Friday, August 31, 2012

"Menanti di pintu Baqi'..." : Tawaf Qudum


Episod 8 : Tawaf Qudum

“Sekarang saya mahu menerangkan kepada Dato’ dan Datin mengenai tawaf Qudum. Tawaf ini turut di kenali sebagai tawaf selamat datang sebagai memuliakan Kaabah apabila masuk ke kota suci Mekah”,  tambah Ust Haji Abdullah.  

“Wajib ke buat tawaf Qudum ustaz ?”, celah Datin Hasnah.

“Tak…, tak wajib. Ia hanya sunat sahaja. Tawaf ini hanya dilakukan oleh mereka yang mengerjakan Haji Ifrad dan Haji Qiran, tidak bagi mereka yang mengerjakan Haji Tamattuk ”, jelas Ust Haji Abdullah lagi.

“Eh…., kenapa orang yang yang mengerjakan Haji Tamattuk tidak melakukan tawaf Qudum ustaz ?”, tanya Dato’ Hashim kehairanan.

Soal jawab ibadah Haji di rumah banglow dua tingkat ini semakin rancak.

“Sebab orang yang mengerjakan Haji Tamattuk, mereka terlebih dahulu berniat untuk mengerjakan umrah ketika masuk ke kota Mekah. Justeru apabila  sampai di kota suci, dia perlu melakukan tawaf Umrah, disusuli dengan saei Umrah seterusnya bergunting dan bertahallul”,  jelas Ust Haji Abdullah sambil tersenyum.

“Dan satu perkara lagi…., mana-mana jemaah yang telah melakukan tawaf Qudum, dia boleh mengerjakan Saei Haji selepas itu. Tapi ingat, jangan pula bergunting selepas mengerjakan Saei.  Sebab mereka masih kekal dalam ihram sehinggalah mereka selesai tahallul awal”, kali ini nada Ust Haji Abdullah agak serius.

Pengalaman beliau bertugas sebagai guru agama di tanah suci, memang ada jemaah yang terikut-ikut dengan amalan mereka yang mengerjakan Haji Tamattuk, iaitu berguntng atau bercukur selepas mengerjakan Saei. 

Bersambung....

Monday, August 27, 2012

“Menanti di pintu Baqi’…” : Perihal talbiah


Episod 7 :  Perihal talbiah

“ Sebelum saya terlupa, adalah sunat bagi seseorang yang hendak berniat ihram Haji atau umrah supaya berwuduk, mengadap qiblat dan mengiringi niat selepas itu dengan bertalbiah, Labbaikallahummalabbaik, Labbaikala syarikala kalabbaik, innal hamda, wanni’ mata, lakawal mulk, laa syariikalak…”, terang Ust Haji Abdullah lagi.

“ Sampai bila kita mahu bertalbiah Ustaz ?”, soal Dato’ Hashim.

“Bagi mereka yang sudah berniat ihram umrah, adalah sunat bertalbiah sehingga mahu memulakan  tawaf, manakala bagi mereka yang berniat ihram haji, adalah sunat bertalbiah sehingga apabila mahu bertahallul daripada ihram hajinya itu”, jelas Ust Haji Abdullah dengan tenang.

Dato’ Hashim mengerutkan dahinya, menunjukkan masih kurang faham.

Bagai mengerti apa yang tersirat di kepala Dato’ Hashim, Ust Haji Abdullah melanjutkan lagi penerangannya,

“Begini…, setelah Dato’ berniat ihram Haji dalam kapal terbang,  Dato’ digalakkan bertalbiah. Bila tiba hari 9 Zulhijjah, Dato’ akan wukuf di padang Arafah,  kemudian mabit pada separuh malam 10 Zulhijjah, di susuli dengan melontar jamratul Aqabah dan seterusnya bergunting atau bercukur. Apabila sudah bergunting atau bercukur, maka terhasillah tahallul awal. Dengan itu Dato’ tidak perlu lagi bertalbiah…, sebaliknya diganti dengan takbir raya ”.     
  
“Oohh… begitu”, angguk Dato’ Hashim.

Bersambung…..

Wednesday, August 22, 2012

2 tips daftar mengerjakan umrah


Ketika di tanah suci baru-baru ini, saya banyak menerima khabar angin yang mengatakan visa umrah 2013 bakal dibekukan. Dikatakan kawasan matof di dataran Kaabah akan dipecah untuk ditukar mamar baru. 


Daripada pemandu teksi, penyapu sampah sehinggalah kepada pencuci hotel semua menyatakan perkara yang sama.

Namun apabila saya ajukan perkara ini kepada syarikat –syarikat agensi umrah di sana, masing-masing diam tidak memberi respon.

Saya faham industri membawa jemaah ke tanah suci berkembang maju bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia Islam. Jika benarlah kerajaan  Arab Saudi membekukan visa umrah untuk tahun 2013, sudah tentu hal ini bakal merencatkan perniagaan syarikat-syarikat agensi umrah baik yang berskala kecil mahu pun besar.

Apatah lagi orang kerdil seperti saya yang masih belajar dan bertatih dalam membawa jemaah umrah, sudah tentu tidak mahu khabar angin ini menjadi realiti.

Tips bagaimana hendak mendaftar mengerjakan umrah

Selama tiga kali berkhidmat sebagai ketua rombongan umrah, di sini saya ingin berkongsi pengalaman kepada anda 2 tips bagaimana mahu mendaftar mengerjakan umrah supaya anda berpuas hati dengan khidmat yang diberikan.

Ingat ! Modal mahu mengerjakan umrah bukan sedikit, tetapi melibatkan RM 4 ribu ke RM 6 ribu. Sebab itu jangan main ‘bantai-bantai’ sahaja semasa mendaftar, sebaliknya perlu kepada teknik pendaftaran yang bijak supaya anda pulang ke tanah air dengan rasa gembira dan  berbaloi dengan modal yang telah dikeluarkan.

Tips pertama :-  Kepada mana-mana individu perseorangan atau  jemaah berkumpulan yang hendak mengerjakan umrah, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mencari syarikat agensi ‘bermodal besar’  yang mempunyai hotel sendiri yang dipajak di tanah suci.

Perlu diketahui, tidak semua syarikat-syarikat agensi umrah yang diiklankan di surat khabar mampu memajak hotel di tanah suci yang harganya paling murah SR 3 juta setahun. 

Hotel ini biasanya akan dihias logo syarikat agensi dan 90 peratus penghuninya adalah dari syarikat agensi umrah tersebut. Bayangkan anda pergi melalui syarikat agensi yang tidak mempunyai hotel sendiri, kemudian tinggal menyewa di hotel syarikat agensi lain, sudah tentu anda merasa seperti orang asing dalam satu keluarga yang besar.

Saya pernah mendengar rungutan dari seorang jemaah yang menumpang di hotel kami,

“Aku ingatkan syarikat agensi yang aku ikut ni bagus…., iklannya sering keluar dalam surat khabar…, rupa-rupanya hotel pun tak da.., menyewa pula di hotel syarikat agensi lain”. 

Dan paling malang sekiranya di saat-saat akhir, tuan punya hotel (syarikat agensi bermodal besar) membatalkan tempahan sewa dari syarikat agensi-agensi lain kerana ingin menampung keperluan jemaahnya yang terlalu ramai.  

Sebab itu ada syarikat agensi yang menawarkan hotel lain, tetapi apabila sampai di tanah suci lain pula hotel yang disediakan. Ayat-ayat keramat yang sering dilafazkan oleh wakil syarikat agensi  tersebut untuk memujuk hati jemaah mereka ialah,  

“Tuan puan kena banyak bersabar, ini semua dugaan daripada Allah SWT ! ”

Tips kedua :- Apabila sudah tahu hotel penginapan yang menjadi milik syarikat agensi umrah yang hendak disertai, ingat : jangan daftar dahulu !!!

Jangan terlalu gopoh hendak isi borang lalu menyerahkan duit deposit kepada syarikat agensi. 

Sebaliknya perkara kedua terpenting ialah jemaah perlu mengetahui siapakah ketua rombongan yang bakal memimpin mereka sepanjang perjalanan ke sana nanti.

Sila dapatkan daripada agensi berkenaan nombor telefon ketua rombongan tersebut, kemudian hubunginya, disusuli pula dengan pertemuan untuk sesi perkenalan dan silaturrahim. 
   
Jemaah juga boleh bertanya serba sedikit tentang hukum hakam berkaitan umrah sekadar untuk menguji kefahaman ketua rombongan ini. Hal ini penting kerana bukan semua ketua rombongan  berlatarbelakangkan pengajian agama, malah ada di kalangan mereka bekas pegawai-pegawai kerajaan yang sudah pencen, kerani-kerani pejabat dan macam-macam lagi latar belakang pendidikan.

Jika persoalan hukum hakam umrah yang dikemukakan kepada mereka dijawab ‘semborono’, adakah jemaah yakin bahawa ketua rombongan ini boleh memimpin ibadah umrah dengan baik ?

Jika perlu, sila dapatkan testimoni dari mana-mana jemaah yang pernah mengikuti ketua rombongan ini. Senarai nombor telefon jemaah boleh diperolehi daripada syarikat agensi berkenaan.

Saya banyak menerima aduan dari jemaah,

“Ustaz, masa saya pergi dengan Haji Pulan dulu……, masya Allah kelam kabut. Jemaah dibiarkan beribadat sendiri-sendiri, tiada bimbingan…, bila ditanya hukum hakam, dia mengelak tidak mahu menjawab malah disuruhnya kami bertanya ustaz lain pula.…”

Baiklah, jika sudah mengenali bakal ketua rombongan dan berpuas hati dengan keperibadian dan kefahamannya dalam hukum hakam umrah, maka mendaftarlah terus dengan ketua rombongan ini. Isi borang dan bayar deposit kepadanya.

Kenapa ?

Kerana sudah menjadi amalan mana-mana syarikat agensi untuk memberi sedikit komisyen kepada mana-mana ketua rombongan yang berjaya mendaftarkan jemaah di bawahnya. Jumlah komisyen bergantung kepada kedudukan modal sesebuah syarikat agensi. Biasanya dari RM100 – ke RM250.

Sekiranya jemaah mendaftar secara ‘walk in’, (daftar terus kepada syarikat agensi), maka ketua rombongan ini tidak mendapat apa-apa komisyen.

Beberapa hari sebelum berangkat, biasanya syarikat agensi akan menghubungi ketua rombongan,

“Tuan Haji…., ada beberapa jemaah yang mendaftar terus dengan kami akan ikut tumpang rombongan Tuan Haji. Harap Tuan Haji dapat membimbing mereka ya…”

“Insya Allah”, jawab ketua rombongan.

Kadang-kadang jawapan “Insya Allah” yang dikeluarkan oleh ketua rombongan hanya sekadar menyedapkan hati syarikat agensi berkenaan.

Sampai di sana, lain pula ceritanya kerana ketua rombongan bukan maksum. Mereka juga adalah manusia biasa.

Apa yang berlaku, jemaah yang mendaftar secara ‘walk in’ di anaktirikan oleh ketua rombongan. Sebagai contoh : Katakanlah daripada 45 orang jemaah yang dipimpin, 37 orang daripadanya mendaftar terus dengan ketua rombongan, mereka akan dilayan dan dibimbing dengan baik, sakit pening, beg atau air zam-zam tidak sampai akan diselesaikan sedaya upaya, sebaliknya  8 orang yang mendaftar secara ‘walk in’   masalah mereka akan dilayan endah tak endah !

"Mengapa kau tak mendaftar dengan aku?", mungkin itu yang timbul di hati ketua rombongan apabila jemaah yang mendaftar secara 'walk in' mengadu masalah.

Perkara ini sering diajukan kepada saya,

“Ustaz…, masa saya pergi dengan Haji Pulan…., dia langsung tidak ambil berat kebajikan kami yang tiga orang ini. Saya sakit pun tidak dihantarnya ke klinik.  Bebeza dengan jemaah lain…, dilayannya macam anak emas”.

Mengapa hal ini berlaku ?

Sama ada ketua rombongan itu seorang yang tidak bertanggungjawab, atau jemaah yang tiga orang ini tidak mendaftar terus dengan ketua rombongan tersebut.

Na’uzubillah…, saya berdoa kepada Allah SWT agar perkara ini tidak berlaku kepada diri saya semasa membimbing jemaah di tanah suci.

Saya akan berusaha untuk memuaskan hati semua jemaah sama ada yang mendaftar dengan saya atau secara 'walk in'.

Testimoni jemaah yang pernah mengikut rombongan saya :

1.       Dr Zakaria bin Abdullah 0192554029
2.       En Amirul Akmal bin Misran 0197667469
3.       Illyas Ashrawi bin MK Azmi 0193037316
4.       En Zulqarnain bin Abu Hassan 0176519965
5.       Tuan Haji Mohamad bin Khalil 012 6768116
6.       Tuan Haji Asan 0173999016
7.       Tuan Haji Harun 0162478732
8.       Encik Aris 0134282456
9.       Hajah Rahimah binti Mat Yasin 0192699041
10.   Puan KamarMahtum binti Abdul Wahab 0176203822
11.   Puan Rabayah binti Indra Andi Tibe 0163465691
Puan Hajah Zabedah binti Daud 0123368860

Tuesday, August 21, 2012

Kehadiran tetamu di pagi Syawal

Adik beradik, anak buah dan ipar duai

Adik beradik, anak buah dan ipar duai perempuan

Abang Zul dan Kak Wahida

Rancak berbual 

Santai

Bertukar-tukar idea tentang resipi makanan









Thursday, August 16, 2012

"Menanti di pintu Baqi'..." : Amalan sunat sebelum berniat ihram



Episod 6 : Amalan sunat sebelum berniat  ihram

“Sebelum seseorang itu berniat Haji atau umrah adalah sunat dia melakukan perkara-perkara seperti  mengerat kuku, merapikan misai, janggut dan rambut, menanggalkan bulu ketiak, bulu ari-ari, memakai wangi-wangian pada badan bukan pada pakaian ihram dan memakai minyak rambut”, terang Ust Haji Abdullah.

“Seterusnya disunatkan juga seseorang itu mandi sunat ihram...", Ust Haji Abdullah melanjutkan lagi penerangannya sebelum disampuk oleh Dato' Hashim. 

“Macam mana mahu mandi sunat ihram dan niatnya Ustaz?”, Dato’ Hashim mengambil pensel untuk mencatat. 

“Sama seperti mandi wajib, cuma niatnya sahaja yang berbeza iaitu Nawaitu ghusla lil ihraami  sunnatal lillahi Taala atau dalam bahasa melayunya Sahaja aku mandi sunat ihram kerana Allah Taala”, jelas Ust Haji Abdullah bagaikan berceramah di dalam masjid.

Dato’ Hashim dan Datin Hasnah khusyuk mendengar penerangan yang disampaikan. Bagi mereka walaupun amalan ini hanyalah sunat, tetapi mereka berazam untuk melakukannya sebagai menambah pahala dan keberkatan Haji yang bakal dilaksanakan nanti.

“Di mana mahu mandi sunat ihram Ustaz?”, kini giliran Datin Hasnah pula mencelah.

“Adalah afdhal mandi sunat ihram di miqat, tetapi bagi kes Dato’ dan Datin yang penerbangan  terus ke Mekah maka saya syorkan supaya melakukannya di rumah sebelum berangkat ke Kelana Jaya. Sebab sukar untuk mandi sunat di dalam kapal terbang”, jawab Ust Haji Abdullah.  

“Bila masa yang sesuai untuk kita memakai kain ihram Ustaz?”, tanya Dato’ Hashim. 

“Memakai kain ihram adalah sunat selepas mandi sunat ihram. Tetapi sekiranya dia memakai pakaian biasa selepas mandi sunat ihram hukumnya adalah harus, cuma kurang pahala.  Yang pentingnya ialah wajib seseorang itu memakai kain ihram apabila dia hendak berniat Haji atau Umrah”,  jelas Ust Haji Abdullah.

Dato’ Hashim dan Datin Hasnah mengangguk-anggukan kepala.

Bersambung…. 

Tuesday, August 14, 2012

Sekitar Masjid Nabawi pada 10 Ogos 2012


Ziarah Baqi' 

Memuatkan lebih 10000 jenazah sahabat 

Kubur siapakah ini ? 

Lubang kubur yang telah siap digali 

Solat Jumaat di  dataran Masjid Nabawi

11.50 pagi - Menanti azan dilaungkan pada 12.27 tgh hari

Menunggu Iftar 6.59 petang 

Juadah Iftar 

6.22 minit petang 

5.40 petang 

Laungan azan semakin hampir

Bersiap untuk solat Maghrib

Selepas solat Maghrib

Di pintu Baqi' selepas ziarah Wada' 









Wednesday, August 1, 2012

Doakan saya di tanah suci

Esok jadual saya agak padat.

Selepas sahur saya akan bersolat Subuh di Masjid Qaryah Sikamat. Ada beberapa jemaah yang ingin bertemu, mungkin mahu mengucapkan selamat jalan, atau mungkin ada yang hendak mengirim doa untuk dipanjatkan di depan Kaabah.

Pukul 7.00 pagi, van KRS Travel akan menjemput saya di Taman Perwira seterusnya ke Vila Suria untuk mengambil dua orang jemaah di sana.

Saya perlu berada di KLIA seawal 8.00 pagi, sejam lebih awal daripada masa yang ditetapkan kepada ahli rombongan. Sebagai 'trip leader' biarlah saya yang menunggu ketibaan jemaah daripada jemaah ternanti-nanti ketibaan saya. Daripada 49 orang jemaah yang bakal dipimpin, dua daripadanya ialah Pensyarah dan bekas Pensyarah USIM dan UPM.  

Penerbangan MAS ke Jeddah dijadual pukul 11.55 pagi, syukur setakat ini tiada sebarang 'delay'. Kami dijangka tiba di Terminal Haji Jeddah pada pukul 3.55 petang waktu tempatan. Dengan erti kata lain kami perlu berpuasa agak lama sedikit kerana masa di sana berundur 4 jam.

Oleh kerana urusan imigresen mungkin memakan masa 2 atau 3 jam, justeru saya telah memaklumkan kepada jemaah supaya membawa sedikit kurma atau roti untuk berbuka puasa di Terminal Haji.

Saya juga telah menghubungi Tuan Haji Mustafa Jaakan, wakil KRS Travel di Mekah supaya menyediakan nasi bungkus untuk di makan di dalam bas semasa perjalanan ke Mekah nanti. Saya tidak mahu jemaah saya kelaparan serta merungut-rungut memarahi saya.

Dijangka kami akan tiba  di hotel paling lewat pukul 10.00 malam. Selepas check in dan berehat, mungkin pukul 12 tengah malam kami akan mula mengerjakan Tawaf dan juga Saei. Insya Allah, jika semuanya berjalan lancar ibadah umrah pertama  kami akan tamat pada pukul 3.00 pagi.

Selepas itu kami akan bersahur dan menunggu azan Subuh di Masjidil Haram. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada saya pada hari pertama dan hari-hari berikutnya di tanah suci.

Saya dimaklumkan cuaca di sana agak panas 46 -52 darjah celcius. Ini merupakan dugaan dan cabaran bagi saya. Ya Allah berilah aku kecekalan dalam menghadapi dugaan ini.  Amin...

Dengan pemergian saya ke sana, maka blog ini berehat selama dua minggu dan akan kembali bersiaran insya Allah paling lewat 15 hb Ogos nanti.

Jumpa lagi di lain masa.

Salam hormat,

Abu Sofea