Sunday, February 26, 2012

Disebabkan Wanita, Wang dan juga Kuasa


Ustaz kena tangkap khalwat !

Isu ini agak hangat di perkatakan sekarang.  

Jika En. Marjoyo, Pakcik Dolah atau Wak Karman yang ditangkap khalwat,  orang tidak kisah, dan tidak mahu ambil peduli. Sebab orang tidak tahu siapa itu En. Marjoyo, Pakcik Dolah atau Wak Karman.

Tetapi kalau yang ditangkap itu seorang ustaz, apatah lagi yang begitu popular dengan alunan zikir munajat dan mempunyai pengikut yang ramai, sudah tentu isu ini menarik perhatian awam.

Bukan sahaja orang Islam, malah Mutusamy dan Ah Chong juga turut berminat dengan kisah sensasi ini. 

Benar atau tidak dakwaan yang mengatakan ustaz ini ditangkap kerana  konspirasi pihak tertentu yang hendak mengaibkannya,  hanya Allah SWT yang Maha Mengetahuinya.

Isteri saya ketika mengulas isu ini,

"Kalau hal ini berlaku pada abang, Na tidak akan maafkan abang walau pun ia satu konspirasi jahat !", katanya tegas.

Demikianlah hati seorang isteri yang telah meletakkan kepercayaan kepada suami.

Saya menghargainya.

Para pembaca sekalian,

Apa pun kes ini dalam siasatan. Jika ustaz itu dibicarakan, maka kita tunggulah sahaja keputusannya. Saya teringat dua minggu lepas semasa berbual dengan seorang teman lama yang juga bertitle ustaz.

“Sheikh… dalam dunia ini, ada perkara-perkara  tertentu yang  kita perlu berhati-hati dengannya”, katanya.  

“Apa dia….?”, tanya saya.

“ Antaranya wanita.  Anta perlu ingat ….Adolf Hitler, Napoleon Bonaparte dan ramai lagi tokoh di dunia TUMBANG disebabkan pengaruh wanita dalam dirinya”, jelas teman lama yang pernah  sama –sama berguru di SMKA SHAMS ini.  

“Ya..,  ana setuju. Tapi dalam masa yang sama ada juga wanita yang membantu kejayaan suaminya. Ambil contoh Saidatina Khadijah bt Khuwailid yang sentiasa mendorong  kepada perjuangan Rasulullah SAW”, saya memberi misal kerana tidak mahu menyalahkan wanita seratus peratus.

Beliau mengangguk-angguk tanda setuju.

Kami terus berdiskusi hampir lewat satu jam.  Pelbagai topic dibincang. Dari isu perkembangan rakan-rakan yang lain sehinggalah kepada isu di negara seperti NFC, rasuah dan PRU 13.

Ada masa-masa tertentu  perbincangan agak tegang, kerana masing-masing mahu menegakkan hujah.

Hasil perbualan , kami akur antara penyumbang kepada kejatuhan seseorang lelaki adalah disebabkan pengaruh WANITA, WANG dan juga KUASA.

Disebabkan pujuk rayu WANITA, kadang-kadang seorang lelaki boleh tergadai imannya.

Berapa ramai suami yang asyik bercinta kali kedua , ketiga dan entah ke berapa kali  mengabaikan tanggungjawab memimpin rumahtangga.  Sehingga anak-anak dan isteri hilang tempat mengadu kasih. 
  
Aduh, sungguh kasihan. …

Begitu juga ada lelaki tewas kerana WANG. Di sebabkan terlalu kemaruk mencari  WANG sehingga sanggup membinasakan maruah dan juga peribadi. Lihat sahaja, berapa ramai yang terperosok dalam kurungan besi akibat rasuah, melakukan penipuan, penyelewengan,  pecah amanah, khianat dan pelbagai lagi.

Masya Allah…    

Demikianlah juga di sebabkan KUASA, kadang-kadang seseorang pemimpin  boleh bertukar watak  menjadi  binatang.

Demi mempertahankan kuasa, mereka sanggup membunuh, menyembelih, mencincang dan melenyapkan para penentang.

Inilah yang terjadi di bumi Syria dan negara-negara Arab yang lain.

Pemimpin yang zalim seperti ini lambat laun akhirnya tumbang juga.  

Ya Allah jika Engkau uji aku dengan tiga perkara ini, berilah aku kekuatan iman dalam menghadapinya.

Aminnn…

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.