Thursday, March 22, 2012

Mintalah pertolongan kepada Allah

 
Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah : 45-49

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;(45)(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.(46) Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).(47)Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.(48) Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu”.(49)

Huraian ayat

            Firman Allah pada permulaan ayat 45,

 “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang;..”

            Di antara banyak sifat manusia ialah suka mengadu tentang masalah yang mereka hadapi. Manusia yang memendamkan masalah di dalam hati tanpa di luah dan di adu  kepada sesiapa menjadikan  jiwa mereka tidak tenteram, dirundung muram, duka, gelisah dan juga kecewa. Silap-silap manusia yang memendam rasa boleh mengidap penyakit jiwa.

            Namun tidak semua masalah yang diadu oleh manusia boleh diselesaikan oleh manusia. Sebab manusia yang dicipta dari tanah itu tidak sunyi daripada sebarang  kelemahan. Sebab itulah manusia  perlu kepada kuasa GHAIB yang boleh dijadikan tempat merujuk untuk merungkaikan permasalahan yang mereka hadapi. Allah SWT menyeru orang-orang yang beriman supaya memohon pertolongan kepada-Nya, bersabar apabila menerima sebarang kesulitan dan mendirikan solat.

            Sudah menjadi amalan para Anbiya’ serta orang-orang yang soleh akan mendirikan solat apabila menerima sesuatu dugaan atau kesilitan.

            Seorang sahabat Abu Huzaifah r.a meriwayatkan, Rasulullah SAW jika menghadapi sesuatu kesulitan, lantas baginda akan mendirikan solat. Solat adalah satu rahmat yang besar dari Allah SWT. Bersolat pada ketika menghadapi sesuatu kesusahan adalah seumpama bersegera mencari rahmat Allah s.w.t dan apabila rahmat Allah itu tiba menyelamatkan pastilah bahawa bekas-bekas kesulitan itu tidak akan ada lagi.

            Maryam ibu kepada Nabi Isa a.s juga diperintahkan Allah SWT agar sujud dan rukuk (mendirikan solat) kerana beliau bakal menerima ujian paling besar dalam hidupnya iaitu mengandung dan melahirkan seorang bayi tanpa bapa. Hal ini disebut dalam surah ali-‘Imran,

 “Wahai Maryam ! Taatlah kamu kepada Tuhanmu dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang yang rukuk”. (ali-‘Imran : 43)

            Iktibar daripada ayat ini, ibadat solat jika dilakukan dengan khusyuk,  mampu memberi ketenangan jiwa daripada sebarang himpitan masalah dan kesulitan yang melanda.

            Dihujung ayat 45,
           
“…dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;”(45)

            Sesungguhnya ibadah solat amat berat dilakukan kerana banyak perkara syarat-syarat dan rukun-rukun yang perlu dijaga. Sebab itu ramai orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul tetapi gagal melaksanakan solat fardhu atau memandang ringan sahaja amalan ini. 

             Melainkan mereka yang telah merasai nikmat dan kelazatan dalam menunaikannya.  Mereka akan merasa ketagih, sehingga tertunggu-tunggu untuk melaksanakannya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda,

            “Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku’nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.” ( Hadits Riwayat Muslim)

            Selain solat fardhu, mereka yang khusyuk dalam solat juga  amat rajin menunaikan solat-solat sunat. Mereka yakin akan bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak. Inilah difirmankan Allah dalam ayat  46,

            “(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya”.(46)

                Ayat ini merupakan salah satu daripada dalil yang dipegang oleh Ahlussunnah wal jamaah, bahawa manusia yang beriman dan beramal soleh akan dapat melihat Allah SWT di syurga kelak.
            Selain itu dalil lain ialah surah al-Qiyamah ayat 22-23,
            “ Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;(22)Melihat kepada Tuhannya”. (23)

            Ahli syurga ketika melihat Tuhan mengucapkan salam sebagai kata penghormatan. Dalam surah al-Ahzab ayat 44 Allah SWT menjelaskan,

            “Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan “Salam” (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia”.(44)

                        Berkata Imam Asfaraini : Kalimah  ‘Liqa’ (bertemu) dalam bahasa Arab bererti lihat melihat apa lagi bertemu antara dua yang tidak boleh bersentuh zat-Nya.

            Manakala dalil daripada hadis,

            Dari Jabir yang berkata, “Kami pernah duduk di sisi Rasulullah saw. Lalu, Rasulullah SAW melihat ke bulan pada malam bulan purnama. Kemudian Rasulullah saw berkata, ‘Kelak kamu akan melihat Tuhanmu sebagaimana sekarang kamu melihat bulan ini, yang tidak samar di dalam melihatnya. Jika kamu mampu untuk tidak bersikap lemah di dalam mengerjakan salat sebelum terbit dan terbenamnya matahari, maka lakukanlah.’ Kemudian Rasulullah saw membaca ayat, ‘Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum terbit dan terbenamnya matahari.’”(Hadis Riwayat Bukhari)

            Tentang bagaimana caranya manusia melihat Tuhan di dalam syurga nanti, tidak boleh difikirkan berdasarkan akal, sebaliknya hendaklah diserahkan kepada Allah SWT . Yang penting wajib mengiktiqadkan bahawa Tuhan boleh dilihat dan akan di lihat dengan mata kepala.

            Firman Allah SWT dalam ayat 47,

            “Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya)”.47)

            Sekali lagi Allah SWT mengingatkan kaum Bani Israil tentang nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka. Di antaranya Allah SWT telah mengutuskan kepada mereka Nabi Musa a.s yang menyeru mereka supaya mentauhidkan Allah SWT. Dengan mentauhidkan Allah SWT, mereka dimuliakan dari bangsa-bangsa lain. Allah SWT juga menurunkan kepada mereka kitab Taurat sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan. Selain itu mereka juga diselamatkan oleh Allah SWT dari kekejaman Firaun apabila berjaya di keluarkan dari Mesir dengan menyeberangi laut merah. 

            Firman Allah SWT pada ayat 48,

             “Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan”.(48)

            Allah SWT mengingatkan hamba-hamba-Nya supaya takut kepada hari akhirat kerana pada hari itu tiada siapa yang boleh menebus dirinya dari azab Allah melalui harta dan kekuasaannya. Ahli keluarga dan sanak saudara seperti bapa, isteri dan anak-anak, masing-masing tidak boleh member pertolongan di akhirat. Demikian juga tiada siapa pun yang boleh mendapat keringanan dari azab Allah SWT disebabkan anak atau bapanya seorang yang berpengaruh dan berpangkat ketika di dunia. Satu-satunya yang boleh membantu ialah amalan soleh yang dilakukan di dunia.          

            Seorang sahabat Nabi SAW Ikrimah r.a meriwayatkan,

            Semasa di akhirat kelak seorang ayah akan memegang anaknya sambil berkata : Wahai anakku, bukankah aku adalah ayahmu semasa di dunia dahulu. Maka anak itu menjawab :  Ya, engkaulah ayahku sambil memuji  kebaikkan ayahnya semasa di dunia dahulu.  Kata ayahnya : Wahai anakku apalah kiranya sudi jika engkau berikan  sedikit kebaikan mu walaupun sebesar zarah kepada ayah,  moga-moga ayah selamat daripada azab Allah. Jawab anaknya : Wahai ayah, aku juga takut dengan azab Allah, aku bimbang jika aku beri kebaikanku walaupun sebesar zarah kepadamu aku pula akan kekurangan kebaikkan menyebabkan aku akan dihumban ke dalam api neraka. Cubalah ayah minta kepada ibu, manalah tahu kalau ibu boleh membantu ayah. Maka si ayah  pergi mencari isterinya. Bila mereka berjumpa, maka berkatalah si suami : Wahai isteriku bukankah aku adalah suamimu semasa di dunia dahulu. Jawab isterinya : Ya, engkaulah suamiku sambil memuji kebaikan suaminya semasa di dunia dahulu; Kata suaminya : Justeru wahai isteriku apalah kiranya kalau engkau sudi memberikan kebaikkanmu walaupun sebesar zarah kepadaku, moga-moga dengan itu aku terlepas daripada azab Allah SWT. Jawab isterinya : Wahai suamiku, aku juga takut dengan azab Allah, aku bimbang jika aku berikan kebaikanku walaupun sebesar zarah kepadamu,  aku pula akan kekurangan kebaikkan menyebabkan aku  dihumban oleh Allah SWT ke dalam neraka.

            Firman Allah SWT,

            “ Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu;..”

            Allah SWT mengingatkan kaum Bani Israil supaya mengenang kembali bagaimana mereka telah dilepaskan daripada kehidupan yang penuh sengsara akibat kekejaman yang dilakukan oleh Firaun ke atas mereka.

            Ketika tinggal di Mesir, mereka dijadikan hamba abdi, dipaksa bekerja dengan pekerjaan yang berat-berat. Mereka disuruh membayar ufti kepada Firaun sedangkan kehidupan mereka adalah miskin dan melarat.

            Menurut riwayat, punca mereka di azab kerana Firaun telah bermimpi bahawa kerajaannya akan dimusnahkan oleh seorang lelaki dari Bani Israil. Marah dengan mimpi tersebut, Firaun telah mengarahkan semua bidan-bidan di Mesir melaporkan kelahiran bayi lelaki dari kaum Bani Israil.

            Mana-mana bayi lelaki yang lahir, akan dibunuh dengan cara disembelih, sedangkan bayi perempuan dibiarkan hidup oleh Firaun. Dianggarkan seramai 12 ribu bayi lelaki telah dibunuh dengan kejam sepanjang arahan itu dikeluarkan. Ditakdirkan Allah, ketika itulah Nabi Musa a.s dilahirkan dan dijadikan anak angkat oleh Firaun di dalam istana. 

            Di hujung ayat ini Allah SWT menggambarkan apa apa yang berlaku ke atas kaum Bani Israil adalah satu ujian dan cubaan yang berat buat mereka. Firman-Nya, 

            “….sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu”.(49)

 Wallahualam.

HAK CIPTA TERPELIHARA

Friday, March 2, 2012

Kisah 'Manna' dan 'Salwa'


Tafsir al-Quran 
Surah al-Baqarah : 57-61

 “Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.(57)Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.(58)Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).(59)Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, serta janganlah kamu bertebaran di muka bumi ini dengan melakukan kerosakan”.(60) Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh”.(61)

Huraian ayat

            Firman Allah SWT pada ayat 57,  

“Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”.

            Setelah Nabi Musa a.s berjaya membawa keluar Bani Israil dari Mesir menuju ke Palestin, rombongan ini tersesat di sebuah padang pasir ‘at-Tih’ yang terletak di kawasan semenanjung Sinai. Ada juga pendapat lokasi padang pasir ini terletak di Urdun Jordan. Mereka berada di padang pasir ini selama empat puluh tahun.

            Dalam tempoh itu mereka mengalami pelbagai penderitaan dan kepanasan yang amat sangat. Justeru Allah SWT telah melindungi mereka dengan awan supaya mereka dapat berteduh dari dari panas dan juga dikurniakan makanan yang berupa Manna dan Salwa.

             Menurut lbnul Mundzir dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas, beliau berkata bahawa Manna adalah suatu makanan manis, berwarna putih yang mereka dapati setiap pagi melekat pada batu-batu dan daun-daun kayu. Rasanya manis dan enak; semanis madu, sehingga ada penafsir yang memberi erti Manna ialah madu. Jika dimakan, mereka akan merasa kenyang. Adapun Salwa pula ialah nama sejenis burung sebesar burung puyuh  berwarna putih yang terbang berbondong-bondong dan mudah ditangkap. Ia adalah sumber rezeki buat mereka sebagai pengals perut yang mengenyangkan.

            Firman Allah SWT di hujung ayat ini,

Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri”.(57)

            Dengan segala  nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada Bani Israil, maka sepatutnya mereka bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya jika mereka tidak bersyukur, maka merekalah yang sebenarnya menganiayai diri mereka sendiri, sedangkan  Allah SWT sedikit pun tidak akan dianiayai dengan sebab kekufuran mereka.

            Firman Allah SWT,

“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.(58)

            Setelah empat puluh tahun mereka di padang pasir ‘at-Tih, rombongan Bani Israil yang dipimpin oleh Nabi Musa ini kemudian berjaya masuk ke negeri Palestin yang subur dengan hasil makanan dan rezeki. Allah SWT memerintahkan supaya mereka  masuk dengan tunduk sambil mengucapkan ‘Hittoh’  yang bererti  meminta ampun daripada Allah SWT. Jika perintah ini mereka lakukan, nescaya Allah SWT akan memberi mereka kebaikan dalam bentuk pahala

            Firman Allah SWT pada ayat 59,

“Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka)”.(59)

            Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan betapa kaum Bani Israil ini tidak tahu bersyukur kepada-Nya kerana mereka tidak patuh kepada perintah Tuhan. Mereka masuk ke Palestin dengan sombong manakala perkataan ‘Hittoh’ pula mereka ganti kepada ‘Hintoh’ yang bererti minta gandum dari Allah SWT. Di sebabkan kedegilan mereka itu, Allah SWT turunkan kepada mereka azab dari langit yang berupa penyakit taun yang membawa kematian beribu-ribu nyawa dari kaum Bani Israil.

            Kesemua kisah ini Allah SWT ceritakan kepada Rasulullah SAW dan umat Islam untuk menunjukkan betapa degil dank eras kepalanya bangsa Yahudi untuk mematuhi perintah Allah SWT.

            Firman Allah SWT pada ayat 60,

“ Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, serta janganlah kamu bertebaran di muka bumi ini dengan melakukan kerosakan”.(60)

            Allah SWT menjelaskan sewaktu kaum Bani Israil merentas padang pasir menuju ke Palestin, mereka merasa dahaga yang amat sangat. Mereka mula berputus asa dan merungut-rungut kepada Nabi Musa mengapa mereka di bawa ke tempat yang tandus tiada air sedangkan kalau di Mesir dahulu walaupun diseksa oleh Firaun tetapi tidaklah sampai mereka haus dahagakan air. Seolah-olah kehidupan yang di bawa oleh Nabi Musa a.s lebih sengsara daripada apa yang mereka alami semasa di Mesir. Di sinilah Allah SWT mahu menunjukkan kepada Rasullullah dan umat Islam betapa lemahnya semangat juang kaum Bani Israil.

            Melihat kaumnya yang berputus asa seperti itu, Nabi Musa a.s berdoa kepada Tuhan agar mereka dikurniakan air. Lalu Allah SWT memerintahkan baginda supaya memukul tongkatnya di atas batu. Dengan izin Allah terpancarlah dua belas mata air yang mencukupi untuk mereka minum dan menghilangkan dahaga.

            Dengan nikmat makan dan minum ini Allah SWT mengingatkan kaum Bani Israil supaya tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.  

            Firman Allah SWT pada ayat pangkal ayat 61,

“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”.

            Ayat ini menjelaskan betapa tidak bersyukurnya kaum Bani Israil, setelah diberi makanan berupa Manna dan Salwa serta diberi minuman yang menghilangkan dahaga, namun mareka tetap merungut dengan mengatakan mereka sudah jemu dengan makanan-makanan yang Tuhan kurniakan kepada mereka. Mereka meminta supaya Nabi Musa memohon kepada Tuhan agar dikurniakan pula makanan yang berupa sayur-sayuran, mentimun, bawang putih, kacang dal serta bawang merah.

            Mendengar permintaan mereka, maka Nabi Musa a.s pun menjawab :

“ Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? ?

            Ini merupakan templakan Nabi Musa ke atas kaum Bani Israil, adakah patut mereka yang telah dikurniakan makanan yang baik berupa madu dan daging burung  mahu pula diganti dengan makanan yang rendah mutu dan kualitinya seperti sayur-sayuran, timun, bawang dan sebagainya?

            Kata Nabi Musa lagi,

“ Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”....

            Ertinya kalau kaum Bani Israil  mahu juga makanan-makanan seperti itu hendaklah mereka balik semula ke Mesir dan kembali menjadi kaum yang terhina.

            Firman Allah SWT sehingga ke hujung ayat ini, 

“Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh”.(61)

            Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan kepada Rasulullah SAW sebab-sebab mengapa kaum Bani Israil itu menjadi hina serta papa dari sudut akhlak dan moralnya. Tidak lain kerana mereka mengingkari perintah-perintah Tuhan yang terkandung dalam kitab Taurat, Injil dan al-Quran. Mereka turut membunuh para anbiak seperti Nabi Zakaria, Yahya dan lain-lain sehingga ada riwayat menyatakan jumlah keseluruhan para Nabi yang menjadi mangsa pembunuhan mereka ialah seramai 70 orang.

            Selain itu mereka sering menceroboh hukum-hukum Allah SWT dengan cara meminda ayat-ayat dan firman Tuhan mengikut selera dan kehendak nafsu mereka.     

Wallahualam.