Thursday, June 28, 2012

Tiga tahun sudah berlalu....

Pejam celik, pejam celik rupa-rupanya sudah tiga tahun blog ini bersiaran. Umur saya juga sudah pun meningkat masuk ke angka 40 an.

Syukur Alhamdulillah, Tuhan masih memberi saya nikmat kehidupan. Nikmat ini akan saya gunakan untuk menulis dan terus menulis.

Tetapi tulisan saya sejak kebelakangan ini tidaklah selaju dulu.Ini kerana tugas hakiki sebagai Guru di sekolah perlu saya utamakan. Selain itu kerja-kerja sampingan sebagai pembimbing Ibadah Haji Lembaga Tabung Haji bagi daerah Seremban serta pembimbing Umrah KRS Travel menjadikan pena saya semakin tumpul.  

 Tahun ini juga saya tidak menulis apa-apa buku. Ada juga wakil-wakil syarikat penerbitan ‘masuk meminang’, tapi sehingga kini saya tidak memberi apa-apa respon. Saya terus diam membisu.

Sepanjang blog ini bersiaran, saya menerima banyak email yang datangnya dari kalangan suami isteri. Macam-macam isu yang diadukan kepada saya. Bermula dari kes penceraian, kes macam mana mahu rujuk dengan suami, kes suami main kayu tiga, kes lafaz talak sehinggalah kepada kes bagaimana mahu berkahwin di Siam. Ceh!

Namun bukan semua masalah yang diadu boleh saya menjawabnya. Minta maaf !, saya bukan pakar kaunselor. Sejujurnya saya tidak pandai memberi nasihat hal-hal kerumahtanggaan.

Kepada mereka yang bermasaalah seperti ini,  saya nasihatkan supaya berhubung sahaja dengan pihak Jabatan Agama Islam di  tempat masing-masing. Bertanyalah kepada mereka yang pakar dalam isu-isu kerumahtanggaan. Mudah-mudahan di sana ada pertunjuk.

Setakat ini sahaja coretan kali ini.

 Anak-anak murid saya sedang menunggu di kelas !

Abu Sofeya

Sunday, June 24, 2012

Suasana penutup kursus Asas Haji 1433 H peringkat daerah Seremban








Majlis Penutup Kursus Asas Haji bagi musim 1433 H peringkat daerah Seremban telah berjaya disempurnakan oleh Pengarah Tabung Haji Negeri Sembilan pada 9 hb Jun, bertempat di Masjid Kuaters KLIA  baru-baru ini. 

Ia melibatkan hampir 1600 orang peserta dari lima buah Masjid iaitu :

1. Masjid Putra Nilai
2. Masjid Negeri Seremban
3. Masjid Paroi Jaya 
4. Masjid Bandar Baru Senawang 
5. Masjid Kuaters KLIA

Majlis telah dimulai dengan bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat. Seramai enam orang guru pembimbing ibadah Haji terlibat dalam menjayakan program tahunan ini. 

Rata-rata peserta kursus merasa gembira dengan aktiviti yang dijalankan dan merasa tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. 

"Wah cikgu...,  pergi Haji ke tahun ni...?, tanya saya kepada seorang kenalan, cikgu Husin dari Taman Warisan Puteri Sikamat. 

"Belum tahu lagi Ustaz..., harap-harap macam tulah...", katanya tersenyum bersama isteri. 

Saya mendoakan hajat pasangan suami isteri ini untuk ke tanah suci tercapai. 

Hari ini saya melihat ramai peserta kursus terdiri daripada orang-orang muda. Mungkin sudah ada kesedaran di kalangan mereka untuk mengerjakan ibadah haji ketika badan masih sihat dan kuat.  

Pengalaman mengerjakan Haji pada tahun 2008, saya melihat majoriti jemaah haji Malaysia menetap di Mina Muassim semasa hari Tasyrik. Ada juga yang tinggal di Mina Muhassir berhampiran Muzdalifah. 

Sedikit sangat yang tinggal di Mina Jamarat, (yang paling hampir dengan tempat melontar) mungkin yang tinggal di sini mengikut pakej VIP. 

Jarak perjalanan dari Mina Muassim ke Jamarat (tempat melontar)hampir 6 km pergi dan balik. Bayangkan pakcik makcik yang berusia 70 ke 80 an berjalan untuk pergi melontar.  

Kasihan....baru lima minit berjalan, mereka akan berehat. 

Itu belum lagi balik semula ke Mekah untuk tawaf Ifadhah dan juga sae'i rukun. Sehingga ada yang demam kerana melakukan ibadah ini. 

Oleh itu saya menyeru rakan-rakan yang masih muda, ayuh pergilah tunaikan haji semasa badan masih tegap dan kuat. 

Bagi yang belum daftar, silalah daftar dengan segera. Yang sudah mendaftar buatlah surat rayuan, mudah-mudahan Allah SWT permudahkan urusan untuk ke sana. 

Tentang wang tambang dan perbelanjaan, janganlah dirisaukan. Kalau Allah SWT mahu menjemput kita sebagai tetamu-Nya,  sudah pasti Dia akan murahkan rezeki kita. Kadang-kadang kita akan mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka! 

Yang pentingnya kita berazam dan berusaha untuk ke sana. 

Selebihnya tawakal !

 Abu Sofeya











Wednesday, June 20, 2012

Beriman dengan Kitab


            Al-Quran ialah kitab suci terakhir mengandungi pertunjuk dan pengajaran yang sedikit pun tidak terdapat  keraguan apatah lagi kesalahan.

            Firman Allah SWT,

            “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”. (Al-Baqarah 002)

            Membaca Al-Quran serta bertadabbur dengannya menjadikan hati yang keras bertukar lembut. Ramai tokoh-tokoh manusia yang pada awalnya menolak Islam akhirnya beriman kepada Allah SWT setelah mendengar, membaca dan mengkaji Al-Quran. Jika di zaman Rasulullah SAW antara mereka ialah Saidina Omar bin Al-Khattab maka di zaman moden pula ialah  Malcolm X, Mike Tyson dan ramai lagi.

             Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan Jibril a.s dengan dua peringkat. Peringkat pertama diturunkan al-Quran itu sekaligus dari Lauh al-Mahfuz (langit ketujuh)  ke Baitul Izzah (di langit dunia)  pada malam Lailatul Qadar iaitu malam yang penuh barakah di dalam bulan Ramadhan. Peringkat kedua ialah dari Baitul Izzah, al-Quran di bawa oleh Jibril a.s kepada Nabi Muhammad SAW  secara beransur-ansur selama 23 tahun.

              Oleh kerana Allah SWT yang menurunkan Al-Quran, maka Dia jugalah  yang berhak menjaga dan memelihara kesucian kitab ini daripada dicemari oleh pengubahsuaian manusia. Hal ini sangat jelas sebagaimana yang difirmankan  oleh Allah SWT, 

              “ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Al-Hijr 009)

            Buktinya, sehingga kini tidak ada seorang manusia  yang sanggup mencipta satu ayat yang setanding dengan al-Quran. Sedangkan ketika ia  diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, masyarakat arab jahiliah cukup mahir bersajak dan  bersyair.  Dalam keadaan memiliki kemahiran yang tinggi itu pun mereka tidak sanggup membuat satu ayat yang setanding dan setara dengan al-Quran.

             Al-Quran ialah kitab mukjizat. Kemukjizatannya boleh dilihat sehingga ke akhir zaman.  Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia yang tersembunyi dan hikmah yang tinggi yang boleh dikaji, diselidiki dan diterokai oleh umat manusia sehingga  hari Qiamat.

             Al-Quran menceritakan perihal ghaib yang tidak mampu dijangkau oleh pemikiran manusia. Kisah syurga yang penuh dengan segala nikmat  menjadi pedorong untuk manusia melakukan ketaatan dan beramal soleh. Manakala kisah neraka yang di dalamnya penuh dengan azab dan sengsara dijelaskan supaya manusia takut melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.   

             Al-Quran menjelaskan janji-janji Allah SWT yang Maha Benar. Sebagai contoh, di waktu permulaaan Islam, Allah SWT telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa kaum muslimin akan memiliki kekuasaan di atas muka bumi.

            Firman-Nya,

             “ Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman di kalangan kamu semua dan yang mengerjakan kebaikan bahawasanya mereka akan dikurniakan kedudukan sebagai khalifah di bumi, sebagaimana yang telah diberikan kepada orang-orang yang sebelum mereka dan akan diteguhkan agama yang telah diredhai oleh Allah untuk mereka itu dan pula akan mengganti keadaan mereka sesudah ketakutan menjadi aman sentosa…”. ( Surah An-Nur : 55)

              Apabila turun ayat ini kaum musyrikin mengejek-ngejek Rasulullah SAW dan para sahabat kerana mana mungkin mereka boleh berkuasa sedangkan ketika itu umat Islam berada dalam keadaan lemah dan dhaif, ditindas, diseksa malah jauh sekali berperanan kuat di kota suci Mekah.

             Tetapi Allah SWT yang menguasai semesta alam pasti memenuhi apa yang dijanjikan-Nya. Setelah umat Islam berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah mendapat kekuasan dan kedudukan sebagai peneraju pemerintahan yang sah di bumi Allah SWT ini. Para sahabat pula berperanan penting dalam mendaulatkan negara Islam yang pertama di Madinah. Beberapa tahun selepas itu umat Islam terus ke mercu kejayaan apabila berjaya membuka kota Mekah sekaligus meranapkan kekuasaan kafir Quraisy. Jelas segala yang dijanjikan Allah SWT itu benar-benar berlaku.

             Walaupun bukan kitab sains, al-Quran turut mengandungi maklumat saintifik. al-Quran membicarakan cap jari manusia yang berbeza di antara satu sama lain. Hikmahnya ialah sebagai tanda pengenalan sekaligus memudahkan urusan kehidupan.

             Firman Allah SWT,

             “Adakah manusia mengira bahawa kami tidak akan mengumpulkan kembali tulang belulang mereka. Bukan demikian, kami mampu menyusun jari jemari mereka dengan sempurna”. (Surah Al-Qiyamah : 3-4)

            Berdasarkan hakikat ini, al-Quran adalah benar-benar wahyu daripada Allah SWT. Jika manusia masih terus berdegil dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi akhir zaman ini dan berkeras tidak mahu beriman dengan apa yang terkandung di dalamnya, maka tiada apa yang mereka boleh lakukan untuk menyelamatkan diri di akhirat melainkan hendaklah bersiap sedia dengan azab neraka yang mengerikan.    

              Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir”. (Surah Al-Baqarah : 23-24)

Menabur bakti di Pedas Hilir, Rembau

"Assalamualaikum Ustaz..., nak tanya, pada 23 hb Jun nanti Ustaz free tak ?", tanya seorang pemanggil yang memperkenalkan dirinya sebagai Nazir Masjid Pedas Hilir, Rembau. 

Tahun lepas masjid ini pernah menjemput saya menyampaikan ceramah Maulidur Rasul. 

"Errr..., kalau ikutkan saya ada kuliah pada malam tu....tapi tak pa, nanti saya beritahu ajk surau berkenaan untuk tangguhkan kuliah", jawab saya. 

"Cantik ..., ni... ustaz.., kami nak jemput ustaz menyampaikan ceramah Israk wal Mikraj, boleh ?", tanya si pemanggil lagi.

"Insya Allah, boleh", jawab saya dengan rasa gembira.

Justeru tuan puan orang-orang Kampung Pedas Hilir dan masyarakat Islam yang tinggal berhampiran, marilah sama-sama kita meramaikan masjid pada malam itu. Di samping dapat berkongsi ilmu, dapat juga kita mengeratkan silaturrahim, apatah lagi sesama orang Rembau.

Jumpa di sana !




Sunday, June 17, 2012

Rembau Hari Itu...






Saya berasal dari Rembau Negeri Sembilan. Telapak saya ialah Kampung Padang Lebar Sungai Layang, sekampung dengan arwah bidan Tupin, juga ada hubungan darah dengan Datuk Moktar Hashim dan Dato Kamaruddin Kachar.

Kalau balik ke kampung, saya suka singgah di pekan Rembau untuk minum cendol dan makan kuih tradisonal di gerai yang berdepan dengan Masjid An-Nur.

Kata mak saya..., dulu- dulu orang Rembau seperti orang pantai timur, sangat kuat sikap kedaerahan. Suka tolong menolong sesama mereka.  Di mana-mana sahaja kita menetap, kebetulan ada orang Rembau yang tinggal ditempat yang sama pasti hubungan akan menjadi akrab.

Kalau ada kenduri kendara, mereka akan ringan tulang untuk membantu.

 "Itu dulu...., tapi sekarang ini..., entahlah mak", jawab saya.

Namun saya berharap sifat-sifat positif yang wujud pada orang Rembau dapat diteruskan di masa-masa akan datang.

Pada 9 dan 10 hb Jun yang lalu saya diminta oleh tabung Haji Rembau untuk membimbing kursus penutup bakal-bakal jemaah haji daerah ini.  Selain saya ialah Ybg Al-Fadhil Ustaz Haji Khairuddin dan Ustaz Haji Muslal

Program diadakan di SMKA Pedas, bermula pukul 3.00 petang. Bagai sirih pulang ke gagang, saya menerima amanah ini dengan rasa gembira.

"Kalau anak Rembau tak nak tolong orang Rembau....siapa lagi ?", kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur En. Kamal ketika berbual dengan saya.

Dato' Undang Rembau, Dato' Lela Maharaja pula begitu ramah menyapa,

"Eloklah curahkan ilmu tu kek orang Rembau...", kata Dato Lela Maharaja bila tahu saya orang Rembau.

"Insya Allah Dato'", jawab saya.

Alhamdulillah, semua aktiviti dijalankan dengan baik dengan sempurna. Saya mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur Kursus yang telah menjayakan program ini dengan lancar.

Demikian juga kepada peserta-peserta kursus yang telah memberi kerjasama penuh sepanjang aktiviti praktikal dijalankan. Tidak ada seorang pun peserta yang menjadi penonton. Semuanya melibatkan diri seolah-olah masing-masing sedang berada di tanah suci.

Mudah-mudahan kalian mendapat Haji yang mabrur...








Wednesday, June 6, 2012

Ceramah Israk wal Mikraj

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Jawatankuasa Surau Vila Suria menjemput tuan puan ke majlis Ceramah Israk Wa Mikraj seperti butiran berikut :

Tarikh : 24 hb Jun 2012 (Ahad malam Isnin)

Masa : Selepas solat Maghrib 

Penceramah : Prof Madya Dr Maimun Aqsha Lubis, Pensyarah UKM

Mudah-mudahan kehadiran tuan puan ke surau Vila Suria diberkati Allah SWT.