Pengalaman sebagai PIHTAS musim Haji 1434 H (bahagian 1)

 PIHTAS maktab 94, Hotel Hassan Khazindar

Syukur Alhamdulillah, pada tahun ini saya berpeluang bertugas sebagai PIHTAS di tanah suci. Mungkin ada yang bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan PIHTAS ?

PIHTAS adalah ringkasan kepada perkataan Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci. Tugas PIHTAS ialah membantu, membimbing dan memberi kefahaman kepada jemaah Haji segala hukum hakam berkaitan dengan ibadah yang menjadi rukun Islam kelima ini.

PIHTAS dipilih di kalangan PEKTA. Apa pula yang dimaksudkan dengan PEKTA ? PEKTA adalah ringkasan kepada perkataan Pembimbing Ibadah Haji Tanah Air.

Untuk menjadi PEKTA seseorang itu perlu menduduki peperiksaan serta temuduga yang diaturkan oleh pihak Tabung Haji. Jika lulus,  seseorang PEKTA diwajibkan menghadiri beberapa kursus dan Muzakarah Haji peringkat kebangsaan yang diadakan setiap tahun.

Ia adalah syarat sebelum PEKTA diberi kebenaran atau tauliah mengajar kursus Haji di negeri masing-masing.

Syukur, saya telah melepasi syarat tersebut.

Pada kebiasaannya pemilihan PEKTA sebagai PIHTAS dicalonkan oleh pejabat Tabung Haji setiap negeri. Melainkan mereka yang sudah berpengalaman sebagai PIHTAS, kadang-kadang mereka akan ditawarkan secara langsung oleh ibupejabat Tabung Haji Kuala Lumpur.

Pada tahun ini, oleh kerana saya masih belum berpengalaman sebagai PIHTAS, maka Tabung Haji Negeri Sembilan telah mencalonkan saya untuk bertugas di tanah suci.

Pencalonan ini memerlukan saya mengisi borang serta mendapatkan kelulusan daripada majikan. Setelah borang dihantar ke ibu pejabat Tabung Haji Kuala Lumpur, saya dipanggil menduduki peperiksaan dan temuduga di Kompleks Haji Klana Jaya. Sekali lagi saya bersyukur kepada Allah SWT, kerana lulus kedua-dua ujian ini. 

Pada bulan Mac 2013, saya dikehendaki hadir ke Kursus Teras (kumpulan ke dua) selama seminggu di Kompleks Haji Klana Jaya. Saya difahamkan ada 3 kumpulan yang menghadiri kursus ini dan setiap kumpulan berjumlah 300 ke 400 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Tabung Haji, para doktor, penolong pegawai perubatan, jururawat dan juga pegawai kaunseling.

Namun bukan semua yang hadir ke kursus Teras akan dipilih untuk bertugas di tanah suci. 

Semasa kursus ini kami didedahkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran seperti latihan CPR, kaedah mengosongkan bangunan bila berlaku kebakaran di samping perlu berlari beberapa keliling padang  dalam tempoh yang ditetapkan.Satu perkara lagi kami dijelaskan tentang amalan ISO  di Tabung Haji. Di akhir kursus, ada peperiksaan dan sekali lagi saya lulus dalam peperiksaan ini.

Kemudian pada bulan Jun, saya dipanggil untuk menghadiri kursus pengukuhan Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci di Hotel Nilai Spring, Negeri Sembilan selama 3 hari. Kursus ini lebih kepada pengukuhan dan kefahaman tentang tanggung jawab yang perlu dilakukan oleh PIHTAS semasa di tanah suci.

Buat kali ke 2, kami dimaklumkan oleh Tabung Haji, bahawa bukan semua yang menghadiri kursus ini bakal terpilih melaksanakan tanggungjawab di tanah suci. Akan ada lagi tapisan demi tapisan yang dibuat di peringkat akhir. Hati saya berdebar-debar, di kalangan hampir 60 orang peserta yang hadir masih tidak diketahui siapa yang terpilih dan siapa yang bakal digugurkan.Namun, kami telah diminta mengukur saiz baju uniform, t-shirt dan kopiah yang bakal di gunakan semasa bertugas nanti. 

Dalam kursus ini setiap peserta di bahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan di mana mereka akan ditugaskan. Ada kumpulan Maktab (PIHTAS yang bakal bertugas di Mekah), kumpulan Madinah (PIHTAS yang bakal bertugas di Madinah), kumpulan Talian Ibadat atau TAIB (PIHTAS yang bakal bertugas menjawab persoalan jemaah melalui panggilan telefon), kumpulan Hospital (PIHTAS yang bakal menjaga dan memimbing jemaah yang sakit beribadat di hospital) dan kumpulan pakej (iaitu PIHTAS dari syarikat swasta seperti Tabung Haji Travel, Rayhar, Gemilang, Alif dan beberapa lagi agensi yang mendapat lesen dari Tabung Haji).

PIHTAS MADINAH

Saya dimasukkan dalam kumpulan Madinah yang diberi tanggungjawab membimbing jemaah haji untuk program ziarah Masjid Nabawi dan ziarah tempat bersejarah di sekitar Madinah.

Menerima sms dan panggilan telefon

Dua minggu selepas kursus ini, seorang pegawai Tabung Haji di Bahagian Bimbingan telah menghubungi saya agar membuat pemeriksaan kesihatan dan perlu menghantarnya ke ibu pejabat Tabung Haji Kuala Lumpur dengan kadar segera. Arahan ini disusuli dengan email surat tawaran bertugas di Tanah Suci. Saya menerimanya dengan rasa syukur kepada Allah SWT.

Terima kasih tidak terhingga kepada Tabung Haji kerana kerana memberi saya peluang ini. Akhirnya cita cita untuk menyantuni Dhuyufur Rahman termakbul jua !

Saya masih ingat, semasa pemakluman ini dibuat , saya ketika itu berada di bumi Madinah, membimbing jemaah umrah pada bulan Ramadhan anjuran Tabung Haji Travel.

Dua minggu sebelum berangkat iaitu pertengahan bulan Ogos, saya dipanggil untuk taklimat akhir di Hotel Putra Kuala Lumpur. Dalam taklimat ini, saya diberi beg petugas, kain ihram, gelang pengenalan dan beberapa buku panduan petugas.

Hati ketika itu bercampur gembira dan sedih. Gembira kerana ini merupakan kali pertama saya diberi amanah oleh Tabung Haji sebagai PIHTAS  dan sedih kerana terpaksa meninggalkan anak dan isteri selama dua bulan. 

Persiapan Sebelum Berangkat

Setelah diri disahkan akan berangkat ke tanah suci untuk menyantuni Dhuyufur Rahman dan tarikh keberangkatan juga telah di ketahui, maka saya mula membuat persiapan awal. Sebuah beg bagasi saya beli untuk memuatkan beberapa helai pakaian, makanan seperti ikan bilis sambal, serunding, buku buku rujukan Tabung Haji serta beberapa keperluan harian.

 Doa Selamat

Pada 1hb September 2013, saya mengadakan kenduri doa selamat dengan menjemput adik beradik, saudara mara dan jiran jiran terdekat. Oleh kerana bajet yang terhad saya tidak menjemput semua rakan dan kenalan. Seekor kambing ditumbangkan untuk menjamu tetamu sebagai tanda kesyukuran. Alhamdulillah !
















Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu