Wednesday, May 30, 2012

Hukum melaknat dan kalimah Tauhid



Tafsir Al-Quran
Surah al-Baqarah : 161-163

Firman Allah SWT,

Sesungguhnya orang-orang kafir dan mereka mati dalam keadaan kafir, mereka itu ditimpa laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya(161) Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari mereka dan mereka pula tidak diberi tangguh (162)    Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani”. ( 163)

Huraian ayat 161-162

                Maksudnya orang kafir dan orang yang mati dalam kekufuran itu,  mereka mendapat laknat  daripada Allah, dilaknat para malaikat dan seterusnya di laknat oleh seluruh  manusia. Mereka akan menerima azab sengsara di alam barzakh dan juga di hari akhirat kelak.   

Hukum melaknat

            Para ulama bersepakat mengatakan hukum melaknat orang-orang kafir secara umum adalah harus. Walaubagaimanapun  melaknat  orang kafir secara khusus, para ulama berbeza pendapat. Sebahagian yang lain berpendapat hukmnya adalah harus termasuklah sekiranya orang kafir yang dilaknat itu ialah kafir zimmah. Manakala pendapat yang lain pula mengatakan  melaknat orng kafir  secara khusus tidak boleh kerana kita tidak tahu  kesudahan kematiannya sama dia tetap kekal sebagai kafir atau menjadi seorang muslim.

Tetapi sekiranya orang kafir itu sudah jelas matinya dalam keadaan kafir  seperti Firaun , Haman, Qarun, Abu Lahab, Abu Jahal, Umaiyah bin Khalaf  dan mereka yang sewaktu dengannya maka sepakat ulama mengatakan hukumnya adalah harus.

            Adapun melaknat orang Islam hukumnya adalah haram berdasarkan hadis Rasulullah saw,

لا تلاعنوا بلعنت الله ولا بغضبه  ولا بالنار

Maksudnya : Janganlah kamu berlaknat dengan laknat Allah dan janganlah kamu kutuk mengutuk dan janganlah kamu neraka menerakai.

Bagaimana pula pandangan Islam tentang melaknat orang-orang Islam yang fasik ? Adapun melaknat orang Islam yang fasik (mereka yang kekal melakukan dosa besar atau dosa kecil) secara umum hukumnya adalah harus. Dengan kata lain tidak boleh melaknat mereka secara di tentukan nama dan peribadinya. Rasulullah saw pernah melaknat secara umum  golongan yang terlibat dengan arak,

لعن النبي (ص) في الخمر عشرة : عاصرها  ومعتصرها  وشاربها  وساقيها  وحاملها  والمحمولة  إليه  وبائعها  ومبتاعها وواهبها و أكل ثمنها

Maksudnya : Daripada Anas r.a telah berkata : Nabi saw telah melaknat sepuluh orang yang terlibat dengan arak : Orang yang memerahnya, orang yang meminta supaya dibuatkannya, orang yang meminumnya, orang yang memberikan minuman, orang yang membawanya, orang yang dibawakan kepadanya, orang yang menjualnya, orang yang membelinya, orang yang menghadiahkannya dan orang yang memakan harganya.

            Selain itu Nabi saw juga melaknat tukang tatu, orang yang mentatu, orang yang makan riba, orang yang memberi / meluluskan riba, orang yang mengaku dirinya berbinkan kepada orang yang bukan bapanya, perempuan yang menyerupai lelaki, lelaki yang menyerupai perempuan dan sebagainya sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.  

            Firman Allah SWT,

             Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. ( 163)

Huraian ayat 163

            Pada pangkal ayat ini Allah SWT menyatakan,

            “Dan Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Esa ;..”

            Ayat ini diturunkan ketika Nabi saw di tanya oleh orang-orang kafir Quraisy ; Wahai Muhammad cukupkah dengan hanya memiliki hanya satu Tuhan sedangkan jumlah manusia teramat ramai ? Lalu turunlah ayat ini menjelaskan ke-Esaan Allah SWT.

            Maksudnya mustahillah Tuhan itu bersifat ramai atau berbilang-bilang, kerana kalaulah Tuhan itu berbilang-bilang dan ramai  maka hancurlah alam ini kerana masing-masing mahu menujukkan kekuasaan masing-masing.

            Pada ayat yang sama Tuhan berfirman,

       “..tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, ..”
        
            Inilah kalimah tauhid. Inilah kalimah keramah yang menyelamatkan umat manusia  daripada api nerakaNya. Sehingga disuruh oleh Rasulullah saw untuk kita ajarkan kepada mereka yang hendak mati.

            Sabda Rasulullah saw,

لقنوا موتاكم لاإله إلا الله

Maksudnya : “Talqinkanlah orang yang hampir mati itu dengan kalimah La Ila ha Illallah.”  (HR Muslim)

            Dalam hadis yang lain Nabi saw bersabda,

من كان أخر كلامه  - لا اله الا الله – دخل الجنة

Maksudnya : “ Barangsiapa yang akhir ucapannya mengucapkan kalimah  La Ila ha Illallah, dia akan masuk syurga. (HR Muslim)

            Seseorang yang hanya sempat mengucapkan kalimah La Ila ha.. kemudian meninggal dunia, maka dia di kira muslim dan hendaklah di uruskan jenazahnya cara Islam kerana kita tidak boleh menghakimi iman seseorang itu berdasarkan zahirnya, sedangkan siapa tahu di dalam hatinya dia tetap yakin tentang ke Esaan Allah SWT. 

            Setelah Allah SWT menyatakan ke EsaanNya, makadi hujung ayat ini Allah SWT menyatakan Dialah Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

            Ar-Rahman dan Ar-Rahim adalah dua nama daripada 99  nama-nama Allah SWT yang Maha Mulia. Sabda Rasulullah saw,

إن لله تسعة  وتسعين أسما  مائة  الا واحدا  من أحصاها دخل الجنة

            Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT memiliki 99 nama, seratus kurang satu, barangsiapa yang menghafalnyya akan masuk syurga” (HR Bukhari)

            Maksud menghafal di sini bukanlah mengingat nama-nama itu sahaja, tetapi hendaklah berakhlak dengan dengan nama-nama tersebut.

            Sabda Rasulullah saw,

إرحموا من فى الأرض يرحمكم من فى السماء

            Maksudnya : “ Sayangilah orang-orang yang dibumi nescaya kamu akan disayangi pula oleh yang di langit .”  ( HR Tirmidzi)  

Wallahualam.

Abu Sofeya 



Sunday, May 13, 2012

Al-Fatihah : Masyarakat Islam di Sikamat kehilangan seorang Qari

Dalam perjalanan menuju ke Rembau untuk menyampaikan ceramah Haji di Masjid An-Nur pagi ini, saya menerima 'sms' daripada seorang jemaah  Surau Taman Desa Beringin memaklumkan Ybhg Al-Fadhil Ust Akib bin Mohd Din telah dimasukkan ke dalam wad CCU di Hospital Besar Tuanku Jaafar, Seremban.

Hati saya berdebar-debar.

Justeru selesai sahaja berceramah, saya terus menghubungi isteri untuk bersama-sama menziarahi tokoh murabbi yang saya kasihi ini.

Kami sampai di Wad 4 C pada pukul 1.30 tghari.

Ketika itu kelihatan anak-anak muridnya sudah mula mengerumuni pintu Wad bagi menunggu giliran masuk menziarah. Hanya dua orang sahaja dibenarkan masuk untuk satu-satu ketika.

Oleh keranaa tidak mahu membiarkan para penziarah menunggu lama di luar, saya hanya menziarah selama 3 minit sahaja.

Di atas katil saya melihat Ust Akib tidak sedarkan diri, manakala kepalanya terlentok ke sebelah kanan, mudah-mudahan menjadi golongan kanan di akhirat nanti.

Saya mententeramkan isterinya serta meminta agar disampaikan salam saya kepada Ust Akib jika beliau telah sedar nanti.

Pukul 11.25 malam


Sekali lagi bunyi mesej masuk ke handphond saya yang memaklumkan Ybhg Al-Fadhil Ust Akib telah kembali kerahmatulah.

Berita ini saya terima dengan perasaan sedih.

Masih terbayang wajah Ust Akib setiap kali saya menyampaikan kuliah di suraunya. Kali terakhir bertentang mata dengan Almarhum ialah pada 3 hb Mei yang lalu.

Semasa kuliah, Almarhum akan duduk di bangku yang paling depan. Dengan sebatang pensel, Almarhum akan mencatat nota di dalam kitab yang ditelaah iaitu 'Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah' karangan Almarhum Ust Tuan Haji Said Ibrahim, Mantan Mufti Sabah.

Sekali sekala, Ust Akib akan bertanya jika ada sebarang kemusykilan. Kadang-kadang ada juga soalan daripadanya yang saya tidak dapat menjawab secara spontan kerana kelemahan diri.

Dengan keistimewaaan yang ada padanya sebagai Qari, saya turut menimba ilmu daripada Almarhum  secara tidak formal khususnya ketika jamuan selepas kuliah.

Banyak hal berkaitan tentang makhraj bacaan al-Quran yang saya rujuk kepadanya dan Almarhum tidak pernah jemu melayani saya.

Sesungguhnya saya sangat beruntung dan bertuah kerana rapat dengannya.

Almarhum adalah tulang belakang yang sentiasa 'mempertahankan saya' dalam melakukan kerja-kerja dakwah.

Pendekata, Almarhum merupakan antara guru yang saya sangat sayang di dunia dan di akhirat.

Ya Allah ampunkan dosa guruku ini, cucurilah rahmat ke atas rohnya dan masukkannya ke dalam syurga di akhirat kelak.

Amiinnn.






Wednesday, May 9, 2012

Ibu adalah segala-galanya !

Biar jasanya sebesar langit dan bumi,
Biar amal solehnya seluas lautan ,
Biar butiran katanya penuh  hikmah,
Biar tentangannya ke atas mungkar sentiasa istiqamah,

Biar dirinya bergelar Al-Fadhil Ustaz,
Biar dirinya begelar Tuan Sheikh, 
Biar dirinya bergelar YB,
Biar dirinya  bergelar MB,
Biar dirinya bergelar PM,  

Biar kebejatan dan kebangsatan seteru politiknya di dedah,
Biar perjuangannya dipuji manusia,
Biar penjara menjadi tempat dirinya mendekam,
Biar dikurung puluhan tahun bagaikan Mandela,

Biar diseksa kerana mempertahankan yang HAK,
Biar jiwa dan raganya hancur dilumat  Yahudi,
NAMUN segala-galanya sia-sia di sisi Allah...,
Jika seseorang itu DERHAKA dengan ibunya sendiri.....

Jika ibu yang kafir wajib disayangi ,
Jika ibu yang mungkar wajib dikasihi,
Jika ibu yang jahil wajib didekati,
Jika ibu yang fasik wajib dirapati,

Apatah lagi ibu yang beriman,
Apatah ibu yang mengucap dua kalimah syahadah,
Apatah lagi ibu yang beramal soleh,
Apatah lagi ibu yang sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak, cucu-cucunya
Dunia dan Akhirat...
Justeru HARAM memutuskan sebarang ikatan dengan mereka,
HARAM tidak menjenguk mereka.

Ibu ...,
Engkau ibarat  'wali karamah', kata-katamu masin, doamu mustajab.
Doakan KAMI wahai ibu...

Sekian,

Abu Sofeya
Kolej Tuanku Jaafar
9.5.2012


p/s :- Ayuh pembaca di luar sana..., jenguk-jenguklah ibu anda walau berjauhan dari mereka. Lagi hebat teknologi komunikasi yang ada di tangan, blackberry, samsung galaxy,  Sony Ericcson Xperia dan entah apa-apa lagi jenama, maka sepatutnya kita semakin mendekati ibu yang semakin tua...

Selamat Hari Ibu.