mungkin Allah SWT menyebut kedudukan mereka mengatasi orang-orang kafir ?

Adalah tidak logik orang kafir boleh diangkat darjat mengatasi orang-orang kafir ?

Jawapan Islam

Dalam Al-Quran surah al-Maidah 72, Allah menyatakan orang-orang Kristian adalah kafir,

“Demi sesungguhnya ! Telah kafirlah orang-orang yang berkata : Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal Al-Masih sendiri berkata : Wahai Bani Israil ! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu, bahawasanya sesiapa yang menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim” (72)

Dalam ayat ini Nabi Isa a.s menyeru kaummnya agar meng-Esakan Allah SWT bukannya menyembah baginda sebagai Tuhan sepertimana yang di amalkan oleh pengikut-pengikut Kristian yang syirik hari ini.

Ajaran tulen Nabi Isa a.s ini juga terdapat dalam Bible,

“Hear, O Israil, the Lord our God, the Lord is one .” (Mark 12: 29)

Maksudnya : “Dengarlah wahai (kaum) Israil, Tuhan yang kita sembah, Tuhan itu adalah satu.”

Kata-kata salah seorang daripada murid Nabi Isa,

“You are right in saying that God is one and there is no other but Him” (Mark 12:32)

Maksudnya : “Kamu adalah benar apabila mengatakan Tuhan itu adalah satu dan tiada Tuhan melainkan Dia”.

Oleh yang demikian apa yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 55
‘dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir hingga hari Qiamat’ merujuk kepada pengikut-pengikut Nabi Isa a.s yang patuh kepada ajarannya yang asal, yang mempercayai bahawa Tuhan (Allah SWT) itu adalah Esa bukannya merujuk kepada orang-orang Kristian sekarang yang percaya Tuhan itu adalah tiga dalam satu.

Kesimpulan

Orang Kristian adalah kafir.

Wallahualam.

Sunday, October 9, 2011

Muzakarah Ketua-Ketua Jemaah Umrah

Bertarikh 8-9hb Oktober 2011 di Casa Rachado PD

Membentangkan hasil bengkel

Sesi pencerahan oleh Dr. Badrul Amin

Motivasi oleh Drs Rajab Selamat

Kombinasi golongan muda dan tua

Tn. Haji Mohammad Ssunaibari (CEO KRS Travel) sedang mencatat sesuatu

Thursday, October 6, 2011

Al-Fatihah – Berehatlah dengan tenang wahai Imam Haji Mazlan…

Banyak kenangan Allahyarham di Masjid ini

Seusai solat Isyak di surau Taman Desa Beringin sebentar tadi, saya menerima panggilan dari Abang Nordin AJK Surau Al-Falah Taman Desa Rhu memaklumkan Tuan Haji Mazlan bekas Imam 2 Masjid Qaryah Sikamat telah kembali kerahmatullah.

Sebak di dada bila mendengar berita sedih ini.

Setelah menjamah sedikit jamuan yang disediakan, saya meminta izin dari jemaah surau untuk ke rumah Imam Mazlan.

Ketika sampai, saya melihat ramai ‘orang-orang kuat’ Masjid Qaryah Sikamat, ahli-ahli jemaah surau Al-Falah, jiran-jiran, sanak saudara dan teman taulan sudah pun memenuhi perkarangan rumah Allahyarham.

Saya sendiri terpaksa bersila di atas tikar yang dihamparkan di jalan raya (di hadapan) rumahnya.

Bacaan tahlil diketuai oleh Ybhg Al-Fadhil Ustaz Najib Nubhan al-Hafiz.

Suasana pilu, muram dan sedih menyelubungi mereka yang hadir.

"Ustaz ...., kuliah Ustaz malam esok ditangguhkan. Kami jemaah surau berkabung.., kami akan adakan tahlil untuk Allahyarham", kata abang Nordin selepas bacaan tahlil selesai.

Saya mengangguk-anggukkan kepala.

Kaki saya kemudian melangkah ke serambi rumah, menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir dan mencium dahinya.

Kali terakhir berhubung

Kali terakhir kami berhubung ialah pada 17 hb September yang lalu.

Allahyarham menelefon saya, bersungguh-sungguh menjemput saya, isteri dan anak-anak ke majlis kenduri perkahwinan anaknya yang diadakan pada 18 hb September.

Malangnya saya menguzurkan diri, tidak dapat memenuhi jemputannya kerana pada tarikh yang sama, saya perlu ke Stadium Tertutup Nilai menggalas tanggungjawab membimbing bakal-bakal jemaah Haji dalam kursus Haji Perdana.

Kematiannya yang sungguh mulia

Menurut cerita anak-anak, jiran-jiran dan jemaah surau, Allahyarham meninggal dunia sebaik sahaja selesai azan Maghrib berkemundang di surau Al-Falah.

Sebelum itu Allahyarham sempat menunaikan solat Asar berjemaah dengan isterinya, diikuti membaca beberapa helaian Al-Quran.

Menjelang waktu Maghrib, Allahyarham rasa sesak dada, lalu duduk dan kemudian menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan mudah, tenang.

Beruntunglah….., Allahyarham dijemput oleh Penciptanya tepat pada malam Jumaat, malam yang sungguh berkat.

"Wahai Imam Haji Mazlan yang budiman, selamat menempuh kehidupan baru di alam barzakh..., berehatlah..., sesungguhnya terlalu banyak jasa yang telah engkau curahkan semasa hidup..., engkau seorang yang soleh..., pemergianmu dirasai oleh kami yang mengenalimu...."

Ya Allah ya Tuhan, ampunkanlah dosa-dosa dan kesalahan Allahyarham, cucurilah rahmat ke atas rohnya dan masukkanlah Allahyarham ke dalam syurga-Mu.

Amin....

Tuesday, October 4, 2011

Orang mukmin mati berpeluh di dahinya

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Abu Daud, An-Nasaei dan At-Tirmidzi, Nabi saw bersabda,

المؤمن يموت بعرق الجبين

Maksudnya : Orang mukmin itu mati dengan berpeluh didahinya.

Sebahagian ulama mentafsirkan hadis di atas : Maksudnya, jika seorang mukmin itu sedang dalam sakaratul maut, maka dia akan berpeluh di dahinya kerana siraman air yang dibawa oleh malaikat.

Ada juga yang berkata, maksudnya dia mati dalam keadaan bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal solih.

Dengan demikian, peluh di dahinya itu adalah symbol dari kerja keras yang dilakunya dalam mengerjakan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT,

والذين جهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وان الله لمع المحسنين

Maksudnya : Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. (Al-‘Ankabut : 69)

Yang dimaksudkan dengan orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Allah SWT dalam ayat di atas ialah mereka yang melakukan amal ketaatan dengan ikhlas kerana Allah SWT, patuh kepada perintahNya, menjauhi laranganNya serta taat setia terhadap segala ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Kuliah Maghrib oleh,
Ust. Mohd Hishamuddin bin Mansor.


Petikan buku,
Sakaraul Maut Bersediakah Anda Menghadapinya ? Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni, penterjemah Norhasanuddin, terbitan AlHidayah Publishers Kuala Lumpur, 2006.