Tuesday, December 22, 2015

Larangan memakan harta secara batil


Firman Allah SWT,
Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya) (Al-Baqarah : 188) 

            Menurut Ibnu Jauzi, sebab turunnya ayat ini kerana ada dua orang sahabat Nabi SAW yang bernama Amru al-Qis dan Abdan al-Hadrami berselisih faham mengenai harta sebidang tanah. Abdan al-Hadrami menunutut kembali tanah miliknya yang diberikan kepada Amru al-Qis secara sementara sedangkan beliau tidak mempunyai bukti.

           Sebaliknya Amru al-Qis mahu bersumpah untuk membuktikan bahawa tanah itu adalah miliknya. Perkara ini kemudian di bawa kepada Rasulullah SAW yang akhirnya membawa kepada penurunan ayat di atas.

            Dalam sebuah hadis, 

مَنْ ظَلَمَ قَيْدَ شِبْرٍ مِنَ الأَرْضِ طَوَّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya : Barangsiapa mengambil tanah orang lain walaupun sejengkal secara zalim, maka kelak akan dikalungkan kepadanya di hari kiamat tujuh lapis tanah. ( HR Bukhari dan Muslim)

            Persoalan bagaimana mereka akan memikul tujuh lapis tanah yang di ambil secara haram di akhirat ? Persoalan ini hendaklah kita serahkan kepada Allah SWT kerana alam akhirat adalah alam  yang diluar jangkauan pemikiran manusia.

            Dalam sebuah lagi hadis,

 مَنْ اقْتَطَعَ حَقَّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ بِيَمِينِهِ فَقَدْ أَوْجَبَ اللَّهُ لَهُ النَّارَ وَحَرَّمَ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ وَإِنْ كَانَ شَيْئًا يَسِيرًا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَإِنْ قَضِيبًا مِنْ أَرَاكٍ

Maksudnya : Barangsiapa yang mengambil hak seseorang muslim dengan sumpahnya, maka sesungguhnya Allah SWT mewajibkan dirinya masuk ke neraka dan mengharamkannya masuk ke syurga. Lalu seorang lelaki bertanya : Walaupun dalam perkara yang kecil ya Rasulullah ? Sabda Nabi SAW, Ya, walaupun hanya sebatang duri. ( HR Muslim)

            Islam tidak melarang sama sekali umatnya mencari harta dan kesenangan hidup. Allah SWT berfirman,

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah,… (Surah al-Jumuah : 10)  

            Dalam ayat ini Allah SWT menyuruh kita bertebaran di muka bumi mencari rezeki yang dikurniakan.  Islam tidak melarang mencari kekayaan, malah terdapat sahabat yang memiliki sejumlah harta yang banyak seperti Saiyidina Uthman  Abdur Rahman bin Auf. Di antara kekayaan Saiyidina Osman bin Affan, beliau  telah membeli perigi dari seorang Yahudi dengan harga 200000 dirham bersamaan dengan harga 2.5 kg emas untuk diwakafkan kepada umum. Dalam peperangan Tabuk, beliau menderma 1000 ekor unta dan 70 ekor kuda serta menambah sumbangan peribadi sebanyak 1000 dirham. 

            Di zaman Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah, Saiyidina Osman pernah   menginfakkan gandum yang diangkut oleh 1000 unta untuk membantu kaum muslimin yang kelaparan akibat musim kemarau. Dan  ketika pemerintahannya sebagai khalifah, beliau telah meluaskan Masjid Nabawi dengan membeli tanah sekitarnya untuk keselesaan umat Islam beribadat.

            Demikian juga sahabat yang bernama Abdul Rahman bin Auf, dalam  perang Tabuk  beliau menginfakkan  4000 dinar bersamaan 1.7 kg emas. Beliau juga pernah membiayai pembelian 30000 buah rumah dan diinfakkan kepada mereka yang tidak mampu memiliki rumah.

            Sambungan dari surah al-Jumuah,
  
            “…serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), .. (Surah al-Jumuah : 10)

            Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita supaya mengingati-Nya banyak banyak dalam apa jua keadaan. Maksudnya, jika dalam urusan pekerjaan, sekiranya terlintas di hati hendak menipu, pecah amanah, khianat, rasuah, curi tulang, buat mc palsu, buat tuntutan palsu maka ingatlah Allah banyak-banyak dengan jalan beristighfar.  

            "...supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”(Surah Al-Jumuah : 10)
 
            Dengan jalan mengingati Allah, mudah mudahan kita akan berjaya mengatasi godaan-godaan tersebut.  

            Seorang sahabat, Sa’ad bi Abi Waqqas r.a pernah memohon kepada Rasulullah dengan katanya, 

            “ Ya Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar aku sentiasa menjadi orang yang dimakbulkan doa. Maka Nabi SAW bersabda : Wahai Sa’ad perbaikilah makananmu ( makan makanan yang halal) , nescaya engkau akan menjadi orang yang selalu dimakbulkan doa. Dan demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, sesungguhnya jika ada seseorang yang memasukkan makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterimaamalnya selama 40 hari, dan seorang hamba yang dagingnya tumbuh dari hasil menipu dan riba, maka api nerakalah yang lebih layak baginya” (HR Tabrani) 

            Setiap daripada kita akan disoal daripada mana harta yang  diperolehi dan ke mana ia di belanjakan. Sabda Rasulullah SAW, 

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ أربع : عن عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَا فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ

Maksudnya : “Tidak akan bergeser kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat nanti sampai ditanya tentang empat perkara: (1) tentang umurnya untuk apa dia gunakan, (2) tentang ilmunya, sejauh mana dia amalkan ilmunya tersebut, (3) tentang hartanya, dari mana harta tersebut didapatkan dan untuk apa harta tersebut dibelanjakan, dan (4) tentang tubuhnya, untuk apa dia gunakan.” (HR at-Tirmidzi)

            Islam mengharuskan umatnya berniaga secara suka sama suka, sebagaimana  firman Allah SWT surah an-Nisa ayat 29,

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.(Surah an-Nisa : 29)

                Namun begitu, Islam memberi ancaman ke atas peniaga yang khianat dalam jualannya. Sabda baginda, 

مَنْ بَاعَ عَيْبًا لَمْ يُبَيِّنْهُ ، لَمْ يَزَلْ فِي مَقْتٍ مِنَ اللَّهِ " . أَوْ قَالَ : " لَمْ تَزَلِ الْمَلائِكَةُ تَلْعَنُهُ

Maksudnya : Barangsiapa menjual barang yang cacat, tanpa menjelaskan kecacatannya, nescaya dia berada dalam kemurkaan Allah dan para malaikat akan sentiasa melaknatnya. (HR Ibnu Majah)

            Islam juga melarang pembelian atas belian orang lain. Sabda Rasulullah SAW,

لَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ

Maksudnya : Janganlah kamu berjual beli atas jual beli setengah yang lain .. (HR Muslim)

            Contoh pertama, A telah menjual barang kepada B, lalu kita menyuruh B membatalkan pembelian itu dari A, kerana kita akan menjual kepada B barang yang sama tetapi dengan harga yang lebih murah dari A.

            Contoh kedua, A telah membeli barang dari B, lalu kita meminta B membatalkan jualan itu kepada A kerana kita akan membeli barang itu dari B dengan harga yang lebih mahal.

            Jual beli seperti ini adalah sah tetapi perbuatannya adalah haram. Kerana ia boleh menimbulkan permusuhan, pergaduhan dan pertelingkahan dalam masyarakat.

            Termasuk juga aktiviti jual beli yang haram ialah membeli barangan keperluan orang ramai dengan banyak dengan tujuan untuk disorok dan disimpan sedangkan pada waktu itu masyarakat amat memerlukan barangan tersebut. Hal ini disebut dalam sebuah hadis,

الحَالِبُ مَرْزُوْقٌ والمُحْتَكِرُ مَلْعُوْنٌ

Maksudnya : “Barangsiapa yang menbawa barang dagangan ke pasar, maka Allah akan luaskan rezekinya, manakala orang yang melakukan sorok atau menyimpan, ia akan dilaknat”.(HR Ibnu Majah) 

            Selain itu ada jualan yang haram dan tidak sah seperti menjual anak binatang yang masih dalam kandungan, menjual buah yang masih di atas pokok, menjual barang  yang masih di laut serta jualan jualan yang mengandungi unsur penipuan dan riba. jual anak binatang yang masih dalam kandungan.

            Kesimpulannya, bekerja dan berniagalah dengan jujur dan amanah, bawalah pulang rezeki yang halal untuk diberi kepada kepada isteri dan anak anak di rumah. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW bahawa hati itu ditempa dari makanan. Jika hati baik, maka akhlak dan perangai juga akan baik, demikianlah sebaliknya.

أَلا وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلا وَهِى الْقَلْبُ

Maksudnya : “ Perhatikanlah ! Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekalian anggota badan. Ketahuilah itulah yang dikatakan hati” (HR Bukhari dan Muslim)

            Dalam sebuah hadis,

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لا يُقبَلَ إِلا طَيِّباً وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ اْلمُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ اْلمُرْسَلِيْنَ فَقَالَ { يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوْا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوْا صَالِحاً إِنِّي بِمَا تَعْمَلُوْنَ عَلِيْمٌ } وَقَالَ { يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكمْ } ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاء يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِاْلحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ ؟

Maksudnya :“Wahai manusia, sesungguhnya Allah ta’ala adalah Maha Baik, tidak menerima kecuali yang baik, dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada para Rasul. Allah ta’ala berfirman : “Hai Rasul-Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang shalih” (Surah al-Mu’minuun : 51). Dan Allah berfirman : “Hai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu” (Surah al-Baqarah : 172). Kemudian Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam menceritakan seorang laki-laki yang melakukan perjalanan jauh, rambutnya kusut dan berdebu lalu menengadahkan kedua tangannya ke langit seraya berkata,”Ya Rabb..ya Rabb…”, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya dari yang haram, dicukupi dari yang haram, maka bagaimana mungkin dikabulkan doanya?” (HR Muslim)

Wallahualam.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.