Wednesday, April 24, 2013

Sekitar Iddah kematian suami, ihdad dan peminangan


 


Tafsir Al-Quran
Surah al-Baqarah : 234 – 235
Firman Allah SWT,

Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.(234)Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.(235) Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan(236)Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.(237)

Huraian ayat

          Firman Allah SWT pada permulaan ayat 234,

           “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”
          Kalau dilihat latar belakang masyarakat jahiliah, seseorang isteri yang kematian suami dikehendaki berkabung selama setahun genap dengan pantang larang iaitu tidak boleh memamaki perhiasan, wangi-wangian dan tidak muncul secara terang-terangan dalam masyarakat.
          Berbeza selepas kedatangan Islam, berdasarkan ayat ini Allah SWT menerangkan hukum berkabung serta tempoh iddah ke atas wanita yang kematian suami, iaitu 4 bulan 10 hari. Dalam sebuah hadis, 
لَا يَحِلُّ لِإمرَأَةٍ تؤمنُ بالله واليوم الأخرِ أن تَحِدَّ على مَيْتٍ فوق ثلاثٍ إلا على زوجها أربعةَ أشهُرٍ وَعَشْراً

Maksudnya : Tidak halal bagi mana-mana perempuan yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang lebih daripada tiga hari melainkan berkabung di atas kematian suami selama 4 bulan 10 hari.
          Dalam tempoh tersebut adalah wajib bagi wanita itu meninggalkan segala perkara yang menghias diri seperti memakai harum-haruman, bercelak, memakai kalung, gelang, cincin, memakai sutera atau pakaian yang bersulam dengan sutera serta pakaian yang berwarna warni. Pakaian yang dibenarkan ialah pakaian yang tidak mendatangkan kecantikan seperti warna hitam, biru dan putih sama ada yang dibuat daripada kapas atau pun bulu.     Dalam tempoh ini juga mereka dilarang berkahwin, keluar dari rumah melainkan keuzuran syarei serta berpindah dari rumah yang diduduki bersama dengan arwah suaminya. 
 Mengapa 4 bulan 10 hari ?
          Hikmah Allah SWT membataskan masa iddah selama 4 bulan 10 hari kerana kandungan seseorang wanita telah mula bergerak bila sudah mencapai masa tersebut, atau dengan lebih jelas kandungan perempuan itu telah ditiupkan roh sebagaimana yang dijelaskan oleh sebuah hadis Nabi SAW yang maksudnya, 
إِنْ أَحَدُكُم يَجْمَعُ خَلْقَهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أربعين يوما نطفةً ثم يكون علقةً مثلَ ذلك ثم يكون مضغةً مثلَ ذلك ثم يُرْسَلُ إليهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فيهِ الرُّوْحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كلماتٍ : بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِىٌّ أَوْسَعِيْدٌ
      
Maksudnya : Sesungguhnya tiap-tiap seorang daripada kamu dipertemukan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitis air mani, kemudian menjadi segumpal darah yang beku selama itu pula, kemudian menjadi seketul daging selama itu juga, kemudian diutuskan malaikat kepadanya dan ditiupkan roh ke dalam jasadnya. Malaikat itu disuruh menuliskan 4 perkara iaitu : Rezekinya, ajalnya, amalannya dan nasibnya yang bahagia atau celaka. 
          Difahamkan daripada hadis ini bahawa perkembangan janin (bayi dalam kandungan) sejak dijadikan sehingga sempurna bentuknya mengambil masa 120 hari atau 4 bulan. 10 hari selebihnya ialah masa meniupkan ruh ke dalam jasad janin tersebut. Ini menjadi batasan iddah bagi seseorang wanita yang kematian suami sama ada dia mengandung atau tidak. Jika mengandung tempoh iddahnya ialah sehingga dia melahirkan anak tersebut. walaupun dia melahirkan hanya seketika selepas kematian suaminya.
          Firman Allah SWT,

          “…Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan”.(234)
          Maksudnya apabila sudah tamat tempoh iddah mereka, maka tiada menjadi kesalahan pada wali bagi wanita-wanita untuk membenarkan mereka berkahwin, menerima lamaran, menntukan mas kahwin, berhias dan keluar daripada rumah selagi mana dilakukan secara makruf mengikut garis oanduan syarak. 
          Firman Allah SWT pada awal ayat 235,   
           Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka)…”
          Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan jika mana-mana pihak yang ingin meminang wanita yang kematian suami dalam tempoh iddah, adalah HARUS sekiranya dilakukan secara sindiran atau kiasan. Demikian juga hukumnya harus seorang lelaki menyimpan hasrat di dalam hatinya untuk menikahi mereka tetapi tidak dilakukan secara kiasan, cuma melalui perbuatan seperti menziarahi wanita tersebut atau memberi hadiah kepadanya. Yang tidak dibenarkan, yakni HARAM jika peminangan ke atas wanita yang masih dalam iddah kematian suami itu jika dilakukan secara terang-terangan. 
          Firman Allah SWT lagi, 
          “…Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan….”
          Berdasarkan ayat ini menyimpan sesuatu hasrat dalam hati untuk menikahi wanita yang kematian suami untuk dijadikan isteri tidaklah menjadi satu kesalahan kerana Allah SWT Maha Mengetahui sifat semulajadi manusia. Tetapi yang dilarang ialah membuat janji sulit untuk berkahwin kerana tindakan itu boleh mendatangkan fitnah dan buah mulut orang ramai. 
          Kecuali jika dilakukan secara baik dengan menggunakan bahasa yang patut (sindiran) serta memberitau walinya dan mengemukakan peminangan itu setelah selesai iddahnya. 
          Firman Allah SWT, 
          “…Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”.(235)

          Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan lagi tentang pengharaman nikah ke atas wanita yang kematian suami sebelum habis iddah. Menurut jumhur ulama pernikahan seorang lelaki ke atas wanita yang masih dalam iddah kematian suami adalah tidak sah dan terbatal. Mereka hanya boleh dinikah setelah iddah wanita itu tamat. Namun menurut Imam Malik dan al-Sya’bi kedua-duanya tidak dibenarkan berkahwin untuk selama-lamanya selepas dipisahkan walaupun iddah wanita itu sudah habis. 
          Seterusnya Allah SWT memberi amaran bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Mengetahui siapa yang melanggar peraturan-Nya. Di akhir ayat Allah SWT menjelaskan bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyabar, maksudnya siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang derhaka, Dia tidak menyegerakan siksaan, sebaliknya memberi peluang untuk mereka semua bertaubat kepada-Nya.
          Firman Allah SWT pada ayat 236, 
          “ Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”(236)
          Dalam ayat ini Allah SWT tidak melarang seseorang itu menceraikan isterinya yang belum disentuh (disetubuhi), demikian juga isteri yang belum ditetapkan mas kahwinnya (mas kahwin tidak ditetapkan dalam akad nikah). Tidak dilarang menceraikan dilihat dari sudut kebaikan kerana jika ditahan isterinya itu dibimbangi akan mendatangkan penganiyaan di kemudian hari. 
          Namun si suami hendaklah memberikan mut’ah iaitu pemberian sagu hati yang wajib untuk meyukakan hati perempuan tersebut. Dan mut’ah yang diberi hendaklah diukur mengikut kedudukan lelaki, iaitu jika dia seorang yang kaya maka berilah cara pemberian orang kaya dan jika dia seorang miskin maka berilah mengikut kadar kemampuannya. 
          Firman Allah pada ayat 237,
          “Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan”.(237)

          Dalam ayat ini Allah SWT menetapkan, jika seseorang lelaki menceraikan isterinya sebelum menyentuhnya dan dia telah pun menetapkan maskahwinnya maka wajiblah dia memberi satu perdua daripada mahar itu kepada isterinya. Melainkan jika si isteri memaafkan  iaitu membiarkan maskahwin yang telah menjadi hak miliknya dikembalikan semua kepada suaminya.

          Atau sisuami memaafkan isteri dengan memberikan maskahwin itu sepenuhnya  kepada isteri yang diceraikan. Dan Allah SWT menyebut hendaklah masing-masing saling maaf memaafkan, hala-halal menghalalkan dan redha meredhai antara satu sama lain kera perbuatan itu lebih hampir kepada taqwa. Di akhir ayat Allah SWT Maha Melihat tentang kemaafan yang di berikan sesama mereka,  kerana tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah SWT.

          Manakala wanita yang diceraikan yang telah disetubuhi dan belum ditetapkan maskahwin, dia berhak mendapat maskahwin setanding dengan wanita yang sudah berkahwin dalam keluarganya. Adapun wanita yang diceraikan yang telah disetubuhi dan telah ditetapkan maskahwin, bekas suami tidak boleh menuntut apa-apa dari maskahwin tersebut dan iddahnya ialah tiga quru’.

Wallahualam.

Rujukan,

Tafsir Ahmad Sonhadji
Tafsir Al-Munir  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.