Saturday, December 7, 2013

Suka duka isteri dan anak anak perempuan Nabi

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Ahzab : 59-62

            “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(59) Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja,(60)serta mereka tetap ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan.”(61)

Huraian ayat 

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 59,


            Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); …”

            Sebelum turunnya ayat ini, kebiasaannya wanita Arab sama ada yang beriman mahu pun tidak , mereka keluar rumah dengan memperlihatkan kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka seperti rambut, leher dan dada. Dengan pemakaian begini, mereka telah diganggu oleh lelaki-lelaki munafik dan fasik.

            Maka turunlah ayat ini memerintahkan isteri-isteri Nabi,  anak-anak baginda yang perempuan serta wanita yang beriman supaya melabuhkan pakaian dan menutup seluruh tubuh badan mereka apabila keluar dari rumah. Di dahulukan perintah ini kepada isteri-isteri dan anak anak baginda kemudian barulah kepada wanita-wanita yang beriman kerana isteri dan anak anak Nabi adalah contoh terbaik untuk diteladani.

            Isteri-isteri Nabi SAW itu ada dua belas, yang pertama Siti Khadijah binti Khuwailid seorang janda yang Nabi nikahi ketika baginda berusia 25 tahun sedangkan Khadijah waktu itu berusia 40 tahun. Setelah 3 tahun kewafatan Siti Khadijah, Rasulullah SAW berkahwin dengan Saudah binti Zam’ah juga seorang janda berusia 65 tahun. Suami pertama Saudah  meninggal dunia setelah beberapa hari mereka kembali dari Ethiopia. 

            Isteri ketiga, Aisyah binti Abu Bakar yang dinikahi oleh Nabi SAW sebelum Hijrah dan tinggal bersama dengan baginda setelah berhijrah ke Madinah. Ada pendapat mengatakan usia  Aisyah ketika itu 9 tahun manakala Rasulullah SAW berusia 53 tahun. Manakala isteri keempat, Hafsah binti Umar iaitu anak kepada Umar bin al-Khattab.Rasulullah SAW mengambil tanggungjawab mengahwini Hafsah setelah suaminya gugur syahid di medan perang.  

            Yang kelima Zainab binti Khuzaima, seorang janda yang kematian suaminya di medan Uhud. Ketika berkahwin dengan Zainab, usia Zainab ketika itu sudah tua dan memiliki beberapa orang anak. Zainab meninggal dunia setelah tiga bulan Nabi SAW menikahinya.

             Keenam, Ummu Salamah binti Umayya seorang balu miskin yang lanjut usianya dan memiliki 4 orang anak. Suaminya turut terkorban di medan peperangan. Pada mulanya Ummu Salamah enggan menerima lamaran Nabi SAW kerana alasannya sudah tua tetapi akhirnya akur  dengan takdir Ilahi dan bersetuju berkahwin dengan Rasulullah SAW. 

            Ketujuh,  Zainab binti Jahsyi yang asalnya isteri kepada Zaid ibn Harithah, yang merupakan anak angkat Nabi SAW. Perkahwinan Zaid dan Zainab tidak bahagia, mereka akhirnya bercerai dan Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW berkahwin dengan Zainab. Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab ada dinyatakan dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 37. Zainab digelar oleh Nabi SAW sebagai wanita yang bertangan panjang kerana kuatnya bersedekah. 

            Kelapan, Juwairiyah bt al-Harith yang merupakan anak kepada pembesar Bani Mustaliq. Ketika peperangan Bani Mustaliq tentera Islam berjaya menawan Juwairiyah. Bapa Juwairiyah datang untuk menebus anaknya. Rasulullah SAW menyerahkan kepada Juwairiyah sama ada mahu pulang ke pangkuan keluarganya atau memeluk Islam. Juawairiyah memilih untuk memeluk Islam kemudian dinikahi oleh Rasulullah SAW. Dengan perkahwinan ini kabilah Bani Mustaliq akhirnya memeluk Islam.

           Kesembilan, Safiyyah binti Huyay, anak kepada pemimpin Bani Quraizah . Dalam peperangan Khaibar Safiyyah dan suaminya seorang Yahudi telah ditawan oleh tentera Islam.  Setelah berunding Safiyyah, akhirnya dibebaskan, kemudian memeluk Islam seterusnya memilih untuk  menjadi isteri  Nabi SAW. 

            Kesepuluh, Ummu Habibah binti Sufyan juga seorang balu.  Suami pertamanya Ubaidullah bin Jahsyin al-Asadiy.  Ummu Habibah dan suaminya pernah berhijrah ke Habsyah. Setelah Ubaidullah meninggal dunia di Habsyah, Ummu Habibah hilang tempat bergantung. Melalui an-Najasyi Rasulullah SAW kemudian melamar Ummu Habibah dan upacara perkahwinan dilakukan oleh Khalid bin Said al-As dengan mas kahwin sebanyak 400 dirham, dibayar oleh an-Najashi bagi pihak Nabi SAW.

            Kesebelas, Maimunah binti al-Harith janda kepada Abd Rahman bin Abdul Uzza yang Nabi SAW nikahi ketika mengunjungi kota Mekah  untuk mengerjakan umrah Qadak pada tahun ke 7 hijrah. Semasa rombongan Nabi SAW pulang ke Madinah dan sampai di satu tempat yang namanya Sarifa, Rasulullah SAW telah mengadakan kenduri perkahwinan dan menjemput Khalid al-Walid iaitu anak saudara kepada Maimunah binti al-Harith. 

            Khalid al-Walid yang memerangi Islam ketika itu telah menerima jemputan Rasulullah SAW menyebabkan hatinya jinak kepada Islam. Perkahwinan Nabi SAW dengan Maimunah akhirnya membawa kepada pengislaman Khalid al-Walid sebelum pembukaaan kota Mekah. 

            Dan kedua belas, Maria al-Qibti yang sempat melahirkan anak Nabi SAW yang bernama Ibrahim. Tetapi Ibrahim wafat ketika berusia 18 bulan. Tiga tahun selepas bernikah dengan Maria al-Qibti, baginda SAW wafat. Maria al-Qibti meninggal dunia lima tahun kemudian dan jenazahnya dimkamkan di perkuburan Baqi’. 

            Manakala anak anak perempuan Nabi SAW ada empat orang. Yang paling tua bernama Zainab yang dinikahkan dengan Abu al As. Ketika Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Zainab tidak ikut serta kerana masih tinggal dengan suaminya di Mekah yang ketika itu belum lagi memeluk Islam. Dalam peperangan Badar, suaminya telah di tawan oleh tentera Islam dan ditebus oleh Zainab menggunakan kalung pusaka ibunya. Akhirnya Abu Al As dibebaskan oleh Nabi SAW dengan syarat dia hendaklah memulangkan semula Zainab kepada baginda. 

            Ketika Zainab dihantar pulang ke Madinah, unta yang dinaikinya telah dipanah oleh seorang Quraisy yang bernama al-Huwairis bin Nuqaid. Panahan itu menyebabkan Zainab yang sedang sarat mengandung telah jatuh ke tanah dengan kuat.   Akibat dari itu, Zainab keguguran dan sering sakit yang [akhirnya membawa kepada kematiannya. 

            Anak perempuan kedua ialah Ruqaiyah yang pada mulanya bernikah dengan Utbah bin Abu Lahab sebelum Nabi SAW dilantik sebagai Rasul. Setelah Nabi SAW menyampaikan dakwah, Abu Lahab sangat marah dan menyuruh anak lelakinya menceraikan Ruqaiyah. Kata Abu Lahab kepada Utbah, 

            “ Kepalaku haram bersentuh dengan kepalamu sebelum engkau menceraikan anak Muhammad itu”.  

            Utbah akur dengan kehendak bapanya dan memulangkan semula Ruqaiyyah kepada Nabi SAW dengan penuh rasa hormat.  Selepas itu, Nabi SAW menikahkan Ruqaiyah dengan Uthman bin Affan dan mendapat seorang cahaya mata yang bernama Abdullah. Tetapi Abdullah meninggal dunia sewaktu kecil dan selepas itu Ruqaiyyah tidak beranak lagi. Sewaktu Rasulullah SAW menyiapkan pasukan tentera untuk peperangan Badar, Ruqaiyah telah jatuh sakit menyebabkan Uthman tidak ikut serta dalam peperangan ini. 

            Setelah tentera Islam menang dalam peperangan ini, Nabi SAW memerintahkan Zaid bin Harithah pulang ke Madinah terlebih dahulu untuk memaklumkan kepada orang Madinah tentang kemenangan ini. Apabila Zaid sampai di Madinah, dia melihat orang ramai baru sahaja selesai mengkebumikan jenazah Ruqaiyah dalam keadaan tidak sempat dihadiri oleh ayahandanya, Rasulullah SAW. 

            Anak ketiga ialah Ummi Kalthum. Sama seperti Ruqaiyah pada mulanya dinikahkan dengan anak Abu Lahab yang bernama Utaibah bin Abu Lahab. Berbeza dengan abangnya Utbah, Utaibah telah menarik Ummi Kalhum dan menghntarnya kepada Nabi SAW dengan cara kasar. Mulutnya memaki Nabi SAW sambil kakinya menyepak dada Rasulullah sehingga baginda tersungkur. 

            Sikapnya yang sangat kurang ajar kepada Nabi menyebabkan Rasulullah SAW marah sambil bersabda, 

            “Engkau akan mati di makan oleh seekor daripada anjing anjing Allah”

            Apa yang Nabi SAW ucapkan adalah benar berlaku dimana Utaibah mati di baham singa ketika dalam perjalanan menuju ke Syam untuk berniaga. 

            Setelah diceraikan oleh Utaibah. Nabi SAW nikahkan Ummi Kalthum dengan Uthman bin Affan yang disebut sebagai “berganti tikar”. Dengan perkahwinan Uthman dengan Ummi Kathum, sejak itu Nabi SAW menggelar beliau sebagai Zun Nurain, orang yang memiliki dua cahaya. Ummi Kalthum meninggal dunia pada bulan Syaaban tahun kesembilan hijrah. Jenazahnya disambut diliang lahad oleh Ali bin Abi Talib, Fadhal bin Abbas dan Usamah bin Zaid. 

            Dan yang keempat serta bongsu ialah Fatimah, yang dinikahkan dengan Ali bin Abi Talib pada bulan Ramadhan tahun ke dua hijrah. Fatimah satu satunya anak yang meninggal dunia selepas kewafatan ayahandanya. Demikianlah  keempat empat anak perempuan Nabi SAW yang dimaksudkan dalam ayat ini.  

            Sambungan pada ayat 59, 

            “…cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu..” 

            Maksudnya tindakan wanita yang beriman menutup aurat dengan pakaian yang labuh, tidak singkat, tidak ketat dan tidak membayangkan bentuk tubuh dari sebalik pakaian yang nipis adalah tanda pengenalan wanita yang baik sehingga mereka tidak diganggu atau dipermainkan oleh lelaki mata keranjang atau jalang. 

             Adalah menjadi kesalahan seseorang wanita yang beriman memakai tudung tetapi membesarkan kepala dengan sanggul di atas kepalanya. Sabda Nabi SAW, 

             “Ada dua golongan dari penduduk neraka yang aku belum melihat mereka sekarang. (Yang pertama,) suatu kaum yang bersama mereka ada rotan-rotan seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk merotan manusia. (Yang kedua,) para wanita yang berpakaian tapi hakikatnya telanjang, mereka senget lagi membuat orang lain senget. Kepala-kepala mereka seperti bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wangi syurga, padahal wanginya boleh tercium dari jarak perjalanan sekian dan sekian’.” (HR Muslim)

            Sebuah lagi hadis yang keras mengancam wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, 

            “Akan datang suatu masa dalam umatku segolongan wanita berpakaian tapi sebenarnya mereka bertelanjang tanpa pakaian. Sanggul mereka ditinggikan bagai bonggol unta. Kutuklah mereka,sesungguhnya mereka itu terkutuk (dikutuk oleh Allah) " (HR Muslim)

            Demikian juga ada wanita yang  memakai tudung tetapi tidak menutup dagu, memakai tudung tetapi baju berlengan singkat atau memakai tudung dengan baju berlengan panjang tetapi lengannya itu ketat,  memakai tudung tetapi menampakkan hujung rambut atau belakang rambut, memakai tudung tetapi menampkakkan bentuk leher, memakai tudung tetapi berseluar ketat atau kain yang singkat, terbelah atau sebagainya. 

            Firman Allah SWT di hujung ayat 59, 

            “….Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(59)

            Maksud ayat ini ialah untuk menghilangkan keraguan wanita yang beriman sebelum ayat ini diturunkan, apakah mereka berdosa dengan memakai pakaian yang mendedahkan aurat sebelum ini. Lalu Allah SWT menjelaskan sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani yakni kesalahan kesalahan yang dilakukan lalu Allah SWT telah ampunkan sebelum ayat dan perintah ini diturunkan kepada mereka. 

            Firman Allah SWT pada ayat 60, 

            “Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja,” (60)

            Dalam ayat ini ada tiga golongan yang akan dikenakan hukuman keras dengan cara diperangi dan di halau dari Madinah, serta tidak dibenarkan tinggal berjiran dengan Negara Islam ini iaitu : 

            Pertama, orang-orang munafik yang menyakiti Allah dan Rasul dengan perbuatan yang keji, di depan Nabi SAW menzahirkan Islam tetapi di belakang Rasulullah merencana dan merancang untuk mensabotaj apa sahaja program dakwah Nabi SAW. Sebagai contoh mereka membina sebuah masjid yang dinamakan masjid Dhirar untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam. Maka turunlah ayat, 

            "Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemdharatan (pada orang-orang Mukmin), untuk kekafiran dan memecah belah antara orang-orang Mukmin….. (At-Taubah 107)

            Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 108,            

Maksudnya : "Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. (At-Taubah : 108)

            Kedua, golongan yang hatinya ada penyakit iaitu dalam hatinya tidak ada perkara lain melainkan mahu melempiaskan syahwat ke atas wanita sahaja. Dalam istilah modern disebut sebagai sex maniac atau lelaki yang ketagih sex. Mereka suka menganggu  wanita di Madinah, mengintai serta mahu membuat kejahatan seperti rogol dan juga zina. 

            Dan golongan ketiga, mereka yang menghasut orang ramai supaya membenci Nabi SAW. Mereka berusaha untuk mendapatkan maklumat kekuatan tentera Islam untuk disampaikan kepada pihak musuh dengan matlamat mahu meruntuhkan kerajaan Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah. Mereka terdiri dari golongan Yahudi yang mahu memerangi Islam dari dalam. 

            Kepada tiga golongan ini Allah SWT berfirman, 

            “Serta mereka tetap ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan”.(61)

          Maksudnya perbuatan mereka yang menganggu gugat kestabilan negara dan memberi ancaman kepada agama Islam dan umatnya dilaknat oleh Allah SWT.  Pengacau-pengacau dan pengkhianat kepada Allah dan Rasul-Nya ini hendaklah ditangkap dan dibunuh di mana sahaja mereka berada. Ini  menunjukkan ketegasan Islam yang tidak boleh berkompromi dalam hal hal yang boleh menggugat kesucian Islam dan kedaulatan Negara.  

Wallahualam.
Rujukan,
Tafsir Ahmad Sonhadji
Tafsir Al-Azhar
Sirah Nabawiah




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.