Friday, July 10, 2009

Rejab : Bulan Muhasabah Solat !

Assalamualaikum ?

Sempena di bulan Rejab ini di mana Allah SWT memerintahkan Nabi saw dan umatnya menunaikan solat 5 waktu, marilah kita bermuhasabah sejenak.

Bagaimana dengan solat kita selama ini ? Ok ke tak ok ?

Bagaimana pula dengan solat isteri dan anak-anak kita ? Adakah kita rasa semuanya dah ok?

Ingat, solat adalah amalan yang pertama akan di hisab oleh Allah SWT. Kalau solat kita ok, maka perjalanan kita ke syurga pun ok, tapi kalau solat kita atau isteri dan anak-anak kita k.o, maka sebagai ketua keluarga, kitalah orang yang pertama akan dicampak dalam neraka Allah SWT.

HUKUM MENINGGALKAN SOLAT

Menurut Mazhab Syafie, jika seseorang meninggalkan solat kerana sengaja, maka dia adalah fasik yang boleh membawa kepada kufur. Prof. Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam fatwanya menulis, mereka yang meninggalkan solat hilang hak persaudaraan dalam Islam kecuali mereka yang bertaubat kepada Allah SWT. Dalilnya ialah firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 11,

" Jika mereka bertaubat, mendirikan sholat dan menunaikan zakat, Maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. dan kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang Mengetahui."

Berdasarkan dalil di atas, mazhab Syafie mewajibkan, sesiapa di kalangan orang Islam yang pernah meninggalkan solat dengan sengaja, hendaklah mereka melakukan dua perkara iaitu bertaubat dan mengqadak semula solat yang ditinggalkan. Tidak memadai jika hanya sekadar mengqadak solat tanpa bertaubat atau hanya bertaubat tanpa mengqadakannya.

Adalah haram menurut mazhab Syafie bagi sesiapa yang mengerjakan solat sunat sedangkan di sisinya masih ada solat fardhu yang belum diqadhakan. Namun sebahagian ulama mazhab Syafie berpendapat harus solat sunat yang berwaktu dan bersebab asal ia tidak mencuaikan solat qadhaknya.

Jika sibapa atau suami tidak mengerjakan solat fardhu, maka anak atau isteri wajib mengingatkan bapa atau suaminya dengan penuh hikmah. Jika sudah diingatkan tetapi bapa atau suami masih enggan, maka terlepaslah sudah tanggungjawab si anak atau isteri. Menurut syariat Islam, dibolehkan mana-mana isteri (jika mahu) menuntut fasakh sekiranya suami masih enggan mendirikan solat setelah dinasihatkan.

Menurut Ibnu Taimiyah, orang yang meninggalkan solat tidak harus kita memberi salam kepadanya atau menerima jemputannya. Begitu juga seorang bapa tidak harus mengahwinkan anak perempuannya dengan mana-mana lelaki yang meninggalkan solat, kerana pada hakikatnya dia bukanlah seorang Islam yang sebenar. Pengurus sesebuah organisasi pula tidak harus mengambil pekerja orang yang meninggalkan sembahyang kerana pada hakikatnya dia membantu orang itu dengan rezeki Allah untuk mengengkari-Nya.

Seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan dia meninggalkan solat, maka hendaklah di lihat sama ada dia kafir atau pun fasik. Jika dia fasik, maka jenazahnya hendaklah di sembahyangkan dan di kebumikan di tanah perkuburan Islam dan urusannya di serahkan kepada Allah SWT. Manakala menurut Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain mengatakan bahawa orang itu tidak harus disembahyangkan apatah lagi dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Namun pendapat yang paling sahih dalam mazhab ini ialah dia tidak dihukum kafir melainkan jika dia telah diajak oleh pemerintah atau pembantunya tetapi dia enggan.

Wallahulam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.