Monday, May 2, 2011

Hukum berwasiat

Tafsir al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 180-182


Firman Allah SWT,

“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.(180)Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.(181)Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”(182)

Latar belakang ayat

Sebelum kedatangan Islam, orang Arab tidak mempunyai undang-undang yang khusus berkaitan tentang harta pusaka. Peraturan yang ada ialah sesiapa yang meninggal dunia harta itu akan jatuh pada kaum kerabat yang paling rapat.

Ada juga yang bebas membahagikan harta-harta mereka kepada sesiapa sahaja yang mereka kehendaki selepas meninggal dunia sehingga mengabaikan kaum kerabat.

Setelah kedatangan Islam, barulah undang-undang pengagihan harta yang meliputi wasiat dan faraid diturun dan diperkenalkan sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayat di atas.

Hukum berwasiat terbahagi kepada tiga :

Pertama : Wajib iaitu pada orang yang menanggung kewajipan seperti hutang yang belum dilangsaikan. Maka orang seperti ini hendaklah menulis dan mencatatkan berapa banyak hutangnya untuk dijelaskan oleh warisnya apabila dia meninggal dunia kelak.

Kedua : Sunat iaitu bagi mereka yang mempunyai harta tetapi tidak ada apa-apa kewajipan yang wajib di selesaikan. Wasiat seperti ini dikira sebagai amal soleh yang sangat baik untuk dilakukan. Sabda Rasulullah saw,

“Apabila mati anak Adam, maka akan terputuslah segala pahala amalannya melainkan tiga amalan iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai contoh kata suami kepada isteri : “Bila abang sudah meninggal dunia nanti, sebelum faraidkan duit KWSP, keluarkan RM 1000.00 dan sedekahkan kepada anak-anak yatim”.

Atau,

“Bila abang sudah meninggal dunia nanti keluarkan satu pertiga daripada duit simpanan abang, dan belikan Al-Quran untuk disedekahkan kepada mana-mana masjid dan surau”.

Orang Islam yang membuat wasiat seperti ini adalah orang yang beruntung dan matinya di atas jalan yang benar. Sabda Rasulullah saw,

“Barangsiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan ini dan sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan”. (Riwayat Ibnu Majah)

Manakala mereka yang berharta tetapi tidak berwasiat seperti ini adalah malang sebagaimana sabda baginda saw,

“Orang yang malang adalah orang yang tidak sempat berwasiat”. (Riwayat Ibnu Majah)

Namun wasiat seperti ini tidak boleh melebihi satu pertiga. Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud yang mempunyai banyak harta kekayaan. Ketika Nabi saw datang ke Mekah menziarahinya beliau mengambil kesempatan untuk bertanya perihal harta-hartanya,

جاءني رسول الله (ص) يعودني عام حجة الوداع من وجع اشتد بي فقلت : يا رسول الله إني قد بلغ بي من الوجع ما ترى , وأنا ذو مال ولا يرثني إلا ابنة لي, أفأتصدق بثلثى مالي ؟ قال : لا , قلت : فالشطر يا رسول الله ؟ فقال : لا, قلت فالثلث يا رسول الله ؟ قال : الثلث والثلث كثير أو كبير إنك إن تذر ورثتك أغنياء خير من أن تذرهم عالة يتكففون الناس


Maksudnya : Rasulullah saw menziarahi aku pada tahun Haji Wada’ ketika aku sedang sakit tenat. Aku memberitahu baginda bahawa aku seperti yang diketahuinya sedang sakit kuat, sedangkan aku epunyai harta, tiada siapa yang akan mempesakai harta itu melainan seorang anak perempuan sahaja. Aku bertanya baginda : Boleh kah aku meninggalkan wasiat supaya bersedekah sebanyak dua pertiga daripaa keseluruhan hartaku ? Baginda saw menjawab : Tidak harus sedekah sebanyak itu. Aku bertanya lagi : Bolehkan aku bersedekah separuh daripadanya ? Sabda baginda : Separuh pun tidak boleh. Aku bertanya lagi : Bolehkah aku berwasiat supaya bersedekah satu pertiga sahaja daripadanya ? Jawab Rasulullah : Ya, satu pertiga pun banyak atau besar kadarnya. Andainya engkau tinggalkan waris-waris engkau kaya raya, lebih baik bagimu dari meninggalkan mereka miskin dan bergantung harap kepada orang lain.

Sebuah lagi hadis yang lain,

وفي لفظ : عادنى رسول الله (ص) فى مرضي فقال : أوصيت ؟ قلت نعم , قال : بكم ؟ قال : بما لي كله في سبيل الله . قال : فما تركت لولدك ؟ قلت : هم أغنياء, قال : أوص بالعشر , فما زال يقول , وأقول, حتى قال : أوص بلثلث والثلث كثير أو كبير


Maksudnya : Dalam satu lafaz dikatakan : Rasulullah saw menziarahi aku ketika aku dalam keadaan sakit, lalu baginda bertanya: “Apakah engkau sudah berwasiat ? Aku menjawab: Sudah. Rasulullah saw bertanya lagi : “Berapa ?”. Aku menjawab : Seemua hartaku diwasiatkan ke fi sabilillah, Nabi saw bertanya lagi : “ Lalu apa yang engkau tinggalkan untuk anak-anakmu?”. Aku menjawab : Mereka adalah orang-orang kaya. Lalu baginda pun bersabda, “Wasiatkanlah satu persepuluh. Kalimah itu diulang-ulang dan aku aku pula berulang-ulang mengatakan semua sehinggalah baginda bersabda: “Wasiatkanlah satu pertiga kerana satu pertiga itu sudah cukup banyak atau besar”. (HR Nasaei dan Imam Ahmad).

Ketiga : Harus seperti berwasiat agar mengkebumikannya di tempat-tempat tertentu. Wasiat seperti ini pernah di lakukan oleh Saidina Omar bin al-Khattab, Aisyah dan Ibnu Umar. Namun jika ada halangan, maka harus dikebuikan dimana-mana tanah perkuburan Islam.

Pada ayat 180 Allah SWT mewajibkan setiap orang Islam yang mempunyai kelebihan harta dan memiliki tanda-tanda kematian yang semakin menghampiri supaya meninggalkan wasiat sebahagian harta untuk diberikan kepada kedua ibu bapa dan kaum keluarga yang terdekat secara adil dan baik. Jangan berwasiat harta kepada orang kaya dan mengabaikan pula orang-orang miskin dan tidak boleh berwasiat lebih daripada satu pertiga.

Menurut jumhur ulama : Wasiat pada awal Islam diwajibkan kepada kedua ibu bapa simati dan kaum kerabatnya yang terdekat mengikut kadar pembahagian yang difikirkan adil, , tetapi hukum ini telah dimansuhkan apabila turunnya ayat-ayat tentang pembahagian harta pusaka (faraid).

Justeru, wasiat harta kepada ahli waris seperti ibu bapa, anak-anak dan isteri tidak lagi diharuskan kerana masing-masing sudah terjamin untuk mendapat bahagian masing-masing seperti isteri ibu bapa mendapat satu perenam setiap orang, isteri mendapat satu perempat jika tidak memiliki anak, tetapi jika mempunyai anak isteri mendapat satu perlapan manakala anak pula dikira sebagai asobah iaitu yang menghabiskan baki harta dengan pembahagian anak lelaki mendapat satu bahagian dan anak perempuan sebahagian.

Hal ini termaktub dalam surah al-Nisa’ : Ayat 11, 12, dan 176) iaitu ayat yang secara khusus menyentuh peruntukan bahagian ditetapkan ke atas waris dalam pembahagian harta pusaka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak, maka tiada wasiat untuk warisnya.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

Namun ada juga pendapat di kalangan ulama mengatakan ayat-ayat berkaitan wasiat masih kekal berkuatkuasa walaupun setelah turun ayat-ayat berkaitan pembahagian harta pusaka. Ini kerana terdapat kategori-kategori keluarga yang terhalang dari mendapat harta pusaka seperti ibu bapa yang kafir dan tidak boleh menerima pusaka kerana berlainan agama. Begitu juga para cucu yang kematian bapa sebelum kematian datuknya. Di mana harta datuk itu tidak boleh diwariskan kepada cucu jika datuk itu ada meninggalkan anak-anaknya yang lain. Sedangkan jika arawah bapa cucu ini masih hidup, arwah bapanya berhak ke atas harta datuk dan boleh pula mewariskan harta itu kepada anaknya.

Oleh itu dengan kekalnya hukum wasiat seperti surah Al-Baqarah ayat 180 di atas maka dapatlah menolong cucu-cucu ini kerana mereka masih kecil dan perlukan pembelaan.

Pada ayat 181, Allah SWT menjelaskan pemegang-pemegang wasiat hendaklah jujur dan beramanah pada melaksanakan wasiat yang diamanahkan kepadanya. Melaksanakan wasiat hendaklah diletakkan pada peringkat keutamaan dalam pembahagian harta peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia.

Firman Allah SWT,

“Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya..”

Maksud dari ayat diatas adalah barang siapa yang mengubah wasiat, menambah, mengurangi, atau menyembunyikannya, maka dosanya hanya ditanggung oleh orang yang mengubahnya sedangkan pahala orang yang berwasiat tetap tidak akan berkurang.

Ayat ini adalah dalil bahawa mana-mana orang yang berhutang dan telah berwasiat agar dilunaskan hutang-hutangnya dari harta peninggalannya selepas meninggal dunia namun tidak dilaksanakan wasiat tersebut oleh si pemegang amanah atau melwat-lewatkan pembayaran hutang maka orang yang berhutang ini terlepas daripada dosa.

Sebaliknya yang menanggung dosa tersebut ialah si pemegang amanah yang mengkhinati amanah, tidak mahu melunaskan hutang atau melenagguh-nangguhkan pembayaran hutang simati.

Firman Allah SWT dihujung ayat 181,

“sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Allah SWT memberitahu agar pihak yang ingin meninggalkan wasiat itu supaya tidak bimbang terhadap pihak yang memegang wasiat kerana Allah adalah sebaik-baik saksi lagi yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui jika terdapat sebarang penyelewengan tentang wasiat itu.

Firman Allah pada ayat 182,

“Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Secara hakikinya wasiat tidak boleh diubah. Namun jika si pemegang wasiat itu memikirkan wasiat itu bertentangan dengan muslihat umum para waris, atau perintah wasiat itu satu pembaziran dan sia-sia, atau menzalimi ahli waris, maka tidaklah berdoasa bagi pemegang wasiat mengubahnya kepada cara yang lebih mendatangkan kebaikan yang banyak.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.