Sunday, September 11, 2011

Pergi masjid pakai kereta berinsurankan riba ?

Di rumah mak pada 27 Ramadhan 1432H

Firman Allah SWT,

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".(Al-Baqarah 183)

Berdasarkan ayat ini, dapatlah kita fahami bahawa matlamat puasa ialah untuk melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa dan siapakah yang dikategorikan sebagai orang yang bertaqwa ?

Seorang sahabat Rasulullah SAW (Abu Hurairah) pernah ditanya tentang takwa. Beliau berkata :

“Pernahkah engkau bertemu jalan yang banyak duri dan bagaimana tindakanmu waktu itu?" Orang itu menjawab: “Apabila aku melihat duri, aku mengelak ke tempat yang tidak ada durinya atau aku langkahi atau aku undur.” Abu Hurairah menjawab: “Itulah dia takwa!" (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Justeru taqwa ialah memelihara diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT dan pergi kepada perkara yang membawa keredhaan Allah SWT.

Kesimpulannya orang yang bertaqwa ialah mereka yang sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia supaya tidak terjerumus ke lembah maksiat. Dalam masa yang sama giat melakukan pelbagai amalan soleh yang membawa keredhaan Allah SWT.

Selepas bulan Ramadhan


Hendaklah kita bermuhasabah adakah kita sudah meninggalkan segala maksiat yang kita lakukan atau masih meneruskan maksiat-maksiat tersebut.

1. Maksiat di dalam rumah - adakah isteri dan anak-anak telah melaksanakan solat fardhu dengan sempurna ? Adakah mereka sudah diberi didikan agama yang cukup sebagai bekalan dalam menjalani kehidupan ?

Sudahkah seseorang itu menyemak kefahaman anak-anak perempuan yang sudah baligh tentang jenis-jenis darah supaya mereka boleh membezakan di antara darah Haidh, Fasad, Istihadhah, Wiladah, Nifas dan Fitrah al-Naqa' ?

2. Maksiat di luar rumah – Adakah seseorang ita masih membiarkan isteri dan anak-anak perempuannya keluar rumah dengan membuka aurat, bebas bergaul dengan lelaki yang bukan mahram tanpa rasa segan silu ?

Bagaimana pula dengan anak-anak lelaki ? Adakah mereka dibiarkan meronda sekeliling taman dengan motorsikal 'kapcai' dan balik ke rumah apabila azan Maghrib sedang di laungkan ? Atau membiarkan mereka merempit sehingga ke larut malam ?

3. Maksiat di tempat kerja – Adakah seseorang itu sudah membuang tabiat mengambil masa yang lama untuk keluar rehat atau pecah amanah dengan membuat tuntutan palsu, MC palsu dan menggunakan harta syarikat untuk kepentingan peribadi ?

Selain itu hendaklah juga seseorang itu melihat urusan muamalah yang di lakukan seharian. Adakah insuran peribadinya, kenderaan, kad kredit, pinjaman perumahan, jual beli kereta dan segala-galanya mengikut landasan syariat atau kekal dengan sistem riba yang diperangi Allah?

Jika hal itu masih dilakukan pasca Ramadhan, terimalah hakikat bahawa puasa yang dilaksanakan selama sebulan sebelum ini gagal mencapat matlamat. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw,

“Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibnu Majah)


Tepuk dada tanya iman !

Salam hormat,

Abu Sofeya

Ceramah Pasca Ramadhan
Surau Sri Pulai 3
10.9.2011

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.