Tuesday, January 13, 2015

Sejarah Kaabah





            Apabila disebut tentang Mekah, maka akan tergambar kepada umat Islam Kaabah yang menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat sebagai qiblat setiap hari. Justeru adalah wajar sebagai umat Islam, kita mengetahui serba sedikit tentang sejarah Mekah, Kaabah dan kelebihannya kerana kedua-dunya sangat rapat dan tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan seharian.   

            Menurut Ibn Abbas, orang yang pertama sekali membina Kaabah ialah Nabi Adam a.s. Baginda kemudian solat serta tawaf dan juga menunaikan Haji. Kemudian Kaabah yang dibina oleh Nabi Adam itu musnah akibat ribut taufan, serta banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s. Sehinggalah Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim membina kembali Kaabah yang telah rosak itu.

            Dalil yang menujukkan Kaabah telah pun ada sebelum Nabi Ibrahim ialah surah Ibrahim ayat 37,

             “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian daripada keturunanku di lembah yang kering kontang di dekat Rumah-Mu yang suci, Wahai Tuhan kami supaya mereka tetap mendirikan solat, Jadikanlah sebahagian manusia tertarik kepada mereka, Rezekikanlah mereka daripada buah-buahan semoga mereka bersyukur”

            Para ulama Islam berpendapat bahawa Kaabah adalah terletak berbetulan dengan Baitul Makmur. Sekiranya ditakdirkan Baitul Makmur itu gugur, ia gugur tepat di atas Baitullah.

             Ketika Nabi Ibrahim membina kembali Kaabah, baginda dibantu oleh anaknya Ismail a.s  yang ketika itu sudah pun berusia dua puluh tahun, manakala ibunya Hajar telah pun wafat. Sewaktu melakukan kerja ini, mereka tidak putus-putus berdoa seperti yang disebut dalam Al-Quran,
                         
            "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (Al-Baqarah ayat 127).

            Apabila bangunan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim itu semakin tinggi, sehingga baginda tidak  mampu lagi meletakkan batu-batu untuk untuk menaikkan dindingnya, justeru baginda berdiri di atas seketul batu. Menurut pendapat yang sahih, batu itulah yang disebut sebagai Maqam Ibrahim dan ia di jadikan tempat solat seperti yang dinaskan dalam al-Quran,

             “Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim tempat solat” (Al-Baqarah ayat 125)

            Setelah Nabi Ibrahim selesai membina Kaabah, baginda telah tawaf sebanyak tujuh pusingan. Kemudian turunlah perintah Allah SWT kepadanya menyeru umat manusia mengerjakan Haji sebagaimana yang disebut dalam surah al-Haj ayat 27,

             “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”. 

            Bila turun  saja perintah ini, Nabi Ibrahim a.s bertanya, 

            “Wahai Tuhanku, bagaimanakah aku dapat menyeru mereka untuk datang ke sini, sedangkan suaraku tidak mampu didengari oleh mereka semua …? 

            Maka Allah SWT menjawab, 

            “Wahai Ibrahim,  Engkau hanyalah menyeru,  manakala Akulah yang akan menyampaikan suaramu kepada mereka”

            Kemudian Nabi Ibrahim a.s naik di atas bukit Jabal Qubais,  lalu baginda pun menyeru ke kanan dan ke kiri seperti orang yang melaungkan azan , 

            “ Ya ibadallah(hamba Allah)! Sesungguhnya tuhan kamu telah membina Baitullah dan menyuruh kamu mengerjakan haji, maka datanglah kamu untuk mengerjakan haji.” 

            Maka Allah SWT menyampaikan  seruan Nabi Ibrahim itu kepada semua manusia termasuk kepada roh-roh yang masih belum dilahirkan. Apabila mendengar seruan ini maka semua manusia dan roh-roh menjawab, 

            Hambamu telah datang menyahut panggilan Mu Wahai Tuhan , Hambamu datang menyahut panggilan Mu  Wahai Tuhan ,Hambamu telah datang menyahut panggilan Mu  Wahai Tuhan ,Tiada sekutu bagiMu, Hambamu datang menyahut panggilan Mu  Wahai Tuhan ,!Sesungguhnya segala puji-pijian dan nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, Tiadalah sekutu bagi-MU.

            Ada riwayat yang mengatakan, kepada roh yang menjawab sekali, maka dia mengerjakan haji sekali. Dan kepada mereka yang menjawab dua kali, maka mereka mengerjakan Haji dua kali dan kepada  mereka yang menjawab lebih daripada  itu, maka mereka mengerjakan Haji mengikut kadar jawabannya”.

            Mengenai kelebihan Kaabah disebut dalam banyak hadis. Di antaranya daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda, 

             “Allah Azzawajalla menurunkan rahmat pada tiap tiap hari dan malam ke atas Baitullah sebanyak serratus dua puluh rahmat iaitu enam puluh rahmat untuk orang yang bertawaf, empat puluh rahmat untuk orang yang solat  dan dua puluh rahmat untuk orang yang melihat”

            Dalam hadis lain,  

النظر إلى الكعبة عبادة ، والنظر إلى وجه الوالدين عبادة ، والنظر في كتاب الله عبادة

Maksudnya : “Memandang kepada Kaabah adalah ibadah, memandang kepada wajah kedua ibu bapa adalah ibadah dan memandang kepada kitab Allah adalah ibadah” (HR Ibn Abi Daud)  

            Sebuah lagi hadis, 

مَنْ طَافَ بِالبَيْتِ خَمْسِينَ مَرَّةً خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

             “Barangsiapa tawaf Baitullah sebanyak lima puluh kali, keluarlah ia dari dosa-dosanya seperti ia baru keluar (lahir) dari perut ibunya” (HR Tirmidzi)

            Oleh itu seseorang yang berada dalam Masjidil Haram hendaklah berniat iktikaf dan seterusnya ke Baitullah untuk melakukan tawaf sunat sebagai Tahyatul bait. Andainya tempat tawaf didapati terlalu ramai orang yang mengerjakan tawaf dalam keadaan berhimpit-himpit, maka ketika itu bolehlah sembahyang sunat Tahyatul Masjid. 

            Zuhair bin Muhammad berkata,

والجالس في المسجد ينظر إلى البيت لا يطوف به ولا يصلي أفضل من المصلي في بيته
لا ينظر إلى البيت
            
  “Orang yang duduk dalam Masjidil Haram sambil melihat kepada Baitullah sedangkan ia tidak mengerjakan tawaf dan sembahyang sunat adalah lebaih baik daripada orang yang sembahyang di rumahnya dengan tidak melihat Baitullah”. 





            

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.