Sunday, October 21, 2012

Keluhan hati Mike Tyson ......


Tan Sri Haji Muhammad Taib bersama anaknya Azri (11 tahun) dan Arif (14 tahun)

Semasa perjumpaan ibu bapa dan guru semalam, sempat saya bertanya Tan Sri Haji Muhammad Taib (TSHMT) mantan Menteri Besar Selangor tentang isu-isu politik semasa.  Demikianlah wawancara tidak rasmi saya.

Saya : Apa perkembangan Tan Sri  ?

TSHMT :  Macam nilah...., sejak bersara dari politik, saya buka kilang di Nilai.

Saya : Tan Sri tak mahu aktif dalam politik lagi ?

TSHMT : Tak payahlah...., dahlah tu..., saya dah 40 tahun bergelumang dalam politik. Cukuplah..., bagilah orang lain pulak.

Saya : Apa pandangan  Tan Sri dengan perkembangan politik di Selangor.

TSHMT : Susah...., susah BN nak menang. Sesama mereka 'bergasak'....

Saya : Apa pula pandangan Tan Sri dengan politik di Negeri Sembilan ?

TSHMT : Sama juga macam di Selangor, silap-silap boleh 'bungkus'.

Saya : Kenapa pula ?

TSHMT : Yalah...., masing-masing ada klik. Klik Mat Hasan, klik Rais Yatim, klik Isa Samad.... dan klik Dato' Sahak.

Wawancara terpaksa ditamatkan setelah lima minit berlangsung kerana ada seorang bapa mahu berjumpa saya, mahu bertanyakan pelajaran anaknya.









Monday, October 15, 2012

Bersegera memohon keampunan Allah


 
Tafsir Al-Quran
Surah Ali Imran : 133-136

“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa (133) (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), pada masa senang susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan mereka yang melakukan kesalahan kepadanya. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang melakukan kebaikan (134)  Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa mereka selain Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya) (135) Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik (balasan) bagi orang yang beramal”
(136).

Huraian ayat

            Firman Allah SWT pada ayat 133,

            “ Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa ”(133)

            Dalam ayat ini Allah SWT menyeru orang-orang yang beriman supaya segera memohon keampunan daripada Allah SWT yang hasilnya akan beroleh syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Demikianlah janji Allah SWT kepada orang yang ‘muttaqin’.

            Di zaman Nabi Musa a.s, baginda pernah bertanya kepada Allah SWT,

            “ Wahai Tuhan siapakah gerangan manusia yang akan menjadi penghuni syurga yang paling rendah ? ” Allah SWT menjawab, “ wahai Musa tempat yang paling rendah di dalam syurga nanti Aku akan sediakan untuk seorang lelaki yang mana setelah semua manusia measuki syurga, maka barulah lelaki ini akan masuk ke dalamnya”.

            Kata Nabi Musa, “ Kalau begitu wahai Tuhan berilah syurga yang paling rendah itu kepadaku ”. Maka Allah SWT berfirman kepadanya, “Wahai Musa redhakah engkau jika Aku jadikan kamu seperti seorang raja yang memiliki kekuasaan di seluruh penjuru alam ?”. Nabi Musa a.s menjawab, “Wahai Tuhan adakah Engkau mempersenda-sendakan aku ?” Allah SWT menjawab, Wahai Musa Aku sekali-kali tidak mempersenda-sendakan engkau, sesungguhnya engkau akan memperolehi kedudukan 10 kali ganda daripada itu.” Jawab Nabi Musa, “Kalau begitu wahai Tuhan, aku redha”.

            Allah SWT seterusnya menjelaskan sifat-sifat orang ‘muttaqin’ yang dijanjikan syurga seperti mana firman-Nya pada ayat yang berikut,  

 “(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), pada masa senang susah,…

            Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan tentang pra syarat untuk menjadi ahli syurga antaranya hendaklah seseorang itu rajin bersedekah sama ada ketika senang mahu pun susah. Ada sebuah kisah yang boleh dijadikan pengajaran,

             Ada seorang wanita yang datang berjumpa Rasulullah SAW, sedangkan tangan kanannya dalam keadaan lumpuh. Wanita itu berkata, “Wahai Nabiullah sudilah kiranya tuan memohonkan kepada Allah agar menyembuhkan tanganku yang lumpuh ini ”. Maka Nabi SAW bertanya, “ Apakah yang menyebabkan tangan kananmu lumpuh ?”. Wanita itu menceritakan, “Pada satu malam aku bermimpi, seolah-olah neraka Jahim telah menyala-nyala dan syurga telah tersedia terbuka. Aku melihat ibuku berada dalam neraka Jahannam sedang di tangannya terdapat sepotong lemak dan di sebelah lagi memegang kain lap. Dengan lemak dan kain lap itulah ibunya menahan kepanasan api neraka. Pada saat itu aku bertanya kepada ibuku, Mengapa ibu dalam keadaan begini ? Sedangkan semasa di dunia ibu adalah orang yang taat kepada Allah dan ayah pun redha ke atas ibu ?”  Jawab ibuku, “ Wahai anakku, aku di dunia dahulu seorang yang kikir”. Aku bertanya lagi, “Apakah ertinya lemak lemak dan kain lap pada tangan ibu itu ?” Ibuku menjawab, “Ibu seumur hidup hidup tidak pernah bersedekah melainkan inilah dua barang yang pernah ibu sedekahkan”.  Aku pun bertanya lagi, “Wahai ibu di mana ayah ?” Ibuku menjawab, “Ayahmu seorang dermawan, maka dia tinggal bersama orang-orang yang dermawan”.

            Maka aku pun datang ke syurga dan ternyatalah ayah sedang berdiri di telaga Kauthar sedang memberi minum  kepada orang ramai. Aku bertanya kepada ayah, “Wahai ayah sesungguhnya ibu yang juga isteri ayah sorang yang taat kepada Tuhannya, dan ayah pun telah redha ke atasnya. Tahukah ayah yang ibu sekarang berada dalam neraka Jahannam, berilah sedikit air dari telaga  itu kepada ibu untuk diminum”. Kata ayahku, “Wahai anakku sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan orang-orang yang kedekut dan berdosa dari mendekati telaga ini”. Maka dengan tanpa izin ayahku, aku mengambil air dari telaga itu secawan dan memberi kepada ibuku yang kehausan dalam neraka. Tiba-tiba ada suara yang berkata : “Mudah-mudahan Allah SWT melumpuhkan tanganmu kerana engkau telah memberi minum air telaga Nabi SAW kepada orang yang kikir”. Maka aku pun terjaga dari tidur, ternya tanganku lumpuh seperti ini. Setelah Nabi SAW mendengar cerita dari wanita ini, maka Nabi SAW meletakkan tongkatnya pada tangan wanita itu sambil berdoa : “Wahai Tuhanku, melalui kebenaran mimpi yang diceritakan oleh wanita ini , maka sembuhkanlah tangannya” . Dengan izin Allah tangan wanita itu sembuh seperti sedia kala. 

            Firman Allah SWT lagi,

            “..dan orang-orang yang menahan kemarahannya…

            Dalam sebuah hadis,
  
 Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi SAW : “Berpesanlah kepadaku !”,  Jawab baginda : “Jangan marah !”, Orang itu mengulangi lagi beberapa kali (minta di pesan). Nabi SAW (tetap) bersabda : “Jangan marah!”. ( HR Bukhari)

            Sebuah lagi hadis daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda :

            “ Tahukah kamu siapa yang paling kuat di kalangan kalian ?”  Sahabat menjawab : Mereka ialah yang paling kuat gustinya. Baginda SAW bersabda : Bukan begitu, tetapi orang yang paling kuat ialah mereka yang boleh mengendalikan nafsunya ketika marah .” (HR Muslim)

Hakikat marah

            Secara fitrahnya, marah adalah satu sifat yang ada pada diri manusia. Namun tidak semua sifat marah itu di larang dalam Islam. Ada kalanya wajib seseorang itu marah seperti seorang suami atau bapa yang marah melihat isteri dan anak-anaknya keluar rumah mendedahkan aurat, juga marah jika anak atau orang yang berada di bawah tanggungannya tidak menunaikan solat dan marah apabila seseorang menghina Islam atau ajarannya atau menghina Nabi Muhammad SAW. Justeru marah seperti ini adalah wajar dan disyariatkan dalam Islam.

            Manakala marah yang dicela ialah sekiranya marah kepada orang alim yang mengajar ilmu dan kebaikan, marah kepada pihak yang berusaha menjalankan amar makruf dan nahi mungkar atau marah kepada golongan yang berjuang mahu mendaulatkan syariat Allah SWT. Marah seperti ini datangnya dari syaitan serta mirip kepada tingkah laku musuh Islam.

            Firman Allah SWT seterusnya,

            “..dan memaafkan mereka yang melakukan kesalahan kepadanya….

            Sifat memaafkan kesalahan orang adalah satu perbuatan mulia di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri menunjukkan sifat pemaaf kepada musuh-musuhnya. Pernah Rasulullah SAW di baling batu oleh penduduk Thaif, namun baginda tetap mendoakan agar mereka diberi hidayah oleh Allah SWT.

            Dalam sebuah hadis,  

            Daripada Abu Muslim bin Abi Maryam, (dia berkata) dari Abi Sholeh, dia mendengar Abu Hurairah menyandarkan hadis ini kepada Nabi SAW yang bersabda : “Dilaporkan (kepada Allah) semua perbuatan orang pada setiap hari Khamis dan Isnin (dalam seminggu), lalu Allah ‘Azzawajalla mengampuninya pada hari itu (juga) kepada setiap orang yang tidak syirik (menyengutukan ) sesuatu dengan-Nya, kecuali siapa sahaja yang terjadi di antara dia dan saudaranya (seiman) sengketa permusuhan ; iaitu Allah berfirman untuknya : “Tinggalkanlah (jangan dihapus dosa ) kedua-dua (orang yang bersengketa ini, sehinggalah mereka berdua berdamai…, tinggalkanlah (jangan dihapus dosa ) kedua-dua (orang yang bersengketa ini, sehinggalah mereka berdua berdamai” (HR Muslim)

            Dalam hadis ini Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa semua amalan manusia diangkat atau dilaporkan kepada Allah dua kali dalam seminggu iaitu pada setiap hari Khamis dan juga hari Isnin.

            Lalu Allah SWT mengampuni kesalahan hamba-hamba-Nya selagi mereka tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan bermusuh-musuhan sesama muslim. Hakikatnya orang yang menunda waktu untuk berdamai sebenarnya mereka menunda untuk menerima rahmat dan pengmpunan daripada Allah SWT.     
           
            Firman Allah SWT pada hujung ayat ini,

            “…Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang melakukan kebaikan ”(134)

            Kesimpulannya, mereka yang suka membelanjakan harta di jalan Allah tidak kira pada waktu  senang atau susah, mereka yang menahan diri daripada sifat marah dan mereka yang memaafkan kesalahan orang yang melakukan kejahatan pada dirinya, semua golongan ini disebut oleh Allah SWT sebagai  muhsinin (golongan yang baik). Mereka sangat dikasihi oleh Allah SWT.

            Firman Allah SWT dalam ayat 135,  

            “Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa mereka selain Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya)”(135)

            Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan ciri-ciri orang yang ‘muttaqin’ seterusnya iaitu mereka yang melakukan perbuatan keji dan dosa tetapi merasa insaf di atas kesalahan yang telah dilakukan, maka dengan segera mereka memohon keampunan daripada Allah SWT. Mereka sedar sekiranya mereka tidak berhenti melakukan dosa itu, sudah pasti mereka mengundang kemurkaan Allah SWT yang melayakkan mereka di azab dalam api neraka kelak.  Na’uzubillah.

            Dari Ibnu Umar Nabi SAW bersabda,

            “ Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat hamba-Nya selama dia belaum sakaratul maut”.

            Kenapa taubat seseorang itu tidak diterima ketika sakaraul maut ? Hal ini kerana syarat taubat itu hendaklah seseorang itu merasa insaf dan ada keazaman dalam dirinya untuk tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan. Perkara ini hanya boleh berlaku ke atas orang yang sihat. Ada pun bagi orang yang sedang sakararul maut, mereka tidak sedar dan tidak ada keupayaan untuk merasa insaf di atas kesalahan yang pernah dilakukan.

            Orang yang sudah bertaubat namun masih melakukan kesalahan dosa seolah-olah mereka mengejek Allah SWT. Sabda Nabi SAW,

            “Orang yang memohon keampunan secara lisan, sedangkan dia terus menerus melakukan dosa, dia ibarat seperti mengejek Tuhannya”.   

            Atha’ bin Khalid berkata : Aku mendengar bahawa ketika Allah SWT berfirman,

        “…siapa lagi yang dapat mengampuni dosa mereka selain Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya)”

            Maka bertempiklah Iblis terkutuk kepada bala tenteranya sehingga debu berterbangan di atas kepalanya sambil berkata “Celaka”. Maka berdatanganlah bala tentera Iblis dari segenap penjuru baik dari darat mahu pun laut bertanya : “ Mengapa tuan ?”. Iblis menjawab, “ Ada sebuah ayat dalam Al-Quran yang dosa tidak akan membahayakan anak keturunan Adam  selepas itu”. Bala tentera Iblis bertanya : “ Ayat apakah itu ?”. Lalu Iblis menceritakan kepada mereka (perihal taubat). Kemudian tentera Iblis berkata, “ Kita akan buka untuk anak ketrunan Adam pintu-pintu hawa nafsu sehingga mereka tidak mahu bertaubat dan meminta ampun, kerana mereka merasa bahawa meeeka berda di jalan yang haq (benar). Bila mendengar sahaja jaminan daripada bala tenteranya, barulah Iblis merasa puas.

            Firman Allah SWT pada ayat 136,

            “Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik (balasan) bagi orang yang beramal” (136).

            Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan tentang balasan ke atas orang yang ‘muttaqin’, di mana mereka akan mendapat pengampunan daripada Tuhan serta syurga yang indah, di bawahnya terdapat beberapa batang anak sungai dan itulah balasan bagi mereka yang istiqamah dalam melakukan kebaikan. Mereka kekal di dalam syurga.

            Ada firqah sesat dalam sejarah Islam seperti mazhab Qadariyah yang berpendapat bahawa syurga dan neraka itu tidak kekal. Yang kekal hanyalah Allah SWT sahaja. Maksudnya apabila penghuni syurga sudah merasai nikmat di dalam syurga, maka apabila tiba masanya Allah SWT akan memusnahkan mereka.

            Pendapat ini berbeza dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada nas ayat yang mengatakan penghuni syurga akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Memang benar pada hakikatnya yang kekal hanyalah Allah SWT sahaja.

             Tetapi hendaklah kita tahu membezakan antara  kekal Allah SWT dengan kekalnya syurga dan penghuninya.  Perbezaannya ialah Allah SWT kekal pada zat-Nya, tiada siapa yang mengekalkannya kerana Dialah Tuhan yang Khaliq (Pencipta). Adapaun kekalnya syurga dan penghuninya kerana ia di kekalkan oleh Allah SWT di atas sifat mereka sebagai Makhluk (dicipta).  

Wallahualam.  

Saturday, October 6, 2012

“Menanti di pintu Baqi’…” : Masalah wuduk dan kedudukan isteri semasa tawaf



Episod 9 : Masaalah wuduk dan kedudukan isteri semasa tawaf

“Ustaz…, semasa tawaf boleh tak saya pegang tangan isteri  ?”, tanya Dato’ Hashim . Matanya meleret memandang Datin Hasnah.

Sayangnya pada Datin Hasnah tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Sungguh mendalam.  Hanya kematian yang dapat memisahkan mereka berdua. Sakit pening dan susah derita yang dilalui sepanjang hidup, Datin Hasnahlah yang banyak membantu. Tanpa Datin Hasnah siapalah Dato’ Hashim.   

Sebab itu Dato’ Hashim berazam untuk menjaga Datin Hasnah sebaik yang mungkin ketika menunaikan Haji nanti.

“Boleh…, tapi kenalah berlapik”, jawab Ust Haji Abdullah.

“Kalau tersentuh juga tangan isteri….?”, Dato’ Hashim terus mengasak.

“Tidak batal…., kerana dalam keadaan musyaqqah (kepayahan)tidak batal wuduk jika   tersentuh tangan isteri atau mana-mana perempuan yang bukan mahram asalkan tidak timbul syahwat. Ini pendapat mazhab Syafie yang marjuh”, jelas Ust Haji Abdullah.

“Jadi tidak perlu saya ambil air sembahyang semula ?”, tanya Dato’ Hashim yang mahu kepastian.

“Tidak perlu”, jawab Ust Haji Abdullah sepatah.

“Kalau isteri saya terlepas dari pegangan saya …..?”, tanya Dato’ Hashim lagi. 

Dia sedar dalam suasana yang berasak-asak semasa tawaf, mungkin dia atau isterinya akan dirempuh  menyebabkan mereka terpisah.  Hal ini sangat dibimbangi oleh Dato’ Hashim.

“Begini…,” Ust Haji Abdullah menghirup air kopi yang semakin sejuk sebelum menyambung penjelasan.

“Sebaik-baiknya semasa tawaf, biarlah isteri berada di belakang kita. Jika dia berada di sebelah kanan atau kiri, risiko untuk dirempuh atau di tolak ke depan adalah besar, menyebabkan masing-masing akan teripsah.

Sebaliknya jika isteri berada di belakang, jika di tolak ke depan atau di rempuh sekali pun, isteri tidak akan ke mana, dia tetap berada di belakang kita”.

Dato Hashim mengangguk, hatinya puas mendengar jawapan yang diberikan oleh Ust Haji Abdullah.

Tidak rugi dia menjemput Ustaz yang berepngalaman ini datang ke rumahnya pada hari itu.

Bersambung…..

Thursday, October 4, 2012

Berkat doa ibu … , suami isteri terpilih ke tanah suci


Senyum gembira menjadi tetamu Allah 

Saya ingin berkongsi kisah…, kisah yang menjadi teladan untuk kita semua. 

Saya mula mengenali keluarga ini sejak lima bulan yang lalu.

Ia bermula apabila Pn Salipah Yunus (usia 80 an) menerima surat tawaran mengerjakan Haji awal tahun ini.  Oleh kerana beliau kategori warga emas, anaknya Noraziah Yunus (usia 50 an) merayu kepada Tabung Haji supaya dibenarkan mengiringi ibunya ke sana.

Sementelahan pula Pn Salipah mengidap pelbagai penyakit.

Alhamdulillah…, rayuannya diterima dan beliau mendapat tempat untuk ke tanah suci.

Dalam masa yang sama En Hashim Yusuf (usia 60 an) suami kepada Pn Noraziah Yunus  juga teringin untuk ke tanah suci. Lalu beliau membuat suarat rayuan kepada Tabung Haji.., supaya dapat mengiringi ibu mertua dan isterinya ke Mekah.

Laungan azan dikumandangkan 

Hari demi hari berlalu tanpa sebarang jawapan daripada Tabung Haji. Mereka sekeluarga berdoa….., tidak putus- putus berdoa…apatah lagi doa yang dipanjatkan oleh Pn Salipah.

Syukur…, pada bulan Ramadhan yang lalu, En. Hashim memaklumkan kepada saya yang namanya sudah pun terpilih.

Demikianlah hebat dan berkatnya  doa…, lebih-lebih lagi doa dari seorang wanita yang mulia bertaraf IBU,  dengan kehendak Allah, sepasang suami isteri ini dipermudah ke tanah suci walaupun baru '4 bulan' mendaftar ! 

Manakala saya pula diberi amanah oleh anak-anak mereka untuk datang ke rumah mengajar cara-cara mengerjakan haji bermula pada bulan April yang lalu, (tarikh En Hashim menghantar surat rayuan).

Justeru setiap hari Selasa, pukul 7.45 – 8.45 pagi saya akan ke rumah anaknya di Taman Cengal Utama untuk mengajar mereka bertiga.

Alhamdulillah, daripada sifar tentang ilmu Haji, kini mereka sudah tahu apa yang dikatakan Nafar Awal, Nafar Thani, Tahalul Awal, Tahalul Thani, Haji Qiran, Haji Ifrad, miqat zamani, tawaf Qudum,  pelbagai jenis dam dan sebagainya.

Semalam, selepas solat Zuhor sekali lagi saya dipanggil oleh keluarganya untuk membaca doa selamat  bagi melepaskan pemergian mereka dengan KT 60.

Selamat berangkat semua…., doakan kami di sini…., mudah-mudahan kalian sihat wal’afiat di sana ….dan pulang membawa Haji yang mabrur ….

p/s – Untuk  makluman pembaca En. Hashim dan Puan Nor Aziah merupakan caterer terkenal di daerah Seremban.  Mereka boleh dihubungi melalui anaknya  Puan Eja  0173740313.