Sunday, February 26, 2012

Disebabkan Wanita, Wang dan juga Kuasa


Ustaz kena tangkap khalwat !

Isu ini agak hangat di perkatakan sekarang.  

Jika En. Marjoyo, Pakcik Dolah atau Wak Karman yang ditangkap khalwat,  orang tidak kisah, dan tidak mahu ambil peduli. Sebab orang tidak tahu siapa itu En. Marjoyo, Pakcik Dolah atau Wak Karman.

Tetapi kalau yang ditangkap itu seorang ustaz, apatah lagi yang begitu popular dengan alunan zikir munajat dan mempunyai pengikut yang ramai, sudah tentu isu ini menarik perhatian awam.

Bukan sahaja orang Islam, malah Mutusamy dan Ah Chong juga turut berminat dengan kisah sensasi ini. 

Benar atau tidak dakwaan yang mengatakan ustaz ini ditangkap kerana  konspirasi pihak tertentu yang hendak mengaibkannya,  hanya Allah SWT yang Maha Mengetahuinya.

Isteri saya ketika mengulas isu ini,

"Kalau hal ini berlaku pada abang, Na tidak akan maafkan abang walau pun ia satu konspirasi jahat !", katanya tegas.

Demikianlah hati seorang isteri yang telah meletakkan kepercayaan kepada suami.

Saya menghargainya.

Para pembaca sekalian,

Apa pun kes ini dalam siasatan. Jika ustaz itu dibicarakan, maka kita tunggulah sahaja keputusannya. Saya teringat dua minggu lepas semasa berbual dengan seorang teman lama yang juga bertitle ustaz.

“Sheikh… dalam dunia ini, ada perkara-perkara  tertentu yang  kita perlu berhati-hati dengannya”, katanya.  

“Apa dia….?”, tanya saya.

“ Antaranya wanita.  Anta perlu ingat ….Adolf Hitler, Napoleon Bonaparte dan ramai lagi tokoh di dunia TUMBANG disebabkan pengaruh wanita dalam dirinya”, jelas teman lama yang pernah  sama –sama berguru di SMKA SHAMS ini.  

“Ya..,  ana setuju. Tapi dalam masa yang sama ada juga wanita yang membantu kejayaan suaminya. Ambil contoh Saidatina Khadijah bt Khuwailid yang sentiasa mendorong  kepada perjuangan Rasulullah SAW”, saya memberi misal kerana tidak mahu menyalahkan wanita seratus peratus.

Beliau mengangguk-angguk tanda setuju.

Kami terus berdiskusi hampir lewat satu jam.  Pelbagai topic dibincang. Dari isu perkembangan rakan-rakan yang lain sehinggalah kepada isu di negara seperti NFC, rasuah dan PRU 13.

Ada masa-masa tertentu  perbincangan agak tegang, kerana masing-masing mahu menegakkan hujah.

Hasil perbualan , kami akur antara penyumbang kepada kejatuhan seseorang lelaki adalah disebabkan pengaruh WANITA, WANG dan juga KUASA.

Disebabkan pujuk rayu WANITA, kadang-kadang seorang lelaki boleh tergadai imannya.

Berapa ramai suami yang asyik bercinta kali kedua , ketiga dan entah ke berapa kali  mengabaikan tanggungjawab memimpin rumahtangga.  Sehingga anak-anak dan isteri hilang tempat mengadu kasih. 
  
Aduh, sungguh kasihan. …

Begitu juga ada lelaki tewas kerana WANG. Di sebabkan terlalu kemaruk mencari  WANG sehingga sanggup membinasakan maruah dan juga peribadi. Lihat sahaja, berapa ramai yang terperosok dalam kurungan besi akibat rasuah, melakukan penipuan, penyelewengan,  pecah amanah, khianat dan pelbagai lagi.

Masya Allah…    

Demikianlah juga di sebabkan KUASA, kadang-kadang seseorang pemimpin  boleh bertukar watak  menjadi  binatang.

Demi mempertahankan kuasa, mereka sanggup membunuh, menyembelih, mencincang dan melenyapkan para penentang.

Inilah yang terjadi di bumi Syria dan negara-negara Arab yang lain.

Pemimpin yang zalim seperti ini lambat laun akhirnya tumbang juga.  

Ya Allah jika Engkau uji aku dengan tiga perkara ini, berilah aku kekuatan iman dalam menghadapinya.

Aminnn…

UMRAH 6-17 JULAI 2012 DI BUKA !

Harga RM 4780.00, penerbangan MAS. Bertolak ke Madinah dahulu. Jumlah hari 13/11M. Melalui KRS Travel Sdn Bhd, Lavender Heights Seremban.

Harga termasuk penginapan di Mekah dan Madinah, makan dan minum 3 kali sehari, visa, tiket kapal terbang pergi dan balik, cukai lapangan terbang dan pengangkutan semasa di sana.

Berminat ?

Hubungi 019-6404133




Tuesday, February 21, 2012

Wahai Bani Israil…


Tafsir Al-Quran
Surah al-Baqarah : 40-43

 “ Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).(40)Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.(41)Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.(42)Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.(43)

Huraian ayat

            Firman Allah SWT pada ayat 40,
  
 “Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain)”.(40)

            Allah SWT menggesa kaum Bani Israil supaya mengenang segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka dan menyempurnakan perjanjian mereka dengan Allah SWT. 

            Israil ialah gelaran yang merujuk kepada Nabi Yaakob a.s. Perkataan ini di ambil dari bahasa Hebrew, ‘Isra’ ertinya hamba dan ‘il’ pula ertinya Tuhan. Justeru Israil ialah hamba Tuhan yang menjadi pilihan-Nya. Manakala Bani Israil ialah gelaran yang diberikan kepada anak-anak dan keturunan Nabi Yaakob a.s. 

            Dari 12 orang anak-anak Nabi Yaakob,  salah seorang daripadanya bernama Yahuda. Daripada perkataan inilah munculnya nama Yahudi. Yahudalah yang bertanggungjawab menghasut adik beradiknya untuk membuang saudaranya Nabi Yusuf a.s disebabkan dengki kepadanya kerana sering diberi perhatian oleh bapa mereka.

            Dengan helah terancang, Nabi Yusuf a.s di buang ke dalam perigi namun berjaya diselamatkan oleh pedagang yang singgah berehat untuk mengambil air. Mereka kemudian  membawa Nabi Yusuf a.s ke Mesir lalu dijual dengan harga hanya beberapa dirham. Baginda di beli oleh seorang bangsawan negara yang juga Ketua Polis Mesir.

            Semasa dewasa, isteri bangsawan ini yang bernama Zulaikha sangat tertarik dengan ketampanan Nabi Yusuf a.s, lalu berlakulah fitnah ke atas baginda menyebabkan baginda dipenjarakan. Oleh kerana Nabi Yusuf a.s pandai mentakbir mimpi, baginda akhirnya dikeluarkan dari penjara dan dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir.

            Ketika musim kemarau melanda Kan’an (Palestin), anak-anak Nabi Yaakob mencari makanan di Mesir, membawa kepada pertemuan semula adik mereka Nabi Yusuf a.s. Sejak dari itu Bani Israil mula menginap di Mesir dan berkembang biak di sana.

            Ketika Firaun (Ramses 2) berkuasa di Mesir, Bani Israil mengalami masa-masa yang paling sukar kerana ditindas dan dijadikan hamba.  Lalu Allah SWT utuskan Nabi Musa a.s untuk membawa mereka keluar dari Mesir, sekaligus menamatkan penderitaan yang  mereka alami dari kekejaman Firaun.

            Bangsa Yahudi hidup berpindah di merata-rata tempat. Di zaman Rasulullah SAW, mereka tinggal menetap di utara Hijaz iaitu Yathrib.

            Pada ayat 40, Allah SWT  telah  mengingatkan orang-orang Yahudi melalui lidah Rasul-Nya (Nabi Muhammad SAW), supaya mereka mengenang kembali segala nikmat telah dikurniakan kepada mereka yang antara lain  menyelamatkan mereka dari kekejaman Firaun.

Mereka juga diseru untuk memenuhi janji yang mereka pernah ikrarkan untuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW (Nabi akhir zaman) sebagaimana yang termaktub di dalam kitab Taurat yang diturunkan kepada mereka serta hendaklah takut kepada Allah SWT sahaja.

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 41,

 “ Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu,..”

            Allah SWT memerintahkan orang-orang Yahudi supaya beriman dengan segala isi pengajaran yang terdapat di dalam al-Quran yang mengesahkan ajaran yang terdapat di dalam kitab Taurat yang menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT, juga memberitahu tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, sifat-sifat dan ciri-cirinya.

            Dalam surah al-A’raaf ayat 157 Allah SWT berfirman,

 “(iaitu)  orang-orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka…”.

            Sebab itulah Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang Yahudi  sangat mengenali Rasulullah SAW seperti mana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Hal ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 146,
                       
 “Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri..”

            Firman Allah di pertengahan ayat 41,

 “…dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia;..”

            Oleh kerana mereka sudah diberitahu lebih awal tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW, maka tidak sepatutnya mereka menjadi golongan yang paling awal pula mengingkari kerasulan baginda.

            Firman Allah SWT di hujung ayat ,

 “…dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa”.(41)

            Mengikut sebahagian ahli tafsir, kebanyakkan ketua-ketua agama Yahudi sering menerima hadiah daripada pengikut-pengikut mereka. Mereka mendakwa kepada pengikut-pengikut Yahudi bahawa Tuhan pasti akan mengutuskan Nabi akhir zaman di kalangan bangsa mereka kerana sebelum ini banyak  Nabi-Nabi dan Rasul Tuhan utus dari kaum mereka. Rupa-rupanya ramalan ketua-ketua agama ini meleset kerana Nabi akhir zaman yang Allah SWT utuskan itu rupa-rupanya dari bangsa Arab.

            Sebab itu mereka tidak boleh menerima hakikat ini. Mereka cukup bimbang jika perihal sebenar tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW diceritakan, maka ramai pengikut mereka akan berpaling tadah, tidak lagi percaya kepada mereka apatah lagi mahu memberi hadiah seperti yang  dilakukan sebelum ini. Dengan erti kata lain sudah pasti kewibawaan mereka sebagai pendita akan tergugat.

            Demi menjaga kepentingan peribadi mereka lalu mereka ubah dan sembunyikan ayat-ayat Allah SWT yang menceritakan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Di hujung ayat ini Allah SWT menyeru mereka supaya bertaqwa kepada-Nya kerana dengan taqwa sahaja seseorang itu akan takut melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT apatah lagi mahu menyelewengkan kebenaran.

            Pengajaran daripada ayat ini, walau pun ia dituju kepada pendita-pendita Yahudi namun ulama dan ilmuan Islam juga hendaklah mengambil iktibar. Mereka jangan sekali-kali menyembunyikan kebenaran yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis, kerana dosanya cukup besar di sisi Allah SWT.

            Sabda Rasulullah SAW,

     “Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat”. (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
 
            Firman Allah SWT pada ayat 42,

 “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”.(42)

          Allah SWT menempelak ketua-ketua agama Yahudi yang mengubah ayat-ayat Allah dengan tafsiran-tafsiran mereka yang songsang serta menyembunyikan kebenaran ayat-ayat Allah tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW.

            Jika dilihat dalam Taurat Ulangan (Deutronomy ayat 18) ada menyatakan bahawa Tuhan telah berfirman kepada Nabi Musa,

            “ I will raise up for them a prophet like you from among their brothers ”

            Sudah terang lagi bersuluh di mana Allah SWT telah memerintahkan Nabi Musa a.s supaya menyampaikan kepada kaumnya bahawa kelak Tuhan akan mengutuskan seorang Rasul daripada bangsa yang bersaudara dengan mereka iaitu Bani Ismail. Ternyata satu-satunya Rasul yang lahir dari Bani Ismail ialah Nabi Muhammad SAW.

            Firman Allah SWT pada ayat 43,

 “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”.

            Setelah Allah SWT mengingatkan kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan, lalu Allah SWT menyuruh mereka kembali menjadi muslim dengan mematuhi perintah Allah yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW yang antara lainnya ialah mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. 

Wallahualam. 

Sunday, February 12, 2012

Festival Nasyid KTJ : SMAP Kajang juara !

Kumpulan Nasyid Kolej Tuanku Jaafar

Alhamdulillah, pagi tadi telah berlangsung Festival Nasyid di Kolej Tuanku Jaafar dengan gemilangnya. Tetamu Kehormat yang merasmikan Festival ini ialah Tuan Haji Nik Roskiman bin Abd Samad, Pengarah Radio IKIM.fm.

Antara 'gergasi-gergasi' kumpulan nasyid yang bertarung pada kali ini ialah SMAP Labu, SMAP Kajang, SDAR, Kolej Tunku Khursiah, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Kolej UEM Lembah Beringin, Sekolah Sains Alam Syah dan Kolej Tuanku Jaafar.

Persembahan mantap dari SMAP Kajang !

Setelah di adili oleh hakim-hakim yang berwibawa dan bijaksana yang didatangkan khas dari kumpulan Hijaz, Saujana dan IKIM.fm, maka Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang telah di nobatkan sebagai juara Festival, diikuti oleh Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu sebagai naib juara.

Masing-masing berjaya membawa pulang RM 500.00 (Juara) dan RM 300.00 (Naib Juara) berserta trofi dan hadiah iringan.

Tempat ketiga jatuh ke tangan Sekolah Sains Alam Syah, tempat keempat Kolej Tunku Khursiah dan tempat kelima Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR).



Delegasi Kolej Tunku Khursiah di jamuan tengah hari

Manakala Kolej Tuanku Jaafar, Sekolah Seri Puteri Cyber Jaya dan Kolej UEM Lembah Beringin hanya mampu memperolehi hadiah sagu hati.

Tahniah diucapkan kepada pemenang.

Kepada yang kalah termasuk tuan rumah jangan berputus asa, insya Allah tahun depan cuba lagi....





Friday, February 3, 2012

Maulidur Rasul : Ayuh kita berentap !

Bukan seminggu.

Bukan dua minggu.

Tapi sudah berbualan-bulan, saya suruh mereka berlatih.

"Kamu kena asah apa-apa yang patut", tegas saya lagak seperti panglima perang.

"Siapa lawan-lawan kita ustaz", sahut seorang pelajar.

" Smhk, mnsw, bnhg dan bla-bla...", jawab saya.

"Ingat bukan senang kita mahu tewaskan mereka. Mereka handal-handal belaka. Kamu jangan mengaku kalah !", sambung saya lagi.

"Takbir !", jerit seorang peserta dengan semangat.

"Allahu Akbar", bergema suara anak-anak murid melaungkan kebesaran Allah.

"Musuhnya habis binasa", sampuk pula satu suara yang entah dari mana.

"O.k, Syiraz.... apa lagi, sila tunjukkan kehebatan kamu",  celah saya di sebalik takbir.

Suasana senyap sepi.

Tiba-tiba,

"Tercipta satu lembaran sejarah, ditanah suci kota Mekah.....", Syiraz anak murid kesayangan membuahkan suara emasnya.

Insya Allah Islamic Society Kolej Tuanku Jaafar bakal menganjurkan Festival Nasyid sempena sambutan Maulidur Rasul pada hari Ahad 12hb Februari minggu depan.

Antara sekolah-sekolah yang sudah mengesahkan penyertaan ialah :

1. Kolej Tunku Khurshiah

2. SMAP Labu

3. SMAP Kajang

4. SMKA Pedas

5. SDAR

6. Kolej Yayasan UEM

7. Sekolah Sains Alam Syah

Selamat datang untuk beradu nasyid di KTJ !