Tuesday, April 24, 2012

UMRAH PERTENGAHAN RAMADHAN 31 JULAI-11 OGOS 2012 SEDANG DI BUKA

Bergambar tidak jauh dari Gua Thur

Insya Allah, jika tiada aral melintang sekali lagi saya diamanahkan oleh Syarikat KRS Travel & Tours (Seremban) untuk membimbing jemaah Umrah pada pertengahan Ramadhan 2012.

Harga ialah RM 6600.00, menaiki  MAS, 12 hari 10 malam dan jemaah akan masuk ke Mekah dahulu.

Harga meliputi tiket penerbangan pergi dan balik, visa umrah, makan dan minum sepanjang di tanah suci, khidmat bimbingan mutawwif, penginapan hotel, pengangkutan ziarah di Mekah dan Madinah serta cukai lapangan terbang.

Hotel di Mekah ialah Mira Palace @ setaraf  (350 meter dari Masjidil Haram) dan di Madinah ialah Manazel Muhajirin @ setaraf (100 meter dari Masjid Nabawi).

Tuan-tuan dan puan-puan yang berminat untuk bersama saya dalam program umrah ini, bolehlah menghubungi saya 019-6404133 atau hishamuddin@gmail.com atau hishamuddinmansor@ktj.edu.my.

Sekian, terima kasih.




Sunday, April 15, 2012

Syukur...jemaah Umrah 3 April 2012 selamat pergi dan selamat pulang

Bergambar di tapak kelahiran Rasulullah SAW

Hotel dan kedai sepanjang di Misfalah banyak yang telah ditutup, menunggu masa untuk dirobohkan 

Syukur, kesemua 43 orang jemaah yang di bawah bimbingan saya telah pun selamat mengerjakan Umrah bermula dari 3 sehingga 14 April 2012. 

Kesemuanya melahirkan rasa gembira yang teramat sangat dan bercadang ingin bertandang semula ke tanah suci jika diberi rezeki di masa akan datang. 

Dari kiri Makcik Salamah, Makcik Zainiah, Kak Rohana, Mak dan Makcik Timah  dari Sikamat
Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh peserta  rombongan yang banyak membantu dalam menjayakan program umrah ini.  

Yang lemah begnya sama-sama di angkat, yang sakit tangannya dipimpin ke masjid, yang hilang wang musibahnya diringankan dan yang tidak faham dibimbing sebaik-baiknya. 

Gelak ketawa rakan-rakan sebilik, Abang Aris dari Taman Jujur, Haji Alias dari Tampin dan En Awaluddin dari Nilai sentiasa menjadi kenangan. 

Demikian juga rakan-rakan yang lain seperti Imam Harun dari Sikamat, En. Mohd Sham dari Taman Tuaanku Jaafar, En. Faisal dari Alor Setar dan En Huzainai beserta tujuh orang ahli keluarga dan nama-nama lain yang tidak dapat dinyatakan di sini, keahuilah sesungguhnya saya sangat merindui kalian. 

Ya Allah terimalah umrah kami, terimalah tawaf kami, terimalah sa'ie kami dan terimalah segala amal ibadah kami di tanah suci.... 

Aminnnn. 

















































































Tuesday, April 3, 2012

Al-Fatihah : Kami sekeluarga berkabung

Mak, Kak Long dan arwah abang Suman ketika berhari raya di rumah saya 

Tanggal 2 April 2012, jam 10.12 malam, abang Ipar sulong saya telah kembali kerahmatullah.

Mudah-mudahan roh Allahyarham Haji Osman bin Chik atau lebih mesra dipanggil 'Abang Suman' dicucuri rahmat dan  ditempatkan bersama orang-orang soleh. Aminn.

Di kalangan abang-abang Ipar saya, abang Sumanlah yang paling baik dan yang paling pemurah.

Semasa saya masih kecil, kalau dengar sahaja abang Suman dan Kak Long nak balik ke rumah mak, saya, abang Zul dan Ajib akan melompat gembira.

Sebabnya  abang Suman suka memberi duit kepada kami. Dia melayan adik-adik iparnya sama seperti dia melayan anak-anaknya sendiri. Maklumlah usia kami dan anak-anak Kak Long adalah sebaya.

Masa cuti sekolah bulan Disember, oleh kerana keluarga kami orang susah, kami adik beradik akan pergi ke rumah Kak long di Kg Melayu Subang, Selangor.

Alhamdulillah..., merasalah kami tinggal di rumah banglow Kak Long dan juga makan nasi berlaukkan daging.

Abang Suman dan Kak Long pula  bila cuti sekolah, selalu bawa anak-anaknya berjalan-jalan. Kami pun akan menumpang tuah...

Paling tidak lupa apabila Abang Suman dan Kak Long bawa kami jalan-jalan pergi ke Cameron Highland.

Walaupun berhimpit dalam kereta bersama anak-anaknya, Abang Suman dan Kak long tak kisah. Yang pasti mereka akan melayan kami macam anak-anaknya sendiri.

Masih kami ingat, abang Suman pagi-pagi lagi sebelum pergi kerja akan mengaji Quran di rumahnya. Dalam lena tidur kami mendengar suaranya yang sedap dan syahdu.

Dia jugalah yang mengajar saya niat mengambil wuduk.

Bertahun-tahun dulu, abang Suman dan Kak Long  pernah sponsor mak pergi haji bersama mereka ikut pakej yang mahal harganya.

Nak kata lebai bukan lebai, tapi ada ala-ala tabligh. Dengan penampilan berjanggut dan sering berjubah Abang Suman semasa hidupnya pernah dilantik menjadi siak dan amil zakat di Masjid Kg Melayu Subang.

Itulah khidmat bakti beliau kepada masyarakat sebelum berundur dari jawatannya kerana sering sakit dan uzur.

Sekarang semuanya sudah menjadi kenangan. Mak menangis tersesak-esak bila menerima berita kematian abang Suman.

Mujurlah hampir semua anak-anak berada di sisi mak untuk menenangkannya.

Malam ini kami adik beradik bertahlil dan membaca Yasin di rumah mak. Ya Allah berilah ketabahan kepada Kak Long menerima musibah ini.

Abang Suman pergi meninggalkan kami..., meningglkan Kak Long, meninggalkan anak-anaknya yang seramai tujuh orang serta meninggalkan mak mertua yang ditatangnya seperti ibunya sendiri.

Pemergiannya kerahmatullah ketika saat saya dan mak akan berangkat mengerjakan umrah pada 3 hb April 2012.

Insya Allah di sana nanti saya berazam untuk mendrikan solat jenazah ghaib buat arwah abang Suman di depan Kaabah.