Tuesday, November 10, 2009

Isteri ibarat ladang.....

Satu tajuk yang malu diperkata, namun banyak di tanya. Firman Allah SWT,

"Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai ladang bagi kamu, oleh itu datangilah ladangmu secara mana yang kamu sukai, dan sediakanlah (amal-amal) yang baik untuk diri kamu; dan bertqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman "(223)

Sebab turun ayat

Dalam ayat ini Allah SWT telah memisalkan isteri sebagai ladang untuk bercucuk tanam. Manakala suami pula diibarat seperti peladang yang akan menyemai benih di atas ladang, sedangkan anak pula diibarat seperti pokok yang tumbuh dari benih yang ditanam tersebut. Maka tanamilah ladang tersebut secara mana yang kamu sukai.

Dalam satu riwayat menyatakan sebab turun ayat ini kerana orang-orang Yahudi beranggapan bahawa apabila seseorang suami mencampuri isterinya dari arah belakang, maka anak yang bakal dilahirkan akan bermata juling. Maka turunlah ayat ini membantah tanggapan tersebut.

Ada juga pendapat mengatakan sebab turun ayat ini kerana sudah menjadi tradisi orang-orang Mekah menggauli isterinya dengan pelbagai cara. Apabila mereka berhijrah ke Madinah, di kalangan Muhajirin ada yang berkahwin dengan wanita Ansar. Maka mereka melakukan ke atas isteri mereka sebagaimana yang mereka lakukan semasa di Mekah. Wanita-wanita Ansar tidak boleh menerima dengan cara ini, maka dengan sebab itu turunlah ayat ini yang membenarkan suami mendatangi isterinya sama ada dari arah belakang, depan atau sebagainya selagi tidak melalui dubur atau isteri dalam keadaan haidh.

Sabda Rasulullah saw,

“Barangsiapa yang mendatangi isteri ketika haidh atau pada duburnya juga mereka yang berjumpa bomoh serta membenarkan apa yang diperkatakannya, sesungguhnya mereka telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad ”

Hukum melihat aurat suami dan sebaliknya

Terdapat salah faham di kalangan masyarakat Islam sama ada agama membenarkan atau tidak seorang suami atau isteri memandang aurat (kemaluan) pasangan masing-masing khususnya ketika melakukan perstubuhan.

Berdasarkan nas Al-Quran surah An-Nur ayat 31 dan surah Al-Mukminun ayat 5 dan 6 serta beberapa hadis Rasulullah saw, maka adalah harus suami isteri melihat aurat pasangan masing-masing. Saidatina Aisyah r.anha menceritakan,

كنت أغتسل أنا والنبى (ص) من اناء واحد من جنابة

Maksudnya : Aku pernah mandi (janabah) bersama Rasulullah saw dalam satu bekas air mandi. ( (HR Bukhari)

Daripada Muawiyah bin Haidah r.a, dia menceritakan Rasulullah saw bersabda,

احفظ عورتك الا من زوجتك أو ما ملكت يمينك

Maksudnya : Peliharalah aurat tubuh badanmu kecuali kepada isterimu atau hamba sahaya yang kamu miliki. (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)

Inilah dalil kuat yang dipegang oleh Al-Imam Ibnu Hazmin dengan katanya, “Dan adalah halal bagi seorang suami melihat kemaluan isterinya dan hamba sahaya yang halal baginya untuk disetubuhi, begitulah sebalik bagi keduanya, sedikitpun tiada hukum makruh pada perbuatan ini.”

Satu lagi dalil yang menjadi pegangan Ibnu Hazmin ialah hadis Sahih Bukhari daripada Ibnu Abbas daripada Maimunah Ummul Mukminin katanya,

سترت النبى (ص) وهو يغتسل من الجنابة فغسل يديه ثم صب بيمينه
على شماله فغسل فرجه وما أصابه

Maksudnya : “ Aku menutup (menjadi tabir) Nabi saw ketika baginda mandi junub, dia membasuh kedua tangannya, kemudian menuang air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya, lalu membasuh kemaluannya dan apa yang terkena olehnya….”

Imam Abu Hanifah ketika ditanya mengenai lelaki yang menyentuh kemaluan isterinya dan isterinya menyentuh kemaluan suaminya untuk menaikkan nafsu isteri, adakah perbuatan ini di larang ?. Beliau menjawab, tidak bahkan aku mengharapkan ganjarannya di lebihkan. Kemungkinan beliau merujuk kepada hadis sahih yang berbunyi,

وفى بضع أحد كم صدقةٌ : يا رسول الله أيأتى أحدنا شهوته ويكون له فِيها أجرٌ ؟ قال نعم أليس إِذا وضغها فى حرام كان عليه وزرٌ فكذلك إذا وضعها فِى حلال كان له أجرٌ أتحتسبون الشر ولا تحتسبون الخير

Maksudnya : Dan pada kemaluan (persetubuhan) salah seorang daripada kamu itu adalah sedekah. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang itu mendapat ganjaran dengan melepaskan syahwatnya ? Sabdanya Ya. Bukankah apabila dia menyalurkannya melalui saluran yang haram maka dia mendapat dosa ? Begitulah juga apabila dia menyalurkannya melalui saluran yang halal, maka dia mendapat pahala. Apakah kamu hanya memperkirakan yang haram dan tidak memperkirakan yang halal ? (HR Muslim)

Wallahualam.

Rujukan

Tafsir Ahmad Sonhadji
Tafsir Al-Azhar
Tafsir Al-Munir
Fatwa Masa Kini - Prof Dr. Yusuf al-Qardhawi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.