Tuesday, April 3, 2012

Al-Fatihah : Kami sekeluarga berkabung

Mak, Kak Long dan arwah abang Suman ketika berhari raya di rumah saya 

Tanggal 2 April 2012, jam 10.12 malam, abang Ipar sulong saya telah kembali kerahmatullah.

Mudah-mudahan roh Allahyarham Haji Osman bin Chik atau lebih mesra dipanggil 'Abang Suman' dicucuri rahmat dan  ditempatkan bersama orang-orang soleh. Aminn.

Di kalangan abang-abang Ipar saya, abang Sumanlah yang paling baik dan yang paling pemurah.

Semasa saya masih kecil, kalau dengar sahaja abang Suman dan Kak Long nak balik ke rumah mak, saya, abang Zul dan Ajib akan melompat gembira.

Sebabnya  abang Suman suka memberi duit kepada kami. Dia melayan adik-adik iparnya sama seperti dia melayan anak-anaknya sendiri. Maklumlah usia kami dan anak-anak Kak Long adalah sebaya.

Masa cuti sekolah bulan Disember, oleh kerana keluarga kami orang susah, kami adik beradik akan pergi ke rumah Kak long di Kg Melayu Subang, Selangor.

Alhamdulillah..., merasalah kami tinggal di rumah banglow Kak Long dan juga makan nasi berlaukkan daging.

Abang Suman dan Kak Long pula  bila cuti sekolah, selalu bawa anak-anaknya berjalan-jalan. Kami pun akan menumpang tuah...

Paling tidak lupa apabila Abang Suman dan Kak Long bawa kami jalan-jalan pergi ke Cameron Highland.

Walaupun berhimpit dalam kereta bersama anak-anaknya, Abang Suman dan Kak long tak kisah. Yang pasti mereka akan melayan kami macam anak-anaknya sendiri.

Masih kami ingat, abang Suman pagi-pagi lagi sebelum pergi kerja akan mengaji Quran di rumahnya. Dalam lena tidur kami mendengar suaranya yang sedap dan syahdu.

Dia jugalah yang mengajar saya niat mengambil wuduk.

Bertahun-tahun dulu, abang Suman dan Kak Long  pernah sponsor mak pergi haji bersama mereka ikut pakej yang mahal harganya.

Nak kata lebai bukan lebai, tapi ada ala-ala tabligh. Dengan penampilan berjanggut dan sering berjubah Abang Suman semasa hidupnya pernah dilantik menjadi siak dan amil zakat di Masjid Kg Melayu Subang.

Itulah khidmat bakti beliau kepada masyarakat sebelum berundur dari jawatannya kerana sering sakit dan uzur.

Sekarang semuanya sudah menjadi kenangan. Mak menangis tersesak-esak bila menerima berita kematian abang Suman.

Mujurlah hampir semua anak-anak berada di sisi mak untuk menenangkannya.

Malam ini kami adik beradik bertahlil dan membaca Yasin di rumah mak. Ya Allah berilah ketabahan kepada Kak Long menerima musibah ini.

Abang Suman pergi meninggalkan kami..., meningglkan Kak Long, meninggalkan anak-anaknya yang seramai tujuh orang serta meninggalkan mak mertua yang ditatangnya seperti ibunya sendiri.

Pemergiannya kerahmatullah ketika saat saya dan mak akan berangkat mengerjakan umrah pada 3 hb April 2012.

Insya Allah di sana nanti saya berazam untuk mendrikan solat jenazah ghaib buat arwah abang Suman di depan Kaabah.























No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.