Tuesday, November 29, 2011

Peraturan Islam sesuai dengan fitrah manusia

Mahkmah Syariah di Putrajaya - Gambar Hiasan

Islam yang bererti SEJAHTERA merupakan agama yang memenuhi kehendak dan fitrah hamba-hamba-Nya. Manusia yang hidup di dunia ini sangat perlu kepada peraturan dan undang-undang. Tujuannya supaya mereka boleh hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Mereka tidak mahu kebahagiaan dan keamanan yang dikecapi diragut oleh anasir-anasir jahat.

Justeru Allah SWT yang Maha Mengetahui gelodak dan jiwa manusia, telah menurunkan peraturan-Nya seperti yang terkandung di dalam Al-Quran.

Islam tidak hanya menyuruh umatnya beramal untuk ukhrawi tetapi juga duniawi. Sebagai contoh Islam mengiktiraf pemilikan harta. Ia adalah fitrah manusia yang sukakan kesenangan dan kemewahan. Firman Allah SWT,

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”(Surah Al-Jumuah : 10)

Jika diselak lembaran sejarah ramai juga para sahabat Nabi saw memiliki harta dan kekayaan. Antaranya Saiyidina Uthman bin Affan dan Abdur Rahman bin Auf , yang dianggap sebagai usahawan yang berjaya dan ternama.

Dalam Islam, memiliki harta dan kesenangan hidup adalah diharuskan jika memenuhi syarat-syaratnya. Yang penting dan perlu difahami harta itu ialah alat bukannya matlamat kerana matlamat hakiki seseorang hamba di dunia ini ialah beribadat kepada-Nya.

Dengan erti kata lain harta yang dicari dan dimiliki itu hendaklah dijadikan alat untuk menambahkan rasa syukur dan taqwa kepada-Nya bukan menggunakannya pada jalan kefasadan dan kemungkaran.

Dalam mencari harta dan kemewahan, Islam melatakkan peraturan yang wajib dipatuhi. Antaranya tidak boleh mencuri, merompak atau memilikinya dengan cara menipu, menindas dan melakukan kezaliman. Ia merupakan salah satu daripada dosa besar di sisi Allah SWT.

Sabda Baginda saw,

“Barangsiapa yang mengambil hak milik seorang Islam dengan sumpahnya ( mengambil secara paksa atau merampas) maka Allah SWT mewajibkan ke atas mereka neraka dan diharamkan syurga. Lalu seorang sahabat bertanya : Kalau yang diambil itu sedikit ya Rasulullah ? Nabi saw menjawab : Ya, walaupun hanya sekadar kayu siwak “. (Hadis riwayat Muslim)

Apabila sudah memiliki harta manusia perlu melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu membantu mereka yang memerlukan. Untuk itu Islam mewajibkan zakat bertujuan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Dengan pensyariatan zakat, sifat tamak dapat dikikis, sifat haloba dapat dihapus dan timbul pula sifat prihatin dan kasih sayang kepada golongan susah dan mereka yang memerlukan.

Golongan susah pula apabila menerima zakat, mereka akan merasa syukur di atas apa yang di terima, merasakan diri mereka tidak disisih malah diambil berat dan diberi perhatian, sehingga melenyapkan perasan dengki dan hasad ke atas golongan berharta. Demikianlah indahnya Islam mewujudkan kasih sayang serta saling hormat menghormati di antara golongan yang berharta dan sebaliknya.

Fitrah manusia tidak suka jika harta yang mereka usahakan diambil orang tanpa jalan yang sah. Bayangkan mereka yang bersusah payah mencari harta bagi menyara keluarga tiba-tiba harta yang dimiliki yang berupa gaji di curi orang. Sudah tentu mangsa akan merasa marah, hampa, sedih, sakit hati dan kecewa sehingga mewujudkan perasaan tidak tenteram dalam jiwanya.

Manakala orang yang mencuri pula akan merasa seronok dengan hasil curiannya, melahirkan sifat malas untuk berkerja sedangkan sifat malas mencari rezeki itu sangat ditegah oleh syarak.

Dari perbuatan mencuri pula akan melahirkan jenayah yang lebih besar iaitu merompak. Diikuti pula dengan kewujudan kumpulan gangster atau kongsi gelap yang mengancam keselamatan negara dan peniaga. Para pelabur dari luar tentu akan berfikir beberapa kali untuk melabur di negara-negara yang berleluasanya jenayah seperti ini. Demikianlah antara akibat atau bencana yang bakal menimpa manusia jika dibiarkan jenayah ini berleluasa.

Justeru bagi menyelesaikan masalah ini Islam ada undang-undang bagi membendung perbuatan jenayah mencuri. Dengan undang-undang seperti ini, ia bakal menakutkan manusia untuk melakukannya. Penguatkuasaan undang-undang ini juga sekaligus mewujudkan kemanan dan keadilan dalam masyarakat serta menjaga harta orang ramai dari diambil secara tidak sah.

Hukuman ke atas pencuri dijelaskan oleh Allah SWT,


"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".(Surah Al-Maidah : 38)

Para fuqaha’ Islam membahaskan syarat-syarat dan peraturan yang ketat sebelum perlaksanaan hukum potong tangan dijalankan. Yang penting, hukuman ini sama sekali tidak menzalimi dan menganiayai manusia. Ia memberi kebaikan kepada manusia sejagat.

Selain itu, fitrah manusia juga perlukan pasangan hidup agar kehidupan mereka lebih bermakna. Dengan pasangan yang ada, manusia boleh berkongsi masalah, meluahkan rasa duka dan berkongsi rasa gembira. Dengan pasangan itu juga manusia boleh melepaskan nafsu syahwat sehingga melahirkan keturunan dan zuriat.

Dengan zuriat itulah manusia bermain dan bersenda gurau, yang membawa rasa suka dan bahagia. Dengan zuriat itu juga manusia boleh mewariskan harta daan kekayaan yang mereka miliki. Jelasnya manusia yang normal tidak mahu hidup berseorangan, kesunyian dan kesepian.

Justeru Islam meraikan hasrat manusia dengan mensyariatkan hukum-hukum perkahwinan agar apa yang dihajati oleh manusia itu tercapai. Bermula dari merisik, bertunang, bernikah sehinggalah kepada tanggungjawab suami dan isteri, semunya telah Islam jelaskan satu persatu. Begitu juga dalam hal penceraian, rujuk poligami, penjagaan anak dan lain-lain semuanya tidak di lepas pandang.

Islam mengharamkan zina kerana ia bertentangan dengan naluri fitrah manusia yang mahukan kehidupan yang bersih dan terhindar dari sebarang penyakit berjangkit. Zina bukan sahaja membiakkan penyakit berjangkit seperti AIDS dan Siplis tetapi ia juga adalah jenayah yang tidak bermoral.

Ia merosakkan sistem kekeluargaan, menghancurkan rumahtangga, menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat, melahirkan jenayah rogol yang berleluasa, wujudnya anak luar nikah sehingga membawa kepada pembunuhan bayi yang tidak berdosa.

Bagi membendung jenayah zina, Islam menguatkuasakan undang-undang yang boleh memberi pengajaran supaya manusia takut melakukannya.

Firman Allah SWT,

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan” .(Surah An-Nur : 2)

Mana-mana penzina yang sabit kesalahannya jika belum berkahwin hendaklah disebat seratus kali sebatan. Berlainan pula dengan mereka yang sudah berkahwin mereka akan dihukum rejam sampai mati berdasarkan hadis Nabi saw,

“Lelaki tua dan perempuan tua yang berzina, maka rejamlah kedua-duanya sebagai balasan daripada hukuman Allah SWT.”

Fitrah manusia tidak suka diaib yang menjatuhkan maruah dan peribadi mereka. Justeru Allah SWT mensyariatkan undang-undang Qadzaf iaitu hukuman ke atas mereka yang menuduh mana-mana perempuan yang baik (yang menjaga kehormatannya) melakukan zina tanpa di bawa empat orang saksi.

Firman Allah SWT,

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat;..”(Surah An-Nur : 4)

Ayat ini menjelaskan mana-mana penuduh yang membuat tuduhan, sekiranya gagal mengemukakan empat orang saksi yang meilhat dengan mata kepala akan perbuatan tersebut, maka dia akan dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali sebatan.

Hukuman ini adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan kerana ia telah mencemar maruah dan peribadi mangsa yang dituduh sehingga menimbulkan persepsi negatif masyarakat ke atas dirinya. Disebabkan fitnah yang terpalit, mangsa akan merasa malu yang amat sangat serta trauma yang berpanjangan.

Kesimpulannya, semua undang-undang yang termaktub dalam wahyu ilahi memenuhi fitrah naluri manusia. Segala kelakuan jenayah yang merosakkan kebahagiaan manusia telah disediakan hukumannya di dunia sebagai pengajaran dan juga pedoman agar ia tidak berulang di masa akan datang.

Catatan …,

Abu Sofeya

Kolej Tuanku Jaafar
29.11.2011
11.20 pagi

Friday, November 25, 2011

Islam...., Ilmu dan Selamat Menyambut Maal Hijrah !

Orang yang beriman wajib menuntut ilmu

Sebelum Nabi Adam a.s diturunkan ke dunia, Allah SWT telah menyiapkan diri baginda dengan ilmu pengetahuan. Tanpa bekalan ilmu tentulah sukar Nabi Adam dan keturunannya menjalani kehidupan sebagai khalifah di atas muka bumi. Dengan ilmu itu juga nabi Adam dimuliakan Allah sehingga disuruh menjadi guru kepada para malaikat.

Firman Allah SWT,

"(Dan Dia telah mengajar Nabi Adam akan segala nama benda benda dan kegunaannya , kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu Dia berfirman : Terangkanlah kepada Ku nama-nama benda ini, jika kamu golongan yang benar. (31) Maha Suci Engkau ya Allah, Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami ; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".(Al-Baqarah 031)

Apa sahaja yang hendak di lakukan di dunia ini perlu kepada ilmu. Maka Islam menyuruh manusia supaya mencari ilmu pengetahuan. Ia adalah kunci untuk mencapai kejayaan bukan sahaja di dunia, malah juga di akhirat. Tanpa ilmu seseorang mukmin tidak dapat menyempurnakan tugasnya sebagai khalifah dengan sempurna.

Penerimaan wahyu yang pertama oleh Rasulullah saw ialah ayat yang menjurus kepada ilmu. Nabi di suruh “Bacalah” oleh malaikat Jibril sebanyak tiga kali menunjukkan betapa pentingnya mencari ilmu dengan kesungguhan, diusahakan berkali-kali bukan hanya sekali, ibarat seperti melepaskan batuk ditangga.

Kalimah “Bacalah” di awal permulaaan surah Al-A’laq juga menjelaskan asas pencarian ilmu bermula dengan membaca, meneliti dan memahami. Dengan kata lain membaca adalah jambatan ilmu.

Ilmu adalah syarat penerimaan ibadah seseorang mukmin. Jika melakukan sesuatu pekerjaan duniawi tanpa di dasari ilmu akan menghasilkan pekerjaan yang tidak berkualiti, maka sama jugalah melakukan ibadah tanpa di dasari ilmu akan menjadikan ibadah seseorang itu tempang, rosak dan tidak dipandang oleh Allah SWT.

Sebaliknya mukmin yang berilmu bukan sahaja ibadahnya diterima, malah mereka mendapat tempat yang baik di dunia dan akhirat, dipuji, dimulia dan diangkat darjatnya oleh Tuhan yang bersifat Al-‘Alim.

Firman-Nya,

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang yang diberi ilmu pengeahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat)”. (Al-Mujadila :11)

Sabda baginda Rasul,

“Barangsiapa yang berkehendakkan dunia hendaklah ia mempunyai ilmu, barangsiapa yang berkehndakkan akhirat hendaklah ia mempunyai ilmu, barangsiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali hendaklah ia mempunyai ilmu”( Riwayat sebahagian ahli Sunan)

Ilmu dalam Islam terbahagi kepada dua, fardhu ain dan fardhu kifayah. Kedua-duanya saling lengkap melengkapi dan bersumberkan wahyu ilahi. Ilmu fardhu ain yang merupakan ilmu yang wajib di pelajari oleh setiap individu muslim hendaklah dikuasai seawal baligh manakala ilmu fardhu kifayah seperti perniagaan, kejuruteraan, kedoktoran hendaklah di mahiri dan ditingkatkan oleh sebahagian umat Islam dari semasa ke semasa. Jika tiada seorang pun umat Islam yang mahir dalam sesuatu ilmu fardhu kifayah maka keseluruhan masyarakat Islam di tempat itu akan menanggung dosa.

Jika dilihat dalam sejarah ketamadunan Islam, beberapa tokoh muslim begitu harum kerana sumbangan dan jasa mereka dalam ilmu kifayah. Nama-nama besar seperti al-Asma’i, al-Jahiz dan al-Jawaqili merupakan pakar dalam bidang Zoologi dan Biologi. Dalam bidang Botani dipelopori oleh al-Nabati, bidang Mineralogi tokohnya ialah Muhammad Zakaria al-Razi, bidang Kimia pula tokohnya Khalid ibnu Yazid dan Jabir ibnu Haiyan serta dalam bidang kejuruteraan dan teknologi pula tokohnya seperti ibnu Musa, Ibnu al-Razaz al-Jazari, Taqiyuddin dan lain-lain. Demikianlah hebatnya pencapaian umat Islam dahulu dalam bidang ilmu kifayah.

Oleh itu satu tuntutan kepada umat Islam untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dengan mencari dan membudayakan ilmu seperti yang diperintahkan oleh wahyu Ilahi.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1432

Abu Sofeya,
Kolej Tuanku Jaafar
9.30 pagi.

Wednesday, November 23, 2011

Ayuh ! mari kembali kepada agama

Manusia sangat berkehendak kepada peraturan atau undang-undang yang boleh menjamin mereka mencapai keamanan dan keharmonian dalam hidup.

Justeru Allah SWT yang Maha Mengetahui gelodak dan jiwa manusia, telah menurunkan peraturannya yang bernama ISLAM yang bererti SEJAHTERA untuk memenuhi kehendak dan fitrah hamba-hamba-Nya.

Tanpa pegangan agama yang kukuh menjadikan manusia kadang-kadang berwatak seperti binatang malah mungkin lebih dahsyat daripada itu. Mereka saling berbunuh-bunuhan, melakukan penipuan, pembohonagn, fitnah, zina, khalwat dan sebagainya.

Di sekolah ada murid-murid yang melawan guru, terjebak dengan gejala buli , ponteng sekolah dan melepak di pusat-pusat hiburan.

Manakala di rumah bukan sedikit anak-anak yang menjadi penderhaka kepada ibu bapa, lari dari rumah, keluar merempit dan pelbagai lagi masalah sosial.

Dalam konteks kejiranan, ada yang bermasam muka, tidak bertegur sapa, mementingkan diri sendiri dan bersifat individualistik.

Semuanya berlaku kerana kelonggaran pegangan agama.

Mereka yang menjadikan Allah sebagai Tuhannya dan Islam sebagai anutannya, akan sentiasa berwaspada pada setiap perbuatan yang dilakukan di dunia.

Mereka yang mengenal Allah dan beriman kepada hari akhirat akan melakukan setiap perkerjaan dengan ikhlas demi mencapai keredhaan-Nya.

Mereka yang mengenal Allah dan memperjuangkan syiar-Nya akan sentiasa bermuhasabah sama ada tindakan yang telah dilakukan, sedang di lakukan atau yang bakal dilakukan adakah menepati kehendak dan peraturan Allah SWT.

Justeru mereka yang mengenal Allah dan menjadikan Islam sebagai the way of life akan berusaha sedaya upaya untuk mengawal dirinya agar tidak terjebak ke lembah kemurkaan Allah SWT.

Jika dia menjadi pelajar, dia akan mempelajari sesuatu yang boleh memberi manfaat bukan sahaja pada diri malah umat Islam dan seluruh manusia sejagat.

Sungguh berdosa jika memperolehi ilmu tapi menyalahgunakannya untuk melakukan kerosakkan dan kemungkaran.

Jika dia menjadi guru, dia akan berlaku jujur dan amanah dengan ilmunya, sentiasa berkata benar walau pun pahit tanpa merasa takut dari kekangan pemerintah mahu pun penguasa.

Sangat hina jika seorang guru apatah lagi guru agama menyembunyikan ilmunya daripada masyarakat sehingga kejahilan bermaharaja lela.

Jika dia menjadi wartawan atau penulis blog dia akan menulis dan melaporkan sesuatu yang memberi kebaikan kepada masyarakat, bukan melaporkan cerita sensasi mengenai rumah tangga artis atau apa-apa sahaja cerita gossip yang sama sekali tidak menguntungkan khalayak pembaca.

Lagi hanyir dan busuk apabila wartawan atau penulis blog menyalahgunakan pena untuk menyebarkan cerita lucah, seks atau porno sehingga membangkitkan rasa syahwat di kalangan masyarakat lalu ada di antara mereka yang begitu berselera untuk melakukan jenayah cabul, zina, rogol dan juga seks sejenis.

Jika dia menjadi pemimpin, dia akan menggunakan kuasa yang diamanah untuk memakmurkan tanah air yang dipimpin men gikut corak dan acuan yang telah ditetapkan Allah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pemimpin adalah model kepada masyarakat yang sewajarnya memberi teladan yang baik dari sudut gaya kehidupan.

Amat malang jika pemimpin menyuruh rakyat berjimat cermat sedangkan gaya hidup keluarga dan isteri pemimpin sangat mewah pada pandangan rakyat.

Lagi malang jika pemimpin menyuruh rakyat menentang korupsi namun masa yang sama mereka turut melakukan korupsi.

Saya tidak berniat menulis lanjut bentuk-bentuk korupsi yang dilakukan oleh pemimpin masa kini kerana sudah berlambak-lambak blog yang menulis hal demikian.

Wallahualam.

Abu Sofeya
Kolej Tuanku Jaafar
10.30 pagi.

Monday, November 21, 2011

Mengadulah kepada yang sebenar !

Manusia sangat suka mengadu.

Semasa bayi sehinggalah kepada tua manusia akan mengadu dan terus mengadu.

Di pejabat-pejabat swasta mahu pun kerajaan akan disediakan peti aduan.

Setiap aduan akan diteliti, diperiksa dan diambil tindakan oleh pihak tertentu.

Namun tidak semua masalah yang diadu boleh diselesaikan oleh manusia.

Sebabnya manusia itu mempunyai kelemahan dan kekuarangan.

Justeru manusia perlu kepada kuasa GHAIB yang boleh menyelesaikan masalah mereka.

Hakikatnya manusia sangat berkehendak kepada Tuhan.

Dalam mencari Tuhan ada manusia yang tersalah dan tersilap.

Ada yang menjadikan patung sebagai Tuhan.

Ada yang menjadikan pokok, matahari, bulan, bintang dan Nabi Isa sebagai Tuhan.

Kepada merekalah ada manusia merujuk, mengadu dan meminta diselesaikan masalah.

Kasihan …, mereka sebenarnya mengadu kepada sesuatu yang tidak boleh menyelesaikan masalah.

Kasihan juga kepada mereka yang sama sekali tidak mahu mengaku kewujudan Tuhan.

Mereka ini sebenarnya menentang naluri mereka sendiri.

Diibarat seperti orang yang sedang lapar , nalurinya mahu makan. Namun apabila diberikan nasi, dia menolaknya.

Sungguh rugi.

Islam memandu manusia kepada Tuhan Yang Maha Pencipta dan yang Maha Mendengar setiap rintihan, tangisan dan rayuan daripada hamba-hamba-Nya.

Oleh itu mengadulah kepada ALLAH TUHAN YANG SEBENAR !

Firman Tuhan,

“Berdoalah kepada-KU nescaya akan Aku perkenankan bagimu”. (Surah Mukmin ayat 60)

Sunday, November 20, 2011

Tahniah buat anak-anakku !

Ayep tersenyum lebar semasa ihtifal

Alhamdulillah…, syukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang dikurniakan.

Tahun ini tahun yang cemerlang buat anak-anak saya.

Anak sulong saya Fatin Syahirah yang sebelum ini begitu hampa kerana tidak ditawarkan memasuki mana-mana sekolah berasrama penuh (disebabkan diskriminasi Kementerian Pelajaran ke atas sekolah swata) terus mengekalkan kecemerlangannya dalam akademik apabila memperolehi anugerah cemerlang bintang emas bagi peperiksaan akhir tahun.

Beliau mendapat tempat pertama daripada 115 orang pelajar tingkatan 1 di SMK Tunku Ampuan Najihah Seremban.

Manakala anak kedua saya Ahmad Afif Amiruddin yang genap berusia 11 tahun pada 19.11.2011 berjaya memperolehi 8 A dalam peperiksaan Sijil Penilaian Rendah Agama (SPRA)Sekolah Sri Seremban. Dengan kejayaan ini juga Amir berjaya menggondol hadiah PSP daripada saya.

Anak ketiga pula Ahmad Afif Arifuddin yang bersekolah darjah satu di SRI Seremban turut tersenyum gembira apabila menerima hadiah dari Guru Besar kerana beroleh 9 A dalam peperiksaan akhir tahun. Ayep (nama panggilannya) yang bergigi rongak dan kuat menangis semasa kecil juga menerima hadiah mata pelajaran terbaik bagi subjek Al-Quran dan Jawi.

Sementara itu anak keempat Azeemuddin yang baru berusia 4 tahun telah pun berjaya menamatkan pengajiannya di 'Little Red House' Warisan Puteri Sikamat. Hasil didikan di institusi ini Azeem sudah pun pandai mengeja, menulis angka, membaca doa makan dan membaca Al-Fatihah.

Terima kasih juga buat isteri tersayang kerana sering memantau dan menyelia perkembangan pelajaran anak-anak.

Syukur!

Friday, November 18, 2011

Apabila 'Starbuck' berada di kota suci Mekah

'Starbuck' yang terletak di Zam-Zam Tower hanya beberapa meter sahaja dari Masjidil Haram.

Benar, di zaman Rasulullah saw baginda pernah berurusan dan bermualat dengan orang Yahudi.

Tujuannya tidak lain supaya mereka tertarik untuk memeluk Islam.

Persoalan hari ini, adakah membenarkan syarikat 'Starbuck' berada di kota suci Mekah bertujuan untuk dakwah atau kerana 'terpaksa' demi menjaga persahabatan erat dengan sekutu Israel iaitu Amerika ?

Inilah yang dikatakan penjajahan era modern.

Walaupun Yahudi tidak menjajah kota suci Mekah dari sudut ketenteraan, namun mereka sudah pun berjaya menjajah dalam bentuk ekonomi !

Wallahualam.

Wednesday, November 16, 2011

Nabi Sulaiman tidak kafir

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 102


“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut segala apa yang dibacakan oleh oleh Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman padahal Nabi Sulaiman tidak kafir (tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu), akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir.dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon) sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”. (102)

Huraian ayat

Firman Allah SWT,

“ Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut segala apa yang dibacakan oleh oleh Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman…”

Mereka yang dimaksudkan di sini ialah pendita-pendita Yahudi yang membelakangkan kitab Allah dan tertarik dengan ajaran yang dibawa oleh Syaitan (sihir) di zaman Nabi Sulaiman dan diteruskan ilmu yang sesat itu hinggalah ke zaman Nabi Muhammad saw.

FirmanNya lagi,

“… padahal Nabi Sulaiman tidak kafir (tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu), akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir..”

Orang-orang Yahudi membuat tohmahan kononnya Nabi Sulaiman a.s telah mengamalkan sihir. Tohmahan ini bermula apabila Nabi Sulaiman a.s diutus menjadi Rasul, baginda telah menangkap semua tukang-tukang tilik dan merampas semua buku-buku sihir, kemudian menyimpannya dalam sebuah kotak lalu di tanam di bawah singgahsananya.Mana-mana syaitan yang berani untuk mendekati kotak tersebut, akan terbakar.

Setelah Nabi Sulaiman a.s wafat dan keturunan Bani Israil telah bertukar dari satu generasi ke satu generasi, pada satu hari Syaitan telah menjelmakan diri nya menjadi manusia dan bertemu sekumpulan kanak-kanak dari Bani Israil.

Kata Syaitan, “ Wahai sekelian kanak-kanak, mahukah kamu semua sesuatu ilmu yang jika kamu pakai, ilmu ini tidak akan habis dalam diri kamu?”

Sekumpulan kanak-kanak itu menjawab,

“ Ya kami mahukan ilmu itu”.

“Kalau kamu mahukan ilmu itu, pergilah kalian semua ke singgahsana Nabi Sulaiman dan kamu galilah di bawahnya, nescaya kamu akan dapati sejumlah kitab yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan untuk kamu”, kata Syaitan.

Mereka pun menggali bawah singgahsana Nabi Sulaiman. Akhirnya mereka menjumpai buku-buku sihir yang di tanam di zaman Nabi Sulaiman.

Maka Syaitan mula menghasut,

" Tahukah kamu semua, moyang kamu yang bernama Sulaiman, mampu mengawal manusia, jin dan haiwan dengan menggunakan ilmu sihir ini".

Daripada sinilah tersebarnya kisah yang mengatakan bahawa Nabi Sulaiman sebenarnya ialah tukang sihir. Kalau tidak masakan Nabi Sulaiman boleh memerintah angin, menguasai Jin dan juga bercakap dengan binatang ? Sekiranya ilmu sihir itu sesat nescaya Nabi Sulaiman juga sesat dan kafir kerana dia juga mengamalkan sihir.

Selain itu ada juga ahli tafsir menyatakan bahawa ayat ini turun kerana membantah tuduhan yang di buat oleh orang-orang Yahudi ke atas Nabi Sulaiman. Mereka mengatakan Nabi Sulaiman a.s. sewaktu hari tuanya telah menyembah berhala. Baginda melakukan demikian kerana menurut kehendak kesemua isterinya yang berjumlah 700 orang dan gundik-gundiknya yang berjumlah 300 orang. Hal ini boleh dalam kitab Old Testament atau Perjanjian Lama; dalam bab "Kitab Raja-Raja", pasal 11 ayat 1 -10.

Firman Allah SWT seterusnya,

“... dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon..”

Siapakah Harut dan Marut ?

Dalam ayat ini Allah SWT ada menyebut mengenai dua Malaikat yang bernama Harut dan Marut. Terdapat berbagai tafsir daripada ulama yang menghuraikan siapakah yang dikatakan Harut dan Marut itu sehingga tidak ketinggalan ada yang memasukkan unsur unsur Israiliyat dalam tafsiran mereka.

Sebagai contoh menurut riwayat Israiliyat, Harut dan Marut ini adalah dua malaikat yang derhaka dengan Allah SWT. Kisahnya bermula apabila malaikat-malaikat di langit berkata kepada Tuhan,

" Wahai Tuhan, mengapa engkau jadikan anak-anak Adam itu sebagai makhluk pilihan-Mu di bumi sedangkan mereka sering menderhakaiMu".

Allah SWT pun berfirman,

"Kalaulah Aku turunkan kamu ke dunia dan Aku cipta kamu sama seperti manusia yang mempunyai nafsu, nescaya kamu juga akan melakukan sebagaimana yang manusia lakukan".

Para Malaikat menjawab,

"Maha Suci Engkau wahai Tuhan, kami sama sekali tidak akan menderhakai-Mu ”

Maka Allah SWT menyuruh para Malaikat memilih dua Malaikat yang terbaik di antara mereka untuk dikirimkan ke bumi. Maka para Malaikat pun memilih Harut dan Marut, iaitu dua Malaikat yang paling Soleh di kalangan mereka dan yang paling banyak ibadatnya kepada Allah SWT.

Sebelum diturunkan ke dunia Harut dan Marut di bekalkan dengan nafsu dan syahwat sama seperti manusia. Semasa di dunia, disebabkan kesolehan mereka, maka mereka telah dilantik oleh penghuni dunia sebagai Hakim yang menyelesaikan pelbagai masalah manusia.

Pada suatu hari datanglah seorang wanita yang cantik jelita berketurunan Parsi, namanya Zuhrah. Apabila terpandang sahaja Zuhrah, Harut dan Marut mula berdebar-debar. Maka bertanyalah Harut kepada Marut,

“Wahai saudaraku Marut, adakah engkau merasai apa yang aku rasa, yakni perasaan cinta dan berahi kepada wanita yang berjumpa kita tadi ?”

Jawab Marut,

"Benar, aku juga merasai apa yang engkau rasai".

Lalu Harut dan Marut pun cuba memikat dan merayu pada wanita jelita itu tetapi wanita jelita itu menolak dan pulang ke rumahnya.

Keesokan harinya, wanita jelita itu datang bertemu mereka berdua.

“Wahai Tuan Hakim, aku mengetahui gelodak jiwa kalian terhadap diriku. Baiklah! Kamu berdua boleh dapatkan aku jika sanggup melakukan tiga perkara ini; yang pertama hendaklah kamu menyembah berhala, kedua hendaklah kamu membunuh Si Pulan bin si Pulan dan yang ketiga hendaklah kamu meminum arak!".

Apabila mendengar sahaja permintaan perempuan itu, Harut dan Marut terkejut dan menolak permintaan tersebut kerana takutkan Allah SWT.

Pada hari ketiga, Zuhrah datang lagi dan di tangannya ada sebotol arak. Melihat sahaja Zuhrah perasaan Harut dan Marut tidak keruan. Kata Zuhrah,

“Wahai Tuan Hakim yang bijaksana ini peluang yang akhir, jika engkau berdua betul-betul mahukan aku, buatlah salah saatu daripada tiga perkara sama ada engkau menyembah berhala, membunuh si pulan bin si pulan atau meminum arak yang ada di tanganku ini".

Maka berbincanglah Harut dan Marut sesama mereka, lalu akhirnya mereka buat keputusan memilih yang ketiga iaitu minum arak.

Apabila mereka minum arak, maka mabuklah mereka lalu berzinalah mereka dengan Zuhrah. Secara kebetulan, ada seorang lelaki yang melihat kelakuan mereka, lalu untuk menyelamatkan rahsia mereka daripada terbongkar kepada umum, maka dibunuhnya lelaki tersebut.

Semasa mabuk Harut dan Marut juga menyembah berhala yang ditunjuk oleh Zuhrah.

Setelah Harut dan Marut sedar dari mabuk, keduanya insaf di atas kesalahan yang mereka lakukan dan ingin segera kembali ke langit. Namun, Allah SWT tidak mengizinkan.

Allah SWT berfirman kepada mereka,

“Sekarang kamu berdua pilih, samada kamu mahu menerima azab di dunia atau azab di akhirat.? ”

Keduanya menjawab,

“Wahai Tuhan, kami berdua memilih azab di dunia kerana azab di dunia ada pengakhirannya sedangkan azab di akhirat tidak akan berakhir.”

Kemudian Allah SWT tempatkan mereka di negeri Babil (Babylon) dan diazab dengan kedua kaki terikat, kepala ke bawah kaki di atas. Manakal Zuhrah, wanita yang menggoda mereka, Allah SWT jadikan dia sebagai planet yang sekarang ini di kenali sebagai planet Zuhrah.

Walaubagaimanapun pendapat yang mengatakan Harut dan Marut ialah dua malaikat yang Allah SWT utuskan kepada orang Yahudi untuk mengajar mereka tentang sihir supaya mereka boleh membezakan antara sihir dan mukjizat Nabi Sulaiman.

Buktinya pada ayat yang berikut Allah SWT berfirman,

“….sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)…”

Pendapat lain pula mengatakan Harut dan Marut ini bukan malaikat kerana amat mustahil Malaikat boleh mengajar ilmu sihir, sedangkan sihir itu sesuatu ilmu yang berhubung kait dengan Iblis dan Syaitan.

Mempelajari sihir, bermakna meyembah Syaitan, meminta pertolongan daripadanya dan tidak ada tujuan lain bagi orang yang mempelajari ilmu ini, melainkan untuk mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Oleh yang demikian mustahillah Harut dan Marut ini adalah malaikat.

Maka yang dimaksudkan dengan Harut dan Marut di sini ialah dua orang lelaki yang dipandang solih yang berasal dari negeri Babilon (Iraq). Di sebabkan kesolehan mereka itulah mereka di panggil dengan gelaran malaikat oleh masyarakat di zamannya.

Mereka di anugerahkan berbagai ilmu pengetahuan termasuklah ilmu Sihir. Ada di kalangan masyarakat di zaman tersebut yang meminta supaya mereka mengajarkan ilmu ini, namun Harut dan Marut meletakkan syarat, sekiranya ilmu ini di ajar, jangan sekali-kali mereka menyalah gunakan ilmu tersebut.

Malangnya, apabila mereka mempelajari ilmu ini, mereka telah menyalahgunakannya dengan menggunakan ilmu ini untuk menceraikan pasangan suami dan isteri. Pendapat ini juga menimbulkan kemusykilan, kerana kalaulah Harut dan Marut itu orang yang soleh, mustahil mereka memiliki ilmu sihir dan mengajar ilmu yang sesat ini kepada orang ramai. Sifat ini bertentangan dengan akhlak seorang yang soleh.

Justeru siapakah Harut dan Marut ? Menurut HAMKA, Harut dan Mariut ialah malaikat Allah SWT. Cuma kalimah ‘Ma’ dalam Wa Ma Unzila Ala Malakain dalam ayat ini hendaklah ditafsirkan kepada ‘Tidak’ bukan ‘Apa’. Jadi tafsiran yang paling tepat ialah,

“ ….Dan tidaklah diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”.

Dengan kata lain malaikat Harut dan Marut ini tidak mengajar ilmu sihir kepada manusia, melainkan mereka datang ke dunia sebagai ujian untuk mengajak manusia meninggalkan ilmu tersebut.

Namun orang-orang Yahudi menuduh bukan sahaja Nabi Sulaiman yang mengajar ilmu sihir malah kedua-dua malaikat yang diutuskan oleh Allah ke negeri Babilon juga turut mengajar ilmu ini kepada orang ramai. Jelas, ayat ini menafikan semua tuduhanorang-orang Yahudi yang tidak berasas.

Firman Allah SWT pada ayat berikutnya,

“…..Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya……”.

Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita semua tentang adanya sihir yang dihantar boleh membalik-balikkan hati manusia, sehingga pasangan suami isteri yang saling sayang menyayangi bertukar menjadi benci, bergaduh dan seterusnya membawa kepada penceraian.

Firman Allah SWT seterusnya,

“....padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah…”

Maksudnya ilmu sihir ini sama sekali tidak akan dapat memberi mudharat kepada sesiapa yang menjadikan Allah SWT sebagai Pelindungnya. Kepada mereka yang lemah imannya, tidak beramal dengan perintah Allah, tidak ikut apa yang disuruh oleh Rasulullah saw, orang-orang yang sedemikianlah yang akan terdedah dengan sihir ini.

Firman-Nya lagi,

“….Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka…”

Di hujung ayat Allah SWT berfirman,

“…Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”(102).

Maksudnya orang-orang ahli kitab sudah pun tahu bahwa tukang sihir tidak akan mendapat kesenangan di akhirat malahan, mereka akan ditempatkan ke dalam neraka. Alangkah buruknya perangai mereka jika masih melakukan perbuatan keji tersebut.

Wallahualam.

HAK CIPTA TERPELIHARA

Sunday, November 13, 2011

Masuk neraka kerana seekor lalat


Dari Tariq ibn Shihab,

“ Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda “ Seorang lelaki telah masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki lain masuk neraka kerana seekor lalat. Sahabat bertanya “ Bagaimana boleh berlaku ya Rasulallah : Baginda saw bersabda : Dua orang lelaki telah melalui perkampungan satu kaum yang memiliki berhala. Setiap orang yang melalui berhala tidak akan dibenarkan lalu kecuali jika melakukan korban untuk berhala berkenaan. Dua orang tadi ditahan lalu dikatakan kepada mereka berkorbanlah. Berkata seorang dari mereka kami tidak memiliki sesuatu untuk dikorbankan. Lalu berkata penjaga berhala ” berkorbanlah walaupun seekor lalat". Lalu lelaki ini mengorbankan seekor lalat, lalu dia pun dibenarkan lalu. Kepada seorang lelaki yang lain , ia berkata “ aku tidak akan mengorbankan sesuatu selain kepada Allah, lalu mereka memancung kepalanya maka masuklah dia kedalam syurga.” (HR Imam Ahmad)

Friday, November 11, 2011

Isu Ibadat haji PM – Ulasan saya

Ibadat haji PM berjalan baik
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my


SEPANG 10 Nov. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan bahawa rombongan haji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyelesaikan urusan wajib ketika menunaikan ibadat tersebut.

Jamil Khir berkata, ini kerana sepanjang mengerjakan ibadat tersebut rombongan haji Perdana Menteri sentiasa dikawal oleh pihak kerajaan Arab Saudi supaya ia berjalan dengan baik.

“Sebenarnya isu ini tidak timbul langsung, kemungkinan ia disalah tafsir.

“Yang dimaksudkan bukan selesai ibadat haji, tetapi selesai wukuf. Wukuf ni waktunya dari Zohor hingga Maghrib pada 9 Zulhijjah dan lepas itu habis lah.

“Jadi, yang dimaksudkan itu ialah selesai wukuf, (tetapi) saya tengok lenggok bahasa yang digunakan itu selesai haji, jadi lenggok itu salah lah,” katanya kepada pemberita selepas tiba dari tanah suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal propembangkang Malaysiakini Selasa lalu yang melaporkan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya terkejut bahawa seorang pemimpin kanan negara bersama isterinya serta orang kenamaan lain telah selesai menunaikan ibadat haji.

Menurut Juanda, ini kerana waktu paling awal bagi jemaah haji boleh menamatkan ibadat tersebut adalah pada waktu Zohor hari tersebut dan dengan syarat mereka melakukan nafar awal iaitu setelah selesai bermabit di Mina malam 11 dan 12 Zulhijjah dan melontar tiga jamrah pada dua hari berkenaan.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, rombongan Perdana Menteri telah menyelesaikan nafar awal iaitu berada di Mina pada malam hari 11,12 dan 13 Zulhijjah.

“Ibadat haji ini disebut al-haj Arafah iaitu mesti kena pergi ke Arafah, kalau tak pergi Arafah tak adalah haji.Kemungkinan pada petang tersebut soalan itu selesai di Arafah sahaja manakala haji belum lagi kerana perlu melontar pula,” katanya.

Ditanya mengenai desakan Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) supaya amalan penyembelihan lembu ketika ibadat korban dilakukan secara tertutup, Jamil Khir berkata, isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan.

“Kesefahaman tentang amalan di Malaysia penting, di mana hak orang Islam diberikan dalam Perlembagaan, budaya dan untuk amalan agama.Hal ini sudah diketahui lama dah dan sudah berjalan dengan baik sebelum ini dan kita lakukan ibadat korban ni bukan semata-mata nak berseronok tetapi sebagai ibadat dalam Islam,” katanya.

Ulasan saya

Saya tiada sebarang ulasan mengenai ibadah Haji PM dan isterinya Datin Seri Rosmah dan sebagai seorang Islam saya mendoakan mudah-mudahan ibadah Hajinya diterima oleh Allah SWT.

Cuma saya ingin memperbetulkan statement akhbar yang dibuat oleh YB Menteri Agama, Dato Seri Jamil Khir mengenai tempoh waktu wukuf.

Adalah kurang tepat jika Menteri Agama mengatakan tempoh waktu wukuf bermula dari waktu Zuhor sehingga waktu Maghrib 9 Zulhijjah, sedangkan waktu wukuf yang sebenar ialah bermula dari gelincir matahari (waktu Zuhor) 9 Zulhijjah sehingga seketika sebelum terbit fajar (masuk Subuh) 10 Zulhijjah.

Mungkin wartawan tersilap melaporkannya.

Wallahualam.

Friday, November 4, 2011

Hari ini hari Tarwiah dan Selamat Hari Raya Korban

Bersiap sedia menaiki bas sebelum ke Arafah.

Hari ini 8 Zulhijjah, dikenali sebagai hari Tarwiah. Di sebut sebagai hari Tarwiah kerana jemaah Haji akan bersiap sedia dengan mandi sunat ihram, solat sunat ihram dan berniat ihram Haji (bagi Haji Tamattuk) sebelum menuju ke Padang Arafah menaiki bas.

Berbagai ragam jemaah Haji

Kebiasaannya petugas-petugas Tabung Haji akan menampal notis di papan kenyataan hotel tentang jadual perjalanan ke Padang Arafah.

Bagi jemaah Haji muassasah, mungkin mereka akan di susun mengikut KT masing-masing. Contoh KT 1 sehingga KT 5 akan berangkat sekian-sekian masa dan begitulah KT-KT yang lain.

Bagi jemaah Haji Swasta (melalui pakej) mungkin mereka di susun mengikut tingkat-tingkat di hotel.

Contoh, jemaah Haji yang menginap di tingkat yang paling atas biasanya akan diberi keutamaan untuk berangkat terlebih dahulu.

Kemudian barulah jemaah Haji yang berada di tingkat 7, 6, 5 dan sehinggalah yang ke bawah mengikut tertib.

Namun ada juga jemaah-jemaah Haji yang panik, mungkin mereka takut tertinggal bas. Justeru mereka tidak menghiraukan arahan yang diberi. Dalam keadaan jemaah Haji di tingkat 8 belum diarahkan turun ke bawah untuk menaiki bas, sudah ada jemaah Haji yang menginap di tingkat 7, 6 dan ke bawah mula memenuhi lobi hotel kerana tidak sabar-sabar hendak ke Arafah.

Inilah yang menyebabkan berlakunya kesesakan di lobi hotel.

Ada juga jemaah yang merungut-rungut kerana kelewatan bas. Malah ada yang mengomel memberi idea itu dan ini seolah-olah Tabung Haji baru setahun jagung menguruskan jemaah Haji.

Demikianlah suasana hari Tarwiah…, macam-macam ragam dan karenah.

Sedikit nasihat

Wukuf di Padang Arafah bermakna berada di bumi Arafah walaupun sesaat bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah (waktu Zuhor) sehinggalah terbit Fajar 10 Zulhijjah (waktu Suboh). Katakanlah masuk Zuhor di sana pukul 12.30 tgh hari dan masuk waktu Subuh keesokkannya ialah pukul 4.30 pagi. Bermakna tempoh masa yang diberi untuk berwukuf ialah 16 jam.

Dengan tempoh yang lama itu, maka jemaah Haji tidak perlu risau dan panik. Insya Allah, jika mereka mengikut arahan yang diberi, kesemuanya akan sampai ke padang Arafah tepat pada masanya.

Malah sudah menjadi tradisi jemaah Haji Malaysia akan sampai ke padang Arafah lebih awal beberapa jam sebelum masuknya waktu Wukuf berbanding dengan jemaah-jemaah Haji dari negara lain.

Persoalan, kenapa jemaah Haji Malaysia tiba lebih awal di Arafah ?

Kerana kita akan terus bertolak ke Arafah tanpa berhenti di Mina. Berdasarkan pandangan Mazhab Syafie, berhenti di Mina sebelum ke Arafah hanyalah sunat sahaja.

Walaupun menyalahi sunnah, namun dengan kapasiti jemaah yang terlalu ramai, maka itulah sahaja jalan terbaik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang memungkinkan jemaah Haji terluput waktu untuk berwukuf di Padang Arafah.

Jadi kenapa perlu panik ?

Akhir kata Selamat Menyambut Hari Raya Korban daripada saya dan keluarga.

Abu Sofeya