Tuesday, December 31, 2013

Kisah Nabi Ibrahim menerima tetamu



Tafsir Al-Quran
Surah Hud : 69-73

            “Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)”. Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu”. Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.(69)Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: “Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)”.(70)Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.(71)Isterinya berkata: “Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan”. (72)Malaikat-malaikat itu berkata: “Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya”.(73)

Huraian ayat

            Firman Allah SWT pada ayat 69,

            “Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)”. Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu”…

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan kisah Nabi Ibrahim a.s yang dikunjungi utusan utusan Allah iaitu para malaikat, untuk menyampaikan berita gembira kepadanya. Pada ketika itu Nabi Ibrahim a.s tidak mengetahui bahawa tetamu-tetamu yang datang ini ialah malaikat. Mereka memberi salam kepada Nabi Ibrahim dan salamnya di jawab oleh baginda. 

            Seterusnya Allah SWT berfirman, 

             “….Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang”.(69)

            Maksudnya, setelah tetamu-tetamunya itu duduk, Nabi Ibrahim a.s tidak membuang masa untuk  memanggang seeokor anak lembu untuk dijamu kepada tetamu-tetamunya. Dan inilah antara akhlak terpuji Nabi Ibrahim, baginda sering menjamu tetamu untuk makan dengan makanan yang enak,  sesuai dengan kemampuan yang ada pada dirinya. 

              Nabi Ibrahim a.s seorang Nabi yang kaya. Ada riwayat mengatakan, ketika menetap di Palestin, Nabi Ibrahim a.s diberi kekayaan dalam bentuk binatang ternakan.  Sehingga dikatakan bahawa binatang ternakan baginda dikawal oleh 12 000 anjing terlatih yang dipakaikan kalung emas di lehernya. 

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 70, 

            “Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka…."

            Maksudnya, apabila Nabi Ibrahim telah menghidangkan kepada tetamunya jamuan yang enak itu, tetapi tetamunya tidak mahu menjamah walaupun sedikit. Ini menyebabkan Nabi Ibrahim a.s merasa takut dan bimbang kalau tetamu ini datang membawa maksud yang tidak elok.   

            Menurut sebahagian riwayat, sudah menjadi adat orang orang Arab bila tetamu datang akan dihidangkan makanan. Jika tetamu makan makanan yang dihidangkan itu, menunjukkan kedatangan tetamu ada membawa hajat yang baik. Tetapi sekiranya tetamu tidak menjamah makanan yang dihidang menunjukkan kedatangannya membawa maksud tidak baik. 

            Namun pendapat yang paling tepat,  tetamu-tetamu ini tidak makan makanan yang dihidangkan oleh Nabi Ibrahim a.s kerana mereka adalah malaikat yang sifatnya tidak perlu kepada makanan  dan minuman seperti manusia.Melihat kepada situasi tetamunya yang tidak mahu menjamah makanan, maka bimbanglah Nabi Ibrahim a.s. 

            Firman Allah SWT, 

            (Melihat kecemasannya) mereka berkata: “Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)”.(70)

            Maksudnya apabila para malaikat melihat Nabi Ibrahim dan isterinya merasa bimbang, lalu malaikat mententeramkan mereka berdua sambil memberitahu tujuan mereka datang menemui Nabi Ibrahim a.s. Mereka sebenarnya diutus oleh Allah untuk membinasakan kaum Lut di negeri Sodom dan Gamurrah yang melakukan penderhakaan kepada Allah SWT. Tetapi sebelum itu mereka diperintahkan untuk singgah sebentar menemui Nabi Ibrahim untuk memaklumkan kepada baginda tentang satu berita gembira. 

            Apakah berita gembira tersebut ? Lalu Allah SWT berfirman pada ayat berikutnya, 

            “Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub”.(71)

            Maksudnya, apabila telah diterangkan tujuan maksud kedatangan malaikat, maka ketawalah isteri Nabi Ibrahim kerana hilang perasaan takutnya. Kemudian malaikat meyampaikan berita bahawa Sarah akan mengandung dan melahirkan seorang putera yang diberi nama Ishak dan selepas itu mereka akan mendapat cucu iaitu Yaakub. Dalam erti kata lain bahawa Nabi Ishak yang bakal lahir itu nanti akan mewariskan keturunan yang besar, dan itulah yang disebut sebagai Bani Israil. 

            Bermula daripada Nabi Ishak, kemudian lahir Nabi Yaakub,  seterusnya Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ilyas, Nabi Ilyasa, Nabi Yunus, Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan berhenti pada Nabi Isa a.s. Seterusnya barulah Allah utuskan Nabi Muhammad SAW daripada keturunan Nabi Ismail a.s. 

            Firman Allah SWT pada ayat seterusnya,

            Isterinya berkata: “Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan”. (72)

            Maksudnya apabila Sarah tahu dia akan mengandung, maka terperanjatlah dirinya kerana selama ini sudah berpuluh puluh tahun dia menjadi isteri Nabi Ibrahim tidak mampu melahirkan  zuriat, tiba-tiba diberitahu bahawa dia akan mengandung sedangkan usia dia dan suaminya sudah lanjut. Ada riwayat mengatakan usia Nabi Ibrahim ketika itu 100 tahun manakala Sarah berusia 80 tahun. 

            Pertanyaan Sarah yang kehairanan ini dijawab oleh Allah SWT melalui malaikat, 

            Malaikat-malaikat itu berkata: “Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya”.(73)

            Maksudnya, semua yang bakal berlaku ke atas Sarah tidak perlu dihairankan kerana Allah SWT Maha Berkuasa. Kalau Dia sudah tetapkan bahawa Sarah akan mengandung walaupun usianya sudah lanjut, maka tiada siapa yang boleh menghalang kehendak Allah SWT. Samalah seperti apa yang telah berlaku ke atas suaminya sebelum ini, apabila Nabi Ibrahim dibakar dalam api. Kalau Allah SWT mahu api itu menjadi sejuk, maka sejuklah api itu. Demikian juga yang berlaku pada zaman selepasnya iaitu Maryam, seorang anak gadis yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki. Kalau Allah SWT mahu Maryam mengandung, maka berlakulah seperti yang dikehendaki Allah SWT. 

          Seterusnya Allah SWT memberitahu bahawa keluarga Nabi Ibrahim dilimpahi berkat dan rahmat dan rahmat itu berkembang terus sehinggalah diutusnya Nabi Muhammad SAW penutup sekalian Nabi yang lahir dari dari keturunan Nabi Ismail a.s. 

            Sebab itulah kaum muslimin diminta terus menerus memperingati rahmat dan berkat yang dianugerhkan Allah ke atas keluarga Nabi Ibrahim a.s dengan mengucapkan selawat ke atas baginda dan keluarganya pada bacaan tahyat ketika solat. 

Wallahualam. 

Rujukan Tafsir Al-Azhar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.