Sunday, September 18, 2011

Coretan di Kursus Haji Perdana

Menuju ke bukit Marwah

Berlari-lari anak

Di kiri saya Drs Syafawi Che Mat, Pembimbing Ibadah Haji Wilayah Persekutuan dan Selangor. Di kanan, Ust Muslal dan Ust Lukman

Dari kiri Kak Khairun (LTH), Ust Nor Azamir, En. Ishak (LTH) dan di hujung sekali Ust Lukman

Ucapan perasmian oleh MB

Syukur Alhamdulillah kursus Haji Perdana peringkat Negeri Sembilan telah pun selesai dijalankan di stadium tertutup Nilai selama dua hari, 17 dan 18 Sept 2011.

Seramai 1000 orang jemaah terpilih yang datang dari seluruh daerah di negeri ini telah hadir bagi menjayakannya.

Turut serta ialah Imam Masjid Negeri Ybhg Al-Fadhil Ustaz Fadhil yang akan berangkat bersama isteri dan beberapa anggota keluarganya.

“Terima kasih banyak-banyak ustaz…., kerana mendoakan saya dapat pergi Haji tahun ini”, kata Ustaz Fadhil dengan wajah gembira.

Dua bulan yang lalu, sebelum berangkat mengerjakan umrah, Ustaz Fadhil meminta saya mendoakan beliau dan beberapa anggota keluarganya supaya cita-cita mereka untuk ke Mekah tercapai.

“Tolong doakan saya ya Ustaz...”, pesan Ustaz Fadhil bersungguh-sungguh.

“Insya Allah…., kalau dah sampai masanya, Allah SWT pasti akan mengirimkan ‘kad jemputan’ kepada Ustaz untuk menjadi tetamu-Nya”, kata saya.

Selain Ustaz Fadhil, kelihatan juga beberapa orang jemaah sekitar Ampangan, Bandar Warisan Puteri Sikamat, Taman Pinggiran Senawang, Rasah Jaya, Taman Perwira, Taman Desa Rhu Sikamat dan Labu yang turut dijemput menjadi Dhuyufur Rahman pada tahun ini.

Saya mengenali mereka melalui kuliah-kuliah ilmu yang disampaikan.

“Ustaz pergi ke tahun ni?”, sapa seorang jemaah dari Bandar Warisan Puteri Sikamat apabila melihat kelibat saya.

“Tak…, tahun ni saya tak pergi. Yang pergi ialah Ustaz Nor Azamir, Ust Muslal dan Ustaz Lukman”, jawab saya sambil menunjukkan guru-guru pembimbing Ibadah Haji yang bakal mengiringi jemaah Haji tahun ini.

Difahamkan Ustaz Nor Azamir akan memimpin jemaah pakej Tabung Haji Travel, manakala Ustaz Muslal dan Ustaz Lukman akan bersama dengan jemaah Muassasah.

Mudah-mudahan mereka sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT ketika bertugas di sana nanti. Amin.

Allahu Akbar-Allahu Akbar…., Walillahil hamd

“Labaikallahummalabbaik…, labbaikala syarikala kalabbaik….”, laung saya ketika memimpin jemaah melontar jamratul Aqabah.

“Ustaz, 10 Zulhijjah bukankah Hari Raya Haji. Kenapa pula kena bertalbiyah?”, tanya seorang jemaah dari Labu.

Mungkin dia mahu 'test' saya atau benar-benar tidak tahu.

“Sabar-sabar..., nanti kita akan bertakbir raya apabila sudah bergunting dan bertahallul awal”, jelas saya.

“Baik sekarang kita sudah berada di Jamratul Aqabah, ayuh lakukan lontaran sambil membaca Bismillahi Allahu Akbar, Rajman lisy Syaitoni wahizbih”, teriak saya menggunakan pembesar suara.

Masing-masing mengeluarkan batu dari uncang . Maka bermulah sesi melontar.

“Allahu Akbar…, Rajman lisy Syaitoni wahizbih”, bergema suara para jemaah.

Nampak mereka begitu bersemangat.

“Pastikan setiap batu masuk ke dalam Jamrah”, sekali-sekala saya mencelah di sebalik gemaan suara mereka.

“Dah Ustaz…, kami sudah selesai ”, kata beberapa orang jemaah menanti arahan saya selanjutnya.

“Baik, sekarang keluarkan gunting dan berguntinglah sekurang-kurangnya tiga helai rambut”, kata saya memberi arahan.

Mereka akur.

“Dah Ustaz…, kami dah gunting..", jawab jemaah mempamerkan lakonan bergunting di depan saya.

“Mari kita membaca doa ”, kata saya.

Masing-masing menadah tangan, mengaminkan doa yang saya baca.

“Ok…, tuan-tuan sekarang mari kita bertakbir raya…”, kata saya.

Maka bergemalah perkarangan stadium tertutup Nilai dengan suara takbir Raya.

Ya, mereka sudah pun berjaya memperolehi Tahalul Awal. Mereka patut bersyukur dan bertakbir memuji kebesaran dan keagungan Allah SWT.

"Ustaz..., sekarang kita nak ke mana pula?", tanya seorang makcik berusia lewat 70an.

"Kita balik semula ke dewan, minum malam dan tidur. Esok pukul 3.30 pagi tuan-puan kena bangun untuk bersiap sedia Qiamullail", arahan terakhir saya sebelum menamatkan sesi praktikel di sebelah malam.

"Baik Ustaz...., kami dengar dan patuh", usik seorang rakan sepersekolahan.

Semoga memperolehi Haji yang mabrur

Ahad11.40 pagi sebaik sahaja majlis penutup selesai,

"Ustaz..., terima kasih di atas bimbingan Ustaz dan halalkan segala ilmu yang di sampaikan kepada saya selama ini", bisik seorang jemaah Masjid Dato' Klana Sendeng, Ampangan sebelum meninggalkan Stadium tertutup Nilai.

Beliau memeluk saya, dan saya membalas pelukkannya.

"Insya Allah, saya doakan abang memperolehi Haji yang mabrur..., Amin "!, bisik saya spontan.

Cukup sekadar ini coretan yang dapat saya kongsi sepanjang Kursus Haji Perdana tahun ini.

Ya Allah, Ya Tuhan kurniakanlah Haji yang mabrur buat mereka semua.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.