Wednesday, May 25, 2011

Kenapa Syiah mengkafirkan sahabat ?

Di antara perbezaan utama antara Syiah dan Sunni ialah seperti berikut :

1. Syiah mengkafir / melaknat para sahabat dan isteri Nabi

Ramai berpendapat kumpulan Syiah yang mengkafirkan para sahabat ialah kelompok Syiah di zaman dahulu, sedangkan Syiah yang berpangkalan di Iran sekarang adalah Syiah yang sangat menghormati para sahabat Nabi saw.

Dakwaan ini adalah tidak benar, kerana Syiah yang ada di Iran sekarang (Syiah Imamiyah) sehingga hari ini masih tetap mengkafir dan melaknat para sahabat Nabi saw termasuk isteri-isteri baginda.

Ini dapat dibuktikan melalui karya tokoh-tokoh utama mereka antaranya Ayatollah Ruhullah Khomeini, pengasas revolusi Iran. Dalam kitabnya Kasyful Asrar beliau menulis,

“ Abu Bakar dan Umar telah banyak meyalahi hukum-hukum Allah yang terang. Mereka berdua telah banyak mempermain-mainkan hukum hakam Tuhan, mereka menghalalkan dan mengharamkannya mengikut sesuka hati sendiri. Mereka berdua telah melakukan kezaliman ke atas Saidatina Fatimah dan anak-cucunya”. (Imam Khomeini : Kasyful Asrar, 110)

“Perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh Umar bin Al-Khattab itu adalah bersumberkan kekafiran dan kesesatan yang bertentangan dengan ayat-ayat Allah yang termaktub di dalam Al-Quranul Karim”. (Imam Khomeini : Kasyful Asrar : 116)


Mereka juga berpendapat bahawa hanya tiga orang sahaja yang masih beriman setelah kewafatan Rasullullah saw. Dari Abu Ja’afar a.s katanya,

"Semua manusia adalah riddah (murtad) selepas Nabi saw kecuali tiga orang. Beliau di tanya : Siapakah tiga orang itu ? Beliau menjawab : Al-Miqdad bin Al-Aswad, Abu Zar Al-Ghifari dan Salman Al-Farisi .” (Sheikh At-Tho’ifah : Rajalul Kasyi : 6)

Daripada Ali r.a berkata,

“ Semua orang telah murtad sepeninggalan Rasulullah saw kecuali empat orang sahaja”. (Sulaim bin Qais: As-Saqifah : 92)

Sebab utama mereka mengistiharkan Saidina Abu Bakar, Umar dan Usman r.anhum sebagai kafir kerana mereka dianggap telah merampas jawatan khalifah daripada Saidina Ali kwj. Manakala para sahabat lain yang turut mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, Umar dan Usman juga diwartakan kafir.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut mengeluarkan kata-kata cacian, dan laknat yang diabadikan dalam bentuk doa yang dikenali sebagai ‘Doa Dua Berhala’. Berikut adalah isi kandungan doa tersebut :

“Ya Allah, laknatilah olehmu dua berhala Quraisy dan dua Toghu (Abu Bakar dan Umar), dua pendusta, dua anak perempuannya (‘Aisyah dan Hafshah) yang mana mereka berdua menyalahi perintah engkau, mengingkari wahyu engkau, mengingkari nikmat engkau dan menderhaka terhadap wahyu engkau dan mengubah agama engkau dan menyelewengkan Al-Quran dan menyintai seteru engkau dan mengingkari nikmat batin engkau dan menggagalkan perkara-perkara fardhu engkau dan melanggar ayat-ayat engkau dan memusuhi wali-wali engkau dan melantik musuh engkau dan memerangi negara engkau dan merosakkan hamba-hamab engkau. Ya Allah laknatilah mereka berdua dan pengikut-pengikutmereka dan wali-wali mereka dan penyokong-penyokong mereka, kekasih-kekasih mereka. Maka sesungguhnya mereka telah meruntuhkan institusi kenabian”. ( Al-Syed Manzur Hussain: Tuhfah Al-‘Awwam : 330)

Syiah Imamiyah menganggap doa ini cukup penting untuk diamalkan kerana kononnya ia telah disyariat serta mempunyai pelbagai fadhilat. Antara fadhilat dan kelebihan mereka yang membacanya ialah ,

“Barangsiapa yang membaca doa ini sekali, maka Allah akan menulis baginya 70 000 kebaikan, menghapus 70 000 keburukkan dan mengangkat 70 000 darjat serta memenuhi puluhan ribu keperluan. Dan barangsiapa yang melaknat Abu Bakar dan Umar pada pagi hari, tidak akan ditulis baginya satu keburukkan sehingga petang, dan barangsiapa melaknat keduanya pada petang hari, takkan ditulis baginya satu keburukkan sehingga pagi tiba”. (Dhiya’u Ash Shalihin : 513)

Orang-orang Syiah amat berdendam dengan Saidina Umar bin Al-Khattab sehinggakan mereka merayakan hari pembunuhannya. Manakala pembunuh Saidina Umar, iaitu Abu Lukluah kuburnya sentiasa diziarahi serta diangkat sebagai wira dan digelar dengan gelaran sebagai Baba Syuja’uddin (Pintu keberanian bagi Agama).

Di dalam kitab Zadul Maad karya Mulla Baqir Majlisi ada menyebut tentang kelebihan bergembira pada hari pembunuhan Saidina Umar, sehinggakan Syiah Imamiyah berpendapat penganutnya boleh melakukan apa sahaja pada hari kematian Saidina Omar kerana pada hari itu dosa mereka tidak akan dicatat oleh malaikat.

“ Rasulullah saw bersabda : Bahawa Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat supaya menjadikan hari kematian orang yang zalim itu sebagai hari Syiahku dan keluargaku. Allah menugaskan para malaikat yang mencatat perbuatan hamba-hambaNya supaya berhenti mencatat dosa pada hari itu dan tiga hari berikutnya. Maka untuk itu, untukmu Muhammad dan untuk umatmu, tiga hari dosa tidak ditulis. Hari-hari itu adalah sebagai cuti untuk menghargai pewaris-pewarismu, untukmu dan untuk keluargamu dan pencinta-pencintamu yang bersusah payah supaya berhari raya.”

Selanjutnya di dalam kitab ini juga ditulis,

“ Dan barangsiapa yang memeriahkan hari raya ini, aku bersumpah dengan kehormatan dan kemuliaanku, akan ku beri ganjaran-ganjaran para malaikat yang mengililingi ‘Arasy dan akan ku beri syafaat untuknya dan untuk kaum keluarga terdekatnya... ”

Syiah Imamiyyah amat membenci isteri-isteri Rasulullah saw, khususnya Saidatina Aisyah. Tokoh ulama besar mereka Maulla Baqir Al-Majlisi telah mengadakan satu bab yang khusus dalam kitabnya, Hayatul Qulub bertajuk “Bab yang ke 55 pada menyatakan kecelakaan Aisyah .” Di dalam bab ini berkali-kali pengarangnya mengatakan Aisyah dan Hafshah sebagai munafik dan kafir.

Beliau mengemukakan riwayat yang kononnya muktabar tentang Aisyah dan Hafshahlah yang telah meracuni Nabi sehingga mengakibatkan kewafatan baginda. Al-Aisyyasyi telah meriwayatkan dengan sanad yang muktabr dari Imam Ja’afar Sadiq bahawa Aisyah dan Hafshah telah mensyahidkan Rasulullah dengan meracuni baginda.

Komentar

Ternyata fahaman Syiah yang mengkafir dan melaknat para sahabat serta isteri-isteri Nabi saw khususnya Aisyah, merupakan satu perbuatan yang sangat terkutuk dan tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Terdapat banyak ayat Al-Quran yang memuji para sahabat Nabi saw serta isteri-isteri baginda.. Antaranya ialah firman Allah SWT,

“ Dan orang-orang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut( jejak langkah) mereka dengan kebaikkan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar . ” (Surah At-Taubah : 100)

Al-Quran sangat memuliakan isteri-isteri Rasulullah saw. Firman Allah SWT,

“...Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasulullah dan tidak boleh berkahwin dengan isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah SWT ".(Surah Al-Ahzab : 53)

Dalam sepotong hadis, Nabi saw sangat melarang umatnya daripada mencela para sahabat. Sabda baginda saw,

لا تسبوا أصحابى فلو أن أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا ما بلغ مد أحدهم ولا نصيفة

Maksudnya : Janganlah kamu mencela para sahabatku. Kalaulah seseorang kamu menafkahkan emas sebesar bukit Uhud, nescaya belum sampai secupak atau setengah cupak dari apa yang mereka nafkahkan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Satu ketika para sahabat telah bertanyakan Rasulullah saw, “Siapakah antara golongan manusia yang paling baik ?”. Jawab Nabi saw,

قرنى ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

Maksudnya : Mereka yang ada pada kurunku, kemudian mereka yang datang selepas itu, kemudian mereka yang datang selepas itu. (Sahih Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Berdasarkan hadis di atas, para ulama sepakat mengatakan bahawa generasi yang paling baik dalam sejarah ialah generasi Nabi saw iaitu para sahabat baginda. Kenyataan ini menafikan dakwaan puak Syiah yang menganggap bahawa semua sahabat Nabi saw telah murtad.

Mengatakan para sahabat dan isteri Rasulullah saw sebagai kafir seolah-olah menunjukkan Nabi Muhammad saw telah gagal dalam usaha mendidik para sahabat dan isteri baginda sehingga semuanya menjadi murtad selepas kewafatannya. Dan lebih dahsyat lagi, dakwaan seperti ini seolah-olah menunjukkan Allah SWT itu bersifat lemah kerana melantik Nabinya yang gagal melaksanakan tanggungjawab !.

2. Meyakini Ar-Raj’ah

Dendam Syiah Imamiah tidak terhenti begitu sahaja. Dendam yang begitu mendalam dilampiaskan melalui satu akidah yang mereka cipta iaitu Ar-Raj’ah. Ar-Raj’ah ialah keyakinan orang-orang Syiah bahawa imam mereka yang ke dua belas iaitu Muhammad bin Al-‘Askari atau digelar Qaim Ali Muhammad ( penegak keluarga Muhammad) akan dibangkitkan semula di akhir zaman sebagai Imam Mahdi.

Apabila Imam Mahdi muncul kelak, dia akan menghidupkan semula semua para sahabat yang menjadi musuh utama Syiah Imamiyah untuk membalas dendam serta menghukum para sahabat. Berkata Sayid Al-Murtadho di dalam kitabnya Al-Masail Al-Nashriyyah :

“ Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar akan disalib pada saat itu di atas satu pohon di zaman Al-Mahdi (Imam mereka yang kedua belas) dan pohon itu pertamanya basah sebelum penyaliban, lalu menjadi kering setelahnya. ”

Imam Mahdi juga akan menghidupkan semula Saidatina ‘Aisyah dari kubur untuk dilaksanakan hukuman hudud ke atas dirinya. Inilah yang disebut oleh Imam mereka Muhammad Al-Baqir dalam kitabnya Haqul Yakin,

“ Jika Al-Mahdi keluar, maka sesungguhnya dia akan menghidupkan ‘Aisyah Ummul Mukminin dan dia akan melaksanakan hukuman hudud ke atas diri ‘Aisyah”.

Ada juga di antara mereka yang beranggapan bahawa yang akan dibangkitkan nanti bukan sahaja Imam mereka yang kedua belas tetapi seluruh imam-imamnya. Menurut At-Tarbasi,

“Para Imam akan dibangkitkan kembali (raj’ah)sebelum kiamat sebagai mukjizat mereka”. (At-Tarbasi : Majma’ Al-Bayan)

Komentar

Ternyata kepercayaan orang-orang Syiah bahawa manusia yang telah meninggal dunia boleh dihidupkan semula ke alam dunia adalah satu keyakinan yang dusta dan amat jelas bertentangan dengan nas al-Quran. Allah SWT menegaskan bahawa roh mereka yang telah meninggal dunia itu akan tetap berada di alam barzakh sehingga pada hari Qiamat. FirmanNya :

“ Kesudahan golongan yang kufur engkar itu apabila sampai aajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia : Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) ; supaya aaku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak ! Masakan dapat ? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari Qiamat)”. (Al-Mukminun : 99-100)

3. Menganggap Imam-Imam mereka maksum

Diantara doktrin utama golongan Syiah adalah kepimpinan umat Islam sepatutnya berada di tangan Saidina Ali kwj dan keturunannya setelah wafatnya Rasulullah saw. Dari doktrin ini wujudlah 12 orang Imam bermula dari Saidina Ali sehinggalah yang terakhir iaitu Muhammad bin Hassan Al-‘Askari.

Imam Khomeini pemimpin revolusi Iran yang menjadi idola bagi negara Syiah Iran dan kelompok Hizbullah di Lubanan beranggapan bahawa Imam-Imam mereka lebih mulia daripada para Malaikat dan Nabi-Nabi. Kata-katanya yang sesat itu telah ditulis dalam kitabnya yang masyhur iaitu Hukumat Al-Islamiyyah seperti berikut :

“Sesungguhnya Imam-Imam kita mempunyai satu kedudukkan yang tidak bisa dicapai oleh malaikat yang didekatkan, dan tidak pula oleh Nabi yang di utus ”

Diriwayatkan juga daripada Jaafar As-Sadiq :

“Sesungguhnya aku mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi. Aku mengetahui apa yang ada di Syurga dan di Neraka. Aku mengetahui ilmu tentang zaman silam dan ilmu tentang zaman akan datang ”. (Usul Kafi, jilid 1 : 261)

Komentar

Tidak terdapat nas sama ada dari Al-Quran dan Hadis yang menyokong iktikad mereka. Malah ini adalah satu kepercayaan yang jauh menyeleweng, kufur, sesat dan khurafat serta tidak boleh diterima olah akal yang waras.

Kesimpulan

Melihat tingkah laku Syiah di Iraq yang semakin menjadi-jadi dan bermaharajalela selepas kejatuhan Saddam Hussein, masjid-masjid puak sunnah di bakar, ulama-ulama sunnah dibunuh, kampung-kampung mereka di bom, seolah-olah puak Sunnah mahu dihapuskan dari bumi Iraq, Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi, seorang ulama besar Islam yang sering mengumandangkan seruan ke arah taqrib (pendekatan) bagaikan hilang sabar.

Dalam satu kenyataannya semasa menutup Muktamar Antarabangsa Pendekatan Antara Mazhab, beliau berkata,

“Tidak mungkin berlaku pendekatan jika Syiah masih terus berpegang dengan akidah yang mencela sahabat r.a.... ”

Katanya lagi,

“ Tidak mungkin boleh berlaku pendekatan antara orang yang mengatakan Umar r.anhu ( semoga Allah meredhainya) dengan orang yang mengatakan Umar la’nahullahu (semoga allah melaknatnya). Atau antara yang mengatakan Aisyah radhiallahu ‘anha (semoga Allah meredhainya) dengan orang yang mencaci dan menghinanya dngan tuduhan yang sangat keji".

Wallahualam.

Di kuliahkan,

Di sekitar Masjid dan Surau daerah Seremban.

Dinukil dari,

1.Mohd Yaakub Mohd Yunus, Kenapa Kita Perlu Menolak Syiah, Majalah i Mac 2007
2.Zain Y.S , Syiah dan Sahabat Rasulullah saw, Majalah i Mac 2007
3.http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html
4.http://www.darulkautsar.com/pemurnianaqidah/syiah/bahayasyiah.htm
5.Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Pertelingkahan Para Sahabat Nabi saw : Antara Ketulinan Fakta Dengan Pembohongan Sejarah , Pustaka Yamien Sdn Bhd, Kuala Lumpu 2002.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.