Sunday, December 9, 2012

Apabila pemimpin bertopengkan agama


 

 Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;  

يُوْشَكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكْلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا. فَقَالَ قَائِلٌ : وَمِنْ قِلَّةِ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ ؟ قَالَ صَلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ بَلْ أنتم يومئذ كثير ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَسَيَنْزِعَنَّ اللهُ من صدوررِ عَدُوِّكُمُ المهابةَ منكم وَلْيَقْذِفَنَّ فِى قُلُوبكم الوَهْنَ . قال قائل : يا رسول الله وما الوهنُ ؟ قال حب الدنيا وكراهِيَةُ الموتِ

Maksudnya : "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak mengerumuni makanan dalam talam hidangan mereka". Maka seorang sahabat bertanya "Apakah kerana jumlah kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw menjawab, "Bahkan, pada hari itu jumlah kamu ramai sekali, tetapi kamu umpama lautan buih dibawa arus air. Allah SWT akan mencabut perasaan gerun dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah SWT akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Nabi Muhammad saw kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".  (HR Abu Daud)  

Keterangan 

            Dalam hadis ini Nabi saw menjelaskan di akhir zaman umat Islam akan dilanyak, ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh oleh orang-orang kafir. Menurut perangkaan  Jewish Agency, jumlah orang Yahudi yang terdapat dalam dunia hari ini ialah  seramai 13.2 juta. Manakala jumlah umat Islam menurut Wikipedia pula ialah seramai 1.84 billion. Berdasarkan angka tersebut nisbah orang yahudi dan orang Islam ialah 1 Yahudi : 1400 orang Islam.  Walaupun jumlah orang Islam ramai, tetapi itu tidak menggerunkan hati hati musuh untuk bersatu dan melumpuhkan kekuatan umat Islam.

            Kenapa hal ini berlaku ? Seperti yang djelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadith tadi, ada dua sebab kenapa umat Islam menjadi lemah bagikan buih yang dibawa arus air. Pertama kerana cintakan dunia dan yang kedua ialah kerana sifat bencikan mati. 

            Umat Islam hari ini terlalu cintakan dunia sehingga ada dikalangan mereka terlibat dengan gejala rasuah, pecah amanah, khianat, menipu, skim cepat kaya, sibuk bekerja sehingga tidak ingat kepada tuntutan agama dan asyik dengan kemewahan yang dimiliki. 

            Ini disebut oleh Rasulullah saw dalam hadisnya, 

إِقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَلَا يَزْدَادُ النَّاسُ عَلَى الدُّنْيَا إِلَّا حِرْصًا وَلَا يَزْدَادُوْنَ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا
          
 Maksudnya : Jika hari Qiamat hampir terjadi, tidak bertambah manusia melainkan loba (rakus akan harta benda) dan mereka tidak bertambah dekat dengan Allah kecuali bertambah jauh daripada ajaran agamanya. ( HR Thabrani) 

            Selain itu, oleh kerana terlalu cintakan dunia membawa kepada kelekaan yang berterusan. Umat Islam leka dengan produk-produk yang dihidangkan oleh orang-orang kafir seperti facebook, twitter, youtube dan pelbagai lagi. Babak-babak yang tidak sepatutnya ditonton sudah menjadi semakin lumrah dan video lucah pula dapat dibeli oleh sesiapa saja. 

      Kuliah-kuliah ilmu kurang dihadiri, ulama-ulama yang berwibawa semakin berkurangan, manakala ulama-ulama yang sedia ada disekat untuk menyampaikan kebenaran. Ini membawa kepada kejahilan terhadap masyarakat serta kejelikan akhlak. 

            Institusi kekeluargaan pula longgar, anak-anak terbiar, adik beradik bergaduh sesama sendiri dan jiran-jiran tidak bermuafakat. Manakala pendedahan aurat, judi, zina, minuman arak, pelacuran dan pelbagai lagi kemungkaran dilakukan terang-terangan. Sabda Rasulullah saw, 

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَرْفَعَ الْعِلْمَ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ وَيَشْرَبَ الْخَمْرُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا وَتَكْثُرَ النِّسَاءَ وَيَقِلَّ الرِّجَالَ حَتَّى يَكُوْنَ الْخَمْسِيْنَ امْرَأَةً الْقَيِّمُ الْوَاحِدُ
             
Maksudnya : Di antara sebahagian tanda-tanda dekatnya hari Qiamat adalah hilangnya kemanfaatan ilmu, makin ketara kebodohan, diminumnya khamar, meluasnya penzinaan secara terang-terangan, banyaknya wanita dan sedikitnya lelaki sehingga (nisbah) lima puluh wanita satu lelaki. (HR Bukhari) 

            Hal ini bertambah parah apabila umat Islam dipimpin oleh manusia yang bertopengkan Islam tanpa ada usaha untuk mendaulatkan syariat Allah SWT. Pemimpin-pemimpin ini menyeru rakyat bersatu padu, tetapi laungan itu hanyalah sekadar ntuk kepentingan peribadi mereka sahaja. Hakikat yang sebenar mereka  mengajak rakyat supaya bersatu menyokong mereka untuk terus kekal menjadi pemimpin. 

              Justeru segala rasuah dan wayang politik, kata-kata agama dimainkan agar rakyat terpesona lalu terus mengekalkan mereka sebagai penguasa dan pemerintah. Mereka mengajak rakyat supaya memajukan negara dan bangsa, namun hakikatnya mereka hanya memajukan diri sendiri dan keluarganya terlebih dahulu.  

            Rasulullah saw mengingatkan,  

يَخْرُجُ فِى أَخِرِ الزَّمَانِ رِجَالٌ يَخْتَلَوْنَ الدُّنْيَا بِالدِّيْنِ يَلْبَسُوْنَ لِلنَّاسِ جُلُوْدَ الضَّأْنِ مِنَ اللَّيْنِ أَلْسِنَتُهُمْ أَحْلَى مِنَ السُّكَّرِ وَقُلُوْبُهُمْ قُلُوْبُ الِّذئَابِ

Maksudnya : Akan tiba di Akhir zaman manusia-manusia yang melakukan tipu daya dunia dengan memakai topeng agama. Mereka menyuruh manusia memakai pakaian yang dibuat dari bulu domba yang halus, lidah mereka lebih manis daripada gula, sedang hati mereka laksana hati serigala. ( HR Tirmidzi) 

            Rasulullah saw melarang umatnya supaya membantu atau menyokong pemimpin seperti ini. Sabda baginda saw,
سَتَكُوْنُ مِنْ بَعْدِىْ أُمَرَاءُ يَكْذِبُوْنَ وَيَظْلِمُوْنَ فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِيْهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّى وَلَسْتُ مِنْهُ وَلَمْ يَزِدْ عَلَى الْحَوْضِ

Maksudnya : Akan tiba di akhir zaman setelah aku tiada, beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat zalim. Maka  barangsiapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu tindakan mereka yang zalim itu, maka ia buka termasuk umatku dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai ke telaga (yang ada di syurga). (HR Tirmidzi, Nasaei dan Hakim) 

            Tentera- tentera yang sepatutnya mempertahankan rakyat dan negara daripada musuh bertindak kejam membunuh rakyat sesuka hati kerana patuh kepada arahan pemimpin yang tamakkan kuasa. Hal ini juga disebut oleh Rasulullah saw, 

سَيَكُوْنُ فِى أَخِرِ الزَّمَانِ شُرْطَةٌ يَغْدُوْنَ فِى غَضَبِ اللهِ وَيَرُوْحُوْنَ فِى سُخْطِ اللهِ
 فَإِيَّاكَ أَنْ تَكُوْنَ مِنْ بَطَانَتِهِمْ

Maksudnya : Kelak pada akhir zaman akan ada angkatan tentera berpagi-pagi dalam kemurkaan Allah, dan waktu petang juga dalam kemurkaan Allah. Oleh itu berwaspadalah kamu semua, jangan sampai kamu dijadikan perisai buat mereka. (HR Thabrani)   

           Berbeza dengan umat Islam terdahulu yang sangat cintakan akhirat. Bermula dengan pemimpin mereka yang hidup dengan kesedrhanaan. Ambil contoh sifat Rasulullah saw sebagai pemimpin agung seperti yang diceritakan oleh Saidina Omar, 

            "Aku pernah minta izin untuk bertemu Rasulullah saw. Aku mendapati baginda sedang berbaring di atas tikar yang sangat kasar. Sebahagian tubuh baginda berada di atas tanah. Baginda hanya berbantalkan pelepah kurma yang keras. Aku ucapkan salam lantas duduk di sisinya. Aku menangis di depannya. Melihat tangisanku maka Rasulullah saw bertanya,  "Mengapakah engkau menangis, wahai Umar bin al- Khattab?" Jawabku, "Bagaimana aku tidak menangis. Tikar ini telah menimbulkan bekas pada tubuhmu. Engkau ini Nabi Allah, kekasihNya. Ini sahaja kekayaan yang ada padamu seperti yang aku lihat ini. . Padahal di sana, Kisra dan Kaisar duduk di atas katil emas, berbantalkan sutera." Nabi saw menjawab, , "Mereka telah menyegerakan kesenangannya sekarang; kesenangan itu akan segera berakhir. Kita adalah kaum yang menangguhkan kesenangan kita untuk hari akhirat. Perumpamaanku dengan dunia seperti seorang yang bermusafir pada musim panas. Ia berteduh sejenak di bawah sebatang pokok, kemudian berangkat dan meninggalkannya." (Hayat al-Sahabah ).

             Demikian juga Saidina Omar bin al-Khattab ketika menjadi khalifah, beliau pernah berusaha meminjam duit dari Baitul Mal untuk  membeli baju anaknya. Ketika sampai di pejabat Baitul Mal, pegawai bendahara yang menjaga Baitul Mal tidak ada, lalu Khalifah Umar bin al-Khattab meninggalkan sepucuk surat kepada pegawai ini,

            "Kepada pegawai perbendaharaan Baitulmal yang terhormat, saya memohon pinjaman sebanyak empat dirham. Insya-Allah pada awal bulan depan, setelah pembahagian gaji dari Baitulmal, saya akan segera melunasinya."

            Apabila pegawai Bendahara membaca surat Umar, lalu dia membalas, 

          Kepada Amir al-Mukminin Umar bin Khattab,"Telah saya baca surat tuan tentang permohonan pinjaman dari wang Baitulmal. Aku sekadar ingin bertanya, apakah Tuan berani mengatakan bahawa diri Tuan pasti tetap hidup sampai akhir bulan ini sehingga aku dapat menuntut hutang dari Tuan? Seandainya ajal menjemput Tuan sebelum bulan ini berakhir, apakah Tuan mampu bertanggungjawab di hadapan Allah? Wasalam."      
   
            Khalifah Umar bin Abdul Aziz salah seorang pemerintah di zaman Bani Umaiyah, semasa menjadi Gabenor Madinah dan ketika menjawat jawatan Khalifah, hartanya adalah sama, sedikit pun tidak bertambah. Kehidupannya sama seperti rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. 

            Tentera Islam dahulu begitu kuat, bukan sahaja kuat dari sudut persenjataan namun kuat rohani dan jiwa. Salahuddin Al-Ayubi seorang panglima tentera yang mengetuai tentera muslimin dalam peperangan Salib, Beliau hanya memilih tenteranya yang kuat mengerjakan Qiamullail untuk ke medan perang kerana dia tahu hanya mereka yang kuat ‘untuk bangun malam mengerjakan tahajud’  sahaja yang memiliki kekuatan untuk bertempur dengan musuh di medan perang. Hasilnya, tentera Islam menang dalam setiap peperangan dengan tentera musuh. 

            Penyakit kedua yang dihadapi oleh umat Islam akhir zaman ialah takutkan kematian. Takut mati di sini maksudnya leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dalam memperjuangkan agarna Allah SWT.  Mereka takut mati kerana memikirkan dosa yang mereka lakukan terlalu banyak, sebaliknya amalan pahala pula kurang. 

            Berbanding umat Islam generasi pertama dahulu yang cintakan mati kerana dapat bertemu dengan Allah SWT dengan segera.  Justeru bila ada panggilan jihad, mereka bergabung tenaga memerangi musuh Islam tanpa rasa gentar kepada kematian.  

Wallahualam.
             

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.