Sunday, June 12, 2011

AMALAN KETIKA DI MASY’ARIL HARAM

Kenangan semasa wukuf di Arafah

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 197- 202


Firman Allah SWT,

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).(197)Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.(198) Kemudian itu bertolaklah kamu sebagaimana orang-orang yang telah bertolak dan minta ampunlah kepada allah kerana Allah itu Maha pengampun Lagi Maha Penyayang. (199)Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.(200)Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.(201)Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya” (202)

Huraian ayat

Di awal permulaan ayat 197 Allah SWT berfirman,

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum….”

Dalam ayat ini Allah SWT mahu menyatakan bahawa ibadah haji itu hendaklah dilaksanakan pada bulan-bulan tertentu yang dimaklumi. Yang dimaksudkan bulan-bulan tertentu ialah bulan Syawal, Zulka’dah dan sepuluh hari yang pertama di bulan Zulhijjah. Justeru menurut mazhab Syafie tidak harus seseorang itu berniat haji sebelum bulan-bulan ini. Samalah seperti seseorang yang berniat untuk mengerjakan solat Zuhor sebelum masuknya waktu. Sudah tentu solat Zuhornya tidak sah.

Firman Allah SWT seterusnya,

“Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji...”

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan adab-adab ketika mengerjakan Haji iaitu tidak boleh rafath yakni mencampuri isteri (bersetubuh), tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar.

Bagi mereka yang mencampuri isteri sebelum tahalul awal, maka hajinya adalah batal dan dikehendaki membayar dam iaitu menyembelih seekor unta, jika tidak mampu menyembelih seekor lembu, jika tidak mampu menyembelih tujuh ekor kambing, membeli makanan dengan nilai harga seekor unta untuk disedekahkan kepada fakir miskin, dan jika tidak mampu juga hendaklah berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang boleh dibeli dengan seekor unta.

Firman Allah SWT,

“..Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah;…”

Maksudnya, larangan melakukan rafath, maksiat dan bertengkar ketika melaksanakan Haji ialah untuk melahirkan hati seseorang itu suci, bersih daripada sifat-sifat mazmumah. Apabila terhindarnya dari hati sifat-sifat mazmumah membolehkan seseorang beribadat dengan fokus dan khusyuk. Dan apa sahaja kebaikan yang kita lakukan Allah SWT Maha Mengetahuinya dan pasti akan ada balsannya dalam bentuk pahala di sisi-Nya.

Firman Allah SWT di hujung ayat 197,

“…dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)”.

Ayat ini pada mulanya ditujukan kepada orang-orang negeri Yaman yang keluar menunaikan Haji tanpa membawa bekal kecuali perkataan “Kami Tawakal sahaja” atau “Kami menuju ke rumah Tuhan Kami, mustahil Dia tidak memberi kami makan”.

Apabila sampai di Mekah mereka meminta-minta makanan daripada orang ramai. Justeru Allah SWT turunkan ayat ini yang menyuruh orang-orang yang beriman supaya menyiapkan diri dengan bekalan apabila hendak pergi berlayar atau bermusafir.

Boleh juga diertikan jika pelayaran menuju ke negeri Mekah memerlukan bekalan yang mencukupi, apatah lagi jika berlayar menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi, maka lebih-lebih lagilah perlu kepada bekalan yang berupa ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT pada pangkal ayat 198,

“…Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji)…”

Dalam ayat ini Allah SWT tidak melarang jemaah Haji menjalankan urusan perniagaan semasa musim Haji kerana ia juga berupa ibadah sekiranya dilakukan secara halal dan bertujuan baik. Sebab turunnya ayat ini kerana ada tanggapan para sahabat iaitu mereka yang menjalankan perniagaan ketika melaksanakan ibadah Haji, maka Hajinya tidak sah.

Para ulama menjelaskan antara syarat untuk membolehkan aktiviti perniagaan dijalankan ialah jangan sampai berlaku kekurangan atau menganggu kerja-kerja perlaksanaan ibadah Haji. Jika ia menganggu, maka perniagaan seperti itu di larang sama sekali.

Firman Allah SWT seterusnya,

“…Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah),…”

Seterusnya Allah SWT menjelaskan apabila jemaah haji itu bertolak dari Arafah ke Muzdalifah maka hendaklah menyebut nama Allah banyak-banyak iaitu dengan cara bertalbiyah, Labbaikallahumma Labbaik, Labbaikalaa Syarika laka Labbaik, Innalhamda, wanni’mata, Lakawal Mulk La Syariika lak.

Semasa di Muzdalifah jemaah haji disunatkan mengutip batu-batu kecil dengan jumlah sebanyak 70 ketul batu yang besarnya lebih kurang saiz kacang kuda.

Di hujung ayat 198 Allah SWT berfirman,

“..dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya”.

Allah SWT mahu orang-orang yang beriman supaya mengingati-Nya, Tuhan yang telah memberi pertunjuk dalam menjalankan ibadah Haji. Hal ini kerana orang-orang arab Quraisy ketika jahiliyah sewaktu mengerjakan haji mereka akan berwukuf di Muzdalifah, tidak mahu bersama dengan bangsa Arab lain yang berwukuf di Arafah. Bagi mereka, bangsa QuraisY adalah bangsa yang istimewa, justeru tidak boleh berkumpul bersama-sama bangsa Arab yang lain.

Bagi menegakkan prinsip keadilan, maka Allah SWT memerintahkan Nabi saw dan kaum muslimin keseluruhannya untuk sama-sama berwukuf di padang Arafah bagi menghapuskan amalan jahiliyah sekaligus menunjukkan konsep persamaan dalam Islam.

Firman Allah SWT pada ayat 199,

“Kemudian itu bertolaklah kamu sebagaimana orang-orang yang telah bertolak dan minta ampunlah kepada Allah kerana Allah itu Maha pengampun Lagi Maha Penyayang”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan apabila jemaah Haji itu selesai wukuf di Arafah dan bermalam di Muzdalifah, maka hendaklah mereka bertolak ke Mina sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan orang-orang Arab sebelumnya iaitu dilakukan selepas sembahyang Subuh dan sebelum terbit matahari.

Memandangkan amalan Haji ini banyak yang perlu dilakukan serta memerlukan tenaga dan pergerakan, tentulah ada jemaah haji yang keletihan dan kepenatan sehingga melakukan kesalahan, kekurangan dan dosa, justeru di hujung ayat ini Allah SWT menyuruh jemaah haji supaya banyak-banyak beristighfar memohon keampunan kepadan-Nya.

Pada ayat 200 Allah SWT berfirman,

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi…”

Menurut riwayat Ibnu Abbas, sebab turunnya ayat ini ialah kerana orang-orang Arab di zaman Jahiliyah apabila telah selesai sahaja mengerjakan Haji dan selepas hari-hari Tasyrik, mereka akan berhimpun di Mina.

Masing-masing akan menyebut dan memuji-muji kelebihan orang-orang tua mereka sebagai golongan yang hebat, kaya, gagah, pemurah melalui syair dan gurindam untuk menunjukkan kemasyhuran nenek moyang dan keturunan mereka.

Apabila mereka menganut Islam, amalan ini dihapuskan. Sebagai gantinya mereka diseru untuk menyebut nama Allah dan segala kebesaran-Nya.

Sambung Allah SWT lagi,

“Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat”

Maksudnya, kaum Musyrikin sebelum kedatang Islam ketika mengerjakan Haji ada yang berdoa, Wahai Tuhan Kami kurnikanlah Kami unta, kambing, lembu, hamba sahaya atau jariah yang banyak” . Allah SWT memakbulkan permohonan mereka atas usaha yang mereka lakukan di dunia namun di akhirat mereka langsung tidak mendapat kebahagiaan daripada Allah SWT dalam bentuk ganjaran syurga.

Firman Allah SWT pada ayat 201,

“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan orang-orang mukmin ialah mereka yang berdoa memohon kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Para mufassirin mentakwilkan kebaikan di dunia ialah kesihatan, keamanan, rezeki yang cukup dan halal, kemenangan di dalam peperangan, anak yang soleh, isteri yang solehah dan ilmu yang bermanfaat.

Manakala kebaikan di akhirat pula ditakwilkan dengan syurga, keampunan, pahala dan sebagainya. Doa ini juga dibaca ketika Tawaf di Baitullah di antara rukun Yamani dan sudut Hajarul Aswad.

Firman Allah SWT,

“Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya”

Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan kedua-dua golongan ini iaiatu golongan yang hanya meminta kebahagiaan di dunia sahaja serta golongan yang meminta kebahagiaan di dunia dan di akhirat, kedua-duanya Allah SWT akan memakbulkan apa yang mereka minta sekiranya di dasari dengan usaha.

Maksud “Allah SWT amat cepat hitungannya” ialah berapa banyak amalan manusia di dunia ini, bagaimana ia dilaksanakan dan berapa banyak pula pahala yang disediakan semuanya akan dihitung oleh Allah SWT dengan kiraan yang maha cepat tanpa perlu kepada bantuan khidmat juru kira atau sebagainya.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.