Thursday, December 27, 2012

UMRAH AWAL RAMADHAN 2013 DI BUKA SEKARANG


Insya Allah Umrah awal Ramadhan 16-26 Julai 2013 (12 H 10 M) di bawah bimbingan saya sedang dibuka dengan harga RM 6700.00.

Penerbangan MAS, jemaah akan masuk ke Mekah dahulu. Sepuluh pendaftaran awal diberi diskaun RM100.00. Hubungi 019-6404133.

Wednesday, December 26, 2012

UMRAH 3 -13 MAC 2013 MASIH ADA 20 KEKOSONGAN !


Pakej Umrah anjuran KRS Travel Sdn Bhd, Seremban untuk tarikh 3-13 Mac 2013, penerbangan MAS dengan harga RM 5080.00 masih ada 20 kekosongan.

Insya Allah pakej ini bakal dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Othman bin Diah, Guru Al-Quran merangkap Imam Masjid Qaryah Sg. Landak Seremban.

Tuan puan yang berminat sila hubungi saya 019-6404133. Deposit RM 1000.00.

Thursday, December 20, 2012

Tazkirah : Larangan membunuh diri


           

            Pelbagai sebab orang membunuh diri. Ada disebabkan cinta tidak kesampaian, hutang keliling pinggang, tidak lulus periksa, gagal dalam perniagaan dan bermacam lagi. 

           Hakikatnya perbuatan membunuh diri adalah termasuk dosa besar yang mengakibatkan si pelakukanya menerima azab yang pedih di neraka kelak. 

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم الَّذِيْ يَخْنُقُ نَفْسَهُ يَخْنُقُهَا فِى النَّارِ وَالَّذِيْ يَطْنُعُهَا يَطْنُعُهَا فِى النَّارِ

Maksudnya : “Daripada Abu Hurairah r.a katanya Nabi saw bersabda : Barangsiapa yang membunuh diri dengan mencekik lehernya maka dia akan mencekek lehernya pula di neraka. Dan barangsiapa yang menikam dirinya maka dia akan menikam dirinya pula di neraka kelak.” ( HR Bukhari) 

            Sebuah lagi hadis, daripada Thabit bin Dhohak r.a, Rasulullah saw bersabda : 

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ فِيْ الدُّنْيَا عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

            Daripada Jundub bin Abdillah r.a, katanya Nabi S.A.W. bersabda:

كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ فَمَا ‏ ‏ رَقَأَ ‏ ‏ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى ‏ ‏بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Dahulu dikalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ada kecederaan (kemudian menjadi ulser), lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah S.W.T.: “Tergesa-gesa hambaku kepadaKu (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga.” (HR Bukhari dan Muslim)

Huraian hadis  

            Hadis ini menjelaskan perbuatan membunuh diri adalah termasuk salah satu daripada dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah SWT.  Tetapi itu tidaklah bermaksud perbuatan ini menyebabkan seseorang itu murtad melainkan jika dia menghalalkan perbuatan tersebut.

            Dalilnya Rasulullah saw tidak melarang para sahabat menyembahyangkan jenazah oorang yang membunuh diri walaupun baginda sendiri tidak mahu menyembahyangkannya.  
       
               Daripada Jabir bin Samurah r.a katanya:

أُتِيَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ ‏ ‏بِمَشَاقِصَ ‏ ‏فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Didatangkan kepada Nabi saw jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah, lalu baginda tidak menyembahyangkan untuknya.” (HR Muslim)

            Dalil ini merupakan pertunjuk kepada para ulama dan mereka yang dipandang mulia dalam masyarakat agar tidak menyembahyangkan jenazah orang yang mati bunuh diri sebagai mengikuti perbuatan Nabi saw, juga sebagai pengajaran kepada orang lain.

Wallahualam. 

Sunday, December 9, 2012

Apabila pemimpin bertopengkan agama


 

 Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;  

يُوْشَكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكْلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا. فَقَالَ قَائِلٌ : وَمِنْ قِلَّةِ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ ؟ قَالَ صَلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ بَلْ أنتم يومئذ كثير ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَسَيَنْزِعَنَّ اللهُ من صدوررِ عَدُوِّكُمُ المهابةَ منكم وَلْيَقْذِفَنَّ فِى قُلُوبكم الوَهْنَ . قال قائل : يا رسول الله وما الوهنُ ؟ قال حب الدنيا وكراهِيَةُ الموتِ

Maksudnya : "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak mengerumuni makanan dalam talam hidangan mereka". Maka seorang sahabat bertanya "Apakah kerana jumlah kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw menjawab, "Bahkan, pada hari itu jumlah kamu ramai sekali, tetapi kamu umpama lautan buih dibawa arus air. Allah SWT akan mencabut perasaan gerun dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Nabi Muhammad saw kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".  (HR Abu Daud)  

Keterangan 

            Dalam hadis ini Nabi saw menjelaskan di akhir zaman umat Islam akan dilanyak, ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh oleh orang-orang kafir. Menurut perangkaan  Jewish Agency, jumlah orang Yahudi yang terdapat dalam dunia hari ini ialah  seramai 13.2 juta. Manakala jumlah umat Islam menurut Wikipedia pula ialah seramai 1.84 billion. Berdasarkan angka tersebut nisbah orang yahudi dan orang Islam ialah 1 Yahudi : 1400 orang Islam.  Walaupun jumlah orang Islam ramai, tetapi itu tidak menggerunkan hati hati musuh untuk bersatu dan melumpuhkan kekuatan umat Islam.

            Kenapa hal ini berlaku ? Seperti yang djelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadith tadi, ada dua sebab kenapa umat Islam menjadi lemah bagikan buih yang dibawa arus air. Pertama kerana cintakan dunia dan yang kedua ialah kerana sifat bencikan mati. 

            Umat Islam hari ini terlalu cintakan dunia sehingga ada dikalangan mereka terlibat dengan gejala rasuah, pecah amanah, khianat, menipu, skim cepat kaya, sibuk bekerja sehingga tidak ingat kepada tuntutan agama dan asyik dengan kemewahan yang dimiliki. 

            Ini disebut oleh Rasulullah saw dalam hadisnya, 

إِقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَلَا يَزْدَادُ النَّاسُ عَلَى الدُّنْيَا إِلَّا حِرْصًا وَلَا يَزْدَادُوْنَ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا
          
 Maksudnya : Jika hari Qiamat hampir terjadi, tidak bertambah manusia melainkan loba (rakus akan harta benda) dan mereka tidak bertambah dekat dengan Allah kecuali bertambah jauh daripada ajaran agamanya. ( HR Thabrani) 

            Selain itu, oleh kerana terlalu cintakan dunia membawa kepada kelekaan yang berterusan. Umat Islam leka dengan produk-produk yang dihidangkan oleh orang-orang kafir seperti facebook, twitter, youtube dan pelbagai lagi. Babak-babak yang tidak sepatutnya ditonton sudah menjadi semakin lumrah dan video lucah pula dapat dibeli oleh sesiapa saja. 

      Kuliah-kuliah ilmu kurang dihadiri, ulama-ulama yang berwibawa semakin berkurangan, manakala ulama-ulama yang sedia ada disekat untuk menyampaikan kebenaran. Ini membawa kepada kejahilan terhadap masyarakat serta kejelikan akhlak. 

            Institusi kekeluargaan pula longgar, anak-anak terbiar, adik beradik bergaduh sesama sendiri dan jiran-jiran tidak bermuafakat. Manakala pendedahan aurat, judi, zina, minuman arak, pelacuran dan pelbagai lagi kemungkaran dilakukan terang-terangan. Sabda Rasulullah saw, 

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَرْفَعَ الْعِلْمَ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ وَيَشْرَبَ الْخَمْرُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا وَتَكْثُرَ النِّسَاءَ وَيَقِلَّ الرِّجَالَ حَتَّى يَكُوْنَ الْخَمْسِيْنَ امْرَأَةً الْقَيِّمُ الْوَاحِدُ
             
Maksudnya : Di antara sebahagian tanda-tanda dekatnya hari Qiamat adalah hilangnya kemanfaatan ilmu, makin ketara kebodohan, diminumnya khamar, meluasnya penzinaan secara terang-terangan, banyaknya wanita dan sedikitnya lelaki sehingga (nisbah) lima puluh wanita satu lelaki. (HR Bukhari) 

            Hal ini bertambah parah apabila umat Islam dipimpin oleh manusia yang bertopengkan Islam tanpa ada usaha untuk mendaulatkan syariat Allah SWT. Pemimpin-pemimpin ini menyeru rakyat bersatu padu, tetapi laungan itu hanyalah sekadar ntuk kepentingan peribadi mereka sahaja. Hakikat yang sebenar mereka  mengajak rakyat supaya bersatu menyokong mereka untuk terus kekal menjadi pemimpin. 

              Justeru segala rasuah dan wayang politik, kata-kata agama dimainkan agar rakyat terpesona lalu terus mengekalkan mereka sebagai penguasa dan pemerintah. Mereka mengajak rakyat supaya memajukan negara dan bangsa, namun hakikatnya mereka hanya memajukan diri sendiri dan keluarganya terlebih dahulu.  

            Rasulullah saw mengingatkan,  

يَخْرُجُ فِى أَخِرِ الزَّمَانِ رِجَالٌ يَخْتَلَوْنَ الدُّنْيَا بِالدِّيْنِ يَلْبَسُوْنَ لِلنَّاسِ جُلُوْدَ الضَّأْنِ مِنَ اللَّيْنِ أَلْسِنَتُهُمْ أَحْلَى مِنَ السُّكَّرِ وَقُلُوْبُهُمْ قُلُوْبُ الِّذئَابِ

Maksudnya : Akan tiba di Akhir zaman manusia-manusia yang melakukan tipu daya dunia dengan memakai topeng agama. Mereka menyuruh manusia memakai pakaian yang dibuat dari bulu domba yang halus, lidah mereka lebih manis daripada gula, sedang hati mereka laksana hati serigala. ( HR Tirmidzi) 

            Rasulullah saw melarang umatnya supaya membantu atau menyokong pemimpin seperti ini. Sabda baginda saw,
سَتَكُوْنُ مِنْ بَعْدِىْ أُمَرَاءُ يَكْذِبُوْنَ وَيَظْلِمُوْنَ فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِيْهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّى وَلَسْتُ مِنْهُ وَلَمْ يَزِدْ عَلَى الْحَوْضِ

Maksudnya : Akan tiba di akhir zaman setelah aku tiada, beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat zalim. Maka  barangsiapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu tindakan mereka yang zalim itu, maka ia buka termasuk umatku dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai ke telaga (yang ada di syurga). (HR Tirmidzi, Nasaei dan Hakim) 

            Tentera- tentera yang sepatutnya mempertahankan rakyat dan negara daripada musuh bertindak kejam membunuh rakyat sesuka hati kerana patuh kepada arahan pemimpin yang tamakkan kuasa. Hal ini juga disebut oleh Rasulullah saw, 

سَيَكُوْنُ فِى أَخِرِ الزَّمَانِ شُرْطَةٌ يَغْدُوْنَ فِى غَضَبِ اللهِ وَيَرُوْحُوْنَ فِى سُخْطِ اللهِ
 فَإِيَّاكَ أَنْ تَكُوْنَ مِنْ بَطَانَتِهِمْ

Maksudnya : Kelak pada akhir zaman akan ada angkatan tentera berpagi-pagi dalam kemurkaan Allah, dan waktu petang juga dalam kemurkaan Allah. Oleh itu berwaspadalah kamu semua, jangan sampai kamu dijadikan perisai buat mereka. (HR Thabrani)   

           Berbeza dengan umat Islam terdahulu yang sangat cintakan akhirat. Bermula dengan pemimpin mereka yang hidup dengan kesedrhanaan. Ambil contoh sifat Rasulullah saw sebagai pemimpin agung seperti yang diceritakan oleh Saidina Omar, 

            "Aku pernah minta izin untuk bertemu Rasulullah saw. Aku mendapati baginda sedang berbaring di atas tikar yang sangat kasar. Sebahagian tubuh baginda berada di atas tanah. Baginda hanya berbantalkan pelepah kurma yang keras. Aku ucapkan salam lantas duduk di sisinya. Aku menangis di depannya. Melihat tangisanku maka Rasulullah saw bertanya,  "Mengapakah engkau menangis, wahai Umar bin al- Khattab?" Jawabku, "Bagaimana aku tidak menangis. Tikar ini telah menimbulkan bekas pada tubuhmu. Engkau ini Nabi Allah, kekasihNya. Ini sahaja kekayaan yang ada padamu seperti yang aku lihat ini. . Padahal di sana, Kisra dan Kaisar duduk di atas katil emas, berbantalkan sutera." Nabi saw menjawab, , "Mereka telah menyegerakan kesenangannya sekarang; kesenangan itu akan segera berakhir. Kita adalah kaum yang menangguhkan kesenangan kita untuk hari akhirat. Perumpamaanku dengan dunia seperti seorang yang bermusafir pada musim panas. Ia berteduh sejenak di bawah sebatang pokok, kemudian berangkat dan meninggalkannya." (Hayat al-Sahabah ).

             Demikian juga Saidina Omar bin al-Khattab ketika menjadi khalifah, beliau pernah berusaha meminjam duit dari Baitul Mal untuk  membeli baju anaknya. Ketika sampai di pejabat Baitul Mal, pegawai bendahara yang menjaga Baitul Mal tidak ada, lalu Khalifah Umar bin al-Khattab meninggalkan sepucuk surat kepada pegawai ini,

            "Kepada pegawai perbendaharaan Baitulmal yang terhormat, saya memohon pinjaman sebanyak empat dirham. Insya-Allah pada awal bulan depan, setelah pembahagian gaji dari Baitulmal, saya akan segera melunasinya."

            Apabila pegawai Bendahara membaca surat Umar, lalu dia membalas, 

          Kepada Amir al-Mukminin Umar bin Khattab,"Telah saya baca surat tuan tentang permohonan pinjaman dari wang Baitulmal. Aku sekadar ingin bertanya, apakah Tuan berani mengatakan bahawa diri Tuan pasti tetap hidup sampai akhir bulan ini sehingga aku dapat menuntut hutang dari Tuan? Seandainya ajal menjemput Tuan sebelum bulan ini berakhir, apakah Tuan mampu bertanggungjawab di hadapan Allah? Wasalam."      
   
            Khalifah Umar bin Abdul Aziz salah seorang pemerintah di zaman Bani Umaiyah, semasa menjadi Gabenor Madinah dan ketika menjawat jawatan Khalifah, hartanya adalah sama, sedikit pun tidak bertambah. Kehidupannya sama seperti rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. 

            Tentera Islam dahulu begitu kuat, bukan sahaja kuat dari sudut persenjataan namun kuat rohani dan jiwa. Salahuddin Al-Ayubi seorang panglima tentera yang mengetuai tentera muslimin dalam peperangan Salib, Beliau hanya memilih tenteranya yang kuat mengerjakan Qiamullail untuk ke medan perang kerana dia tahu hanya mereka yang kuat ‘untuk bangun malam mengerjakan tahajud’  sahaja yang memiliki kekuatan untuk bertempur dengan musuh di medan perang. Hasilnya, tentera Islam menang dalam setiap peperangan dengan tentera musuh. 

            Penyakit kedua yang dihadapi oleh umat Islam akhir zaman ialah takutkan kematian. Takut mati di sini maksudnya leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dalam memperjuangkan agarna Allah SWT.  Mereka takut mati kerana memikirkan dosa yang mereka lakukan terlalu banyak, sebaliknya amalan pahala pula kurang. 

            Berbanding umat Islam generasi pertama dahulu yang cintakan mati kerana dapat bertemu dengan Allah SWT dengan segera.  Justeru bila ada panggilan jihad, mereka bergabung tenaga memerangi musuh Islam tanpa rasa gentar kepada kematian.  

Wallahualam.
             

Friday, November 30, 2012

Berminat nak jadi pembantu Mutawwif ?

Syukur Alhamdulillah, pendaftran umrah 2-13 April 2013 semakin rancak. Jumlah penyertaan sudah pun mencecah 41 orang.

Insya Allah dalam tempoh 3 bulan sebelum berangkat jumlah ini bakal bertambah dari semasa ke semasa. Apabila mencecah 60 orang, maka saya memerlukan seorang ustaz sebagai pembantu mutawiif, dengan segala kos pemergian ditanggung sepenuhnya oleh KRS Travel.

Ada sesiapa di kalangan ustaz yang berminat ?

Monday, November 19, 2012

UPSR dan karenah anak-anak

Syukur !

Ahmad Afif Arifuddin, kelakuannya agak riuh !

Happy Family !

Siapa yang berjiran dengan saya mungkin agak terganggu dengan bunyi bising anak-anak  saya. Pelbagai  fi’il, ada yang suka menjerit,  kuat menangis dan ada yang suka menyakat adik-adik.

Itu belum lagi mendengar bunyi isteri yang marah-marah kerana meleteri anak yang bermacam ragam.

Waduh pening !
Sebab itu awal-awal lagi saya sudah memaklumkan kepada jiran-jiran,  meminta maaf dengan mereka jika mereka tidak selesa berjiran dengan saya.

“Alahh…, biasalah tu ustaz.., anak saya pun macam tu jugak. Sekarang ni mereka kecil lagi. Kalau dah besar macam anak ustaz, mereka pun sama juga “, kata seorang jiran suatu ketika dahulu.

Walau pun begitu,  di sebalik keriuhan, kenakalan dan bunyi bising anak-anak, prestasi akademik mereka menggembirakan saya.

Hari ini saya meraikan kejayaan anak kedua, Ahmad Afif Amiruddin kerana berjaya mendapat 5 A dalam peperikaan UPSR.  Syukur kepada Allah SWT, dia salah seorang daripada 24 orang yang mendapat 5 A daripada 99 orang calon yang menduduki peperiksaan itu.  

Sementara itu anak ketiga, Ahmad Afif Arifuddin yang sejak kebelakangan ini agak gian menepuk-nepuk lantai kerana main batang ais krim, mendapat 10 A dalam peperiksaan akhir tahun 2012. Dia juga telah dilantik sebagai pengawas sekolah bermula tahun hadapan. 

Satu kekurangan anak ketiga ini ialah, dia selalu kehilangan songkok. Hampir setiap bulan saya atau isteri akan ke Zulda Masri Ampangan untuk membeli songkok baru, sehingga pemilik kedai pun sudah ‘cam’ muka kami.

Bayangkan baru beberapa hari memakai songkok baru, songkok itu kemudiannya akan kepet, seterusnya hilang, tertinggal, kawan pakai dan bermacam-macam lagi alasan yang diberikan.  Entahlah, sungguh misteri !

Manakala anak sulong, Fatin Syahirah terus mengekalkan kecemerlangan akademiknya dengan meraih nombor 1 dalam keseluruhan tingkatan 2 di kelas rancangan khas Sek. Men. Keb. Tunku Ampuan Najihah.  

Harap-harap mereka semua akan terus kekal berjaya dalam lapangan akademik. Ini hanyalah sebagai permulaan sebelum mereka melangkah seterusnya ke hadapan.

Syukur wahai Tuhan !

Sunday, November 18, 2012

Demi Allah, saya tidak ada uzur yang menghalang


 

Tafsir Al-Quran
Surah at-Taubah : 117 – 119

“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan Ansar, yang mengikut Nabi dalam kesulitan. Setelah hati segolongan mereka hampir berpaling. Kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Dia (Allah) terhadap mereka (yang tersebut) itu Maha Pengasihan Belas lagi Maha Penyayang (117)  Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka). Hingga apabila bumi sudah menjadi sempit kepada mereka. Pada hal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit oleh mereka, serta mereka mengetahui tidak ada lagi tempat lari dari (seksa) Allah melainkan kepada-Nya juga. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar tetap di dalam taubat mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang (118) Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan jadikanlah kamu tetap bersama-sama orang-orang yang benar.” (119)

Huraian ayat 

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 117,


            “Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, …

            Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa Dia memberi kemaafan kepada Nabi SAW yang memberi keizinan kepada orang-orang munafik yang tidak ikut serta dalam peperangan Tabuk. Perang Tabuk ialah peperangan terakhir yang dipimpin oleh Nabi SAW yang berlaku pada bulan Rejab tahun ke 9 Hijrah. Perang ini juga dikenali sebagai perang al-‘Usrah yang bererti perang kesulitan kerana berlaku di musim panas yang terik, ditambah lagi jarak antara Madinah dan Tabuk ialah 610 km.

            Perang ini terjadi apabila Nabi SAW menerima maklumat bahawa tentera Rom yang dipimpin oleh Kaisar Herculis sedang menyiapkan bala tenteranya untuk menyerang kota Madinah. Justeru Nabi SAW memerintahkan kepada para sahabat,

            “Wahai kaum muslimin ! ketahuilah sesungguhnya aku hendak memerangi orang Rom. Oleh itu bersiap sedialah kamu semua”.

            Dalam suasana kaum muslimin bersiap siaga seramai 30 000 orang untuk berangkat ke medan Tabuk, orang-orang munafik pula memberi pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada peperangan ini. Antaranya ialah al-Jad bin Qais bin Sakhar. Katanya kepada Nabi SAW,

            “ Ya Rasulullah, izinkan saya tinggal di Madinah sahaja. Tapi jangan pula tuan memfitnah saya. Demi Allah saya khuatir, jika saya melihat perempuan Rom, nafsu saya tidak boleh dikawal. Saya adalah seorang lelaki yang sangat mudah tertarik dengan kecantikkan wanita”.  Jawab Nabi SAW, “Aku izinkan engkau untuk tidak turut serta”.

            Mendengar Nabi SAW memberi perlepasan kepada al-Jad bin Qais bin Sakhar, maka berduyun-duyunlah lagi orang-orang munafik seramai 80 orang berjumpa Nabi SAW untuk meminta izin bagi dikecualikan daripada menyertai peperangan ini. Tindakan Nabi SAW memberi keizinan kepada  mereka tanpa usul periksa sama ada alasan yang diberikan itu benar atau tidak telah ditegur oleh  Allah SWT. 

            Firman Allah SWT lagi,


            “….orang-orang Muhajirin dan Ansar, yang mengikut Nabi dalam kesulitan setelah hati segolongan mereka hampir berpaling…..

            Allah SWT juga menjelaskan Dia menerima taubat orang-orang Muhajirin dan Ansar yang menyertai peperangan ini. Disebabkan  keadaan yang sukar sewaktu menuju ke Tabuk, rasa lapar, dahaga dan panas sehingga ada di kalangan sahabat yang mengeluh, “bilakah agaknya kita akan terlepas dari kesengsaraan ini”.

            Saidina Abu Bakar a.s yang terkenal dengan kesabarannya turut memohon supaya Rasulullah SAW mendoakan mereka, “ Ya Rasulullah, tuan seorang yang dimakbulkan doa, doakanlah kebaikan buat kami”. Berkat doa Nabi SAW, maka  turunlah hujan ke atas mereka dengan selebat-lebatnya.

            Firman Allah SWT di hujung ayat,
           
           
            “…Kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Dia (Allah) terhadap mereka (yang tersebut) itu Maha Pengasihan Belas lagi Maha Penyayang” (117) 

            Allah SWT menyatakan sikap mereka yang berkeluh kesah semasa bersama Nabi SAW itu diampunkan-Nya kerana Dia adalah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 118,


            “ Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka)..
           
            Ayat ini turun khusus kepada 3 orang sahabat Nabi SAW tidak menyertai peperangan ini. Ketika tentera muslimin sudah mula berangkat ke Tabuk, Nabi SAW sedar ada 3 orang sahabat baginda yang turut tidak serta dalam peperangan.  Mereka ialah Kaab bin Malik, Mararah bin Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah. Mereka  bukanlah golongan munafik, malah sahabat-sahabat yang mempunyai keislaman yang sejati.

            Kaab bin Malik pada mulanya menangguh pemergiannya ke Tabuk kerana tidak ada kenderaan. Tetapi setelah membeli kenderaan, Kaab berlengah-lengah sehinggalah dia tertinggal ketika tentera Islam sudah mula jauh  meninggalkan kota Madinah. 

            Manakala dua orang lagi iaitu Mararah bin bin Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah tidak pergi kerana leka dengan buah-buahan yang sedang ranum di kebun mereka, di samping musim panas yang begitu terik.

Nabi SAW dan  tentera muslimin pulang ke Madinah

            Sebaik sahaja tiba di Tabuk, Nabi SAW mengatur kedudukan tentera muslimin. Namun setelah sekian lama menunggu, tentera musuh tidak muncul. Ahli sejarah berbeza pendapat, ada yang mengatakan tentera Rom tidak pernah bersedia untuk menyerang Madinah. Namun ada juga pendapat yang mengatakan tentera Rom merasa takut untuk berdepan dengan kekuatan tentera muslimin.

            Nabi SAW kemudian mengarahkan tentera muslimin balik semula ke Madinah dengan membawa kemenangan moral apabila tentera musuh merasa kecut untuk berdepan dengan tentera muslimin walaupun berada di tempat mereka.

            Sampai di Madinah, sekali lagi 80 orang munafik yang tidak ikut serta dalam peperangan ini mengadap Nabi SAW memohon kemaafan dari baginda dengan memberi pelbagai alasan yang semuanya adalah dusta sama sekali. Namun Nabi SAW tetap memaafkan mereka. 

            Apabila sampai giliran Kaab bin Malik mengadap, beliau memberi salam kepada Rasulullah SAW, namun salam itu dijawab oleh Nabi SAW dengan senyuman sinis. Sabda Nabi SAW,

            “ Mengapa kamu tidak turut berangkat ke Tabuk ?”

        Kaab menjawab dengan jujur dan berterus terang. Beliau tidak mahu berdusta dseperti orang-orang munafik kerana akibatnya akan mengindang kemurkaan Allah SWT.

            “Demi Allah ! Saya tidak ada uzur yang menghalang saya untuk menyertai peperangan ini ya Rasulullah. Demi Allah ! Sesungguhnya saya belum pernah mempunyai kekuatan dan kelapangan seperti waktu saya ketinggalan dari tuan, ketika berangkat ke Tabuk”.

            Mendengar pengakuan jujur Kaab bin Malik, Nabi SAW bersabda :

            “Ada pun tentang perkara ini engkau adalah benar. Maka pergilah engkau sehingga Allah memberi keputusan  mengenai engkau”.

          Kemudian datang pula Mararah bin bin Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah di hadapan Nabi SAW. Mereka juga membuat pengakuan yang sama seperti Kaab bin Malik, tidak mahu berdusta dengan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memberi jawapan sama seperti baginda memberi jawapan kepada Kaab bin Malik.

 Hukuman ke atas mereka bertiga

            Nabi SAW mengarahkan para sahabat memulaukan mereka selama 50 hari 50 malam. Mereka tidak boleh berbicara dengan sesiapa dan tidak boleh duduk di tempat ramai. Hanya isteri sahaja yang boleh mendekati mereka. Justeru mereka merasakan bumi ini begitu sempit dan inilah yang disebut oleh Allah SWT,


            “…Hingga apabila bumi sudah menjadi sempit kepada mereka. Pada hal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit oleh mereka, serta mereka mengetahui tidak ada lagi tempat lari dari (seksa) Allah melainkan kepadaNya juga…..

            Namun setelah masuk hari ke 41, satu lagi hukuman berat menimpa mereka di mana Nabi SAW mengarahkan pula isteri-isteri mereka supaya tidak mendekati mereka bertiga dalam erti kata lain melayani atau meniduri mereka.  Isteri Hilal bin Umaiyah telah datang merayu kepada Nabi SAW,

            “Ya Rasulullah !, sesungguhnya Hilal adalah seorang yang sudah berusia lanjut dan lemah. Dia tidak mempunyai pelayan untuk membantunya, maka izinkanlah aku menjadi pelayannya” Nabi SAW menjawab, “Tidak”. Setelah dia mendengar Nabi SAW tidak membenarkannya, sekali lagi dia merayu, “ Ya Rasulullah !, Demi Allah ! Dia selalu menangis sejak terjadinya peristiwa itu”. Demi Allah !, Dia tidak ada keinginan lagi kepadaku”.

            Setelah Nabi SAW mendengar cerita dari isteri Hilal, maka timbullah perasaan kasihan Nabi lalu baginda membenarkan isteri Hilal menjaga Hilal seperti hari-hari biasa.

            Apabila isteri Kaab bin Malik  mendapat tahu bahawa isteri Hilal bin Umaiyah mendapat keizinan daripada Nabi SAW untuk menjaga suaminya lalu dia berkata,

            “Alangkah baiknya jika engkau pergi meminta izin daripada Rasulullah SAW agar baginda mengizinkan aku melayani engkau sebagaimana baginda telah memberi izin kepada isteri Hilal untuk melayani suaminya”.

            Jawab Kaab bin Malik,

            “ Demi Allah ! Aku tidak tahu apa yang aku hendak ucapkan nanti kepada Rasulullah kerana aku masih muda. Dengan itu aku tiada alasan untuk meminta izin daripada baginda agar engkau dapat melayaniku”.

            Sejak di pulau, Mararah bin Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah hanya duduk di rumah sahaja. Adapun Kaab bin Malik masih keluar ke masjid dan juga ke pasar tidak mahu rasa dirinya terpulau. Walaupun tidak ada seorang pun yang sudi bercakap-cakap dengannya apatah lagi memandang wajahnya, dia tetap mahu menjadi sahabat Nabi SAW yang baik serta tidak mahu menderhaka kepada Allah dan juga Rasul-Nya.

            Satu hari Kaab bin Malik telah bersua dengan Nabi SAW di masjid. Dia memberi salam kepada Rasulullah SAW setelah baginda selesai mendirikan solat sunat. Tetapi Nabi SAW tidak menjawab salam Kaab. Pada hari yang lain Kaab bin Malik turut sama-sama bersembahyang dengan Nabi SAW dan cuba mengamati-amati sikap Nabi SAW kepadanya. Manlah tahu kalau Nabi sudah berubah dan mahu bermesra dengannya. Tetapi Nabi SAW tetap dengan pendirian iaitu memulaukan.

            Pernah satu ketika, sewaktu beliau memandang ke arah lain, Kaab perasan yang Nabi SAW memandang kearahnya. Dengan segera beliau berpaling ke arah Nabi SAW , maka dengan  segera pula Nabi SAW mengalihkan pandangan baginda ke arah lain. Maka terasa benarlah kepada Kaab yang Nabi SAW memang tidak sudi untuk memaafkannya.

Allah mengampuni mereka

            Firman Allah SWT di penghujung ayat,


            “Kemudian Allah menerima taubat mereka agar tetap di dalam taubat mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang ”(118)

            Setelah genap hari ke 50 di pulaukan, ketika Kaab bin Malik baru sahaja selesai menunaikan solat Subuh, terdengarlah padanya satu suara yang menyeru,

            “Wahai Kaab bergembiralah engkau !”

           Tahulah Kaab bahawa itulah adalah utusan Rasulullah SAW yang disuruh datang memberitahu bahawa dosanya dan dua orang lagi sahabatnya telah diampunkan oleh Allah SWT. Sebaik sahaja Kaab mendengar berita gembira ini, beliau menjatuhkan dirinya ke atas tanah dan terus sujud kepada Allah SWT.

            Ketika Kaab bin Malik datang mengadap Rasulullah SAW beliau bertanya,

        “Ya Rasulullah, adakah keampunan ini datangnya dari tuan atau dari Allah SWT ? ” Rasulullah SAW menjawab, “Bukan dari saya, tetapi datangnya dari Allah SWT”. Kaab kemudian berkata kepada Nabi SAW,   “ Oleh kerana taubat ini telah diterima oleh Allah SWT, maka aku hendak sedekahkan segala harta bendaku kepada Allah dan juga Rasul-Nya”. Nabi SAW menjawab pula, “ Tahanlah atas sebahagian harta engkau itu, kerana itulah yang terlebih baik  bagimu”.  

            Demikianlah kisah penerimaan taubat oleh Allah SWT ke atas tiga orang sahabat Nabi SAW yang bersalah kerana tidak hadir dalam peperangan Tabuk.

            Firman Allah SWT pada ayat 119,


          “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan jadikanlah kamu tetap bersama-sama orang-orang yang benar”. (119)

           Dalam ayat ini Allah SWT menyeru orang-orang yang beriman agar bertaqwa kepada-Nya dan bersama-sama orang yang benar. Kaab bin Malik berserta 2 orang rakannya boleh berbohong untuk mengelakkan diri di hokum oleh Rasulullah SAW seperti mana pembohongan yang dilakukan oleh orang-orang munafik. Tetapi mereka memilih untuk bercakap benar dengan rasuulullah SAW. Dengan bercakap benar, mengaku kesalahan dan menyesal di atas apa yang telah berlaku akhirnya Allah SWT menerima taubat mereka sekaligus menunjukkan keimanan mereka yang sejati.

            Kata Kaab bin Malik,

            “Syukur aku kepada Allah, aku tidak berdusta dengan Nabi SAW”.

Wallahualam.