Monday, May 12, 2014

Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian




         Orang-orang Islam percaya bahawa orang Kristian adalah kafir  berdalilkan surah al-Maidah ayat 72-73,

        “ Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim". (72) Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (73)

        Namun dalam surah al-Baqarah ayat 62 pula Allah SWT menjelaskan orang-orang Islam, Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Shabe’in mereka tetap berpeluang masuk ke syurga asalkan mereka jujur dan ikhlas dalam melaksanakan ajaran agama masing-masing.

 Firman Allah SWT,

        “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi, dan orang orang Nasrani, dan orang-orang Shabe’in, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan beriman kepada kepada Hari akhirat serta beramal salih, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita”. 

            Di hujung ayat ini Tuhan menyatakan  semua penganut agama-agama tadi janganlah bimbang dan berdukacita kerana mereka tetap diberi peluang untuk memasuki syurga oleh Allah SWT. 

Jawapan : 

            Bagi menjawab hujah ini, hendaklah kita memahami bahawa surah al-Baqarah ayat 62 dan surah al-Maidah ayat 72-73 dimulai dengan menyebut orang-orang yang beriman iaitu umat Islam dari dahulu sehingga sekarang.

 Syarat untuk ke syurga hendaklah  beriman sepenuhnya kepada Allah,  hari Akhirat dan juga melakukan amal soleh.

Inilah yang difirmankan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 25,  

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…..” (al-Baqarah ayat 25) 

            Justeru, berdasarkan ayat di atas dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran menunjukkan keimanan seseorang itu perlu dibuktikan dengan melakukan amal soleh sebagai syarat untuk kesyurga.  

            Kemudian disebut golongan kedua, iaitu kaum Yahudi yang merujuk kepada kaum Yahudi di zaman Nabi Musa a.s. Di kalangan mereka ada yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat serta melakukan amal soleh. Golongan ketiga ialah kaum Nasara, yakni umat Nabi Isa a.s,  yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta melakukan amal soleh. 

            Manakala golongan keempat ialah kaum Shabe’in iaitu satu kaum yang pada awalnya menyembah patung berhala. Apabila sampai seruan Nabi Isa a.s kumpulan ini terbahagi kepada dua. Kumpulan pertama membenarkan ajaran Nabi Isa a.s beriman kepada Allah, dan Hari Akhirat serta melakukan amal soleh sedangkan  kumpulan kedua terus kekal dengan agama menyembah patung berhala. 

            Inilah kumpulan-kumpulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT, mereka diberi pahala atas amal soleh yang mereka lakukan di dunia. Di akhirat nanti mereka tidak akan berduka cita mahu pun bersedih berbanding dengan kumpulan yang tidak mahu beriman kepada Allah, kepada hari Akhirat dan enggan melakukan amal soleh. 

            Jika benarlah agama Kristian  hari ini betul, tidak perlulah Nabi saw mengajak penganut-penganut agama Kristian  dari bumi Najran untuk bermubahalah.

            Kisah mubahalah bermula apabila orang-orang Kristian Najran meragui penerangan Nabi saw yang mengatakan bahawa Nabi Isa a.s itu adalah manusia biasa. Sebaliknya mereka berpendapat, Nabi Isa adalah anak Allah yang bersatu di dalam diri Allah. Bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan, Rasulullah saw membaca sepotong ayat al-Quran, 

            “Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya ; "Jadilah engkau!", maka jadilah ia (seorang manusia)”.(ali-‘Imraan : ayat 59)

            Orang-orang Kristian tetap berdegil dan menolak hujah Nabi saw. Maka turunlah ayat yang menyuruh Nabi saw bermubahalah dengan mereka, 

“Maka sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (kisah Nabi Isa) sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru (memanggil) anak-anak kami serta anak-anak kamu dan wanita-wanita kami serta wanita-wanita kamu dan diri-diri kami serta diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah (memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh) dan kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta”.( ali-‘Imraan : ayat 61)

            Kesimpulannya, hanya agama Islam sahaja yang diredhai dan diterima oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah ali-‘Imraan ayat 13,

            “Sesungguhnya agama yg diredhai di sisi Allah SWT hanyalah Islam”

            Juga dalam surah yang sama ayat 85,

            “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan di hari akhirat dia dari kalangan orang-orang yang rugi”. (85)

Keterangan lanjut sila dapatkan buku ini di pasaran dengan harga RM10.00 senaskhah. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.