Saturday, January 5, 2013

Siapakah Luqman ?


Tafsir al-Quran
Surah Luqman : 12-15

“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman  hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepada-Nya) : “Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepadamu), Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal bagi Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (12) Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya : Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu satu kezaliman yang besar (13) Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya : ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya), dan tempoh menceraikan susu  nya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu ; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (14). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku dengan apa yang engkau tidak ketahui maka janganlah engkau turuti dan pergauliah keduanya di dunia ini secara baik dan turutlah jalan orang yang yang telah kembali kepada-Ku dan Aku akan beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan” (15)

Siapakah Luqman

            Para mufassirin berbeza pendapat dalam menjelaskan siapakah Luqman, adakah dia seorang Nabi atau hanya seorang hamba Allah biasa bukan betaraf Nabi. Ibnu Abbas berpendapat, Luqman ialah seorang hamba Habsyi yang bekerja sebagai tukang kayu kepada tuannya. Dia diberi hikmah dan kebijaksanaan tetapi tidak bertaraf Nabi. Inilah pendapat yang paling kuat.

            Allah SWT mengemukakan seorang manusia yang bernama Luqman untuk menunjukkan bahawa orang yang paling mulia di sisi-Nya ialah orang yang paling bertaqwa kepada-Nya. Sungguh pun Luqman hanyalah seorang hamba abdi yang bekerja sebagai tukang kayu, tetapi disebabkan ketaatannya kepada Allah, kuat mengabdikan diri kepada Tuhan serta bertaqwa kepada-Nya maka dia diberi kemuliaan sehingga namanya di sebut dalam al-Quran.

Huraian ayat

            Firman Allah SWT pada ayat 12,

            “ Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman  hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepada-Nya) : “Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepadamu), Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal bagi Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji ”(12)

            Dalam ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah memberi kebijaksanaan kepada Luqman, justeru Dia meminta supaya Luqman bersyukur kepada-Nya. Pengajaran kepada kita ialah kebijaksanaan merupakan salah satu nikmat daripada Allah SWT. Orang yang bijaksana dan cerdik tidak boleh merasa bongkak dan sombong dengan apa yang dimiliki kerana ia adalah anugerah Allah SWT. Sebaliknya hendaklah banyak bersyukur dan kebaikan daripada sifat syukur itu akan kembali kepada dirinya.

            Sebaliknya bagi mereka yang kufur, maka ia sama sekali tidak memudaratkan Allah SWT, kerana Dia adalah Tuhan yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

            Firman Allah SWT pada ayat 13,

            “ Dan (ingatlah) tatkal Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya : Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), …sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu satu kezaliman yang besar”. (13)
                                                 
            Ayat ini memberi pengajaran kepada kita bahawa seorang bapa yang baik dan bijaksana ialah mereka yang sentiasa memberi nasihat kepada anaknya. Dan nasihat yang paling utama ialah seperti mana yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya iaiatu jangan mensyirikkan Allah SWT. Oleh itu asas pendidikan yang paling utama kepada anak-anak ialah Tauhid.

            Di hujung ayat ini,

            “…. sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu satu kezaliman yang besar”. (13)

            Allah SWT menegaskan perbuatan syirik adalah satu kezaliman yang sangat besar.  Dosa syirik tidak sama seperti dosa-dosa besar yang lain kerana dosa ini tidak diampunkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Hal dijelaskan dalam surah an-Nisaa’ ayat 48,

            Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan akan mengampunkan dosa lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

            Mereka yang syirik kepada Allah SWT sekiranya tidak bertaubat kepada-Nya sebelum mati, maka akan dihumban ke dalam neraka dan kekal selama-lamanya. Sabda Rasulullah SAW,

            “Barangsiapa yang mati dalam keadaan melakukan syirik kepada Allah, masuklah dia ke dalam neraka” ( HR Bukhari dan Muslim)

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 14,

            Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya :…

            Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan supaya manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya. Maksud berbuat baik ialah mentaati, menghormati, memulia serta menunaikan hak ke atas kedua-duanya seperti memberi makan dan pakaian apabila diperlukan, datang apabila dipanggil, berbicara denga lemah lembut, mendoakan kesejahteraan buat mereka, menjaga mereka ketika sakit dan bersedekah atas nama keduanya.

            Islam mencela perbuatan derhaka. Dalam sebuah hadis,

            Telah datang seorang lelaki dari Qudhaah berjumpa Nabi SAW lalu bertanya, “Apa pandangan engkau jika aku bernaik saksi bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan sesungguhnya engkau pesuruh Allah, dan aku solat lima waktu dan aku berpuasa di bulan Ramadhan, dan aku bangun malam dan aku mengeluarkan zakat maka bagaimanakah kedudukan aku ?”. Maka Nabi SAW menjawab, “Barangsiapa mati dalam melakukan perkara yang demikian maka sesungguhnya dia akan bersama para Nabi dan para Siddiqin, dan para Syuhadak di hari Qiamat nanti seperti ini (Nabi SAW menunjukkan dua jarinya) selagi mana dia tidak derhaka kepada kedua ibu bapanya”.

            Mana-mana anak derhaka yang tidak sempat memohon maaf daripada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia, maka hendaklah dia melaksanakan tiga perkara iaiatu,

1.      Hendaklah anak itu menjadi anak yang soleh
2.      Hendaklah anak itu menyambung silaturrahim kaum kerabat serta memuliakan sahabat handai kedua ibu bapanya.
3.      Hendaklah anak itu berdoa memohon ampun serta bersedekah atas nama kedua ibu bapanya. 

            Firman Allah SWT seterusnya,

            “…ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;..

            Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan jasa besar seorang ibu yang mengandung, melahir dan menyusukan anak. Mengapa Allah SWT hanya menyebut jasa ibu ?

            Tujuan Allah SWT menyebut jasa ibu sahaja kerana jasanya yang mengandung, melahir dan menyusukan anak tidak dapat di lihat dan dirasai oleh anak-anak itu sendiri. Kanak-kanak tidak boleh berfikir lagi kerana mereka masih di alam rahim, kemudian lahir sehinggalah berusia dua tahun. Berbeza dengan jasa bapa yang boleh dilihat oleh anak kerana ketika itu mereka sudah dewasa dan boleh berfikir.

            Sabda Rasulullah SAW,

            “ Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa telah datang seorang lelaki kepada rasulullah SAW lalu bertanya ; Siapakah yang lebih utama untuk aku berbuat baik ? Rasulullah SAW menjawab ; ibumu, kemuadian siapa ? Ibumu, kemudian siapa ? Ibumu, kemudian siapa ? Ibumu, kemudian siapa ? Ayahmu.

            Jika dilihat pula dalam surah al-Ahqaf ayat 15,

            Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ; ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungkannya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan …”(15)

            Berdasarkan surah Luqman ayat 14, Allah SWT menyatakan tempoh maksimum seorang bayi menyusu ialah dua tahun atau 24 bulan. Manakala dalam surah al-Ahqaf ayat 15 Allah SWT menyatakan tempoh mengandung, melahir dan menceraikan susu ialah tiga puluh bulan. Ini menunjukkan bahawa tempoh minimum seorang bayi boleh lahir ke dunia ialah 6 bulan selepas ibunya mengandung.

            Firman Allah SWT di hujung ayat 14,

            “….(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu ; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (14).

            Setelah Allah SWT menceritakan tentang susah payah ibu yang mengandung, melahir dan menyusukan, lalu Allah SWT memerintahkan supaya bersyukur kepada-Nya yang telah mengurniakan kedua ibu bapa sebagai nikmat yang berharga.  Kemudian Allah SWT mengakhiri ayat ini dengan mengingatkan sekiranya perintah-Nya diingkari, maka Dia pasti akan akan memberi balasannya di akhirat nanti. 

            Firman Allah SWT pada ayat 15,

            “ Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku dengan apa yang engkau tidak ketahui maka janganlah engkau turuti ….

            Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan sekiranya ibu bapa itu mendesak anak-anak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pekerjaan yang jahil maka janganlah anak itu mentaatinya. Sabda Rasulullah SAW,

            “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara yang me nderhakai Allah SWT”.

            Menurut riwayat ayat ini turun kerana Saad bin Abi Waqqas yang didesak oleh ibunya agar meninggalkan ajaran Islam. Ibunya mogok untuk berlapar dan dahaga sehingga tiga hari lamanya. Kata Saad, “Wahai ibu, walaupun ibu mempunyai 100 nyawa lalu nyawa itu lepas dari tubuh itu satu demi satu, demi Allah aku tidak akan meninggalkan agamaku ini. Kalau ibu suka makanlah, jika tidak tersukanlah berlapar”. Mendengar jawapan Saad, akhirnya ibunya menamatkan mogok lapar.

            Firman Allah SWT seterusnya,

            “…dan pergauliah keduanya di dunia ini secara baik…”

            Walaupun ibu bapa itu berlainan agama atau melakukan kemungkaran serta maksiat, namun anak wajib bergaul dengan mereka secara baik tanpa memutuskan silaturrahim.

            Firman Allah SWT lagi,

            “….dan turutlah jalan orang yang yang telah kembali kepada-Ku dan Aku akan beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan” (15)

            Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan agar mengikut contoh jalan orang-orang mukmin terdahulu yang telah kembali kepada-Nya supaya supaya beroleh keselamat di akhirat. Ayat ini di akhiri dengan satu peringatan bahawa manusia datang daripada Allah SWT dan akan kembali kepada-Nya.  Di dunia, apa sahaja yang dilakukan oleh manusia, sedikit pun tidak terlepas daripada pengetahuan Allah SWT. Pasti di akhirat semuanya itu akan dibentangkan semula satu persatu.

Wallahualam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.