Tuesday, February 21, 2012

Wahai Bani Israil…


Tafsir Al-Quran
Surah al-Baqarah : 40-43

 “ Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).(40)Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.(41)Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.(42)Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.(43)

Huraian ayat

            Firman Allah SWT pada ayat 40,
  
 “Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain)”.(40)

            Allah SWT menggesa kaum Bani Israil supaya mengenang segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka dan menyempurnakan perjanjian mereka dengan Allah SWT. 

            Israil ialah gelaran yang merujuk kepada Nabi Yaakob a.s. Perkataan ini di ambil dari bahasa Hebrew, ‘Isra’ ertinya hamba dan ‘il’ pula ertinya Tuhan. Justeru Israil ialah hamba Tuhan yang menjadi pilihan-Nya. Manakala Bani Israil ialah gelaran yang diberikan kepada anak-anak dan keturunan Nabi Yaakob a.s. 

            Dari 12 orang anak-anak Nabi Yaakob,  salah seorang daripadanya bernama Yahuda. Daripada perkataan inilah munculnya nama Yahudi. Yahudalah yang bertanggungjawab menghasut adik beradiknya untuk membuang saudaranya Nabi Yusuf a.s disebabkan dengki kepadanya kerana sering diberi perhatian oleh bapa mereka.

            Dengan helah terancang, Nabi Yusuf a.s di buang ke dalam perigi namun berjaya diselamatkan oleh pedagang yang singgah berehat untuk mengambil air. Mereka kemudian  membawa Nabi Yusuf a.s ke Mesir lalu dijual dengan harga hanya beberapa dirham. Baginda di beli oleh seorang bangsawan negara yang juga Ketua Polis Mesir.

            Semasa dewasa, isteri bangsawan ini yang bernama Zulaikha sangat tertarik dengan ketampanan Nabi Yusuf a.s, lalu berlakulah fitnah ke atas baginda menyebabkan baginda dipenjarakan. Oleh kerana Nabi Yusuf a.s pandai mentakbir mimpi, baginda akhirnya dikeluarkan dari penjara dan dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir.

            Ketika musim kemarau melanda Kan’an (Palestin), anak-anak Nabi Yaakob mencari makanan di Mesir, membawa kepada pertemuan semula adik mereka Nabi Yusuf a.s. Sejak dari itu Bani Israil mula menginap di Mesir dan berkembang biak di sana.

            Ketika Firaun (Ramses 2) berkuasa di Mesir, Bani Israil mengalami masa-masa yang paling sukar kerana ditindas dan dijadikan hamba.  Lalu Allah SWT utuskan Nabi Musa a.s untuk membawa mereka keluar dari Mesir, sekaligus menamatkan penderitaan yang  mereka alami dari kekejaman Firaun.

            Bangsa Yahudi hidup berpindah di merata-rata tempat. Di zaman Rasulullah SAW, mereka tinggal menetap di utara Hijaz iaitu Yathrib.

            Pada ayat 40, Allah SWT  telah  mengingatkan orang-orang Yahudi melalui lidah Rasul-Nya (Nabi Muhammad SAW), supaya mereka mengenang kembali segala nikmat telah dikurniakan kepada mereka yang antara lain  menyelamatkan mereka dari kekejaman Firaun.

Mereka juga diseru untuk memenuhi janji yang mereka pernah ikrarkan untuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW (Nabi akhir zaman) sebagaimana yang termaktub di dalam kitab Taurat yang diturunkan kepada mereka serta hendaklah takut kepada Allah SWT sahaja.

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 41,

 “ Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu,..”

            Allah SWT memerintahkan orang-orang Yahudi supaya beriman dengan segala isi pengajaran yang terdapat di dalam al-Quran yang mengesahkan ajaran yang terdapat di dalam kitab Taurat yang menyeru manusia mentauhidkan Allah SWT, juga memberitahu tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, sifat-sifat dan ciri-cirinya.

            Dalam surah al-A’raaf ayat 157 Allah SWT berfirman,

 “(iaitu)  orang-orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka…”.

            Sebab itulah Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang Yahudi  sangat mengenali Rasulullah SAW seperti mana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Hal ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 146,
                       
 “Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri..”

            Firman Allah di pertengahan ayat 41,

 “…dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia;..”

            Oleh kerana mereka sudah diberitahu lebih awal tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW, maka tidak sepatutnya mereka menjadi golongan yang paling awal pula mengingkari kerasulan baginda.

            Firman Allah SWT di hujung ayat ,

 “…dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa”.(41)

            Mengikut sebahagian ahli tafsir, kebanyakkan ketua-ketua agama Yahudi sering menerima hadiah daripada pengikut-pengikut mereka. Mereka mendakwa kepada pengikut-pengikut Yahudi bahawa Tuhan pasti akan mengutuskan Nabi akhir zaman di kalangan bangsa mereka kerana sebelum ini banyak  Nabi-Nabi dan Rasul Tuhan utus dari kaum mereka. Rupa-rupanya ramalan ketua-ketua agama ini meleset kerana Nabi akhir zaman yang Allah SWT utuskan itu rupa-rupanya dari bangsa Arab.

            Sebab itu mereka tidak boleh menerima hakikat ini. Mereka cukup bimbang jika perihal sebenar tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW diceritakan, maka ramai pengikut mereka akan berpaling tadah, tidak lagi percaya kepada mereka apatah lagi mahu memberi hadiah seperti yang  dilakukan sebelum ini. Dengan erti kata lain sudah pasti kewibawaan mereka sebagai pendita akan tergugat.

            Demi menjaga kepentingan peribadi mereka lalu mereka ubah dan sembunyikan ayat-ayat Allah SWT yang menceritakan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Di hujung ayat ini Allah SWT menyeru mereka supaya bertaqwa kepada-Nya kerana dengan taqwa sahaja seseorang itu akan takut melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT apatah lagi mahu menyelewengkan kebenaran.

            Pengajaran daripada ayat ini, walau pun ia dituju kepada pendita-pendita Yahudi namun ulama dan ilmuan Islam juga hendaklah mengambil iktibar. Mereka jangan sekali-kali menyembunyikan kebenaran yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis, kerana dosanya cukup besar di sisi Allah SWT.

            Sabda Rasulullah SAW,

     “Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat”. (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
 
            Firman Allah SWT pada ayat 42,

 “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”.(42)

          Allah SWT menempelak ketua-ketua agama Yahudi yang mengubah ayat-ayat Allah dengan tafsiran-tafsiran mereka yang songsang serta menyembunyikan kebenaran ayat-ayat Allah tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW.

            Jika dilihat dalam Taurat Ulangan (Deutronomy ayat 18) ada menyatakan bahawa Tuhan telah berfirman kepada Nabi Musa,

            “ I will raise up for them a prophet like you from among their brothers ”

            Sudah terang lagi bersuluh di mana Allah SWT telah memerintahkan Nabi Musa a.s supaya menyampaikan kepada kaumnya bahawa kelak Tuhan akan mengutuskan seorang Rasul daripada bangsa yang bersaudara dengan mereka iaitu Bani Ismail. Ternyata satu-satunya Rasul yang lahir dari Bani Ismail ialah Nabi Muhammad SAW.

            Firman Allah SWT pada ayat 43,

 “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”.

            Setelah Allah SWT mengingatkan kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan, lalu Allah SWT menyuruh mereka kembali menjadi muslim dengan mematuhi perintah Allah yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW yang antara lainnya ialah mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. 

Wallahualam. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.