Sunday, August 7, 2011

Menceroboh Gereja atau mereka yang menceroboh kesucian akidah Islam ?

Jais: Isma persoal media cuba beri imej negatif

BANGI, 6 Ogos: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berpendapat Jais perlu meneruskan siasatan jika badan itu mendapati wujud kes gereja terlibat dalam kegiatan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam seperti yang dilaporkan dalam satu kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya.

Isma juga meminta supaya pihak-pihak lain tidak mempolitikkan perkara ini yang boleh mengganggu siasatan Jais.

“Isma mahu Jais meneruskan siasatan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak kerana ia bertepatan dengan bidang tugas Jais dan undang-undang. Kes ini berkait dengan isu sensitif di sisi perlembagaan dan umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik,” kata Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini.

Isma juga, katanya mempersoal laporan sesetengah media yang dari awal lagi cuba memberi imej negatif seolah-olah Jais telah menceroboh kesucian rumah ibadat telah melakukan sesuatu yang tidak beretika dan keluar daripada lunas undang-undang.
Sehubungan itu, tambahnya Isma menyeru agar pemimpin-pemimpin umat Islam lebih prihatin terhadap apa-apa bentuk pencabulan terhadap kehormatan agama mereka.

“Saya kesal terhadap sesetengah pemimpin yang seolah-olah hilang ghirah (sensitiviti) terhadap agama sendiri bahkan lebih bersikap ingin membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian antara agama,” kata beliau lagi.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap sikap toleransi yang berlebihan sama ada kerana faktor politik atau faktor lain kerana ia akan membawa kepada sindrom ‘kedayusan’ di kalangan umat Islam sehingga tidak bertindak apa-apa walaupun kehormatan Islam dan umatnya dicabul di hadapan mata.

Katanya, gejala murtad sama ada dengan memasuki agama lain atau tidak lagi beragama adalah satu jenayah yang mengancam keselamatan negara di sisi Islam.

Sebagai umat Islam, jelasnya perbuatan itu sama seperti menconteng arang di muka sendiri dan mencabar maruah dan kehormatan agama Islam.

Tambahnya, Isma mendukung hubungan harmoni antara kaum dan agama di negara yang berbilang bangsa ini tetapi bertegas dari aspek pelaksanaan undang-undang dan mempertahankan martabat agama dan maruah bangsa.

Dipetik dari Harakah daily.

p/s - Semua pihak perlu bertenang dalam isu ini. Biarkan JAIS menjalankan siasatannya. Abu Sofeya

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.