Thursday, January 23, 2014

Keadaan fizikal Nabi SAW, sifat dan kelakuannya



           
            Al-Quran menjelaskan tentang kewajipan menyintai Nabi Muhammad saw sebagaimana firman Allah SWT,

             Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah ali- 'Imran ayat 31)

            Berdasarkan ayat di atas, syarat untuk di kasihi Allah SWT serta mendapat pengampunan daripada-Nya  hendaklah menyintai Rasulullah SAW serta mengikut ajaran yang disampaikan oleh baginda dengan sepenuhnya. Jangan sekali-kali menidakkan ajaran baginda, baik yang berupa suruhan mahu pun larangan.

            Jika hendak menyintai seseorang,  hendaklah kita mengenali orang yang dicintai itu. Demikian juga dalam menyintai Nabi SAW, maka hendaaklah mengenali peribadi dan watak rasulullah SAW terlebih dahulu.

Susuk tubuh baginda

            Rasulullah SAW termasuk di dalam golongan manusia yang paling hebat wajahnya. Kata Saidina Ali KWJ, 

            Barangsiapa yang baru melihat Nabi SAW, nescaya akan timbul perasaan gentar kerana kehebatannya. Tetapi apabila sudah lama bergaul dengannya akan timbul perasaan kasih dan sayang kepadanya”. 

            Selain itu Nabi SAW seorang yang kacak rupa parasnya. Kekacakkan baginda kerana mengikut wajah datuknya Nabi Adam a.s dan juga Nabi Ibrahim a.s. Hal ini diakui sendiri dalam sebuah hadith,  

            “ Aku sangat serupa dengan Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Tetapi antara kedua-duanya agak jauh sedikit perbezaannya”.

            Maksudnya, rupa paras Nabi SAW sangat mirip seperti Nabi Adam dan Nabi Ibrahim tetapi rupa paras Nabi Adam dan Nabi Ibrahim agak jauh berbeza antara keduanya. 

            Di kalangan sahabat yang mirip wajah Nabi SAW ialah Jaafar bin Abi Talib yang juga sepupu baginda, selain daripada Hassan bin Ali iaitu cucu baginda, anak kepada Fatimah az-Zahrah. Selain itu datuk kepada Imam Syafie yang bernama as-Saib bin Abu Yazid. Inilah antara insan-insan yang mempunyai wajah yang mirip dengan Rasulullah SAW. 

            Diriwayatkan bahawa bentuk wajah Nabi SAW berupa bujur sirih, kulit wajahnya putih berseri, licin, tiada sedikit pun berbintik-bintik apatah lagi jerawat. Barangsiapa melihat wajah baginda akan merasa terpesona dan merasa tidak puas.

            Bentuk kepala baginda cukup menarik, seimbang dengan saiz wajahnya. Dahi baginda luas, melambangkan seorang yang bijak, luas fikiran dan tajam akalnya. Rambut Nabi SAW tidaklah lurus seperti rambut Nabi Isa a.s dan tidak pula kerinting seperti rambut orang Habsyi. Tetapi rambut baginda ikal berombak, hitam dan sangat lebat. Panjangnya sehingga ke paras bahu, manakala di sebalah sisi mencecah ke cuping telinga sahaja.

            Pada mulanya Nabi SAW menyikat rambutnya dari depan ke belakang. Tetapi kemudian baginda mengubah cara dengan menyikat di belah tengah kepalanya.  Ketika usia baginda meningkat,  baginda SAW juga beruban tetapi tidaklah banyak. Kata Anas bin Malik,

مَا عَدَدْتُ فِى رَأْسِ رَسُوْلِ اللهِ وَ لِحْيَتِهِ إلاَّ أَرْبَعَ عَشْرَةَ شَعْرَةً بَيْضَاءَ
           
             Aku tidak menghitung dari kepala Rasulullah  dan jenggotnya kecuali empat belas helai rambutnya yang berwarna putih

            Pernah seorang sahabat yakni tukang bekam baginda mahu mencabut uban di kepalanya, tetapi di larang oleh baginda sambil bersabda,

مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
             “Barangsiapa yang tumbuh uban di kepalanya sedang dia dalam keadaan Islam maka baginya cahaya di hari kiamat”.
            Kening baginda amat cantik dan berkeadaan melengkung serta hampir-hampir bersambung di tengah-tengahnya. Manakala bulu mata baginda tebal dan lentik, sangat  menawan apabila dipandang. Telinga Nabi SAW tidak terlalu lebar dan dan tidak pula kecil. Pendekata semua anggota wajah dan muka Nabi SAW sangat sempurna keindahannya.

           Hidung baginda mancung dan mulutnya nipis, cantik dan menarik. Apabila baginda tersenyum terpapar wajah baginda yang indah, manis dan ceria. Pipi baginda lurus sahaja, tidak membonjol atau mencengkung. Gigi baginda teratur rapi, putih dan bersih tetapi tidaklah terlalu rapat sehingga menyukarkan baginda membuang sisa makanan yang melekat. 

            Nabi SAW tidak suka misai yang terbiar sampai menutupi bibir. Misai yang menutupi bibir adalah amalan penganut agama majusi. Leher baginda jinjang sungguh menawan, kemas dan tegak. Dadanya luas dan lebar mempamerkan kesegakkan. Pada kedua-dua bahu baginda berotot gagah seperti seorang pembina badan. Pinggang baginda ramping, punggungnya pula lebar dan berisi, dihiasi dengan tumit yang kecil serta telapak kaki yang melengkung. 

            Perut baginda rata, tidak buncit seperti perut orang yang banyak makan. Jari tangan dan kaki baginda panjang. Kulit badan baginda putih kemerah-merahan. Demikianlah keadaan fizikal Nabi SAW yang begitu sempurna. 

Sifat dan kelakuan Rasulullah SAW

            Nabi SAW seorang yang pelembut, tetapi itu bukan bermakna baginda lemah dan lembik dalam membuat keputusan. Sifat pelembut baginda SAW bagaikan daya penarik yang memikat orang ramai untuk mendekati baginda. 

            Apabila baginda berjalan, baginda tidak pernah berjalan mendada apatah lagi mendongak. Baginda berjalan dengan tawadhuk dan rendah diri sambil mata lebih banyak memandang ke bumi dari memandang ke hadapan.  Kebiasaannya kanak kanak akan mengelilingi baginda dan baginda akan melayani mereka dengan ramah dan penyayang sekali. 

            Apabila berjumpa seseorang, baginda akan memberi salam terlebih dahulu sebelum orang memberi salam kepadanya dan disertakan dengan huluran tangan untuk berjabat salam. Baginda tidak akan menarik tangannya sehingga orang yang dijabat itu menarik tangannya.

            Rasulullah SAW melayani semua orang dengan baik tanpa membezakan yang miskin mahu pun kaya. Pernah baginda makan bersama seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor tanpa sedikitpun rasa canggung dan tidak selesa.

            Baginda SAW sangat menghormati sesiapa yang mendatangi dan menjadi tetamunya sehingga kadang-kadang baginda sampai menghamparkan bajunya untuk dijadikan alas supaya  tetamu duduk di atasnya. Sering pula baginda memberikan bantal sandarannya kepada orang yang datang supaya mereka duduk dalam keadaan selesa.

Pakaian 

            Adalah Nabi Muhammad SAW semasa hayatnya sangat berminat  dengan pakaian yang bewarna putih dan bersih kerana warna putih adalah asal segala warna-warna lain. Saidatina Aisyah menceritakan, 

           “Adalah Rasulullah SAW itu sangat gemar pakaian yang putih bersih dan benci pada pakaian yang kotor”.

            Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda, 

            “Pakaikanlah kain yang bewarna putih itu kepada orang-orang yang masih hidup dari kamu, dan kafankanlah dengan kain putih itu akan orang-orang yang sudah mati dari kamu”. 

            Justeru adalah sunat  bagi sekalian umatnya supaya berpakaian dgn pakaian yang putih dan bersih, terutama untuk hadir Solat Jumaat atau berjemaah di masjid atau surau, dan juga pada tempat-tempat keramaian kerana mencontohi perbuatan Nabi SAW.

Makanan
            Adalah Nabi Muhammad SAW seorang insan yang tidak memilih  makanan asalkan makanan itu halal. Nabi SAW suka makan roti dan buah-buahan. Dan buah-buahan yang paling baginda gemari ialah buah semangka (tembikai) dan buah anggur.

          Ada pun makanan yang paling Nabi SAW gemari adalah daging, roti dan labu. Sabda baginda, 

             "Bahawa daging itu menambahkan pendengaran dan daging juga penghulu makanan di dunia dan akhirat, dan juga sekiranya aku minta kepada Tuhanku bahawa ia memberikannya kepadaku pada tiap-tiap hari, nescaya dianugerahinya". 

             Rasulullah SAW berpesan kepada Aisyah mengenai labu, 

             "Wahai Aishah apabila engkau memasak gulai, maka perbanyakkan dalamnya buah labu kerana labu itu menguatkan hati yang duka".

            Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Seorang tukang jahit telah mengundang Rasulullah s.a.w untuk menghadiri suatu jamuan makan. Anas bin Malik berkata: Aku pergi bersama Rasulullah SAW menghadiri jamuan makan tersebut. Dia menghampiri Rasulullah SAW dan menghidangkan roti dari gandum serta kuah berisi buah labu dan daging bakar. Anas berkata: Aku melihat Rasulullah SAW mencari-cari buah labu dari dalam sahfah tersebut iaitu sebuah bekas makanan yang memuatkan makanan cukup untuk lima orang. 

            Sejak hari itu kata Anas, aku suka makan labu. 

Kasih sayang kepada binatang

            Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang baik dalam menyantuni haiwan. Ketika seorang sahabat mengambil telur seekor burung merpati, baginda memintanya memulangkannya kembali setelah melihat keadaan burung itu yang terganggu.      

            Rasulullah SAW melarang mengurung binatang untuk dibunuh termasuk binatang yang dibenarkan syariat untuk dibunuh seperti mengurung ular, kala jengking, tikus, anjing dan sebagainya.

            Malah jika hendak membunuh sekali pun, maka hendaklah membunuhnya dengan serta merta dan jangan diseksanya terlebih dahulu sebelum membunuhnya.  Apabila menyembelih binatang yang halal, baginda berpesan pula agar menggunakan alat pemotong yang tajam agar tidak menyakiti haiwan tersebut sesuai dengan sabda Rasulullah SAW, 

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ. فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا القِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، وَلْيُرِحْ ذَبِيْحَتَهُ
          
        “Jika kamu membunuh hendaklah memperelokkan pembunuhan itu, dan jika kamu menyembelih rehatkanlah binatang yang disembelihnya itu dan hendaklah dia menajamkan pisaunya dan memberi kesengan bintang sembelihannya”. (HR Muslim)

            Termasuk hal-hal yang dilarang ialah membunuh binatang tanpa tujuan sebagaimana sabda baginda SAW,

مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ: يَا رَبِّ،
إِنَّ فُلانًا قَتَلَنِي عَبَثًا، وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ
          
     “ Barangsiapa yang membunuh burung secara sia-sia, nanti burung itu akan mengadu kepada Allah di hari Qiamat dengan mengatakan : Wahai Tuhan orang ini telah membunuhku u dengan cara sia-sia, dan tidak membunuhku untuk dimanfaatkan ” (HR Ahmad dan an-Nasaei) 

            Suatu ketika baginda melihat seekor unta yang seakan bergenang dengan air mata, lalu baginda mengusapnya dengan belas kasihan sehingga unta itu menjadi tenang dan berdiam diri. Nabi kemudiannya menegur pemilik unta agar takut kepada Allah kerana tidak memberinya makanan yang cukup dan mengarahkannya bekerja sahaja.

 Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.